IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Muhyiddin Yakin Anwar Tidak Akan Bersama Barisan Nasional !


KUALA LUMPUR - “Saya tak fikir dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan bersama BN sebab dia bukan BN, dia PH”.

Demikian reaksi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak mengatakan Ketua Umum PKR itu bakal menyertai pembangkang disebabkan kenyataannya baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, beliau percaya teguran bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bukan bertujuan ‘merosakkan’ sebaliknya membawa maksud baik.

Tambahnya, pentadbiran kerajaan baru perlu ditegur kerana masih terdapat dasar-dasar kerajaan lama terus dipraktikkan dan tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperbaiki kelemahan yang ada.

“Pada saya, maksud dia (Anwar) menegur itu, dia bawa maksud baik bukan menegur untuk tujuan merosakkan. Kerajaan baharu ini baru naik, kalau nak tegur kerajaan baharu, dasar kerajaan lama masih banyak lagi.

“Walaupun beliau bukan dalam kerajaan tapi beliau ada dalam pimpinan tertinggi PH. Dasar-dasar Harapan boleh dibincangkan di peringkat tertinggi (antara parti komponen Harapan).

“Umpamanya kalau dia tak setuju sesuatu perkara, dia boleh bawa ke situ dan mana-mana menteri bertanggungjawab, ambillah tindakan tukar, pinda dan buat apa-apa yang patut sebab dia dah jadi sebahagian daripada tokoh Harapan,” katanya dalam wawancara khas di kediamannya, semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin keputusan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan akan terus kekal meskipun terdapat beberapa isu berbangkit sejak beberapa minggu lepas.

Menurutnya, keputusan itu (melantik Anwar sebagai Perdana Menteri) tidak menjadi perdebatan mahupun perbahasan dalam kalangan pemimpin Harapan kerana keempat-empat Presiden parti komponen telah memutuskan sedemikian sebelum ini.

“Soalnya mungkin timbul teka-teki bila (peralihan kuasa berlaku) tapi itu pun sudan ada gambaran-gambaran dan Anwar pun ada buat kenyataan yang saya baca menyatakan beliau berikan kepada Tun masa dalam tempoh setahun dua.

“Beliau tak tetapkan masa supaya tugas utama untuk bentuk kerajaan, menangani, memperkenalkan dasar ini boleh dilaksanakan. Ini kerja besar dan saya percaya Anwar menghormati Tun kerana beliau berkemampuan sebagai perdana menteri.

“Perkara nak diselesaikan ada banyak, kalau disenaraikan mungkin beratus. Bagi saya, selagu hubungan antara pemimpin baik, saya tak nampak ada perebutan kuasa,” ujarnya.

Mengakui sudah lama mengenali bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Ahli Parlimen Pagoh ini berpendapat Anwar pemimpin berpengalaman dan layak diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelapan.

Menurutnya, apabila sampai masanya, keputusan memilih perdana menteri akan ditetapkan empat Presiden parti komponen Harapan dan sekiranya semua bersetuju memilih Anwar maka beliaulah yang akan diangkat menjadi pemimpin negara.

“Saya harap proses peralihan berjalan dengan cukup teratur. Selagi Tun masih sihat, boleh jalankan tugas, saya tak fikir Datuk Seri Anwar akan berkata ‘turun sekarang, saya nak ambil alih’

“Maksud saya, saya tak fikir itu sikap dan budaya Datuk Seri Anwar. Bila sampai masa, siapa yang diputuskan untuk jadi perdana menteri akan pegang jawatan itu dan dalam kes Harapan, ia tidak diputuskan satu parti sahaja.

“Kalau Majlis Presiden kata kita dah setuju Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri jadi apa lagi, kita umumkan sajalah. Itu sistem dalam Harapan yang terpakai sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebagai pemimpin yang kini sudah bebas dari hukuman penjara, Muhyiddin merasakan Anwar mahu menyumbangkan sesuatu kepada negara dan cara terbaik mungkin dengan menjadi Ahli Parlimen.

“Saya tak tahu bila dan di mana beliau akan bertanding, itu terserah kepada PKR dan mungkin dia kata nak masuk jadi Ahli Parlimen biasa tapi ada fungsi khas mengenai reformasi Parlimen, institusi penting, itu tugas besar juga.

“Kalau Tun buat kerja macam ini dan Datuk Seri Anwar buat kerja macam ini, tiadalah konflik. Saya tak nampak itu boleh bawa kesan. Bagi saya, saya tak rasa bimbang tentang ada perkara luar biasa yang mungkin berlaku,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]