Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Tukar Nama Jalan Depan Kuil Kepada 'Jalan Muhammad Adib' !


BANGI - Bagi memperingati jasa dan pengorbanan Muhammad Adib Mohd Kassim yang nyawanya diragut selepas dipukul perusuh, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mencadangkan supaya nama pegawai bomba berkenaan diabadikan di jalan, tempat berlaku rusuhan itu.

Setiausaha Agung Pemuda Isma, Eqwan Roslan (foto) mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menukarkan nama jalan depan Kuil Sri Mariamman di USJ 25 Subang Jaya, kepada Jalan Muhammad Adib, dan wang pampasan pemindahan kuil itu diserahkan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau juga mencadangkan pampasan tanah kuil iaitu wang sebanyak RM1.5 juta diserahkan kepada keluarga Allahyarham Adib.

“Ini bagi memperingati pengorbanan dan perjuangan Adib. Jasanya bukan biasa-biasa, akan dikenang dalam lipatan sejarah negara.

“Pampasan tanah kuil dan wang RM1.5 juta mesti dipulangkan semua dan diberikan kepada keluarga Allahyarham Adib.

“Beliau dipukul ketika menjalankan tugas demi keamanan negara sehingga terkorban nyawa,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9.41 malam tadi, selepas bertarung nyawa selama 22 hari, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh kuil itu.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau, Kuala Kedah, selepas solat Zohor, tengah hari tadi.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan, sehingga cedera parah.

Rusuhan berlaku disebabkan perbalahan mengenai perpindahan kuil berkenaan ke tapak baharu.

Difahamkan, pemindahan kuil itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014, menerusi penghakiman persetujuan (consent judgement), selepas empat pihak bersetuju menyerahkan kembali tanah itu kepada pemiliknya.

Empat pihak terbabit ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25 memulangkan semula wang pampasan RM1.5 juta dan tapak tanah seluas 0.405 hektar (satu ekar) yang diterima sebelum ini.

Kerajaan negeri berpandangan, tapak tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang telah diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]