IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Wakil Rakyat BN Keluar Dewan, Solidariti Terhadap Sivarraajh !


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan Rakyat bagi membantah keputusan Speaker, Datuk Mohd Ariff Md Yusof yang tidak membenarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh berada di dalam dewan persidangan.

Bantahan itu diketuai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut disertai Ahli Parlimen Ayer Hitam dari MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Tapah dari MIC, Datuk M Saravanan serta Ahli Parlimen BN lain yang hadir, termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, kira-kira jam 12.50 tengahari hari ini, 10 minit sebelum dewan berhenti rehat.

Ketika sidang medianya di luar dewan selepas itu, Zahid berkata, sepatutnya sesuatu keputusan mahkamah memerlukan tempoh 14 hari untuk penelitian.

“Ahli Parlimen BN protes kerana salah seorang Ahli Parlimen kami diisytiharkan melakukan salah laku, namun sewajarnya beliau (Sivarraajh) masih berhak berada dalam persidangan Parlimen sehingga tempoh rayuan 14 hari tamat.

“Jika notis rayuan difailkan dan seseorang Ahli Parlimen disabitkan kesalahan, beliau masih layak berada dalam Dewan Rakyat sehingga mahkamah lebih tinggi buat keputusan,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Ariff dilaporkan memerintah Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat sehingga beliau mendapat nasihat peguam pakar untuk memutuskan sama ada rayuan beliau difailkannya secara automatik menyebabkan penggantungan sementara sebagai Ahli Parlimen berikutan keputusan mahkamah sebelum ini.

Sivarraajh berkata, nasihat pakar ialah selagi Mahkamah Tinggi tidak menghantar notis penghakiman kepada speaker bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands dikosongkan, makan beliau masih Ahli Parlimen kawasan itu yang sah dan boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

Perkara 36(2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menetapkan Hakim Pilihan raya hendaklah dalam masa 14 hari selepas membuat keputusannya membuat perakuan mengenai keputusan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mana-mana pilihan raya yang dikendalikannya.

Sementara Perkara 36A (1) akta yang sama memberi kebenaran kepada pempetisyen atau calon terlibat membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya kepada Mahkamah Persekutuan juga dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]