Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Mengapa 'Sarawak Report' Masih Panjangkan Isu RM90 Juta ?


KOTA BHARU: PAS menyifatkan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tidak jujur apabila masih lagi memanjangkan isu berkaitan penyaluran dana RM90 juta daripada Umno kepada parti itu.

Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Rewcastle-Brown tidak patut membangkitkan perkara itu kerana ia telah diselesaikan di luar mahkamah selepas persetujuan bersama dicapai oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor itu.

“Saya tidak faham kenapa Clare masih menulis dan terus menyerang PAS berkaitan isu ini. Sikap begitu tidak betul dan menunjukkan Clare tidak jujur kerana bagi kita kes itu sudah diselesaikan di luar mahkamah.

“Sepatutnya dia mengikat dirinya dengan persetujuan yang telah dicapai itu dan tidak lagi memanjangkan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian sebuah kedai minuman hari ini.

Turut dihadiri Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadi pada 2 Februari lepas memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman terhadap editor Sarawak Report selepas meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbang pandangan serta nasihat peguam.

Rewcastle-Brown selaku defenden juga menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi.

Amar berkata tuduhan Rewcastle-Brown terhadap PAS berhubung penyaluran dana itu juga lebih kepada dakwaan tanpa asas dan bukti yang kukuh.

“Bagi kita bila dia bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah, ia salah satu tanda dia tiada bukti yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, PAS mengesahkan rakaman audio perbualan seorang individu menyentuh isu parti itu menerima dana daripada Umno memang suara milik Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Takiyuddin berkata perkara itu diakui Nik Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut tidak diambil secara keseluruhan.

“Memang dia akui suara dia, tetapi tidak membawa konteks maksud sebenarnya, seperti PAS terima duit Umno, bukan itu sahaja…banyak huraian lain.

“Untuk memahami konteks ayat audio itu, kita perlu meneliti keseluruhan dari minit pertama sehingga akhir barulah dapat difahami sepenuhnya,” katanya.

Isu rakaman audio yang didakwa suara Nik Abduh timbul menjelang pilihan raya umum ke-14 namun beliau berkata perkara tersebut sebagai mengarut dan fitnah semata-mata.

Isu itu timbul semula selepas Hadi membuat keputusan menyelesaikan kes samannya terhadap Rewcastle-Brown.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih bagi memberi laluan kepada parti pembangkang lain termasuk Barisan Nasional (BN).

“Justifikasinya kerana kita mahu wujudkan solidariti pembangkang dalam negara kita termasuk di Selangor,” katanya.

Katanya, kerjasama politik PAS dan Umno untuk kepentingan Islam, Melayu dan perpaduan ummah dijangka akan berterusan sehingga PRU-15. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]