Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO) | Salam Ramadan Al-Mubarak Kepada Semua Pembaca Yang Beragama Islam

Polis: Akauntan Wanita 'Kempunan' Wang Satu Peti US$9 Juta


KUANTAN - Seorang akauntan wanita kempunan wang sebanyak US$9 juta (kira-kira RM36 juta) yang kononnya akan dihantar kepadanya di dalam satu peti menerusi penghantaran syarikat perkapalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata mangsa yang berusia 53 tahun juga mendakwa kerugian RM95,668 yang dikatakan sebagai bayaran pelbagai urusan penghantaran 'peti' tersebut.

Katanya, mangsa mendakwa wang itu kepunyaan seorang tentera asing yang mendakwa sedang berkhidmat di Libya yang menghubunginya menerusi e-mel pada 11 Feb lepas dan telah menyatakan 'kesudian' untuk menghantar wang itu.

"Mangsa telah memberi alamatnya sebelum diminta berurusan dengan wakil syarikat perkapalan yang kononnya beroperasi di London. Mangsa diminta membuat transaksi pemindahan wang untuk mendapatkan wang tersebut.

Dia akhirnya telah membuat pembayaran ke tiga akaun berbeza dan apabila selesai memindahkan wang itu, mangsa mendakwa tidak lagi boleh membaca atau berurusan menerusi e-mel syarikat perkapalan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang berasa dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang suri rumah berusia 69 tahun kerugian RM8,500 setelah diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai anak lelakinya yang menetap di Kuala Lumpur.

Katanya, mangsa yang tinggal di Raub dekat sini, mendakwa dihubungi suspek pada 6 petang Selasa lepas bagi memberitahu telah bertukar nombor telefon kerana telefon lama dan kad pengenalannya telah tercicir.

"Mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi nombor itu pada pagi Rabu yang meminta wang RM8,500 bagi membayar hutang. Mangsa telah memasukkan wang itu ke dalam akaun yang kononnya diberikan anaknya.

Suspek kemudiannya menghubungi mangsa pada sebelah petang hari yang sama mendakwa hutang itu sebenarnya berjumlah RM13,000 menyebabkan mangsa berasa tidak sedap hati lalu menghubungi nombor telefon asal anaknya yang menafikan ada meminta wang itu," katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]