Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO) | Salam Ramadan Al-Mubarak Kepada Semua Pembaca Yang Beragama Islam

Zuraida: 495 Pusat Tahfiz Berdepan Risiko Bahaya Kebakaran


KUANTAN - Sebanyak 495 buah daripada 1,267 keseluruhan pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara dikategorikan berdepan risiko bahaya kebakaran, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata antara aspek tidak dipatuhi pusat tahfiz itu ialah jumlah pelajar yang sesak di asrama atau susun atur perabot menghalang laluan keluar dan menyukarkan operasi menyelamat, jika berlaku kebakaran.

"Mereka ini diberikan tempoh selama tiga bulan untuk melakukan penambahbaikan sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan kali kedua

"Pemeriksaan secara berkala juga akan dilakukan ke atas semua pusat tahfiz supaya aspek keselamatan sentiasa dipatuhi dan untuk melihat jika ada keperluan penambahbaikan dilakukan dalam aspek keselamatan pelajar," katanya.

Zuraida berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini, yang disertai Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohammad.

Mengambil contoh di Pahang, Zuraida berkata pemeriksaan terhadap 137 pusat tahfiz berdaftar yang diperiksa pada Oktober hingga Mac lalu, hanya 86 premis mematuhi piawaian keselamatan kebakaran.

"Kita berharap pusat tahfiz tidak berdaftar untuk tampil ke hadapan supaya bomba boleh membuat pemeriksaan bagi mengelak insiden kebakaran yang melibatkan pusat tahfiz sebelum ini berulang.

"Ia juga membolehkan pusat tahfiz itu mewujudkan sukarelawan bomba dikenali sebagai skuad bomba bagi mereka mengikuti latihan kemahiran asas semasa berlaku situasi tidak diingini, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Zuraida memaklumkan statistik JBPM setakat ini, menunjukkan 314 skuad bomba ditubuhkan di pusat tahfiz seluruh negara dengan keanggotaan 3,844 orang.

Di Pahang, 64 pusat tahfiz memiliki skuad bomba dengan anggota seramai 1,420 orang.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 15 syarikat yang membantu operasi memadam kebakaran hutan gambut seluas 60 hektar di kawasan perindustrian Gebeng di sini, berlarutan selama enam hari bermula 25 Februari lalu.

Antara syarikat itu ialah FPG Oleochemicals Sdn Bhd; BASF Petronas Chemical (M) Sdn Bhd; Lynas (M) Sdn Bhd; Shell (M) Trading Sdn Bhd; Kaneka (M) Sdn Bhd; Bredero Shaw (M) Sdn Bhd dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd. #sumber

1 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

Anonymous said...

Institusi sekolah adalah kategori premis kependudukan pada tahap berisiko tinggi. National protection Fire protection mengklasifikasikan sekolah sebagai sasaran kategori yang mempunyai bahaya kependudukan yang tinggi.

Apa pun rekod kebakaran keatas bangunan sekolah agama atau pondok menceritakan kebenaran ttg beberapa tragedi malapetaka kebakaran yang telah meragut ramai penghuni disitu.

Kewajaran pihak berkuasa pemerintah bekerjasama dengan pihak sekolah, NGO dan orangramai termasuk individu yang prihatin utk membantu institusi sekolah agama atau pondok dilihat sebagai jihad malah ini adalah tanggungjawab umat Islam Malaysia yang mesti kehadapan mengembeling usaha kilat supaya segala permasalahan bahaya kebakaran di sekolah tersebut ditangani segara.
Sayangilah generasi ilmu yang bakal menjadi ulama negara pada masa hadapan.

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]