Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO) | Salam Aidl Fitri Kepada Semua Pembaca Yang Beragama Islam

Lelaki Di Penjara 20 Tahun Dan 24 Sebatan Rogol Anak Sendiri


MELAKA - Perbuatan keji seorang bapa lapan anak yang tergamak merogol anak perempuannya berusia 17 tahun akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 45 tahun sejurus lelaki terbabit membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak perempuannya berusia 16 tahun 8 bulan antara pukul 2 hingga 2.30 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah pada 27 Februari, 22 Mac dan 21 April tahun ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia telah insaf selain hanya bekerja sebagai pembantu penjual air dan terpaksa menyara lapan orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) manakala isterinya tidak bekerja sejak berkahwin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yee bagaimanapun merayu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor perbuatan terkutuk yang dilakukan terhadap anak sendiri, selain mangsa yang merupakan anak keenam mengalami trauma teruk dari segi emosi dan psikologi.

Tambahnya, perbuatan hina itu juga hanya terbongkar selepas guru yang mengajar mangsa di sekolah menyedari kesan kelar pada pergelangan tangan remaja berkenaan dan tertuduh sama sekali tidak menyesal dengan perbuatannya kerana telah berulang kali merogol anaknya itu demi memuaskan nafsunya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 17 Mei lalu dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Beliau bagaimanapun memerintahkan hanya 24 sebatan akan dilaksanakan merujuk kepada Seksyen 288 Kanun Tata Cara Jenayah yang hanya membenarkan mahkamah mengenakan maksimum 24 sebatan bagi pesalah dewasa.  #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]