Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Najib Mungkin Mohon Batal Dakwaan Pengubahan Wang RM27j


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak mungkin memohon untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang RM27 juta terhadapnya dalam kes berkaitan SRC International membabitkannya.

Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang pertuduhan itu tidak menyatakan kesalahan utama dan hanya bergantung kepada 7 pertuduhan lain.

Najib cuba membatalkan 7 pertuduhan pengubahan wang, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah atas alasan ia kabur serta beliau tidak boleh membuat pembelaan munasabah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada 29 April lalu dan berkata dakwaan Najib tidak berasas.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lufti hari ini mempertahankan pertuduhan pengubahan wang RM27 juta adalah sah dan wajar.

“Kami akan tanganinya selepas menerima permohonan rasmi,” katanya sambil menambah pihak pendakwaan mahu meneruskan kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Zaini Mazlan menetapkan 2 hingga 25 Jun 2020 sebagai tarikh perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang RM27 juta.

Tarikh perbicaraan ditetapkan tahun depan kerana Shafee dan Budiman berkata, pihak pembelaan serta pendakwaan akan sibuk dengan kes Najib sehingga April tahun depan.

Najib didakwa sekali lagi dengan 3 pertuduhan pengubahan wang di Mahkamah Sesyen pada Februari lalu selepas ia ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014. Jika sabit kesalahan pengubahan wang, Najib boleh didenda sehingga RM5 juta, dipenjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah Tinggi turut menetapkan 30 Mei ini bagi sebutan kes pelucutan hak harta yang dirampas daripada Najib, 17 individu dan syarikat lain oleh kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain yang mewakili kerajaan dalam kes pelucutan hak itu berkata, Jabatan Peguam Negara sudah menyerahkan notis usul kepada kebanyakan individu dan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengesan Goh Gaik Ewe yang merupakan ibu kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Peguam, M Puravalen memberitahu mahkamah beliau boleh mewakili Goh yang kini berada di luar negara dalam kes pelucutan hak itu.

Kerajaan cuba melucutkan hak daripada ratusan barang yang dirampas daripada Najib dan 17 individu lain selepas 9 Mei 2018.

Individu lain yang dinamakan dalam notis pelucutan hak itu adalah Rosmah Mansor, pengarah filem Riza Aziz, anak Najib dan bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng.

Barangan rampasan itu termasuk beg tangan mewah, wang tunai dalam mata wang berbeza, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan Nissan Urvan.

Wang sebanyak RM18 juta dalam pelbagai akaun bank dan sebuah banglo di Tanjung Bungah milik keluarga Jho Low turut disita.

Kerajaan cuba memohon perintah mahkamah untuk menyiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ke-3 yang menuntut sebarang kepentingan dalam harta dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di depan Mahkamah Tinggi pada tarikh ditetapkan untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak harus dilucutkan hak kepada kerajaan. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]