Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Salahuddin: Siasatan Syarikat Bekal Benih Padi Di Buat Segera


TEMERLOH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bahawa siasatan berhubung sembilan syarikat yang membekalkan benih padi dilakukan segera bagi mengatasi masalah benih tidak berkualiti.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata isu tersebut tidak boleh lagi ditangani secara bertolak ansur kerana sudah berlarutan untuk tempoh masa panjang, selain untuk menjaga kebajikan pesawah untuk mendapat hasil yang baik.

Katanya, siasatan perkara itu dijalankan oleh pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Salim Parjan dan tindakan sewajarnya akan diambil selepas selesai.

"Kita kena tegas tidak boleh lagi bertolak ansur kerana lama sangat...sudah berpuluh tahun kita mendengar pesawah-pesawah menghadapi isu benih padi ini.

"Laporan akan sampai kepada saya dalam masa terdekat dan kita akan pastikan isu ini akan dikawal dengan semaksimum yang boleh pada masa akan datang," katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di sini hari ini, yang dihadiri Pengerusinya Hamid Bahari.



Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Anggota Parlimen Temerloh, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini, berhubung keluhan pesawah yang mendakwa antara punca petani tidak memperoleh pendapatan yang baik ialah kerana benih padi yang dibekalkan tidak berkualiti.

Sementara itu, Salahuddin semasa melawat ladang buah tin di Janda Baik, Bentong berkata usahawantani khususnya anak muda harus kreatif, inovatif dan berani untuk menerokai bidang pertanian baharu, yang sebetulnya boleh mendatangkan pendapatan lumayan jika dilakukan dengan betul.

"Pertanian dengan teknologi baharu yang semakin canggih boleh meningkatkan pendapatan petani dan yang paling penting mesti dilakukan dengan bersungguh, mempunyai pelan dan rangkaian perniagaan yang cemerlang," katanya.

Beliau merujuk kepada usahawantani Mohamad Hafidz Arifin, 32, yang berani mengusahakan ladang buah tin di Janda Baik, walaupun buah itu tidak dikomersialkan secara besar-besaran di Malaysia, sedangkan mempunyai nilai pasaran antara RM80 hingga RM160 sekilogram, bergantung kepada jenis.

Salahuddin juga memberi akujanji bahawa kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang pertanian akan memberi bantuan termasuk khidmat nasihat pihak pakar kepada anak muda dalam bidang itu, dengan syarat mereka sudah memulakan projek itu sebagai bukti.

"Kita mahu mereka sudah bermula supaya nampak jalan kerjanya... kita mahu bantu supaya mereka ini daripada ladang yang kecil boleh meningkat ke tahap sederhana manakala yang di peringkat tengah menjadi lebih besar.

"Ini cara untuk kita pastikan usahawantani ini serius kerana mereka tahu bantuan yang diberikan untuk mereka memajukan diri ini digunakan dengan sebaik dan dengan sebetul yang mungkin," katanya.

Sementara itu, Mohamad Hafidz yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Benefigs berkata tanaman buah tin di Malaysia mempunyai kelebihan kerana cuaca di sini membolehkan tanaman itu diusahakan sepanjang tahun, berbeza dari Turki yang mendominasi eksport pasaran buah itu, yang hanya boleh berbuah pada musim panas sahaja.

"Buah tin masih baharu di Malaysia dan selain harga buah yang tinggi, anak pokoknya juga bernilai tinggi iaitu sekitar RM50 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis selain boleh digunakan untuk menghasilkan produk makanan, perubatan dan teh," katanya.

Mohamad Hafidz berkata Benefigs juga mempunyai teknologi canggih penyimpanan makanan Cell Alive System dari Jepun yang membolehkan makanan disimpan dalam tempoh masa panjang tanpa menjejaskan kualiti dan tekstur, sekali gus mengatasi masalah lambakan. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]