Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Kerajaan Perlulah Teliti Sebelum Memperbaharui Lesen Lynas !


KUALA LUMPUR  - Kerajaan dilihat sangat berhati-hati dan mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memperbaharui lesen pengoperasian kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd., di Gebeng Kuantan, selama enam bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP), Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar berpendapat, syarat dikenakan terhadap kilang itu sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan risiko pendedahan bahan radioaktif yang wujud semula jadi kepada penduduk tempatan.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk bergerak ke hadapan dengan membenarkan pengoperasian kilang ini, suatu usaha pelaburan yang istimewa dan strategik melibatkan penjanaan peluang kepada rakyat tempatan.


“Ia juga berpotensi meletakkan Malaysia sebagai negara berkecimpung dalam perkhidmatan industri berteknologi tinggi pada masa depan kerana kilang di Gebeng ini antara satu-satunya kilang memproses nadir bumi yang berada di luar dari negara China.

“Berdasarkan syarat dikenakan itu, kerajaan dilihat mengambil langkah amat berhati-hati apabila meminta syarikat Lynas untuk mengemukakan perancangan terperinci bagi pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

‘Cracking dan leaching’ adalah proses pemecahan dan luluh larut atau larut lesap, melibatkan proses memecahkan bahan import dari Australia, lanthanum concentrate yang mengandungi bahan nadir bumi bercampur dengan NORM iaitu bahan radioaktif yang wujud semula jadi, agar bahan radioaktif dapat dipisahkan daripada gas nadir bumi.

Apabila langkah ini dilakukan di luar negara, katanya, diharapkan akan dapat mengurangkan kandungan bahan radioaktif yang dibawa masuk untuk diproses di Gebeng dengan berada di bawah kepekatan satu Becquerel segram berbanding aras dikesan di kilang itu sebelum ini, lebih kurang 6.2 Becquerel segram.

Satu Becquerel segram merupakan aras selamat ditetapkan oleh kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA). Aras 1 Bq/g dipercayai memadai untuk menjamin keselamatan terhadap penduduk serta alam sekitar.

Bagaimanapun pada yang masa, Lynas juga perlu segera untuk mencari tapak bersesuaian bagi membina Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) untuk menanam lebih 580,000 tan metrik sisa daripada proses Water Leach Purification(WLP) yang kini ‘membukit’ di kawasan kilang itu.

“Dikhuatiri jika berlaku hujan lebat dan banjir besar di Kuantan, maka bahan buangan yang membukit ini mungkin terhakis dan meresap masuk dalam sistem alam sekitar, dan akan menjejaskan kesihatan manusia serta alam sekitar.

“kerajaan telah menetapkan Lynas mencari tapak sesuai untuk membina PDF dan menanam sisa buangan WLP yang terhimpun itu dengan penuh berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang kemungkinan kebocoran dan sebagainya yang boleh menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Sebelum PDF dibina, Lynas juga perlu mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasi PDF untuk memastikannya mengikut piawaian antarabangsa,” katanya yang juga Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, langkah kerajaan mensyaratkan Lynas supaya menghentikan sebarang aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai condisoildalam bidang pertanian juga bertepatan kerana setakat ini, masih belum terbukti bahan itu benar-benar selamat untuk digunakan dalam bidang berkenaan.

“Mungkin boleh (dijadikan baja untuk pertanian), namun hasil kajian setakat ini belum meyakinkan dan masih memerlukan uji kaji lanjutan yang mungkin mengambil tempoh beberapa tahun lagi sebelum dapat keputusan meyakinkan,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]