Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Kes SRC Najib: Pendakwaan Tutup Kes, Dengar Hujah 22 Okt


KUALA LUMPUR - Pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April, lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pendakwaan menutup kesnya terhadap Najib selepas pemeriksaan balas saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.

“Dengan ini Yang Arif, perbicaraan yang bermula 3 April tahun ini selama 58 hari dan 57 saksi, sampai ke penghujung kes kami,” katanya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menawarkan 66 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya dipanggil membela diri.

“Dengan ini, saya secara rasmi menutup kes pendakwaan,” kata Peguam Negara.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan menyoal pendakwaan sama ada semua saksi ada secara fizikal dan Timbalan Pendawka Raya Datuk V.Sithambaran menjelaskan bahawa kebanyakan saksi boleh dihubungi.

“Kami tentunya akan memastikan saksi boleh dihubungi. Sekiranya dapat mencari mereka, kami akan memaklumkan pihak pembelaan,” katanya.

Mohd Nazlan menetapkan 22 dan 23 Oktober ini mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 Sept.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Antara saksi utama ialah pengurus Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh, 66; bekas pengerusi Lembaga SRC Tan Sri Ismee Ismail, 54 , bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin, 68; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan di AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan Rosli, 54, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu.

Najib, Ahli Parlimen Pekan, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, perdana menteri keenam Malaysia, mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Feb, 2015.

Tiga pertuduhan CBT yang dihadapi Najib ialah :

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan lain, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Dis, 2014, dan 10 Feb, 2015.
Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]