Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Mangsa Ribut Temerloh: "Tak Pernah Dengar Angin Sekuat Itu"


KUANTAN - "Tak pernah seumur hidup saya mendengar bunyi angin sekuat itu sehingga atap zink pun seperti hendak tercabut. Terus saya baca apa sahaja doa yang terlintas di fikiran." 

Demikian kata suri rumah Noriah Sulaiman, 52, apabila ditanya mengenai kejadian ribut yang melanda rumahnya di Kampung Gong Halt, Kuala Krau di Temerloh dekat sini, sekitar 4.30 petang ini.

Ribut yang berlaku antara 15-20 minit, itu juga menyebabkan enam keping atap zink di bahagian dapur rumahnya melayang ke belakang rumah.

"Nasib baik tiada yang cedera kerana saya sempat mengarahkan semua enam anak yang semasa itu berada di dapur untuk segera ke ruang tamu kerana bunyi angin semakin kuat.

"Kami dengar bunyi kuat dan bila berpaling, ternampak atap sudah diterbangkan angin yang kemudiannya disusuli hujan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga ikan patin Mohd Sapery Ab Hadi, 52, berkata atap zink dapur rumahnya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh yang dijadikan tempat berniaga turut diterbangkan ribut, menyebabkan peralatan di dalamnya basah akibat hujan.

Mohd Sapery berkata, beliau tidak sempat untuk mengalihkan barang kerana reaksinya semasa itu adalah mahu segera keluar dari rumah dan berteduh di bawah pokok, ekoran bimbang ditimpa atap.

"Saya panik pada awalnya, namun selepas beberapa minit, saya mengambil keputusan berdiri di tepi jalan dan menahan kereta supaya berhenti… saya bimbang jika atap melayang terkena kereta orang," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) menerusi kenyataan medianya, mengesahkan 10 rumah terjejas akibat ribut di Temerloh setakat ini, dengan kerosakan yang dialami dikategori sebagai kecil dan sederhana.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Baru Belenggu, Kampung Paya Keladan, Kampung Rantau Panjang, Jalan Seri Kemuning Indah dan Kampung Belenggu dengan anggaran kerugian masih dalam siasatan. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]