Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO)

Anwar Dakwa Dia Tidak Pernah Usul Cadangan Sertai Kabinet


KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengusulkan cadangan untuk menjadi sebahagian daripada ahli jemaah Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun dijangka wujud rombakan kecil dalam portfolio menteri nanti.

Katanya, beliau sedia menunggu sehingga gilirannya tiba bagi menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Saya terikat dengan konsensus dan saya tidak pernah mengusulkan atau bercadang untuk menyertai Kabinet kerana persefahaman dan konsensus dalam PH (Pakatan Harapan) yang ditandatangani adalah PM (Mahathir ) akan menjadi Perdana Menteri dan Wan Azizah adalah timbalannya sehinggalah giliran saya mengambil alih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa tidak ada kekosongan untuk Anwar menyertai Kabinet buat masa ini.

Sementara itu, ditanya sama ada PKR akan mengikut jejak langkah pendirian sekutunya, Bersatu yang mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencemarkan parti itu dengan ramalan mengatakan bahawa PH akan kalah dalam pilihan raya (akan datang), Anwar menjelaskan tiada tindakan diambil partinya.

Ini berikutan katanya, PKR merupakan parti yang demokratik dalam melontarkan pandangan. 

"Dalam PKR, kita bagi ruang lebih demokratik dalam memberi pandangan. Jadi, tidak ada tindakan untuk pemimpin PKR yang berbuat demikian," katanya bahawa pihaknya akan meneliti pandangan yang dikemukakan rakan sekutunya itu.

Mengulas pertanyaan mengenai status surat yang dihantar Zuraida Kamaruddin bagi meminta Anwar mengadakan perbincangan dalaman membabitkan isu PKR pula, beliau menjelaskan pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat yang dikirimkan naib presiden parti berkenaan.

Katanya, bagi dua lagi surat, ia akan dibalas oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar juga mengingatkan Zuraida agar hadir dalam setiap mesyuarat yang diadakan parti itu dan ia boleh dijadikan tempat untuk membincangkan isu berbangkit.

"Kita ada forum, kita ada mesyuarat biro politik setiap minggu dan mesyuarat MPP setiap bulan. Sila hadir," katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa hanya takdir menentukan Anwar akan jadi perdana menteri atau tidak, beliau menjawab: "Hidup, mati... semua bergantung pada takdir. Menteri, bukan menteri, jodoh, semua pada takdir. Jadi saya percaya pada takdir." katanya secara bersahaja. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]