SELAMAT DATANG KE PORTAL RAKYAT PAHANG DAILY ONLINE

PM: Moratorium, Bantuan Bank Bersasar Di Lanjutkan Tiga Bulan Lagi

PUTRAJAYA - Kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pemberian lanjutan itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.

"Ramai mengharap agar moratorium ini dilanjutkan, oleh itu saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi oleh sebahagian daripada saudara saudari yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium berakhir hari ini.

"Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih berfokus untuk golongan benar-benar memerlukan.

"Selepas tiga bulan tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung pada situasi individu masing-masing," katanya pada Perutusan Khas beliau yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dipeti sebagai berkata, nilai moratorium yang diberi setakat 20 Julai mencecah RM59 bilion dan secara keseluruhannya, moratorium itu memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat yang merangkumi 93 peratus peminjam individu.

Beliau berkata, penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang berkuat kuasa pada 1 April itu sebahagian langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bertujuan menguruskan kesan Covid-19.

Tujuan moratorium itu, yang menjadi matlamat ketiga PRIHATIN (memperkukuh ekonomi), adalah membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam tempoh enam bulan dan ia akan berakhir pada September 2020, katanya.

Justeru, bank kini mula mendapatkan kerjasama daripada peminjam untuk pendekatan yang lebih bersasar.

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata, bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion,

Bagi tempoh enam bulan moratorium, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion manakala sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan tempoh moratorium yang dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9. #sumber


0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]