Pages

Azmin Ali Saran Beri Peluang Hajiji Di Lantik Menjadi Ketua Menteri Sabah

 


TUARAN: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali berkata, Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor harus diberi peluang sebagai Ketua Menteri jika parti itu dan gabungannya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, Hajiji wajar diberi peluang untuk memimpin Sabah kerana beliau seorang calon ketua menteri yang kuat dan bersih.

“Perkara ini telah diumumkan secara terbuka oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin), bagi pihak PN, Hajiji adalah calon yang layak untuk menjamin masa depan rakyat dan negeri Sabah, mereka (rakyat) perlu tahu perkara ini (calon ketua menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama rakyat anjuran PN di Kampung Bolong Baru hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Azmin berkata rakyat Sabah memerlukan seorang tokoh sebagai ketua menteri dan Hajiji adalah orangnya.

“Saya mengalu-alukan beliau (Hajiji) diangkat sebagai Ketua Menteri, bukan pandangan saya seorang tetapi beliau memiliki keperibadian, watak, khidmat, ilmu dan rakyat Sabah memerlukan tokoh sebagai ketua menteri, tidak lain dan tidak bukan Hajiji,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin meminta Shafie Apdal berhenti memainkan sentimen anti Semenanjung kerana ia hanya akan mengganggu-gugat keharmonian di negara ini.

“Shafie sampai sekarang berkata ‘Sabah for Sabahan’, siapa kamu? Sabah juga sebahagian daripada Semenanjung dan saya juga bertanggungjawab untuk mendengar suara orang Sabah, kalau tidak dapat (dengan suara rakyat Sabah), serahkan kepada Hajiji.

“Mahu harap kerajaan negeri sendirian tidak boleh, mahu harap pelabur luar kalau tengok Shafie jadi Ketua Menteri semua lari, Semporna pun belum sempurna kononnya dia ketua menteri.

“Nama (parti) Warisan tetapi tidak dapat meninggalkan satu warisan yang baik untuk Sabah, kenapa tidak bekerjasama (dengan kerajaan persekutuan)? kalau tiada Sabah dan Sarawak maka tiadalah Malaysia,” katanya.

Anti Semenanjung

Sementara itu, ketika diminta mengulas insiden beliau dihalau oleh penyokong Warisan ketika di Membakut Azmin berkata, ia salah satu contoh parti yang dipimpin Shafie memainkan sentimen anti Semenanjung sehingga menggugat keharmonian.

“Saya cuba untuk meraih penyokong Warisan tetapi ada seorang pemuda yang memainkan sentimen anti Semenanjung, tetapi saya respons dengan senyuman dan tidak mahu menimbulkan provokasi malah ada antara mereka yang datang memohon maaf kepada saya.

“Saya terima baik, cuma saya berharap Shafie Apdal tidak mengapi-apikan sentimen yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat dalam pilihan raya ini kerana ini adalah sebahagian daripada demokrasi tetapi kita tidak boleh menggunakan pentas ini untuk membakar isu yang boleh memecahkan persekutuan dengan Sabah,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]