Pages

Penduduk Gesa MB Campurtangan Hentikan Pembalakan Di Kawasan Tadahan Air Hutan Sungai Gapoi, Bentong !

 

BENTONG - Penduduk dari 17 penempatan di Karak dekat sini menggesa campur tangan Menteri Besar Pahang supaya menghentikan segera aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air Sungai Gapoi.

Wakil penduduk, Borhan Jamaluddin, 57, dari Kampung Shafie di sini berkata, kawasan pembalakan di Hutan Sungai Gapoi itu dikhuatiri akan menjejaskan sumber utama air ke Loji Rawatan Air Sungai Gapoi.

Menurutnya, loji berkenaan membekalkan air terawat kepada tiga perempat penduduk iaitu kira-kira 40,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

"Pada tahun 2016, penduduk telah membuat bantahan terhadap aktiviti pembalakan ini. Ia berjaya dihentikan selepas campur tangan Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Adnan Yaakob).

"Tapi sejak tiga bulan lalu, kami dapati kerja mengeluarkan balak diteruskan semula di kawasan sama seluas kira-kira 80.93 hektar. Dulu pada tahun 2016 dalam 2,000 ekar (809 hektar). Apabila hujan lebat, air sungai akan menjadi sangat keruh dan memberi kesan kepada operasi loji rawatan," katanya kepada Sinar Harian ketika melakukan bantahan secara aman bersama lebih 50 penduduk di sini semalam.

Borhan berkata, penduduk terpaksa membuat bantahan sekali lagi sebagai tindakan awal mengelak kesan pembalakan memberi ancaman kepada ekosistem sungai dan kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengetahui sama ada aktiviti pembalakan tersebut dijalankan secara sah atau sebaliknya.

"Kami mahu Menteri Besar yang baharu prihatin terhadap kepentingan penduduk dan segera mengambil tindakan menghentikan pembalakan ini.

"Hak kami, kami nak jaga. Tolong prihatin kerana kami tidak mahu kesan pembalakan kepada loji rawatan air jadi parah," katanya.

Difahamkan, selain 17 penempatan berkenaan, loji rawatan air itu turut membekalkan air terawat kepada tujuh sekolah dan beberapa jabatan kerajaan dalam DUN Pelangai.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Bentong (MPB) kawasan DUN pelangai, Khairul Anuar Ahmad berkata, beliau sudah menyemak kelulusan mengenai aktiviti pembalakan tersebut.

Menurutnya, hasil semakan mendapati aktiviti pembalakan itu tidak mendapat kelulusan agensi tertentu.

"Ekosistem Sungai Gapoi akan musnah sekiranya pembalakan ini tidak dihentikan, selain menjejaskan sumber pencarian hasil hutan untuk orang asli.

"Walaupun kedudukan antara kampung di sini berjauhan tapi mereka mendapat bekalan air terawat dari loji yang sama.

"Saya harap Menteri Besar dapat mempertimbangkan rayuan dan bantahan penduduk kerana banyak lagi kawasan lain ada (aktiviti pembalakan), bukan di sini sahaja," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan ketika dibawa ke lokasi pengumpulan balak di Matau 2 di sini mendapati papan tanda yang didirikan di situ memaparkan maklumat perlesenan atas nama Amanah Saham Pahang Berhad bagi tempoh 1 Disember 2019 hingga 31 September 2020 dengan keluasan 80.93 hektar. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]