Pages

Replika Bulan Kini Menjadi Tarikan Baharu Pelancong Ke Pantai Batu Hitam Kuantan !

 


KUANTAN -- Ibarat bulan jatuh ke riba. Itu yang terdetik di hati penulis, sejurus melihat sebuah replika bulan menyinari Pantai Batu Hitam ketika berkunjung ke ‘Malam Carbooth’ di sini baru-baru ini.

Bulan gergasi berdiameter enam meter itu, merupakan tarikan baharu di pantai berkenaan yang terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat pentadbiran Pahang.

Teknik lampu yang membiaskan cahaya replika itu, menampakkan ia seolah-olah kelihatan 'hidup' sekali gus menarik perhatian orang ramai terutamanya 'kaki Instagram', yang tidak mahu melepaskan peluang mengabadikan panorama indah berlatar belakang bulan penuh, di media sosial masing-masing.

Diusahakan oleh sekumpulan anak muda berusia 25 tahun lepasan Universiti Malaysia Pahang, replika berkenaan ditempah khas dari negara China yang menelan belanja ribuan ringgit, yang mana ia perlu dipam dengan angin bagi membentuk bulatan besar.

Berkongsi cetusan idea kreatif itu Muhamad Nazirul Aman Rusli Aman berkata, dia bersama dua rakannya, Muhammad Asyraf Mat Nain dan Joe Fadzly Johari, melihat cahaya bulan sangat signifikan dengan pemandangan pantai dan berikutan itu mereka berusaha mencari bulan 'tiruan' tersebut di merata-rata tempat, sebelum memilikinya sekitar Ogos lepas melalui pesanan secara dalam talian.

Bekas pelajar jurusan kejuruteraan mekatronik itu berkata, ia adalah salah satu inisiatif mereka untuk menarik orang ramai ke pantai berkenaan, yang menempatkan lebih 50 peniaga but kereta di Pantai Batu Hitam, yang menjual pelbagai barangan dan makanan bagi menjana pendapatan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kami membuat pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) untuk mengusahakan tapak jualan ini, selain membeli replika dan beberapa barangan lain seperti lampu bagi menghiasi kawasan sekitar ini.

“Sambutan Alhamdulillah sangat memberangsangkan. Semua yang datang mesti tidak lepaskan peluang untuk bergambar bersama replika tersebut. Lega apabila penat lelah kami dilihat berhasil...bila ada tarikan macam ini, baru orang datang dan sekali gus membeli barang atau makanan daripada peniaga,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan cabaran bagi memasang replika diperbuat daripada material PVC berkenaan, Muhammad Asyraf berkata faktor angin sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk menempatkan replika bulan berkenaan.

“Tidak susah untuk memasang dan menanggalkan replika berkenaan kerana ia hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja dengan bantuan beberapa orang lain, kadang-kadang cuma bila angin kuat agak menyukarkan sedikit. 

“Kami akan mula pasang pada hari tapak ‘Malam Carbooth’ ini beroperasi, dan akan mengempiskan replika berkenaan lepas pukul 10 malam, sebaik tempat ini ditutup,” katanya sambil menambah waktu perniagaan bermula pukul 4 petang sehingga 10 malam, selama tiga hari setiap Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, pada masa akan datang mereka turut bercadang menyediakan program Food Bank di lokasi berkenaan, sebagai usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Dengan cara ini peniaga-peniaga di sini atau individu luar boleh meletakkan makanan, bagi membantu individu lain yang kurang bernasib baik,” katanya yang turut berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kuantan yang memberi peluang dan kepercayaan kepada anak muda seperti mereka, mengusahakan tapak berkenaan.

Sementara itu, pengunjung Mohd Hanis Mohamad, 30, dari Segamat, Johor, mengibaratkan replika bulan itu sebagai perhiasan pantai yang menarik di waktu malam, dan menimbulkan suasana romantis.

“Ia suatu yang menarik dan lain daripada lain, cahaya bulan itu sendiri menimbulkan suasana yang menyeronokkan, malah anak-anak saya turut terpegun sejurus melihat replika itu,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]