Pages

Pahang Corporation "Tetapkan", Kadar Sewaan Tanah Pertanian C. Highlands RM4,500 Seekar

 


KUANTAN -- Pahang Corporation Sdn Bhd menetapkan kadar sewaan tanah pertanian sebanyak RM4,500 seekar (0.4 hektar) setahun kepada pekebun di Cameron Highlands, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Beliau berkata seorang pekebun hanya dibenarkan menyewa tidak melebihi tiga ekar (1.2 hektar)  dengan tempoh pajakan selama 10 tahun dan proses pengurusan pemberian sewa, secara keseluruhannya akan melibatkan empat fasa.

Katanya, jumlah keseluruhan tanah yang terlibat ialah 1,155 hektar, dan setakat ini, dua fasa telah selesai melibatkan mukim Ulu Telom dengan keluasan 749 hektar, Ringlet (89 hektar) dan Tanah Rata (lima hektar).

"Tanah yang terlibat ialah tanah yang dipajak oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands kepada Pahang Corporation, selaku pengurus hartanah. Petani yang berminat perlu melalui proses saringan jawatankuasa Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

"Tawaran sewaan tanah ini sebahagiannya diberikan kepada pekebun yang mendapat Lesen Pendudukan Sementara sebelum ini. Pemilihan pekebun bagi tawaran fasa ketiga dan keempat akan diteliti supaya mereka juga dapat memenuhi terma ditetapkan," katanya.

Mohd Soffi berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab pertanyaan Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) yang ingin tahu jumlah tawaran dan kadar sewaan yang diagihkan kepada pekebun di kawasan tanah tinggi tersebut.

Menjelas lanjut, Mohd Soffi berkata kerajaan negeri menganggarkan sewaan tanah ini akan memberi pulangan hasil sebanyak RM4 juta pada tahun ini, manakala untuk tahun hadapan ialah sebanyak RM5.7 juta apabila semua tanah terlibat selesai disewakan.

"Kutipan hasil akan dibelanjakan untuk pembangunan dan pengurusan daerah. Kita meletakkan terma tertentu dalam meluluskan pajakan tanah dengan aspek alam sekitar menjadi fokus utama supaya diseimbangkan dengan aspek pembangunan.

"Kerajaan negeri telah merangka pelan pembangunan yang komprehensif dengan sasaran pembangun mampan menjadi rujukan dalam perancangan pembangunan agar Cameron Highlands dapat dijadikan pusat pertumbuhan yang seimbang," katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]