Pages

PEMBELA Hantar Memorandum Bantahan Isu Pencerobohan Tanah Haram Di Negeri Pahang

 

KUANTAN - NGO Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) telah menghantar memorandum bantahan terhadap isu pencerobohan tanah di Pahang di pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang dekat sini semalam.

Memorandum telah disampaikan oleh Pengerusi PEMBELA, Tuan Hj Aminuddin Yahya kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz di perkarangan pejabat Menteri Besar.

Pada sidang media selepas itu, Aminuddin meluahkan kekecewaan kerana Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hanya menghantar wakilnya untuk bertemu dengan mereka. Itu pun hanya di bawah kanopi, tempat rehat dan makan ketika sidang dewan yang sedang berlangsung sekarang.

Difahamkan sebelum itu, NGO terbabit telah menghantar memorandum yang sama ke pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Putrajaya.

Hadir sama ialah Naib Pengerusi PEMBELA Ustaz Masridzi Sat, Keua PEMBELA Pahang Datuk Syed Nasaruddin Syed Abd Hadi dan NGO lain seperti Veteran Tentera, ISMA, PEKIDA dan lain-lain lagi. 

Sementara itu mengulas lanjut antara beberapa  perkara penting yang terkandung dalam memorandum tersebut ialah :

PERTAMA; Bersama kerajaan negeri mendesak supaya Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar,, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seterusnya bertindak tegas tanpa kompromi dan 'double standard' kepada pengkhianat penceroboh tanah kerajaan.

KEDUA; Bersama kerajaan negeri  mendesak Jabatan Perhutanan bertindak tegas  merampas kembali tanah-tanah yang telah diceroboh tanpa memberikan sebarang ganti rugi seperti yang dituntut oleh pihak penceroboh berpandukan undang-undang.

KETIGA; Bersama kerajaan negeri menyokong memperkasakan program pemutihan tanah oleh syarikat Cerah Plantation Sdn Bhd tanpa campurtangan orang-orang politik dan pihak-pihak yang berkepentingan.

KEEMPAT; Bersama kerajaan negeri agar membatal atau menyemak serta mengkaji semula semua perjanjian konsesi syarikat-syarikat korporat yang telah ditubuhkan sebelum ini, yang bersubahat bersama penceroboh dan mengaut keuntungan kepada segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.

KELIMA; Bersama kerajaan negeri membatalkan serta merta pemberian rundingan pajakan tanah kepada syarikat Royal Pahang Durian Produce (PKPP) Sdn Bhd, dan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri. (Tidak mahu diberikan kepada pihak ketiga)

KEENAM; Bersama kerajaan negeri mendesak untuk mengembalikan semula hak tanah kerajaan kepada rakyat pribumi Melayu terutama kepada golongan yang berjasa kepada negeri dan negara seperti veteran ATM (angkatan tentera), PDRM, NGO Islam, institusi agama dan rakyat marhaen yang dianaktirikan dan ditindas selama ini.

KETUJUH; Bersama kerajaan negeri memohon Jabatan Perhutanan menggantikan semula tanah-tanah rizab Melayu dan hutan simpan yang diceroboh atau diteroka oleh mana-mana syarikat pemaju yang mencari keuntungan projek Kerajaan Negeri Pahang selama ini.

Aminuddin juga berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan-rakan bahawa tindakan ini adalah langkah yang pertama dilakukan oleh PEMBELA. Katanya lagi, selepas ini ada langkah-langkah lain yang akan menyusul jika mereka mendapati tidak ada tindakan yang dibuat.

Beliau turut mendakwa, mereka minta semua ini perlu dilakukan berlandaskan kepada  undang-undang, ini bukan berkauman tetapi berdasarkan undang-undang bahawa tanah ini (Musang King, Raub) adalah tanah kerajaan tetapi telah diceroboh masuk secara tidak sah diatas tanah-tanah yang menjadi milik kerajaan. Sebab itu katanya, atas permintaan rakyat mereka terpaksa bersuara untuk memberikan satu memorandum kepada menteri besar, supaya tindakan yang sewajarnya diambil.

"Kita tidak mahu ada campurtangan, unsur-unsur lain. Kita juga ada dengar-dengar mungkin ada campurtangan dan usaha untuk memberikan hak ini (tanah kebun Musang King) kepada penceroboh. Ini yang kita tak mahu berlaku, dan saya ingin mengatakan di sini.. kepada semua rakyat bahawa kita (PEMBELA) akan perjuangkan isu ini, kita akan cari hingga isu ini selesai.. Kalau ada yang terlibat dalam apa-apa bentuk yang akhirnya memberi kepada penceroboh..kita akan cari mereka ini. Itu janji kita Insya Allah berdasarkan kemampuan peribadi kita, " katanya.

"Kita akan bertindak, dengan penasihat undang-undang yang ada disini... berlandaskan undang-undang... bukan kita nak lawan undang-undang. Bukan kita nak jatuhkan kerajaan.. jangan salah faham. Kita sebenarnya  nak memberitahu kerajaan bahawa rakyat menyokong usaha kerajaan untuk membuat pemutihan, asalkan tidak ada campurtangan daripada pihak-pihak yang lain, yang cuba nak menggagalkan proses ini, " tambah beliau lagi.

Ketika ditanya, apa yang dimaksudkan oleh beliau mahu mencari pihak yang berkenaan dan untuk apa. Beliau mendakwa, kalau ada mana-mana salahlaku, penyelewengan dan sebagainya, mereka ini perlu  dan wajib dibawa ke muka pengadilan.

"Saya yakin, mana logik orang dan ceroboh puluhan tahun... tak ada orang tahu. Fail dah ada, bukan tak ada. Cuma memerlukan tindakan.. sama ada orang politik ke, pihak enforcement ke atau sebagainnya untuk mengambil tindakan, "

"Jadi perkara ini bukan baru... fail itu kita dimaklumkan dah ada.. cuma  nak ambil tindakan sahaja. Saya harap, jangan politikkan perkara ini.. Ini hal rakyat.. Ini dia tak sama dengan bangunan.. tanah ini tempat kita duduk.. kita boleh hilang bangunan.. tapi hilang tanah ni..  luar biasalah,"

"Memang orang sanggup mati hilang tanah.. bangunan tak apa... orang tak berani mati  Tanah ni tempat kita berpijak.. tempat kita dikebumikan.. mana boleh kita hilang begitu saja tanpa ada apa-apa  tindakan oleh pihak kerajaan," tambah beliau lagi.

Diakhir sidang media luar pagar Wisma Sri Pahang semalam beliau juga ditanya apakah pandangannya kerana difahamkan DAP dan MCA ada dikalangan pekebun-pekebun haram (Musang King), beliau menjawab;

"Kita tak kira siapa pun, DAP ke, MCA ke, UMNO ke, PAS ke atau what ever... kita bukan politik.. siapa yang salah tetap salah... tak kira siapa pun. Saya kalau salah pun.. ambillah tindakan.. sama sendiri kalau salah pun, kami ambillah tindakan. Tak ada masalah.. ini bukan isu politik. Sama ada orang politik nak main isu ni sebagai politik, itu hak dia sebab dia orang politik. Kita (PEMBELA) bukan politik, kita NGO.. so we move as an NGO.. no partisan what ever.. kita suara rakyat... suara marhaen, " kata Aminuddin Yahya lagi. #pahangdaily

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]