Pages

Sidang DUN Pahang Lulus Usul Melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Secara "Lantikan" !

 


KUANTAN - Usul Pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan diluluskan dengan sokongan majoriti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Usul yang dikemukakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disokong semua ADUN dari BN dan Pas, namun dibantah ADUN pembangkang.

Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai berkata, kerajaan negeri mencadangkan pindaan itu bertujuan mewujudkan ADUN (dilantik) tanpa melalui proses pilihan raya bagi menduduki dan menyertai Dewan Negeri.

"Bilangan yang dicadangkan tidak lebih lima orang menjadikan keseluruhan Ahli Dewan Negeri tidak lebih 47 orang termasuk 42 ADUN sedia ada menerusi proses pilihan raya," katanya.

Menurutnya, pindaan yang dicadangkan bagi pelantikan ADUN secara lantikan itu bukan sesuatu perkara luar biasa sebaliknya ia sudah dilaksanakan kerajaan Sabah dan Terengganu.

"Cadangan pindaan ini diangkat ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-29/2020 pada 22 Julai lalu yang kemudian memberi persetujuan supaya ia diperhalusi Penasihat Undang-undang Negeri.

ADVERTISEMENT

"Pada 3 Ogos 2020, Mesyuarat Pasca MMK yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak bersetuju beberapa justifikasi dan implikasi dilakukan," katanya.

Katanya, pada 2 Oktober 2020, Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Penambahan Ahli Dewan Negeri yang dipengerusikan Penasihat Undang-undang Negeri memperincikan justifikasi dan implikasi tersebut.

"Kemudian ia dibentangkan pada persidangan DUN Pahang hari ini untuk mendapat sokongan dan kelulusan. Pindaan dibuat berdasarkan beberapa justifikasi atau pertimbangan.

"Pelantikan ADUN (dilantik) ini dipercayai dapat meluaskan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosio ekonomi yang mencabar akibat penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang belum pasti bila kesudahannya.

Wan Rosdy berkata, lantikan akan dibuat dalam kalangan mereka yang berkaliber, profesional dan berkemahiran tertentu untuk berganding bahu bersama ADUN sedia.

"Kerajaan melihat pelantikan tambahan melibatkan ADUN lantikan ini mampu mengurangkan kadar atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang ADUN kepada jumlah penduduk yang diwakili," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah berfikir semasaknya sebelum mencadangkan pindaan itu.

"Bukanlah hari ini cadangan diluluskan, kita terus lantik sebaliknya bergantung kepada rasional dan keperluan kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan.

"Lantikan ini juga bukan bermotif politik sebaliknya sebagai langkah mewujudkan wakil kepada golongan tertentu atau golongan minoriti yang mungkin tiada dalam dewan ini ketika ini," katanya.

Dalam sesi perbahasan pindaan enakmen itu, ADUN Bilut, Lee Chin Chen (DAP) menyifatkan keputusan itu sebagai melanggar prinsip demokrasi dan melabelkan mereka yang bakal dilantik sebagai ADUN pintu belakang.

ADUN Tras, Chow Yu Hui (DAP) pula menganggap pelantikan ADUN lantikan tidak adil kepada ADUN yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Beberapa ADUN dari DAP antaranya, Young Syefura Othman (Ketari), Woo Chee Wan (Mentakab), Chiong Yoke Kong (Tanah Rata) dan D Kamachee (Sabai) turut membantah dengan hujah masing-masing sebelum bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]