Pages

Warga Asing Jadi Dalang Kegiatan Melombong Emas Haram Di Hutan Simpan Ulu Jelai Lipis !

 

LIPIS - Air sungai keruh menjadi petunjuk awal penemuan kegiatan melombong emas secara haram dilakukan dua lelaki warga asing dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai, di sini kelmarin.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis terpaksa berjalan kaki sejauh tujuh kilometer dan mengharungi dua anak sungai untuk sampai ke lokasi, Sungai Kasai menjadi pusat kegiatan melombong secara haram itu.

Menurutnya, kegiatan berkenaan berada dalam Kompatmen 128, 110 dan 111 Hutan Simpan Ulu Jelai yang sebelum ini terkenal dengan kegiatan melombong emas secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dilakukan secara individu dan berkumpulan.

"Ketika serbuan dilakukan dua lelaki warga Myanmar berumur 26 dan 30 tahun pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan.

"Mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera," katanya.

Nor Shahrini berkata siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan sepanjang Sungai Kasai sebagai lokasi utama kegiatan melombong.

"Jengkaut digunakan untuk mereka membuat dan mengambil tanah bagi proses menapis bahan galian menggunakan palong besi.

"Dua lelaki terbabit dipercayai berpengalaman luas mencari gali bahan galian terutama emas, mereka juga mendapat sokongan beberapa individu yang bertindak menguruskan kegiatan itu," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya bertindak menyita kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, jengkaut, palong, enjin pam air dan enjin kuasa elektrik.

"Tinjauan secara berterusan akan dilakukan di kawasan terbabit bagi memastikan kegiatan melombong secara haram tidak berlaku lagi selepas ini.

"PHD Lipis memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini oleh pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan melombong emas secara haram dan tindakan tegas menanti sindiket terbabit," katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]