PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
banner-peluang-menjana-pendapatan-pasif-tanpa-perlu-menaja-sesiapa-dividen-bulanan-yang-tinggi
[ Iklaneka Berbayar: Code/PDO/15032021-15062021 ]

Najib Saran Pembangkang Mesyuarat Dengan Anwar Di Pawagam, Stadium Atau Pusat SPA Bukan Di Parlimen Kerana Lokasi Itu Berisiko

 

KUALA LUMPUR -  Dato' Sri Najib Razak mencadangkan pembangkang mengadakan pertemuan di pawagam, stadium atau pusat SPA dan bukan di Parlimen kerana kawasan itu dikategorikan berisiko tinggi jangkitan Covid-19.

Sindiran itu dibuat apabila pembangkang berhasrat mengadakan pertemuan dengan Anwar Ibrahim, Isnin ini, bagi membincangkan pelbagai isu semasa.

“Hello polis, saya nak beri maklumat. Ada sekumpulan penceroboh tengah berkomplot untuk langgar zon paling tinggi risiko Covid-19 di Malaysia Isnin depan.

“Mohon tangkap dan denda RM10k seorang. Korang (pembangkang) ‘meeting’ sahaja dekat stadium, cinema atau ‘health spa’ sebab sains dan data buktikan tempat-tempat itu kurang bahaya,” katanya di Facebooknya hari ini.

Pada 3 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata persidangan
Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid-19 ketika ini.

Takiyuddin berkata, pihaknya juga tidak mahu membahayakan Ahli Parlimen yang rata-rata boleh dikategori sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, daripada 220 Ahli Parlimen, 77 berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas. #sumber

Salahuddin Ayub Dakwa PH Tiada Komitmen Bersama UMNO Pada PRU-15 Akan Datang !

 

PETALING JAYA - Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata Pakatan Harapan (PH) buat masa ini belum ada sebarang komitmen untuk bersama UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada PH ada membincangkan mengenai kerjasama dengan UMNO atau tidak dalam Mensyuarat Majlis Presiden gabungan itu petang tadi.

“Kita sudah jelas pertemuan diadakan macam biasa. Tetapi tidak ada komitmen untuk bersama PRU. Tidak ada,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin ketika ditanya sama ada rakan-rakan parti dalam PH menerima kerjasama dengan UMNO, Salahuddin mengulangi tiada komitmen kerjasama dengan parti itu.

“Kita dah bincang dengan UMNO ini, jumpa boleh. Kita boleh bincang tetapi untuk keputusan PRU itu tidak pernah kita muktamadkan apa-apa,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud usaha menjalin kerjasama dengan UMNO ketika negara menuju PRU15, dengan beberapa pertemuan diadakan bersama pemimpin parti itu yang menampakkan hasil “positif”.

Dalam siri temu bual dengan Utusan Malaysia, ketua pembangkang berkata pertemuan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.

Anwar berpuas hati dengan hasil perbincangan itu, namun menegaskan sebarang kerjasama dengan UMNO bergantung kepada kesanggupan parti Melayu itu untuk menjalin kerjasama berteraskan “idealisme”. #sumber

Covid-19: Sebanyak 1,213 Kes Positif Baharu Dengan Tiga Kematian Di Rekodkan Hari Ini !

 

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,213 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 328,466 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak enam kes import manakala 1,207 kes lagi melibatkan penularan tempatan.

Menurutnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula merekodkan sebanyak 14,782 kes.

“Terdapat tiga lagi kematian baharu direkodkan menjadikan sebanyak 1,223 kes kematian Covid-19 di negara ini sehingga kini.

“Kes sembuh pula mencatatkan 1,503 kes dan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 312,461 kes,” katanya menerusi ciapan Twitter di sini hari ini.

Ujarnya, terdapat 155 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan sebanyak 54 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. #sumber

Pelancaran Tema Baru `This Is Pahang' Bakal Rancakkan Sektor Pelancongan Di Negeri Ini !

 

KUANTAN - Pelancaran tema baharu pelancongan Pahang, 'This Is Pahang' diyakini berupaya merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri itu yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tema baharu itu juga akan membantu mempromosikan produk pelancongan baharu dan sedia ada yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, `This Is Pahang' adalah satu permulaan dan seterusnya banyak lagi promosi produk pelancongan akan dilakukan selepas penularan COVID-19 berjaya diputuskan sepenuhnya.

"Kejatuhan drastik sektor pelancongan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah kepada industri pelancongan di seluruh dunia.

"Oleh itu, pemilihan tema baharu `This Is Pahang' bagi menggantikan 'Pahang Simply Awesome' yang digunakan sejak 2019 sebagai suntikan semangat kepada pengusaha pelancongan untuk bangkit kembali," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan tema baharu pelancongan Pahang, 'This Is Pahang' di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Naib Canselor UCYP, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Berdasarkan statistik seramai 7.43 juta pelancong berkunjung ke Pahang tahun lalu berbanding 13.99 juta pelancong pada 2019.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan 46.87 peratus dan tema baharu itu diharap membantu meningkatkan kembali kedatangan pelancong.

"Sebagai contoh, antara produk pelancongan baharu di Kuantan ialah Menara Kuantan 188 dan Kuantan Art Street," katanya. #sumber

Kelibat "Runner" Di Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan Kecoh Gara-Gara Di Dakwa Potong Q !


KUANTAN - Gara-gara isu "potong Q" dan "runner"  di Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan, berbagai-bagai komen dan kritikan telah dibuat oleh netizen.

Dilaporkan, isu itu timbul apabila seorang pelanggan yang berurusan di pejabat terbabit membuat hantaran luahan kekecewaannya di group Facebook Warga Kuantan Official (#WKOF).

"Selesai urusan di Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan. Urusan sikit aje, tapi hampir dua jam menunggu akibat ada segelintir manusia yang potong giliran.  Mereka menjadi runner untuk membayar cukai dan urusan lain, yang mungkin agak kenal dengan petugas di kaunter. Sebab mereka terus ke kaunter tanpa ambil nombor giliran. Harap Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan melakukan sesuatu, atau sediakan kaunter khas kepada mereka. Kami orang ramai pun ada hak untuk urusan," kata posting pelanggan yang kecewa terbabit.

Beliau turut menyertakan sekeping gambar yang dirakamkan ketika situasi tersebut berlaku. 


Posting itu mendapat komen hangat dari kalangan netizen yang turut kecewa dengan apa yang  berlaku. 

Komentar panas beliau itu kemudian dijawab oleh netizen yang menggunakan nama Setulus Ikhlas. Beliau menggesa posting itu dipadamkan kerana ia cukup mengelirukan orang ramai. 

"Kepada yg berkenaan, memang kami runner lawyer ada special kaunter dan terikat dengan temujanji sebab tu kami bebas keluar masuk ke kaunter tak seperti orang awam, mereka terikat ngan satu kaunter, tu yg membuat orang awam lambat dilayan, harap yg menviralkan dalam warga kuantan harap faham jgn suka menviral lepas tu padam post yg di buat. Cuba bersikap gentleman," kata Setulus Ikhlas. 

Beliau turut membuat hantaran berkenaan di group facebook Warga Kuantan Official (#WKOF). 


Setulus Ikhlas turut melampirkan keratan print shot posting yang dibuat sebelum ini. Berbagai komen panas tentang isu" runner" dibalas oleh netizen lain. Ada yang setuju dengan pengadu dan ada yang menyokong wujudnya "runner" di jabatan kerajaan. 

"nak cepat bangun awal kul 6 pagi kalau ada urusan2 di pjabat kerajaan.. mmg akan full hari org ramai.. ni kul 9 kul 10 baru nak g mmg lambat lah.. runner tu di bayar... nak laju pakai runner.. simple. contoh. nak line internet laju beli yg mahal. kalau x nk laju beli yg paling murah. so tunggu lah loading kejap.. simple.. lain kali ada urusan di mana pjabat kerajaan. bangun awal. kul 6 dah gerak. sebb mana2 pjbat kerajaan org akan ramai dah staby tunggu.. kalau ada duit lebih upah runner settel. ni tau komplem org cari rezeki. runner tu dah wujud dah zaman p ramli. kena tunggu sikit dah meroyan.. dkat kl ni bersepah runner.. tapi diorg fahm apa tu keje runner. urgent.. xbusuk ati sikit2 nk komplem.. x ada runner ni. yg susah korang jugak nanti.. percaya lah," kata ReZz ReZza. 


" haha..nk tny ap beza yg ko gelar kan dri kau sbg "runner" dan "org awam"? ko byr cukai lebih ke smpai org lain kne tggu ko settle keje ko dlu?? klu ko terikat dgn lawyer hartanah..suruh la peguam ko buat kaunter lain bro...jgn ko susahkn tugasan org lain plak disebab kan ko nk siap kan kerja ko..ko igt org lain xde kerja lain ke nk uruskan lepas tu??ko dibayar ke..ko kne bayar ke..ko membayar kan...ikot SOP la brder..no giliran ade ..amik no..tggu turn...xde spesial kes klu hal2 melibat kan org ramai kecuali kes melibatkan nyawa org!!!!!pikir sikit susah org lain...jgn ko pikir nk senang kan kerja kau je..same2 byr cukai...bukan ko anak raja pn nk didahulukan..darah sama merah..ko ada hal ko..org lain pn ad hal org lain...nk cepat suruh pejabat tanah amik lagi pekerje bukak 10 lgi konter kat setiap pejabat tanah yg ade...xkire la pejabat tanah ke..pejabat jkr ke..pejabat2 yg melibat kan customer servis ni...perlu peka dgn org rmai...profesional la skit...tgk keadaan...klu org rmai dtg time tu..bukak la konter bnyk skit...bg memudahkan urusan org rmai..bukan bukak satu konter utk 100 org yg dtg mase tu....!!!sekian," kata Ku Saiful. 


Sementera itu netizen yang menggunakan nama Chah Storenfriede pula menghantar beberapa keping gambar yang menunjukkan memang ada kaunter berbeza untuk orang awam / pertanyaan dan kaunter peguam / juruukur. Ia bagi mengesahkan, memang kaunter berbeza-beza di pejabat terbabit. 


Sementara itu bagi Andika Adiwarna pula menggesa semua pihak diberi layanan sama tidak kira siapa mereka. 

"Pastikan semua yang menggunakan khidmat kaunter sila ambil no giliran. Biar sama sama menunggu. Baru adil... Ka runner ke kau ada pangkat ke sila ambil no giliran. Haaa gitu 😂," kata beliau. 


Bagi Aliff Jusoh pula berkata sepatutnya ada pengenalan khas untuk mereka yang menjadi "runner". 


"Lain kali yg " runner" tampal kt dahi bru sng org knl, 🙄, " dakwa beliau. 

Banyak lagi komen netizen terhadap isu ini sebenarnya. Rata-rata tidak bersetuju jabatan kerajaan membezakan urusan orang awam dengan" runner" pejabat peguam dan juruukur. Bagi mereka, layanan perlulah sama rata dan adil. 


Apa pun, kita tunggu makluman rasmi daripada pihak terbabit. Apakah amalan ini wajar diteruskan atau perlu dibuat perubahan. Jika tidak, naya kepada orang awam yang mahu buat urusan sekadar 3-5 minit, namun terpaksa tunggu berjam-jam sebelum dipanggil. 

Kami akan cuba mendapatkan maklumat daripada pihak berkenaan tentang isu ini. 


Hakim Tarik Diri, Permohonan Rayuan Anwar Untuk Batal Sabitan Jenayahnya Di Tangguh !

 

PUTRAJAYA - Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung pertikaian melibatkan keputusan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan sabitan jenayahnya, ditangguhkan selepas seorang daripada tiga hakim bersidang menarik diri daripada kes itu.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang mempengerusikan panel tiga hakim, menarik diri daripada kes itu kerana pernah menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Anwar dan keluarganya ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Permohonan pada 2016 itu berkaitan dengan keputusan Lembaga Pengampunan tidak memberikan pengampunan kepada Anwar berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

“Isu sama akan dibangkitkan dalam rayuan ini jadi demi keadilan saya tidak akan mendengarnya,” katanya.

Turut bersidang, S Nantha Balan dan Leng Heng Cheong.

Anwar dan keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 2015, dan pada tahun berikutnya Nor Bee memutuskan kuasa pengampunan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Permohonan supaya Nor Bee menarik diri daripada kes itu susulan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili responden Mohd Khairul Azam Abdul Aziz membawa isu itu ke perhatian mahkamah.

Mahkamah akan menetapkan tarikh prosiding baharu kelak.

Pada September lalu, hakim Akhtar Tahir menolak permohonan kerajaan dan Anwar untuk membatalkan saman difailkan terhadap mereka oleh Khairul, yang juga seorang peguam.

Khairul memohon deklarasi bahawa pengampunan yang diberikan kepada ketua pembangkang pada 2018 itu bercanggah dengan undang-undang kerana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tidak ditubuhkan secara sah ketika itu.

Khairul mendakwa komposisi Lembaga Pengampunan tidak mematuhi Perkara 42 (5) untuk menasihati Agong mengampunkan Anwar.

Katanya perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada 11 Mei 2018, iaitu dua hari selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya, bahawa Agong telah memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

Khairul berkata ini sebelum Kabinet dibentuk seterusnya melanggar Perkara 42 (4) dan (5) Perlembagaan.

Katanya, lembaga itu juga tidak wujud secara rasmi pada masa itu kerana seorang ahlinya – peguam negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali – sedang menjalani “garden leave” manakala menteri wilayah persekutuan belum dilantik.

Katanya, Apandi juga tidak meminta peguam cara persekutuan mewakilinya dalam pertemuan itu.

Perkara 42 (5) menyatakan, keahlian Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi peguam negara, menteri dan sekurang-kurangnya tiga yang lain untuk menasihati Agong.

Anwar memberitahu sidang media pada 16 Mei 2018 bahawa Agong telah memberikannya pengampunan penuh bagi tiga sabitannya – iaitu satu melibatkan salah guna kuasa dan dua berhubung tuduhan liwat – atas alasan berlaku “kesilapan mahkamah”.

Katanya, pengampunan itu juga berdasarkan alasan wujud konspirasi untuk memfitnahnya dan membunuh kerjaya politiknya. #sumber

Jururawat Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung, Selepas Menerima Suntikan Vaksin

 

SUNGAI PETANI - Seorang jururawat Hospital Pulau Pinang meninggal dunia akibat serangan jantung di bilik tidur rumahnya di Bandar Sri Astana, di sini semalam.

Mangsa berusia 45 tahun yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh suaminya kira-kira pukul 2 pagi.

Jururawat itu juga dimaklumkan oleh suaminya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Pulau Pinang pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang penolong pegawai perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira pukul 2.45 pagi semalam.

Kata beliau, hasil temu bual dengan suami mangsa, wanita terbabit dikatakan mengadu sakit di seluruh badan sebelum masuk bilik untuk berehat pada pukul 11.30 malam, Selasa lalu.

“Lelaki itu kemudian masuk ke bilik untuk tidur kira-kira pukul 2 pagi dan cuba mengejutkan isterinya, namun tiada tindak balas.

“Pemeriksaan pada nadi si mati juga didapati tiada denyutan menyebabkan lelaki terbabit terus menghubungi HSAH sebelum wanita itu disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Adzli, siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat.

“Pejabat Kesihatan Daerah juga telah datang untuk membuat sanitasi di tempat kejadian,” ujarnya.

Katanya, suami mangsa juga ada memaklumkan isterinya menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja pada 12 Mac lalu.

Tambahnya, punca kematian mangsa yang telah berkhidmat sebagai jururawat selama hampir 20 tahun itu adalah akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. #sumber

Nak Melabur Tapi Takut Kena SCAM? Jom B4U

Banyak berlaku atau anda sendiri pernah melalui perkara seperti ini.. Company tutup, company ubah plan, company tak bayar, modal anda hangus?? Sebenarnya ada yang anda tak tau..

Paksu jelaskan kepada anda..

PELUANG UNTUK KITA SEMUA JANA PENDAPATAN PASIF SETIAP HARI TANPA PERLU MENAJA SESIAPA!!!

Alhamdulillah.. Izinkan Paksu memperkenalkan kpd ANDA satu platform yang tak pernah mengecewakan para pesertanya sejak 2017 lagi!! Berakhir semalam 28 Feb 2021, B4U sekali lagi mencatatkan kegemilangan dengan Total Dividen Harian Yang Dibayar Kepada Semua Peserta Untuk Bulan Feb 2021 Sebanyak 7.67%.

Syukur Alhamdulillah.. Bermula 1 January 2021 yang lalu telah masuk tahun yg ke-5 B4U beroperasi dan terus berkongsi keuntungan dengan semua pesertanya tanpa pernah gagal. B4U terus cemerlang bergerak dengan pelbagai bidang portfolio perniagaannya di serata dunia untuk terus memberikan semua peserta PELUANG MENJANA PENDAPATAN PASIF SETIAP HARI ISNIN HINGGA JUMAAT TANPA PERLU MENAJA SESIAPA!!!

Sejarah dari track rekod lalu telah membuktikan kejayaan dan kegemilangan syarikat B4U ini dengan JUMLAH BAYARAN DIVIDEN TAHUNAN kepada semua para pesertanya sejak ianya ditubuhkan sprt yang dibawah..

✅  Tahun 2020 - 87.06%
✅  Tahun 2019 - 92.24%
✅  Tahun 2018 - 108.81%
✅  Tahun 2017 - 58.02%

B4U memberi peluang kepada semua menjana pendapatan pasif setiap hari menerusi program Smart Saving Plannya. Kita boleh menyimpan atau deposit seberapa yg kita mahu bermula serendah USD50 atau RM250 sahaja untuk mula menjana pendapatan pasif setiap hari dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu. Simpanan atau deposit anda ini boleh dikeluarkan semula bila-bila masa selepas tempoh 6 bulan tanpa sebarang penalti dikenakan.

Kita tak perlu mahir menjalankan bisnes dan trading untuk menjana keuntungan. Cukup sekadar kita membuka akaun di B4U, berkongsi modal dengan syarikat untuk kita sama-sama beroleh dividen setiap hari hasil dari keuntungan bisnes dan trading yang dijalankan syarikat!

Syarikat yang bermula di Malaysia sejak 2017 ini, kini telah di daftarkan dan sah di 15 buah negara di dunia dan mempunyai puluhan rangkaian perniagaan di hampir 30 buah negara! Ratusan ribu peserta di seluruh dunia mendapat manfaat dari perkongsian keuntungan (profit) yang diberikan syarikat!

Hanya semudah itu sahaja!!. Usah bimbang, B4U syarikat yang kekal cemerlang sejak Sept 2017 telah terbukti BELUM PERNAH GAGAL membayar dividen sehingga ke hari ini. Alhamdulillah!! (Rujuk jadual sejarah bayaran dividen oleh B4U dibawah)

Rugi jika anda lambat merebut peluang keemasan ini. Jom kita bermula hari ini juga! Walau serendah USD50 atau RM250 dahulu.
Nnt ada rezeki boleh tambah lagi. Biar sedikit-sedikit, lama-lama akan jadi bukit!!

Deposit hari ini, sesudah approve, esok harinya dah mula terima pendapatan pasif dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu. SECEPAT DAN SEMUDAH ITU SAHAJA!!

JANA PENDAPATAN TANPA STRESS!

Di B4U anda mampu menjana pendapatan pasif setiap hari tanpa perlu menaja sesiapa! Jika anda masih mahu menaja juga? Boleh... Anda akan menerima pula bonus2 lain dlm kategori PENDAPATAN AKTIF.

INI ADALAH PILIHAN KEPADA YANG BERMINAT MELAKUKANNYA SAHAJA! TAK MINAT TAK APA! PENDAPATAN PASIF ANDA TETAP ADA DARI ISNIN HINGGA JUMAAT!

Ayuh rebut peluang untuk sama-sama kita ubah keadaan ekonomi dan kewangan kita di masa hadapan! JOM BERMULA HARI INI JUGA!

Info lanjut di web Paksu ni ye https://lottepi.com/platform-pelaburan-terbaik-dan-selamat-bersama-b4u-trades-investment/

Untuk tanya lanjut, WhatsApp Paksu di sini :-
https://wasap.my/60127092198/Salam+Paksu,+boleh+beri+info+lanjut+B4U

Terima kasih

Masjid Temerloh Jaya Terima Anugerah Masjid Malaysia 2020 Anjuran Stesen TV Al-Hijrah

TEMERLOH - Kesungguhan pihak berkuasa Masjid Temerloh Jaya yang berusaha mengimarahkan masjid berkenaan dan mereka bentuknya menjadi ala Dataran Madinah menerima pengiktirafan.

Pengerusi masjid, Dr Abdullah Ismail memberitahu, masjid berkenaan menerima anugerah kategori pengimarahan solat melalui Anugerah Masjid Malaysia 2020 anjuran stesen televisyen, Alhijrah yang diumumkan pada 13 Mac lalu, sekali gus meraih wang tunai RM20,000 serta sijil penyertaan.

Abdullah berkata, kejayaan dan komitmen pengurusan memastikan masjid terus diimarahkan dengan usaha terbaru menaik taraf ruang foyer, sekali gus menampung hingga 1,300 daripada 700 jemaah sebelum ini.

Menurutnya, ia antara perubahan besar yang dilakukan oleh pengurusan masjid untuk tahun ini

"Walaupun kami melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana pandemik Covid-19, namun masjid tidak putus menerima kehadiran jemaah.

"Selain itu, kita mengamalkan konsep mesra jemaah iaitu turut menyediakan pelitup muka dan sejadah kepada jemaah kerana tidak mahu menghampakan mereka yang ingin bersolat di masjid tersebut," katanya.

Jelasnya, wang anugerah itu akan digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan jemaah selain mempergiatkan aktiviti dan program.

Masjid tersebut tular dan terkenal di seluruh negara kerana jumlah jemaah khususnya solat Subuh melimpah dan padat selain dikunjungi pelbagai pengurusan masjid dan orang ramai. #sumber

Sekutu Pakatan Harapan (PH) Jangan Gelojoh Desak Anwar Tolak Kerjasama Dengan UMNO !

 

PETALING JAYA - Pemimpin Pemuda PKR menegur sekutu pembangkang, termasuk dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu gelojoh mengkritik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan Umno.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, pemimpin pembangkang, termasuk DAP dan Amanah juga tidak sepatutnya menjadikan alasan “kleptokrat” untuk membantah kerjasama dengan Umno sebaliknya hendaklah melihat agenda lebih besar.

“Bagi saya pembangkang jangan terlalu gelojoh atau kelam kabut dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya.

“Kita bincang soal sekarang, apa yang diperlukan rakyat sekarang. Rakyat memerlukan pelepasan daripada pemerintahan yang sangat bobrok di bawah Perikatan Nasional,” tambah beliau.

Syukri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan pemimpin Amanah, DAP, Muda, Warisan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendesak Anwar supaya menolak sebarang kerjasama dengan “kleptokrat”.

Ini susulan laporan media yang mengaitkan presiden PKR itu dengan usaha menjalin kerjasama dengan UMNO.

Dalam kenyataan bersama Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong; pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman; Baru Bian daripada PSB dan Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman, menggesa Anwar supaya terus mengukuhkan blok besar pembangkang.

Mengulas lanjut, Syukri turut menegur Salahuddin supaya bersikap lebih terbuka untuk berbincang dengan pihak lain sebagaimana Amanah terbuka berunding dengan parti pembangkang “di luar PH”, yang dipercayai merujuk kepada Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Sebagaimana pemimpin Amanah, termasuk Salahuddin, boleh terbuka berbincang dengan blok pembangkang lain (di luar PH), mereka juga harus terbukauntuk berbincang dengan pihak lain.

“Janganlah menutup jalan jika ia boleh memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,”katanya.

Beliau mengakui semua pihak resah dan tidak selesa untuk bekerjasama dengan Umno kerana parti itu mempunyai “sejarah permusuhan” panjang dengan pembangkang dalam politik Malaysia.

“Kita cukup tahu bagaimana sikap Umno dalam politik Malaysia, tapi dalam situasi sekarang, kita tidak boleh terlalu negatif dan kelam kabut dalam menghukum.

“Isu kleptokrat, isu rompakan, isu orang ada kes mahkamah ini semua sedang berjalan, kita harus biarkan mahkamah putuskan.

Beliau berkata, Anwar hanya memberitahu bahawa wujudnya perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin Umno.

“Takkan pemimpin PH tidak percayakan Anwar. Kematangan dan pengalaman beliau dalam meneruskan perbincangan, khususnya dalam meneruskan agenda rakyat.

“Kami percaya Anwar tidak akan sesekali mengadaikan perkara ini (agenda rakyat) “

Katanya, setiap perbincangan bukanlah untuk kepentingan mana-mana parti atau individu.

Syukri berkata, sekiranya bantahan yang dibuat oleh Salahuddin dan Liew terhadap usaha Anwar mewakili parti masing masing, maka ia adalah “sesuatu yang malang” buat PH.

“Kalau ia pandangan (kritikan) individu, maka kita wajar hormati hak masing-masing untuk bercakap, tetapi kalau ia mewakili Amanah dan DAP, maka ia sesuatu yang malang.

“Sepatutnya perkara ini diperhalusi dan diperbincangkan di peringkat PH, bukannya diterjah secara terburu-buru melalui media,” katanya.

Anwar baru-baru ini mengesahkan wujud usaha untuk menjalin kerjasama dengan Umno ketika negara menghampiri pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau dilaporkan berkata, beberapa pertemuan yang diadakan dengan pemimpin parti itu menampakkan “hasil positif”. #sumber

Jabatan Mufti Umum Tambahan Empat Minit Waktu Solat Isyak Di Seluruh Negeri Pahang


KUANTAN - Jabatan Mufti Negeri Pahang baru-baru ini mengumumkan tambahan 4 minit waktu Solat Isyak di seluruh negeri Pahang.

Surat hebahan yang ditandatangi oleh Mufti Pahang, Dato' Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman bertarikh 15 Mac 2021 itu telah diedarkan. 



Melalui surat tersebug dimaklumkan terdapat kesalahan dikesan melibatkan janaan data waktu Solat Isyak sahaja bagi tahun 2021 iaitu melibatkan keseluruhan 6 zon negeri Pahang. Kesalahan ini merupakan kesalahan teknikal yang melibatkan kesalahan meletakkan "default" 17 darjah sudut matahari di bawah ufuk oleh pemproses data solat bagi negeri Pahang.

Oleh itu, mana-mana pihak atau individu yang telah menerima jadual solat sebelum ini, diminta untuk buat penambahan 4 minit ke atas waktu Solat Isyak bagi seluruh negeri Pahang.

Tambahan 4 minit Waktu Solat Isyak Di Seluruh Negeri Pahang

Waktu Tambahan 4 Minit Solat Isyak Di Pahang. 

Sekadar rujukan, ini merupakan waktu solat bagi daerah Temerloh yang dipaparkan melalui aplikasi Muslim Pro yang menunjukkan waktu Solat Isyak masih belum dikemaskini untuk bulan Mac 2021.

Tambahan 4 minit Waktu Solat Isyak Di Seluruh Negeri Pahang. 

Manakala ini merupakan waktu Solat bagi daerah Temerloh terbaru selepas ditambahn 4 minit bagi waktu Solat Isyak sepanjang Mac 2021

Tambahan 4 minit Waktu Solat Isyak Di Seluruh Negeri Pahang

Jadi anda boleh dapatkan waktu solat yang betul selepas kemaskini untuk setiap Zon di negeri Pahang melalui pautan yang dikongsikan dibawah. Ianya merupakan takwim yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Pahang dengan rujukan JAKIM (www.e-solat.gov.my). #sumber

Penduduk Gelisah, Air 'Sungai Lipis' Jadi Punca Minuman Mereka Kini Keruh Macam 'Teh Tarik'

LIPIS - Penduduk di sini hari menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti air Sungai Lipis yang semakin kotor dan tercemar. 

Beberapa keping gambar telah dihantar ke dalam group facebook Komuniti Anak-Anak Lipis semalam. 

"Sungai Lipis Hari ini.apa tindakan pihak berkuasa..Sungai Lipis punca air minuman untuk penduduk sekitar..tolong le pihak yg berkenaan.," kata netizen Nazerinor Sudin yang membuat hantaran itu.

Hantaran tersebut mendapat komen dari kalangan netizen yang juga kecewa dengan situasi tersebut. 

"Kas dgor2 kabo air keroh gini dtg drpd sg kalong semantan..mgkin ade org bt lombong haramjadah kot...cer tag nama2 yb ke..bior deme selesaikan," kata Yazri Yahya. 

"Sg Jelai dulu pernah berlaku air berwarna sebegini akibat dari perlombongan bijih besi. Pencemeran air yg amat teruk.. Jika tak di kawal rasa ikan sg Jelai akan jadi tak sedak. Ikan lawang berleming dgn lendir..," dakwa Saipuddin Zainuddin. 

"Tuanku minta campur tangan supaya dapat selesaikan masalah ini...rosak abis khazanah alam disebabkan segelintir manusia yang mementingkan diri...ampun Tuanku..," kata Aduka Kencana. 

Memandangkan Lipis adalah kawasan parlimen yang mana Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri adalah salah seorang waklil rakyat bagi kerusi DUN Jelai, maka ada netizen yang menggesa beliau turut masuk campur. 


"TAHNIAH YB ADUN DAN AHLI JEMAAH MENTERI BESAR PAHANG,SAYA BANGGA HASIL KERJA KALIAN👎🏻👎🏻👎🏻👎🏻," dakwa Mohamad Saifuddin Saifuddin. 

"Jahanam ekosistem sungai dan air kegunaan penduduk..tolong buka mata la pihak berkuasa..kalau rahyat marhaen cepat je tindakan..kalau tokey besar buat2 tak nampak," kata netizen yang menggunakan nama Midy Midy. 

Apa yang berlaku ini amat mengeceqakan ramai pihak sebenarnya. Apa pun kita nantikan jawapan oleh Kerajaan Negeri Pahang terhadap perkara ini. #sumber




Kanak-Kanak Lelaki Berusia Tiga Tahun Maut Tertinggal Dalam Kereta Pengetua Tadikanya

 

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta selama kira-kira empat jam oleh pengetua tadikanya dalam kejadian di Taman Ria di sini semalam.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta Proton Waja oleh pengetua terbabit kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Kanak-kanak itu dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim menggunakan ambulans.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebelum itu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dijemput pengetua, seorang wanita berusia 49 tahun di rumahnya di Taman Ria untuk ke tadika pada pukul 7.45 pagi.

“Mangsa kemudian duduk di tempat duduk belakang bahagian kiri yang mana sebelum itu, pengetua terbabit telah mengambil seorang pelajar lain berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.

“Sampai sahaja di hadapan tadika, seorang guru telah mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika sementara pengetua pula terus meletakkan kereta di tepi luar tadika dengan enjin dimatikan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan dari pukul 8 pagi hingga 12.15 tengah hari sebelum pengetua menyedari kejadian ketika mahu menghantar mangsa semula ke rumahnya.

“Wanita berkenaan terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan tadika dan dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” tambahnya. #sumber

Harga Minyak Sawit Mentah Pada 12 Mac Lalu Adalah Yang Tertinggi Sejak 13 Tahun Lalu !

 

KUALA LUMPUR - Harga minyak sawit mentah (MSM) pada 12 Mac lalu pada paras RM4,193 permetrik tan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali.

Menurutnya, ia adalah harga tertinggi sejak 13 tahun iaitu pada Mac 2008 lalu.

Kesannya, kata beliau harga buah tandan segar (BTS) di Semenanjung melepasi paras RM900 satu tan sedangkan setahun dahulu hanya sekitar RM300 sahaja.

Susulan itu, kata beliau nanti akan ada yang nakal mengulas ‘buah mengurang YB walaupun harga tinggi’.

Advertisement

“Saya katakan, inilah tanda kekufuran dan keingkaran nikmat Tuhan.

“Bagaimana jika buah mengurang dan harga pula rendah? Ungkapan mereka yang bersyukur ialah: ‘alhamdulillah harga tinggi walaupun buah berkurang’,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, akan ada pula yang mengulas, ‘buat apa harga naik kerana harga minyak masak pun naik di pasaran tempatan’.

Beliau menjelaskan, purata sebanyak 19 juta tan setahun minyak dipasarkan di pasaran antarabangsa yang memberi untung kepada hampir 500,000 keluarga pekebun kecil atau lebih tiga juta rakyat Malaysia.

Menurutnya, hanya satu juta tan untuk kegunaan dalam negara.

Jelas beliau lagi, sebanyak 700,000 tan atau 700 juta pek pula dijual dengan harga subsidi oleh kerajaan menerusi pek satu kilogram dengan RM2.50 dan hanya 300 tan untuk minyak pek dua kilogram dan lima kilogram.

“Bersyukurlah, pasti nikmat ditambah oleh Allah, sememangnya ‘Sawit Anugerah Tuhan’,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.  #aumber

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang Nafi Dakwaan Anggota Bomba Maut Akibat Vaksin

 

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan dakwaan berhubung kematian seorang anggota bomba akibat vaksin Covid-19 di negeri ini seperti yang tular di laman sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kematian pegawai berkenaan kerana serangan jantung dan bukan kesan suntikan vaksin yang diterima pada Jumaat lalu, empat hari sebelum kematiannya.

Menurutnya, pegawai berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

"Allahyarham pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan telah disaran oleh pakar untuk menjalani pembedahan.

"Pada Ahad lalu, dia telah menerima rawatan di Hospital Raub setelah mengalami gejala serangan jantung," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Dr Bahari berkata, Allahyarham menerima rawatan sewajarnya menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dirujuk ke Hospital Lipis dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Bagaimanapun keadaannya semakin tenat dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Selasa.

"JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan isu yang tular itu diberi perhatian serius dengan siasatan segera telah dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menularkan maklumat tidak tepat bagi mengelak salah tanggapan orang ramai terhadap vaksin Covid-19. #sumber

Lee Tuck: Pemain Sri Pahang FC Sedia Ikut Acuan Dollah Selepas 'Doolley' Di Rehatkan



KUANTAN - Pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck, enggan campur tangan dengan keputusan pihak pengurusan merehatkan jurulatih, Thomas Dooley, sebaliknya hanya fokus tugas sebagai pemain.

Ia penting bagi dia memastikan skuad Tok Gajah kembali bangkit di bawah bimbingan Dollah Salleh.

"Beliau cukup masak dengan bola sepak Malaysia, pemain Pahang.

"Semua pemain mendengar arahannya dan sedia memberi komitmen terhadap falsafah baru (taktikal Dollah)," katanya ketika diwawancara maya wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sri Pahang membuat keputusan mengejut apabila merehatkan Dooley bersama penolong jurulatih, Christopher Gamel, yang baru mengharungi dua perlawanan Liga Super musim ini. 

Ia gara-gara pasukan Pantai Timur itu mengalami dua kekalahan berturut-turut dan kelibat bekas jurulatih Filipina itu tidak kelihatan ketika aksi menentang Melaka United di tempat lawan, kelmarin. 

Dia berdepan situasi berbeza berbanding sebelum ini apabila mengharungi musim cemerlang bersama Terengganu FC hingga kelibatnya sentiasa digeruni lawan.

"Kami tidak panik. (Prestasi kami) memang ada pasang surutnya tetapi akan berikrar untuk bangkit. 

"Saya yakin dengan diri sendiri dan perlu positif. 

"Kami berdepan kesukaran tetapi semuanya mampu diatasi sepanjang musim ini." #sumber

Pegawai Imigresen Di Penjara 10 Hari, Denda RM10,000 Terima Rasuah Lepas Warga Asing

 

SEREMBAN - Seorang pegawai imigresen dipenjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menerima rasuah bagi melepaskan warga asing dua tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah memerintahkan Mohamad Jeffry Mohd Zain, 31, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tambahan penjara 12 bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Jeffry yang ketika itu bertugas di Bahagian Kawalan Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, didakwa diberikan wang berjumlah RM3,950 daripada orang tengah yang menguruskan warga asing dari China ke akaun pihak ketiga melalui mesin deposit tunai.

Wang itu bertujuan melepaskan warga asing berkenaan daripada dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad Cawangan Nilai pada 3 Jan 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 25 (1) dan 25 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak dua kereta dan dua motosikal, selain wang tunai berjumlah RM449,658.41 milik Jeffry.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Jeffry yang ditugaskan memeriksa penumpang melalui kaunter Imigresen klia2, dikatakan menerima RM250 hingga RM600 bagi setiap warga asing bermasalah yang dilepaskan dan seramai 500 warga China dilepaskan tertuduh sejak 2016 hingga November 2019. #sumber

Covid-19: Sebanyak 1,219 Kes Positif Baharu Dengan Dua Kematian Di Rekodkan Hari Ini !

 

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,219 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 327,253 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 499 kes dicatatkan di Selangor diikuti oleh Sarawak sebanyak 225 kes dan Johor sebanyak 169 kes.

“Selain itu, Pulau Pinang melaporkan sebanyak 69 kes, Kuala Lumpur (54 kes), Negeri Sembilan (46 kes), Perak (36 kes), Sabah (31 kes), Kedah (26 kes), Melaka (20 kes), Kelantan (19 kes) dan Terengganu (15 kes),” katanya dalam ciapan Twitter beliau di sini hari ini.

Dalam masa sama, Noor Hisham berkata, Putrajaya mencatatkan sebanyak lima kes baharu hari ini manakala, Pahang merekodkan tiga kes baharu.

Katanya, Labuan dan Perlis pula masing-masing melaporkan satu kes baharu hari ini.  #sumber

Hutan Jelai Buat Masa Ini "Selamat" Daripada Bertukar Menjadi Lombong Nadir Bumi !

 

KUALA LUMPUR - Kehijauan kawasan Hutan Jelai Pahang seluas 924 padang bola buat masa ini selamat daripada bertukar menjadi lombong nadir bumi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam menolak terma rujukan yang dicadangkan oleh syarikat perlombongan untuk penilaian kesan palam sekitar (EIA) terhadap projek tersebut.

Sumber memberitahu Malaysiakini keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pihak berkepentingan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah JAS Norhazni Mat Sari semalam.

"Terma rujukan (TOR) untuk laporan EIA itu tidak diperakui.

"Jadi buat masa ini, ketua projek perlu menyediakan TOR yang lebih wajar," kata sumber itu.

Projek yang dicadangkan diterajui oleh syarikat perlombongan mineral Aras Kuasa Sdn Bhd (AKSB), yang ingin mengekstrak nadir bumi lantanida dari kawasan hutan itu.

Digunakan secara meluas untuk tujuan industri dan saintifik, lanthanida adalah  serupa yang diproses oleh syarikat nadir bumi Australia Lynas Corporation di Malaysia.

Untuk rekod, secara kimianya, lantanida merujuk kepada lima belas unsur logam nadir bumi, yang bermula dengan lantanum yang bernombor atom 57 dan berakhir dengan lutetium yang bernombor atom 71

Menurut ringkasan mesyuarat yang dilihat oleh Malaysiakini, 27 pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan, ahli akademik, perunding pakar dan NGO hadir untuk mempertimbangkan terma rujukan tersebut.

Antara kuncinya bahawa tapak perlombongan yang dicadangkan terletak di dalam Hutan Simpan Kekal, tanpa usaha untuk mengubah statusnya.

Berbeza dengan penjelasan terma rujukan AKSB yang menggambarkan tapak perlombongan sebagai tanah terbiar dan telah dibalak hutannya, Jabatan Perhutanan memberitahu mesyuarat itu bahawa sebanyak 397 hektar dari keluasan 660 hektar belum pernah dibalak lagi.

Kawasan hutan selebihnya seluas 263 hektar juga belum ditebang sepenuhnya dan pembalakan terakhir dilakukan di kawasan itu pada tahun 2008, menurut dokumen ringkasan mesyuarat itu.

Ini diperkukuhkan lagi dengan imej satelit yang menunjukkan kawasan itu masih lagi hutan tebal.

Sementara itu, timbul persoalan mengenai cadangan AKSB untuk melombong bijih nadir dengan kaedah "in-situ leaching".

Ringkasan mesyuarat menyatakan AKSB tidak dapat menjelaskan bahan-bahan lain yang mungkin larut ke dalam tanah semasa proses perlombongan yang boleh menimbulkan risiko kepada kampung Orang Asli berdekatan.

Dua kampung Orang Asli - Kampung Jintir dan Pos Lanai - masing-masing terletak dua dan enam kilometer di sebelah tenggara dari tapak projek yang dicadangkan itu.

Pada September tahun lalu, penduduk kampung Orang Asli Pos Lanai mengemukakan surat bantahan terhadap cadangan projek nadir bumi di Jelai kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Kebimbangan lain yang ditimbulkan termasuk ketidakpastian mengenai kemungkinan pelepasan bahan pencemar ke Sungai Telum, sungai utama yang mengalir melalui kawasan yang dicadangkan, yang juga memiliki beberapa anak sungai.

Dokumen ringkasan mesyuarat itu juga menyatakan cadangan AKSB berdasarkan projek perlombongan di selatan China, yang mungkin tidak sesuai di Malaysia.

Ini pembangunan besar kedua dicadangkan untuk kawasan yang telah menimbulkan kebimbangan terhadap alam sekitar.

Sebelum ini, terdapat rancangan membina empangan berhampiran Pos Lanai tetapi projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019. #sumber

Pemimpin Parti-Parti Pembangkang Desak Anwar Tolak Kerjasama Dengan ‘Kleptokrat’

 

PETALING JAYA - Pemimpin Amanah, DAP, Muda, Warisan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendesak Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat, susulan laporan media mengaitkan presiden PKR itu merangka persefahaman awal bersama segelintir wakil rakyat Umno.

Menerusi kenyataan bersama Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong, Pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman, Baru Bian dari PSB dan Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman, mereka menggesa Anwar terus mengukuhkan blok besar pembangkang.

“Kami menyeru Anwar mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat. Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini.

“Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan wujud usaha di peringkat awal untuk menjalin kerjasama dengan UMNO ketika negara menuju PRU15, dengan beberapa pertemuan diadakan dengan pemimpin parti itu yang menampakkan hasil “positif”.

Dalam siri temubual dengan Utusan Malaysia, ketua pembangkang berkata pertemuan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.

Menurut mereka, selain berdepan dengan kegagalan pentadbiran, Malaysia turut berhadapan dengan kecelaruan dan pengurusan ekonomi ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang berpanjangan.

“Blok pembangkang perlu kukuhkan kerjasama dan kesepakatan sesama parti dan Ahli Parlimen bagi membawa satu agenda bersama untuk memulihkan Malaysia. Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai, ekonomi, kesihatan dan politik, kepimpinan Perikatan Nasional tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan jelas,” katanya.

Tegas mereka, kelompongan yang ada ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat.

“Tatkala, PN gagal menzahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri tauladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan,” katanya. #sumber

Kerap Di Tegur Main Permainan Video Punca Remaja Cuba Terjun Jejambat Di Lebuhraya !

 

KUANTAN - Sering ditegur kerana kerap bermain permainan video di telefon bimbit dikatakan menjadi punca seorang remaja perempuan cuba terjun dari jejambat di kilometer (KM) 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, Bentong, kira-kira 215 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata remaja berusia 16 tahun yang sedang menjalani rawatan bagi kemurungan itu juga difahamkan tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya merampas telefon bimbit miliknya.

Menurut Zaiham, polis menerima panggilan daripada orang awam yang melihat remaja itu meniti jejambat tersebut sekitar jam 2.15 petang dan pasukan polis yang dikejarkan ke situ melihat dia berada dalam keadaan tidak stabil.

“Polis cuba memujuk remaja itu untuk turun namun tidak dihiraukan, dan sebaik sahaja berpeluang, Ketua Balai Balai Bukit Tinggi, Maznan Omar menarik remaja tersebut dari belakang sebelum anggota lain membantu memegang mangsa bagi menyelamatkannya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan lanjut. #sumber

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]