Pages

KKM Harap Ahli Parlimen Membuat Keputusan Bijaksana Pada "Pengundian" Belanjawan 2021

 


PUTRAJAYA  -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Ahli-ahli Parlimen yang dijangka mengundi bagi kelulusan Belanjawan 2021 hari ini akan melakukannya dengan baik dan penuh kebijaksanaan bagi kebaikan rakyat dan negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

"Di kala negara sedang melalui pandemik COVID-19, KKM yakin mereka faham dengan situasi semasa iaitu pandemik ini dan situasi kewangan negara dan berharap Ahli-ahli Parlimen akan mengundi dengan bijaksana," katanya pada sidang media situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan mengenai harapan KKM dalam pengundian  bagi kelulusan Belanjawan 2021 yang dijangka diadakan di Parlimen hari ini.

Berkenaan Kluster Teratai, beliau berkata KKM tidak menemui sebarang jangkitan dalam komuniti dan jangkitan setakat ini dikesan dalam kalangan pekerja dan kontak rapat mereka.

“Sebagai contoh 164 pekerja Malaysia yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka pulang dan menjangkiti kira-kira 70 individu daripada anggota keluarga tetapi di luar kluster kami belum melihat sebarang jangkitan dalam kalangan komuniti,” katanya.

Katanya kilang tersebut mempunyai pekerja seramai 11,215 orang dan sehingga hari ini sebanyak 6,506 saringan telah dilakukan dengan 4,063 daripadanya mendapat keputusan positif,  2,270 adalah negatif dan 173 lagi masih menunggu keputusan.

"Pada Khamis ini  cukup 14 hari tempoh kita kuarantinkan mereka dan hari ke-13 kita akan menjalankan saringan kali kedua. Kalau ujian negatif baru kita lepaskan mereka," katanya.

Katanya semalam, KKM mengeluarkan arahan penutupan 20 kilang syarikat terbabit dan lapan lagi kilang akan ditutup secara berperingkat.

"Walaupun kilang telah ditutup, jentera di kilang perlu terus beroperasi untuk mengelak kerosakan jika diberhentikan. Jadi kita membenarkan jentera itu beroperasi tetapi dengan kadar yang minimum," katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]