Pages

Status 'Quo' Parlimen Indera Mahkota, Jangan Sampai Menang Sorak Tapi Kampung Tergadai

KUANTAN - Belum pernah dalam sejarah di Parlimen Indera Mahkota, mendapat seorang wakil rakyat yang bertaraf "menteri penuh". Parlimen yang wujud selepas persempadanan semula kerusi Parlimen Kuantan pada 2004 itu kini diwakili oleh Datuk Saifuddin Abddullah, Menteri Komunikasi Dan Multimedia.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyatakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini. Beliau yang juga merupakan seorang blogger sejak 1998 berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-11 tahun 2004 kerusi parlimen ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), menerusi calon mereka Datuk Wan Adnan Wan Mamat. 

Katanya, Wan Adnan menang dengan majoriti 14,229 undi menewaskan calon Keadilan, Allahyarham Dzulkifly Ismail. Wan Adnan mendapat 25,177 undi dan calon Keadilan 10,948 undi sahaja.

Namun dakwanya, bermula pada Pilihan Raya Umum Ke-12  pada 2008 kerusi parlimen ini telah dirampas oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui calon mereka Azan Ismail. Azan menang dengan majoriti 1,027 undi menewaskan calon BN, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman. 

"Azan mendapat 19,823 undi, sementara Salamon pula 18,796 undi. Siapa sangka dengan kekuatan jentera BN yang ketika itu masih menjadi kerajaan, tiba-tiba kerusi parlimen Indera Mahkota yang mereka menang bergaya pada PRU-11 itu boleh tumbang pada PRU-12," kata Shukri.

Sementara itu katanya lagi, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun 2013, PKR mempertaruhkan Datuk Fauzi Abd Rahman iaitu bekas Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Kuantan pula bertanding di kerusi itu menggantikan Azan yang berhijrah ke Terengganu.

"Fauzi berjaya mendapat 30,584 undi menewaskan anak didiknya semasa dalam UMNO iaitu Datuk Wan Adnan Wan Mamat dengan majoriti 7,523 undi. Adnan mendapat 23,061 undi dan seorang lagi calon bebas, G.Ponusamy hanya mendapat 193 undi.

"Dengan kekuatan jentera BN sebagai kerajaan di peringkat negeri dan negara, mereka kalah dan gagal merampas kerusi tersebut selama dua penggal (Pilihan Raya Umum Ke-12  dan Pilihan Raya Umum Ke-13).

"Pertembungan sengit mula berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila dua calon PRU-13 bagi kerusi Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah (BN) dan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (PAS) bertembung pula di kerusi Parlimen Indera Mahkota," tambahnya lagi. 

Shukri juga mendakwa bezanya ketika itu, Saifuddin bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini. Semasa pertembungan di Temerloh, Nasruddin menang dalam pertembungan satu lawan satu dengan Saifuddin. 

Beliau menang dengan majoriti 1,070, apabila mendapat 28,267 undi sementara Saifuddin 27,197 undi. Memang panas ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana dua calon itu bertanding di Indera Mahkota. Cuma bezanya, Saifuddin sudah bertukar kapal PKR bersama Pakatan Harapan (PH).

"Saifuddin mendapat tentangan sengit juga daripada seorang lagi calon lain dari BN iaiti Datuk Dr Johan Mat Shah. Kekuatan seimbang dan umum menjangkakan BN akan menang selesa sebab undi lawan berpecah dua kepada PAS dan PKR. 

"Ikut logik akal, memang BN boleh menang sebab calon mereka ialah seorang yang berwibawa iaitu 'doktor'. Ramai yang kenal Dr Johan kerana sering terlibat dengan berbagai aktiviti khidmat masyarakat di sekitar kawasan Parlimen Indera Mahkota khasnya dan Kuantan amnya sejak sekian lama.

"Namun, pada persaingan itu Saifuddin menang selesa dengan majoriti 10,970 undi. Beliau mendapat 28,578 undi, manakala Dr Johan (BN) 17,628 dan Ustaz Nasruddin (PAS) mendapat 17,515 undi," dakwa beliau.

Shukri yang pernah bertanding bebas di DUN Semambu, dalam kawasan parlimen Indera Mahkota itu pada PRU-13 lalu turut menegaskan selama tiga penggal dengan kekuatan jentera parti seperti yang didakwa penyokong UMNO BM, mereka gagal merampas kerusi parlimen Indera Mahkota. Maka, atas alasan apa dengan 'ayat yang sama.. jentera kuat, akar umbi hebat,  cawangan parti di sana sini', mereka cuba untuk buat provokasi di nedia sosial untuk menafikan hak Datuk Saifuddin Abdullah kekal bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini?.

"Jika dilihat sembang 'kedai kopi', memang benar undi BN  dicampur dengan undi PAS, boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15. Sebab mereka ada 35,143 undi iaitu majoriti 6,565 undi. Maknanya Saifuddin akan kalah. Tambahan pula, kini beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada penyokong Parti Kedilan Rakyat (PKR) atau Pakatan Harapan (PH).

"Mutakhir ini, serangan bertalu-talu dibuat oleh 'Cybertrooper' untuk menghalang Saifuddin bertanding di Parlimen Indera Mahkota. Kononnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak kuat dan tidak mempunyai jentera pilihanraya untuk menang di situ. Atas alasan parti mereka lebih berpengaruh dan kuat dari segi jentera akar umbi. Makanya kerusi Indera Mahkota perlu diserahkan kepada mereka kerana ia kerusi tradisi, tanpa mengikut 'status quo'.

"Mereka ini menolak kerjasama Perikatan Nasional (PN) yang memberi kerusi tersebut kepada BERSATU untuk ditandingi. Malah, Menteri Besar Pahang sendiri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan jelas pada satu kenyataan mendakwa kerusi Indera Mahkota yang diwakili oleh Saifuddin yang kini BERSATU, perlu dikekalkan kepada beliau sebagai tanda muafakat dalam PN," katanya lagi.

Beliau turut hairan, kenapa perlu ada gerakan akar umbi yang didalangi oleh pihak tertentu yang tidak mahu menerima kenyataan ini? Malah ada yang mendakwa, mereka lebih rela pangkah calon bebas dari memberi undi kepada BERSATU, yang kononnya kumpulan pengkhianat. 

"Walhal dengan wujudnya BERSATU yang turut disokong oleh UMNO dan PAS serta lain-lain parti, tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN). Malah, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sendiri turut diperkenankan menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong yang juga merupakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah sendiri. 

"Jika tiada kerajaan PN, sudah pasti UMNO BN masih bergelar 'pembangkang'  sehingga PRU-15 akan datang. Inilah hakikatnya, bukan soal siapa ada majoriti dan jentera kuat atau tidak. Sama-samalah membantu bagi memastikan kerusi parlimen ini kekal kepada Perikatan Nasional (PN), bukannya cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan," kata beliau.

Beliau turut mempersoalkan, kenapa mereka ini cuba bangkit menentang? Atas alasan kononnya BERSATU tiada kekuatan? Mana mereka tahu semua ini? Sedarkah mereka, sudah masuk tiga penggal, dengan kekuatan yang sama mereka gagal merampas semula kerusi parlimen Indera Mahkota daripada pembangkang (Pakatan Harapan)?.

Justeru katanya, dalam situasi kesepakatan antara parti  dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini,  wajarlah ahli-ahli akar umbi akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Usahlah bertelagah sesama sendiri yang akhirnya menyebabkan kerusi itu berjaya dirampas oleh pembangkang. 

"Sedarlah, dengan penyertaan Saifuddin ke dalam BERSATU yang menjadi tunjang kerajaan PN hari ini, maka kerusi parlimen Indera Mahkota ini secara automatik telah berpindah kepada kerajaan, bukan lagi kerusi pembangkang.

"Oleh itu usahlah bermain dengan persepsi dan retorik sendiri untuk membuka ruang kepada musuh menggasak dan merampas semula kerusi ini. Betul, Muafakat Nasional (MN) nampak terlalu kuat. Tapi jangan lupa PAS kini sebahagian daripada kerajaan PN.

"Jangan, dek kerana amarah terhadap senario politik semasa sekarang ini, akhirnya gagal untuk mpertahankan kerusi yang kini juga menjadi milik bersama BERSATU, PAS dan BN (Kerajaan Perikatan Nasional). Maka, buanglah sifat adu domba dan berdengki sesama sendiri. Wujudkan kekuatan, sebab yang akan dapat nikmat ialah rakyat kerana Saifuddin adalah menteri penuh diperingkat pusat," katanya lagi.

Beliau difahamkan berbagai program akan dilaksanakan dibawah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan turun kepada rakyat. Bayangkan, jika terus menyebarkan dakyah kononnya mengakak ahli akar umbi sokong calon bebas lawan Saifuddin atas api kemarahan, akhirnya pembangkang yang menang dan siapa yang akan rugi?.

"Kembalilah kepada kenyataan dan hakikat, bahawa Parlimen Indera Mahkota perlukan pemimpin yang diterima di peringkat negeri dan pusat. Barulah, peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat dengan lebih berkesan lagi.

"Jika terus wujudkan permusuhan maka akhirnya "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" dan "menang sorak kampung tergadai". Apakah ini yang semua pihak mahukan? Maka, fikir-fikirkanlah. Rapatkan ukhwah, eratkan persahabatan demi sebuah perjuangan hakiki," tambah kenyataannya yang dipetik dari laman facebook beliau cmk cucumatkilau #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]