Kongres Nasional Tahunan KeADILan 2008
Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat(KeADILan) akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28-30 November 2008. Kongres KeADILan yang pertama selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu ini akan menyaksikan kehadiran wakil-wakil rakyat yang paling ramai sejak penubuhan parti 10 tahun yang lalu. Kongres Nasional tahun ini telah diberikan tema “Harapan Baru” atas kesedaran ada perlunya untuk mentransformasikan kuasa rakyat yang disaksikan dalam pilihanraya umum lepas kepada kuasa perubahan yang jitu ke arah Malaysia yang adil dan demokrasi. Kongres yang juga pertama kali diadakan sejak Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini bertujuan untuk membuka ruang kepada para perwakilan untuk membahaskan dasar perjuangan parti secara umum, dan polisi pentadbiran negeri Pakatan Rakyat secara khususnya.
Kedua-dua sayap penting parti yakni Angkatan Muda dan Wanita pula akan mengadakan kongres masing-masing secara berasingan pada 28 November. Kongres Nasional kedua-dua sayap ini akan dirasmikan bersama oleh Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali di Stadium Malawati. Selepas perasmian, Angkatan Muda akan terus bersidang di Stadium Malawati, manakala Wanita akan bersidang di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor. Dijangka 10,000 perwakilan, pemerhati, pimpinan komponen parti Pakatan Rakyat, wakil kedutaan dan NGO dari seluruh negara akan hadir ke Kongres Nasional tahun ini yang akan dimeriahkan lagi dengan “Karnival Rakyat”. Orang awam dijemput untuk mengunjungi “Karnival Rakyat” yang terbuka sepanjang kongres bersidang dan mendengar pidato umum pimpinan parti khususnya Anwar Ibrahim pada 29 November di Stadium Melawati.
Karpal Tetap Mahu Nazri Dirujuk Jawatankuasa
PETALING JAYA: Pembangkang tetap mahu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengakui silap ketika menjelaskan isu pemecatan enam hakim dan pembayaran ex-gratia di Dewan Rakyat. Sehubungan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak harus mengambil masa dalam menentukan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada jawatankuasa tersebut. Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, berdasarkan Aturan Mesyuarat Parlimen mana-mana anggota yang mengelirukan Dewan Rakyat harus dianggap sebagai telah menghina Dewan Rakyat dan oleh itu wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. "Oleh kerana Nazri masih tidak mahu mengalah dan degil ekoran kenyataan terbukanya bahawa beliau tidak akan memohon maaf, jadi saya tiada pilihan kecuali menggesa (lagi) supaya beliau dirujuk kepada jawatankuasa itu," kata beliau dalam kenyataanya hari ini. "Mengelirukan Dewan merupakan perkara yang serius," katanya. Kelmarin, Wan Junaidi berkata, keputusan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada Dewan akan diketahui minggu hadapan. Menurut Timbalan Speaker, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyak implikasi.
Pada 6 November, Nazri ketika mengumumkan pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel. Empat hari kemudian Karpal meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar. Malah kelmarin, Nazri menjelaskan, kesemua enam hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988 sebenarnya dipecat dan menerima pencen mereka atas dasar belas kasihan. Nazri berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas menjalankan siasatan sendiri yang mendedahkan mengenai sepucuk surat yang menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (pada masa itu) telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara dengan meminta kesemua mereka dibayar pencen. "Saya baru sahaja mendapat surat itu daripada sekretariat Kabinet minggu ini... ia merupakan surat yang kita semua tidak tahu... sekarang saya tahu. Saya ingin nyatakan saya menyesal dengan kenyataan yang berdasarkan fakta bahawa mereka menerima pencen."
Apabila saya ditanya di Parlimen semasa saya tidak mempunyai fakta sedemikian (sedangkan) saya perlu menjawab segera. "Saya ingin katakan di sini, bahawa pada masa itu saya beranggapan bahawa para hakim berkenaan tidak dipecat kerana mereka telah menerima pencen sejak 20 tahun lalu" katanya. Nazri juga melahirkan kekesalan jika kenyataan yang dibuat di Parlimen menimbulkan salah anggapan sambil berkata beliau tidak berniat berbuat demikian. Karpal berkata, adalah salah bagi Nazri menjelaskan kedudukan yang sebenar di lobi, bukannya dalam Dewan Rakyat. Wan Junaidi harus membuat keputusan Isnin ini, dan saya berharap Nazri akan hadir di Dewan apabila keputusan dibuat," katanya.
[Inilah dia sikap "double standard" parlimen Malaysia. Bila kena kepada pemimpin pembangkang, begitu mudah untuk pihak speaker mengambil tindakan tanpa membuat kajian atai implikasinya terlebih dahulu. Tapi bile terkena atas batang hidung, maka sukar pula mereka untuk melakukan tindakan yang sama. Rakyat harus sedar bahawa pemimpin UMNO dan BN memang pandai menipu di parlimen. Jika dewan yang mulia itu pun mereka berani untuk membuat "cerita" bagaimana pula jika berhadapan dengan rakyat?. Sebelum ini Pak Lah tiupu angka pembelian helikopter, kemudian Najib tipu Saiful tak pernah jumpa dia, kemudian Sabrey Cheek tipu kata minyak tidak boleh turun jika harga pasaran turun dan kini Nazri pula tipu kata hakim tidak dipecat walhal dipecat. Fikirkanlah..].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan