script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Isu "Skandal Tanah LGM": Bekas Pengerusi, Nazlan Idris Dakwa Menteri Campur Tangan !

 

PETALING JAYA - Bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Ahmad Nazlan Idris menafikan dakwaan beliau terlibat dalam skandal tanah membabitkan perbadanan milik LGM iaitu, LGM Properties Corporation (LGMPC).

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi, Lembaga Pengarah LGM mengambil berat isu kegagalan urus tadbir LGMPC iaitu perbadanan milik LGM menyebabkan tiga jawatankuasa ditubuhkan selain tindakan serta langkah penambahbaikan turut dilaksanakan LGM.

“Namun menteri (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali) telah campur tangan dan membiarkan LGMPC (berjalan seperti biasa).

“Dalam isu sewaan tanah sebanyak 70 sen sekaki, LGM hanya bersetuju lima tahun campur 10 tahun namun menteri mahukan 5+10+10 menjadikan 25 tahun. Hasil yang boleh diperoleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion jika diuruskan dengan cara yang lebih baik berbanding hasil awal RM42 juta kepada syarikat milik rakyat Turki,” katanya dalam kenyataan.

Nazlan mengulas dakwaan mengaitkan dirinya dalam skandal itu selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkait tanah dimiliki LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal itu.

Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 sekaki.

Mengulas lanjut, Nazlan berkata tindakan terakhir dilakukannya sebelum kontraknya tamat adalah menulis surat kepada Jabatan Warisan Negara kerana tanah itu adalah tanah warisan.

“Harus saya tekankan segala tuduhan terhadap diri saya (berkaitan skandal) adalah tidak benar dan saya telah cuba bersama dengan ahli lembaga pengarah yang lain menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya bersyukur dengan kerjasama ahli lambaga pengarah yang sangat bertanggungjawab dan saya juga rela disiasat SPRM mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nazlan turut memaklumkan beliau ada menerima surat lantikan daripada Khairuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebagai pengerusi Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang baharu dan menolak tawaran itu.

Khairuddin pada 28 Mei lalu membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan liar mengaitkan beliau dan mendakwa ia berniat jahat yang sengaja dilakukan pihak tertentu untuk merosakkan dan mencalarkan imejnya. #sumber

Share:

Dia Individu Di Kompaun RM1,500 Gara-Gara Rentas Negeri Tanpa Kebenaran Ke P. Tioman !

 

ROMPIN – Tindakan dua individu yang nekad merentas negeri tanpa kebenaran untuk ke Pulau Tioman membawa padah apabila mereka dikenakan kompaun masing-masing RM1,500.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azahari Mukhktar berkata, dalam kejadian pada Rabu lalu lelaki berusia 30 dan wanita berusia 25 tahun itu ditahan ketika sampai di pulau peranginan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan kedua-dua individu berkenaan yang datang dari Kuala Lumpur memberi alasan datang ke pulau berkenaan untuk menghantar barang.

“Berdasarkan kepada pemeriksaan mereka tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri dan dikenakan kompaun serta diarahkan berpatah balik,” katanya selepas melakukan pemantauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 129 Jalan Rompin-Kuantan di sini, hari ini.

Menurut Azahari kedua-dua individu berkenaan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit dan diarahkan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

Katanya, kedua-dua individu yang masuk ke pulau berkenaan melalui Jeti Tanjung Gemok di sini itu kemudiannya diarahkan balik semula.

“Kita akan terus memperketatkan kawalan di SJR dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada individu yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran polis,”katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kawalan sempadan Johor di Tanjung Gemok yang hanya dipisahkan dengan Sungai Endau beliau berkata, pemantauan di lakukan berterusan olah pasukan pemantau yang ditugaskan di situ.

Selain itu katanya, pihak polis marin turut sama melakukan pemantauan di sepanjang sungai bagi memastikan tiada individu cuba merentas negeri dan melanggar peraturan ditetapkan. #sumber

Share:

Jenazah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Telah Pun Selamat Di Kebumikan Petang Tadi !

 

IPOH – Cuaca mendung dan suasana muram mengiringi pengebumian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya di sini petang ini.

Jenazah Allahyarham yang tiba pada pukul 6.05 petang menaiki van jenazah turut diiringi tiga kenderaan petugas Jabatan Kesihatan negeri bersama 10 anggota lengkap mengenakan sut PPE.

Laluan masuk ke kawasan perkuburan dengan kawalan ketat polis menyaksikan hanya beberapa ahli keluarga terdekat Allahyarham yang dibenarkan berada di kawasan perkuburan.

Manakala lebih 30 petugas media pula hanya dibenarkan berada di kawasan perumahan berdekatan pada jarak 20 meter bagi mematuhi SOP penjarakan fizikal dan jenazah selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang.

Terdahulu kenderaan yang membawa jenazah Mufti Perak keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 5.55 petang menuju Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat Ipoh untuk urusan pengkebumian. #sumber

Share:

Pusat Membeli Belah Akan Di Tutup Sepanjang Tempoh Penutupan Sektor Sosial Dan Ekonomi Fasa Pertama "Lockdown" Bermula Selasa Ini !

 

PETALING JAYA – Semua pusat membeli-belah akan ditutup sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama yang akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan tersebut bagaimanapun tidak akan melibatkan beberapa premis yang mempunyai seksyen barangan keperluan harian.

“Hanya premis, pasar raya, pasar raya besar yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, pasar mini dan restoran untuk belian bungkus dan penghantaran ke rumah akan dibenarkan beroperasi.

“Turut dibenarkan beroperasi adalah dobi termasuk dobi layan diri, kedai penjagaan dan makanan haiwan, kedai cermin mata dan barangan optik serta kedai perkakasan (hardware),”katanya pada satu sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini.

Tambah Ismail Sabri, premis yang turut dibenarkan untuk beroperasi adalah bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti serta E-dagang melibatkan semua kategori produk serta pemborongan dan pengedaran melibatkan perkhidmatan perlu sahaja.

“Kesemua sektor perniagaan ini akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh total lockdown dikuatkuasakan dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja,” jelas beliau.

Terdahulu, kerajaan pada 28 Mei lalu mengumumkan total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata, sepanjang total lockdown itu berkuat kuasa, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN. #sumber

Share:

Mufti Perak, Meninggal Dunia Di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Kerana Covid-19 !

 

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada media.

“Betul saya sahkan. Beliau meninggal dunia pada pukul 2.45 petang tadi,” katanya.

Allahyarham yang berusia 82 tahun dan isteri, Puan Seri Ainon Abdul Ghani sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) setelah disahkan positif Covid-19 dan mereka dikatakan dirawat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum itu, tular satu mesej di WhatsApp menyatakan Mufti Perak itu positif Covid-19 sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas, bagaimanapun beliau dilaporkan masih dalam keadaan sedar. #sumber

Share:

Sebuah Lori Treler Tanpa Muatan Terbakar Di Jalan Gambang - Muadzam Shah Malam Tadi !

 

KUANTAN - Satu kebakaran lori treler berlaku di Jalan Gambang - Muadzam Shah dekat sini malam tadi. 

Sepuluh orang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama seorang pegawai, jentera FRT dan sebuah ambulan EMRS berkejar lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam. 

Dilaporkan lori treler tanpa muatan terbakar sebanyak 80 peratus. Walau bagaimana pun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini. 

Pasukan Bomba bertindak memadamkan kebakaran sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Turut berada dilokasi iailah tiga orang pegawai Penyiasatan kebakaran. #sumber

Share:

Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan Maklum Laman Facebook Page Rasmi Yang Baharu


KUANTAN  - Pejabat Agama Islam Daerah (Kuantan) memaklumkan facebook page rasmi baharu jabatan itu, bagi menggantikan akaun lama yang telah dinyahaktifkan. 

Kenyataan telah dimaklumkan dilaman tersebut agar orang ramai terutamanya para pelanggan yang sering berurusan dengan pihak terbabit tidak keliru.  

Menurut kenyataan itu lagi, ia dilakukan  dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dan memudahkan penyampaian maklumat kepada orang ramai. 

"Sehubungan itu pentadbiran ini amat berbesar hati untuk menjemput para pelayar laman sosial facebook untuk like, follow dan share laman rasmi ini. Besarlah harapan kami semoga ia dapat menjadi platform penyampaian maklumat yang berkesan dan dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai orang.

Sukacita dimaklumkan juga, dengan wujudnya laman facebook rasmi ini, laman facebook rasmi sebelum ini dengab secara rasminya juga dinyahaktif dan tidak digunakan lagi.

Justeru kata kenyataan itu, mana-mana laman facebook lain yang menggunakan nama yang serupa atau seumpanya di laman sosial facebook adalah bukan ditadbir oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan. 

"Pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang maklumat yang diambil daripada mana-mana sumber tidak rasmi yang menggunakan nama yang serupa atau seumpanya di laman sosial.

" Bersama ini disertakan pautan ke laman facebook rasmi yang tersebut https://www.facebook.com/Pejabat-Agama-Islam-Daerah-Kuantan-107871744815916/ Segala kerjasama dan sokongan daripada anda semua amatlah kami hargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih", kata kenyataan rasmi bertarikh 28 Mei 2021 yang dipetik dari facebook terbabit. #PahangDaily

Share:

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Tingkatkan Aktiviti Penguatkuasaan SOP Cegah Covid-19


KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melalui Unit Penguatkuasaan akan meningkatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan bilangan kes COVID-19 di Negeri ini. 

Menurut kenyataan rasmi di laman facebook jabatan itu semalam, fokus operasi pada kali ini adalah lebih  kepada premis tempat kerja yang dikenalpasti menjadi salah satu punca jangkitan,  operasi kali ini juga bagi memastikan pihak pekerja dan pengurusan  melaksanakan SOP yang lebih ketat, terutama premis berisiko yang melibatkan urusan pelanggan.


"Unit Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan juga bekerjasama dengan agensi sedia ada taskforce negeri yang diterajui oleh MKN dalam meningkatkan lagi penguatkuasaan kerana trend peningkatan kes COVID-19.

"Walaupun sehingga kini kes Covid-19 terkawal di Negeri Pahang tetapi semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta sudah diarah melaksanakan SOP yang lebih ketat dengan pemantauan perundangan,'  kata kenyataan itu. 


Dilaporkan sebanyak 48 premis jabatan kerajaan, 37 premis pasar, 235 premis makanan, 34 pasar tani, 74 pasaraya dan 95 buah bagi lain-lain premis telah dilawati sepanjang operasi ini dengan pengeluaran kompaun sebanyak 192.


Turut dipaparkan beberapa gambar  sekitar aktiviti penguatkuasaan di daerah Pekan, Kuantan, Temsrloh dan Raub.  


"Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal memakai pelitup muka serta gagal menggunakan aplikasi mySejahtera atau buku daftae," kata kenyataan itu lagi. 
#PahangDaily

Share:

Polis Dakwa Dalam 'Siasatan', Menteri Dakwa Segala Cerita Di Sensasikan Itu Tidak Benar !

  

KUALA LUMPUR - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata segala cerita yang disensasikan kononnya berlaku penahanan di sekatan jalan raya di Perasing termasuk gosip berkaitan hubungan dengan selebriti wanita adalah tidak benar dan berniat buruk untuk merosakkan reputasi beliau.

Sehubungan itu, katanya tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiarkan atau menyebarkan cerita palsu serta tidak benar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menyatakan perkara itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, petang ini.

Sementara itu, polis mengesahkan laporan Mohd Khairuddin diperiksa di sekatan jalan raya Perasing pada 16 Mei lalu.

Menurut laporan media, Ketua Polis Terengganu Roslee Chik, berkata polis kini masih menjalankan siasatan. #sumber

Share:

Sebanyak 9,020 Kes Baharu Covid-19 Di Lapor Hari Ini, Sekaligus Menjadi Angka Paling Tinggi

 

PUTRAJAYA - Sebanyak 9,020 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini sekaligus menjadi yang tertinggi, pernah dilaporkan sejak penularan virus berkenaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes tertinggi dilaporkan di Selangor dengan 2,839 kes diikuti Kelantan (907); Negeri Sembilan (898) dan Kuala Lumpur (789).

Semua negeri mencatatkan pertambahan kes hari ini dan Labuan menunjukkan peningkatan mendadak, iaitu sebanyak 253 kes, berbanding semalam hanya enam kes," katanya dalam Facebook, di sini hari ini. #sumber

Share:

Sah, Pemain Kacukan Malaysia-England Nick Swirad Kini Jadi Milik Skuad Sri Pahang FC !

 


KUANTAN - Pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad sah menyarung jersi Sri Pahang FC apabila menandatangani kontrak bersama pasukan itu, hari ini.

Kehadiran bekas pemain kelab Thailand, Nongbua Pitchaya itu diyakini memperkasakan jentera pertahanan Sri Pahang.

Pengesahan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang selepas Swirad menandatangani kontrak dengan Sri Pahang FC di Kuala Lumpur.

"Kehadiran Swirad amat dinantikan ketika pasukan ini amat memerlukan pemain berpengalaman terutama dalam usaha memantapkan lagi jentera pertahanan.

"Dengan taktikal ketua jurulatih (Dollah Salleh), saya percaya pertahanan Sri Pahang akan lebih mantap.

"Ia termasuk gabungan pemain sedia ada dan empat pemain import baharu untuk meletakkan Sri Pahang pada prestasi terbaik dalam saingan Liga Super," katanya.

Swirad adalah pemain kelima menyertai Sri Pahang pada jendela pindahan pemain yang dibuka pada 3 Mei lalu selepas Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).

Berdasarkan rekod, pemain pertahanan itu pernah beraksi dengan beberapa kelab divisyen bawahan England sebelum berhijrah ke Liga Malaysia (Liga M) apabila menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Dia kemudiannya bermain dengan Melaka United selama dua musim sebelum menyertai PKNS FC pada 2019, disusuli Selangor (2020).

Musim ini, Swirad menyertai Nongbua Pitchaya dan membantu mereka muncul juara Liga Divisyen Dua Thailand seterusnya layak ke divisyen utama musim depan tetapi dia tidak boleh beraksi dalam liga utama itu kerana jumlah beraksi bersama skuad kebangsaan kurang. #sumber

Share:

Covid-19 "Pecah Rekod", Sebanyak 8,290 Kes Positif Baharu Telah Pun Di Catatkan Hari Ini !

 

PUTRAJAYA - Kes jangkitan harian COVID-19 sekali lagi mencatat peningkatan tertinggi dengan 8,290 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,052 kes diikuti Kelantan (851); Kuala Lumpur (830); Johor (762) dan Sarawak (698).

"Semua negeri mencatatkan pertambahan kes hari ini dan kes terendah dilaporkan di Labuan iaitu enam kes," katanya dalam Facebook, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 549,514 kes. #sumber

Share:

Pembangkang Persoal Tindakan MBK Saman Peniaga Lulus Lesen Niaga, Tiada Peruntukan Tangani Covid-19 Daripada Kerajaan Negeri !

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Lee Chean Chung hari ini mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) atas tindakan luar biasa, menyaman peniaga yang diberi kelulusan berniaga oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit semalam. 

"Hari ini saya mendapati bahawa ada satu kes luar biasa iaitu sebuah kedai kek di Jalan Beserah dikenakan saman RM1,500 walaupun telah mendapat kelulusan beoperasi oleh MBK. Kelulusan diberikan oleh MBK, dan saman juga dikeluarkan oleh MBK.Saya harap MBK boleh memberikan penjelasan terhadap kes ini," kata kenyataan di facebook beliau.

Sebelum itu beliau telah membuat satu kenyataan media berkaitan perkara tersebut.

Sementara itu difahamkan kedai terbabit dibenarkan beroperasi semula selepas teguran beliau itu. Kenyataan terbaharu di facebooknya

"Setelah pengesahan diperolehi daripada pihak Majlis, Kedai Kek dan Roti merupakan perkhidmatan perlu dan boleh kembali beroperasi semula.S aman yang diperolehi oleh pengusaha salah sebuah kedai Kek semalam juga akan dimansuhkan oleh pihak Majlis selepas ini", kata kenyataannya. 

Beliau juga turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Pahang untuk mewajibkan pelanggan-pelanggan yang berurusan di pejabat dan kaunter Kerajaan Negeri Pahang perlu mendaftar program vaksinasi dan telah bersetuju atau sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Langkah ini dapat melindungi petugas dan pelanggan lain, di samping menggalakkan pendaftaran vaksinasi di Pahang yang masih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain. Saya turut mencadangkan bahawa lebih kelonggaran perlu diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan JKM, dan kaunter khidmat agensi kebajikan sewajarnya membantu golongan susah ini membuat pendaftaran," katanya.

Namun beliau kesal bahawa Kerajaan Negeri Pahang hanya mengambil langkah separuh masak dalam usaha menangani COVID-19. 

Untuk makluman, wakil-wakil rakyat pembangkang dari sembilan kawasan DUN di Pahang yang mana jumlah penduduknya melebihi 200,000 orang tidak diberikan apa-apa kemudahan dan peruntukan untuk menjalankan tugas masing-masing. 

Sehingga hari ini peruntukan adalah sifar, kemudahan tiada, sehingga sehelai pelitup muka pun tidak diberikan untuk tahun ini. Bagaimanakah kita dapat membanteras COVID-19 bersama-sama sekiranya wakil-wakil rakyat yang dipilih pun tidak dilayan secara adil oleh Kerajaan Negeri Pahang? 

"Memandangkan beberapa daerah di Pahang telah diisytihar zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan menyedari bahawa kes COVID-19 di Pahang makin meningkat, maka saya menggesa Kerajaan Negeri Pahang supaya segera meluluskan peruntukan yang setara, bantuan peralatan/kemudahan yang sepadan serta akses kepada maklumat yang adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik dan kawasan. 

"Janganlah menimbulkan keraguan bahawa kerajaan bersifat memberat sebelah dan masih berpolitik dalam keadaan krisis kesihatan ini. Hanya dengan menyatu-padukan rakyat barulah kita dapat menggemblingkan segala kekuatan untuk membanteras wabak COVID-19,' tambah kenyataan di facebook beliau.

Share:

Siti Nurhaliza, Datuk K Di Kompaun RM10,000 Empat Lagi Pendakwah Di Kompaun RM2,000 !

 

SHAH ALAM - Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikenakan kompaun RM2,000.

Beliau berkata, penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid serta Ustaz Iqbal Zain turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Katanya, tiga anak Khalid iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief Dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

"Berhubung laporan perlanggaran SOP bertarikh 3 Mei lalu, bahagian pendakwaan sudah mengeluarkan arahan untuk kita mengenakan kompaun kepada mereka yang berkenaan, iaitu Datuk Seri Khalid sebanyak RM10,000.

"Datuk Seri Siti Nurhaliza juga sebanyak RM10,000 di atas kegagalan memastikan penjarakan sosial sewaktu bergambar dan sebagainya (ketika majlis berkenaan), " katanya dalam sidand media secara online, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, 15 individu dipanggil memberikan keterangan berhubung dakwaan berlaku pelanggaran SOP pada majlis tahnik anak kedua pasangan itu.

Selain itu Arjunaidi berkata, polis turut mengenakan kompaun ke atas Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan (Abby Abadi) serta pasangan masing-masing berhubung kes perlanggaran SOP yang dilaporkan pada 17 Mei lalu.

"Bagi kes Hulu Klang, laporan bertarikh 17 Mei, ini berkaitan ziarah Aidilfitri, polis menerima arahan dari Ketua Bahagian Pendakwaan untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang terbabit.

"Terdapat empat individu di sini yang dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang iaitu Norman Hakim, Abby Abadi, Suhaiza Suhaimi (Memey Suhaiza dan Muhammad Faizal Zakaria," katanya.

Husaini juga dikenakan kompaun.
Husaini juga dikenakan kompaun.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar yang didakwa melanggar SOP kerana menghadiri dan merasmikan program di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini turut dikompaun.

"Bagi kes penanjuran satu majlis di UPM yang diviralkan baru-baru ini, polis mengenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kepada Datuk Dr Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Timbalan Naib Canselor (Academik), manakala penganjur dikompaun RM10,000," katanya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, polis sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung perlanggaran SOP oleh Exco Selangor yang menganjurkan sambutan Aidilfitri di kediamannya yang tular di media sosial.

"Kertas siasatan sudah selesai dan kita akan rujuk pada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan kita tunggu keputusannya," katanya. #sumber

Share:

Rekod Tertinggi Sebanyak 7,857 Kes Positif Baharu Covid-19 Telah Di Rekodkan Hari Ini

 

KUALA LUMPUR - Malaysia terus merekodkan bilangan kes baharu COVID-19 tertinggi apabila sebanyak 7,857 kes dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 541,224 kes.

"Selangor mencatat 2,675 kes, diikuti Sarawak (772), Kelantan (754), Kuala Lumpur (561), Johor (549), Pulau Pinang (365) dan Sabah (217 kes).

"Sejumlah 353 kes direkodkan di Negeri Sembilan, manakala Perak (228), Kedah (441), Melaka (234), Pahang (238), Terengganu (282), Labuan (170), Putrajaya (12) dan Perlis (enam)," katanya. #sumber

Share:

Dua Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Terbabit Kemalangan Isnin Lalu, Sudah Di Bawa Keluar

 

KUALA LUMPUR - Dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu, berjaya dibawa keluar awal pagi tadi, lebih awal daripada tempoh tiga hari yang dijanjikan selepas pasukan 'Team Recovery Rapid Rail' bekerja tiga syif tanpa henti.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau menerima laporan berhubung status terkini kerja-kerja mengeluarkan dua tren berkenaan, pada jam 5.24 pagi tadi.

Katanya, tren TR40 selamat sampai ke depoh LRT di Subang pada jam 3.45 pagi manakala tren TR81 pula sampai di Gombak Tail Track pada jam 4.51 pagi.

"Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja pembaikan trek LRT dari Stesen Kampung Baru ke Stesen KLCC.

"Justeru, pasukan pemulihan (Team Recovery) terpaksa melakukan 'power down' (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh landasan tren (stretch) yang terbabit iaitu dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai.

"Ia membabitkan lima stesen LRT iaitu Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ka Siong berkata, sebaik saja kerja pembaikan di landasan (stretch) berkenaan selesai, pemeriksaan akan dibuat oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan berkenaan.

"Untuk pengoperasian LRT pada hari ini, memandangkan kesan 'power down' dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian malam Isnin lalu, maka terdapat 'bottleneck' (tempat sempit) kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (membabitkan tujuh stesen LRT).

"Tempoh masa yang diambil untuk sesebuah tren melalui landasan berkenaan adalah 16 minit. Akan tetapi, kaedah 'platoon' akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan 'bottleneck'," jelasnya.

Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan 58 tren LRT untuk Laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi seperti yang diumumkan beliau, selepas melawat Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Laluan Kelana Jaya di Subang, semalam.

"Saya memberi jaminan bahawa pihak Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini supaya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Apabila landasan siap diperbaiki, tiada lagi kesan 'bottleneck' dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti seperti yang disyaratkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sehingga 7 Jun ini tanpa mengurangkan frekuensinya," katanya. #sumber

Share:

Isu Balak Luar Biasa, Exco Pahang Sedia Beri Kerjasama Kepada Polis Laporan Fitnah Yang Di Buat Terhadap Beliau Oleh Khaidir Ahmad !


KUANTAN - Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang. Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin hari ini mengeluarkan kenyataan balas terhadap laporan polis yang dibuat oleh aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad semalam. 

Terdahulu, Khaidir membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan menfitnah beliau. Shahaniza dalam kenyataan di facebooknya sedia berkerjasama dengan pihak polis terhadap isu ini. (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221173455539371&id=1034692333

"Saya telah dirujuk oleh pegawai saya berkenaan suatu entry di dalam Facebook Khaidir Ahmad bertajuk laporan polis terhadap DS Shahaniza Shamsudin. Khaidir Ahmad telah menyatakan suau laporan polis telah dibuat terhadap saya atas dakwaan kononnya saya telah memfitnah beliau," kata kenyataannya. 

Sementara itu beliau telah dinasihatkan oleh pasukan peguamnya untuk tidak memberikan sebarang komen atau respons terkait laporan polis tersebut untuk dilihat tidak mengganggu siasatan (jika ada) namun begitu tulisannya berkenaan isu kayu balak tersebut bermaksud untuk menjernihkan keadaan dan mempertahankan kewibawaan Kerajaan Pahang serta agensi kerajaan berkenaan.



"Penelitian saya terhadap posting FB Khaidir Ahmad yang dikeluarkan pada Ahad, 23 Mei 2021 jam 6.16 pm antara lain di Item 3. mempersoalkan walaupun Balai Pemeriksaan Hutan tutup pada hari Ahad di Pahang tetapi kayu balak tersebut boleh keluar dan lepas dari hutan tanpa pemeriksaan dan bayaran cukai yang ternyata telah mengakibatkan komen-komen pengunjung FB Khaidir terhadap gambar yang dikongsi di FB Khaidir tersebut menghentam dan menyatakan persepsi sangat negatif terhadap Kerajaan Negeri Pahang, MB Pahang dan agensi kerajaan terbabit. 

"Jelas gambar Kayu Balak yang dikongsi tanpa maklumat penuh tersebut telah mengundang Fitnah terhadap kerajaan Negeri Pahang serta agensi kerajaan berkenaan. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga sepertimana Sdr Khaidir juga,sebagai Rakyat Malaysia memberikan penjelasan dan menjernihkan keadaan," kata ADUN Kuala Sentul merangkap Ketua UMNO Bahagian Maran itu. 

Walaubagaimanapun beliau mendakwa bersedia memberikan kerjasama kepada PDRM jika berkenaan, berkaitan laporan polis tersebut. Pada masa yang sama beliau juga telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk meneliti tulisan Khaidir bagi membolehkan tindakan  undang-undang diambil terhadap beliau. #pahangdaily

Share:

Pemuda UMNO Pahang Jawab Enam Persoalan Di Buat Parti MUDA Terhadap Kerajaan Negeri

KUANTAN - Pergerakan Pemuda UMNO Pahang hari ini membuat jawapan balas terhadap enam perkara yang dibangkitkan oleh Parti Muda Negeri Pahang yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian semalam. 

Ketuanya, Farid Nor berkata agihan bakul makanan memang sedang diagihkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, bukan sekadar tempoh PKPD malah sejak PKP 1.0 bermula sejak Mac 2020 lagi termasuk ketika bencana Banjir berlaku awal tahun ini. 

"Bakul terbabit walaupun tidak dalam bentuk bakul adalah dalam bentuk makanan asas dan ada kalanya dalam bentuk barangan basah telah diagihkan bukan sahaja di Kuantan malah seluruh negeri ini dan antara bilangan yang terbesar adalah ketika Bandar Muadzam Shah dikenakan PKPD yang melibatkan hampir 15,000 penduduk. 

"Bantuan ini disalurkan oleh agensi kerajaan, wakil rakyat, Parti Barisan Nasional dan Maufakat Nasional, Penghulu, Ketua Kampung, MTSP dan pelbagai lagi NGO dalam Negeri Pahang," katanya. 

Begitu juga bantuan kewangan, ianya juga telah bermula sejak PKP 1.0, termasuk ketika bencana banjir, termasuk pengumuman terbaharu melibatkan peruntukkan sebanyak RM 7.8 juta yang bakal diagihkan secara berperingkat, bukan sahaja di Daerah Kuantan, tetapi meliputi seluruh Negeri Pahang. 

"Kerajaan Negeri juga telah membenarkan taska di buka bagi membolehkan ibu-bapa yang perlu bekerja menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan. Jika di rujuk kepada Daerah Kuantan, dengan kerjasama pelbagai NGO, sebuah pusat bagi melindungi golongan kanak-kanak di kalangan mereka yang kurang bernasib baik juga telah dibuka di Jalan Wong Ah Jang. Golongan ini bukan sahaja akan dibela untuk tempoh PKPD, malah pusat ini merupakan satu projek perintis untuk pusat-pusat seumpanya di buka di lokasi-lokasi lain yang berhadapan dengan permasalahan sebegini," tambah kenyataan Farid Nor lagi. 

Beliau juga berkata keperluan untuk melaksanakan Mass Testing bagi seluruh Rakyat Kuantan memang sedang dilaksanakan bertempat di Dewan Jubli Perak (Dewan Konvensyen) berhampiran Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang. Bukan itu sahaja, sebagai persediaan, sebuah Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 dengan kapasiti 1200 katil juga telah disiapkan untuk menerima pesakit-pesakit tahap 1-3 di Gambang, melengkapi pusat sedia ada di Stadium Tertutup Sukpa dan Kolej Universiti Sultan Haji Ahmad SHAH. 

"Sukacita saya maklumkan, 1200 katil yang disediakan ini telah dipasang oleh Sukarelawan yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO Pahang, Puteri UMNO Pahang, Unit Amal Pas Pahang, Majlis Mahasiswa Anak Pahang, Majlis Belia Pahang, Majlis Tindakan Sosial Pahang dan Skuad Bencana Pahang. MUDA Pahang boleh bersama membantu di lain masa sekiranya tenaga diperlukan bagi membuka pusat-pusat seumpamanya di negeri ini. Gambar-gambar pemasangan ini tidak dapat kami viralkan atas arahan Majlis Keselamatan Negara, Negeri Pahang," tambah beliau. 

Sementara itu bagi dana atau tabung pembelian Vaksin, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana bagi membeli sebanyak 10,000 unit vaksin sekiranya ianya dibenarkan oleh Kerajaan Pusat. Buat masa ini bekalan Vaksin di Negeri Pahang adalah mencukupi, namun masih ramai yang enggan mendaftar dan enggan hadir apabila dipanggil.  

MUDA Pahang katanya boleh membantu sukarelawan kami mempercepatkan proses ini dengan mengadakan program atau kempen pendaftaran vaksin seperti mana yang sedang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Pahang dan MTSP.

Bagi kemudahan PdPR pula dakwa Farid Nor, sebanyak 1100 unit laptop telah diagihkan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan pendaftaran yang dibuat oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka ini terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 5 di kalangan keluarga miskin tegar dan anak yatim. Kami percaya inilah golongan memerlukan yang disebut dalam Kenyataan Muda Pahang.

"Kami berharap agar maklumat ini dapat disampaikan kepada pimpinan dan ahli MUDA Pahang. Berdasarkan kenyataan media ini, kami percaya yang mereka ini samaada tidak pernah peduli atau mengambil tahu nasib rakyat di Negeri Pahang, namun hanya sekadar melihat peluang dalam kegawatan yang ada untuk menjadikan kewujudan mereka disedari. Ianya amat malang sekali apabila kaedah berpolitik sebegini diamalkan oleh mereka yang menggelar dirinya mewakili golongan muda," kata kenyataan beliau yang dipetik dari laman facebooknya https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10222109232094479&id=1073046943 #pahangdaily


Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.