KUANTAN: Dua beranak maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 145 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta PERODUA Myvi, Azirul Azeem Mazri, 30, dan anaknya, Muhammad Adhwa yang berusia 10 bulan.
"Siasatan awal mendapati, kereta dipandu Azirul Azeem bersama isteri dan anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuantan dipercayai memotong kenderaan lain dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan itu, Azirul Azeem disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
"Isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu treler berusia 30 tahun cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi kejadian untuk bantuan menyelamat.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin," katanya. #sumber
KUANTAN: Kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero akan memastikan aksi konsisten dikekalkan pada baki saingan Liga Super.
Pemain naturalisasi itu berkata, berada di kedudukan ketiga terbaik liga ketika ini perlu dipertahankan, sekali gus mengelak pasukan lain memintas.
"Setakat ini, kami berpuas hati dengan pencapaian ini dan sentiasa cuba meningkatkan prestasi pada setiap perlawanan. Kedudukan ketiga ini juga kerana pasukan melakukan kerja yang baik dan sentiasa berusaha mencatat kemenangan," katanya.
Ditanya perkara yang dilakukan untuk mengekalkan prestasi konsisten, Aguero dan rakan sepasukan menganggap setiap perlawanan ibarat seperti final.
"Selain itu, segala arahan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Fandi Ahmad akan dilakukan untuk memastikan keputusan positif buat pasukan," katanya.
Mengulas kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC 23 Jun lalu, pemain kelahiran Argentina itu gembira dengan keputusan itu selepas dia turut menjaringkan satu gol.
"Dengan jaringan ini saya harap dapat meneruskan prestasi terbaik buat skuad Tok gajah apabila berdepan Selangor FC pada 9 Julai depan," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) melantik Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu kuatkuasa 22 Jun 2023.
Fauzi tidak asing dalam industri rel negara memandangkan beliau sebelum ini pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) antara 2018 dan 2021, justeru mahir dalam pembangunan dan cabaran dalam industri.
MRL adalah anak syarikat kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diamanahkan untuk menguruskan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Fauzi juga mempunyai kerjaya yang cemerlang dan memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat di pelbagai kementerian dan pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 1997 dan 1999.
Beliau juga adalah Ahli Parlimen Kuantan antara 1990 dan 1999, dan kemudiannya, Ahli Parlimen Indera Mahkota antara 2013 dan 2018.
Dengan kelayakan yang sempurna dalam bidang kejuruteraan dan telah berkhidmat dalam lembaga pengarah pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta, MyHSR Corp berkata, Fauzi akan memberikan bimbingan dan sokongan strategik kepada lembaga itu sambil memastikan syarikat itu memenuhi aspirasi kerajaan untuk menswastakan sepenuhnya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal bagi pihak Lembaga Pengarah, mengalu-alukan Fauzi sebagai Pengerusi dan yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau yang tidak ternilai akan memandu MyHSR Corp dalam merealisasikan projek HSR.
"Dengan kami memulakan lembaran baharu projek ini, sejarah panjang beliau dalam kepimpinan yang bijak dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pertumbuhan positif akan mengukuhkan keazaman kami dalam membawa projek itu membuahkan hasil untuk manfaat negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Selain pelantikan terbaru itu, Fauzi mempengerusikan lembaga pengarah dua syarikat swasta.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Perlombongan dari Imperial College of Science and Technology, University of London dan pernah berkhidmat sebagai jurutera di beberapa entiti swasta dan kerajaan pada awal kerjayanya.
Beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bagi Beserah.
MyHSR Corp adalah syarikat yang diperbadankan pada 2b015, dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.
Sebagai syarikat penyampaian projek Kerajaan Malaysia untuk projek HSR, MyHSR Corp bertanggungjawab ke atas pembangunan dan pelaksanaan projek berkenaan. #sumber
KOTA BHARU: Meskipun membelasah Kelantan FC 5-0, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad belum puas dengan keputusan itu.
Katanya, skuad Tok Gajah banyak bermandi peluh sebelum menewaskan The Red Warriors (TRW) yang hadir tanpa tonggak import.
"Babak pertama kurang baik, TRW banyak membuat serangan, kita juga terpaksa buat tiga penukaran.
"Pemain (Kelantan FC), ada keyakinan tapi tak jaringkan gol, kalau gol mungkin permainan akan berubah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Fandi berkata, kemenangan itu terlalu awal untuk dirai kerana pasukan masih belum lengkap terutamanya membabitkan ketiadaan pemain utama yang cedera.
Antaranya Nor Azam Asih, Kevin Ingreso dan Lucas Silva yang mengambil masa untuk sembuh.
"Kita belum dapat pemain yang kita inginkan, kita masih mencari, kita kekurangan pemain terlalu banyak kecederaan.
"Bahagian yang paling kita nak di bahagian tengah dan serangan, saya juga akan terlibat dalam pemilihan pemain baru menjelang jendela perpindahan Julai ini," katanya yang turut berminat dengan aksi pemain Kelantan, Mohd Fazrul Amir.
Sementara itu, pengendali Kelantan, Frank Bernhardt meninggalkan pasukan dengan nota kekalahan selepas gagal mencipta sebarang kemenangan sejak mengambil alih pasukan daripada Choi Moonsik.
Pengendali dari Jerman itu berkata, dia menyerahkan nasibnya kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sama ada kembali ke kerusi pengarah teknikal atau sebaliknya. #sumber
PEKAN: Tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini, pada Sabtu.
Mangsa yang maut ialah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman, 5 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, pemandu MPV jenis Nissan Serena dan enam penumpang lain berumur antara tiga dan 65 tahun termasuk tiga daripadanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu MPV bersama enam penumpang dalam perjalanan dari arah Taman Jambu, Pekan menghala ke Kuantan.
"Penunggang dan dua pembonceng dalam perjalanan dari arah Kampung Lamir menghala ke Kampung Langgar.
"Apabila tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggangi Nik Ikram Idwan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung MPV yang datang dari arah hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #sumber
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Yayasan Pahang bakal menjalankan kajian keabsahan, pendokumentasian dan pemuliharaan kesan-kesan warisan sejarah kedatangan Islam di negeri ini.
Kajian oleh Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), UMP itu bakal dimulakan dengan batu nisan tertulis ayat-ayat al-Quran dalam tulisan khat thulus yang dijumpai di Permatang Pasir, Pekan sejak tahun 1953.
Ketua Perunding Projek dan Penyelidik, Profesor Madya Dr Hasan Ahmad berkata, kajian awal mendapati, penemuan batu nisan itu ada kaitan dengan sejarah kedatangan Islam di Pahang.
Menurutnya, penemuan batu nisan itu tercatat dalam 'The Malayan Historical Journal Vol. 2' iaitu artikel tentang penemuan batu nisan tersebut yang ditulis oleh Menteri Besar Pahang yang pertama, Datuk Sir Mahmud Mat.
"Justeru, kajian lanjut berkenaan batu nisan ini perlu dijalankan memandangkan ia merupakan bukti kedatangan Islam ke Pahang," katanya.
Beliau sebelum itu hadir pada majlis penyerahan surat kelulusan kajian dan geran penyelidikan RM100,000 daripada Yayasan Pahang di sini, baru-baru ini.
Penyerahan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidkan, Profesor Dr Mohd Hasbi Ab Rahim dan Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said.
Dr Hasan yang juga Pengarah ITKAS berkata, hasil kajian itu nanti akan didokumentasikan sebagai rujukan ramai.
"Kajian lanjut berkenaan dengan batu nisan ini juga bagi membuktikan sama ada tarikh kedatangan Islam ke Pahang lebih awal daripada tarikh kedatangan Islam ke Terengganu," jelasnya.
Sementara itu, Mahmud berkata, usaha yang digerakkan UMP itu amat signifikan dan selari dengan matlamat Yayasan Pahang dalam memastikan warisan sejarah negeri Pahang terutamanya kawasan batu nisan itu dijumpai dapat dipelihara dan dipulihara menerusi kajian tersebut.
"Kajian itu melibatkan pensyarah UMP dari ITKAS dan PSK bersama beberapa universiti serta agensi luar lain termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)," katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman pula berkata, kajian itu merupakan salah satu inisiatif di bawah ITKAS.
Beliau berkata, kajian itu berkait rapat dengan fungsinya dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan menyediakan khidmat perundingan berdasarkan kepakaran UMP kepada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan.
"Geran penyelidikan yang diluluskan Yayasan Pahang ini satu pencapaian yang membanggakan dan bertepatan dengan tujuan ITKAS ditubuhkan dengan salah satu objektif utamanya menjalankan penyelidikan berkait dengan sejarah dan tamadun Pahang.
"Semoga kajian ini menjadi titik permulaan kerjasama antara ITKAS, UMP dan Yayasan Pahang serta membuka ruang bagi kerjasama dengan pelbagai pihak lain pada masa akan datang," ujarnya. #sumber
KUANTAN: Pahang merekodkan 550 kes deman denggi bagi tempoh Januari hingga 17 Jun lalu. Situasi itu menunjukkan peningkatan 130 peratus atau 311 kes berbanding 239 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Kuantan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 320 kes diikuti Temerloh (41 kes), Bera (36 kes), Raub (35 kes), Bentong (28 kes), Maran (22 kes), Rompin (22 kes), Lipis (16 kes), Pekan (14 kes), Jerantut (11 kes) dan Cameron Highlands (5 kes).
Begitupun katanya, dalam tempoh itu tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di negeri ini.
"Terdapat 41 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di Pahang sehingga 17 Jun lalu iaitu meningkat sebanyak 12 lokaliti atau 242 peratus berbanding 29 lokaliti pada 2022.
"Sebanyak 39 lokaliti wabak di daerah Kuantan dan masing-masing satu lokaliti di daerah Raub dan Temerloh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Nor Azimi berkata, 39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan manakala dua lokaliti masih aktif iaitu di Taman Cenderawasih Indah serta Taman Pandan Perdana 1 dekat sini.
"Sehingga 17 Jun juga, sebanyak 262,155 premis telah diperiksa dan 2,043 premis ditemui pembiakan nyamuk aedes.
"Sebanyak 476 premis telah dikompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, dengan nilaian kompaun RM 238,000," ujarnya.
Beliau berkata, 384 notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama telah dikeluarkan kepada penduduk yang membiarkan premis mereka berpotensi pembiakan jentik-jentik aedes dan sebanyak 344 premis telah dijalankan tindakan susulan oleh penguat kuasa.
Sementara itu, Nor Azimi berkata, Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2023 Peringkat Negeri Pahang dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) telah diadakan di Taman PASDEC Makmur, Indera Mahkota 2, di sini pada Sabtu.
" Taman PASDEC Makmur dipilih berikutan berlaku tiga kes wabak demam denggi berulang dengan sembilan kes dilaporkan tahun ini selain dua kes sporadik di lokaliti tersebut.
"Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam mencegah penularan berterusan jangkitan dan wabak demam denggi di lokaliti itu dan di negeri Pahang secara amnya," katanya. #sumber
RAUB: Pengguna kini dapat menjimatkan masa perjalanan mereka menerusi pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap dan sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub bermula jam 12.01 tengah malam tadi.
Ia juga satu khabar gembira buat pengguna menjelang musim perayaan Aidiladha tidak lama lagi yang menjangkakan sebanyak setengah juta kenderaan menggunakan laluan tersebut sepanjang musim perayaan berkenaan.
Pembukaan laluan sepanjang 18.6 kilometer dari Persimpangan Keruntung, Bentong ke Persimpangan Krau di sini disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, dengan pembukaan laluan tersebut, pengguna kini hanya memerlukan tempoh 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini.
Menurutnya, pembukaan laluan berkenaan amat signifikan terutama dalam mengatasi kesesakan lalu lintas khususnya pada musim perayaan.
"Manfaat yang kita dapat daripada jalan ini ialah memendekkan perjalanan daripada 45 minit kepada 15 minit dan daripada segi jaraknya daripada 30 kilometer kepada 18.6 kilometer.
"Laluan ini akan dibuka secara rasmi 25 Jun pada 12.01 tengah malam yang mana orang ramai boleh menggunakan lebuh raya ini," katanya pada sidang media majlis penyerahan projek siap dan pembukaan jalan LTU Seksyen 5B dan sebahagian Seksyen 5A di sini pada Sabtu.
Difahamkan, laluan tersebut berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.
Jajaran LTU di negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu pakej tiga sehingga pakej enam sepanjang 169.10 kilometer yang dipecahkan kepada 16 Seksyen.
Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan dengan adanya LTU ini secara langsung dapat membantu menarik pelabur dan sudah pasti memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya di sebelah Pahang Barat.
"Bayangkan dengan jarak perjalanan yang semakin singkat, mereka yang berniaga dapat menggunakan laluan ini untuk ke Lembah Klang atau ke Kelantan sama ada untuk bermesyuarat atau untuk menghantar dan mengambil barangan perniagaan dengan cepat," tambah Wan Rosdy. #sumber
KUANTAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa besar maut selepas motosikal jenis Ducati Panigale ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Petronas Sungai Soi di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa Khairul Azhan Mohd Naim,27, dalam pejalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika penunggang motosikal sedang bergerak lurus kereta jenis Perodua MyVi telah keluar dari simpang kiri secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat megelak dan melanggar bahagian pintu kanan hadapan kereta.
“Akibat kejadian penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian rusuk kanan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut KUANTAN – Seorang penunggang motosikal berkuasa besar maut selepas motosikal jenis Ducati Panigale ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Petronas Sungai Soi di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa Khairul Azhan Mohd Naim,27, dalam pejalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika penunggang motosikal sedang bergerak lurus kereta jenis Perodua MyVi telah keluar dari simpang kiri secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat megelak dan melanggar bahagian pintu kanan hadapan kereta.
“Akibat kejadian penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian rusuk kanan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan terdapat simpang tiga dengan Sistem jalan dua lorong satu hala.
“Semasa kejadian permukaan jalan adalah rata dan jalan kering dalam keadaan cuaca baik dengan tahap pencahayaan waktu malam,”ujarnya Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan terdapat simpang tiga dengan Sistem jalan dua lorong satu hala.
“Semasa kejadian permukaan jalan adalah rata dan jalan kering dalam keadaan cuaca baik dengan tahap pencahayaan waktu malam,”ujarnya. #sumber
👀OTTAWA: Lima penumpang yang menyertai ekpedisi melihat bangkai kapal Titanic menggunakan kapal selam kecil yang hilang sejak Ahad lalu diisytiharkan meninggaal dunia.
Pengumuman itu dibuat oleh pegawai Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengakhiri operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.
“Kesemua penumpang itu merupakan penjelajah yang sebenar, yang saling berkongsi minat dan semangat yang sama dalam melindungi lautan dunia.
“Kami ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa,” kata OceanGate Expedition yang mengendalikan kapal selam Titan.
Robot tanpa pemandu yang dibawa turun dari sebuah kapal ke dasar laut menemukan sejumlah serpihan bangkai kapal selam tersebut kira-kira 488 meter dari bawah permukaan di kawasan terpencil di Atlantik utara.
Serpihan itu menunjukkan kapal selam tersebut meletup, sekali gus mengorbankan kesemua penumpangnya.
“Serpihan yang ditemukan sepadan dengan kesan letupan pada kapal selam itu,” kata jurucakap Pengawal Pantai AS, John Mauger.
Namun, beliau menyatakan masih terlalu awal untuk menjelaskan bila kapal selam itu gagal berfungsi sehingga boleh mengakibatkan letupan.
Katanya, sebanyak lima serpihan kapal selam itu ditemukan. #sumber
KUANTAN: Jerantut mencatat rekod rampasan ubat dan kosmetik haram tertinggi di Pahang dalam tempoh lima tahun sejak 2018 dengan nilai kira-kira RM1 juta.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, sebanyak RM3 juta nilai rampasan membabitkan 114,430 unit ubat dan kosmetik haram direkodkan di seluruh negeri menerusi serbuan ke atas 382 premis dalam tempoh yang sama.
“Tahun ini sahaja kita telah membuat serbuan sebanyak 42 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM13,340 unit Ubat Tidak Berdaftar dan Kosmetik Tidak Bernotifikasi dengan nilai sebanyak RM230,000.
“Terkini kami telah melakukan serbuan pada 12 Jun yang lalu yang kita namakan menerusi Ops Shine di Temerloh dan Kuantan membabitkan dua premis dengan rampasan bernilai RM193,000,” katanya.
Nor Azimi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sahabat Ubat Pahang (SOBAT) di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang hari ini.
Mengulas mengenai SOBAT, beliau berkata, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Pahang telah melaksanakan inisiatif itu ekoran peningkatan trend memasarkan penjualan ubat dan kosmetik haram menerusi atas talian.
Justeru, SOBAT bertujuan memperhebat lagi kerjasama orang awam dan JKN Pahang dalam membanteras Ubat Tidak Berdaftar dan Kosmetik Tidak Bernotifikasi di pasaran.
“SOBAT Pahang merupakan satu pusat sehenti untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan ke CPF Pahang dan mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi.
“Orang awam hanya perlu mengimbas QR code untuk mengakses pautan SOBAT Pahang. QR code ini telah diedarkan di premis-premis farmasi komuniti dan klinik perubatan swasta dan akan diperluaskan edaran ke seluruh negeri Pahang,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Nor Azimi berkata, pihaknya hanya menerima 15 aduan daripada orang ramai pada tahun lepas berbanding serbuan yang telah dijalankan adalah lebih daripada itu.
Katanya, is jelas membuktikan orang ramai masih tidak mengetahui cara menyalurkan aduan berkenaan Ubat Tidak Berdaftar dan Kosmetik Tidak Bernotifikasi dan berharap agar SOBAT dapat membantu memudahkan proses itu.
Untuk makluman, SOBAT Pahang dilengkapi dengan fungsi-fungsi berikut:
Semakan status pendaftaran ubat dan notifikasi kosmetik di pautan Quest 3 +
Semakan ketulenan hologram di pautan Farmachecker
Status kelulusan iklan ubat di pautan www.pharmacy.gov.my/kkliu
Menyalurkan maklumat aduan di pautan Salurkan Maklumat Anda dan
Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA)
Maklumat kesedaran berkaitan ubat berdaftar dan kosmetik di pautan
BERA: Program Pahang Pride Kasih diteruskan lagi tahun ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, peruntukan bagi program berkenaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.
“Kerajaan negeri telah mengumumkan Inisiatif Bantuan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih yang akan diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Skim Bantuan Warga Emas dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB).
“Jumlah keseluruhan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih pada tahun ini bagi daerah Bera sahaja adalah melibatkan seramai 366 orang penerima untuk Skim Bantuan OKU Tidak Bekerja dan 382 orang penerima bagi Skim Bantuan Warga Emas,” katanya pada majlis penyerahan kad kesihatan Pahang Pride Kasih, di Dewan Orang Ramai Durian Tawar, di sini hari ini.
Penjenamaan di bawah produk Pahang Pride Kasih merupakan singkatan bagi perkataan ‘Kad Sihat’ telah dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 18 Januari tahun lalu.
Menurutnya, antara jenis rawatan yang diberikan melalui Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih ini adalah perlindungan rawatan pesakit luar seperti demam, batuk, selesema dan sakit badan; pemeriksaan kesihatan asas (seperti ujian darah); pengambilan vaksinasi (seperti Pnuemococcal, Meningococcal, Influenza dan Hepatitis B); X-Ray serta ‘swab test’ bagi Kes Influenza dan Covid19.
Beliau memberitahu, sebanyak 70 buah klinik panel telah dilantik di seluruh negeri termasuk lima buah klinik panel berdaftar di daerah Bera.
“Dengan nilai bantuan RM500 bagi setiap kad kesihatan ini, setiap pemegang kad boleh mendapatkan rawatan pesakit luar di mana-mana klinik panel yang berdaftar di bawah inisiatif program ini sepanjang tahun 2023.
“Kad kesihatan ini merupakan perkhidmatan alternatif kepada fasiliti kesihatan klinik kerajaan dalam usaha menggalakkan warga emas membuat pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta terpilih dengan lebih selesa dan menjimatkan masa,” ujarnya. #sumber
TEMERLOH: Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan aplikasi mudah alih Pahang Pride Kasih sebagai platform baharu kepada 30,600 penerima kad kesihatan program itu tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi ini nilai tambah kepada sistem portal pahangpridecare.com sedia ada.
Menurutnya, melalui aplikasi mudah alih tersebut, penerima boleh menyemak senarai klinik panel, rekod rawatan, jenis ubatan serta baki semasa penggunaan kad.
“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan tahun ini bagi menjayakan program Pahang Pride Kasih yang memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
“Program in adalah sambungan tahun lalu setelah ternyata memberi manfaat serta membantu warga emas mendapat rawatan di 70 klinik panel di seluruh negeri,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih 2023 kepada 400 penerima dan pelancaran Aplikasi Mudah Alih di Dewan Tun Razak Temerloh di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, peruntukan Pahang Pride Kasih yang dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta. tahun ini dan turut diperluaskan kepada golongan OKU.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah klinik yang terlibat masih kekal 70 buah di seluruh negeri dan had peruntukan dalam setiap kad juga masih RM500 bagi setiap penerima.
“Ada (penerima) yang tak habis pakai (RM500), tapi setakat ini kita tak terima apa-apa aduan berkenaan penggunaan kad yang telah diberikan.
“Kita akan menambah baik segala apa yang perlu kerana apa yang kita lakukan kena ada nilai tambah termasuk penggunaan aplikasi bagi memudahkan penerima memeriksa baki yang ada dalam kad mereka selepas setiap kali digunakan,” katanya. #sumber
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerima 2,415 permohonan Dana Skim Pembiayaan Kewangan Mikro Negeri Pahang (I-Push) fasa kedua yang dibuka pada November hingga 14 Disember tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob berkata, permohonan yang memberangsangkan itu telah melalui pelbagai proses tapisan sebelum diluluskan.
Menurutnya, daripada keseluruhan permohonan diterima, 1,553 pemohon telah berjaya melepasi kesemua tapisan termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)
"Surat kelulusan kepada pemohon yang layak telah dikeluarkan pada 2 Mei lalu.
"Seramai 515 pemohon yang berjaya telah selesai menandatangani perjanjian dengan pihak Bank Muamalat selaku agensi yang akan menyalurkan skim pembiayaan ini," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Zulkifli berkata, kerajaan negeri memberi jaminan penyaluran dana Skim I-Push fasa kedua akan dikreditkan kepada penerima yang telah selesai menandatangani perjanjian pembiayaan mulai 19 Jun ini.
"Pemohon Skim I-Push boleh merujuk portal rasmi https://smu.pahang.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,"jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan terus komited membantu usahawan di negeri ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat. #sumber
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah menasihati Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor agar menundukkan pandangan sekiranya tidak berpuas hati dengan pakaian seragam jururawat.
Menurutnya, kenyataan pemimpin Pas itu yang mendakwa isu pakaian jururawat ketat adalah dangkal.
"Jika tidak boleh menerimanya, jangan pandang.
"Pesakit yang dimasukkan ke hospital hanya fikirkan tentang kesihatan dan kesejahteraan mereka serta tiada sesiapa yang waras datang ke hospital memerhatikan pakaian jururawat," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Wan Razali ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, etika berpakaian jururawat wanita di kebanyakan fasiliti kesihatan awam di negara ini disifatkan tidak patuh syariah.
Beliau menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.
Ujar Jimmy, kenyataan berkenaan isu pakaian seragam ketat yang dibuat ahli pimpinan Pas bukan sesuatu perkara baru.
Tambahnya, pengorbanan dan usaha yang disumbangkan oleh jururawat dalam menyelamatkan nyawa dan berkhidmat kepada negara perlu dihargai, bukan mempersoalkan pakaian mereka.
"Kita sedia maklum, Malaysia menghadapi kekurangan jururawat yang teruk sehingga menjejaskan kecekapan keseluruhan perkhidmatan perubatan negara kita.
"Saya menggesa beliau membuat permohonan maaf kepada 115,000 jururawat di negara ini selepas mengeluarkan kenyataan berhubung pakaian seragam mereka," katanya. #sumber
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak menolak desas-desus kemungkinan terdapat warlord UMNO di negeri ini akan menyertai pihaknya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.
“Yang saya pasti ialah, di peringkat akar umbi UMNO Pahang memang ada rasa tidak puas hati terhadap Presiden UMNO. Saya tahu kerana ada antara mereka ni kawan-kawan saya.
“Rungutan itu memang jelas. Ini sampai ke peringkat pimpinan bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian yang meluahkan keresahan dan kerisauan mereka terutama keadaan UMNO di enam negeri yang bakal menghadapi PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota semalam.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memberitahu, PN Pahang sedang menunggu taklimat selanjutnya daripada Barisan Nasional (BN) berkenaan pelaksanaan pindaan Akta Anti Lompat Parti di negeri ini.
“Kami di PN Pahang menunggu taklimat selanjutnya. Cuma adakah akta ini hendak dibentang kerana takut ada ADUN mereka yang akan melompat, itu saya tidak tahu.
“Kalau ianya hendak dibentangkan, saya berharap agar perbincangan itu dapat dilakukan dengan segera,” katanya lagi.
Mengulas berkenaan PRN yang akan datang, Saifuddin menjelaskan, pihaknya akan menghantar pasukan ke Kelantan, Terengganu dan Selangor bagi membantu kemenangan di tiga negeri terbabit.
Mengikut perkiraan, beliau menjangka PRN akan berlangsung sekitar awal bulan Ogos mengambil kira faktor kepulangan jemaah haji.
“Kelantan dan Terengganu hampir sama keperluannya manakala Selangor mungkin sedikit berbeza kerana komposisi dan profil pengundi mereka.
“Jadi mungkin ada kaedah tertentu untuk kami menghantar team untuk membantu masing-masing,” ulasnya. #sumber
KUANTAN: DAP didakwa tidak hairan dengan UMNO sebagai rakan gabungan parti itu dalam kerajaan Perpaduan apabila terus membela pekebun haram durian Musang King di Raub supaya diberikan geran tanah dan kebenaran bercucuk tanam.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin mendakwa, terbaru Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika di Dewan Rakyat mendesak penceroboh tanah haram ini diberikan geran tanah walaupun mahkamah sudah membuat keputusan yang tanah itu diceroboh oleh mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Sebelum ini mereka mendesak untuk berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bagi mencari jalan menghalalkan pencerobohan mereka tanpa menghiraukan keputusan mahkamah.
"Ini jelas menunjukan DAP terus kekal dengan prinsip dan ideologi mereka dan konsisten menuntut apa yang mereka perjuangkan. Ini menjadi lebih mudah kepada mereka kerana mereka sudah bersama UMNO membentuk kerajaan negeri," dakwanya dalam kenyataan di sini.
Yu Hui ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pekebun durian ‘Musang King’ adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri Pahang.
Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul mendakwa, apa menghairankannya, DAP tidak pernah berubah dalam perjuangannya walaupun sudah bersama-sama dengan UMNO membentuk kerajaan.
"Yang berubah UMNO. Perjuangan yang diwarisi sejak dari datuk nenek kita dulu dibuang begitu sahaja. Tiada lagi laungan dan suara-suara mempertahankan perjuangan alif ba ta. Ini mungkin kerana hendak menjaga hati rakan dalam kerajaan.
"Tetapi DAP sikit pun tidak hairan kepada rakannya UMNO dan terus menuntut supaya apa yang diminta diberi dengan apa cara sekalipun.
"Bukan itu sahaja, kelmarin Kementerian Pelancongan bersetuju mempertimbangkan makanan bak kut teh dijadikan makanan warisan negara. Walhal terang-terang makanan ini bukan makanan asal negara dan tidak dimakan oleh majoriti kaum di Malaysia," dakwanya.
Beliau mendakwa, minggu lalu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, pemimpin UMNO menyarankan kepada rakan mereka dalam kerajaan Perpaduan jangan membuat kenyataan kontroversi dan menyinggung perasan orang Melayu tetapi sikit pun tidak diendahkan.
"DAP tahu UMNO kini bukanlah parti yang kuat setelah kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Jadi mereka tidak peduli. DAP tidak pernah berubah agenda perjuangan mereka tetapi sebaliknya UMNO yang diubah.
"Betullah kata pepatah Melayu, kera dihutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kalau kita masih tidak sedar akhirnya saya percaya kita akan menjadi Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa ahli parlimen pembangkang Wan Razali Wan Nor memohon maaf kepada warga jururawat kerana mengkritik etika pemakaian uniform jururawat wanita yang didakwanya ketat dan tidak patuh syariah.
Nga berkata Ahli Parlimen Kuantan dari PAS itu sepatutnya memberikan buah fikiran bernas bagi meningkatkan mutu kesihatan awam dan bukannya memperlekeh pakaian golongan yang banyak berjasa itu.
“Kita sangat kecewa dengan pembangkang (kerana) gagal berikan hujah bernas bagi membantu sistem kesihatan.
‘Sebaliknya pakaian mereka dijadikan bahan kritikan dan kami sangat kesal dengan kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar: Fiesta Teluk Intan, Komuniti Bandar Dekat Dihati di Teluk Intan semalam.
Nga yang juga menteri pembangunan kerajaan tempatan berkata pemakaian uniform jururawat dan penjawat awam negara ini adalah mematuhi etika yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan berdiri teguh bersama jururawat dan penjawat awam negara dan akan terus memberikan sokongan kepada golongan tersebut.
Wan Razali ketika membahaskan usul Kertas Putih di Dewan Rakyat, pada Rabu dilaporkan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh. syariah.
Wan Razali menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. #sumber
KUANTAN: Aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas segala keprihatinan, daya usaha dan komitmen yang konsisten ke arah memulihara dan memelihara kelestarian Tasik Chini telah membolehkan ia kekal status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Berita gembira itu diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Khamis.
"Keputusan ini sesuatu yang dinanti dan cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya para aktivis dan pihak pembangkang di negeri ini.
"Saya antara individu yang lantang bersuara isu pencemaran Tasik Chini sejak sekian lama, malah kemuncaknya ketika kempen Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada Julai 2020," kata Shukri.
Pada PRK Chini beliau bertanding tiga penjuru atas tiket bebas. Biar pun tewas, namun isu pencemaran Tasik Chini telah dimainkan dengan baik hingga Kerajaan Pahang mengarahkan semua aktiviti berkaitan guna tanah terutamanya perlombongan dihentikan sementara.
Menurut Shukri, selepas PRK Chini ramai pihak mula bersuara termasuk aktivis-aktivis lain, dan para netizen di media sosial.
"Media sekali lagi menyiarkan berita kemusnahan dan kerosakan alam sekitar Tasik Chini. Ramai yang mahu melihat UNESCO menarik balik status Tapak Rizab Biosfera yang diperolehi pada tahun 2009 itu," katanya lagi.
Selepas itu, Pemangku Raja Pahang sendiri telah mencemar duli mengadakan lawatan mengejut di Tasik Chini pada 13 Jun 2021.
Baginda kemudian telah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar bertujuan memelihara khazanah alam di kawasan itu.
Baginda juga berkenan meneliti laporan Menteri Besar Pahang, berhubung aktiviti perlombongan, tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan kerajaan negeri.
Malah, baginda juga bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri Pahang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan (perlombongan) baharu sejak 2019 selain turut menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.
Kemudian pada 14 Jun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang kini merupakan Speaker DUN Pahang telah memaklumkan kerajaan negeri komited memulihkan Tasik Chini bagi memastikan kelestarian alam sekitar tasik itu terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan pada 13 Mac 2019, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.
Sharkar turut mendakwa memang tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di Tasik Chini, namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.
Operasi perlombongan ifu dikenakan syarat tambahan ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti berkenaan. Malah, beliau turut mendakwa Laporan EIA juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan.
"Selepas itulah berbagai usaha dilakukan termasuk program Kempen tanaman 100 juta pokok pada September 2022 dan lain-lain kempen oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
"Jabatan Perikanan Negeri Pahang pula melepaskan lebih 96,500 benih ikan ke Tasik Chini. Empat spesies ikan air tawar yang dilepaskan ke tasik semula jadi itu ialah lampam sungai, baung, sebarau dan terbol," katanya.
Justeru, shukri sekali lagi berkata usaha Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu akhirnya membuahkan hasil dan UNESCO kekalkan status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera.
"Terbaiklah Pemangku Raja Pahang dan Menteri Besar Pahang atas sikap prihatin terhadap pemuliharaan serta pemeliharan khazanah alam yang haeus dinikmati oleh generasi akan datang itu," dakwa Shukri lagi. #PahamgDaily
ROMPIN: Seorang suspek kes pergaduhan yang juga ahli politik gagal hadir ke prosiding mahkamah bagi sesi bacaan pertuduhan hari ini.
Suspek berusia 64 tahun tidak dapat hadir ke Mahkamah Majistret Rompin dengan alasan mempunyai urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun seorang lagi suspek kedua berusia 58 tahun merupakan seorang kontraktor hadir ke mahkamah.
Majistret Wahidah Zainal Abidin memutuskan kedua-dua suspek dilepaskan tanpa dibebaskan.
Kes tersebut akan dibacakan di bawah Seksyen 323 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan memperuntukkan hukuman yang sama.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Pada 12 April lalu, dilaporkan insiden pergaduhan melibatkan salah faham antara beberapa orang ahli politik sehingga mendatang kecederaan ringan kepada mangsa di Pekan.
Ia membabitkan bekas pemimpin kanan UMNO bahagian itu sendiri yang dipercayai menumbuk seorang individu yang juga ahli parti yang sama di sebuah restoran mamak.
Mangsa yang juga seorang guru berusia 42 tahun telah ditumbuk bersama orang kanan ahli politik tersebut lebih dari sekali berikutan isu bawa mulut. #sumber
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berharap pengusaha kebun durian dikawasannya perlu dipertimbangkan pemberian geran tanah serta kebenaran bercucuk tanam. B
Beliau berkata pekebun durian ‘Musang King’ adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Pekebun ini merupakan mangsa kepada sistem negara,” katanya pada sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat pada Selasa.
“Walaupun mereka digalakkan untuk jalankan aktiviti pertanian dan usahakan ‘Musang King’ sebagai jenama terkemuka di antarabangsa namun sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf.
“Pekebun tidak henti memohon permit atau geran menerusi saluran formal tetapi ditolak atau diabaikan oleh pihak berkuasa negeri.”
Justeru, beliau menyarankan supaya Suhakam meninjau isu itu dari sudut aspek hak asasi manusia demi memperjuangkan keadilan bagi pihak mereka.
Bagaimanapaun, MP Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim daripada Perikatan Nasional (PN) mencelah dan menerangkan tindakan bercucuk tanam tanpa kebenaran di tanah kerajaan itu dianggap sebagai satu pencerobohan.
“Saya rasa itu bukan termasuk dalam hak asasi manusia.
“Itu adalah pencerobohan,” kata Roslam yang meminta Chow perbetulkan kenyataan terdahulu.
Bagaimanapun, Chow tidak bersetuju dengan “tanggapan” itu kerana golongan pengusaha durian itu bercucuk tanam sejak berpuluh tahun.
“Yang ini apa yang sebelah sana (pembangkang) anggap tetapi mereka sudah bercucuk tanam beberapa puluh tahun.
“Ini adalah hak asasi mereka untuk dapat kebenaran dan geran,” katanya. #sumber
KUALA LIPIS: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenaan menyempurnakan penyampaian Darjah Kebesaran dan Pingat negeri Pahang kepada 181 penerima.
Istiadat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, turut menyaksikan keberangkatan kekanda Tengku Hassanal, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.
Pada istiadat itu, seramai 20 penerima dikurniakan darjah kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 22 individu menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP) dan 17 penerima darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP).
Seramai 32 individu pula dikurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP), 18 individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), tiga dikurniakan Pingat Gagah Perwira (PGP), 25 individu menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 44 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Amirul Hamizan yang merupakan anak jati Kuala Rompin di Rompin mula mewakili Pahang dalam sukan angkat berat pada 1995.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu juga menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pendorong semangat untuknya terus memartabatkan sukan angkat berat Malaysia, selain membantu hasrat Pahang mengembalikan semula kegemilangan sukan itu di negeri ini.
"Sebenarnya ini adalah panggilan ketiga untuk saya hadir setelah terpaksa menolak sebanyak dua kali kerana berada di luar negara bagi mengiringi pasukan angkat berat yang bertanding... untuk hari ini juga adalah rezeki kerana saya berada di Qatar semalam.
"Alhamdulillah perjalanan semua lancar dan saya dapat terus ke sini untuk menghadiri istiadat walaupun tidak dapat menghadiri sesi latihan semalam," katanya semasa ditemui selepas tamat istiadat itu.
Turut menerima SMP ialah Editor Kanan Perkhidmatan Berita, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Ahmad Shukran Shaharudin. #sumber
LIPIS: Pahang membenarkan premis persendirian seperti kediaman individu, maahad tahfiz dan pondok persendirian melaksanakan penyembelihan ternakan bagi ibadah korban, tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, berkata ia selain rumah sembelih dibenarkan sementara (RSDS) dan kandang serta tempat penyembelihan.
"Turut dibenarkan kawasan tanah lapang awam seperti padang, balai raya, premis kerajaan dan masjid atau surau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua premis terbabit perlu menepati syarat ditetapkan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang.
Setakat 13 Jun lalu, katanya, sejumlah 756 ternakan membabitkan 560 lembu, kerbau (83) dan kambing/bebiri (113 ekor disenarai untuk ibadah korban tahun ini.
"Permit mengenainya dijangka dikeluarkan antara dua hingga tiga minggu menjelang Aidiladha," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Tasik Chini di Pahang berjaya mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia diputuskan mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa 'Man and the Biosphere' (ICC-MAB) ke-35 di Paris, Perancis, semalam.
Beliau berkata, mesyuarat mendapati semakan berkala kawasan tapak itu menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dan syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha diambil bagi menambah baik pengurusan tapak berkenaan.
"Ini termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menyifatkan keputusan itu sangat membanggakan negara dan Pahang, Nik Nazmi turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Pahang atas pengiktirafan itu dan berharap pengurusan tapak berkenaan terus ditambah baik.
Beliau berkata, Tasik Chini adalah tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021.#sumber
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan baki kos rawatan Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang berusia 16 bulan, akan ditanggung kerajaan negeri itu.
Wan Rosdy berkata, pembiayaan itu akan menampung baki kos yang tidak mencukupi atau tiada lagi penyumbang lain yang menderma untuk membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga RM9.7 juta.
"Hari ini saya berkesempatan menziarahi adik Athif yang menghidap penyakit jarang berlaku, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1.
"Penyakit ini perlu mendapat ubat dan kepakaran dari dalam dan luar negara dan penyakit jarang berlaku.
"Setakat ini, sejumlah RM9.4 juta berjaya dikutip dan baki yang diperlukan lagi berjumlah RM300,000.
"Saya beri jaminan kekurangan kos untuk perubatan adik Athif ini Kerajaan Pahang akan tanggung kerana rawatan itu perlu disegerakan. Tidak perlu tunggu jumlahnya cukup baharu berubat," katanya ditemui media selepas melawat Muhammad Athif Fahri di Permatang Badak Maju, di sini hari ini.
Pada lawatan itu, kerajaan negeri turut menyumbang RM50,000 untuk keperluan Athif.
Difahamkan, Muhammad Athif Fahri tidak mempunyai banyak masa berikutan suntikan ubat terbabit perlu diambilnya sebelum usia mencapai dua tahun.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu dilahirkan pada 3 Mac 2022, dengan berat 3.33 kilogram serta ukur lilit kepala 33 sentimeter.
Sementara itu, Mohd Farhan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menghulurkan sumbangan bagi dana perubatan anak.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerajaan negeri memberi jaminan kerana keadaan Athif yang lemah. Saya harap pembelian ubat dapat dipercepatkan," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Etika berpakaian jururawat wanita di kebanyakan fasiliti kesihatan awam di negara ini disifatkan tidak patuh syariah.
Justeru Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.
"Saya ingin membangkitkan etika pemakaian jururawat wanita yang kebanyakannya berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan. Ia tidak patuh syariah.
"Adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian. Adakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran," katanya ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Wan Razali meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil contoh beberapa hospital lain yang membenarkan kakitangan wanita mereka mengenakan pakaian yang lebih sesuai seiring ajaran Islam.
"Contohnya Hospital USM (Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian (Kelantan) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan (Pahang), tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika yang lebih baik buat pekerja," ujarnya.
Sementara itu, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) membangkitkan isu kekurangan jururawat di hospital awam susulan ramai yang lebih berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana tawaran gaji lebih lumayan.
Justeru beliau mencadangkan supaya tangga gaji golongan berkenaan dikaji semula bagi memastikan kebajikan mereka lebih terbela.
"Kekurangan jururawat boleh diatasi tanpa mengambil jururawat dari luar negara. Ini kerana di institut pen gajian tinggi sudah menyediakan pengkhususan jururawat di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
"Institut kejururawatan sedia ada juga perlu diperkasa dengan membuka peluang latihan kepada lebih ramai berkelayakan yang meminati bidang ini," ujarnya. #sumber
KUANTAN: Gembar-gembur kononnya 10 orang 'warlord' atau pemimpin utama UMNO akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap tidak lebih daripada khabar angin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berita demikian mudah untuk direka oleh sesiapa pun sebagai antara strategi perang saraf menjelang PRN.
"Itu hanya khabar angin, jangan percaya. Semua orang boleh cakap 10, lima atau tiga 'warlord' nak sertai PN.
"Kita kena faham, ini semua politik dan bakal ada PRN, maka timbullah macam-macam cerita.
"Kita pula sebarkan cerita tidak sahih dan seeloknya jangan percaya.
"Saya tidak dengar pun ada yang dari Pahang," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia setahun empat bulan yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1 di Permatang Badak Maju di sini, hari ini.
Kelmarin, PN dikatakan akan mengumumkan senarai 10 warlord merangkumi individu disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, pimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkaitan.
Laporan sebelum ini, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, antara yang disebut-sebut bakal menyertai PN. #sumber
KUANTAN: Blogger kontroversi yang juga merupakan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli mendakwa beliau mempunyai bukti, PAS 'Tikam belakang' UMNO ketika masih lagi bersama dalam Muafakat Nasional (MN) pada tiga tahun lalu.
Menurut Shukri, ketika itu beliau menjadi 'calon bebas' pada Pilihan Raya Kecil DUN Chini.
Shukri mendakwa keputusan agar dia bertanding bebas di PRK Chini dibuat selepas berbincang dan diberi laluan oleh PAS kawasan terbabit.
"Saya diminta turun ke Chini bertemu dengan wakil PAS, beberapa hari selepas SPR mengumumkan tarikh PRK.
"Pada pertemuan yang turut dihadiri oleh wakil pemuda dan muslimat PAS itu, saya mungkin boleh menang jika mendapat sokongan lebih 6,000 undi PAS," kata beliau yang popular dengan gelaran Blogger Cucumatkilau (CMK).
Menurutnya, pertemuan diadakan secara sulit itu diadakan sebanyak dua kali dalam sebuah rumah dengan kawalan ketat agar tidak diketahui oleh UMNO.
"Saya ditawarkan menjadi proksi PAS selepas rayuan mereka untuk meletak calon ditolak oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Syarat yang ditetapkan, jika menang saya perlu isytihar masuk PAS dan mengosongkan kerusi itu pada PRU-15 untuk memberi laluan calon pilihan PAS kawasan bertanding pula," katanya.
Jika benar dakwaan Shukri ini, maka terbuktilah benar kata Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail bahawa PAS 'tikam belakang' UMNO ketika mereka bersama dalam Muafakat Nasional.
Dilaporkan, PAS kini mendesak Wan Rosdy menarik balik beberapa tuduhan beliau yang didakwa fitnah terhadap ADUN-ADUN PAS Pahang.
Kenyataan tersebut dipercayai telah dipadamkan, namun telah dijadikan bahan untuk menghentam Wan Rosdy oleh PAS Pahang. #PahangDaily
KUALA KRAU: Menteri Besar Pahang, , Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail didesak mengemukakan bukti di atas pembohongan kenyataan beliau yang berunsur tuduhan fitnah terhadap ADUN-ADUN PAS negeri ini.
ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz bahkan menjawab setiap tuduhan dilemparkan Wan Rosdy yang turut telah melabelkan pimpinan PAS sebagai tikam belakang dan khianat.
Jelas beliau, tuduhan kononnya ADUN-ADUN PAS menggunakan pemberian peruntukan RM20,000 sebulan bagi bantuan projek kecil kepada tujuan lain daripada itu adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, tuduhan Wan Rosdy bahawa peruntukan itu digunakan di Melaka dan Johor yang dipercayai merujuk kepada PRN di kedua-dua negeri itu dengan maksud menyeleweng, sama sekali tidak berlaku.
“Peruntukan RM20,000 setiap bulan itu bukan diberikan secara terus kepada YB-YB PAS, tetapi secara claim (tuntutan). YB kena kemukakan resit pembuktian bahawa duit itu diberi dan dibelanjakan kepada siapa.
“Resit itu mesti diserahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri baru kerajaan negeri ganti balik RM20,000 yang diberikan itu,” terangnya turut memaklumkan peruntukan itu juga tidak boleh digunakan di DUN lain dalam Pahang.
Tambah beliau, semua tuntutan tersebut berlaku dengan serahan pembuktian yakni resit yang mempunyai butiran pihak penerima dan jumlah diberikan bagi tujuan tersebut.
“Paling menyedihkan lagi dan fitnah terbesar yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy, PRN Johor pada 12 Mac 2022, sedangkan bantuan khas kerajaan negeri RM20,000 itu telah diberhentikan bermula Januari 2022.
“PRN bulan Mac (2022). Pemberhentian dia stop peruntukan pada Januari 2022,” ujar Ustaz Shahril menyangkal dan menyanggah tuduhan tidak logik dikemukakan oleh Wan Rosdy.
Berhubung dakwaan Wan Rosdy bahawa pada sumbangan diberi turut diletakkan bersama gambar ADUN berkenaan, jelasnya ia kerana ketika itu kedua pihak berada dalam Muafakat Nasional.
“Masa itu kita Muafakat Nasional. Kita bukan buang gambar Menteri Besar itu, kita letak bersebelahan gambar kita dengan gambar Menteri Besar. Kita bukan khianat, bukan buang gambar Menteri Besar.
“Tetapi kerana atas dasar Muafakat Nasional, maka kita letak kebersamaan lagipun DUN kita. DUN kita, kita letak gambar kita bersama dengan Menteri Besar dalam memberikan peruntukan duit-duit rakyat.
“Jadi MN, Muafakat Nasional nakkan kebersamaan pada ketika itu? Tak ada unsur khianat pun di situ. Maknanya MB sudah menganggap kita khianat sedangkan kita Muafakat Nasional pada waktu itu kerja bersama untuk membantu rakyat.
“Inilah Umno Barisan Nasional, masa dia patah kaki nyawa nak habis dulu kita bantu dia, kita hidupkan, kita sanggup bersama dia. Bila dia kuat, dia tikam kita belakang kita pula. Jadi saya harap MB berhati-hati dalam menyatakan kenyataan.
“Kita pun nak kena rujuk kepada peguam boleh saman ke atau tidak. Sebab kita tengok dalam media sosial ucapan MB itu telah delete, di TikTok dan di page Facebook mereka.
“Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan yang sebenar kepada rakyat, pastikan PRN di enam negeri ini, kita tumbangkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, Umno dan DAP,” serunya. #sumber
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mengecam tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan UMNO Pahang mengenai tindakan yang didakwa memfitnah parti Islam itu serta wakil rakyat PAS seperti yang tular di media sosial.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pihaknya mendesak kedua-dua pihak membuat permohonan maaf secara terbuka.
"Kita desak Wan Rosdy dan UMNO Pahang membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ahmad Azlan menegaskan bahawa PAS sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.
Beliau juga mengajak semua pihak agar berpolitik secara matang dalam menunjukkan satu tauladan yang baik kepada rakyat khususnya anak muda Pahang.
Baru-baru ini, satu video dipercayai memaparkan Wan Rosdy dalam sesi townhall menuduh ADUN PAS telah menggunakan peruntukan yang diterima untuk Melaka dan Johor.
Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, ia merupakan satu tuduhan fitnah yang dilemparkan untuk mewujudkan satu persepsi buruk terhadap ADUN PAS negeri itu. #sumber
Jun Hao perlu buktikan kemampuan
-
LEONG Jun Hao masih menjadi sandaran utama perseorangan lelaki negara,
namun status itu perlu dibuktikan menerusi keputusan lebih meyakinkan
selepas pema...
Anwar's political needs.
-
1. When I was a 6th former, our economics teacher gave us a homespun wisdom
which i remember till today 2. Studying economics is like putting up a
brick wa...
[Autosaved] WZWH Mula Menulis…
-
Sudah lama WZWH tidak berblog
WZWH mula menulis…
Sekarang Perang US-Israel VS Iran. Ganggu keamanan dan ekonomi dunia
Sudah tentu beri kesan kepada Malay...
EMPAT PAHLAWAN MELAYU KELAHIRAN BUMI PAHANG
-
PAHLAWAN MELAYU
NAMA-NAMA PENDEKAR KELAHIRAN BUMI PAHANG
1. Dato' Bahaman
Nama sebenar: Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh.
Asal: Semantan, Temerloh, Paha...
#BUBARPARLIMEN MALAYSIA BUKAN DIA PUNYA!!!
-
Percaturan yang direncanakan sebelum ini GAGAL memenuhi kehendak Mahathir
apabila gabungan PAS dan UMNO serta komponen lain dalam Muafakat Nasional
menar...