JAKARTA – Operasi mengesan bangkai pesawat Lion Air JT610 diteruskan setakat petang semalam dengan pasukan penyelam mencari mayat mangsa nahas kapal terbang itu.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata, seramai 35 penyelam melakukan pencarian di perairan Tanjung Karawang, lokasi kapal itu terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 selepas pesawat itu berlepas pada pukul 6.20 pagi waktu tempatan kelmarin dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.
“Kedalaman perairan itu hanya 35 meter. Kami mengharapkan dapat menemui bangkai pesawat itu dengan segera,” katanya.
Operasi pencarian itu turut melibatkan pasukan tentera, polis dan Basarnas yang menggunakan 19 kapal dan tiga buah helikopter.
Menurut laporan media Indonesia, permukaan berlumpur di perairan itu menyukarkan proses pencarian bangkai pesawat berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pusat Kedoktoran Kesihatan Polis Indonesia (Polri), Briged Jeneral Dr. Arthur Tamp menjelaskan mayat penumpang yang ditemui setakat ini semuanya berada dalam keadaan tidak sempurna.
“Bukannya 24 jenazah, mungkin lebih dari itu, yang dihantar ke hospital adalah 24 kantung (bungkusan) jenazah (berisi anggota-anggota badan). Jenazah yang ditemui tidak sempurna,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa setakat ini telah mendapatkan 80 profil asid deoksiribonukleik (DNA) daripada anggota keluarga penumpang.
“Setakat 1 petang hari ini (semalam) belum dapat dikenal pasti jenazah terbabit. Kami akan lakukan secepat mungkin. Jenazah akan diserahkan kepada keluarga mangsa selepas dikenal pasti menerusi ujian DNA,” katanya. #sumber
JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada Isnin lalu, hari ini mengesan satu objek dipercayai bangkai pesawat itu.
Laporan televisyen tempatan memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto sebagai berkata, pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar mengesan objek tersebut di satu koordinat di perairan berkenaan.
"Belum diyakini (bangkai pesawat), saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang diduga (dipercayai) adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air)," katanya dipetik siaran televisyen Berita Satu.
Beliau yang turut serta dalam operasi pencarian itu berkata pasukan penyelam telah diarahkan ke lokasi berkenaan.
Operasi pencarian 24 jam itu yang melibatkan anggota tentera, polis serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) menggunakan 35 kapal, tiga helikopter serta tiga pesawat selain pasukan penyelam.
Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.
Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi hari sama waktu Indonesia Barat, dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas. #sumber
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menikmati permandangan indah di sebuah resort ketika hadir berkenan merasmikan Manggala Resort dan Spa di Gambang, Pahang hari ini. #sumber
KUALA LUMPUR - Anggaran jumlah 310,000 orang gay dalam negara masih belum dimuktamadkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kebajikan Islam (Jakim), Dr. Mohd. Izwan Md. Yusof berkata, bagaimanapun Jakim akan terus komited memberikan penerangan dan bimbingan terhadap komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) terutamanya golongan gay yang ingin kembali ke pangkal jalan.
"Pintu sentiasa terbuka di Jakim untuk golongan LGBT terutamanya golongan gay bagi mendapatkan bimbingan kerana seseorang yang dilabel sebagai gay tidak semestinya suka terhadap hubungan sesama jenis," katanya dalam satu kenyataan yang diterima menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.
Katanya, gay menurut definisi adalah seorang lelaki yang tertarik kepada sesama sejenis dari sudut seksual, jadi tidak adil jika dilabelkan mereka suka terhadap seks sesama lelaki kerana mungkin mereka hanya tertarik dari sudut romantik atau bentuk fizikal lelaki lain sahaja.
"Justeru Jakim komited untuk mendidik mereka melalui program berbentuk seminar dan mukhayyam (perkhemahan) supaya kita dapat memantapkan kerohanian mereka," katanya.
Katanya, Jakim turut menyeru masyarakat untuk sama-sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pemantauan perilaku anak-anak perlu dilakukan secara berterusan di samping memberikan pendidikan agama sebaik mungkin.
Semalam Jakim yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.
Isu berkenaan didedahkan menerusi seminar kesedaran mengenai LGBT anjuran Jaim di Pulau Pinang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender dalam negara terbabit dalam hubungan songsang.
Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan rekod yang didedahkan Jakim.
Mujahid berkata, seminar berkenaan antara lain bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai, sekali gus menangani isu itu secara proaktif. #sumber
JOHOR BAHRU - Seorang pegawai imigresen gred KP17 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM93,000 daripada pengusaha feri enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazari Mohamed, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Nazari yang bertugas di Pejabat Imigresen Tanjung Belungkor, Kota Tinggi didakwa meminta suapan sebanyak RM70,000 daripada pemilik syarikat pengangkutan feri Panti Bistari Travel & Tour Sdn. Bhd.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kononnya untuk tidak mengganggu perniagaan syarikat terbabit dan melancarkan kemasukkan penumpang-penumpang feri yang diuruskan dari Batam, Indonesia ke Tanjung Belungkor, Kota Tinggi dekat sini.
Perbuatan pertama itu didakwa dilakukan Mohd. Nazari di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kluang, Jalan Dato’ Kapten Ahmad, Kluang antara pukul 12.50 tengah hari hingga 1 petang pada 28 Januari 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM23,000 daripada pemilik feri terbabit sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan sama terhadap perniagaan feri tersebut.
Perbuatan kedua didakwa dilakukan tertuduh di alamat nombor 30, Jalan SS8/10, Taman Sri Saujana, Kota Tinggi antara pukul 10.20 malam hingga 10.30 malam pada 31 Januari 2012.
Mengikut pertuduhan ini, Mohd. Nazari didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukan hukuman yang sama jika sabit dengan kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Hazwan Hamidun. #sumber
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengecualikan Malaysia Airlines Bhd (MAB) daripada saman yang difailkan 76 ahli keluarga penumpang warga asing dalam penerbangan MH370 yang hilang secara misteri pada 2014.
Hakim, Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan MAB membatalkan saman itu yang merupakan tuntutan sivil terbesar pernah difailkan terhadapnya.
“Saya memutuskan mereka (MAB) bukan pihak dalam saman itu,” katanya sambil memerintahkan ahli keluarga terbabit membayar kos RM7,000 kepada MAB dan menetapkan 7 November ini untuk pengurusan kes.
Peguam MAB, Sanjeev Kumar sebelum ini berhujah yang syarikat penerbangan negara itu bukan pihak yang betul untuk disaman.
“MAB belum diperbadankan ketika kejadian itu berlaku pada 8 Mac 2014,” katanya kepada wartawan selepas prosiding hari ini.
MAB mengambil alih Malaysia Airline System Bhd (MAS) pada Julai 2015 menerusi rancangan penstrukturan semula RM6 bilion oleh Khazanah Nasional.
Ahli keluarga penumpang yang terdiri daripada warganegara China, India dan Amerika Syarikat, memfailkan saman pada 2016 atas dakwaan kecuaian dan melanggar kewajipan yang ditetapkan badan berkanun.
Mereka turut menamakan MAS, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan dalam tuntutan itu.
Mereka mendakwa DCA, TUDM dan kerajaan berkomplot dengan MAS untuk menyiasat dengan “cara sangat cuai” bagi menangguhkan operasi pencarian menyebabkan kematian semua penumpang dan kru dalam pesawat itu.
Mereka turut mendakwa MAS dan kerajaan tidak jujur kerana menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat itu daripada orang ramai dan keluarga penumpang serta kru.
Ahli keluarga penumpang yang diwakili peguam, Sitpah Selvaratnam dan N Ganesan, menuntut kerugian akibat kehilangan orang tersayang. #sumber
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mencipta kamus sendiri bagi menjelaskan maksud bahawa tidak semua daripada lebih 300,000 gay yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlibat dalam hubungan songsang.
Menurut Nik Abduh, ramai orang sukar memahami maksud Mujahid yakni tidak semua gay melakukan hubungan sejenis.
" Itu saya tak boleh nak faham, kena tanya beliau. Saya dapati ramai orang tak boleh nak faham juga.
"Menteri (Mujahid) kena buat dictionary (kamus) sendirilah," katanya kepada Sinar Harian.
Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, gay ialah satu gejala yang serius dan wajar ditangani kerajaan.
"Kita dimaklumkan oleh pegawai Jakim antara puncanya (gay) ialah ketika remaja kita di alam persekolahan, di asrama.
"Selain itu sudah pastinya faktor agama, jadi saya harap supaya pihak kerajaan dapat melihat ini sebagai satu gejala dibanteras sama ada pendidikan atau tindakan undang-undang," syor beliau.
Semalam, Mujahid berkata, tidak semua gay terlibat dalam hubungan songsang.
Katanya, rekod Jakim mempunyai pelbagai kategori termasuk kelompok yang tidak melakukan perbuatan songsang.
“Bilangan itu kena huraikan lagi. Ada mereka yang ada keinginan tetapi tidak semestinya mereka buat. Kita jangan ambil secara pukul rata dengan kata semuanya buat salah.
“Ada yang mempunyai keinginan jadi kita tangani dari awal. Ada yang terlibat, sedar ia tidak betul dan balik semula,” katanya.
Jakim dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, merujuk kepada kenyataan pegawai Jakim pagi tadi berkenaan anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000, adalah angka yang masih prelim iaitu belum muktamad oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana yang dipetik.
Tambahnya, gay menurut definisi oleh Blanch Consulting, adalah seorang lelaki yang memiliki ketertarikan sesama jenis dari sudut seksual, romantik dan fizikal.
"Sehubungan itu, seseorang yang dilabel gay, tidak semestinya telah melakukan hubungan sesama jenis sama ada homoseksual atau liwat. Golongan ini baru dianggap memiliki same sex attraction iaitu ketertarikan sesama jenis.
"Justeru, Jakim komited untuk terus melakukan usaha penerangan dan bimbingan melalui seminar dan program Mukhayyam dalam memberikan intervensi kerohanian kepada komuniti LGBT yang ingin mendapatkan bimbingan," katanya.
Hal demikian, Jakim menyeru masyarakat agar sama -sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan memantau perilaku anak-anak supaya diberikan didikan dan penghayatan agama sebaik mungkin. #sumber
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sekali lagi menempelak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat cuba mengalihkan perhatian berhubung peruntukan untuk sekolah Tamil di negara ini.
Beliau berkata Najib perlu menjawab persoalan yang lebih utama berhubung misteri 'peruntukan' RM39.7 juta bagi 13 sekolah Tamil yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tanpa mendapat peruntukan dan kelulusan Kabinet.
“Jangan lari daripada tajuk kerana beliau telah dipersoalkan tentang duit misteri yang diberikan kepada sekolah Tamil yang ditanya ke mana ghaibnya duit itu di zaman beliau menjadi perdana menteri. Jadi beliau perlu jawab dan jangan alihkan isu ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Pek Kembali ke Sekolah McDonald’s Malaysia di sini, hari ini.
Pada 26 Okt, portal Malaysiakini melaporkan bahawa pemeriksaan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kewangan mendapati kabinet BN tidak meluluskan sebarang peruntukan yang diumumkan ?kepada sekolah terbabit yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
Ia dibangkitkan oleh Majlis Lembaga Sekolah-sekolah Tamil Malaysia (MAST) setelah peruntukan itu masih belum diterima sehingga kini. #sumber
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh katakan apa sahaja yang mahu dikatakannya tentang “RM2.6 bilion adalah sumbangan daripada Arab Saudi”, tetapi seluruh dunia lebih tahu.
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media ketika ditanya oleh media berhubung pendirian Najib yang bertegas bahawa RM2.6 bilion diterimanya itu sebenarnya sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.
“Sudah tentu beliau akan berkata demikian. Apa lagi yang boleh beliau katakan? Seluruh dunia tahu tentangnya dan Malaysia dikenali sebagai kerajaan kleptokrasi di bawah pimpinannya dan ini diterbitkan di seluruh dunia.
“Beliau boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Jika anda mahu percaya, anda dialu-alukan untuk mempercayainya. Apa yang berlaku adalah perlu ada cukup bukti untuk mendakwa beliau, jika tidak beliau tidak akan didakwa,” katanya pada sidang media itu selepas menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah di sini.
Baru-baru ini, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata rakan sejawatannya daripada Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan wang yang masuk ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi.
Dr Mahathir menegaskan sekiranya Najib bebas daripada perbuatan rasuah, dengan itu beliau boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduhnya.
“(Sebelum ini) Beliau mengugut mereka tetapi tidak mengambil tindakan. Kini beliau telah didakwa berdasarkan laporan-laporan, bukan sahaja oleh media asing tetapi agensi-agensi di sini.
“Bila anda pindahkan wang, mesti ada rekod. Anda tidak boleh pindahkan berbilion dollar tanpa sebarang rekod. Apabila wang dipindahkan antara bank, walaupun cek, mesti ada rekod,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan usahanya untuk membantu kerajaan bagi mencari serta membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low adalah kerana ingin mengelak daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Menteri Pertahananan itu berkata, jika benar beliau dikaitkan dengan apa-apa kesalahan rasuah, sudah tentu pihak SPRM akan melakukan siasatan dan mendakwanya.
"Apa yang SPRM ada terhadap saya? saya tak lakukan rasuah, jika ada dakwaan nak siasat SPRM sampai hari ini tak ada panggil saya.
"Saya dalam hal ini (rasuah) tak terlibat, kalau orang nak cakap saya takut dengan SPRM biar SPRM sendiri dedahkan (kes rasuah)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai cakap-cakap bahawa usahanya membantu Putrajaya mengesan Jho Low bertujuan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan siasatan SPRM.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dirinya adalah antara 40 nama Anggota Parlimen UMNO yang dikatakan akan melompat parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya dah nyatakan beberapa kali saya tak akan keluar parti, orang putih kata action speaks louder than words... mana ada saya keluar parti," katanya.
Sementara itu, menyentuh tentang pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini, Hishammuddin berharap Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan baharu dapat meneruskan aspek keprihatinan dan kebajikan yang dilakukan kerajaan terdahulu. #sumber
SEBERANG PERAI - Seorang lelaki berusia 22 tahun yang sedang menjalani tahanan reman di lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang tahanan lain pada Jumaat lalu.
Sumber berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini bagi menjalani pemeriksaan selepas membuat laporan kira-kira pukul 4.07 petang.
Menurut sumber itu, pihak polis akan menjalankan koordinasi dengan AADK bagi menahan suspek selepas dia selesai menjalani tempoh reman berkaitan kes dadah.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis telah mengarahkan supaya suspek diasingkan sel daripada tahanan lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan pihak polis mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan. #sumber
KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan terdapat kegiatan 'melamar' Anggota Parlimen UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghalang perjalanannya menjadi Perdana Menteri Kelapan sekadar tafsiran media.
Menurut Anggota Parlimen Port Dickson itu, beliau tidak mempunyai sebab bagi meragui perjanjian serta persefahaman antara pimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).
“Terima kasihlah prihatin tentang perjalanan saya...tapi saya tidak fikir ini semua (konspirasi) berlaku. Ini semua bacaan dan tafsiran media...sesuatu yang besar bahawa konspirasi akan berulang daripada tahun 1998 itu hanya tafsiran media,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Media melaporkan ada dalam kalangan pemimpin UMNO hari ini menyifatkan dakwaan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin bahawa kira-kira 40 Anggota Parlimen parti itu akan menyertai parti Bersatu sebagai satu konspirasi untuk menyekat perjalanan politik Anwar.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan A Kadir.
Ditanya sama ada penyertaan Anggota Parlimen UMNO ke dalam Bersatu yang merupakan parti gabungan PH akan memberi kesan baik, ujar Anwar perkara itu perlu dinilai dan dibincangkan.
“Seperti mana yang disebut oleh Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), teliti dahulu dan bincang bersama,” katanya. #sumber
KUANTAN - Sepasang suami isteri tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dituduh mencuri bekalan air terawat bernilai RM5,015.44 pada Mac hingga Mei lalu.
Pasangan berusia 53 tahun berkenaan, Raja Gopal Muni Samy bersama isterinya, Sumathi Ramasendherin dituduh mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Menurut kertas pertuduhan, pasangan itu dituduh melakukan penyambungan bekalan air secara tidak sah di premis mereka di Lot 123054, Jalan IM 1/4, Bandar Indera Mahkota di sini antara tempoh 1 Mac hingga 30 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, pasangan yang tidak diwakili peguam itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tempoh setahun atau kedua-dua sekali.
Sejurus pertuduhan dibacakan serta pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Mohd. Helmy Razelan. #sumber
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengarahkan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, untuk menyampaikan notis kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tujuh yang lain.
Notis itu bagi permohonan beliau (Deepak) untuk memasukkan semula lapan individu terbabit ke dalam kes saman dikemukakan keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam.
Peguam Vinod Kamalanathan yang mewakili Deepak ketika ditemui berkata, pihaknya sehubungan itu diarahkan mahkamah tinggi untuk mengemukakan notis kepada kesemua lapan individu terbabit.
Selain Najib, tujuh pihak lain adalah Datin Seri Rosmah Mansor; adiknya Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari; peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.
Kamalanathan berkata, pihaknya diarah menyampaikan notis itu sebelum mahkamah boleh memberikan kebenaran untuk prosiding pihak ketiga.
“Kami membawa mereka sebagai pihak ketiga. Jadi, kami akan menyampaikan dokumen bagi mereka menjawab,” katanya.
Kamalanathan berkata, pihaknya mengemukakan prosiding pihak ketiga terhadap semua individu terbabit yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.
Katanya, pada Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan lapan defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan yang difailkan balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan tiga anaknya manakala Deepak tidak memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.
Kamalanathan berkata demikian selepas prosiding pengurusan kes di kamar Hakim Datuk Azimah Omar.
Kata peguam itu, mahkamah kemudian menetapkan pada 23 November ini bagi mengemukakan status terkini berhubung penyampaian notis berkenaan.
Pada 13 Julai 2017, Santamil Selvi bersama tiga anaknya, B Kishen, B Menaga dan B Reeshi memfailkan saman kedua bagi pihak mendiang dengan menamakan kesemua individu sama sebagai defendan.
Ia bagi menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai, India selama 56 bulan daripada 4 Julai 2008 sehingga Balasubramaniam, 53, meninggal dunia kerana serangan jantung pada 15 Mac 2013.
Dalam pernyataan tuntutan, Santamil Selvi mendakwa, ahli keluarganya secara salah dibuang ke luar negara selepas pendedahan Balasubramaniam berkaitan dua akuan berkanun dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah, dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos. #sumber
JAKARTA: Penyelamat Indonesia menjumpai cebisan mayat hari ini selepas pesawat Lion Air terjunam ke dalam laut sebaik berlepas dari ibu kota ini, kata seorang jurucakap.
Juruterbang pesawat yang membawa 189 penumpang, meminta kebenaran berpatah balik sebelum terputus hubungan 13 minit ketika penerbangan.
Penyelamat cuba mencari badan utama pesawat selepas menemui serpihan dan bahagian pesawat yang terapung di Laut Jawa.
Sementara itu laporan laman web Kompas.com, pasukan mencari KNP 348 Pengawal Laut dan Unit Pengawal Tanjung Priok menjumpai sejumlah objek disyaki milik penumpang pesawat JT610 di perairan Tanjung Karawang hari ini.
Penyelaras Pencarian Lapangan dari Tanjung Priok, Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) dikenali Harto berkata, objek ditemui termasuk beg, dompet dan cebisan tubuh.
“Kami menemuinya dalam bentuk sampah namun sebaik kami mendekatinya, ada banyak beg seperti itu dan ia sebenarnya bukan setakat timbunan tetapi cebisan tubuh,” kata Harto.
Berdasarkan pemerhatian Kompas.com, beberapa beg ditemui pegawai musnah. Namun begitu, pegawai menemui sebuah beg mudah alih yang masih utuh. Sebuah dompet ditemui dalam beg dan mengandungi kad pengenalan pemilik bersama wang tunai Rp1.66 juta (RM455.91).
Katanya objek yang ditemui dibawa ke pos pemindahan terletak di Limbungan Kalijabat, di Utara Jakarta.
Pesawat yang dalam perjalanan dari ibu kota ini ke Pangkalpinang terhempas di luar perairan Tanjung Karawang membawa 178 dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi dan tujuh kru. #sumber
KUALA LUMPUR: Laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa dipinda atas arahan individu tertentu sehingga gagal mengesan salah laku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.
Wong Kah Woh (PH-DAP Ipoh Timur) mendakwa, salah laku itu hanya dikesan selepas berlaku perubahan pentadbiran negara pada 9 Mei lalu.
“Ketika itu, agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara ‘dilumpuhkan’ atas satu isu saja iaitu 1MDB sehingga mengakibatkan mereka hilang integriti dan keyakinan rakyat.
“Berlaku salah guna kuasa yang mana laporan asal Ketua Audit Negara dipinda dengan arahan daripada sesetengah pihak.
“Mujur berlaku pertukaran kerajaan. Barulah semua ini ditunjukkan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Kah Woh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, isu 1MDB amat serius, namun PAC ketika itu gagal membuka semula siasatan walaupun Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengambil tindakan sebaliknya.
“Ketika itu bukan saja PAC gagal buka semula siasatan, malah laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Bagaimanapun, pembaharuan sudah berlaku dan Ketua Persuruhjaya SPRM juga sudah bertukar.
“Sejak itu, SPRM bukan hanya mampu menangkap ikan kecil tetapi jerung besar walaupun di Laut China Selatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika dihubungi NSTP, enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan timbalannya itu.
“Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat, tidak boleh mendedahkan apa hasil perjalanan prosiding.
“Bagaimanapun, PAC memang bergantung kepada laporan Ketua Audit Negara,” katanya. #sumber
PUTRAJAYA - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam tragedi pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia, setakat ini.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terlibat.
"Pihak Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi e-mel mwjakarta@kln.gov.my atau jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (WhatsApp).
Pesawat Lion Air JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia. #sumber
JAKARTA - Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), M Syaugie memberitahu pihaknya telah menemui serpihan dan beberapa barang dipercayai milik pesawat Lion Air JT 610 yang terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara hari ini.
Pasukan Basarnas menjumpai serpihan, pelampung, telefon bimbit dan anggota badan, lapor Syaugie pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Basarnas di sini.
Syaugie berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengawal lalu lintas udara bahawa pesawat dari Jakarta menuju Pangkal Pinang terputus hubungan dan hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi tadi.
Basarnas akan melakukan proses pemindahan serpihan tersebut setelah maklumat tersebut disahkan oleh Lion Air.
"Kami menghantar kapal dan helikopter ke lokasi pencarian untuk melakukan pemeriksaan.
"Serpihan dan beberapa barang ditemui pada jarak dua batu nautika sebelah selatan dari koordinasi dilaporkan hilang," jelas Syaugie.
Menurut Syaugie, kedalaman laut dijangka menjadi lokasi pesawat terhempas adalah antara 30 hingga 35 meter.
"Basarnas juga akan mengarahkan para penyelam untuk mencari badan pesawat.
"Mudah-mudahan pesawat berkenaan segera ditemui dengan sokongan agensi-agensi lain," katanya.
Bagi operasi pencarian, Basarnas telah mengerahkan seramai 130 anggota dan 30 penyelam dari Pejabat SAR Jakarta, Bandung dan Lampung. #sumber
KUALA LUMPUR- Bekas pengurus kepada Zamani, Johan Aziz, memberitahu bahawa penyanyi itu wajar menarik diri daripada program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5), selepas dibelenggu masalah kesihatan yang teruk.
Zamani yang tidak dapat meneruskan nyanyian lagu dendangan Flybaits bertajuk Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta sewaktu persembahan di minggu ke lima GV5 pada malam Ahad lalu sepatutnya tersingkir namun diselamatkan oleh imuniti daripada penaja utama rancangan, Datuk Seri Aliff Syukri.
“Saya tidak rasa keadaan kesihatan Zamani boleh pulih hanya dalam masa seminggu kerana keadaan peti suaranya yang koyak itu agak serius.
“Saya bimbang jika dia teruskan juga menyanyi di minggu keenam, peti suaranya akan mengalami kerosakan lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Sementara itu, Aliff pula memberitahu dia memilih untuk memberikan imuniti tersebut kepada pelantun Gerimis Mengundang itu kerana berasakan tidak adil untuk menghalau orang sakit daripada pertandingan.
“Semoga imuniti bernilai ratusan ribu ringgit yang saya gunakan ke atasnya berbaloi,”, ujarnya lagi.
Minggu kelima GV5 menyaksikan kesembilan peserta yang ada iaitu Dia Fadila,Mya Ruslee,Noryn Aziz, Farawahida,Forteen,Billy Zulkarnain,Zamani, Amelina dan Hetty Sarlene layak ke minggu keenam iaitu peringkat suku akhir. #sumber
JAKARTA - Sebuah pesawat Lion Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini pada pukul 6.20 pagi tadi dilaporkan terhempas sebentar tadi.
Pesawat JT610 yang membawa seramai 181 penumpang dan tujuh anak kapal yang dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang itu disahkan telah terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara.
"Saya mengesahkan bahawa ia (pesawat) telah terhempas," kata jurucakap agensi pencarian dan menyelamat negara itu, Yusuf Latif melalui khidmat pesanan teks ketika diminta mengulas mengenai nahas pesawat itu.
Jurucakap Lion Air, Danang Mandala Prihantoro yang dipetik media Indonesia berkata, pesawat itu dilaporkan hilang di perairan laut Kepulauan Seribu, Jakarta Utara dan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas. #sumber
JAKARTA - Sebuah pesawat Lion Air dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini pada pukul 6.20 pagi tadi.
Pesawat JT610, penerbangan ke Pangkalpinang di Pulau Bangka Belitung, Indonesia itu, dilaporkan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.
Jurucakap Lion Air, Danang Mandala Prihantoro yang dipetik media Indonesia berkata, pesawat itu dilaporkan hilang di perairan laut Kepulauan Seribu, Jakarta Utara.
Pesawat yang belum dipastikan jumlah penumpangnya itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkalpinang pada pukul 7.10 pagi waktu Indonesia barat. #sumber
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA) memperkenalkan ‘program kebajikan dan khidmat imigran' kepada warga asing di sekitar Lembang Klang, hari ini.
Presiden PEKA, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata, warga asing yang berdaftar di bawah program ini akan diberikan kad peserta program kebajikan dan khidmat imigran PEKA yang mengandungi maklumat diri mereka.
"Ia (kad) tersebut dapat membantu pihak berkuasa mengenalpasti maklumat diri pemilik seperti nama, asal serta statusnya di negara ini.
“Kami akan membuka kaunter pendaftaran selama dua minggu di Pasar Borong Selayang dan meletakkan sasaran lebih 1,500 warga asing akan berdaftar memandangkan kad itu juga memberi banyak kemudahan kepada mereka dan keluarga.
Ini (program) merupakan inisiatif kami dalam membantu mereka dari ditipu ejen mahupun sindiket yang tidak berdaftar di negara ini yang menawarkan khidmat pengurusan dokumentasi tetapi memberikan yang palsu dan mengenakan caj yang mahal.
"Sepanjang tempoh pendaftaran berlangsung, setiap peserta berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan pihak perubatan swasta yang turut berada di lokasi.
Zuhairi berkata, kad ini mempunyai fungsi yang dilengkapi dengan sistem Touch 'n Go untuk kemudahan sampingan berbelanja yang boleh digunakan di semua tempat yang mempamerkan logo Touch ‘n Go.
"Selain itu katanya lagi, mereka turut mendapat banyak manfaat memiliki kad ini seperti dilindungi insuran apabila ditimpa kemalangan termasuk mendapat pampasan kematian.
"Setiap mereka turut disediakan bantuan khidmat guaman secara percuma sewaktu menghadapi masalah, urusan pengebumian atau penghantaran pulang jenazah ke negara asal," katanya.
"Mereka juga akan diberikan kad prabayar VISA Merchantrade Money. Kad ini membolehkan mereka membuat pembayaran serta pengeluaran tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) di setiap bank yang menerima urusniaga /transaksi VISA di dalam dan luar negara selain perkhidmatan pengiriman wang di cawangan-cawangan Merchantrade dan ejen-ejen terpilih.
Dalam masa sama katanya, kami juga mengambil berat terhadap aspek meliputi bantuan pengurusan dokumentasi yang diperlukan mereka dari pihak kerajaan serta menerima aduan tentang masalah yang dihadapi mereka seperti tidak dibayar gaji, didera majikan atau dipaksa melakukan sesuatu diluar skop kerja yang akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa," katanya. #PDO
SHAH ALAM: Layangan dua kad merah pada aksi final Piala Malaysia sememangnya satu perkara yang jarang berlaku.
Namun, ini yang berlaku pada aksi final Piala Malaysia 2018 membabitkan Perak dan Terengganu FC di Stadium Shah Alam, sebentar tadi yang berkesudahan skuad The Bos Gaurus menang 4-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar.
Situasi itu secara tak langsung mencetuskan persoalan terhadap mutu dan kualiti pengadil Suresh Jayaraman yang mengendalikan perlawann akhir malam tadi bersama penjaga garisan Azman Ismail dan Mohd Fazli Ishak.
Pada aksi yang berlarutan hingga ke masa tambahan itu, dia dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusan yang dibuat mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong yang membanjiri stadium.
Paling mengejutkan keputusan Suresh mengarahkan Gilmar da Silva keluar padang dengan melayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56 selepas insiden pergaduhan pemain di kawasan sepakan penjuru Terengganu.
Ia berpunca daripada keengganan pemain Perak mengeluarkan bola selepas ada pemain Terengganu mengalami kecederaan sehingga menyebabkan terjadinya insiden tolak menolak antara pertahanan skuad Peteh, Igor Zonjic dan pemain sayap Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi.
Insiden itu mencetuskan perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan pegawai perlawanan dan pada akhirnya Suresh 'memilih' Gilmar untuk dibuang padang.
Selang 10 minit kemudian tiba giliran awang import Terengganu, Lee Tuck pula dilayangkan kad kuning kedua biarpun sebelum itu beberapa kali terlepas daripada hukuman angkara terjahan dan kekasaran di bahagian tengah padang.
Bukan itu saja, malah beberapa keputusan lain Suresh turut dipersoalkan termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad.
Pengadil berusia 30 tahun itu mula menjadi pengadil Liga Super pada 2016, sebelum itu dia menjadi pembantu pengadil di Liga Perdana bermula 2011.
Berdasarkan semakan di laman web rasmi FIFA, pengadil itu tidak berada dalam senarai pengadil badan induk bola sepak dunia itu. #sumber
SHAH ALAM - Perak merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.
Dibanjiri penyokong dari kedua-dua pasukan yang memenuhi segenap ruang dalam stadium berkenaan, penjaga gol Perak Muhammad Hafizul Hakim Jothy muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membawa Perak merangkul kejuaraan buat kali kelapan.
TFC dan Perak kembali bertembung dalam aksi final Piala Malaysia selepas 17 tahun, sekali gus mengimbau kembali pertemuan klasik mereka sebelum ini pada aksi final 1998 dan 2001.
Terengganu FC melangkah ke final selepas melakar kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim pada aksi separuh akhir manakala Perak mara ke final Piala Malaysia setelah mencatat kemenangan dengan agregat 7-2 ke atas Sabah.
Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia 1998 selepas mencatat kemenangan menerusi sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga masa sebenar perlawanan tamat.
Terengganu FC (dikenali sebagai Terengganu pada 2001) pula muncul juara Piala Malaysia 2001 selepas menumpaskan Perak 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
TFC menerusi penyerang berbisa mereka, Kipre Tchetche terlebih dahulu menceriakan penyokong skuad Penyu apabila bijak menyudahkan peluang terhidang seawal 48 saat selepas wisel pertama dibunyikan pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman, hasil kesilapan pertahanan Perak, Mohamad Idris Ahmad yang cuai ketika melakukan hantaran ke belakang.
Perlawanan akhir berkenaan berlangsung dalam keadaan sangat agresif di tambah pula dengan keputusan pengadil yang banyak memberi ‘kelebihan’, ia membuka deretan peluang bagi kedua-dua pasukan memburu jaringan.
Di hujung babak pertama, kesilapan barisan pertahanan Perak yang gopoh mengeluarkan bola memakan diri apabila pemain tengah TFC, Abdul Malik Mat Arif berjaya memintas dan melakukan umpanan kepada Kipre yang cemerlang menyempurnakan jaringan kedua TFC untuk mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan barisan anak buah Mehmet Durakovic yang tidak menunggu lama untuk merapatkan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.
Selepas jaringan itu, perlawanan disaksikan 78,783 penonton itu menjadi lebih tegang dengan beberapa insiden terjahan keras dan pergaduhan kecil serta dicemari dengan dua layangan kad merah, masing-masing kepada penyerang Perak Gilmar da Silva (minit ke-58) dan pemain tengah TFC, Lee Andrew Tuck (minit ke-66).
Ketika penyokong dari Pantai Timur itu sedang melonjak gembira untuk meraikan kemenangan, hasil usaha keras dan semangat juang tinggi dipamerkan skuad The Bos Gaurus, mereka berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada masa kecederaan di separuh masa kedua menerusi rembatan padu Brendan Gan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pada aksi masa tambahan itu, TFC berjaya menyumbat gol menerusi Mohd Faiz pada minit ke-96 namun jaringan sendiri pemain Terengganu, Igor Zonjic pada minit terakhir permainan memaksa juara ditentukan melalui sepakan penalti.
Badi final Piala Malaysia 1998 masih menghantui TFC apabila mereka gagal menyaingi kehebatan Perak yang menyaksikan anak buah Irfan Bakti terpaksa berputih mata setelah tumpas 1-4, sekali gus mengulangi skrip sama 20 tahun lepas, dengan kekalahan 3-5 dalam penentuan sepakan penalti. #sumber
KUALA LUMPUR - Pengacara Roslan Shah tidak menafikan sekeping gambar bogel yang tersebar sejak semalam adalah miliknya.
Dia juga turut berkongsi gambar bogel tersebut di Instagramnya semalam dengan menyertakan dakwaan bahawa ada pihak yang cuba mengaibkan dirinya.
"Terima kasih orang yang menyebarkan gambar ini serta video. Tergamak sungguh ya mahu memahukan saya.
"Terima kasih kepada pengikut dan peminat saya yang menghantar gambar ini menerusi WhatsApp tadi. Tidak tahu lah apa lagi yang tidak puas hati dengan saya," tulisnya.
Namun menerusi sebuah portal, Roslan memberitahu gambar berkenaan dirakam oleh seorang rakannya dengan niat sekadar untuk bergurau.
Gambar tersebut dirakam sekitar tahun lalu ketika dia berada di sebuah hotel. #sumber