script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Sultan Pahang: Pengamal Media Perlu Teliti Dahulu, Perhalusi Setiap Berita Sebelum Buat Kesimpulan

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati pengamal media agar meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat kesimpulan hingga menyimpang daripada maksud asal.

Nasihat itu dititahkan susulan tindakan sebuah portal memuat naik laporan berita pada 22 Mac lalu bertajuk 'Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS'.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mej Jen Mohamed Zahari Yahya, berkata baginda sangat dukacita dan kecewa dengan tindakan portal berita itu.

"Laporan pada 22 Mac itu ternyata bersifat fitnah dan boleh memberi implikasi yang negatif sehingga mampu mendorong suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

"Paduka baginda menegaskan bahawa titah baginda ketika sesi taklimat pembangunan daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti dilaporkan portal berita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Dia berkata, kenyataan dibuat baginda pada majlis itu hanya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik.

Katanya, maksud nasihat baginda itu ialah mengingatkan semua pihak supaya masjid yang merupakan tempat ibadat sentiasa dijaga kesuciannya.

"Paduka baginda mengingatkan semua pengamal media cetak atau elektronik agar meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang menyimpang daripada maksud sebenar," katanya lagi.

Mohamed Zahari memaklumkan, baginda turut mengingatkan bahawa etika kewartawanan perlu dipatuhi sepanjang masa.

Berdasarkan semakan, portal itu melaporkan berita terbabit berdasarkan sebuah klip video dan rakaman video TikTok yang tular. #sumber

Share:

Satu Lagi Insiden Serangan Bom Di kedai KK Mart Berlaku, Kali Ini Di Sungai Isap Jaya Kuantan


KUANTAN: Satu lagi kejadian serangan bom membabitkan cawangan KK Super Mart dilaporkan berlaku awal pagi ini di Sungai Isap Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus kedai serbaneka berkenaan sekitar jam 5.40 pagi.

"Berdasarkan laporan diterima, pengadu mendakwa terdapat individu tidak dikenali membaling molotov cocktail hingga menyebabkan kebakaran pada bahagian pintu masuk (karpet) kedai serbaneka itu.

"Ketika kejadian, terdapat dua pekerja kedai berkenaan, seorang pekerja wanita berada di kaunter manakala seorang pekerja lelaki sedang menyusun barang di bahagian rak belakang," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Dia memaklumkan, terdapat empat rak jualan dalam premis itu, termasuk barangan jualan mengalami kerosakan akibat terkena percikan api.

"Kedai ini baru beroperasi kira-kira dua minggu dan pegawai penyiasat akan meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai suspek dan kronologi kejadian.

"Pasukan forensik juga sudah ke lokasi bagi mengumpul bahan bukti untuk tujuan siasatan," katanya lagi.

Wan Mohd Zahari tidak menolak kemungkinan insiden itu mempunyai kaitan dengan isu penjualan stoking kalimah Allah di premis sama di ibu negara, baru-baru ini.

Katanya, jumlah kerugian dianggarkan RM500 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dia turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Sementara itu, jurucakap Bomba Pahang berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 5.40 pagi.

"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bersama enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.

"Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, kebakaran sudah berjaya dikawal oleh orang awam menggunakan alat pemadam api," katanya.

Pasukan bomba seterusnya membuat pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Operasi ditamatkan sekitar jam 6.10 pagi, selepas pasukan bomba berpuas hati dengan pemeriksaan dilakukan di sekitar premis itu.

Dalam pada itu, komander operasi memaklumkan siasatan lebih lanjut akan dilakukan unit forensik bomba bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

"Anggaran peratusan kebakaran 1 peratus, tidak melibatkan stuktur bangunan dan tidak melibatkan mangsa," katanya.

Ini merupakan insiden serangan kedua membabitkan KK Mart selepas tercetus kontroversi jualan stoking yang mengandungi kalimah Allah.

Pada 26 Mac lalu, sebuah cawangan kedai serbaneka itu di Bidor, Perak dibaling dengan bom petrol, kira-kira pukul lima pagi.

Bagaimanapun bom petrol itu jatuh di kawasan kosong di depan kedai itu, yang terletak di Jalan Mosi, dan tidak meletup. #sumber

Share:

MCMC Bekerjasama Dengan Polis Untuk Menjejaki Pemilik Akaun Media Sosial Provokatif Isu Stoking

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pemilik akaun media sosial yang menyebarkan kandungan provokatif berkaitan isu stoking ada kalimah Allah.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan yang melampau di media sosial.

“Susulan insiden melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah, MCMC bekerjasama dengan polis bagi mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“MCMC mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komenkomen yang bersifat provokatif dan 3R (kaum, raja dan agama) di media sosial.

Berdasarkan statistik MCMC terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023 manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja 27,115 kandungan diturunkan.

Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu.

“Kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.

“Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. #sumber

Share:

Kemalangan: Bas Pesiaran Terbalik Di Kilometer 51.4 Arah Timur Dekat Lentang, Dua Maut, 11 Cedera

BENTONG: Dua maut dan 11 cedera dalam nahas bas pesiaran terbalik di Kilometer 51.4 arah timur berdekatan Lentang, Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dekat sini pada jam 7.53 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata mangsa yang maut adalah lelaki warga asing dan seorang lagi penumpang wanita yang belum dikenal pasti.

"Pemandu bas dan seorang wanita tempatan cedera parah manakala 11 penumpang lain cedera dan lima terselamat. Bas tersebut bertolak dari TBS menghala ke Kuantan dengan mebawa 20 penumpang termasuk pemandu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong menerima panggilan jam 8.00 pagi tadi memaklumkan kemalangan tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, Badrul Hisham Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 pagi.

"Seramai 19 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian bersama lima jentera yang terletak kira-kira 20 kilometer dari BBP Bentong dan sampai ke tempat kejadian pada jam 8.12 pagi.

"Anggota bomba mengeluarkan seorang wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas dan membawa mangsa ke Hospital Bentong menggunakan ambulans bomba (EMRS)," katanya.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Facebook melaporkan aliran trafik arah timur terhenti sepenuhnya menyebabkan kesesakan sepanjang 4.7 kilometer manakala arah barat, trafik sesak sepanjang 2.2km.


"Semua lorong arah timur dan arah barat terhalang bagi kerja pengalihan. Trafik arah barat dilencongkan ke Hentian Sebelah Lentang," katanya. #sumber

Share:

Pemilik Tanah Aina Perlu Akur Dengan Undang-Undang, Tidak Perlu Keluar Kenyataan Seolah-Olah Dizalimi !

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 53, hari ini menggesa pemilik Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil  bertabah atas musibah yang berlaku ke atasnya.

Pada Selasa, laluan masuk ke premisnya itu telah ditutup oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). Ia menimbulkan kemarahan beliau kerana hanya itu sahaja laluan masuk untuk pelanggan ke restorannya. 

Menurut Shukri, beliau mengikuti kes tersebut sejak dari awal lagi dan tidak mahu ia dijadikan polemik bagi menyalahkan Kerajaan Negeri Pahang sepenuhnya dalam isu ini.

"Sebenarnya kes ini sudah bermula sejak dua tahun lalu, apabila Puan Sri Shariffa Sabrina yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub atas tiga atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah," dakwa Shukri.

Menurutnya pertuduhan pertama, beliau didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135, Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053, Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub pada jam 2 petang, 10 Jun tahun lalu.

Manakala pertuduhan ketiga pula, beliau didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572, Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, Raub.

"Maknanya disini, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang bukanlah tergesa-gesa kerana beliau sepatutnya sudah tahu dan mengambil tindakan memperbetulkan keadaan termasuk mencari alternatif jika berhadapan dengan kemungkinan seperti hari ini.

"Dua tahun lamanya, sepatutnya beliau sudah melakukan sesuatu. Namun sikap sambil lewa dan menganggap berada di pihak yang benar menyebabkan dia terpaksa berhadapan dengan tindakan tegas," tambah Shukri.

Shukri yang juga amat rapat dengan Puan Sri Shariffa Sabrina menggesa beliau mengemukakan rayuan seperti disarankan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail malam tadi. 

Malah menurut kenyataan Wan Rosdy, kerajaan Pahang tidak pernah menghalang warganegara Malaysia terutama rakyat Pahang untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Shukri juga mempersoalkan tindakan Pengurus Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Syarifah Sheila Syed Mustafa yang mendakwa tindakan tersebut seolah-olah mahu menutup periuk nasi orang Melayu setelah dilihat berjaya menghidupkan kawasan hutan berkenaan.

Syarifah Sheila juga ada berkata, jika benar kafe berkenaan melanggar peruntukan undang-undang mengapa kerajaan negeri tidak bertindak sejak dulu lagi.

"Saya nak bagi tahu, sebagai sahabat..undang-undang tetap undang-undang. Jika enam tahun lalu diambil tindakan sudah pasti mereka langsung tak boleh cari makan. Selama enam tahun dah banyak keuntungan dibuat oleh pihak terbabit sebenarnya.

"Jika Kerajaan Pahang zalim, sudah pasti dua tahun lepas sudah diambil tindakan tegas, bukannya hari ini. Namun atas timbang rasa maka operasi Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant dibiarkan.

"Namun, tindakan diambil dengan menutup laluan masuk ke tempat parkir dan satu lagi laluan masuk ke restoran menggunakan batu konkrit kerana mengambil kira undang-undang berkaitan tanah yang telah ditetapkan.

"Sesiapa sahaja menceroboh tanah kerajaan, sewajarnya diambil tindakan agar tidak wujud sikap double standard'," tambah Shukri.

Sementara itu, beliau juga terkejut dengan kenyataan Syarifah Sheila yang mendakwa, penggunaan tanah parkir itu dibuat selepas pengurusan Tanah Aina mendapat persetujuan mulut dengan pihak berkuasa tempatan Bentong enam tahun lalu.

"Agak pelik, hanya persetujuan mulut maka Tanah Aina boleh gunakan tanah kerajaan?. Sedangkan orang lain tidak berpeluang untuk berbuat demikian. Ini bermakna sudah ada sikap tolak ansur antara kerajaan dengan pihak terbabit sebelum ini.

"Makanya, tidak perlulah diperbesarkan isu berkenaan. Ternyata kesalahan yang dilakukan itu adalah jelas iaitu menggunakan tanah kerajaan untuk dijadikan parkir. Bayangkan kalau saya yang berbuat demikian, sudah pastilah sejak awal lagi sudah diambik tindakan tegas oleh pihak kerajaan. Ini tidak adil untuk rakyat yang lain," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, menurut Shukri lagi beliau difahamkan  Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant  buat permohonan untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk tanah yang digunakan sebagai laluan dan tempat parkir kenderaan sejak Mac 2022, namun sehingga kini tiada kelulusan diberikan dan masih menunggu jawapan.

"Bagi saya, Tanah Aina sudah beroperasi lebih awal dan seharusnya perkara itu telah diselesaikan. Mac 2022 adalah waktu yang sama Puan Sri Shariffa Sabrina didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertubuhan menceroboh tanah kerajaan.

"Kenapa bila sudah didakwa baru mahu memohon TOL, kenapa tidak lakukan lebih awal ketika mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan mendapat lesen serta membayar cukai yang diperlukan tanpa masalah sejak awal-awal operasi perniagaan itu dibuka?.

"Kenapa bila sudah didakwa, baru mahu bertindak?. Sepatutnya ia diusahakan lebih awal agar tidak menyusahkan pihak terbabit. Soal sudah ada tempahan untuk  bulan Ramadan seperti yang didakwa maka saya rasa ia boleh saja dibatalkan secara terhormat. Tambahan pula isu ini sudah menjadi tular dan pasti pelanggan terbabit juga mengikutinya dan tahu masalah yang melanda, bukannya segaja dibatalkan," katanya lagi.

Sementara itu Shukri turut menasihatkan Puan Sri Shariffa Sabrina agar tidak bermain sentimen kononnya Kerajaan Pahang mahu bermusuh dengan beliau dan sengaja menzaliminya. 

Kata Shukri, apa yang berlaku adalah berlandaskan undang-undang dan saya juga bimbang jika dibiarkan maka lebih ramai lagi penceroboh akan mengambil kesempatan kerana melihat kes ini. Bermuhasabahlah dan cari jalan penyelesaian yang terbaik dengan pihak Kerajaan Pahang, bukan dengan membuat tuduhan dan dakwaan liar yang tidak berasas. #sumber

Share:

Tidak Wujud Sentimen Penguatkuasaan Di Tanah Aina Fareena, Pemilik Boleh Kemuka Rayuan

KUANTAN: Pihak Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong yang ditutup kawasan parkir oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) boleh mengemukakan rayuan kepada kerajaan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Pahang tidak pernah menghalang warganegara Malaysia terutama rakyat Pahang untuk berbuat demikian.

“Rayuan, mohon tanah semua boleh, kita tidak halang warganegara terutama rakyat negeri Pahang untuk membuat rayuan, mohon tanah.

“Kemudian terpulang kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas penutupan laluan masuk ke restoran berkenaan oleh UPNP.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Petronas di Hotel Grand Darul Makmur malam tadi.

Pada Selasa, media melaporkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, sekali gus mendorong Unit UPNP menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Susulan tindakan itu, pemilik restoran, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil meminta kerajaan Pahang untuk mempertimbangkan rayuan dan memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan.

Shariffa Sabrina berkata, pihaknya juga sedia untuk berbincang sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan, sekali gus menyelesaikan isu yang timbul dengan cara baik.

Menjawab dakwaan wujud sentimen antara kerajaan Pahang dan pihak Tanah Aina, Wan Rosdy menafikan perkara tersebut dan menegaskan tindakan dilakukan susulan penguatkuasaan telah dijalankan di kawasan itu.

Beliau berkata, tindakan yang diambil bukan perkara baharu dan secara tetiba-tiba, sebaliknya ia berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

“Kita sudah beritahu lama dah bukan kata hari ini kita nak ambil tindakan, hari ini terus kita pergi buat tindakan.

"Untuk penguatkuasaan (ia) ada peraturan-peraturan tertentu seperti mengeluarkan amaran, notis, dan sebagainya.

"Oleh sebab mereka ingkar, tidak mematuhi notis dan amaran daripada kerajaan negeri jadi penguat kuasa terpaksa mengambil tindakan," katanya yang menolak dakwaan mengatakan kerajaan Pahang mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan tanpa pengetahuan.

Mengulas restoran berkenaan yang turut membantu mempromosikan pelancongan di daerah Bentong, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menggalakkannya, namun ia perlu dilakukan dengan proses yang betul.

Wan Rosdy menambah, bukannya mempromosikan dengan melalui jalan yang sepatutnya tidak boleh dilalui.

"Kita galakkan tapi kena buat cara betul. Kerajaan Pahang juga sudah berbincang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan mereka mengesahkan bahawa jalan itu tidak sepatutnya dibuka untuk laluan sebab ini lebuh raya," katanya. #sumber


Share:

Kerajaan Bersetuju Memberi Tol Percuma Pada 8 Dan 9 April Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri

SEREMBAN: Kerajaan bersetuju memberi tol percuma selama dua hari kepada kenderaan kelas satu (persendirian) sahaja pada 8 dan 9 April 2024 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 10 April ini.

Pengecualian tol ini dilaksanakan di semua plaza tol di seluruh negara membabitkan lebuhraya utama iaitu Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak di Tol Gombak serta Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 kecuali  di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya utama seluruh negara bermula pada jam 12.01 tengah malam 8 April dan akan berakhir pada jam 11.59 malam 9 April ini.

“Tol percuma ini membabitkan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nantha Linggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Rumah Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) di sini petang hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir.Dr. Sazali Harun.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidnag pada 7 Februari lalu selaras dengan aspirasi kerajaan Perpaduan Madani yang sentiasa menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, Alexander mengambil masa meninjau fasiliti-fasiliti di R&R Seremban (arah selatan) yang telah dinaiktaraf dengan kos berjumlah RM45 juta.

Menurutnya, kawasan rehat dan rawat itu telah dinaiktaraf dengan reka bentuk binaan berkonsepkan mesra alam dan menggunakan tenaga solar untuk menjana tenaganya termasuk kemudahan tempat letak kereta yang selesa dan luas menjamin keselesaan pengguna lebuh raya tersebut. #sumber

Share:

Pemilik Kafe Tanah Aina Fareena Nafi Terima Notis Rasmi Peringatan Penutupan Parkir Restorannya

SHAH ALAM: Pemilik Kafe Tanah Aina Fareena, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil nafi diberikan notis rasmi peringatan penutupan parkir restoran miliknya.

Sebaliknya beliau berkata hanya diberikan peringatan berkenaan rancangan penutupan kawasan parkir termasuk akses ke kafe itu secara lisan oleh wakil penguatkuasa yang hadir ke premisnya pada minggu lalu.

“Exco cakap tu tidak betul, surat pun kita e mail pada Jumaat.  Tapi mereka kata sudah terlambat sudah buat keputusan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan satu lagi akses ke kafe termasuk parkir berkenaan ditutup.

Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meletakkan 11 penghadang konkrit berwarna hitam kuning bagi menutup akses maksuk ke ruang parkir menuju ke kafe tersebut.

Difahamkan satu lagi akses masuk telah ditutup pada dua minggu yang lalu.

Susulan tindakan itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim semalam memaklumkan pemilik kafe telah diberikan notis peringatan namun didakwa masih ingkar.

Sehubungan itu,  Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) terpaksa menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Mengulas lanjut pemilik kafe yang juga aktivis alam sekitar itu menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkannya seolah-olah ingin menutup perniagaannya apabila tidak membenarkan pelanggan menggunakan akses yang ada.

Dalam masa yang sama Shariffa mendakwa permohonan untuk menyewa tapak parkir tidak pernah dilayan oleh UPNP.

“Surat rayuan ke Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk benarkan saya sewa tanah sekangkang kera (parkir) itu tidak ada respon.  Selama ini tidak ada pemberitahuan kalau perlukan saya sewa masa saya beli tanah itu.

“Setiap bulan ada penguat kuasa datang buat kacau macam mana kita nak berniaga dan maju ke depan kalau begini. Sebenarnya tidak ada masalah. Mungkin saya  vokal bersuara tentang pembalakan tapi itu sebab saya bertanggungjawab dengan kerja saya,” katanya lagi.

Jelas beliau, sebagai peniaga bumiputera kerajaan sepatutnya bangga dengan pencapaiannya membuka kafe yang dapat menarik perhatian pelancong tempatan dan luar dengan konsep alam sekitar yang dijaga.

“Dalam Kongres Bumiputera dia (kerajaan) cakap pasal bumiputera tapi kenapa buat orang Melayu yang berniaga begini? Kenapa tidak tolong?,” soalnya.

Sehubungan itu beliau merayu kepada Kerajaan Negeri Pahang supaya memberi peluang kepadanya berniaga tanpa gangguan di kawasan tersebut.

“Saya memohon jasa baik kerajaan bagi peluang saya jalankan perniagaan kerana ini untuk menaikkan nama kerajaan negeri kerana di Bentong, Raub tempat riadah.

“Apa salahnya kita cantikkan tempat kita, masyarakat boleh datang tidak ada masalah apa-apa saya sendiri tidak tahu apa yang mereka marah sangat kepada saya sampai jadi macam ni, bulan puasa pula tu. Macam mereka nak tutup mereka tidak mahu Tanah Aina ini.

“Saya bukan musuh. Saya tulis rayuan banyak kali nak kerjasama tidak payahlah saman,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Shariffa, Rajesh Nagarajan menyifatkan tindakan tersebut menyalahi undang-undang kerana menghalang anak guamnya masuk ke  hartanah yang dimilikinya.

Susulan itu, beliau tidak menafikan akan  menasihati anak guamnya untuk membuat laporan polis.

“Ini adalah menyalahi undang-undang. Bagaimana boleh berlaku pemilik hartanah dihalang masuk ke dalam tanah miliknya sendiri?

“Mana-mana badan awam yang bertindak mereka telah gagal memberi notis kepada pemilik hartanah dalam bertindak jika (pemilik) tahu bolehlah pemilik ambil apa-apa tindakan. Ini adalah tindakan menghadkan secara langsung kepada pemilik,” katanya. #sumber

Share:

Kafe Tanah Aina Faereena: Janji Mulut Tak Pakai, Notis Komunikasi Sudah Diberi - Ir Razali

KUANTAN: Semua urusan permohonan tanah kerajaan negeri perlu melalui prosedur yang betul supaya ia jelas bagi kedua-dua pihak dalam perjanjian hitam putih.

Ia termasuk perjanjian mulut tanpa dokumen seperti didakwa oleh pengurusan Kafe Tanah Aina Fareena  semalam berkaitan kebenaran menggunakan tanah kerajaan untuk dijadikan ruang parkir.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim berkata, perjanjian mulut sahaja tidak mencukupi dan  tidak boleh diguna pakai dalam urusan rasmi kerajaan.

“Berhubung isu jika ada perjanjian mulut antara pihak mereka itu saya tidak pasti, jika ada sekali pun perjanjian itu tidak laku kerana tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.

Semalam kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menutup ke laluan parkir di kafe berkenaan menggunakan 11 penghadang konkrit setelah notis pemakluman dibuat pada Isnin lepas.

Jelas Razali, notis pemakluman secara komunikasi tersebut dilakukan oleh pihak UPNP yang hadir ke premis dan memaklumkan tindakan tegas akan diambil dalam tempoh seminggu.

Sementara itu Razali berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau dan mengambil tindakan secara berterusan ke atas mana-mana penceroboh yang menduduki tanah kerajaan Pahang.

Beliau sekaligus menyangkal tindakan hanya diambil setelah enam tahun membenarkan pihak Tanah Aina mendiami tanah berkenaan sebaliknya keputusan diambil berdasarkan keputusan mesyuarat kerajaan negeri.

“Sebenarnya kerajaan negeri mengambil tindakan secara berterusan dan berperingkat dari dulu lagi. Kita pun ada kekangan petugas kita tahu Pahang ini luas dan kita tak boleh buat dalam seluruh negeri secara serentak tetapi berperingkat.

“Tindakan dibuat berdasarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebab beliau buat parkir operasi perniagaan di atas tanah milik kerajaan negeri,” katanya.

Justeru beliau menasihati semua pihak tidak menceroboh kerajaan tanpa sebarang kelulusan termasuk  yang bersubahat bakal berdepan tindakan undang-undang seperti tertakluk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. #sumber

Share:

Jejambat Dari Persimpangan Bukit Setongkol Ke Jambatan Putra Dijangka Dibuka Sebelum Aidilfitri

KUANTAN: Jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol menuju Jambatan Putra bernilai RM 47 juta sudah siap sepenuhnya dan diserahkan oleh pihak kontraktor pada 22 Mac lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Negeri Pahang,  Ir Razali Kassim berkata, walaupun jejambat tersebut kini tersedia digunakan namun ia masih menunggu kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk dibuka.

Razali yang meninjau projek yang bermula pada 15 Jun 2020 itu memohon agar kelulusan laluan tersebut dibuka segera supaya dapat digunakan dalam tempoh terdekat bagi mengurangkan kesesakkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Alhamdulillah tengok semuanya dah ready untuk dibuka cuma melalui proses di mana kelulusan untuk buka jalan adalah daripada KKR, dan  Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah pelaksana.

“Saya pun dah minta pada pihak JKR membantu untuk mengusahakan buka flyover (jejambat) ini dalam masa terdekat, kalau boleh sebelum raya Aidilfitri ini,” katanya selepas lawatan kerja ke jejambat berkenaan hari ini.

Difahamkan  projek flyover ikonik Kemunting-Bukit Setongkol bypass ini bakal memendekkan pejalanan dari Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur melalui Jambatan Putra.

Struktur jejambat sepanjang 280 meter ini dibina untuk pemanduan 60km/jam di dilengkapi lampu jalan jenis LED di kedua-dua belah hala.

Projek ini merupakan perjanjian tambahan daripada pembinaan Jambatan Putra yang menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra Tanjung Lumpur dengan keseluruhan jarak sejauh 2.5 kilometer.

Skop pembinaan secara reka dan bina itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong berkembar, dilaksanakan oleh kontraktor yang sama bagi kontrak sebelum ini yang menyediakan dua laluan patah balik dari kedua-dua arah.

Turut meninjau kawasan itu ialah Pengurus Besar Pembinaan Unit Projek Khas Zon Timur 2 Cawangan Jalan, JKR Malaysia, Shahriman Daud serta Timbalan Pengarah JKR Pahang, Ir Rosnan Hussin.

Dalam pada itu, Shahriman berkata, pembinaan flyover itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di Tanah Putih dan Bandar Kuantan serta memendekkan perjalanan daripada melalui pusingan-u di Tanah Putih di laluan Persekutuan FT002 sebelum ini.

Ia dapat memendekkan jarak sepanjang 9 kilometer (km) dan menjimatkan masa perjalanan sekitar 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari arah Gambang ke kawasan Tanjung Lumpur.

“Kita tak dapat lagi jangkaan tarikh sebenar untuk buka tapi saya difahamkan hari ini wakil pihak dari pejabat Kuala Lumpur melihat persiapan dan kesediaan jejambat ini untuk dibuka.

“Perkara tersebut akan dibawa ke sesi mesyuarat yang akan diadakan pada Jumaat ini dan kebenaran untuk buka jalan ini kita akan terima daripada pihak KKR sendiri,” katanya. #sumber

Share:

Gelagat 'Bumblebee' Dan "Optimus Prime' Tarik Perhatian Pengunjung Ke Bazaraya Makmur Aidilfitri Di Dataran Sekilau

KUANTAN: Pengunjung ke Grand Bazaraya Makmur Aidilfitri di Dataran Sekilau dekat sini akan berpeluang melihat kelibat persembahan santai dua jenis cosplay transformer menari setiap hari di situ bermula pada Jumaat ini. 

Bazaraya anjuran Mitashamika Resources yang bermula 12 Mac lalu, senantiasa meriah dengan ratusan gerai jualan persiapan raya setiap tahun. Malahan pada waktu puncak menjelang malam raya pengunjung mencecah puluhan ribu orang yang datang ke sini.

Kehadiran cosplay transformer jenis Bumblebee dan Optimus Prime itu sudah pasti menambat hati pengunjung terutamanya yang membawa anak-anak kecil.

Demikian ditegaskan oleh Farra Nur Diana,  yang membawakan perkhidmatan terbabit ke Dataran Sekilau baru-baru ini. Beliau yang merupakan Pengurus Pemasaran, Bajet Ciput Enterprise berkata kemuculan transformer sudah pasti menambat hati pengunjung untuk bergambar dan merakamkan video.

"Kami telah membuat persembahan ujian selama tiga hari baru-baru ini dan ternyata ia mendapat sambutan hangat dikalangan pengunjung terutamanya kanak-kanak. Paling menarik kedua-dua cosplay ini kelihatan seolah-olah hidup.

Ia berjoget mengikut alunan muzik yang dimainkan dengan mata bercahaya sudah pasti nampak real dan menarik pandangan mata," katanya.

Sementara itu, Farra menjelaskan syarikatnya juga menawarkan perkhidmatan terbabit untuk orang ramai yang berminat, terutamanya kepada mereka yang mengadakan sebarang acara keramaian seperti festival, karnival, expo, sukan sekolah, majlis hari jadi, hari terbuka, perasmian kedai, majlis konvokesyen atau pelancancaran program terbuka dan di hotel-hotel.

"Kami menawarkan perkhidmatan dengan kadar harga yang berpatutan untuk menghiburkan orang ramai dan pengunjung yang hadir ke masjlis tersebut berdasarkan pakej-pakej yang telah ditetapkan.

"Di Bazaraya Makmur Aidilfitri ini kami akan hiburkan pengunjung bermula jam 9.00 hingga 12.00 tengah malam bergantung situasi. Orang ramai yang nak bergambar dengan Bumblebee dan Optimus Prime hanya perlu membuat sumbangan ikhlas ke dalam tabung yang disediakan sahaja," tambah beliau lagi.

Justeru, orang ramai yang mahu melihat kelibat Transformer boleh hadir beramai-ramai ke Dataran Sekilau. Di samping mencari barangan keperluan hari raya, anak-anak anda juga akan dihiburkan dengan kelibat Transformer ini.

Bagi yang mahu mendapatkan perkhidmatan, boleh WhatsApp ke talian hotline admin 010-3358665 untuk pertanyaan lanjut. Jom ramai-ramai ke Bazaria Makmur Aidilfitri sekarang.

Share:

Padang MBK 1 Berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Lokasi Utama World #QuranHour Di Pahang

KUANTAN: Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK 1) berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini dipilih sebagai lokasi Program World #QuranHour peringkat negeri Pahang yang akan berlangsung 4 April ini.

Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, sambutan kali ini mencipta kelainan dan sangat istimewa kerana diadakan secara terbuka di tengah padang menghadap masjid.

Menurutnya, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana ia diadakan dalam ruangan masjid.

"Padang MPK 1 juga lokasi popular dan menjadi tumpuan ramai untuk berbuka puasa secara santai setiap kali Ramadan

"Lokasi ini sememangnya sudah terisi dengan aktiviti iftar setiap petang dan sesuai dengan program ini yang akan diadakan bermula jam 6 hingga 7 petang hari berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Rozamli berkata, secara tidak langsung program World #QuranHour yang akan diadakan di lokasi itu nanti menjadi sebahagian aktiviti pengisian rohani kepada orang ramai.

"Program ini Insya-ALLAH dapat menarik perhatian orang ramai berkumpul untuk 'healing' dengan tadabbur al- Quran sementara menunggu waktu berbuka," ujarnya.

Beliau berkata, World #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang.

Tambah beliau, tiada sasaran penyertaan ditetapkan kerana program ini terbuka dan umum.

"Bagaimanapun kami yakin ia akan mendapat sambutan sesuai dengan lokasi utama yang dipilih yang sememangnya penuh dengan orang ramai setiap petang sepanjang Ramadan.

"Ia juga berlangsung santai untuk orang ramai dengan penyertaan pegawai masjid, warga JAIP dan komuniti warga Kuantan," jelasnya.

Beliau berkata, al Quran adalah penawar hati dan penyegar kerungsingan hidup.

"Melalui penganjuran World #QuranHour saban tahun dengan surah-surah pilihan mampu mengangkat pemikiran dan kesedaran umat Islam untuk terus berhubung dan berinteraksi al- Quran dalam kehidupan seharian.

"Surah al Jumu'ah yang menjadi surah pilihan kali ini mengajak ummah untuk reset diri dengan tilawah, tazkiyah, ta'lim dan hikmah.

"Surah itu sebagai misi penting ketika keadaan dunia hari ini berdepan penghakisan nilai diri dan masyarakat disebabkan kesombongan, takut mati, hiburan dan perniagaan hingga ramai hilang punca untuk menyelesaikan konflik yang berlaku," jelasnya. #sumber

Share:

Satu Kes Kematian Akibat Strok Haba Dilaporkan Berlaku Di Maran Pada 2 Februari Lalu - Zahid

KUALA LUMPUR: Satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan berlaku setakat ini membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kes kematian itu berlaku di Maran, Pahang pada 2 Februari lepas.

"Kita bersyukur kita belum berada di tahap ketiga iaitu gelombang haba ekstrem, namun ini boleh berlaku bila-bila masa jika kita lihat bahawa perubahan iklim dan dan berlakunya penipisan lapisan ozon menyebabkan negara kita tidak terlepas daripada cuaca panas ekstrem,

"Mudah-mudahan kita berusaha dengan cara yang baik termasuk pembenihan awan yang dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Angkatan Tentera Malaysia di beberapa kawasan tertentu," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara pada Isnin.

Menjawab celahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai kos pembenihan awan, Ahmad Zahid berkata setiap operasi berkenaan menelan belanja kurang RM100,000 dan ia bergantung kepada keadaan awan dan tiupan angin yang sesuai. #sumber

Share:

Wali Hakim Dapat Perhatian Kerajaan Pahang Menerusi Bantuan 'OIne Off' RM500 Seorang Tahun Ini

TEMERLOH: Nasib wali hakim di Pahang turut mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi bantuan 'one off' RM500 seorang buat julung kalinya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, seramai 290 wali hakim mendapat bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM145,000.

Menurutnya, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang telah bersetuju dengan cadangan pemberian bantuan tersebut.

"Peranan wali hakim sangat penting dan perlu berikan imbuhan terhadap mereka yang bertugas sebagai sukarelawan agama kerana berbakti kepada orang ramai, bertugas bagi pihak kerajaan.

"Kebetulan pula pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, jadi harapan kerajaan negeri kepada penerima ini untuk terus bertugas, berbakti dan memperkasakan agama Islam di Pahang," katanya.

Beliau ditemui sempena Majlis Penyampaian Bantuan 'One Off' Tahunan Perjawatan Tahunan Perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pahang di Dewan Dato Zaharuddin Abu Kasim di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkifli Ali.

Ujar beliau, pemberian bantuan itu juga adalah sebagai tanda keprihatinan dan kepekaan kerajaan negeri di dalam menjaga kebajikan perjawatan itu serta meringankan bebanan peningkatan kos sara hidup masa kini.

Sementara itu, bagi seorang wali hakim, Abdul Rahim Yusof, 61 dari Mukim Kuantan Barat bersyukur dengan bantuan itu yang tepat pada masanya menjelang Aidilfitri.

"Syukur selepas tiga tahun bertugas, kami juga mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan negeri kali ini," tambahnya. #sumber

Share:

Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe Rayu Kerajaan Pahang Pertimbang Tindakan Tutup Laluan

SHAH ALAM: Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong yang ditutup laluan masuk oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) semalam, meminta kerajaan negeri itu untuk mempertimbangkan rayuan serta memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan.

Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya juga sedia untuk berbincang sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan, sekali gus menyelesaikan isu yang timbul dengan cara baik.

Semalam, media melaporkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, sekali gus mendorong Unit UPNP menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pihak berkenaan menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran terabit.

Jelasnya, peringatan telah diberikan dan tindakan tegas diambil bagi memastikan semua rakyat di negeri ini menghormati keputusan yang dibuat berdasarkan lunas undang-undang.

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina memaklumkan tiada notis rasmi diberikan kepada pihaknya berhubung penutupan dua laluan masuk serta kawasan parkir di restoran itu oleh kerajaan negeri Pahang semalam, sebaliknya hanya peringatan lisan pada Selasa minggu lalu bahawa kerajaan negeri akan melakukan tindakan penutupan dalam tempoh tujuh hari.

Selepas dimaklumkan perkara itu, katanya, pihaknya segera mengemukakan surat rayuan supaya tidak menutup laluan dan kawasan parkir dihantar melalui emel kepada pihak Pengarah UPNP Jumaat lalu.

"Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan negeri berhubung perkara itu.

"Dan semalam, mereka menutup laluan masuk ke tempat parkir dan satu lagi laluan masuk ke restoran menggunakan batu konkrit dan meletakkan notis bahawa laluan ditutup," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Shariffa Sabrina yang juga bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) berkata, semasa membuka restoran itu pada 2010, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan mendapat lesen serta membayar cukai yang diperlukan tanpa masalah.

"Kami juga ada buat permohonan untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk tanah yang kami gunakan sebagai laluan dan tempat parkir kenderaan sejak Mac 2022, namun sehingga kini tiada kelulusan diberikan dan masih menunggu jawapan," katanya.

Berikutan tindakan penutupan laluan semalam, katanya, pelanggan kini hanya boleh meletakkan kenderaan di tepi jalan di laluan arah Bentong untuk jika mahu ke restoran berkenaan, atas kebenaran pemilik tanah iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Namun, katanya, lokasinya agak sempit dan tidak selamat kerana terletak di tepi Lebuhraya Karak, justeru tindakan kerajaan negeri menutup tempat parkir itu memberi kesan kepada perniagaan serta menyulitkan pelanggan.

"Sekiranya pihak kami ada melakukan sebarang kesalahan, kita terbuka untuk berbincang dan menyelesaikan segala isu yang timbul dengan cara baik, bukan melalui tindakan undang-undang atau tindakan sebegini (penutupan kawasan parkir dan laluan masuk)," katanya.

Sementara itu, peguam N Rajesh, berkata tindakan kerajaan negeri menutup laluan masuk ke restoran dan laluan ke kawasan parkir serta ruang letak kenderaan itu sebagai tidak munasabah.

"Jika benar perlu melakukan penutupan, pihak berkuasa perlu memberikan 'return notice' kepada pemilik, tetapi dalam hal ini, tiada sabarang notis diserahkan," katanya. #sumber

Share:

Kafe Tanah Aina Fareena Beroperasi Enam Tahun, Kenapa Baru Sekarang Kerajaan Pahang Bertindak?

BENTONG: Pihak pengurusan Kafe Tanah Aina Fareena mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan menutup laluan akses masuk ke premis itu hari ini.

Pengurusnya, Syarifah Sheila Syed Mustafa berkata, tindakan tersebut seolah-olah mahu menutup periuk nasi orang Melayu setelah dilihat berjaya menghidupkan kawasan hutan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya pertimbangkan untuk menangguhkan penutupan tersebut kerana ingin menguruskan tempahan berbuka puasa sempena Ramadan ini.

Syarifah Sheila berkata, jika benar kafe berkenaan melanggar peruntukan undang-undang mengapa kerajaan negeri tidak bertindak sejak dulu lagi.

“Saya nak tahu, kita ni rakyat Malaysia, kita dah berniaga selama enam tahun di sini, tapi kenapa baru sekarang ambil tindakan.

“Kenapa tidak dulu lagi? Kenapa setelah pelancong dari Singapura dan macam-macam orang datang ke sini tiba-tiba nak tutup tempat ni,” luahnya.

Syarifah Sheila mendakwa, penggunaan tanah parkir itu dibuat selepas pengurusan Tanah Aina mendapat persetujuan mulut dengan pihak berkuasa tempatan Bentong enam tahun lalu.

Namun, katanya, persetujuan antara kedua pihak itu tidak dimuktamadkan menerusi permohonan atau perjanjian bertulis secara hitam putih.

Katanya, pihak Tanah Aina ada menyuarakan untuk permohonan penerima lesen pendudukan sementara (TOL) namun dikatakan tidak berkeperluan.

“Ketika itu kafe kita belum beroperasi, kita ada pergi ke pihak majlis dan minta kebenaran menggunakan kawasan ini untuk parkir.

“Masa tu YDP (Bentong) kata guna dulu parking ni, lagi pun tempat situ tidak dipakai, cuma kena jaga tempat itu.

“Tapi kesilapan besar kita tiada surat hitam putih, hanya persetujuan mulut enam tahun lepas. Kita nak bayar TOL dulu tapi mereka kata  tak perlu, sebab itu kami jaga tempat ini,” jelasnya.

Hari ini Kerajaan Negeri Pahang menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menutup ke laluan parkir berkenaan menggunakan penghadang konkrit setelah notis pemakluman dibuat seminggu lalu.

Syarifah Sheila berkata, beliau telah berusaha untuk berunding dan memohon budi bicara pihak kerajaan negeri memberi sedikit kelonggaran agar tidak menutup laluan tersebut sehingga penghujung Ramadan.

Ia kerana, sepanjang Ramadan ini, Kafe Aina menerima tempahan pelanggan untuk majlis berbuka puasa.

Meskipun tindakan tegas sudah dikenakan di bawah  Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan penutupan dua jalan ke kafe, pihaknya berhasrat membuat rayuan kepada pihak kerajaan negeri bagi penangguhan penutupan tersebut.

“Nak minta buka (laluan masuk) sampai hujung Ramadan pasal kita dah terima tempahan yang banyak.

“Bila dah macam ni tak boleh buat apa kami akur, tetapi kami akan buat rayuan,” tambah Syarifah Sheila lagi. #sumber

Share:

Guna Tanah Secara Haram, Parkir Kafe Tanah Aina Fareena Di Bentong Ditutup Sepenuhnya

BENTONG:  Kafe Tanah Aina Fareen sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, natijahnya  Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) terpaksa menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, tindakan tersebut telah diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pihak berkenaan menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran berkenaan.

Jelasnya, peringatan telah diberikan dan tindakan tegas diambil bagi memastikan semua rakyat di negeri ini menghormati keputusan yang dibuat berdasarkan lunas undang-undang.

Menurut Razali, tiada istilah pilih bulu ketika  menguatkuasakan undang-undang kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan tegas. Sesiapa sahaja yang menduduki tanah kerajaan negeri secara haram, akan diambil tindakan.

“Kita ambil  tindakan  terus dan kebanyakan kes terus dibawa ke mahkamah. Tindakan yang diambil sebenarnya sudah dirujuk kepada Pejabat Perundangan negeri,” katanya. #sumber

Share:

PM: Beri Perhatian Khusus, Segerakan Projek Keutamaan Di Pahang

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Kementerian Ekonomi dan semua kementerian serta agensi berkaitan dengan projek-projek keutamaan di Pahang dapat memberikan perhatian khusus dan menyegerakan projek terbabit.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kelancaran perancangan dan keberkesanan pelaksanaan pembangunan projek-projek berkenaan.

"Projek-Projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya warga Pahang dan mereka akan menikmati manfaatnya dalam jangka masa panjang," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Anwar, ketika melakukan lawatan kerja sehari ke Pahang petang tadi, telah mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Pahang yang dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan di negeri itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat itu, pelbagai projek pembangunan dan perancangan seperti menaik taraf, membina infrastruktur dan kemudahan rakyat Pahang telah dibentang serta dibincangkan merangkumi aspek pengangkutan, utiliti, perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, antaranya projek menaik taraf Jalan Pos Pos Sinderut di Lipis, projek Bekalan Air Luar Bandar untuk Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi serta kawasan Mukim Hulu Tembeling di Jerantut, cadangan pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai serta projek menaik taraf lapangan terbang sedia ada Pulau Tioman di Rompin dan pemanjangan landasan.

Turut dibintang projek meroboh blok kuarters sedia ada dan membina blok baharu tambahan Hospital Tengku Ampuan Afzan, menaik taraf Jalan Sungai Koyan (laluan Raub ke Sungai Koyan ke Ringlet) di Raub dan Lipis, projek pembinaan Kolej Komuniti Jelai di Lipis serta projek pembinaan jalan baharu Kuala Medang ke Tanjung Gahai ke Bukit Kota di Lipis.

Terdahulu, Anwar menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz sebelum ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi sesi taklimat tersebut.

Perdana Menteri seterusnya melakukan jelajah mesra di Bazar Ramadan Taman Kerang dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota. #sumber

Share:

Anwar: Wan Rosdy Baik Dengan PM Untuk Majukan Negeri Pahang

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan baik dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah untuk memakmurkan rakyat di negeri ini.

Perdana Menteri berkata, beliau menghormatinya kerana kesungguhan beliau membantu penduduk negeri ini.

“Dia (Wan Rosdy) tak baik dengan saya untuk diri dia, tapi baik dengan saya untuk minta projek untuk rakyat negeri Pahang. Inilah kita nak ciri yang baik dalam kepimpinan,”.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini, semalam.

Menurut Anwar, hubungan baik antara kerajaan  Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang dimaanfatkan bagi menyegerakan projek infrastruktur di Pahang. #sumber

Share:

Sultan Pahang Terima Menghadap PM Anwar Di Istana Abdulaziz

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Abdulaziz, di sini sempena lawatan beliau ke negeri ini semalam.

Berangkat sama Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Perdana Menteri tiba di istana berkenaan pada pukul 3.40 petang, dengan pertemuan berlangsung kira-kira satu jam.

Anwar kemudiannya beramah-mesra dengan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebaik selesai pertemuan berkenaan.

Dalam lawatan sehari ini, Perdana Menteri juga turut dijadualkan mendengar sesi taklimat pembangunan negeri oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudiannya melakukan jelajah mesra di bazar Ramadan Taman Kerang, serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota. #sumber

Share:

Sultan Pahang, Perdana Menteri 'Bertembung' Di Bazar Ramadan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini 'bertembung' di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berselisih dengan Anwar ketika tiba di bazar berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa pada 6.35 petang.

Baginda berdua berkenan bertegur sapa dan berbual pendek bersama Anwar yang mengadakan jelajah mesra di bazar berkenaan.

Perdana Menteri tiba di bazar itu sekitar 6.20 petang diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama kepimpinan kerajaan negeri yang lain.

Beliau yang berbaju Melayu beramah mesra dan menyapa peniaga serta pengunjung sambil merakamkan gambar kenangan.

Usai lawatan itu, Perdana Menteri dijadual berbuka puasa di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Menghadap Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini, petang semalam. #sumber

Share:

Kalimah Allah: Siasatan Sudah Lengkap, Polis Kini Sedang Tunggu Arahan Selanjutnya Daripada Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis telah melengkapkan semua kertas siasatan berhubung isu kalimah Allah pada stoking yang mendapat perhatian di seluruh negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara.

Setakat ini sebanyak 143 laporan polis telah diterima berhubung isu tersebut dan  seramai 174 saksi telah diambil keterangan.

“Kertas siasatan sudah lengkap. kita tunggu arahan terakhir dan terkini dari AGC (Peguam Negara). Bila kita dah dapat (arahan) kita akan maklum pada media,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Pada masa sama, Shuhaily meminta golongan agamawan agar tidak membakar semangat umat Islam secara berlebihan berhubung isu tersebut.

Katanya, adalah lebih baik perkara itu diserah sahaja kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan secara aman.

Shuhaily turut mengingatkan orang ramai agar jaga batasan ucapan yang dibuat dan semua pihak diminta bertenang kerana tindakan telah diambil.

Tegas beliau, pihak yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukkan undang-undang.

“Di bulan puasa ini banyakkan bersabar, kita siasat dan ambil tindakan undang-undang. Biarlah kerja kuat kuasa ini dibuat oleh pihak berwajib.

“Ambil tindakan sendiri, tidak akan redakan tapi memburukkan keadaan. Sebagai umat Islam, barokah bulan puasa ini kita hayati apa sepatutnya, lebih baik konteks tidak puas hati dizahirkan dalam bentuk laporan polis dan seperti sedia maklum apa sahaja laporan yang diterima akan disiasat,” ujarnya. #sumber

Share:

Pelajar Kolej Vokasional Di Temukan Meninggal Dunia, 13 Pelajar Di Tahan Untuk Bantu Siasatan

LAHAD DATU: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas satu alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rohan Shah pihaknya bertindak atas laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan berhubung penemuan pelajar lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.50 pagi, dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memberikan rawatan kecemasan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci secara telus,” katanya.#sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.