script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Lima Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Dengan Treler Di Jalan Kuantan-Segamat !

KUANTAN - Lima beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, di sini semalam.

Mereka yang maut dikenali Muhammad Rosli Ibrahim, 33; Nor Afikah Abdullah Sani, 35; Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6 dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identiti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan kereta Toyota dan sebuah treler pada 3.40 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba kereta itu memasuki laluan treler yang berada di laluan Kuantan-Segamat.

"Pemandu treler cuba mengelak ke kiri jalan tetapi disebabkan jarak terlalu dekat, treler itu melanggar di bahagian hadapan kereta.

"Akibat pelanggaran, pemandu dan empat penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu treler berusia 26 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 13 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan dan Taman Tas, di sini bergegas ke lokasi kemalangan.

"Lima mangsa di dalam kereta dikeluarkan anggota menggunakan peralatan menyelamat.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. #sumber


Share:

Lelaki Maut Jatuh Tingkat Emoat Pangsapuri Di Melaka Selepas 'Khalwat' Dengan Isteri Orang !

JASIN - Gara-gara ingin melarikan diri selepas dicekup berkhalwat bersama isteri orang, seorang lelaki ditemukan maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Bemban di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi tadi, mangsa yang berusia 46 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, saksi iaitu kekasih kepada si mati berusia 37 tahun mendakwa, lelaki itu datang ke rumahnya pukul 12 tengah malam semalam selepas suaminya keluar dan bermalam di situ bersama tiga anak wanita berkenaan. 

Katanya, pada pukul 10.30 pagi tadi semasa pasangan itu berada di ruang tamu, tiba-tiba suami saksi pulang ke rumah lantas menyedari kehadiran si mati. 

“Suami saksi mengunci pintu gril hadapan rumah menyebabkan pasangan itu terperangkap dan dia menghubungi pihak polis.

“Saksi meminta si mati berunding dengan suaminya, namun, lelaki itu nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang pada bahagian koridor untuk berpaut turun,” katanya dalam satu kenyataan. 

Mengulas lanjut, Mispani berkata, saksi yang berada di ruang tamu hanya melihat si mati dari jauh sebelum terdengar bunyi dentuman di luar koridor. 

“Saksi melihat ke bawah dan mendapati lelaki tersebut telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

“Pemeriksaan fizikal ke atas mayat si mati mendapati terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka dipercayai dia jatuh dalam keadaan terhempap, lengan kiri mangsa juga patah,” katanya. 

Ujarnya lagi, saksi memberitahu mereka berkenalan pada 2005, namun, berpisah dan masing-masing mendirikan rumah tangga. 

Tambahnya, pada 2017, si mati bercerai dengan isterinya, lalu mencari semula saksi untuk menjalinkan semula hubungan walaupun mengetahui saksi telah berkahwin. 

“Hubungan si mati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami saksi. 

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. #sumber

Share:

Kutipan Hasil Negeri Pahang Mencecah RM570 Juta Setakat Ini, 'Hampiri Sasaran' RM1 Bilion !

 

KUANTAN - Kutipan hasil negeri Pahang mencecah RM750 juta setakat 22 Jun lepas, menghampiri sasaran kutipan RM1 billion pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ia dapat dicapai apabila kerajaan negeri berjaya menguruskan ketirisan dan kebocoran, selain mencari peluang yang ada tanpa membebankan rakyat, antaranya menerusi kutipan cukai daripada agensi yang menggunakan tanah milik kerajaan negeri.

"Hasil berkenaan kelak akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan, selain melaksanakan projek pembangunan negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Jerantut hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Nazri Ngah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang Radiatul Fitri Dollah.

Pada tahun 2019, Pahang memperoleh hasil sebanyak RM847 juta, meningkat kepada RM850 juta pada 2020 dan RM866 juta tahun lepas.

Terdahulu dalam ucapannya Wan Rosdy berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta tahun ini untuk disalurkan kepada Gerakan Koperasi Pahang.

Sementara itu, Radiatul Fitri berkata pihaknya bercadang untuk menubuhkan gabungan koperasi peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara untuk mengelakkan krisis makanan.

“Kami telah berbincang dengan koperasi di daerah-daerah dan salah satu daripada perancangannya ialah menggabungkan penternak ayam sedia ada di Pahang untuk membentuk koperasi,” katanya.

Setakat 31 Dis lepas, 1,180 koperasi berdaftar di Pahang dengan kekuatan anggota hampir 300,000 orang. #sumber

Share:

Perlu Segera PRU-15 Jika Mahu Kerajaan Kuat Dan Juga Mengembalikan Kepercayaan Rakyat

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) , Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera jika mahu membina kekuatan dalam kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia perlu mengambil kira keadaan dan persediaan jika mahu melaksanakan PRU.

“Memang pada dasarnya, kita bersetuju PRU diadakan apabila habis penggal tetapi kalau dalam keadaan memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan, ia perlu disegerakan.

“(Perlu) tengok keadaan dan kena ada persediaan. Kalau tiada persediaan, tidak boleh buat pilihan raya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan PAS menolak gesaan supaya PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat, bukan disebabkan bimbang parti itu akan tewas.

Hadi dipetik berkata, saranan agar PRU-15 diadakan apabila tempoh penggal Parlimen ke-14 berakhir adalah bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau menegaskan, PAS bukan gila kuasa kerana menolak PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ketika ditanya cadangan sesetengah pihak dalam PAS supaya parti berkenaan menggunakan logo sendiri pada PRU-15, Hadi berkata, setakat ini parti itu masih menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

“Itu (cadangan) pandangan peribadi (dan) hingga hari ini, kita masih memakai simbol PN,” katanya. #sumber

Share:

Selepas Tajuddin, Beberapa Nama Lagi Sedang Menunggu Untuk Dipecat, Dicap Musuh Politik

 

KUALA LUMPUR -  Seorang Ahli Parlimen UMNO berkata, terdapat beberapa nama lagi “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.

“Namun kali ini, pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah ‘dicap’ sebagai musuh politik, bakal dipecat,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa di Facebook.

Annuar adalah salah seorang pemimpin UMNO yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN pada Januari tahun lalu.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa tindakan menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

Katanya, tindakan menggugurkan duta besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Perhimpunan Agung UMNO Khas.

“Meskipun ada peruntukan bagi presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana presiden UMNO.

“Ketika Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong Presiden,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan menggugurkan Tajuddin daripada MKT disebabkan tindak-tanduk beliau yang mengkritik parti.

Bagaimanapun, Zahid tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan mengajukan soalan berkenaan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

“Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya yang dipetik sebagai berkata,

Pada masa sama, Zahid juga menegaskan bahawa perlembagaan parti tidak memberikan Tajuddin sebarang ruang untuk merayu terhadap pengguguran jawatan itu.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik saya fikir tidak ada,” katanya. #sumber

Share:

Ratusan Peneroka Felda Lembah Klau Luahkan Rasa Kecewa Terhadap Isu "Pampasan Tanah" !

RAUB - Ratusan peneroka Felda Lembah Klau, Parlimen Raub, Pahang meluahkan rasa kecewa perbezaan harga melampau bagi seekar tanah mereka iaitu 99 sen kaki persegi, yang dijual bagi projek Pembinaan Empangan Klau pada tahun 2008.

Bantahan 447 peneroka ini sudah berlangsung 14 tahun namun tidak diendahkan, nilai tanah yang amat rendah dibayar berbanding RM3.45 kaki persegi ketika perjanjian asal.

Ia membabitkan pengambilan tanah seluas kira-kira 4,470 ekar yang asalnya dibuka pada tahun 1965 untuk penanaman kelapa sawit.

Bagaimanapun pada tahun 2008, tanah ini diambil untuk Projek Empangan Klau yang menelan kos RM3.8 bilion di bawah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor (Pahang-Selangor ISRWT) dilaksanakan pada 2008.

Wakil peneroka, Tengku Badri berkata,

ketika harga ditawarkan kepada peneroka harganya, RM3.45 kaki persegi tetapi selepas peneroka tandatangan, bayaran diterima hanyalah 99 sen kaki persegi.

“Cara pengambilan tanah juga ada unsur khianat dan rasuah, pemilik tanah diminta menyerahkan juga tanah walaupun mereka tidak sepenuh hati menjualnya dan tidak dijelaskan secara terperinci kesan kepada masa depan mereka.

“Selepas tanah dijual, mereka hilang pendapatan daripada hasil tanah yang sepatutnya diperolehi, tanah yang diambil jadi ‘tasik takungan air’ sedangkan sebelum ini dijanjikan walaupum seinci tanah dinaiki air empangan kerajaan akan bayar kepada pemilik tanah terbabit.

“Apabila penduduk bersuara, ada pula ugutan untuk menghalau mereka keluar dari tanah mereka sendiri,” katanya kepada Media Variasi di Majlis Perjumpaan Peneroka Felda Lembah Klau dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini pada Selasa.

Turut hadir adalah Pengerusi Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim, wakil PPIM Suzana Abdullah dan juga Zulkifli Hassan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan hadir secara video konferensi, bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada peneroka.

Tinjauan kumpulan Media Variasi ke Felda Lembah Klau hari ini mendapati wujud salah laku pelbagai peringkat dalam proses pengambilan tanah sehingga menyebabkan peneroka tidak mendapat hak sewajarnya.

Perbezaan harga adalah beratus kali ganda jauh jika dibandingkan harga bagi tanah-tanah lain.

Tanah Felda Bukit Cerakah nilainya adalah RM160,000 bagi seekar, tanah Felda Sungai Buaya harganya RM150,000 seekar, ikut harga pada tahun 1994.

Mengikut rekod lain, perbandingan harga tanah yang ditawarkan untuk Felda Sendayan di Labu Negeri Sembilan, adalah pampasan berbentuk sebuah rumah, wang tunai RM400,000 dan juga empat ekar tanah.

Ini bermakna nilai yang sepatutnya mereka terima adalah RM150,000 bagi seekar tanah tetapi hanya dibayar RM43,000 seekar.

Pelbagai kisah diluahkan, ada pemilik tanah yang sepatutnya terima pampasan RM99,000 tetapi hanya menerima RM1,000.

Ada yang sepatutnya menerima pampasan RM1.5 juta tetapi hanya terima RM400,000 malah paling teruk ada yang tidak terima langsung pampasan walaupun tanah dinaiki air.

Dalam pada itu, Suzana berkata, PPIM akan menemui dan berbincang dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan pengesahan daripada dakwaan peneroka-peneroka mengikut perjanjian asal mereka.

“Kita mahu tahu siapa yang menjadi orang tengah dalam urusan pampasan ini dan bagaimana bayaran pampasan tidak mengikut spesifikasi asal,” katanya. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Peruntuk Hampir RM150,000 Kepada Pemandu Teksi Melalui BPP Fasa 2 !


KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM150,000 bagi membantu pemandu teksi di negeri ini melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat lebih 700 pemandu teksi di negeri ini dan melalui BPP Fasa 2 itu, mereka akan menerima bantuan tunai RM200 setiap orang.

Menurutnya, agihan wang bantuan itu akan dilakukan secara berperingkat.

"BPP menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan dapat dilaksanakan secara bersasar kepada penerima daripada pelbagai kluster.

"Antara penerima yang akan menerima bantuan melalui BPP Fasa 2 ini termasuk ibu tunggal dan pelajar," katanya ketika Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, BPP merupakan antara inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat yang diumumkan melalui Bajet 2022 dengan peruntukan kewangan RM30 juta.

Sementara itu katanya, isu kelewatan bantuan wang ihsan banjir di beberapa daerah di Pahang berkemungkinan disebabkan masalah teknikal.

"Mungkin ada penerima yang nama mereka tertinggal, tidak berdaftar dan sebagainya hingga berlaku kelewatan bayaran itu.

"Yang pasti kalau mereka layak, kita (kerajaan negeri) akan bagi sebaliknya, yang jadi masalah bila bantuan itu diberikan kepada mereka yang tidak layak," katanya. #sumber

Share:

Gara-Gara Tewas Jawatan Naib Presiden, Nasib Fuziah Kini 'Bagaikan Melukut Di Tepi Gantang'

KUANTAN - Pengaruh bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh yang kian luntur diperingat pusat dijangka akan mempengaruhi nasibnya di Pahang selepas ini. Terdapat desas-desus kedudukan Ahli Parlimen Kuantan itu sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) juga mungkin tergugat.

Ia berikutan kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden dan kekalahan beliau merebut salah satu jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Demikian ditegaskan oleh seorang 'Otai Keadilan' kepada PahangDaily hari ini. Beliau berkata, nasib Fuziah kini 'bagai melukut ditepi gantang'. Malah, kedudukanya di kerusi Parlimen Kuantan juga sedikit terancam, jika dikekalkan bertanding pada PRU-15 ini. 

"Saya dengar, ada ura-ura Fuziah mahu berpindah kerusi ke Parlimen Indera Mahkota. Namun, kepimpinan parti di cabang itu tidak bersetuju. Fuziah sudah jalankan gerak kerja, menggunakan jenteranya di Kuantan untuk program-program di Indera Mahkota sebelum ini.

"Tindakan beliau mendapat kecaman daripada pemimpin cabang, malah daripada individu yang diwar-warkan bakal menjadi calon PKR kerusi itu sendiri. Tindakan Fuziah dilihat sengaja membakar jambatan jika bertanding di Indera Mahkota," kata sumber terbabit.

Sementara itu, beliau turut mendakwa kepimpinan Fuziah sebagai Pengerusi MPN Pahang juga bakal tergugat kerana majoriti cabang menolaknya. Hanya beberapa kerat sahaja yang menyokong beliau.

"Ketika kempen Rafizi di Kuantan, beliau hanya duduk di kerusi belakang dan tidak dipanggil berucap walau pun dia pengerusi negeri. Anehnya, bekas pengerusi negeri yang dijatuhkan (Dato' Fauzi Abdul Rahman) pula yang diberi peluang becakap. Fuziah akhirnya terpaksa lari ke Kemaman dan berucap di sana pula.

"Kini Rafizi menang, makanya apakah nasih Fuziah? Mungkin jawatannya sebagai Pengarah Piliha Raya Pusat (PKR) juga akan berubah, kerana beliau tewas pada pemilihan kali ini. Beliau juga tidak bertanding Ketua Cabang Kuantan, kerana memberi ruang kepada anak didiknya Fakhrul Anuar Zulkawi," tambah beliau lagi,

Tambahnya, Fuziah kini tidak ada sebarang jawatan penting dalam parti selain jawatan lantikan  (Pengarah Pilihan Raya Pusat). Namun, dengan kemenangan Rafizi maka adalah dijangka kedudukan itu pasti berubah.

Paling panas, terdapat juga ura-ura Timbalan Presiden PKR yang sudah lama berehat daripada politik itu akan mengambil tempat Fuziah untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuantan. 

"Saya melihat, ada kemungkinan Rafizi bertanding di Kuantan. Jika ini berlaku, bagaimana nasib Fuziah Salleh?. Biar pun dua kali menjadi Ketua Wanita PKR, namun kali ini nasib beliau 'bagaikan telur dihujung tanduk'. Hanya keajaiban sahaja membolehkan hayat politik Fuziah hidup kembali. Inilah akibatnyam bila naik dalam politik dengan memijak rakan-rakan yang lain. Kami sudah lalui dan alaminya, Fuziah bakal menurutinya pada kali ini." tambah Otai Keadilan yang rapat dengan Fuziah suatu ketika dulu. #PahangDaily

Share:

Bangunkan Semula Rumah Kelahiran Sudirman Yang Kini Terbiar Sebagai Produk Pelancongan

TEMERLOH - Ramai tidak tahu bangunan terbiar di Kampung Tok Embun dekat Mentakab adalah rumah penghibur popular, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menghabiskan zaman kanak-kanaknya.

Bangunan itu kini terbiar sejak beberapa tahun lalu, sebelum rosak teruk dalam kebakaran pada tahun 2008. Kini rumah usang itu hanya tinggal tangga konkrit dengan lantai kayu, di tapak asal.

Rumah itu dibiarkan 'tanpa disedari' sehingga baru-baru ini ia tular di media sosial dengan beberapa pihak mempersoalkan mengapa tiada usaha dilakukan untuk memulihkan untuk pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Embun, Rahman Omar, berkata tahun ini genap 30 tahun kematian Sudirman yang pernah menjadi penghibur nombor satu negara.

"Sebelum ini, seorang pegawai daerah Temerloh ketika berkhidmat di sini pernah bercadang membaiki semula rumah itu sebagai tapak warisan tetapi hingga kini tidak menjadi kenyataan.

"Saya agak kecewa kerana tiada apa yang dilakukan selama ini untuk membina semula rumah tersebut dan mampu menawarkan cerita tentang sejarah hidup Sudirman.

"Sama seperti rumah P Ramlee di Pulau Pinang yang kini dijadikan tarikan pelancong. Mungkin pihak berkuasa boleh membina galeri di rumah Sudirman bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya.

Rahman berkata usaha membaik pulih rumah kayu ikonik itu sudah tentu mampu menjadikan tapak itu sebagai tarikan pelancong memandangkan kubur Sudirman juga terletak berhampiran iaitu di Kampung Chengal di Temerloh.

Jirannya, Mohamad Aliff Fikram Bahari, 31, yang rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari rumah Sudirman, berkata tempat itu kini ditumbuhi semak dan dikelilingi pokok besar.

"Orang ramai pernah singgah bertanyakan lokasi rumah itu tetapi tidak ramai yang berani masuk ke kawasan itu kerana ditumbuhi pokok.

"Kira-kira dua tahun lalu, ada beberapa pelajar universiti berkunjung ke rumah itu untuk menjalankan kajian bagi pengajian mereka," katanya.

Menurut arwah neneknya, Sudirman dibesarkan di rumah itu dan menamatkan sekolah menengahnya sebelum berpindah mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 1976.

Katanya, Sudirman sering pulang ke rumah itu hingga dia meninggal dunia pada 1992 dan rumah itu rosak dalam kebakaran pada tahun 2008.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata rancangan untuk memulihkan rumah terbiar tempat penghibur Sudirman dibesarkan hanya boleh menjadi kenyataan jika keluarganya memberi 'lampu hijau'.

Katanya, keluarga itu perlu memberi persetujuan mereka sebelum pihak berkuasa boleh memulakan sebarang rancangan untuk memulihkan struktur itu.

"Ia adalah hak milik persendirian, jadi hanya jika keluarga beliau (Sudirman) memberikan persetujuan mereka, maka kerajaan negeri atau Muzium Pahang boleh membuat perancangan untuk menjadikannya galeri atau muzium rumah," katanya. #sumber

Share:

PAS Tolak "Khemah Besar", Tumpukan Agenda Penyatuan Ummah Untuk Menghadapi PRU15

 

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (PAS) teguh dengan pendirian partinya untuk menolak sebarang idea cadangan mewujudkan khemah besar dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Keputusan dan pendirian itu dijelaskan Naib Presidennya, Datuk Mohamad Amar Abdullah bahawa parti itu kekal dengan prinsip politiknya untuk fokus kepada agenda penyatuan ummah.

“Dalam menghadapi PRU15 ini, timbul pula cadangan khemah besar sebagai usaha konsolidasi undi rakyat kepada parti yang bersekutu. PAS menolak idea khemah besar dan kita fokus agenda penyatuan ummah.

“Prinsip PAS dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas. PAS berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dan pada masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem serta menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, PAS juga tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam.

Kata Mohd Amar, parti itu menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek kebelakangan ini.

Oleh sebab itu, tegasnya, PAS dengan segenap kemampuan yang ada telah menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Slogan ini sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini dengan kita meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

“Rakyat pasti tidak lupa sejarah hitam 22 bulan negara bawah pentadbiran PH yang telah menzahirkan realiti golongan cuba menggugat status quo negara Malaysia serta prinsip asas tunjang negara.

“Prinsip kita adalah jelas, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS iaitu Islam yang paling utama,” katanya.

Oleh sebab itu, kata beliau, bagi menghadapi rejim PH ketika 2018 hingga 2019 lalu, PAS telah menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti UMNO dan NGO-NGO sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

Namun, pada masa sama, katanya, PAS menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr. Mahathir Mohamad) ketika kedudukannya diganggu gugat.

“Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang PAS. #sumber

Share:

Benar Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 Di Kuantan, Tindakan Berani Kerajaan Pahang !

KUANTAN - Tindakan memberi laluan penganjuran dan hadir ke Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 di The Zenith Hotel dekat sini baru-baru ini membuktikan sikap berani Kerajaan Pahang dibawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Demikian ditegaskan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli. 

Beliau yang turut disaman RM1 juta oleh Kerajaan Pahang bersama tiga lagi individu lain iaitu Wong Tuck (Ahli Parlimen Bentong), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (bekas Presiden PEKA) dan Khaidir Ahmad (bekas Ketua Pengarang Berita TV3), didakwa sengaja menjatuh dan mencemarkan imej kerajaan negeri dengan mengaitkan isu pengondolan hutan, kemusnahan alam sekitar dan pembalakan sebagai punca banjir lumpur yang berlaku di Bentong Disember tahun lalu. 

"Saya akui Menteri Besar Pahang sangat berani dengan tindakannya. Umum mengetahui isu banjir lumpur di Pahang enam bulan lepas agak panas dan cukup kontroversi kerana ia mengundang berbagai persepai di kalangan rakyat marhaen dan netizen.

"Ia susulan gambar-gambar dan video yang ditularkan di media sosial pada hari kejadian dan kami sebagai aktivis bersuara tentang isu pembalakan dan kemusnahan hutan menjadi puncanya, namun ia dinafikan oleh Kerajaan Pahang beberapa hari selepas itu" kata Shukri.

Menurut Shukri kes saman tersebut masih  berjalan di mahkamah. Bahkan pendengaran kedua telah dibacakan pada 13 Jun 2022 iaitu hari kedua Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 yang diadakan itu.

"Sebab itu saya katakan, Kerajaan Pahang amat berani. Hak para aktivis ialah bersuara mendedahkan dan hak kerajaan pula ialah mempertahan kenyataan mereka. Tiada masalah kerana disitulah berlaku check and balance sebenarnya.

*Saya memuji beberapa langkah yang dibuat oleh Kerajaan Pahang pimpinan Dato' Sri Wan Rosdy sebenarnya. Beliau cepat memberi respon terhadap apa jua isu yang saya terjah dan dedahkan selama ini, bermula dengan isu pencemaran Tasik Chini, kemudian berkaitan pencerobohan tanah haram Musang King, selepas itu hal banjir di Bentong dan terkini  isu RTD dan RKK Janda Baik," dakwa Shukri.

Malah beberapa tindakan tegas Kerajaan Pahang katanya dalam menangani isu rakyat mutakhir ini dilihat berjaya mengembalikan kepercayaan mereka, terutamanya golongan muda. 

"Dalam isu pencerobohan tanah haram misalnya ditubuhkan pasukan elit ala komando dan tindakan menebang pokok-pokok durian musang king yang ditanam secara haram, seperti dalam kes 100.1 hektar tanah kerajaan di Hutan Simpan Batu Talam dekat Raub.

"Begitu juga usaha mengatasi pencemaran alam sekitar di Tasik Chini, usaha dilakukan untuk menanam jutaan pokok telah dilaksanakan bagi menjaga kelestarian alam sekitar pada masa akan datang.

"Malah dalam isu terbaharu berkitan RKK dan RTD Janda Baik, ia ditangani secara berhemah oleh Menteri Besar Pahang dan menafikan sekeras-kerasnya Kerajaan Pahang bertindak zalim, untuk merampas tanah pusaka turun temurun penduduk. Kajian masih dijalankan oleh kerajaan sebenarnya," dakwa Shukri lagi.

Beliau turut menjelaskan, dalam isu terbaharu berkaitan bantahan peniaga Pasar Tani UTC terhadap arahan perpindahan serta merta ke Serambi Teruntum, Kerajaan Pahang juga cepat bertindak untuk menangguhkan arahan tersebut. 

Susulan itu, peniaga di lokasi terbabit amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas sikap cakna dan prihatin terhadap apa yang ditunjukkan.

"Saya melihat ini satu perkembangan yang cukup baik dalam memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih aman dan makmur di bumi Pahang ini. Sebagai aktivis masyarakat, memang saya antara yang selalu menegur tindakan kerajaan yang saya lihat tidak selari dengan aspirasi rakyat," tambah beliau lagi.

Malah katanya, apabila banyak perubahan positif dilakukan, maka rakyat terutamanya orang muda wajar memberi kepercayaan dan sokongan padu untuk mempertahankan pentadbiran yang ada pada hari ini.

"Saya berhak bersuara kerana tidak terikat dengan mana-mana politik kepartian. Justeru, usahlah disalah ertikan. Tiba masa perubahan minda itu dilakukan agar kemakmuran negeri ini dapat dipertahankan. 

"Terkadang ada yang salah tafsir dan menganggap teguran dibuat untuk menjahanamkan pentadbiran, namun dek kerana sayangkan negeri ini maka saya perlu selalu menegur ke arah kebaikan," tambah aktivis yang pernah beberapa kali bertanding pilihanraya sebelum ini. #PDO

Share:

Tun Dr Mahathir Dakwa BERSATU Tak Pernah Terima Wang RM1.3 Juta Daripada Muhyiddin

 

BALAKONG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menerima wang sebanyak RM1.3 juta untuk dimasukkan kedalam akaun parti.

Bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan ketika menerajui Bersatu, malah tidak mengetahui perkara tersebut.

Katanya, sebarang bentuk wang yang diterima daripada penderma bukannya disimpan oleh penerima sebaliknya, ia perlu diserahkan kepada bendahari parti.

“Dalam parti Bersatu undang-undang dan dasar kita, apabila terima wang dari mana-mana pihak ia hendaklah diserah ke tabung yang dikuasai pegawai bertanggungjwab terhadap kewangan Bersatu.

“Jadi setakat yang saya tahu parti Bersatu tak terima wang berjumlah RM1.3 juta…sama ada Muhyiddin terima atau tidak saya tak berani kata.

“Tapi, nampak ada tuduhan yang dia terima dan ada penafian yang dibuat oleh Muhyiddin. Hanya Muhyiddin sahaja boleh tentukan sebab kami tak dapat maklumat, kalau dia terima duit itu spatutnya serah kepada bendahari,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini menafikan menerima RM1.3 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara bulan Jun sehingga Ogos 2018.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas kerana dalam tempoh itu beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

Dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi pada Jumaat, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang juga saksi ke-17, David Tan Siong Sun memberitahu Muhyiddin menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Muhyiddin juga dilapor sedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang berkata, beliau tidak pasti sama ada tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu benar atau sebaliknya.

Ujarnya, jika beliau yang menerima wang tersebut pada ketika itu sudah pasti beliau akan menyerahkannya kepada bendahari parti. #sumber

Share:

Muhyiddin 'Nafi' Menerima Dana Politik RM1.3 Juta, Dakwa Jalani Pembedahan Dan 'Bercuti' !

 

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dia berkata dakwaan yang dibuat di mahkamah itu adalah palsu.

"Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya," katanya dalam satu kenyataan media.

Muhyiddin mengulas keterangan Tan iaitu  bekas Pengurus Tadbir UKSB semasa perbicaraan rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing (VLN) hari ini.

Dalam keterangannya, Tan telah mengenal pasti Muhyiddin sebagai TSM yang dicatatkan dalam lejar UKSB.

Dia mendakwa RM1.3 juta itu dipindahkan kepada Muhyiddin secara tunai dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Dia juga berkata projek VLN itu terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Zahid.

Muhyiddin mempertikaikan dakwaan itu dengan berkata pada Julai 2018, dia telah menjalani pembedahan kanser dan telah bercuti selama beberapa bulan.

"Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

"Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas," katanya.

Dia juga berkata semasa sedang bercuti untuk pulih daripada kanser, Tun Dr Mahathir Mohmad adalah pemangku menteri dalam negeri.

Muhyiddin seterusnya berkata dia tidak pernah dipersoalkan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan itu dan berharap ia akan dijelaskan oleh pihak pendakwaan dalam kes Zahid.

Katanya, dia bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara ini. #sumber

Share:

Muhyiddin Juga Turut Menerima Dana Politik, RM1.3 Juta Daripada UKSB Pada Tahun 2018


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama 'TSM' dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala 'Team Pagoh' adalah nama projek.

"Saya setuju projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sumbangan diserahkan untuk kerajaan pada masa itu. Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid pegang jawatan berkenaan.

"Saya juga mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB, manakala Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada syarikat," katanya.

Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Asyraf Hamzah
Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Asyraf Hamzah
Pada 10 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan sebelum Muhyiddin dilantik Menteri Dalam Negeri bermula 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Pada 18 Mei lalu, bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran itu bermula akhir 2014 dengan SG$200,000 sebulan, sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Sementara itu, Ahmad Zaidi berkata, nama Reezal Merican dan Hishammuddin ada dalam laporan analisa kes cawangan forensik serta teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zaidi: Adakah Reezal Merican merujuk kepada (bekas) Timbalan Menteri Luar?

Siong Sun: Saya tidak pasti.

Ahmad Zaidi: Ada juga kod nama 'MOR' dalam fail lejar itu yang merujuk kepada (bekas) Menteri Luar Bandar, Shafie Apdal?

Siong Sun: Ya.

Ahmad Zaidi: 'FM' (kod nama dalam lejar merujuk Menteri Luar) pula siapa?

Siong Sun: Anifah Aman.

Siong Sun turut menafikan beliau, Vui Khiun dan seorang lagi bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berkonspirasi melakukan kesalahan jenayah iaitu pengubahan wang haram, rasuah, pecah amanah dan mengelak membayar cukai.

"Saya tidak berbohong dalam penyataan bertulis yang dibaca dalam mahkamah sebelum ini," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 25 Julai ini #sumber

Share:

Lima Pertemuan Dengan Tun M Bukan Isu Kes Mahkamah Tapi Hal Kerjasama UMNO Bersatu

 

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, lima pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan bertujuan membangkitkan isu pendakwaan kes mahkamah, sebaliknya untuk membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama di antara UMNO dan Bersatu.

Presiden UMNO mendakwa, dalam beberapa pertemuan itu Dr. Mahathir telah menggesa beliau untuk membubarkan UMNO manakala ahli-ahlinya menyertai Bersatu.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, antara pertemuan itu berlaku di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 7 Jun 2018 sempena bulan Ramadan manakala pertemuan pada 13 September 2018 turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ujar beliau, pertemuan lima kali antara 7 Jun 2018 dan 25 Februari 2020 turut berlaku di beberapa lokasi termasuk kediaman Dr. Mahathir di Mines Resort City, Seri Kembangan dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

Dakwa Ahmad Zahid, perjumpaan itu susulan desakan daripada akar umbi UMNO yang mahukan perubahan dalam hala tuju parti bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam jangka masa pendek atau panjang.

Menurut beliau, mustahil pertemuan pada 7 Jun 2018 itu bagi membangkitkan kes prosiding jenayah terhadapnya kerana ketika itu plaintif (Ahmad Zahid) masih belum didakwa bagi sebarang pertuduhan jenayah atau dipanggil untuk siasatan.

Ahmad Zahid dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Oktober 2018 atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram. Kes itu masih dibicarakan pada peringkat bela diri.

Ahmad Zahid juga mendakwa, mustahil pertemuan itu berkaitan isu peribadi berhubung prosiding mahkamah dengan kehadiran ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain yang sudah tentu akan memberi kesan kepada nama baik dan integriti beliau selaku Presiden UMNO.

Pernyataan itu turut menyebut, Ahmad Zahid mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Dr. Mahathir pada Februari 2020 dan Februari lalu yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin politik lain.

Sehubungan itu, beliau menyatakan berdasarkan perkembangan politik yang berlaku sekitar Februari 2020 dan 12 Mac lalu, jelas bahawa pertemuan dengan Dr. Mahathir bukan berkaitan prosiding jenayah, sebaliknya untuk menyelesaikan kemelut politik ketika itu.

Ahmad Zahid menyatakan demikian dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan oleh Dr. Mahathir. Jawapan itu difailkan pada 31 Mei lalu.

Beliau memohon mahkamah menolak pernyataan pembelaan itu itu atas alasan pernyataan itu cacat, remeh, menyusahkan dan bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Ahmad Zahid selanjutnya mendakwa, kenyataan defendan ketika soal jawab bersama wartawan selepas majlis itu jelas dibuat dengan niat menjatuhkan reputasi dan nama baiknya sebagai ahli politik yang memegang jawatan tertinggi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, kenyataan fitnah itu dibuat dengan niat jahat kerana ia tidak benar, tidak berasas, jahat dan bersifat menghina terhadap plaintif.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Julai ini bagi mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang Dr. Mahathir daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap beliau.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris pada sesi pengurusan kes yang turut dihadiri oleh peguam Aina Dalila Daman Huri yang mewakili Ahmad Zahid manakala Mior Nor Haidir Suhaimi mewakili Dr. Mahathir.

Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Presiden UMNO berkata, pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan disifatkan berbaur fitnah dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Ahmad Zahid berkata, pada hari yang sama, rakaman video majlis berdurasi 56 minit dan 46 saat itu telah diterbitkan secara langsung di Akaun Youtube Astro Awani.

Rakaman kenyataan palsu defendan itu katanya, telah diterbitkan oleh pelbagai portal berita antaranya Tiktok MalaysiaGazette TV, Berita Harian Online, Malaysia Now dan The Malaysian Reserve.

Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 kali dengan akaun Youtube Astro Awani mempunyai 1.44 juta pelanggan.

“Kenyataan itu menunjukkan bahawa saya menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguh perbicaraan jenayah yang masih berjalan,” kata Ahmad Zahid.

Saman tersebut merupakan tindakan undang-undang kedua yang difailkan oleh Ahmad Zahid terhadap pemimpin parti politik berhubung isu sama.

Pada 5 April lalu, Presiden UMNO menfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Ambil Keputusan Tangguhkan 'Pindah' Pasar Tani UTC Ke Serambi Teruntum !

 

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengambil keputusan menangguhkan pemindahan tapak pasar tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ke Serambi Teruntum di sini yang dijadualkan Ahad ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, keputusan penangguhan itu dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada Rabu.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebelum ini mencadangkan agar tapak pasar tani yang terletak di tengah pusat bandar itu dipindahkan ke lokasi cadangan di Serambi Teruntum, Tanjung Lumpur.

“Cadangan pemindahan itu dibuat atas alasan isu kesesakan Jalan Bukit Sekilau bersebelahan tapak pasar tani UTC sehingga mengganggu lalu lintas.

“Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan para peniaga pasar tani berkenaan dan perkara itu telah dibawa untuk perhatian Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abd Rahim berkata, perkara itu turut dibawa untuk pengetahuan Menteri Besar dan arahan telah dibuat supaya MBK menangguhkannya untuk semakan terperinci.

“Keputusan ini pastinya melegakan peniaga-peniaga pasar tani UTC yang telah berniaga di situ hampir sembilan tahun, katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan para pengunjung pasar tani UTC supaya mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan masalah dan juga kesesakan kepada pengguna laluan tersebut.

Arahan perpindahan tapak pasar tani itu telah dimaklumkan oleh MBK kepada para peniaga melalui surat yang dikeluarkan pada 14 Jun lalu. #sumber

Share:

ADUN Ketari Nafi Hasut, Mahu Kerajaan Jumpa Penduduk Janda Baik Selesai Isu RTD Dan RKK

 

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman persoalkan kenyataan Menteri Besar Pahang  mengenai penangguhan sesi pendengaran awam mengenai RTD dan RKK Janda Baik yang sepatutnya diadakan pada Selasa lalu.

Menerusi posting terbaharu di facebook beliau, wakil rakyat terbabit menimbulkan beberapa persoalan susulan kenyataan tersebut.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02hLu6dnCKRGQKHq9Pg5Wu2KHMAioUAUcUACM9y8MHxvsaRGaWGEFCRdpv5aAbWcEXl&id=100044504136640

Walau bagaimana pun beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana prihatin kepada masalah penduduk di Janda Baik, juga setinggi penghargaan kerana telah menangguhkan sesi pendengaran awam untuk mengadakan kajian menyeluruh mengenai isu ini.


Namun katanya beliau mempunyai beberapa persoalan yang mungkin juga bermain-main di minda penduduk Janda Baik.

"Pertama, adakah RTD dan RKK ini didraf tanpa kajian yang menyeluruh oleh pihak Majlis Perbandaran Bentong? Untuk pengetahuan semua dan juga makluman kepada YAB Menteri Besar Pahang, draf RKK yang dikeluarkan adalah draf akhir dan draf itu telah dikeluarkan pada Jun 2019. Adakah ini bermakna draf yang dikeluarkan ini hanya dirancang di pejabat tanpa turun ke lapangan dan membuat kajian serta lawatan tapak?.

"Kedua, berkaitan dengan penangguhan sesi pendengaran awam. Saya secara peribadi telah menghantar text pesanan WhatsApp kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MPB) bertanyakan mengenai sebab ia ditangguhkan namun saya tidak mendapat respon dari beliau.

"Bahkan pada notis penangguhan di laman Facebook Majlis Perbandaran Bentong juga tidak dimaklumkan mengapa ia ditangguhkan," kata kenyataannya.

Beliau mempersoalkan mengapakah Majlis Perbandaran Bentong dan Kerajaan Negeri Pahang “berat hati” untuk berkongsi makluman kepadanya, seorang wakil rakyat yang dipilih dalam satu proses demokrasi yang sah oleh penduduk di DUN Ketari dan juga orang ramai khususnya penduduk di Janda Baik mengenai sebab penangguhan tersebut.

"Adakah penduduk Janda Baik tidak layak untuk mengetahui tindakan yang diambil oleh Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri? RKK dan RTD ini melibatkan kehidupan dan harta mereka. Mengapa mereka dikecualikan untuk menerima maklumat penting sebegini?.

"Ingin saya tegaskan, tiada unsur hasutan kepada penduduk di Janda Baik mengenai isu RKK dan RTD ini daripada mana-mana pihak. Penduduk di Janda Baik sedia maklum mengenai hal ini dan melakukan inisiatif mereka sendiri untuk memahami setiap perkataan yang tertulis di dalam draf RKK dan RTD tersebut.

"Kenyataan bahawa ada pihak lain yang cuba menghasut atau “menceritakan mengenai hal ini seolah-olah ia adalah keputusan muktamad” adalah satu kenyataan yang memperlekehkan penduduk di Janda Baik," tambah Young Syefura lagi.

Beliau turut menegaskan, penduduk di Janda Baik tidak menolak pembangunan, namun pembangunan yang dirancang itu mestilah memberikan manfaat dan faedah yang baik dan banyak kepada mereka, bukan kepada orang luar.

Maka beliau menyarankan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri segera bersemuka dengan penduduk di Janda Baik dan berbincang agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar yang segera. #PDO

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Pahang Tak Zalim, Kajian Menyeluruh RKK Janda Baik Akan Di Lakukan !


TEMERLOH - Pendengaran awam berkaitan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik yang dijadualkan pada Selasa ditangguhkan dan satu kajian teliti yang menyeluruh akan dilakukan berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penangguhan itu dibuat berikutan pihaknya menerima beberapa bantahan penduduk mengenai projek tersebut.

Justeru katanya, satu kajian lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkara terbabit.

“Bila ada bantahan tersebut, saya ingin tahu lebih mendalam tentang masalah yang timbul berkenaan projek itu.

“Ini adalah proses biasa bagi setiap usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Veteran Tentera dan Pesara Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap pada Selasa..

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung bantahan daripada penduduk Janda Baik terhadap RKK Janda Baik dan RTD Bentong.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menepis dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri cuba mengambil tanah yang diusahakan nenek moyang penduduk.

“Projek ini mesti mendapatkan persetujuan oleh pemilik tanah dengan bayaran dan pampasan yang dipersetujui. Kita bukan zalim tapi ia dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu. #sumber


Share:

Bantuan Prihatin Pahang 2022: Nasib Veteran Tentera & Pesara Polis Turut Di Beri Perhatian

TEMERLOH - Nasib veteran tentera dan pesara polis di negeri ini turut mendapat perhatian kerajaan negeri melalui Bantuan Prihatin Pahang 2022 di bawah Kluster Apresiasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kluster Apresiasi merupakan salah satu daripada empat kluster yang bakal menerima bantuan itu selain Kluster B40, Pelajar dan Anak Muda, serta Kluster Umum.

Menurutnya, bagi Kluster Apresiasi, penerima bakal menerima sumbangan tunai RM200 setiap orang secara one-off dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.8 juta.

"Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri sejak pandemik (Covid-19) sehingga kini dan Insya-ALLAH usaha ini akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat

Negeri Pahang di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Pahang, Mohamed Lokman Mahmud dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapten (B) Abdul Latif Mohd Nor.

Dalam pada itu, Wan Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dan menggambarkan bahawa jumlah bantuan berkenaan bakal dinaikkan pada masa akan datang susulan.

kedudukan kewangan negeri yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan. #sumber


Share:

Mayat Lelaki Dilapor Hilang Selepas Terjatuh Daripada Jambatan Sungai Kuantan Di Temui


KUANTAN - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Kuantan dari jambatan Jalan Tanah Putih tengah malam Selasa, ditemui pada Rabu.

Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pada jam 10.15 pagi kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam.

"Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarah ke lokasi bersama Pasukan Penyelamatan Di Air ( PPDA).

"Operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Zulfadli berkata, operasi pencarian turut dibantu anjing pengesan.

Kejadian orang terjatuh jambatan itu adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.

Dalam kejadian 11 Jun lalu, seorang wanita berjaya diselamatkan oleh nelayan selepas terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Tanjung Lumpur, kira-kira 5 pagi. #sumber

Share:

Seorang Lelaki 37 Tahun Di Percayai Lemas Selepas Terjatuh Jambatan Sungai Kuantan

KUANTAN - Seorang lelaki berusia 37 tahun dikhuatiri lemas selepas dia dipercayai terjun dari Jambatan Kuantan berhampiran Pasaraya Giant, di sini, sekitar tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah malam berhubung kejadian.

“Beberapa pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke lokasi bagi operasi pencarian dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Pencarian menggunakan sebuah bot aluminium masih belum menemukan mangsa, dan sehingga kini operasi masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. #sumber

Share:

Tokoh Korporat TS Rozali Ismail Mahu Ceburi Dunia Politik Mewakili Suara Peneroka Felda

SHAH ALAM - Tokoh korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam, yang mengusulkan untuk persatuan itu mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

"Usul ini akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia," katanya kepada media.

Beliau berkata parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

"Saya rasa masalah yang dihadapi generasi Felda hari ini adalah disebabkan banyak program-program yang dilaksanakan untuk masyarakat Felda tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal," katanya.

Selain itu katanya terma dan syarat-syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka.

"Sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan-kawasan yang majoriti pengundi-pengundi adalah masyarakat Felda sendiri.

"...dan saya sebagai Presiden GWGF telah diminta untuk bertanding terutamanya di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam," kata Rozali yang dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor. #sumber

Share:

RM44 Juta Peruntukan Bina Baharu Dan Baik Pulih Rumah Musnah Akibat Banjir Di Pahang

BENTONG - Sebanyak RM44 juta diperuntukan kepada kerajaan negeri Pahang menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membina rumah baharu dan baik pulih rumah yang rosak akibat dilanda banjir hujung tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja itu melibatkan jumlah keseluruhan RM44.054 juta, termasuk sumbangan daripada Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain peruntukan kerajaan negeri sendiri.

Menurutnya, melalui peruntukan ini, sebanyak 148 buah rumah akan dibina baharu dengan harga setiap unit RM75,000 (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang), manakala 3,948 unit rumah akan dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

"Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa telah bermula seawal Januari 2022 dan sebahagiannya masih lagi berjalan. Dijangka kesemuanya akan selesai selewat-lewatnya Ogos 2022.

"Manakala kerja-kerja bina baharu 148 buah rumah akan bermula bulan ini (Jun 2022) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September 2022," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

Beliau turut menyerahkan surat lantikan kepada kontraktor-kontraktor dari Bentong dan Raub.

Wan Rosdy berkata, pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baik pulih rumah-rumah ini iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.

Katanya, kerajaan negeri juga telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri Pahang buat masa ini bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat.

"Pemantauan pelaksanaan akan terus dilaksanakan sehingga kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah disiapkan dengan sempurna.

"Saya harap dengan bantuan ini mangsa-mangsa banjir dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana yang melanda," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan. #sumber

Share:

Tingkat Pengeluaran, Jamin Kualiti: Kerajaan Pahang Tubuh Lembaga Durian Pahang (LDP)

LIPIS - Kerajaan negeri Pahang akan menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran selain memberi jaminan kualiti serta harga bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, inisiatif penubuhan LDP bertujuan membantu pekebun meningkatkan kemahiran pengurusan tanaman.

Katanya, ia sekali gus akan meningkatkan hasil setiap musim bagi memenuhi jumlah permintaan yang semakin tinggi.

"Penubuhan LDP ini akan diteliti terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri selain mengambil kira kerjasama berupa pandangan teknikal dengan Jabatan Pertanian Pahang dan pemain industri perkebunan (durian) di negeri ini.

"Perkara ini pada amnya telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan ahli Exco yang komited untuk memastikan pekebun dan pengeluar durian di negeri ini terus memainkan peranan proaktif meningkatkan hasil serta mencongak peluang yang lebih luas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang disertai seramai 60 peserta dan pekebun mukim Budu dan mukim Tanjung Besar di Lubuk Hik, Budu di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom.

Sempena majlis tersebut, Mohd Soffi menyaksikan ikrar dan tandatangan wakil pekebun Kampung Lubuk Hik dan Kampung Terap melaksanakan projek durian premium kampung serta menyampaikan bantuan peralatan pertanian daripada Jabatan Pertanian Pahang.

Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, LDP menerusi Jabatan Pertanian akan memberikan tumpuan projek tanaman benih termasuk cantuman baka terbaik, pengurusan tanaman, pengeluaran durian serta kriteria harga supaya dapat menembusi pasaran luar sekali gus meningkatkan lagi jumlah permintaan sepanjang musim.

"Jabatan Pertanian dengan kerjasama beberapa agensi lain dan pemain sektor ini akan memastikan tanaman klon yang bermutu tinggi, pemantauan pengurusan dan teknikal di ladang dan kebun serta jaminan kualiti berasaskan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

"Pada peringkat ini, fokus utama LDP antaranya memastikan pekebun menanam klon yang bermutu tinggi terutama pengusah dan pekebun kecil bukan sahaja durian Musang King, IOI dan baka luar, malahan turut menggalakkan durian premium tempatan," katanya.

Beliau turut menjelaskan, Jabatan Pertanian Pahang kini sedang berusaha menggalakkan lebih banyak tanaman dan pengeluaran durian premium dari cantuman klon durian kampung dengan memfokuskan pekebun di Raub, Lipis, Jerantut dan Bentong.

"Sehingga ini cuma terdapat enam jenis (klon) premium durian kampung sejak 2019 menerusi usaha pekebun di Jerantut, Lipis dan Raub dikenal pasti menerusi hasil pertandingan peringkat daerah dan negeri yang sudah dikenali serta memenuhi permintaan ramai pelanggan," ujarnya.

Jelasnya, jumlah baka premium durian kampung masih kecil dan Jabatan Pertanian Pahang sedang menggiatkan usaha menerusi pendedahan kursus cantuman, pengurusan kebun dan buah untuk jaminan bukan sahaja mengisi pasaran tempatan malahan mampu melepasi peringkat antarabangsa. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.