KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abd Razak dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Sri Lanka jam 6.30 petang tadi. Wan Amizan menjadi ADUN Tahan selama dua penggal selepas menang pada PRU-12. Beliau menewaskan calon PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 1,357 undi. Pada PRU-13 beliau sekali lagi menewaskan calon PAS, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin dengan majoriti 1,090 undi. Namun pada PRU-14 beliau tewas kepada Mohd Zakhwan dengan majoriti tipis 69 undi sahaja dalam pertembungan tiga penjuru. Beliau meendapat 5,569 undi, Mohd Zakhwan 5,638 sementara calon PKR Nordin Samat 945 undi. Allahyarham yang berusia 42 tahun adalah merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut. #PDO
BANGI - Tindakan pantas pasangan suami isteri keluar dari kenderaan yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bangi Avenue di sini malam tadi. Kereta jenis Proton Satria Neo yang dinaiki mangsa, Erman Mahrilar, 43, bersama isterinya musnah 70 peratus akibat kebakaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 9 malam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 9.03 malam. “Sejurus menerima panggilan tersebut, seramai enam anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan. “Setibanya di lokasi tersebut, kami mendapati kereta berkenaan sudah terbakar dengan api yang sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini. ambahnya lagi, mangsa dikatakan menyedari sesuatu tidak kena di kereta miliknya apabila melihat asap keluar dari bahagian enjin kereta berkenaan. “Setelah ternampak asap tersebut, mangsa terus memberhentikan kenderaan dan keluar dari kereta bersama isterinya. Tidak lama selepas itu api semakin marak yang menyebabkan orang awam menghubungi balai bomba. “Disebabkan mangsa dan isterinya sempat keluar dari kenderaan mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kebakaran pula masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. #sumber
JERANTUT - Empat lelaki terkejut bercampur takut apabila terserempak seekor harimau belang yang melintas jalan di Bukit Dedari, Kuala Tahan dekat sini petang tadi. Juruteknik landskap pusat peranginan, Shahrul Azwan Abdul Halil, 27, berkata, dia bersama tiga rakannya menaiki kereta menuju ke Kampung Pagi dekat sini sebelum terserempak haiwan pemangsa itu kira-kira pukul 3.45 petang. "Kami terkejut apabila melihat seekor harimau belang berjalan melintas jalan dipercayai keluar dari hutan berdekatan.
"Kawasan ini agak sunyi dan saya berhentikan kereta. Kami sempat merakam pergerakannya sehingga harimau itu beredar sebelum meneruskan perjalanan," katanya. Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama dalam hidupnya yang melihat harimau di depan mata sendiri. Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Ahmad Azhar Mohamed berkata, karnivor itu dari spesies Panthera Tigris yang sukar ditemui. Beliau memberitahu, pihaknya akan membuat pemantauan di kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk serta bebas daripada ancaman pemburu haram. #sumber
NEW YORK - Pihak berkuasa Malaysia telah menerima beberapa maklumat mengenai keberadaan jutawan buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low daripada beberapa pihak termasuk rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Namun, dia mengetahui terlebih dahulu mengenai tindakan yang mungkin kita ambil dan dia hilang," katanya kepada media Malaysia di sini hari ini. Mahathir berkata meskipun menghadapi banyak kesukaran pihak berkuasa melakukan yang terbaik tetapi malangnya setakat ini mereka belum berjaya. "Jika anda tahu, beritahu dan ambil tindakan. Sila beritahu kami di mana dan kami perlu berunding dengan negara berkenaan. "Semua perkara ini tidak dihebahkan, lebih kurang," katanya. Ditanya sama ada benar ahli perniagaan yang diburu itu berada di China, Dr Mahathir berkata: "Kami diberitahu dia berada di China di antara tempat-tempat lain. Kami juga diberitahu dia berada di Bangkok. Beliau seolah-olah mempunyai keupayaan untuk mengetahui terlebih dahulu tentang apa yang akan kita lakukan ". Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng, didakwa tanpa kehadiran mereka di Malaysia bulan lalu atas wang yang didakwa dicuri dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pihak berkuasa Malaysia kini bekerjasama dengan pelbagai negara termasuk peguam negara Amerika Syarikat dan Switzerland untuk mengembalikan wang yang didakwa dicuri itu. #sumber
JOHOR BAHRU: Safawi Rasid muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak dua gol untuk menewaskan Pahang 2-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu selepas mara menerusi agregat 3-1 dan akan berdepan Terengganu pada aksi separuh akhir
JDT merobek semangat skuad Tok Gajah seawal minit pertama menerusi gerakan menarik dimulakan Fernando Elizari yang bertindak mengumpan bola kepada Ahmad Hazwan Bakri yang kemudian menyilang umpanan untuk Safawi.
Safawi yang tidak dikawal mudah melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.
Ahmad Hazwan yang menjadi perancang gol pertama hampir menambah derita skuad Tok Gajah pada minit kesembilan namun dia yang menerima umpanan Safawi sekadar menggegar palang ketika Helmi Eliza sudah tertewas.
Pelawat yang ketinggalan cuba bangkit dengan mengatur gerakan namun keampuhan benteng tuan rumah yang diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang gerakan berbahaya anak didik Dollah Salleh.
Bersambung babak kedua, pelawat makin garang untuk memburu gol penyamaan memaksa benteng tuan rumah bertungkus lumus menghalang kelicikan Nor Shahrul Idlan Talaha yang sentiasa cuba menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
Tuan rumah yang sedar gol tunggal itu masih belum mampu menyelamatkan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-56 namun bola rembatan deras Gonzalo Cabrera ketika berada di dalam kotak penalti hanya sipi dari gawang gol.
Safawi kemudian membuktikan dia berada kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-73 selepas pantas menyambar bola umpanan Natxo Insa sebelum memperdaya Helmi Eliza.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan itu turut menebus kehampaan JDT ketika tewas 0-3 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada 20 April lalu. #sumber
PORT DICKSON - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pas dan lima calon Bebas. Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson , Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 11 pagi ini. PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57. Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33. Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45, manakala pencalonan A. Rajendra, 50, sebagai calon Bebas ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Proses penamaan calon bagi PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson dibuka pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini. Ia diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas. Seramai 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara. SPR menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018. PRK Parlimen Port Dickson merupakan PRK keempat diadakan sejak PRU-14 iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor. #sumber
PETALING JAYA - Sultanah Terengganu, Sultan Nur Zahirah telah menghantar surat tuntutan kepada pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown dan dua pihak lagi, untuk menuntut permohonan maaf bertulis serta ganti rugi RM100 juta daripada setiap mereka berhubung kenyataan fitnah dalam buku 'The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose'. Peguam Datuk Mohd. Haaziq Abdullah yang mewakili Sultanah Terengganu berkata, surat tuntutan itu telah diserahkan kepada Recastle-Brown, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. pada Khamis dan mereka diberi masa lapan hari mulai 27 September untuk membuat penarikan balik secara bertulis yang jelas dan permohonan maaf bertulis dalam terma yang dipersetujui oleh peguam baginda. Beliau berkata, Recastle-Brown perlu membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu dan syarikat terbabit juga dikehendaki menarik balik buku berkenaan yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap baginda, daripada penjualan dan pengedaran. "Tindakan undang-undang ini tidak ada kaitan dengan buku Recastle-Brown tentang 1MDB. Kami hanya memberi perhatian kepada muka surat tiga buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini. Peguam itu menegaskan surat tuntutan itu dihantar kepada ketiga-tiga pihak berkenaan bagi melindungi integriti dan kepentingan baginda serta memelihara nama baik Institusi Diraja Terengganu," katanya. Beliau berkata, kenyataan itu dianggap fitnah oleh sebab Baginda tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal kerajaan. "Baginda sultanah tidak pernah terlibat dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) serta dana kekayaan berdaulat dan baginda tidak pernah menyokong Jho Low untuk mendapatkan nasihat dalam TIA," katanya. Beliau berkata, Sultanah Nur Zahirah tidak mengenali Jho Low dan pengetahuan Baginda tentang lelaki itu diperoleh berdasarkan laporan media. Mohd. Haaziq berkata, dakwaan daripada kenyataan Recastle-Brown itu membawa maksud atau difahami sebagai Sultanah Terengganu terlibat dalam amalan rasuah dan mempunyai kaitan serta hubungan rapat dengan orang yang perilakunya boleh dipersoalkan iaitu Jho Low. Beliau seterusnya berkata, kenyataan itu tidak dapat dimaafkan, tidak berasas dan mempunyai aspek penghinaan yang menyebabkan kesusahan, malu dan mencalarkan reputasi Sultanah Nur Zahirah. Beliau berkata, laporan polis berhubung perkara itu dibuat oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Terengganu Datuk, Mohd. Azmi Mohamad Daham pada 14 September. #sumber
PORT DICKSON - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bersalaman dengan bekas pembantu peribadi beliau, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.
Mereka antara lapan calon yang dilihat menghantar borang penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson bermula pukul 9 pagi ini.
Turut dilihat menghantar borang penamaan calon ialah calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas. #sumber
PORT DICKSON - Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim layak untuk bertanding kerana telah mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pengampunan itu adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“SPR mengambil pendirian bahawa Anwar berkelayakan menjadi calon dan seterusnya bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson, P132,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK itu di sini hari ini.
Terdahulu, wakil PAS, Ramli Ismail, 69, mengemukakan surat bantahan kepada SPR pada 9.32 pagi yang antaranya menyatakan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan hanyalah merujuk kepada pengampunan terhadap pelaksanaan hukuman sama ada meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, bukan bermaksud membatalkan secara langsung sabitan kesalahan jenayah.
Sementara itu, ditanya mengenai status Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK tersebut, Azhar Azizan berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, siasatan terhadap seseorang tidak memberi sebarang kesan kepada kelayakannya sebagai calon pilihan raya.
Dalam perkembangan lain, Azhar Azizan berkata SPR telah membuat beberapa penambahbaikan antaranya mewujudkan dua saluran bagi pengundi berusia 60 tahun dan melanjutkan tempoh mengundi selama 30 minit iaitu dari 8 pagi hingga 5.30 petang.
“Selain itu, kami menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK P132 mencecah 70 peratus. “Keputusan PRK dijangka diumumkan sebelum 10 malam pada hari pengundian 13 Okt ini,” katanya.
Beliau berkata saluran mengundi juga ditambah kepada 171 berbanding 145 sebelum ini selain menambah petak undi kepada tiga berbanding dua petak sebelum ini.
“Pengundi disaran membuat semakan daftar pemilih lebih awal untuk mengetahui maklumat pusat undi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui laman web SPR atau telefon 03-88927018, SMS 15888 atau melalui aplikasi mySPR.
“Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat awal, mereka boleh mencatat maklumat tersebut dan membawanya semasa hari pengundian tanpa perlu menyemak di barung SPR,” katanya.
Selain itu, SPR juga telah melantik 72 pemerhati daripada tujuh organisasi merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan berkelayakan untuk memantau proses pilihan raya tersebut.
“Mereka ialah 11 orang daripada Jawatankuasa Pembaikan Khas Peruntukan Undang-undang Pilihan Raya, sembilan daripada Institut Darul Ehsan, 18 daripada Bersih 2.0; 10 daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, 12 daripada ENGAGE dan 10 orang daripada Kelab Pemikir Politik Nasional.
“SPR juga telah membenarkan dan memberi status pelawat kepada dua wakil badan antarabangsa Intergovernmental Organisation yang berpangkalan di Australia,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter menggegarkan semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia pada pukul 6.02 petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran itu berlaku kira-kira 80 kilometer (km) utara dari Palu, republik itu.
Dua gempa susulan yang berukuran 5.3 dan 5.9 pada skala Richter masing-masing pada 6.14 petang dan 6.16 petang turut dilaporkan melanda lokasi yang sama.
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai pilihan tepat. “Selamat maju jaya kepada Isa. Beliau membuat pilihan tepat (bertanding)’” katanya kepada media ketika ditemui selepas melawat persiapan akhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC ), di sini, hari ini. Beliau diminta mengulas keputusan Isa bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini. Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut ketika ditanya apa yang dimaksudkannya sebagai ‘pilihan tepat’. Isa dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan bertanding kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan. PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas kerusi itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu. Pada PRU-14, 9 Mei lalu beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. Pakatan Harapan akan diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi itu. PAS pula mengumumkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar calon parti itu dalam PRK berkenaan. PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain termasuk personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong. #sumber
BENTONG - Kementerian Kerja Raya akan siasat mana-mana kes kerosakan infrastruktur yang berlaku di seluruh negara. Timbalan Menteri, Mohd Anuar Tahir berkata, unit forensik Jabatan Kerja Raya mampu membuat siasatan bagi membolehkan tindakan dilakukan segera.
Menurutnya selain melakukan pembaikan segera,tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap kontraktor yang melakukan kerja tidak mengikut spesifikasi sepertimana dimeterai dalam perjanjian. "Setiap pembinaan ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun ada juga gagal mengikut prosedur sama ada kerana buat tidak tahu atau sudah dirancang,"katanya pada sidang media pada majlis pembukaan Alps Medical Klinik di Genting Highlands, malam tadi. Hadir sama,Pengerusi Alps Global Holding Berhad, Tan Sri Ong Tee Keat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alps,Profesor Datuk Seri Dr Tham Seng Kong. #sumber
KUANTAN - Isu membabitkan lelaki lembut berperwatakan wanita atau dengan gelarannya mak nyah terus menjadi bualan di setiap bibir masyarakat. Isu tersebut terus hangat diperkatakan dan tidak kurang juga mendapat respons negatif daripada pelbagai pihak.
Namun, golongan mak nyah ini sebenarnya mengidamkan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik. Apa yang dikongsinya bukan mahu memburukkan masyarakat cuma perkongsian ini diharap mampu dijadikan pedoman semua. Kisah dikongsi bekas mak nyah, Mohd Yasin Shahrin, 31, adalah realiti dilema dihadapi golongan ini dalam usaha mereka untuk berubah. Disebabkan pandangan hina masyarakat yang tidak mahu menerima mak nyah menyebabkan mereka kembali ke lorong dan terlibat semula dalam kancah pelacuran. Menurutnya, golongan mak nyah memerlukan lebih sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat dalam usaha mereka untuk kembali berubah. Mohd Yasin berkata, tidak mudah menjalani kehidupan sebagai seorang mak nyah yang terpaksa menelan sindiran orang ramai malah ada yang dibuang keluarga gara-gara masalah golongan ini yang mengalami kecelaruan identiti jantina. "Sebenarnya golongan seperti kami memerlukan sokongan masyarakat dari segi moral dan kaunseling..kami tidak perlukan hinaan dan cemuhan...yang penting sokongan positif daripada masyarakat, ibu bapa para para ilmuwan agama keluarga yang merupakan salah satu tonggak utama kami untuk terus mendapat hidayah ALLAH. "Kami diberi ujian dalam hidup..mungkin apa yang berlaku ini ada hikmah. Kami percaya ALLAH akan membantu kalau hambaNya mahu berubah,” katanya. Ditegur salah tempat solat Mohd Yasin yang berasal daripada Hulu Langat, Selangor berkata, dia pernah ditegur ketika ingin menunaikan solat di masjid. "Saya rajin ke masjid negeri dan jemaah di situ ramai yang mengenali saya namun saya pernah ditegur ketika solat di masjid lain di mana ketika itu saya hendak solat di ruangan lelaki dan ada orang tegur saya salah ruang solat, dia macam perli kata saya patut solat di ruang wanita. "Namun, saya tidak pernah ambil hati dan anggap ia cabaran untuk saya berubah,” katanya Beliau berkata, keinsafan itu tidak hadir secara paksaan namun dirinya selalu menerapkan nilai-nilai agama. "Kunci utama untuk berubah adalah solat sebenarnya. Saya akan sentiasa solat kerana solat merubah kita ke arah yang lebih baik di samping memerlukan sokongan masyarakat sekeliling untuk kami berubah,” katanya. Mohd Yasin turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak yang tercenderung kepada mak nyah, perkara paling penting adalah didikan yang betul daripada ibu bapa. "Semuanya bermula daripada rumah..ilmu agama adalah sangat penting di samping didikan ilmu dan asuhan yang betul daripada ibu bapa. Jadi, terapkan nilai nilai murni kepada anak-anak supaya mereka tidak terjebak jauh dalam kecelaruan jantina,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Insaf Pahang (PIP), Mohamed Bakri Abu Bakar berkata, ramai di antara mak nyah yang tinggal di lorong sedar akan kesalahan mereka ingin keluar daripada belenggu sebagai pekerja seks namun sedar masyarakat di luar sana masih tidak mahu menerima mereka. Sebagai bekas mak nyah, Mohamed Bakri menyifatkan sokongan dan bantuan masyarakat dan kerajaan membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. "Mereka sedar tinggal di lorong mudah terkena penyakit seperti HIV dan penyakit kelamin. Bila dah lama mesti akan rasa bosan dan sedar akan kesilapan namun bila nak berubah kadang-kadang keadaan di luar sana tidak mahu menerima kami,” katanya. PIP memiliki sebuah rumah perlindungan dan pusat aktiviti membabitkan golongan mak nyah. Pusat ini memerlukan banyak dana menganjurkan aktiviti membabitkan golongan tersebut dan berusaha menarik mereka kembali taat kepada suruhan ALLAH. #sumber
KUANTAN - Kerajaan menerima cadangan Persatuan Insaf Pahang (PIP) dalam melaksanakan program bertukar kerjaya kepada golongan mak nyah atau transgender di negara ini dalam usaha membantu golongan ini keluar daripada belenggu sebagai pekerja seks. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pada masa kini program seperti itu telah pun dilaksanakan oleh PIP yang terbukti telah mewujudkan kesan positif kepada golongan berkenaan untuk terus berubah
Menurutnya, pihaknya memberi tanggungjawab kepada PIP bagi membantu menyediakan kertas kerja program tersebut sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara di samping mampu menjadi badan NGO yang aktif dalam membawa golongan tersebut ke arah kebaikan. "Hasil pertemuan, ramai di kalangan mereka yang mengakui mahu kembali ke pangkal jalan namun tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik yang menyebabkan akhirnya mereka kembali terjebak dengan pekerjaan lama. Kita akan bimbing dengan pekerjaan walaupun tiada kemahiran supaya mereka dapat berdikari dalam mencari pendapatan. "Sehubungan itu melalui program itu kita mahu mereka secara sukarela meninggalkan pekerjaan seks itu dan bukannya dengan paksaan kita akan berikan mereka kemahiran, kelayakan atau sijil untuk menceburi bidang perniagaan, andaman, solekan, katering dan rekaan fesyen,” katanya. Program dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dijangka mampu merubah golongan ini. #sumber
LAWAS - Perjalanan dua orang guru untuk menghantar kertas jawapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Wisma Persekutuan di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Jalan Bukit Suling di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Arrzahara Affendi, 28, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Lawas. Difahamkan, guru wanita menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut kira-kira pukul 2.20 petang. Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superitendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, rakan setugas mangsa yang berusia 24 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan. Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua guru terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar kertas jawapan UPSR dari arah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Trusan menuju ke Wisma Persekutuan di sini. "Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu guru lelaki tersebut dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelum terbakar. "Impak kemalangan tersebut telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini. Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain. Katanya, kereta berkenaan dipercayai dipandu oleh guru lelaki tersebut sehingga menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan itu lalu terbabas dan terbakar. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya lagi. #sumber
MELAKA - Sepasang kekasih dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu. Hakim Datuk Siti Khadijah S. Hassan Barjenid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Nur Fatihah Saqira Mohd. Tahir dari Segamat, Johor dan Firdaus Abdul Karim masing-masing berusia 22 tahun bagaimanapun kelihatan tenang mendengar keputusan tersebut. Siti Khadijah dalam penghakimannya berkata, beliau tidak menerima pengakuan dan penjelasan daripada kedua-dua tertuduh dan disabitkan bersalah sepertimana dalam pertuduhan. Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama membunuh Muhammad Azzad Suhani Hilalluddin yang ketika itu berusia 27 tahun di Jalan BMU 2 hingga ke kolam loji kumbahan, Bandar Baru Merlimau Utara, Jasin. Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh kedua-duanya pada pukul 11.30 malam, 31 Disember 2014 hingga pukul 1 pagi, 1 Januari 2015. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. Mengikut fakta kes, Nur Fatihah menjalinkan hubungan cinta siber dengan mangsa sejak tingkatan tiga, namun perkenalan tersebut menjadi renggang selepas wanita itu melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi di negeri ini. Pada malam kejadian, si mati yang bekerja sebagai pekerja kontrak di Perak datang ke Melaka dengan menaiki bas untuk membuat kejutan berjumpa dengan teman wanitanya itu buat kali pertama. Nur Fatihah yang menjalinkan hubungan dengan Firdaus menghubungi kekasih gelapnya itu dan bersetuju mengumpan mangsa di tempat kejadian. Kerana cemburu, tertuduh lelaki menikam Muhammad Azzad beberapa kali dan mengelarnya menggunakan pisau sehingga mati sebelum mayat mangsa dicampak ke dalam kolam loji kumbahan. Mayat lelaki itu kemudian dijumpai oleh orang awam dua hari kemudian pada 2 Januari 2015. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad dan Shazreen Nadia Saaban manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam LK Tiew dan Mak Kah Keong. #sumber
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat berhubung siasatan kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata PDRM memerlukan maklumat daripada Najib untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan. Beliau berkata setakat ini PDRM telah merakam lebih 70 keterangan daripada pelbagai individu berhubung siasatan dan Najib akan dipanggil lagi untuk dirakam keterangannya. “Selain Najib, saya juga ingin mengesahkan bahawa PDRM telah memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada Selasa lepas berhubung kandungan ceramahnya mengenai 1MDB sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Sebelum ini, Najib berdepan 21 pertuduhan kerana dakwaan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya. #sumber
PORT DICKSON - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini. Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding. "Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin senior mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak bertanya dengan dia untuk saya bertanding," katanya pada sidang media di sini, malam ini. "Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya serah kepada mereka untuk menilai," katanya bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti selepas ini. Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini bertujuan memeriahkan suasana, Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen Jempol berkata ia bukan niatnya. #sumber
KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa polis telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO. Sambil menganggap tuduhan itu tidak berasas sama sekali, Amar Singh berkata jika Raja Petra mempunyai maklumat sahih berhubung dakwaannya, beliau digesa membuat laporan polis. “Jangan hanya menyorok di belakang alam maya dengan membuat pelbagai andaian kes ini, saya cabar dia (Raja Petra) buat laporan polis. “Jadilah seorang yang berani dan tidak melaporkan maklumat-maklumat yang palsu berhubung kes ini,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengulas dakwaan Raja Petra di blognya bahawa PDRM telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO, di sini, hari ini. Amar Singh berkata ketika serbuan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavilion Residences pada Mei lepas, terdapat 50 pegawai dan anggota polis serta kakitangan Bank Negara Malaysia yang terlibat mengawal selia setiap pergerakan di kediaman itu. #sumber
KUALA LUMPUR - Keanggotaan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam UMNO secara automatik terlucut jika menjadi calon bebas dan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson. Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara itu termaktub pada perlembagaan parti dan terpakai kepada semua anggota tanpa mengira jawatan. "Mana-mana anggota yang menjadi calon bebas, secara automatik terlucut keanggotaannya. Ia memang sudah ada dalam perlembagaan parti. "Kita ucapkan selamat berjaya kepada Tan Sri Isa jika benar-benar beliau hendak bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson nanti," katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn, malam ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mohd Isa yang dilapor akan bertanding atas tiket bebas dalam PRK itu nanti. #sumber
SEREMBAN - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan satu cabaran. Pada masa sama, Anwar berkata tiada halangan kepada mana-mana individu atau parti politik yang ingin meletakkan calon bertanding PRK Port Dickson itu kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi. “Itu hak dia sebagai rakyat, saya tidak mahu komen, dalam sistem demokrasi rakyat putuskan. “Dia bermasalah dan diketahui umum, biar rakyat putuskan sebaiknya,” kata beliau kepada pemberita ketika menghadiri tayangan khas filem Tamil, Chekka Chivantha Vaanam di sini, malam ini. Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mohd Isa hari ini yang mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Parlimen Port Dickson. Dalam pada itu, Anwar enggan mengulas kemungkinan individu lain yang turut menjadi calon pada PRK itu, antaranya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor. Sementara itu, Anwar mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRK tersebut agar mematuhi peraturan ditetapkan. #sumber
TAIPING - Sembilan remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dalam tiga kejadian berasingan di Kamunting dan Aulong di sini sejak 18 September hingga kelmarin. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Kamunting dan Taiping antara pukul 9 hingga 11.30 malam semalam.
"Empat daripada suspek masih bersekolah manakala bakinya sudah berhenti sekolah. "Tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat berikutan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting pagi semalam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini. Tambah Mohamad, hasil ujian klinikal mengesahkan mangsa mengalami kesan koyakan lama pada alat sulit mangsa. Katanya, semakan rekod lampau mendapati tiga daripada mereka masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan rogol, seksual ke atas kanak-kanak dan pukul sehingga cedera parah. "Kesemua mereka kini direman selama enam hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.Katanya, polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali Hadi dan Boya selain rakan mangsa bernama Anis untuk siasatan lanjut. #sumber
KUALA LUMPUR - Idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara UMNO dan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak releven dan tidak pernah dibincang. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH akan terus kekal dengan parti gabungan sedia ada iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). “Keputusan kita dalam PH untuk membolehkan kita melonjakkan ekonomi, menyusun negara. Jadi tidak berbangkit cadangan lain, kita tidak pernah berbincang, keputusan kita kekal dengan PH. “Tidak ada cadangan kerajaan perpaduan dengan UMNO, bagi saya ia tidak relevan untuk dibincangkan. Kita komited dengan PH, tidak perlu apa-apa perbincangan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Wacana dan Pelancaran buku tulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) hari ini. Tambah beliau, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu juga menolak pembentukan kerajaan perpaduan tersebut. Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk “kerajaan perpaduan” dengan mana-mana parti PH tidak lama lagi. Tambah Zahid, walaupun UMNO tidak menetapkan tempoh tertentu, parti itu berharap ia dicapai menerusi persetujuan bersama. "Kami terbuka (tubuh kerajaan perpaduan) sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. "Perundingan dengan mana-mana parti tidak ada tempoh atau had masa kerana sesuatu keputusan memerlukan persetujuan sepenuhnya pihak satu lagi," ujarnya. #sumber
PORT DICKSON - Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dinamakan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson. Pengumuman itu dilakukan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan kira-kira 200 penyokong pada majlis pengisytiharan calon PAS bagi PRK berkenaan di sini, malam ini. Mohd Nazari, 57, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), merupakan Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat). "Kita berharap pengundi Port Dickson dapat memberi isyarat (dengan mengundi PAS) bahawa sesuatu telah berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan," kata Tuan Ibrahim. Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustafa Daharun dan barisan kepimpinan parti. Sementara itu, Mohd Nazari mengucapkan terima kasih kepada presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan parti atas amanah serta kepercayaan diberikan kepada beliau untuk bertanding pada PRK berkenaan. "Sekiranya saya dipilih saya akan bermukim di sini dan membawa perubahan. Insya-Allah PRK Port Dickson akan menjadi bukti rakyat Malaysia berani membuat perubahan," katanya yang menetap di Batu Pahat, Johor. Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17, 710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. #sumber
SEREMBAN - Bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad malam ini mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson. Bekas naib presiden UMNO dan pengerusi Felda itu berkata beliau membuat keputusan itu selepas membuat pelbagai pertimbangan termasuk UMNO tidak meletakkan calonnya di kawasan berkenaan. "Saya terpanggil bertanding kerana kerusi itu telah dikosongkan, lagipun saya adalah anak jati Port Dickson," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini. Bekas Ketua Bahagian UMNO Telok Kemang (kini Port Dickson) itu berkata beliau percaya mempunyai peluang yang baik untuk menang memandangkan telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan selain telah dikenali pengundi setempat. Mohd Isa berkata dengan pencalonannya itu pada PRK Parlimen Port Dickson bermakna beliau juga telah berundur daripada UMNO. Mohd Isa merupakan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Linggi selama enam penggal dan ADUN Bagan Pinang selama satu penggal yang kedua-duanya terletak dalam kawasan Parlimen Port Dickson. Mohd Isa yang menyandang jawatan menteri besar selama 22 tahun juga pernah dipilih sebagai Anggota Parlimen Jempol. PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua parti politik iaitu PAS dan Parti Rakyat Malaysia selain calon bebas yang juga personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian. #sumber
KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter menggegarkan semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia pada pukul 6.02 petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran itu berlaku kira-kira 80 kilometer (km) utara dari Palu, republik itu.
Dua gempa susulan yang berukuran 5.3 dan 5.9 pada skala Richter masing-masing pada 6.14 petang dan 6.16 petang turut dilaporkan melanda lokasi yang sama.
BERA: Peluang Ketua PKR Cabang Bera, Zakaria Abd Hamid untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu kini berhadapan dengan laluan sukar apabila dia dikhabarkan terpalit dengan skandal rasuah baru-baru ini. Zakaria bakal ditentang oleh Haji Abbas Awang pada pemilihan parti itu kali ini. Lawan beliau bukan calang-calang orang, malah amat dikenali dan mempunyai pengaruh yang besar di Bera sebenarnya. Kes ini pasti akan mempengaruhi pola pengundian pada pemilihan cabang itu nanti. Zakaria yang juga merupakan calon PKR bagi kerusi parlimen Bera pada PRU14 lalu dilaporkan membuat tawaran berupa sogokan rasuah dengan menjanjikan imbuhan dan projek untuk mendapatkan undi. Laporan SPRM telah dibuat oleh Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Razak kelmarin.Ia membabitkan Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Kerja Raya yang kini disandang oleh Zakaria.
Zakaria dikatakan cuba menyogok pemimpin-pemimpin tempatan PKR di sebuah lokasi di Pahang pada 1 September lalu berkaitan pemilihan parti itu. Diamemaklumkan bahawa dia akan mendapat peruntukan sebanyak RM300,000 daripada sebuah kementerian lain dan bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian untuk diagih-agihkan kepada pemimpin-pemimpin setempat Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada pemilihan PKR kali ini, Zakaria turut bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Isu ini sedikit memanaskan kempen calon dan menimbulkan keresahan kepada semua pihak. Apapun, segalanya terletak ditangan SPRM dan pucuk pimpinan tertinggi PKR sekarang. Sekiranya terbukti bersalah, maka seharusnya Zakaria akan diambil tindakan dan kelayakan untuk dia bertanding kedua-dua jawatan itu pasti gugur. Ini bermakna laluan Zakaria untuk menang jawatan parti pada kali ini nampaknya kian berliku. Ini akan memberi tamparan hebat kepada "team Azmin Ali" dalam usaha memastikan beliau menang jawatan Timbalan Presiden PKR. Zakaria dipercayai orang kuat Azmin dan sudah pasti ia akan merencatkan sedikit kempen mereka itu sebenarnya. Apa pun, biarkan mahkamah yang tentukan sama ada beliau bersalah atau pun tidak.#PDO
Jun Hao perlu buktikan kemampuan
-
LEONG Jun Hao masih menjadi sandaran utama perseorangan lelaki negara,
namun status itu perlu dibuktikan menerusi keputusan lebih meyakinkan
selepas pema...
Anwar's political needs.
-
1. When I was a 6th former, our economics teacher gave us a homespun wisdom
which i remember till today 2. Studying economics is like putting up a
brick wa...
[Autosaved] WZWH Mula Menulis…
-
Sudah lama WZWH tidak berblog
WZWH mula menulis…
Sekarang Perang US-Israel VS Iran. Ganggu keamanan dan ekonomi dunia
Sudah tentu beri kesan kepada Malay...
EMPAT PAHLAWAN MELAYU KELAHIRAN BUMI PAHANG
-
PAHLAWAN MELAYU
NAMA-NAMA PENDEKAR KELAHIRAN BUMI PAHANG
1. Dato' Bahaman
Nama sebenar: Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh.
Asal: Semantan, Temerloh, Paha...
#BUBARPARLIMEN MALAYSIA BUKAN DIA PUNYA!!!
-
Percaturan yang direncanakan sebelum ini GAGAL memenuhi kehendak Mahathir
apabila gabungan PAS dan UMNO serta komponen lain dalam Muafakat Nasional
menar...