script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Belanjawan 2025: Kerajaan Negeri Peruntukkan RM91.97 Juta Tingkatkan Perkhidmatan Bekalan Air

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memperuntukkan 91.97 juta ringgit bagi tahun 2025 untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air di negeri ini untuk meneruskan komitmen menangani isu bekalan air.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara manfaat daripada peruntukan ini ialah kerajaan negeri membina dan menyiapkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling, Kuantan dengan peruntukan RM40 juta; LRA Gebeng, Kuantan RM45 juta; di Karak berjumlah RM500,000 serta Jelai RM570,000.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga mengutamakan penyelenggaraan jalan dan infrastruktur negeri dengan memperuntukkan RM94.6 juta bagi melaksanakan projek-projek merangkumi menaiktaraf jalan serta baikpulih dan menaiktaraf kompleks pejabat kerajaan di negeri ini.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan projek infrastruktur jalan melalui Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM645.74 juta,” katanya.

Tambahnya, peruntukan itu diluluskan menerusi dua kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya berjumlah RM179.92 juta dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berjumlah RM465.82 juta. #SinarHarian

Share:

Belanjawan 2025: Kerajaan Negeri Peruntukkan RM2 Juta Penubuhan Seketariat Muafakat FELDA Pahang

KUANTAN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan untuk terus memperkasa dan memberi perhatian terbaik kepada warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan mereka.

“Ia akan bertindak sebagai one-stop centre bagi mengkoordinasi seluruh program dan bantuan selain menjadi platform sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri Pahang dan pentadbiran FELDA seterusnya seluruh warga FELDA di negeri Pahang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa inisiatif diteruskan untuk masyarakat Orang Asli antaranya ialah pelaksanaan projek baik pulih rumah Orang Asli dan projek pembekalan air ke kampung Orang Asli dengan jumlah peruntukan RM2.03 juta.

“Mereka juga menerima RM2.2 juta untuk pelaksanaan pelbagai program seperti pemberian komputer riba dan insentif perkahwinan kali pertama,” katanya. #SinarHarian

Share:

Belanjawan 2025: Kerajaan Peruntukkan RM196.06 Juta Untuk Memperkukuhkan Syiar Islam Di Negeri Ini

KUANTAN: Syiar Islam telah menjadi asas kepada pentadbiran dan kehidupan rakyat di Pahang untuk terus dipelihara dan diperkasa agar sentiasa relevan dan seiring dengan perkembangan zaman.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menyuburkan lagi pengembangan dan pengukuhan syiar Islam di bumi Pahang, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM196.06 juta kepada Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang.

“Peruntukan ini bertambah sebanyak 33.53 juta ringgit berbanding peruntukan tahun 2024,” katanya. #SinarHarian

Share:

Belanjawan 2025: Kerajaan Negeri Sasarkan Kutipan Hasil Mencecah RM1.194 Bilion Pada Tahun Depan

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion dan unjuran tersebut meningkat sebanyak lima peratus berbanding Belanjawan Tahun 2024.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM1.182 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM57 juta atau 5.05 peratus berbanding tahun 2024 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM12 juta.

“Peruntukan perbelanjaan pembangunan yang akan disediakan adalah sebanyak RM399.64 juta,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan belanjawan itu bukan sekadar pelan perbelanjaan tetapi sebagai manifestasi kepada harapan rakyat yang menginginkan perubahan dan pembangunan lebih mampan serta inklusif.

Dato’ Sri Diraja berkata, Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2025 akan menggariskan lima Tekad Belanjawan iaitu Pengukuhan Daya Saing dan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif serta mampan, Ketersediaan Kemudahan Asas dan Infrastruktur, Pemantapan Kecekapan Tadbir Urus Kerajaan serta Kelestarian Alam, Penghasilan Modal Insan yang Berkualiti dan Cemerlang dan Keutuhan Kesejahteraan Rakyat serta Kemakmuran Negeri yang Berterusan.#SinarHarian

Share:

Inisiatif Makmur Pahang, Rakyat Akan Terima Pelbagai Insentif Dan Bantuan Menerusi Belanjawan 2025

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Belanjawan 2025 akan meneruskan pemberian insentif dan bantuan kepada rakyat untuk membantu meringankan beban mereka.

Bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’, ia menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang tahun 2025.

Menteri Besarnya, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi menyeragamkan bentuk bantuan dan inisiatif sebelum ini, Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur dijenamakan sebagai Inisiatif Makmur Pahang atau I.M. Pahang.

“Ia mempunyai matlamat yang sama iaitu usaha kerajaan negeri dalam menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada semua lapisan masyarakat daripada yang baru lahir sehinggalah ke peringkat warga emas.

“Bagi meneruskan agenda kebajikan rakyat negeri ini, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM50.54 juta pada tahun hadapan melibatkan empat kluster iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Menurut Dato’ Sri Diraja, belanjawan itu menjadi platform untuk menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan negeri yang bakal memberikan impak besar kepada kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat dan negeri. #SinarHarian

Share:

ADUN Kuala Sentul Yakin Perikatan Nasional Mampu Rampas Pahang Pada Pilihan Raya Umum Ke-16

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) mampu merampas Pahang jika gabungan pembangkang itu menang enam lagi kerusi dan mempertahankan kerusi sedia ada pada PRU-16 nanti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Dato' Jasri Jamaludin.

Ketika ini PN mempunyai 17 kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi di DUN Pahang dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.

“Untuk PN menang sangat cerah dan diberikan kepercayaan (pada BERSATU) sebab BERSATU atau PAS tidak boleh bertanding keseorangan.

“PN merupakan alternatif kepada BN di Pahang, jadi saya yakin PRU16 PN akan dapat lebih kerusi,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung BERSATU di Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya kepimpinan pusat bersedia dari awal terutamanya memperkukuh strategi berkaitan pemilihan calon.

Sementara itu Ketua BERSATU Bahagian Rompin, Abdul Khalib Abdullah ketika berucap pada perhimpunan hari ini mencadangkan seluruh bahagian dan jawatankuasa mula mengutip dana kerana akaun parti masih disita.

“Hari ini kita memulakan (kutip sumbangan) tetapi parti lain sebenarnya sudah mula. Saya nak nyatakan ia adalah satu langkah pembaharuan yang perlu dibuat parti.

“Saya nak minta ketua-ketua bahagian bincang dengan ahli jawatankuasa bahagian kita lakukan perkara sama. Parti kita ini bukan tiada duit, duit bukan dibeku tetapi disita,” katanya.

Tabung sumbangan itu mula diedarkan kepada perwakilan sejak semalam dan Khalib menyifatkan usaha itu ‘sebagai satu langkah pembaharuan’.

Tahun lalu, dua akaun parti itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA).

Difahamkan, pembekuan akaun BERSATU ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19. #FreeMalaysiaToday

Share:

Jelajah 'PAS Teraju Pahang', Tiba-Tiba Muhyiddin Pula Umum BERSATU Mahu Jawatan Menteri Besar !

KUANTAN: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan parti itu menyasarkan jawatan Menteri Besar di Pahang jika Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Selain Pahang, Muhyiddin turut memaklumkan dua negeri lagi iaitu Perak dan Selangor. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenan kedudukan BERSATU bersama-sama PAS yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Persoalannya, adakah kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dibuat di Perhimpunan Agung BERSATU di Shah Alam itu telah dirujuk kepada pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di negeri terbabit?. 

Ini isu yang ditimbulkan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 52, kepada Pahang Daily Online (PDO) hari ini.

Menurut Shukri, adakah kepimpinan PAS di Pahang bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin itu?. Malah ketika ini PAS Pahang sedang melaungkan slogan 'PAS Teraju Pahang' kepada rakyat di negeri ini.

Tambah Shukri, PAS berhasrat dan secara terus-terang memberitahu rakyat negeri  ini dan di hadapan kerajaan yang memerintah hari ini, bahawa parti itu akan ambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

Malah, slogan 'PAS Teraju Pahang' telah dipilih sebagai tema yang diangkat parti itu buat kali ketiga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. Parti itu juga sudah dan akan menjelajah seluruh negeri Pahang untuk bertemu rakyat bagi merealisasikan hasrat mereka.

"Kenyataan Muhyiddin pasti mengundang polimik dalam hal ini. Bagaimana perasaan kepimpinan dan ahli PAS di Pahang agaknya?. Apakah mereka bersetuju atau kecewa dengan kenyataan itu?. Inilah yang menjadi persoalan sekarang," kata Shukri.

"Bagaimana BERSATU pula mahu menjadi MB Pahang, sedangkan selama ini rakyat dimomokkan dengan nama ADUN Cheka yang juga Timbalan Presiden PAS iaitu Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar.

"Saya melihat kenyataan Muhyiddin ini bakal mengurangkan sokongan rakyat terhadap parti itu di Pahang. Malah kemenangan dua kerusi DUN BERSATU iaitu Kuala Sentul dan Lepar pada PRU-15 lalu adalah dengan kerja kuat dan dokongan ahli serta jentera akar umbi PAS sebenarnya," dakwa beliau lagi.

"Mana mungkin MB Pahang dari BERSATU, sedangkan jelas dapat kita lihat pada PRU-15 lalu PAS menang 15 daripada 17 kerusi DUN di negeri ini. Maknanya sudah pasti terdapat bantahan daripada ahli PAS terhadap kenyataan Muhyiddin ini.

"Ia satu peluang terbaik untuk Kerajaan Perpaduan (PH-BN) di Pahang mengatur langkah sebenarnya. Ketidakpuasan hati akan menyebabkan berlakunya undi protes dan ia boleh menyebabkan perbalahan dalaman Perikatan Nasional itu sendiri menjelang PRU-15 akan datang.

"Tidak mungkin PAS akan memberi peluang BERSATU bertanding dalam jumlah kerusi yang lebih banyak daripada sekarang, kerana PAS pasti bimbang jika BERSATU menang banyak kerusi maka mereka akan menuntut jawatan Menteri Besar bila PN menang kelak," tambahnya.

Justeru Shukri melihat, kekalutan ini akan memberikan harapan baharu kepada UMNO terutamanya untuk kembali merampas kerusi DUN yang ditakluki oleh PAS pada PRU-15 lalu. Usaha ini pasti berhasil jika ahli akar umbi PAS yang takut BERSATU merampas jawatan Menteri Besar Pahang, jika pemimpin atasan PAS juga akur berdasarkan rundingan yang akan dijalankan kelak. Lagi pun, PAS sudah berkuasa di empat negeri, memang ikut logik Pahang. Selangor dan Perak perlu dilepaskan kepada BERSATU," dakwa beliau. #PahangDaily

Share:

BERSATU Sasar Jawatan Menteri Besar Di Negeri Pahang, Perak Dan Selangor Jika PN Menang PRU-16

SHAH ALAM: Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu pada masa ini menyasarkan jawatan Menteri Besar di Pahang, Perak dan Selangor jika Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas negeri-negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata demikian ketika menjawab soalan berkenan kedudukan BERSATU bersama-sama PAS yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Ya betul, di utara bukan negeri kita (BERSATU) tapi di bawah PN, dan di Pahang dan Perak kita lihat sokongan sudah meningkat. Di Selangor, kita kurang sedikit sahaja (kerusi DUN berbanding PH dan BN).

“Maknanya kita tidak boleh menafikan kemungkinan itu (menang di negeri tersebut),” katanya ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung BERSATU di sini hari ini. #Malaysiakini

Share:

Stadium Darul Makmur Dijangka Akan Beroperasi Sepenuhnya Pada Bulan Mac Tahun Depan

KUANTAN: Stadium Darul Makmur dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac tahun depan selepas mengambil kira tempoh matang rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata penanaman rumput yang dibawa khas dari Jepun itu bermula Rabu lepas mempunyai ketahanan lebih tinggi serta tahan lasak berbanding jenis sebelum ini.

"Rumput jenis ini merupakan yang pertama ditanam di Malaysia, ia lebih lasak, lebih hijau pekat serta tumbuh lebih rapat dan ia juga mampu menyerap lebih air berbanding rumput jenis lain," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf padang dan rumput di stadium itu hari ini.

Bagaimanapun, Fadzli berkata kerja menaik taraf stadium berusia lebih lima dekad itu masih memerlukan peruntukan besar bagi pembaikan bumbung dan penukaran lampu limpah membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM7 juta.

"Kos penukaran lampu limpah stadium sahaja melibatkan RM3.3 juta dan selebihnya kos penukaran bumbung serta sebahagian bangku yang perlu ditukar," katanya sambil menambah perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. #AstroAwani

Share:

Kerajaan Pahang Akan Melaksanakan Sistem e-Tanah Sepenuhnya Di Negeri Ini Menjelang Tahun 2027

KUANTAN: Sistem pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu yang menekankan agenda pendigitalan e-Tanah, akan mula dilaksanakan sepenuhnya di Pahang menjelang tahun 2027.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembangunan sistem itu dengan kos RM128 juta yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan, akan memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan urusan tanah secara atas talian.

Beliau berkata buat masa ini, pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses menyediakan kontrak perjanjian berkaitan pembangunan sistem tersebut yang dijangka ditandatangani Mac depan.

“Setelah diteliti Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri akan meneliti kontrak perjanjian tersebut dan selepas kontrak perjanjian dimulakan, insya-Allah, (pembangunan) sistem ini akan bermula selepas enam bulan kontrak ditandatangani, pada Sept 2025.

“Tempoh pembangunan sistem ini akan mengambil masa 24 bulan mengikut tempoh maksimum dan go live menjelang tahun 2027, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat Pahang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin tahu status terkini pembangunan sistem e-Tanah dan manfaatnya kepada rakyat.

Wan Rosdy berkata sistem tersebut akan mengukuhkan lagi urusan pentadbiran tanah yang juga melibatkan urusan permohonan tanah serta semakan status permohanan tanah dan lain-lain urusan berkaitan dengannya.

“(Dengan adanya sistem ini) faedahnya banyak, kita (juga) boleh menarik pelabur, memudahkan urusan pemilik tanah dan mengelak berlakunya penipuan. Ini menjadikan sesuatu urusan lebih cepat dan cekap. Datanya lagi komprehensif, bersepadu dan sebab itu, kerajaan negeri bersetuju dengan (pelaksanaan) sistem e-Tanah,” katanya. #TheSun

Share:

Kerajaan Pahang Akan Membina Pangsapuri Bagi Membantu Golongan Muda Dan B40 Memiliki Rumah

 

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan membina pangsapuri bagi membantu golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah sejajar misi memastikan tiada lapisan masyarakat di negeri ini terpinggir daripada mempunyai kediaman sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Projek Pangsapuri Pahang itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan di setiap daerah.

"Itu ialah projek perintis di mana kita dapati tanah semakin kurang. Jadi, dengan adanya pangsapuri ini, contohnya, satu ekar atau dua ekar, ramai akan dapat duduk di situ.

"Lokasinya kita masih belum kenal pasti tetapi yang pastinya ia akan menguntungkan mereka yang B40. Kita akan bermula (dengan pembinaan) satu dahulu, dijangka tahun depan. Saya sudah minta PTG (Pejabat Tanah dan Galian) cari tapak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan 'Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan' di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pangsapuri itu akan diberikan secara percuma atau menerusi kaedah sewa beli, Wan Rosdy berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

"Yang penting, (ia) memudahkan rakyat. Kita tengah lihat sama ada seseorang itu, kalau dia duduk lebih daripada beberapa tahun, berapa baki yang tinggal, dan beri kepada dia. Ini semua masih dalam perbincangan," katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy semasa pembentangan Belanjawan 2025 berkata sebanyak 350 unit Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 akan dibina melibatkan kos RM28.7 juta menerusi peruntukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang dengan sokongan peruntukan RM9.45 juta daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM9.84 juta bagi membina 120 unit Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 khusus untuk masyarakat Orang Asli.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan Rumah Rakyat dengan menampung kenaikan kos pembinaan setiap rumah daripada RM75 ribu kepada RM80 ribu," katanya. #AstroAwani

Share:

Belanjawan Pahang 2025 Mencatatkan Lebihan RM12 Juta, Sasar Kutipan Hasil Cecah RM1,194 Bilion

KUANTAN: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Pahang 2025 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus sebanyak RM12 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion, meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.

Katanya daripada jumlah itu, RM1.182 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran teta serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM57 juta ringgit atau 5.05 peratus berbanding tahun lalu.

“Manakala bagi tujuan perbelanjaan pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM399.64 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 di Wisma sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy dalam pada itu berkata, kerajaan ini akan menjadikan kutipan hasil RM1 bilion sebagai penanda aras yang harus dicapai setiap tahun.

“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan rasa syukur apabila kutipan hasil Kerajaan Negeri pada tahun ini telah melebihi RM1 bilion untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022.

“Sehingga berakhir 28 November 2024, kutipan hasil yang berjaya dicapai oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.150 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2024 iaitu RM1.137 bilion atau 101.1 peratus.

“Kini, kutipan RM1 bilion bukan lagi satu angka yang kita sasarkan, tetapi ia merupakan satu penanda aras yang harus kita capai dan atasi setiap tahun,” katanya. #UtusanMalaysia

Share:

Kerajaan Pahang Menyasarkan 90 Peratus Isu Bekalan Air Dapat Diatasi Menjelang Akhir Tahun 2026.

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyasarkan 90 peratus isu bekalan air dapat diatasi menjelang akhir tahun 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu, sebanyak RM91.97 juta diperuntukkan melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk pelaksanaan projek-projek penting sepanjang tahun hadapan.

Menurutnya, tujuh projek utama akan dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu, tangki imbangan dan pemasangan paip agihan air.

"Antara projek yang diberi keutamaan ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling, Kuantan membabitkan peruntukan RM40 juta, Tangki Imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng (RM45 juta), LRA di Karak, Bentong (RM500,000), pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di LRA Jelai dan pemasangan paip ke tangki Bukit Bius berjumlah RM570,000.

"Seterusnya, projek bekalan air Nenasi, Pekan sebanyak RM3.5 juta, projek bekalan air Raub (RM600,000) dan pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng berkapasiti 90 juta liter sehari di Kuantan dengan peruntukan RM1.8 juta,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan negeri juga memperuntukkan RM235,000 kepada Badan Kawal Selia Air bagi penyelenggaraan sistem pemantauan kualiti air atas talian bagi daerah Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Jerantut.

Menyentuh penyelenggaraan jalan dan infrastruktur negeri, Wan Rosdy berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek infrastruktur jalan melalui Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM 645.74 juta.

Ujar beliau, peruntukan ini diluluskan menerusi dua kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya berjumlah RM179.92 juta dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berjumlah RM465.82 juta.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kerja Raya Negeri turut memperuntukkan RM94.6 juta bagi melaksanakan projek-projek merangkumi menaik taraf jalan serta baik pulih dan menaik taraf kompleks pejabat kerajaan di negeri ini. #SinarHarian

Share:

Bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) Satu Bulan Setengah Gaji Untuk Penjawat Awam Pahang

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam negeri yang akan dikreditkan pada tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2025 dengan tema 'Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan' berkata bayaran berkenaan melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM33.3 juta.

"Sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pahang.

"Untuk itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Pahang," katanya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagaimana diumumkan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata pelaksanaan SSPA yang akan mula dibayar bermula Disember 2024 sebanyak lapan peratus dan baki tujuh peratus bermula Januari 2026, melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM55.014 juta.

"Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan dukungan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini. Sikap profesionalisme dan saling menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Pahang kekal maju dan makmur," katanya. #AstroAwani

Share:

Wan Rosdy: Rakyat Pahang Diminta Agar Senantiasa Bersiap Siaga Menghadapi Kemungkinan Banjir

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan rakyat negeri ini agar sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir.

Menurutnya, pihak kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi- agensi penyelamat sentiasa bersedia dan sedang bekerja keras bagi memastikan bantuan kecemasan, makanan, tempat tinggal, dan keperluan asas yang lain dapat disalurkan jika berlaku sebarang kemungkinan.

"Sebelum banjir berlaku, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

"Sekiranya banjir berlaku bawa dokumen penting itu bersama jika diarah pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Pastikan semua suis elektrik dan injap bekalan air utama ditutup sebelum meninggalkan rumah," katanya melalui kenyataan di Facebooknya.

Wan Rosdy berkata, jauhi dan jangan sesekali sentuh kabel atau wayar elektrik yang terjatuh ke dalam air.

"Ibubapa juga dinasihatkan agar mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir, sungai atau longkang bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Jangan cuba hidupkan peralatan elektrik yang terendam air selepas banjir surut sebaliknya bawa peralatan yang terjejas untuk pemeriksaan di kedai elektrik berhampiran," ujarnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Jerantut dan Kuantan, Pahang serta seluruh Terengganu dan Kelantan sehingga Jumaat ini.

Hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin.

Hujan tahap waspada pula dijangka terjadi di Raub, Bentong, Temerloh dan Bera.

Sehingga jam 1 tengah hari pada Khamis, belum ada laporan kejadian banjir atau PPS dibuka di negeri ini. #SinarHarian

Share:

Tanah Milik Kerajaan Pahang Seluas 1,000 Ekar Di Sungai Perdak, Bentong Dikesan Telah Diceroboh

 

KUANTAN: Kira-kira 404 hektar (1,000 ekar) tanah milik kerajaan negeri Pahang di Sungai Perdak, Mukim Sabai, Bentong dikesan telah diceroboh, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kawasan yang diceroboh terbabit terletak di lokasi tersorok dan tersepit antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan serta bersempadan dengan tanah Negeri Sembilan.

Wan Rosdy berkata hasil siasatan mendapati, kawasan tersebut telah ditanam dengan pokok durian dan kerajaan negeri memandang serius aktiviti pencerobohan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.

"UPNP telah melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemukan. 

Malah, saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku," katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Rosdy berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri itu.

"Aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh memberikan impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat," katanya.

Justeru, Wan Rosdy menegaskan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penerokaan tanah secara haram akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

"Kerajaan negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Sementara itu, beliau berharap kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram dan menghargai usaha tersebut.

"Sama-sama kita memastikan Pahang terus terpelihara dan bebas daripada aktiviti pencerobohan yang tidak bertanggungjawab," katanya. #AstroAwani

Share:

Hujan Sangat Lebat Berterusan Dijangka Berlaku di Kelantan, Terengganu Dan Pahang Sehingga 29 November Ini

KUALA LUMPUR: Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 29 November ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan kawasan terlibat di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan.

Manakala di Pahang pula di Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran hujan berterusan (bahaya) juga dikeluarkan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan di Terengganu.

Di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran hujan berterusan (buruk) berkuat kuasa sehingga 29 November 2024 diramal berlaku di Kedah (Padang Terap, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan (Gua Musang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera); dan Johor (Mersing).

Amaran hujan berterusan (waspada) pula melibatkan Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar); Pahang (Raub dan Bentong); Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru); dan vii) Sabah: Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) & Kudat. #MalaysiaGazette

Share:

Cuti 8,000 Kakitangan Awam Pahang Dibekukan, Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)

KUANTAN: Cuti kira-kira 8,000 kakitangan awam di Pahang dibekukan sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang kini telah bermula.

Kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, menyebut kerajaan Pahang membekukan cuti kakitangan awam bermula 25 November hingga 15 Januari 2025.

Keputusan berkenaan bagi memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pahang telah memasuki fasa Monsun Timur Laut bermula 5 November lalu dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Sehubungan itu, penjawat awam yang berhasrat untuk memohon cuti rehat termasuk mengikuti latihan, lawatan ke luar daerah dan negeri hendaklah mendapatkan kelulusan khas daripada Setiausaha Kerajaan Pahang.

Pembekuan cuti ini dilaksanakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan operasi pengurusan bencana berada di tahap optimum sepanjang tempoh Monsun Timur Laut serta bersedia untuk dipanggil bertugas apabila diarahkan sedemikian.

Rata-rata kakitangan awam yang ditemui berpendapat keputusan kerajaan negeri membekukan cuti dianggap sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan berlaku kejadian banjir.

Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan memikirkan nasib kakitangan awam yang menjadi tulang belakang pada kemajuan serta kemakmuran negeri ini.

Walaupun terpaksa mengubah rancangan yang telah dirancang, namun demi arahan kami tetap akur dan sentiasa berdoa episod banjir besar tidak berlaku pada musim tengkujuh tahun ini. #BeritaHarian

Share:

Penjawat Awam Antara 13 Ditahan Disyaki Terbabit Dengan Kartel Pindah Milik Tanah Secara Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Enam wanita antara 13 yang ditahan termasuk penjawat awam kerana disyaki terbabit dengan kartel pindah milik tanah secara tidak sah membabitkan sebuah pejabat tanah dan daerah di Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang penolong pegawai daerah pada awal bulan ini.

Katanya, pengadu tampil membuat laporan polis selepas mendapati wujud beberapa transaksi pindah milik tanah yang mencurigakan dan berlaku secara tidak sah.

"Siasatan yang dijalankan mendedahkan terdapat sindiket dan kartel di dalam pejabat tanah yang menjalankan kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.

"Sindiket ini dipercayai mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod penting pindah milik.

"Setakat ini dipercayai terdapat enam transaksi pindah milik secara tidak sah membabitkan enam bidang tanah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, susulan siasatan yang dijalankan, pihaknya menahan 13 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia lingkungan antara 26 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, antara suspek yang ditahan itu adalah kakitangan di pejabat tanah dan daerah terbabit, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ramli berkata seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun kerugian RM1.08 juta wang simpanan persaraan selepas menjadi mangsa 'phone scam'.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis di Pulau Pinang, semalam dan menyatakan menerima panggilan dari individu mengaku kononnya pegawai dari 'Tabung Haji' pada 18 Oktober lalu.

"Mangsa dimaklumkan akaun miliknya didapati terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram. Seterusnya mangsa dihubungi oleh seorang yang mendakwa dari Balai Polis Ampang yang kononnya akan membuat siasatan terhadap pengadu.

"Mangsa turut diingatkan supaya tidak menceritakan perihal siasatan tersebut kepada orang lain atau mangsa akan ditangkap," katanya.

Ramli berkata mangsa juga diarahkan 'melaporkan diri' lima kali sehari kepada 'Puan Suraya' yang kononnya seorang pendakwa raya.

"Mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank tersebut dan menyerahkan butiran perbankan kaun kepada pihak sindiket.

"Mangsa hanya menyedari ditipu apabila bercerita perkara tersebut kepada anaknya," katanya.

Ramli berkata, semakan lanjut mendapati wang dari akaun bank yang baharu dibuka mangsa itu sudah dipindahkan ke beberapa bank yang belum dikenalpasti melalui 60 transaksi berbeza.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kepada anak-anak, tolonglah nasihatkan ibu bapa, pakcik, makcik, saudara, rakan taulan terutamanya warga emas.

"Selitkan perkara ini sebagai agenda perbualan supaya mereka tahu dan terdetik di pemikiran mereka apabila menerima panggilan sebegini," katanya. #BeritaHarian

Share:

Bukan Sebab Kekejangan Kaki, Lopak Air Menjadi Punca Penjaga Gol Sri Pahang FC Buat Kesilapan

KUANTAN: Sri Pahang FC sekadar merekodkan keputusan seri 1-1 menentang Selangor FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Temerloh pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Sean Selvaraj meletakkan Tok Gajah di depan pada minit ke-27 tetapi kesilapan Zarif Irfan Hashimuddin, yang terlepas bola tandukan Nikola Jambor, menyaksikan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1.

Ada yang melihat faktor kecederaan penjaga gol Sri Pahang itu menjadi punca gawangnya dibolosi namun dakwaan itu dinafikan Zarif Irfan dan beranggapan tersalah agakan susulan keadaan padang berlopak menjadi faktor Tok Gajah dibolosi.

Hujan lebat sebelum sepak mula bermula menyebabkan keadaan padang sedikit becak dan perkara tersebut dilihat mengganggu perancangan pasukan masing-masing untuk melakukan serangan.

"Mungkin sebab padang ada air, jadi agakan saya agak lari. Keadaan di depan gol agak padat dan apabila bola itu jatuh, mungkin ada lopak air di situ, jadi ia agak mengganggu.

"Mungkin jurulatih mahu menukar saya tetapi saya katakan saya okey. Jadi saya tidak tahu apa situasinya kerana ketika itu saya memang ada mengalami kekejangan di kedua-dua kaki.

"Mungkin kami perlu memperbaiki apa yang perlu dan apabila bermain di sana (Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya), kami tidak boleh bolos dan perlu menang," katanya memetik laporan Stadium Astro.

Selepas ini, skuad kendalian Fandi Ahmad akan berkunjung ke Petaling Jaya, Selangor bagi aksi kedua pusingan ke-16 saingan Piala Malaysia pada 1 Disember depan. #Majoriti

Share:

Orang Kuat Bola Sepak Pahang, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

PEKAN: Kisah pilu diterima penyokong Sri Pahang FC apabila Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah yang merupakan ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) meninggal dunia.

Berdasarkan perkongsian orang ramai, Allahyarham meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Pekan menghala ke Bandar Pekan dalam satu kejadian pada Selasa.

"Kejadian lebih kurang pukul 12 tengahari 26 November. Dinasihatkan kepada semua supaya memandu berhati-hati tambahan sekarang adalah musim hujan," tulis pengguna Facebook, I Love Pahang.

Hantaran tersebut disertakan beberapa keping foto memaparkan insiden itu melibatkan beberapa buah kenderaan, termasuk sebuah kereta pacuan empat roda berwarna putih.

Namun, tidak dapat dipastikan kenderaan manakah yang dinaiki Allahyarham dengan pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Meskipun namanya tidak kerap didendangkan, sumbangannya terhadap perkembangan bola sepak di negeri itu terus dikenang kerana dia sering menghadiri pertandingan di peringkat akar umbi.

Jadi, tidak hairanlah apabila pengguna media sosial lain sempat mengutuskan ucapan takziah buat keluarga dan kenalan Allahyarham di ruangan komen. #Majoriti

Share:

Mayat Mangsa Lemas Ditemui Tersangkut Pada Jaring Kira-Kira 300 Meter Dari Rumah Rakit Di Jeti Chenor

MARAN: Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang, Ahad lalu ditemui lemas tengah hari tadi.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada jaring kira-kira 300 meter dari rumah rakit di Jeti Chenor, dekat sini kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mengesahkan pertemuan mayat guru terbabit.

“Pengecaman pun dapat disahkan oleh keluarga dan saya akan maklumkan fakta kes sekejap lagi.” katanya ketika dihubungi.

Mangsa Murdani Abdul Rahman, 53, dilaporkan terjatuh ke Sungai Pahang ketika memancing bersama seorang rakan di rumah rakit dekat jeti Chenor, kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.

Mangsa meninggalkan seorang balu, Nooradiwati Mohamed, bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 19, serta empat anak berusia antara 17 dan 28 tahun. #BuletinTV3

Share:

MetMalaysia Keluar Amaran Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya Di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang hingga Jumaat ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ia melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu manakala Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran itu turut dikeluarkan bagi Kedah meliputi Padang Terap, Sik dan Baling, Perak (Hulu Perak), Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera) serta Mersing, Johor.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada hingga Jumaat ini yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) serta Pulau Pinang.

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar), Pahang (Raub dan Bentong), Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) serta Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini di laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan atau menghubungi MetMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. #SinarHarian

Share:

Dakwaan Projek Rumah Pahang Gagal Dan Terbengkalai Fitnah, KDMI Buat Laporan Polis Terhadap ADUN Kuala Sentul

KUANTAN: Dakwaan 10 projek Rumah Pahang gagal dan terbengkalai tidak benar kerana ia berjalan sebagaimana persetujuan ditandatangani dengan kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah dengan niat jahat demi kepentingan politik pembangkang di negeri ini.

“Dua projek di Sungai Retang dan Jengka 11 sedang dalam proses pembinaan dan penyiapan yang sudah pun mencapai 80 peratus siap dan dijangka diserahmilik kepada pembeli pada suku pertama tahun 2025 nanti.

“Sebagai mana dipersetujui bersama dengan kerajaan negeri Pahang, 10 projek ini akan dibina secara berperingkat dan akan diserah milik kepada pembeli sebelum akhir 2026 untuk kesemua 10 projek,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin dalam sidang akhbarnya menggesa kerajaan negeri menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh kontraktor Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan KMDI dengan kadar segera.

Jasri dilaporkan berkata, KMDI yang merupakan syarikat usahasama dengan kerajaan Pahang itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik selaku pemaju sehingga menyebabkan kontraktor dilantik menghadapi kerugian sehingga RM30 juta keseluruhan.

Mengulas lanjut, Azjuriyahti berkata, dakwaan Jasri yang menyebut KMDI tidak membuat apa-apa bayaran kepada kontraktor terlibat dengan pembinaan Rumah Pahang adalah tidak benar.

“Kes ini sudah dibawa ke mahkamah sebelum ini dan menunggu tarikh perbicaraan. KMDI telah menyaman syarikat-syarikat kontraktor terbabit kerana menghentikan kerja-kerja pembinaan dan meninggalkan tapak serta tidak mematuhi syarat-syarat dalam surat setuju terima yang telah ditandatangan bersama sebelum syarikat-syarikat ini memulakan kerja-kerja mereka.

“Syarikat-syarikat terbabit juga telah melakukan tuntutan palsu yang tidak disahkan oleh mana-mana perunding bertauliah sebagai mana sepatutnya untuk mereka membuat sesuatu tuntutan terhadap kerja-kerja yang telah pun mereka lakukan,” jelasnya.

Menurutnya, berkenaan dakwaan KMDI tidak memulangkan kembali wang jaminan yang dibayar oleh syarikat-syarikat kontraktor juga tidak berasas dan memperlihatkan ADUN Kuala Sentul tidak faham dengan apa yang diperkatakannya.

“Wang Jaminan hanya akan dikembalikan kepada syarikat-syarikat berkenaan setelah semua kerja yang sepatutnya mereka buat siap sepenuhnya. Dalam kes ini, disebabkan mereka gagal dalam mematuhi syarat-syarat surat setuju terima dan meninggalkan tapak-tapak projek tanpa menyiapkan kerja yang sepatutnya, wang jaminan yang dibayar akan diputuskan sama ada mereka berhak menerimanya atau sebaliknya.

“Untuk mendapatkan kembali wang jaminan dan bayaran terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini, perlu diserahkan kepada keputusan yang akan dibuat mahkamah nanti,” katanya.

Menurutnya, KMDI mengalami kerugian ekoran kegagalan syarikat-syarikat yang disebut ADUN Kuala Sentul menerus dan meninggalkan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan sebagai mana dipersetujui dalam surat setuju terima.

Beliau berkata, KMDI bersedia menerima apa-apa sahaja keputusan yang bakal dibuat mahkamah setelah kes ini selesai dibicara dan diadili.

“ADUN Kuala Sentul juga telah membuat hasutan kepada bakal-bakal pembeli untuk tidak menerima tawaran kerajaan negeri yang menawarkan tawaran pembelian unit rumah yang dibina. Perkara ini dilihat akan menyebabkan KMDI mengalami kerugian dan nama baik kerajaan negeri Pahang tercemar,” dakwanya.

Sehubungan itu katanya, selain laporan polis terhadap ADUN Kuala Sentul, peguam KMDI juga akan menghantar surat saman kepada wakil rakyat berkenaan dalam masa terdekat kerana membuat fitnah dan hasutan serta tidak menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan ketika ini. #UtusanMalaysia

Share:

Orimilk, Susu Awal Lembu Kolostrum Dan Kalsium Terbaik Di Malaysia Buka Cawangan Di Kuantan

KUANTAN: Orimilk, jenama susu awal lembu kolostrum dan kalsium terbaik di negara ini akan membuka cawangannya di sini. Ia sekali gus akan meluaskan lagi pasaran produk keluaran muslim dan bumiputera itu di negeri ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Orimilk Sdn Bhd, Al-Arabi Mohamed berkata, pihaknya menyasarkan  lebih ramai pengguna produk itu dengan pembukaan cawangan baharunya di sini.

Katanya, Orimilk bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan anda tetapi juga berpotensi untuk peluang perniagaan untuk usahawan, kerana formulasi uniknya memastikan ia memberikan pelbagai manfaat kesihatan. 

Dengan Orimilk, anda boleh memastikan bahawa anda menyuburkan badan anda dan memberikannya tenaga untuk menempuh apa sahaja hari yang anda lalui. 

"Misi kami bukan sahaja menyediakan produk yang sihat dan berkhasiat tetapi juga mewujudkan peluang perniagaan untuk usahawan yang berminat menambah pendapatan dengan modal yang tidak membebankan.

"Setakat ini Orimilk Sdn Bhd sudah membuka cawangannya di Kota Bharu dan pada masa akan datang kami berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara," katanya. 

Menurut beliau lagi, Orimilk dengan formulasi kolostrum dan kalsium tinggi adalah bukti komitmen ini. 

"Pasukan kami telah bekerja tanpa jemu untuk membangunkan produk yang bukan sahaja sihat tetapi juga lazat. Kami benar-benar percaya bahawa ini adalah peluang anda untuk menggunakan potensi perniagaan yang luar biasa yang ditawarkan.

"Kami percaya bahawa setiap orang berhak untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sihat, dan kami teruja untuk membawa orang ramai menyertai perjalanan ini. Nantikan lebih banyak kemas kini, tawaran istimewa dan berita menarik daripada Orimilk! Jadi apa tunggu lagi? Cuba Orimilk hari ini dan rasai sendiri manfaatnya!," tambahnya lagi.

@infoorimilk 
Orang ramai dipelawa menjadi pengguna dan usahawan Orimilik di seluruh negara. Info lanjut berkenaan produk ini boleh didapati di Difahamkan, satu taklimat usahawan akan diadakan di Kuala Lumpur, Kota Bharu dan Kuantan pada bulan Disember 2024 ini. Justeru, jangan lepaskan peluang keemasan untuk sama-sama menjadi komuniti sihat bersama Orimilk. Info lanjut berkenaan Orimilik boleh whatsapp ke 601120682238 atau layari laman web rasmi syarikat  https://www.orimilks.com/ atau follow TikTok OrimilkHQ #PahangDaily
Share:

Sultan Pahang Bertitah Agar Satu Pasukan Khas Mencari Dan Menyelamat Ditubuhkan Di Negeri Ini

MARAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar satu pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditubuhkan di Pahang terutamanya bagi membantu kes lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.

Baginda bertitah, ia merupakan satu keperluan berikutan ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali berlaku kejadian lemas dan seumpamanya.

"Sudah sampai masanya Pahang mempunyai team dedicated buat SAR. Kita tahu hotspot ni di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baru dapat mempercepatkan operasi.

"Sekurang-kurangnya (kewujudan pasukan khas) dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ini panjang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin.

Baginda berangkat melihat SAR seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor, Murdani Ab Rahman, 53, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini pada Ahad.

Titahnya, notis serta papan tanda peringatan perlu diletakkan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada.

"Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai, termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin, tergelincir," titahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras.

"Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemui Cikgu Murdani.

"Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras," titahnya.#SinarHarian

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Beri Jaminan Untuk Pastikan Kawasan Berhutan Di Pahang Akan Terus Bertambah

RAUB: Kerajaan negeri memberikan jaminan untuk memastikan kawasan berhutan di Pahang akan terus bertambah selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini Pahang memiliki kawasan hutan seluas 2.06 juta hektar mewakili 57 peratus keluasan negeri ini sekali gus muncul penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

"Lebih pentingnya saya ingin nyatakan di sini hutan simpan kita 57 peratus yang dijaga, Insya-ALLAH tidak akan berkurangan dan bertambah mungkin.

"Seluas 1.6 juta hektar merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diuruskan berdasarkan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

"Malah kerajaan negeri juga telah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus HSK sebagai hutan pelindungan yang mana tidak boleh disentuh apalagi diusik untuk kerja-kerja pengusahasilan hutan," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd.Razak dan Pengarah Perhutanan Pahang, Zainuddin Jamaluddin.

Ujar Wan Rosdy, ketegasan kerajaan negeri yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah haram termasuk aktiviti pembalakan secara haram telah menampakkan kesan positif.

Jelasnya, mereka yang terlibat akan terus diheret ke mahkamah dan tiada lagi dikenakan kompaun seperti sebelum ini.

"Alhamdulillah, tindakan ini telah memberi kesan dan berjaya mengurangkan aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri ini dan nampak ada perubahan.

"Setakat ini, sebanyak 105 kes telah dibawa ke mahkamah dan saya percaya angka ini semakin berkurangan dan meminta mahkamah walaupun saya tidak mahu masuk campur supaya mengenakan hukuman maksimum kerana ia merugikan hasil kerajaan negeri," tambahnya.

Katanya, situasi itu menyebabkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjadi antara penyumbang utama kutipan hasil iaitu sebanyak RM1 bilion setiap tahun dan ia dapat dicapai bagi tempoh tiga tahun ini menerusi hasil penguatkuasaan dan kutipan kompaun.

Jelasnya, JPNP telah menyumbangkan hampir RM100 juta hasil kutipan hutan yang turut menyumbang kepada kejayaan kutipan negeri sebanyak RM1.144 bilion sehingga November.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu Pahang kini meneroka potensi perdagangan karbon (karbon kredit) melalui pengurusan hutan lestari.

"Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada penyerapan karbon global tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada negeri melalui pembangunan hijau.

"Usaha ini diharap dapat membantu kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang sebagai negeri ke hadapan dalam melaksanakan Agenda Netzero menjelang 2030 iaitu lebih awal berbanding Dasar Netzero Kebangsaan 2050," katanya. #SinarHarian

Share:

Kontraktor Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) Di Pahang Dakwa Kerugian Lebih RM30 Juta

KUANTAN: Kontraktor yang terlibat dalam 10 projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) di Pahang mengalami kerugian lebih RM30 juta akibat pelaksanaan projek berkenaan terbengkalai hampir dua tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin, berkata situasi ini memerlukan campur tangan segera kerajaan negeri Pahang demi generasi kedua Felda.

Menurutnya, kegagalan projek PGBF adalah disebabkan oleh pemaju yang dilantik oleh kerajaan negeri.

"Ia membabitkan 10 projek di 10 kawasan Felda di Pahang, melibatkan 1,850 buah rumah yang berharga RM120,000 sebuah dengan anggaran keseluruhan RM220 juta.

"Saya telah membangkitkan perkara ini banyak kali bahkan di sidang DUN Menteri Besar,  Datuk Seri Hj Wan Rosdy Wan Ismail berkata usah risau akan ditangani segara, namun sehingga kini belum ada tindakan.

"Kerugian yang dialami kontraktor yang terbabit dengan projek ini melebihi RM30 juta," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Justeru Jasri menasihati generasi kedua Felda yang ingin membeli kediaman berkenaan supaya berfikir panjang.

Malaysiakini sedang berusaha mendapat respon daripada exco berkaitan dan pemaju terbabit.

Antara kawasan yang terbabit dengan projek perumahan berkenaan ialah di Felda 1, Jengka 6; Jengka 12; Keratong; Bukit Sagu; Sungai Retang dan Bukit Tajau.

Saman terhadap pemaju

Sementara itu wakil kontraktor, Syahfrilhaidi Abdul Rahman, berkata pihaknya telah mengemukakan saman terhadap pemaju projek berkenaan.

Syahfrilhaidi yang mewakili syarikat Mental Construction Sdn Bhd, TNL Assest Sdn Bhd, Medan Kembara AAY Sdn Bhd dan tiga lagi syarikat berkaitan berkata pihak pemaju telah mengambil wang jaminan berjumlah RM50,000 hingga ke RM520,000.

"Pemaju telah mengutip wang jaminan sebagai syarat pemberian kontrak surat setuju terima (SST) kepada kami dari serendah RM50,000 sehingga setinggi RM520,000 masing-masing.

"Namun, projek-projek tersebut telah diuruskan secara tidak telus dan tidak bertanggungjawab yang menyebabkan penamatan kontrak atau kerja-kerja tidak dapat diteruskan dan akibatnya kami telah mengalami kerugian yang besar.

"Sesetengah kami telah diarahkan oleh pemaju untuk memulakan kerja di tapak projek yang tidak atau belum mempunyai kebenaran merancang," katanya dalam sidang media itu. #Malaysiakini

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.