script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Kes "Ikan Sturgeon": Reman Dua Bekas Pegawai Felda Di Sambung !

PUTRAJAYA: Dua bekas Pegawai Kanan Felda termasuk seorang bergelar Datuk disambung reman selama tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.
Tiga lagi individu yang direman, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman dan pembebasan individu berusia 30, 33, 38, 53, dan 57 tahun itu dibuat Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 24 Januari lepas menerusi Op Caviar SPRM bagi menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai AS$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014. #sumber
Share:

Di Gantung Tugas, SPRM Sahkan Siasatan Terhadap Annuar Musa

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini disiasat berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
SPRM dalam kenyataan hari ini mengumumkan satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan itu.
“SPRM akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman Mara bagi menyiasat beberapa isu melibatkan isu rasuah dan salah guna kuasa Annuar.
“Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.
“Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman Mara,” kata SPRM.
Sementara itu, kakitangan pejabat Pelaburan Mara Bhd (PMB) di One Sentral, Kuala Lumpur mengesahkan SPRM datang ke pejabat mereka hari ini.
“SPRM ada datang tapi saya tak tahu masa dan barang yang diambil,” katanya ketika ditemui.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dituduh menggunakan dana PMB untuk menaja pasukan bola sepak negeri yang bermain dalam Liga Super Malaysia.
Perkara itu mula dibangkitkan Tunku Muda Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertikaikan penggunaan “duit rakyat” untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan daripada masalah kewangan.
TMJ meminta Annuar menjelaskan dakwaan “tajaan paksa” PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu.
UniKL merupakan universiti swasta milik Mara.
Annuar, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, nafi menggunakan dana PMB dan UniKL untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan.
Menurut beliau, Mara tidak pernah menaja pasukan bola sepak itu, dan peletakan logo ulangtahun ke-50 majlis itu pada jersi Kelantan, bernilai RM250,000, diberikan kepada Mara secara percuma.
SPRM meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut dan memberikan ruang kepada suruhanjaya menjalankan siasatan. #sumber

Share:

Ismail Sabri "Hormati" Keputusan Majlis MARA "Gantung" Annuar Musa

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghormati keputusan penggantungan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan menyifatkan ia di bawah kuasa penuh majlis agensi kerajaan itu.
Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, ia hanyalah penggantungan sementara dan bukannya pelantikan atau pemecatan yang melibatkan kuasa menteri serta persetujuan perdana menteri.
“Penggantungan beliau sementara menunggu siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman. Saya dimaklumkan Penasihat UndangUundang Mara yang Majlis Mara berkuasa penuh dalam keputusan itu.
“Saya menghormati keputusan mereka ingin menyelesaikan isu membabitkan Mara dan anak syarikatnya secara tuntas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ia hanya prosedur biasa dan berharap siasatan dalaman tersebut diselesaikan secepat mungkin.
Mesyuarat Majlis Mara hari ini sebulat suara mengambil keputusan menggantung tugas Annuar, berikutan isu penajaan Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) – milik Mara – kepada pasukan bola sepak Kelantan.
Annuar yang juga bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata beliau tidak dimaklumkan tentang mesyuarat tersebut, namun menerima keputusan dicapai ahli Majlis Mara itu.
Ismail berkata Annuar tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat itu kerana ia bertujuan untuk membincangkan hal beliau.
Katanya lagi, ia juga bertujuan melantik Jawatankuasa Audit Dalaman bagi menyiasat isu penajaan PMB dan UniKL serta dihadiri semua ahli, termasuk wakil daripada Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
“Beliau juga tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan kerana mesyuarat berpendapat wajar beliau berbuat demikian kepada jawatankuasa audit nanti,” katanya.
Sementara itu, Annuar turut memberikan kenyataan balas melalui Facebook dengan menyarankan beliau disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana audit dalaman tidak memadai.
“Saya berpendapat jika itulah kenyataan menteri, siasatan audit dalaman tidak memadai…Saya cadangkan agar polis dan SPRM segera menyiasat seperti yang pernah saya syor kepada ahli Majlis Mara dalam grup WhatsApp minggu lalu.
“Perkhidmatan saya di Mara adalah satu amanah yang saya junjung tinggi. Pendirian saya dalam banyak perkara berkaitan tatakelola dan integriti memang tidak disenangi. Justeru, saya sendiri tidak terkecuali,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh Annuar, dan akan bekerjasama dengan jawatankuasa audit dalaman Mara.
Dalam sidang media terdahulu, Ahli Majlis Mara Datuk Dr Yusof Yacob berkata penggantungan Annuar hanyalah cadangan.
“Sekarang terpulang kepada menteri, kami sudah memberikan cadangan,” katanya selepas pertemuan dengan Ismail, seperti dilapor Malaysiakini.
Isu ini bermula selepas perang mulut antara Annuar dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwanya menggunakan “duit rakyat” untuk menyelamatkan pasukan Kelantan yang berhadapan masalah kewangan. #sumber

Share:

Jumlah Mangsa Banjir Di Seluruh Pahang "Tidak Banyak" Berubah !

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang tidak banyak berubah malam ini dengan 4,344 orang daripada 1,154 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 4,348 orang daripada 1,156 keluarga petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Zainal Yusoff berkata jumlah mangsa paling ramai ialah di Temerloh iaitu 1,687 orang daripada 422 keluarga.
Ini diikuti Pekan 1,089 orang (296 keluarga), Maran 1,064 orang (309 keluarga), Bera 466 orang (114 keluarga) dan Rompin 38 orang (13 keluarga).
“Sebanyak 69 PPS masih beroperasi iaitu 20 di Maran, masing-masing 17 di Temerloh dan Pekan, Bera (14) dan 1 di Rompin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata selain Jerantut, keadaan banjir di Lipis juga pulih hari ini.
Sementara itu, banjir di Johor semakin reda dengan jumlah mangsa menurun kepada 1,473 orang pada 8.00 malam tadi berbanding 1,500 orang pada pukul 6.00 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka terdiri daripada 408 keluarga yang masih ditempatkan di 22 PPS di daerah Segamat, Tangkak dan Muar.
Buat masa ini, masih ada 1,065 mangsa daripada 288 keluarga ditempatkan di 17 PPS di Segamat diikuti 25 orang daripada 6 keluarga di 1 PPS di Tangkak.
“Manakala, seramai 383 mangsa daripada 114 keluarga masih ditempatkan di 4 PPS di Muar,” kata Ayub dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, jalan yang masih terputus hubungan ialah Jalan Pogoh-Tekam dan Balai Badang-Mensudut Lama di Segamat; Jalan Pogoh Tekam di Muar dan Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian.
Sementara itu, banjir di Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir menurun kepada 407 orang setakat pukul 8.00 malam tadi berbanding 420 orang, petang tadi.
Menurut info Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 182 mangsa adalah di daerah Hilir Perak dengan 97 daripadanya berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerawai, manakala 85 lagi menghuni PPS di SK Changkat Jong Batu 8.
Sementara itu, di daerah Manjung seramai 208 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.
Bagi daerah Larut, Matang dan Selama, jumlah mangsa di PPS Surau Padang Serai Dalam kekal 21 orang.
Di Selangor, hanya 5 mangsa banjir masih ditempatkan di PPS di Sabak Bernam setakat 9.00 malam tadi, berbanding 9 orang petang tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernama, ketika dihubungi Bernama, berkata kesemua 5 mangsa daripada 2 keluarga itu ditempatkan di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.
Dua PPS di daerah itu ditutup pada 2.00 petang tadi iaitu di Dewan Parit Baru, Sungai Air Tawar dan Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. #sumber
Share:

Jumlah "Mangsa Banjir" Di Seluruh Negeri Pahang Kembali Meningkat

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang kembali meningkat kepada 5,595 orang daripada 1,503 keluarga berbanding 5,460 orang daripada 1,454 keluarga malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata daerah Temerloh masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,202 orang daripada 556 keluarga.
Ini diikuti Pekan dengan 1,108 mangsa daripada 292 keluarga, Maran 928 orang (270 keluarga), Bera 782 orang (184 keluarga), Jerantut 403 orang (156 keluarga), Lipis 90 orang (24 keluarga) dan Rompin 82 orang (21 keluarga).
“Sebanyak 80 pusat pemindahan sementara masih dibuka iaitu 25 di Temerloh, Maran (18), Pekan (17), Bera (14) manakala Jerantut, Lipis dan Rompin masing-masing dua pusat pemindahan” katanya. #sumber
Share:

Pusat Permindahan Banjir Pula Di Naiki Air, 112 Mangsa Terselamat

PEKAN: Lima hari lepas mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai selepas rumah dilanda banjir, hari ini mereka dipindahkan lagi apabila “rumah sementara” itu pula dinaiki air.
Sebanyak 112 mangsa di pusat pemindahan itu terpaksa dibawa keluar oleh pihak berkuasa menaiki bot bermula 9.00 pagi tadi selepas limpahan air Sungai Pahang menyebabkan pusat pemindahan sementara berkenaan dinaiki air setinggi 3m.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata mangsa yang merangkumi 27 keluarga itu dipindahkan ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai setelah jawatankuasa bencana mendapati paras air semakin meningkat.
“Sekolah ini memang dinaiki air semasa mangsa banjir dipindahkan lima hari lepas, namun ini sahaja bangunan paling tinggi di Kampung Temai menyebabkan mangsa banjir ditempatkan di tingkat 1 bangunan sekolah itu.
“Bagaimanapun hari ini paras air semakin meningkat selain arus semakin kuat disebabkan air turun dari hulu Sungai Pahang yang dikhuatiri boleh membahayakan penghuni menyebabkan mereka perlu dipindahkan,” katanya kepada Bernama selepas operasi menyelamat berkenaan dilakukan hari ini.
Wan Samsul Effendi berkata proses memindahkan mangsa banjir itu mengambil masa kira-kira 2 jam dengan kerjasama bomba, polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Sementara itu seorang mangsa, Mariani Musa, 50, berkata kejadian pusat pemindahan banjir ditenggelami air bukan perkara baharu bagi penduduk kampung berkenaan.
“Di kawasan lain pusat pemindahan terletak di kawasan tinggi dan tidak banjir, namun bagi kami, walaupun SK Temai ini sendiri banjir, inilah antara pusat pemindahan kami saban tahun setiap kali bencana itu melanda,” katanya.
Dia yang berpindah di situ sejak lima hari lalu bersama suami Ahmad Amid, 60 dan 8 lagi ahli keluarga, berkata walaupun ‘terkepung’ air, perkara itu tidak menimbulkan masalah bagi mereka.
“Walaupun tidak boleh ke mana-mana, ia bukan masalah sebab pusat pemindahan ini agak selesa, barang keperluan juga mencukupi,” katanya.
Bagi Hasliza Amanah, 43, pula kejadian sama pernah berlaku pada 2014 semasa kawasan itu dilanda banjir besar.
“Tiga tahun lepas keadaan sama pernah berlaku dan ketika itu saya berada di pusat pemindahan banjir selama sebulan iaitu dua minggu di SK Temai dan dua minggu lagi di IKBN Paloh Hinai.
“Namun saya berharap tahun ini banjir akan lebih cepat surut dan keadaan akan pulih seperti sedia kala,” katanya. #sumber
Share:

Tengku Abdullah Merasa Dukacita Atas 'Kejadian' Budak Perempuan Lemas Akibat Banjir


JERANTUT: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita kejadian kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan mati lemas akibat banjir Sabtu malam.

Tengku Abdullah bertitah baginda sendiri terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Siti Nurdarwisyah Abdul Rahman di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

"Sebelum ini telah beberapa kali saya ingatkan ibu bapa supaya mengawasi keselamatan anak-anak semasa banjir.

"Bagaimanapun ini adalah ketentuan dan saya berharap keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian ini," titah baginda semasa melawat Pusat Pemindahan Banjir di Balai Raya Kampung Simpang Tebing Tinggi di sini, Ahad.

Turut berangkat ialah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada masa yang sama, baginda turut menyeru ibu bapa lain supaya menjadikan insiden itu sebagai iktibar agar kejadian yang sama tidak berulang.

Kejadian itu pukul 7.22 petang apabila bapa mangsa Muhammad Firdaus Sazali, 24, menyedari anaknya hilang sebelum meminta jiran membantu mencari anak tunggalnya itu.

Siti Nurdarwisyah ditemui setengah jam kemudian, tidak jauh dari kawasan rumah dalam keadaan tersangkut di celah pokok sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam.

Sementara itu, baginda menyelar tindakan segelintir remaja yang disifatkan sengaja menempah maut dengan melakukan aksi 'stunt' dengan terjun dari papan tanda "TEMERLOH" yang teletak di Sungai Pahang baru-baru ini.

Pada 28 Jan lalu, video berdurasi selama tujuh saat yang menjadi viral di media sosial memaparkan aksi beberapa remaja terjun dari papan tanda tersebut ke dalam Sungai Pahang yang melimpah akibat banjir. #sumber

Share:

Bot Karam Di Perairan Labuan, 25 Terselamat, "Empat Masih Hilang"


KOTA KINABALU: Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan 25 lagi orang, kebanyakan mereka adalah pelancong warga China dari perairan dekat Labuan, selepas 32 jam kejadian bot karam.

Empat lagi masih hilang berikutan insiden pada Sabtu dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming berkata, 25 orang telah diselamatkan pada Ahad.

"Kebanyakan mereka diselamatkan dari laut di perairan Labuan," katanya.
Beliau berkata, mereka yang diselamatkan ditemui secara berkumpulan antara lima sehingga 10 orang.

Terdahulu, tekong dan seorang kru diselamatkan pada Ahad.

Seramai 28 pelancong dari China dan tiga kru yang menaiki bot berkenaan.
Bot itu yang belayar dari jeti Tanjung Aru pada pukul 9 pagi, Sabtu dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dilaporkan hilang pada kira-kira pukul 9.50 malam oleh pemiliknya. #sumber

Share:

Kanak-Kanak Usia 1 Tahun 8 Bulan Korban Pertama Banjir Di Pahang !

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 8 bulan menjadi korban pertama banjir di Pahang setelah ditemui lemas berhampiran rumahnya di Kampung Medang Hilir malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata Siti Nurdarwisyah Abdul Rahman yang hilang pada 7.22 malam, ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah oleh anggota keluarga yang keluar mencarinya setengah jam sebelum itu.
“Bapa mangsa Muhammad Firdaus Sazali, 24, menyedari anak tunggalnya itu tiada di dalam rumah sebelum meminta jirannya membantu mencari di luar rumah yang telah dinaiki air kira-kira 1 meter,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Amran berkata bapa mangsa mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam air selepas mendapati pintu rumah terbuka.
“Semasa kejadian Muhammad Firdaus dan isteri serta bapa dan ibu mentua dan adik iparnya berada di dalam rumah itu,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pekan menaiki kenderaan polis untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam dan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas. #sumber
Share:

Nurul Izzah: Lantik Shahrir, Hanya ‘Penenang’ Kemarahan Peneroka !


SHAH ALAM: Lantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi FELDA hanya menjadi penenang kemarahan peneroka yang mahukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, reformasi FELDA secara struktural perlu dilaksanakan segera dengan menekankan integiriti dan ketelusan sebagai asas perubahan yang baik.
“Namun, apa yang pasti, saya masih menitipkan kesangsian ke atas cara lama perdana menteri melantik seorang ahli politik ketika FELDA memerlukan seorang pakar dalam merawat krisis ini.
“Justeru, jika beliau tidak proaktif dan berdedikasi memimpin FELDA, maka saya mendesak Tan Sri Shahrir meletakkan jawatan itu demi kepentingan peneroka dan masa hadapan FELDA,” katanya dalam kenyataan.
Izzah turut mendesak supaya sebuah blueprint buat dikeluarkan FELDA dalam penstrukturan semula di bawah pengerusi baru bagi memacu dasar-warsanya.
Katanya, laporan itu perlu dibentangkan menteri pada sidang Parlimen akan datang supaya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan FELDA.
“FELDA perlu memecat mereka yang mempunyai salah laku bagi memulihkan ketelusan organisasi daripada pihak yang tiada integriti.
“Saya masih mempersoalkan kedudukan Tan Sri Isa Samad yang masih berada dalam FGV, walhal beliau gagal dalam mengurus FELDA sehingga membabitkan kerugian pada skala besar. Apakah kesinambungan FELDA mengekalkan orang politik berpangkat yang gagal?,” soalnya.
Beliau mahu setiap perjanjian, pelaburan dan pembelian aset perlu dikaji semula supaya pelaburan serta pembelian itu dapat memberi nilai keuntungan kepada FELDA juga peneroka.
Pada masa sama, Izzah menyifatkan penangkapan pegawai baru-baru ini bukan satu permulaan yang baik tatkala FELDA bergelut dengan isu ketirisan dana dan pengurusan yang tidak stabil.
“Pengerusi, Tan Sri Shahir seawal pelantikannya sendiri mengakui bahawa institusi awam milik peneroka FELDA berhadapan dengan masalah ketirisan yang agak membimbangkan.
“Maka, saya turut bimbang akan nasib dan cabaran yang terpaksa diterima peneroka yang juga terpaut rugi dalam kes penyelewengan wang rakyat ini,” katanya. #sumber
Share:

Sebanyak 25 "Pencawang Elektrik" Di Pahang Di Hentikan Operasi Sementara


KUANTAN: Sebanyak 25 pencawang elektrik (PE) di Pahang terpaksa dihentikan operasi buat sementara selepas air banjir melimpah ke kawasan berkenaan sedalam satu hingga tiga meter.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin berkata tindakan memutuskan bekalan elektrik di pencawang terbabit dilakukan secara berperingkat mulai Rabu lepas, lapor BERNAMA.
“Kesemua 25 pencawang elektrik yang dihentikan pengoperasian janakuasa elektrik itu hanya melibatkan dua daerah iaitu Jerantut sebanyak tujuh pencawang dan Lipis 18 pencawang.
“Pemotongan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini disebabkan banjir,” katanya.
Beliau berkata pemotongan bekalan di pencawang elektrik terbabit melibatkan bekalan tenaga kepada 2,253 akaun pengguna bagi daerah Lipis, manakala di Jerantut membabitkan 799 pengguna.
Namun, Sharuddin berkata TNB telah membekalkan beberapa alat janakuasa elektrik bagi dua daerah berkenaan untuk menyalurkan bekalan elektrik.
Tujuh pencawang elektrik yang terlibat dengan pemotongan sementara di Jerantut ialah Pencawang Atas Talian (PAT) Garok, PE Hilir Hilir, PE Hilir Hilir 2, PE SMA Pulau Tawar, PE Bukit Nikmat, PE Kampung Kelola dan PE Simpang Padang Piol.
Di Lipis, 18 PE terlibat ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kerambit, Tanjung Buloh, Gading, Mela, Loji Air Mela, LKNP Mela, Redan, Samak Jani, Limau Purut, Kuala Kenong, Kampung Pasu, Link Kerambit, Simpang Relai, Kampung Putu, Kampung Relai, Kuala Kechau, Jeram Landak dan PAT Kampung Telang.
Sharuddin turut memaklumkan terdapat 10 pencawang elektrik di Temerloh yang berisiko terlibat dengan pemotongan operasi sekiranya berlaku peningkatan air banjir.
Katanya 10 PE berkenaan ialah Kamung Teluk Ira, SMA Al Wosto, Kampung Bintang, Kampung Sanggang, Kampung Baduk, SMK Teluk Sentang, Kampung Teluk Sentang, Macang Manis, Kampung Kerai dan Paya Sendayan. #sumber
Share:

Banjir Pahang: Temerloh Tambah Teruk, Di Kuantan Semakin Pulih !


KUANTAN: Keadaan banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila semua mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing lewat malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, secara keseluruhannya jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sehingga jam 8 pagi tadi iaitu seramai 7,130 mangsa daripada 1,948 keluarga ditempatkan di 114 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 6,728 mangsa malam tadi.
“Berdasarkan rekod kami, daerah Lipis kekal dengan 2,000 mangsa daripada 563 keluarga dan 24 PPS. Ini diikuti daerah Temerloh dengan 1,996 mangsa daripada 502 keluarga.
“Jumlah mangsa banjir di daerah Jerantut menunjukkan sedikit penurunan iaitu 1,078 mangsa daripada 345 keluarga berbanding 1,137 mangsa (360 keluarga) semalam,” katanya.
Zainal berkata, bagaimanapun jumlah mangsa banjir di daerah Rompin, Maran dan Bera menunjukkan peningkatan berbanding semalam.
“Bagi daerah Rompin, jumlah mangsa banjir sehingga jam 8 pagi tadi ialah 1,033 orang daripada 292 keluarga berbanding 964 mangsa (269 keluarga) malam tadi.
“Begitu juga daerah Maran dengan jumlah terkini mangsa banjir ialah 362 orang (99 keluarga) berbanding 341 orang (93 keluarga) semalam. Kita juga membuka 2 PPS baharu di daerah itu.
“Kami juga membuka satu PPS baharu di daerah Bera menjadikan 10 PPS beroperasi di daerah berkenaan berikutan jumlah mangsa menunjukkan peningkatan iaitu 417 mangsa daripada 87 keluarga (pagi tadi) berbanding 322 mangsa (62 keluarga) malam tadi,” katanya.
Beliau berkata, keadaan banjir dan jumlah mangsa daerah Pekan dan Raub tidak berubah iaitu di Pekan terdapat 196 mangsa (47 keluarga) dan Raub dengan 39 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan. #sumber
Share:

SPRM Tuju Amaran Kepada “Ikan Jerung” Atau Sekadar "Ikan Bilis”?


KUALA LUMPUR: Adakah amaran “tunggu” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang terlibat rasuah itu ditujukan khas kepada “Malaysia Official 1” (“MO1”) yang dirujuk secara meluas sebagai Perdana Menteri?
Atau ia sekadar peringatan keras kepada “ikan bilis” sambil membiarkan “ikan jerung” dilepaskan begitu sahaja?
Demikian yang dipersoalkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang memberi peringatan terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bahawa mereka akan ditangkap tidak lama lagi.
Kepada ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan sahaja – tunggu. Apa yang pasti kita takkan lepaskan sesiapa yang terlibat, tak kira dia ahli politik, ahli perniagaan, atau pegawai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di Malaysia ini,” kata Dzulkifli dalam temubual bersama Astro Awani malam semalam.
Mengulas lanjut kenyataan itu, menurut Kit Siang, rakyat negara ini sudah muak dengan pelbagai alasan SPRM apabila “rasuah besar-besaran” melibatkan pemimpin politik dibiarkan begitu sahaja seolah-olah mereka satu “spesis” yang harus dilindungi.
Alasan kekurangan peruntukan untuk mengaji kakitangan antaranya, kata beliau, adalah tidak boleh diterima kerana SPRM menerima RM250 juta peruntukan pada 2016 iaitu bersamaan enam kali ganda peruntukan yang diterima Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 2000.
“Bolehkah Dzulkifli keluarkan laporan yang menunjukkan bahawa SPRM enam kali ganda lebih efektif daripada BPR pada 2000 dalam membasmi gejala rasuah, menahan dan menghukum sekecil-kecil dan sebesar-besar pesalah rasuah?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, dengan peruntukan yang lebih tinggi itu kedudukan Malaysia mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) masih ditahap yang rendah malah terus merosot sejak 2001.
“Kedudukan Malaysia pada tahun 2001 menurut CPI yang dikeluarkan TI itu adalah di kedudukan 36 daripada 91 negara dengan skor 50 daripada 100.
“Namun pada tahun lalu, kedudukan itu jatuh ke tangga 55 daripada 176 negara dengan skor yang lebih rendah di bawah separuh iaitu 49.
“Adakah ini peningkatan prestasi sebanyak enam kali ganda SPRM berbanding BPR pada tahun 2000?” soalnya.
BPR merupakan agensi terdahulu yang diberikan tanggungjawab menjalankan tugas membanteras kegiatan rasuah di negara ini sebelum digantikan dengan SPRM pada 2009. #sumber
Share:

Najib: Bank Negara Perlu Jelaskan Isu Tentang Kerugian RM44 Bilion


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) yang ditanggung bank pusat itu melalui kegiatan perdagangan mata wang antara 1991 hingga 1993.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memandang serius pengakuan bekas Penolong Gabenor BNM ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid mengenai perkara itu.

"Ia satu pengakuan yang kita mesti pandang serius. Bagaimanapun saya dan anggota kerajaan perlu mendapat pandangan dan ulasan Bank Negara dan pihak-pihak lain terlebih dahulu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn pada Jumaat.

Namun Najib berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan oleh jemaah menteri.

Pada Khamis, Abdul Murad mendakwa Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar jauh lebih besar.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan mengenai kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan itu menggemparkan negara pada 1994 tetapi tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, pada 3 April 1994, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami  BNM dalam transaksi perdaga­ngan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewa­ngan negara.

Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Beliau memberitahu, sebarang kerugian dalam transaksi berkenaan sepatutnya dilapor­kan kepada Bahagian Akaun BNM namun perkara itu didakwa tidak berlaku. #sumber
Share:

Tengku Abdullah: Jangan Di Salah Guna Sumbangan Kepada Mangsa Banjir


PEKAN: Rakyat di negeri ini yang tidak terjejas denganbanjir diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan dan barangan yang disediakan untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini. 

Ingatan itu disuarakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah mendapati ada pihak yang mengambil barangan dan makan di pusat pemindahan walaupun mereka bukan mangsa banjir. 

"Saya perhatikan di negeri ini apabila ada musibah, ramai yang datang membantu tidak kira agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. 

"Namun dalam masa yang sama, ada yang datang tetapi tak membantu, tapi bantu makan makanan untuk mangsa banjir...janganlah orang tidak ada kaitan ambil gula, beras dan makanan untuk mangsa, ini tidak adil bagi mereka," titah baginda. 

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menaiki bot melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temai yang ditempatkan di situ sejak Rabu lepas. 

Turut berangkat ke melawat ke PPS berkenaan, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminan Maimunah Iskandariah.  Baginda sebelum itu turut meluangkan masa melawat  127 mangsa di PPS Kampung Rekoh, Muadzan Shah serta PPS Bukit Serok, Rompin yang menempatkan 226 keluarga Orang Asli. 

Dalam masa yang sama, baginda turut mengingatkan pegawai dan agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan banjir supaya mengawasi barangan yang disediakan untuk kemudahan mangsa banjir bai mengelak ia hilang atau disalah guna. 

"Jangan ada pembaziran, kita tahu pada masa kini harga barangan semakin naik dan inilah masa yang terbaik kita mengamalkan dasar berjimat cermat,"titah baginda. #sumber
Share:

Zahid Hamidi 'Cerita Pengalaman' Dia Pernah Di Benci Dalam UMNO

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, yang menurutnya memberinya “nyawa” dalam dunia politik.
Beliau berkata selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998, dirinya dianggap seperti “kiambang” dan ‘dibenci’ beberapa pemimpin Umno.
Namun Tajol, yang ketika itu pengerusi UMNO Perak, tetap memberi kepercayaan serta sokongan dengan memberinya peluang bertanding dalam pemilihan UMNO pada 2000.
“Ketika saya ‘terpijak kulit pisang’ pada tahun 1998 hingga masuk ISA, yang kembali memberikan ‘nyawa’ kepada saya dalam dunia politik nasional adalah Tajol Rosli.
“Beliau membenarkan saya bertanding sehingga mendapat undian ke-4 tertinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dan seterusnya kedua tertinggi pada pemilihan seterusnya,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Veteran Umno Bagan Datuk yang turut dihadiri Tajol.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan ahli Parlimen Bagan Datuk turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Batu Gajah, Datuk Mohd Yusof Kassim kerana membantu memastikan beliau mendapat sokongan perwakilan lain semasa pemilihan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan muda supaya sentiasa ikhlas dalam perjuangan parti.
“Kepada yang masih-masih muda ini, saya nak nasihatkan dalam politik tidak ada istilah merajuk, kita perlu sentiasa positif dengan ujian daripada Allah.
“Saya 11 tahun menunggu bermula daripada Timbalan Menteri Pelancongan pada 2004 kepada Timbalan Perdana Menteri tahun 2015, saya tidak pernah merungut pun kerana yang penting kita perlu istiqamah dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan,” katanya. #sumber

Share:

Kes Banjir: Mangsa Meningkat Di Pahang, Tetapi Menurun Di Lima Negeri

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor, Sarawak, Perak, Kelantan dan Selangor berkurangan malam ini kepada 5,100 berbanding 6,515 orang petang tadi namun, bilangannya bertambah di Pahang.
Di Johor, jumlah mangsa banjir di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di 3 daerah yang terjejas iaitu Segamat, Tangkak dan Muar berkurangan kepada 2,423 orang berbanding 3,174 orang pada 4 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata sebanyak 4 PPS di Segamat dan satu PPS di Tangkak ditutup selepas 751 mangsa daripada 186 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di Sarawak, jumlah mangsa di daerah Beluru, Miri menurun kepada 1,828 orang daripada 8 rumah panjang melibatkan 223 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,411 mangsa pada 5 petang tadi.
Di Perak, sebanyak 467 orang banjir masih ditempatkan di 6 PPS setakat 9 malam ini berbanding 487 orang petang tadi.
Jumlah mangsa paling ramai masih di Hilir Perak iaitu 228 orang diikuti Manjung (218) dan Larut Matang (41).
Di Kelantan, mangsa banjir berkurangan kepada 154 berbanding 184 orang petang tadi, kesemua mangsa ditempatkan di 5 PPS.
Di Selangor, mangsa banjir berkurangan kepada 228 orang berbanding 259 orang petang tadi di 3 PPS di Sabak Bernam.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir kembali bertambah kepada 7,187 orang yang ditempatkan di 110 PPS berbanding 6,519 orang petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang Zainal Yusoff berkata daerah Temerloh mencatatkan jumlah paling ramai dengan peningkatan mendadak kepada 3,117 orang daripada 776 keluarga berbanding 2,056 orang daripada 513 keluarga petang tadi. #sumber
Share:

PAS Gesa "Pihak Berkuasa" Siasat Kaitan Dr M Dengan Skandal BMF

PETALING JAYA: Berikutan pendedahan dokumen laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) tentang Bumiputera Malaysia Finance (BMF) pada era 1980-an, PAS menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan baru terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff (foto) berkata maklumat dalam dokumen tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Lebih utama bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid sendiri mendakwa tiada siasatan dilakukan walaupun kerugian dialami negara amat besar iaitu AS$10 bilion (RM44.32 bilion),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau mendesak kertas siasatan baru dibuka terhadap pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera.
Skandal pada era 1980-an itu kembali diperkatakan ekoran pendedahan dokumen CIA selepas tidak lagi diklasifikasikan sebagai sulit, minggu lalu.
Dokumen itu mendakwa walaupun tiada “kaitan terus” dapat disahkan antara Dr Mahathir dengan skandal itu, tetapi ia tetap menjejaskan pentadbiran beliau ketika itu.
Nurul Islam berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera agar tidak memburukkan lagi integriti dan kewibawaan negara yang terjejas dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ia juga bagi membolehkan prosedur perundangan dapat dilakukan kepada mereka yang terlibat jika didapati bersalah.
“Kekotoran lalu mesti dibersihkan. Hak pihak teraniaya dapat dikembalikan dan sistem negara yang ternoda dapat dipulihkan kembali ke landasannya,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat mengetahui kebenaran di sebalik skandal yang didakwa berlaku sepanjang dua dekad pentadbiran Mahathir.
Skandal BMF menyaksikan kerajaan ditimpa kerugian besar dalam masa singkat selepas syarikat Carrian Group diisytiharkan muflis di Hong Kong.
Dr Mahathir dalam responsnya memetik laporan CIA itu yang menyebut “perdana menteri tidak mempunyai kaitan secara langsung, peribadi atau apa cara sekalipun, dengan isu BMF”.
“Pengakuan itu boleh didapati pada muka surat 4 laporan itu di bawah tajuk ‘Menilai Kesan Politik’, yang menyatakan: ‘Sehingga kini hubungan langsung antara (Dr) Mahathir dan rasuah di BMF tidak dapat dipastikan…’,” kata Dr Mahathir di blognya pada 26 Januari lalu. #sumber
Share:

Azam Baki: "Skandal BMF", SPRM Gesa BNM Buat Siasatan Sendiri !

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan dalamannya sendiri berhubung kerugian yang dikatakan bernilai AS$10 bilion (kini bernilai RM44.3 bilion) dalam skandal tukaran wang asing pada 1990-an.
SPRM berkata ia hanya akan melancarkan siasatan terhadap dakwaan itu jika BNM mendapati sebarang unsur rasuah, dan melaporkan kepada SPRM, lapor New Straits Times Online hari ini.
“Jika mereka mendapati sebarang elemen rasuah, laporan itu hendaklah dikemukakan kepada SPRM dan kami akan membuka kertas siasatan,” kata Timbalan Ketua SPRM Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki memberitahu portal berita itu.
Dakwaan dibuat bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid datang berikutan pendedahan laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengenai skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Kabinet akan menyiasat dakwaan itu dan menunggu penjelasan daripada bank pusat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil. #sumber
Share:

Gara-Gara Beliau Di Tuduh Anti-Islam, Lim Kit Siang Mahu Saman Hj Hadi

GEORGE TOWN: Penasihat DAP Lim Kit Siang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa memfitnahnya sebagai seorang yang anti-Islam.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata beliau meminta peguamnya meneliti perkara itu.
Lim berkata beliau bukanlah seorang yang anti-Islam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena, dekat sini, hari ini.
Mengulas mengenai pendirian teguh PAS yang tetap menolak untuk bekerjasama dengan DAP, Lim berkata ia adalah hak Hadi untuk menolak apa-apa kemungkinan bekerjasama dengan DAP.
Semalam Hadi dilaporkan berkata PAS mengulangi pendirian untuk tidak menerima pelawaan Lim untuk bekerjasama dengan DAP bagi memastikan kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 akan datang. #sumber
Share:

Banjir Di Pahang Semakin Buruk, Seramai '6,968 Orang Mangsa' Di Pndahkan

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Pahang bertambah kira-kira 740 orang dalam tempoh sejam dan menjadikan bilangan keseluruhan kepada 6,968 orang sehingga 4.25 petang.
Ia termasuk 2,342 wanita, 2,038 kanak-kanak, 171 bayi, 421 warga emas dan 60 Orang Kurang Upaya (OKU).
Tujuh daerah yang terlibat ialah Temerloh, Maran, Rompin, Pekan, Bera, Raub Jerantut dan Lipis.
Terdapat sejumlah 105 pusat pemindahan dibuka untuk mangsa banjir. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.