script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Covid-19: Sebanyak 30 Kes Positif, Tiada Kematian Di Rekod


PUTRAJAYA - Jumlah kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 30 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara manakala kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah 10 kes sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,317 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata 95 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, sementara sembilan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua terutama kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, selain menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terus komited memberikan perkhidmatan mereka semasa musim perayaan ini.

“KKM ingin mengingatkan masyarakat bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam prosedur operasi standard (SOP) Perayaan telah menyatakan bahawa jumlah ahli keluarga tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari di dalam rumah yang sama, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah dan amalan penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter. 

“Selain itu, KKM juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan dan sering diadakan rumah terbuka dan perhimpunan secara beramai-ramai, masyarakat masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana ianya adalah dilarang sama sekali,” katanya. #sumber

Share:

Dua Beradik Cedera Di Sengat Dek Tebuan, Seorang Kritikal


KUALA TERENGGANU - Dua beradik dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dipercayai disengat tebuan manakala seorang daripadanya kritikal dalam kejadian di sekitar bukit berhampiran rumah mereka dekat Felda Kerteh 4 di Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.00 petang itu, mangsa, Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, dan adiknya Muhamad Azib, 6, sedang bermain dengan beberapa kawan serta seorang lagi kakak mereka yang berusia 11 tahun.

Ibu mangsa, Rohayu Mat Lazim, 39, berkata secara tiba-tiba anak lelakinya meluru masuk ke rumah dalam kesakitan dan bengkak pada bahagian badan dipercayai akibat sengatan tebuan.

"Dia berlari masuk beritahu kakaknya teruk disengat tebuan. Keadaan Nur Nazihah masa itu sangat lemah...semasa kejadian, suami saya tiada di rumah sebab bekerja, jadi saya bawa kedua-dua mereka ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut...dalam pukul 8.00 malam tadi, anak-anak saya dirujuk pula ke HSNZ," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Rohayu berkata beliau dan suaminya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, sering mengingatkan anak mereka agar tidak bermain di kawasan itu disebabkan kewujudan sarang tebuan itu baru-baru ini.

"Tidak tahu macam mana petang tadi mereka boleh bermain sampai ke situ...ketika kejadian, kanak-kanak lain sempat lari tapi Nur Nazihah tersangkut di pagar...jadi dia yang kena sengat paling banyak, hampir 60 sengatan.

"Doktor beritahu organ dalaman Nur Nazihah terjejas dan buah pinggang tidak berfungsi dengan baik...namun adiknya sudah mula menunjukkan perkembangan positif dan keadaannya stabil," katanya sebak.

Rohayu berkata kejadian itu berlaku sepantas kilat dan tidak menyangka tragedi itu menimpa anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu memandangkan mereka tidak pernah bermain di kawasan tersebut dan berharap kedua-dua anaknya sembuh secepat mungkin. #sumber
Share:

Isu Warga Asing: Siasatan Polis Terhadap NGO Selesai, Laporan Polis Dan SPRM Menyusul !


KUANTAN - "Saya beri kerjasama baik kepada pihak polis ketika siasatan", kata Penyelaras Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli ketika dihubungi PDO hari ini.

lSemalam PDO melaporkan beliau disiasat polis susulan laporan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkaitan posting premis warga asing di Kuantan.

Menurut Shukri, beliau disiasat hampir satu jam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan pada jam 3.00 petang semalam.

"Saya terkejut kerana PBT buat laporan terhadap isu ini, walhal sepatutnya mereka berterima kasih kerana kami membantu mempermudahkan kerja mereka," kata Shukri.

Ketika ditanya butir-butir siasatan, Shukri mendakwa beliau tidak boleh maklumkan bagi tidak mengganggu siasatan yang dilakukan.

"Saya mungkin akan membuat laporan polis terhadap PBT terbabit dalam masa terdekat ini. Selepas itu laporan SPRM pula akan menyusul kerana saya syak memang ada dalang yang bersekongkol dengan warga asing ini sebenarnya. Sebab itu mereka memberi alasan tidak boleh berbuat apa-apa sebab mereka ada lesen perniagaan yang sah atas nama warga tempatan," dakwa Shukri lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakyat serta netizen di media sosial terhadap isu ini. 

Katanya lagi, perjuangan baru bermula dan mereka yang terlibat mempertahankan isu ini pasti akan dibawa ke muka pengadilan. #PDO
Share:

Covid-19: Rekod Terendah, 10 Kes Baharu Dan Tiada Kematian

PUTRAJAYA - Jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini mencatat angka paling rendah dengan 10 kes, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini 7,629 kes.

Lebih menggembirakan hari ini juga sekali lagi tiada kes kematian dicatatkan seperti sejak seminggu lepas dan jumlah kumulatif maut kekal pada 115.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 86 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 6,169 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Setakat dilaporkan hari ini, hanya lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua kes baharu itu adalah penularan tempatan dengan lima kes daripadanya melibatkan bukan warga Malaysia dan tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas, Dr Noor Hisham menjelaskan trend penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat semakin berkurangan.

“Hampir sebulan penguatkuasaan PKPB di negara kita, didapati jumlah kes positif dari 4 Mei sehingga semalam adalah 1,189 kes dengan kes melibatkan warga Malaysia hanya 22.7 peratus (270 kes), manakala 77.3 peratus (919 kes) pula melibatkan kes bukan warganegara termasuk 383 kes warga asing di tiga Depot Tahanan Imigresen.

“Pencapaian ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama dan kepatuhan orang ramai kepada nasihat, saranan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, serta juga aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Justeru, KKM ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara. Jika usaha ini diteruskan, pastinya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh menggunakan fungsi ‘Hotspot Tracker’ melalui aplikasi MySejahtera bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan aktiviti harian termasuk merancang perjalanan harian dan mengenal pasti kawasan berisiko di mana kes COVID-19 dilaporkan.

“Fungsi ini dapat membantu rakyat mengenal pasti sekiranya terdapat kes-kes yang dilaporkan dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan yang dicari dalam tempoh 28 hari.

"...oleh itu, fungsi ini boleh dijadikan panduan kepada setiap pengguna dalam membuat keputusan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggalakkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi itu untuk menggunakan fungsi-fungsi penting, termasuk penilaian kendiri kesihatan serta maklumat terkini daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat disarankan mengelakkan perjalanan tidak perlu ke kawasan-kawasan yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19. #sumber

Share:

ArtisLelaki Larikan Isteri Orang Di Dakwa Di Mahkamah Esok

KUALA LUMPUR - Seorang pelakon lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan serta melarikan isteri orang akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff dalam kenyataan di sini hari ini berkata lelaki berusia 24 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

Dia akan didakwa di Mahkamah Ampang pada 9 pagi esok, katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan lelaki terbabit selepas dia selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang berhubung dakwaan menjalinkan hubungan dan melarikan isteri orang. #sumber

Share:

Empat Maut Kereta Bertembung Treler Di Jalan Chini-Pekan

KUANTAN - Empat lelaki, termasuk tiga warga Indonesia, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 6 Jalan Chini-kuantan di Pekan dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Mohd Razli Mohd Yusof berkata kemalangan pada 12.30 tengah hari itu menyebabkan pemandu kereta dikenali sebagai Abd Mannan, 25, juga dari Indonesia, parah akibat tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

Mereka yang maut ialah pekerja kontrak Mohamad Junhaizul Lizam, 26, dari Chini 4, Pekan dan tiga lelaki dikenali sebagai Rohman, 20, Mudehri, 38, dan Subakir, 43, kesemuanya memiliki pasport.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Chini hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

"Siasatan awal mendapati kereta itu telah memotong beberapa buah kenderaan sebelum hilang kawalan," menurutnya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Mohd Razli berkata mangsa yang maut tersepit di tempat duduk masing-masing dalam kereta itu menyebabkan pihaknya terpaksa meminta pertolongan bomba untuk mengeluarkan mayat mereka.

Pemandu treler yang berusia 45 tahun dan berasal dari Felda Chini, Pekan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian saringan COVID-19.

Abd Mannan pula dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan. #sumber

Share:

Banyak Kelonggaran Di Jangka Diumum Minggu Pertama Jun

PUTRAJAYA - Sekatan ke atas aktiviti sosial serta sektor pendidikan yang bermula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka dilonggarkan dalam masa terdekat sekiranya kes COVID-19 harian di negara ini kekal pada dua angka bernilai rendah atau satu digit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan mengenai perkara itu dijangka dibuat pada minggu pertama Jun.

“Jika kita dapat mengekalkan (situasi sekarang) sehingga 9 Jun dan mengambil kira musim perayaan, mungkin kita akan buka lebih banyak sektor sosial dan pendidikan,” katanya pada sidang media COVID-19 harian di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan wabak tidak menular sekiranya perubahan dasar diumumkan.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, kes melibatkan rakyat Malaysia menunjukkan penurunan dan peningkatan kes kebelakangan ini disumbang oleh warga asing.

“Jika kita boleh tangani kedua-dua kumpulan,  kita boleh turunkan lagi jumlah kes selain melihat sama ada musim perayaan ini membawa impak jangkitan membabitkan rakyat Malaysia,” katanya.

Kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac lepas dan dilanjutkan sehingga 12 Mei sebelum bersambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan tamat pada 9 Jun dengan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula secara terkawal.

Dr Noor Hisham berkata perubahan strategi daripada PKP kepada PKPB menunjukkan kejayaan yang turut disumbang oleh komitmen masyarakat.

Justeru, beliau berharap orang ramai akan terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. #sumber

Share:

Bayi Perempuan Ditemukan Berbungkus Dalam Kain Putih !

JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan berbungkus dalam kain putih di kawasan perumahan Jalan Sentosa, Kampung Dato Onn, di sini, hari ini.

Menurut Polis Daerah Johor Bahru Selatan dalam hantaran di laman Facebook rasminya, bayi yang cukup sifat itu ditemui dalam keadaan baik di hadapan rumah seorang penduduk di situ pada pukul 8.30 pagi.

“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang memaklumkan telah menjumpai bayi perempuan di hadapan kawasan sekitar rumahnya.

“Bayi tersebut dianggarkan berusia kurang dari tempoh 24 jam dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Polis dalam kenyataan itu turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Adila Zainuddin di talian 019-4039257 atau 07-2182222. #sumber

Share:

MPK Lapor Polis Isu Premis Warga Asing, Penyelaras NGO Terjah Di Panggil Untuk Siasatan !


KUANTAN - Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli telah dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan petang ini. 

Ia susulan satu laporan polis yang telah dibuat oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) terhadap posting NGO terbabit di page rasmi mereka berkenaan isu premis warga asing di bandar ini.

"Saya dihubungi oleh pegawai polis sekitar jam 2.30 petang semalam, yang meminta saya ke IPD Kuantan untuk membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat oleh MPK terhadap isu premis warga asing", dakwa Shukri.

Apa pun katanya, dia akan memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memperjuangkan isu premis warga asing ini biar pun terpaksa berhadapan dengan berbagai tindakan.

"Saya rasa inilah sejarah, apabila pihak PBT membuat laporan polis terhadap orang awam berkaitan isu premis warga asing yang didedahkan di media sosial", kata beliau lagi.

NGO terbabit sebelum ini mendedahkan operasi premis warga asing yang tumbuh bagaikan cendawan di Jalan Bukit Ubi dekat sini.

Turut didedahkan lokasi lain seperti di Permatang Badak dan Jalan Pasar. PDO akan mendapatkan maklumat lanjut tentang siasatan pihak polis terhadap aduan ini. #PDO
Share:

Langgar PKPB: 16 Individu Di Kenakan Kompaun Di KotaSAS !

KUANTAN - Seramai 16 individu dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar PKPB, dengan berkumpul di sebuah rumah di KotaSAS di sini, untuk berhibur tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pada serbuan 12.30 tengah malam itu,  mereka yang dikompaun terdiri daripada enam lelaki dan 10 wanita, termasuk lima Orang Asli berusia antara 17 hingga 63 tahun.

“Mereka didapati berkumpul di dalam rumah sambil minum minuman keras semasa serbuan dilakukan, dan ujian air kencing juga mendapati tujuh daripada mereka positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. #sumber

Share:

Tiada Beza Kluster 'Kayangan Dan Bumi' Dalam Isu Langgar SOP PKPB

PUTRAJAYA - Sesiapa sahaja yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Aidilfitri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak mengira golongan kenamaan mahupun rakyat biasa, segala SOP ditetapkan adalah sama dan terserah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenakan tindakan ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan itu.

"Tiada bezanya antara kluster kayangan (kenamaan) dan bumi (rakyat biasa), sesiapa yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan oleh penguat kuasa ketika sambutan Aidilfitri sepanjang PKPB," katanya pada sidang media harian PKPB di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai segelintir golongan kenamaan dan bangsawan yang berkongsi gambar di media sosial ketika menyambut perayaan Aidilfitri, tetapi melanggar SOP melibatkan jarak sosial dan jumlah tetamu ketika aktiviti ziarah.

Sementara itu, Ismail Sabri turut ditanya mengenai kebenaran bekerja bagi kesemua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah.

Jelasnya, seperti penjawat awam lain yang diarahkan bekerja, AKP yang merupakan kakitangan di sekolah sudah diarahkan untuk bekerja di pejabat.

"Mereka ini pekerja sokongan seperti kerani… apabila Ketua Setiausaha Negara mengumumkan bahawa jabatan kerajaan boleh mula dibuka dan kakitangan kerajaan boleh mula bekerja, jadi AKP ini adalah sebahagian daripada kakitangan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak 27 April sehingga hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar pulang 53,785 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Semalam (26 Mei), KPT menghantar pulang 1,144 pelajar melalui empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

"Hari ini, seramai 584 pelajar akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu," katanya.

Beliau berkata KPT akan memastikan semua pelajar yang terlibat dalam pergerakan pulang ke kampung halaman untuk menjalani ujian swab sebelum diterbangkan pulang. #sumber

Share:

Covid-19: Positif Paling Rendah 15 Kes, Tiada Kematian Hari Ini !

PUTRAJAYA - Jumlah kes positif hari ini mencatat angka paling rendah dengan 15 kes sejak  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas dan kembali pada dua angka selepas dua hari berturut-turut mencatat kes tiga angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,619 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 1,421 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada sembilan kes penularan tempatan pula, empat kes adalah bukan warganegara Malaysia.

“...sebanyak lima kes adalah penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 kes, katanya.

Kes positif COVID-19 terendah direkodkan sebelum ini adalah sebanyak 16 kes pada 12 Mei lepas.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Malaysia telah menyumbang kepada 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 seluruh dunia.

"Peningkatan kes positif COVID-19 yang dilaporkan sejak beberapa hari lepas adalah disebabkan oleh pengesanan kes-kes COVID-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan lain-lain kluster aktif yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.

“Ini adalah susulan tindakan pendekatan tertumpu kerajaan dalam membendung penularan kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata penurunan kes penularan tempatan adalah selaras dengan unjuran KKM sebelum ini dan hasil tindakan kesihatan awam yang dilaksanakan sejak satu bulan lepas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). #sumber

Share:

Pemandu Mabuk: MoT, JPJ Akan Teliti Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987

KUALA LUMPUR - Satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam catatan Facebook rasmi beliau memaklumkan pindaan akta itu khususnya adalah berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

"Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum ia dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri," katanya menerusi catatan tersebut.

Beliau turut berkongsi pautan untuk orang ramai menjawab soal selidik yang dijalankan MOT melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat di https://docs.google.com/…/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFL…/viewform

Dr Wee juga menyatakan rasa sedihnya dengan berita mengenai kemalangan khususnya yang melibatkan pemandu mabuk.

Sebagaimana kenyataannya pada 4 Mei lepas, beliau komited dan akan bertindak demi mendapatkan pembelaan kepada mangsa korban kemalangan maut serta menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa. #sumber

Share:

Pemandu Sebabkan Kematian Kerana Mabuk Di Reman Empat Hari

KUANTAN - Seorang peraih ikan yang dipercayai memandu menentang arus di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja syarikat pembersihan di Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam tadi, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Najwa Hashim selepas suspek yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek hitam dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret, hari ini.

Suspek yang tinggal di Tanah Putih di sini, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 9.20 malam tadi, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng di sini, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu menentang arus dan secara berbahaya.

Mangsa yang beralamat di Sungai Isap Perdana di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Siasatan awal mendapati kereta Toyota C-HR itu dipandu menentang arus sejauh lebih lima kilometer bermula dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak daripada bertembung.

Suspek lelaki itu dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah rakannya di sebuah taman perumahan di Semambu, sebelum kejadian.  #sumber

Share:

Kakitangan Alam Flora Maut Di Langgar Pemandu Mabuk

KUANTAN - Seorang kakitangan Alam Flora dalam perjalanan untuk bertugas syif malam maut dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kemalangan di jalan Kuantan By-Pass, kira-kira jam 9.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, mangsa dikenali sebagai Irwan Herman Kamarudin, 41, dilanggar seorang pemandu berusia 42 tahun yang dipercayai memandu kereta ketika berada di bawah pengaruh alkohol serta memandu secara melawan arus.

"Kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu telah memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus dan kenderaan dipandu secara merbahaya.

"Situasi ini telah mengakibatkan beberapa kenderaan lain mengalami kemalangan kerana mengelak daripada bertembung dengan kereta yang dipandu suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk bedah siasat sementara pemandu tersebut yang cedera di bahagian kaki turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Menurut Mohamad Noor, pemandu tersebut dipercayai baru selesai mengambil minuman keras di rumah rakannya di Taman Andora Peak sebelum kejadian itu.

Suspek telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian. #sumber

Share:

Pemandu Mabuk Lawan Arus Rempuh Pekerja Alam Flora Di Reman

KUANTAN - Seorang peraih ikan yang memandu melawan arus dipercayai mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Alam Flora malam tadi direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Mei terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Najwa Hashim bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Peraih ikan berkenaan yang memakai baju-T putih dan seluar pendek hitam dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan, pada kira-kira jam 11 pagi tadi.

Dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan, kira- kira jam 9.20 malam tadi, mangsa Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh oleh peraih ikan tersebut yang memandu kereta Toyota C-HR secara melawan arus serta dalam keadaan berbahaya.

Peraih ikan turut cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan sebelum direman.

Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian koronovirus (Covid-19).

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber


Share:

Kemalangan Akibat Pemandu Mabuk, Seorang Mangsa Maut Di Kuantan


KUANTAN - Satu lagi kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk dilaporkan berlaku sekitar jam 9.30 malam tadi. 

Kes telah ditularkan dalam group facebook warga Kuantan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu.


Menurut sumber kejadian berlaku di Kuantan ByPass di Bukit Rangin. Terdapat rakaman video pemandu terbabit membawa kenderaannya dengan laju dari arah Semambu melalui Indera Mahkota sebelum bertembung dengan orang awam selepas Jambatan Bukit Rangin.


Sila klik https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1386999738355734&id=100011371633213 untuk tengok video yang ditularkan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Difahamkan mangsa yang meninggal ialah seorang lelaki berbangsa Melayu dari Sungai Isap Perdana yang dalam perjalanan untuk bekerja shif malam di Gebeng. 

Kejadian ini menimbulkan kemarahan di kalangan netizen. Banyak komen yang dilemparkan dan tidak kurang mahu kerajaan laksanakan hukuman mati terhadap pemandu mabuk di negara ini. #PDO
Share:

Covid-19: 172 Kes Positif Baharu, 34 Pulih, Tiada Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA -  Kes positif baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali melebihi angka 100 apabila sebanyak 172 kes baharu direkodkan, majoriti daripadanya membabitkan pendatang tanpa izin yang ditahan di depoh tahanan imigresen, menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 172 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 167 kes adalah penularan tempatan.

“159 kes adalah bukan warganegara Malaysia yang mana 112 kes telah dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan hanya lapan melibatkan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata terdapat 34 kes pulih hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 5,979 kes (80.6 peratus).

Sehingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. #sumber

Share:

Covid-19: Sebanyak 60 Kes Baharu, 33 Pulih, Tiada Kematian

KUALA LUMPUR -  Kes positif COVID-19 yang direkod hari ini menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 60 kes baharu dilaporkan, dengan tujuh daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,185. Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baharu di DTI Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan terdapat 33 kes yang telah pulih hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah 5,945 kes atau 82.1 peratus.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau mengingatkan meskipun hari ini merupakan sambutan Aidilfitri dan cuti umum di Malaysia, ramai anggota barisan hadapan masih bertugas.

"Jika sebelum ini masyarakat bergantung kepada anggota barisan hadapan untuk membendung penularan COVID-19, kini anggota barisan hadapan pula mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan lebih besar dalam memerangi wabak COVID-19,” katanya.

Beliau seterusnya berkata petugas barisan hadapan berharap agar seluruh masyarakat Malaysia memainkan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri bagi memastikan prosedur operasi sandard (SOP) dapat dipatuhi dalam tempoh perayaan ini.

Melalui norma dan kebiasaan baharu ini kita dapat sama-sama membendung wabak COVID-19 semasa dan selepas musim perayaan ini, katanya. #sumber

Share:

Pelantikan Zakaria Sebagai Pengerusi FINAS, Tepat Pada Masa

KUANTAN - NGO Penggerak Komuniti Negara Negeri Pahang hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Zakaria Abdul Hamid berikutan pelantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang baharu.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Albakri Salim berkata pelantikan Zakaria dilihat tepat pada masa apatah lagi Pengerusi Penggerak Komuniti Negara - Negeri Pahang ini memiliki kelayakan yang cukup baik iaitu berkelulusan Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan seorang ahli perniagaan dan banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menurut beliau lagi, sebelum ini Zakaria merupakan Ketua Keadilan Cabang Bera telah dipecat dari Parti Keadilan Rakyat tanpa dipanggil untuk membela diri pada akhir tahun lepas.

"Oleh yang demikian, segala tohmahan yang mengatakan pelantikan Zakaria dibuat atas faktor politik adalah tidak berasas sama sekali,"

"Kami juga berpendapat gabungan di antara Zakaria bersama Dato’ Norman Abdul Halim yang juga baru dilantik sebagai Timbalan Pengerusi FINAS yang baru adalah gabungan yang mantap. Semestinya gabungan di antara Aktivis Masyarakat bersama Anak Seni ini dapat memacu halatuju FINAS ke arah yang lebih gemilang lagi," kata Albakri dalam satu kenyataan media di facebooknya hari ini.

Barisan pimpinan Penggerak Komuniti Negara Negeri Pahang turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Saifuddin Abdullah selaku Menteri Komunikasi & Multimedia kerana memberi kepercayaan kepada Zakaria menjawat jawatan tersebut. #sumber


Share:

PH Belajar Dari Kesilapan, Tekad Buat Lebih Baik Untuk Rakyat


Pakatan Harapan (PH) perlu kembali kepada prinsip perjuangan asal pakatan dan memperbaiki segala kesilapan lalu supaya dapat berbakti dengan lebih baik untuk rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengerusi PH itu berkata, beliau tidak mahu PH terlalu obses dengan isu perebutan kuasa sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.


"PH selaku kerajaan sebelum ini memulakan perubahan sistem yang jauh lebih baik dari kerajaan sebelum ini, tetapi masih ada keterbatasan dan perkara ini harus diperbaiki.


"Kita tak boleh nafi ada kelemahan sebelum ini ketika menjadi kerajaan, menangguh keputusan terhadap janji yang patut ditunaikan. Sebab itu ada segelintir rakyat yang merasakan mereka tidak diberikan pembelaan secukupnya.


"Sebab itu, kita bertekad untuk kembali ke landasan prinsip perjuangan kita sebelum ini, dan bertekad untuk buat lebih baik selepas ini," katanya menerusi akaun Facebook rasminya.


Pada masa sama, Anwar menolak tuduhan pihak tertentu yang mengatakan PH cuba menjatuhkan kerajaan PN dengan usul undi tidak percaya dan melanjutkan lagi krisis politik negara.


"Memang kita tidak senang dengan rampasan kuasa PN, juga isu pengangguran, harga barang, inflasi, agih kekayaan, bagi kuasa satu demi satu. Ini ternyata sangat buruk dan merosakkan sistem kepimpinan negara.


"Tapi kita tekad untuk buat lebih baik, kita tolak rasuah, semoga Allah memberi kekuatan, kesabaran dan kebijaksanaan kepada kita," katanya.


Anwar turut menempelak pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus memecah-belahkan PH.


"Ada juga yang tuduh saya berebut kuasa dengan Mahathir, nak gulingkan Mahathir.


"Dengar audio yang tersebar dulu, baru tahu siapa yang khianat, siapa yang tak sabar, siapa sabotaj, siapa dalang, siapa sebenarnya pemain wayang kulit dalam babak terakhir," katanya. #sumber

Share:

Bekas Ketua Menteri, Ali Rustam TYT Melaka Yang Baharu?

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dikatakan bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang baharu.

Sekiranya benar, pelantikan TYT Ke-7 itu melakar sejarah kerana selepas 63 tahun apabila menjadi anak negeri yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Menurut laporan BebasNews, Mohd Ali yang kini berusia 70 tahun dilihat pilihan yang tepat menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 4 Jun ini.

Arahan kuarantin di rumah itu adalah sebagai persiapan anak kelahiran Bukit Katil itu dijangka mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun ini.

Sejak selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, enam Yang di-Pertua Negeri yang dilantik kesemuanya datangnya dari luar Melaka. Dua dari dari Perak manakala setiap seorang pula dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Ali Rustam merupakan anak jati negeri ini dan dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok.

Beliau melanjutkan pengajiannya di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School), selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan memegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) pada tahun 1984.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Hajah Asmah Abd. Rahman pada tahun 1985 dan dikurniakan tiga cahayamata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Mohd Ridhwan (Ketua UMNO Bahagian, Bukit Katil), Wan Nazirah dan Muhm. Hamka.

Mohd Ali mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan politik.

Pada tahun 1984, beliau mendapat kepercayaan daripada Ketua Menteri Melaka ketika itu, dan dilantik sebagai Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka sehingga tahun 1986. #sumber

Share:

Masih Degil, Lebih Seribu Kenderaan Di Arah Berpatah Balik !

KUALA LUMPUR - Walaupun terdapat penurunan jumlah mereka yang diarah berpatah balik kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 1,158 kenderaan, namun ia menunjukkan terdapat segelintir mereka yang cuba curi-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga negeri iaitu Selangor (460 kes), Melaka (121 kes) dan Negeri Sembilan (95 kes) dikenal pasti mencatatkan jumlah cubaan rentas negeri tertinggi yang dikesan dalam sekatan jalan raya rentas sempadan negeri yang dibuat di seluruh negara semalam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 162 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 157,364 kenderaan.


“Sebanyak 1,158 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 1,613 kenderaan pada hari sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa 30,702 kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 vessel selain 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak pembinaan.

“PDRM menahan 156 individu dan menahan reman 50 individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP). PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 106 individu atas kesalahan melanggar SOP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa setakat ini 270 pusat kuarantin beroperasi hari ini berbanding 271 semalam, dengan 14,962 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 40,264 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin wajib sejak 3 April lepas manakala 32,287 individu selesai menjalani proses itu dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, di Negeri Sembilan seramai 171 individu telah ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dikuatkuasakan bagi tempoh 18 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata daripada jumlah berkenaan seramai 123 individu telah dituduh manakala 36 orang telah dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKP dan PKPB. #sumber


Share:

Muhyiddin: Jadikan SOP PKPB Resam Biasa Dalam Kehidupan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bergantung kepada keupayaan rakyat menjadikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah berkenaan sebagai resam biasa kehidupan mereka.

Perdana menteri berkata tidak cukup hanya sekadar mengikuti SOP ditetapkan seperti jarakan sosial untuk diri sendiri sahaja, setiap rakyat perlu memainkan peranan untuk turut menegur sesama sendiri jika ada yang tidak patuh kepada perintah berkenaan.

Katanya jika tidak mahu dijangkiti virus berkenaan, setiap rakyat juga harus di sepanjang masa mengamalkan SOP peribadi seperti memeriksa suhu badan, memastikan jarakan sosial dijaga, memakai penutup hidung dan mulut setiap kali di luar rumah, dan sekerap boleh menggunakan pembersih tangan.

Mulai sekarang, tegasnya setiap rakyat terutama pimpinan masyarakat dan komuniti memikul tanggungjawab lebih besar selain petugas barisan hadapan untuk mengawal penularan COVID-19.

“Alhamdulillah kita bertuah kerana memiliki kemudahan kesihatan antara terbaik di dunia. Kita juga mempunyai doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesional, kerana itu setakat ini kita jadi antara negara yang paling berjaya mengawal penularan wabak itu.

“Namun dalam menentukan kejayaan kita seterusnya, yang lebih penting adalah tanggungjawab diri kita sendiri. Tanggungjawab saya dan saudara-saudari sekalian, jika kita patuhi SOP ditetapkan bermakna kita telah pun laksanakan tanggungjawab kita, ini besar maknanya kepada kita semua.

“Tiada siapa lebih mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selain kita,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen, malam ini.

Menyentuh SOP Aidilfitri yang hanya membenarkan aktiviti ziarah dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga di negeri yang sama dengan had 20 orang pada satu-satu masa, Muhyiddin menjelaskan ia diputuskan bersandarkan prinsip Maqasid Syariah

“Bagi memelihara nyawa, kita korbankan sedikit adat atau kelaziman demi elakkan jangkitan. Saya ingatkan dan nasihatkan, berbincanglah dengan adik-beradik dan saudara mara siapa yang boleh datang berziarah. Ketika mereka di rumah pula, pastikanlah mereka mengamalkan jarakan sosial dan elakkan bersalaman dan bersentuhan.

“Jaga mak, ayah dan nenek kita yang telah berusia ini, kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan. Tak mengapalah pada hari raya kali ini kita tak bersalaman atau peluk cium datuk atau nenek kita. Bukan kita tak sayang, tapi kerana kita sayangi merekalah kita elakkan daripada menyentuh mereka,” katanya.

Perdana menteri turut menasihatkan orang ramai supaya rumah dibersihkan segera selepas menerima tetamu dan elakkan daripada menziarahi kubur yang menjadi kebiasaan dikunjungi ramai pada hari raya.

“Semua ini penting supaya kita dapat sambut Aidilfitri dan pada masa sama elakkan risiko penularan wabak COVID-19 selepas cuti perayaan

“Saya perlu sebutkan perkara ini kerana di beberapa negara lain, wabak COVID-19 menular selepas musim perayaan. Kita nak elakkan perkara seperti ini berlaku di negara kita, jadi biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita selamat di kemudian hari,

“Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna,” katanya. #sumber

Share:

Agong: Jangan Sedih, Pelajari Hikmah Di Sebalik Covid-19

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat jangan gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan Aidilfitri seperti kelaziman, sebaliknya mengambil peluang itu untuk mempelajari hikmah daripada wabak COVID-19.

Walaupun kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, Seri Paduka bertitah rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi pada 1 Syawal.

“Alhamdulillah, beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan limpah rahmatNya kita semua dapat menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen, malam ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama hampir dua bulan telah mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan yang tinggi di samping penuh sabar sepanjang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebenarnya banyak pengajaran dapat kita pelajari dalam menghadapi wabak ini. Kita pelajari bahawa sesuatu virus atau sakit boleh menyerang manusia tanpa mengira pangkat mahupun darjat. Kita juga insaf bahawa kesihatan dikurniakan Allah adalah suatu kurniaan tidak ternilai harganya,” titah Seri Paduka.

Menurut Yang di-Pertuan Agong, wabak itu turut mengajar bahawa setiap manusia mempunyai ikatan pertalian hubungan yang rapat antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Jika salah seorang daripada rakyat tidak menjaga kesihatan diri, maka kesannya akan menular kepada masyarakat setempat dan akhirnya ke seluruh negara,” titah baginda.

Seri Paduka juga tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Beta juga amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutama petugas perkhidmatan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, teruskan mengamal normal baharu ataupun ‘the new normal’ dalam kehidupan seharian. Pandemik COVID-19 ini telah memaksa kita untuk melakukan perubahan kepada kehidupan seharian kita.

“Justeru teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial. Hindari dan jauhi aktiviti yang tidak penting. Gunakan masa yang ada untuk membina syurga di rumah bersama keluarga tercinta,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menumpaskan wabak COVID-19 ini selama-lamanya dengan semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa semoga negara akan segera kembali pulih seperti sediakala agar rakyat dapat mengecap nikmat kerancakan ekonomi dan menikmati kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju, aman dan makmur,” titah Seri Paduka. #sumber

Share:

Azmin, Sembilan Bekas MP Belum Serah Borang Sertai Bersatu

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan sembilan lagi ahli parlimen yang meninggalkan parti itu belum menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Bersatu, kata Marzuki Yahya.

Marzuki, yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu yang dilantik Dr Mahathir Mohamad namun dipecat oleh Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas Muhyiddin mengesahkan bahawa kumpulan Azmin telah menyertai Bersatu secara rasmi.

"Saya sendiri menanyakan kepada Azmin mana borang (keahlian), dan tidak ada respons sehingga ke hari ini, yang saya difahamkan tidak ada sebarang permohonan untuk menjadi ahli.

"Cuma yang ada pengumuman daripada presiden sendiri mengatakan mereka ini dah masuk ahli.

"Jadi kita nak tanyalah kalau mereka dah jadi ahli, mestilah kena ada nombor ahlinya, dia pasti tahulah dia duduk di bahagian mana, dia duduk di cawangan mana.

"Sampai hari ini kita tak menerima apa juga borang ataupun permohonan daripada Azmin dan rakan-rakannya untuk menyertai parti Bersatu," katanya dalam satu forum atas talian di di Facebook Pemuda Bersatu (Armada) malam tadi.

Ketika 'Langkah Sheraton' pada Februari, Malaysiakini memetik sumber rapat Muhyiddin yang berkata bahawa Azmin dan sembilan yang lain telah menyertai Bersatu.

Muhyiddin kemudian sahkan penyertaan Azmin dan sembilan ahli parlimen itu ketika sidang media pada 11 Mac, selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama.

“Ya, permohonan mereka telah diterima Majlis Tertinggi Bersatu,” kata Muhyiddin dalam sidang media itu.

Selain Azmin, sembilan ahli parlimen yang lain ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo), dan Jonathan Yasin (Ranau).

Santhara Kumar, Ahli Larlimen Segamat difahamkan akan menjadi ahli bersekutu Bersatu.

Untuk rekod, Marzuki merupakan Setiausaha Agung Bersatu sehingga 18 Mac, sebelum Muhyiddin melantik diri sendiri sebagai pemangku Pengerusi seterusnya melantik Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung yang baru.

Bagaimanpun, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad membantah pemecatan Marzuki dan menyifatkannya sebagai tidak sah kerana tidak dibincang dengannya.

Bersatu kini berpecah kepada dua kumpulan yang diketuai oleh Mahathir dan Muhyiddin susulan perselisihan kedua-dua pemimpin parti itu, sama ada berpihak kepada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.

Sementara itu, Marzuki menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah meninggalkan Pakatan Harapan sejak awal, walaupun terdapat kenyataan dari pelbagai pemimpin Bersatu sebaliknya.

Dia berkata ini kerana kenyataan seperti itu bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi Bersatu, yang telah direkodkan dalam minit mesyuarat.

Ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada pagi 23 Februari, keputusannya adalah untuk memberi kepercayaan kepada Mahathir untuk meminta sama ada parti itu harus meninggalkan Pakatan Harapan atau sebaliknya.

Walaupun begitu, para pemimpin Bersatu bertemu dengan pemimpin PKR yang diketuai Azmin di Hotel Sheraton malam itu, yang seterusnya membawa kepada gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan PH.

Dalam forum malam tadi, Marzuki juga menyentuh kekeliruan berhubung pengumuman beliau bahawa Majlis Tertinggi Bersatu sebulat suara mengambil keputusan untuk meninggalkan PH.

Marzuki memberitahu bahawa sebelum pengumuman pada 23 Februari, dia berkata bahawa dia telah meminta Muhyiddin untuk menangguhkan pengumuman keluar dari PH sementara dia berbincang dengan Mahathir.

"Saya minta tangguh sebentar, beri peluang untuk saya berjumpa dengan Tun (Dr Mahathir) untuk berbincang tentang soal keputusan ini.

"Tetapi amat malang dalam pejalanan saya ke kediaman Dr Mahathir, saya telah menerima WhatsApp yang mana kenyataan telah dikeluarkan oleh presiden yang mana keputusan untuk kita keluar daripada PH itu berlaku.

"Itu bukan keputusan mesyuarat. Tetapi sebagai setiausaha agung saya akur juga dengan apa juga keputusan Presiden dan saya mengeluarkan kenyataan berlandaskan apa yang dinyatakan oleh kenyataan sebelah petang," katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin berkata keputusan untuk meninggalkan PH dibuat pada mesyuarat khas parti yang diadakan pada 23 Februari.

Manakala, Marzuki pada 25 Februari memberitahu pemberita bahawa meninggalkan PH adalah keputusan yang sebulat suara oleh Majlis Tertinggi Bersatu. #sumber

Share:

PRK Chini: Bersih Cadang Tempoh Penamaan Calon Lima Hari

KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah membuat beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang dijadualkan pada 4 Julai ini.

"Kami percaya bahawa sistem demokrasi harus berjalan tetapi pada masa yang sama langkah-langkah pencegahan untuk membendung wabak Covid-19 ini mesti diambil oleh semua pihak, terutama SPR," kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Badan itu mengesyorkan agar SPR memperpanjangkan tempoh pencalonan selama lima hari dan calon mesti dibenarkan menghantar borang pencalonan mereka secara dalam talian atau serahan tangan dalam tempoh ini untuk mengelakkan perhimpunan awam.

Sekiranya, calon tersebut memilih menyerahkan borang penamaan calon secara tangan di pusat penamaan calon, perlu ada had empat orang bagi setiap calon. SPR kemudian boleh mengumumkan senarai calon yang diterima dengan mengeluarkan kenyataan media, kata mereka.

Pindaan dapat dilakukan oleh calon jika ada kesalahan dalam mengisi borang pencalonan dengan menyerahkan kembali borang tersebut dalam jangka waktu penamaan calon lima hari.

Borang pencalonan yang lengkap mesti diterbitkan secara rasmi, dengan maklumat peribadi tersembunyi supaya calon lain dapat membantah sekiranya timbul masalah, manakala tempoh bantahan dapat ditetapkan selama dua hari setelah penutupan penamaan calon dan bantahan bertulis dapat dikirimkan kepada SPR dalam tempoh ini, kata Bersih.

Sepanjang tempoh kempen, Bersih menyarankan kerajaan memberi masa yang saksama kepada semua calon termasuk pembangkang untuk siaran di media arus perdana seperti RTM dan Bernama. Ini termasuk debat secara langsung antara calon-calon.

"Ini harus dilakukan walaupun tanpa ancaman Covid-19, namun langkah ini harus diambil sekarang kerana kempen konvensional seperti ceramah umum harus dihentikan," kata mereka.

Penting bagi SPR untuk memastikan semua calon boleh berkempen di medan persaingan kerana ceramah umum mungkin tidak boleh lagi selepas ini kerana wabak Covid-19, jelas Bersih lagi.

Selain daripada larangan ceramah umum atau berkumpulan, Bersih berkata proses meraih undi harus dilakukan dengan peraturan yang ketat seperti mengikuti peraturan menjauhkan sosial, memakai topeng muka dan tidak lebih dari empat orang dalam satu kumpulan.

"Ini harus dilakukan walaupun tanpa ancaman Covid-19 yang kita hadapi, namun langkah ini harus diambil sekarang kerana kempen konvensional seperti perbincangan awam harus dihentikan," kata mereka.

Elak sesak, buka banyak lagi pusat mengundi

Sementara itu, pada hari pengundian, Bersih berkata pihaknya menyambut baik cadangan SPR mengikut jadual pengundian kepada pengundi untuk berada di pusat pengundian.

Ini bertujuan mengelakkan kesesakan jumlah pengundi pada satu-satu masa. Maklumat ini akan dimasukkan ke dalam kad pengundi yang akan dihantar oleh SPR kepada semua pengundi sebelum hari pengundian.

Untuk mengelakkan kesesakan pengundi di pusat pengundian, Bersih mencadangkan SPR membuka lebih banyak pusat pengundian.

"SPR dapat mencontohi bagaimana Indonesia membuka pusat pengundian mereka dan pusat-pusat itu tidak semestinya di sekolah. Pusat pengundian boleh dibuka di kawasan perumahan atau kampung,” kata NGO itu.

Khemah juga dapat didirikan untuk menambah tempat mengundi, kata Bersih menjelaskan waktu pengundian juga dapat dipanjangkan, dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, bukannya jam 8 pagi hingga 5 petang seperti biasa.

Pengundi yang merupakan pesakit Covid-19 atau mereka yang masih dalam kuarantin boleh didaftarkan sebagai pengundi pos, cadang NGO itu lagi.

Sementara itu, pengundi dari PRK Chini yang tinggal di negeri lain dan ingin pulang untuk mengundi, kata Bersih perlu dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk menunaikan hak mereka sebagai pengundi atau mereka seharusnya dapat mendaftar sebagai pengundi pos.

Bersih berkata SPR perlu menyediakan stesen pemeriksaan di setiap pusat pengundian untuk membuat ujian saringan kepada pengundi sebelum mereka dapat meneruskan pengundian.

Menurut Bersih, pengundi yang dikesan suhu badannya melebihi 37.5 darjah Celsius perlu diarahkan ke aliran khas untuk mengundi.

SPR juga, kata Bersih perlu menyediakan topeng muka dan sarung tangan sekali pakai kepada pengundi sebelum mereka dapat memasuki aliran mengundi untuk mengundi; sarung tangan mesti dibuang semasa keluar; cecair pembasmi tangan juga mesti disiapkan di semua pusat dan kawasan pengundian.

Pusat pengundian juga, kata NGO itu perlu dinyah kuman beberapa hari sebelum hari pengundian, seperti yang dilakukan di Korea Selatan ketika pilihan raya parlimen mereka baru-baru ini.

"Walaupun kita masih menghadapi pandemik Covid-19, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghentikan proses demokrasi di negara kita.

"Negara-negara seperti Korea Selatan telah membuktikan bahawa proses pemilihan dapat dijalankan dengan berjaya.

"Yang penting adalah kerjasama antara semua pihak. Kita juga memiliki pasukan petugas kesihatan yang sangat baik dan bertaraf dunia yang bersedia untuk membantu dan memberikan garis panduan mengenai langkah-langkah terbaik untuk menjalankan pilihan raya,” kata Bersih.

PRK kerusi DUN Chini diadakan setelah kematian penyandangnya Abu Bakar Harun pada 7 Mei.

Hari pengundian adalah pada 4 Julai, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun. #sumber

Share:

‘Lupakan’ Sahaja PRK Chini, UMNO Beritahu Pakatan Harapan !

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini di Pahang bulan depan berikutan pencapaiannya yang lemah di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 2018.

Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerusi itu dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,622 undi dalam pertandingan 3 penjuru melibatkan PAS dan PH, yang berjaya memperolehi hanya lebih 1,000 undi atau 6% daripada jumlah undi.

Beliau berkata, dalam keadaan BN kini bekerjasama dengan PAS, keputusan PRK itu kelak “sudah hampir pasti”.

Mohd Sharkar Shamsuddin.
PRK akan menjadi “beban yang tidak diperlukan ke atas kewangan kerajaan, selain menimbulkan risiko kesihatan kerana wabak Covid-19”.

Sekiranya persaingan pada 2018 seimbang, maka PRK kali ini boleh dianggap demokratik dari segi keperluan mendapatkan mandat baru, tetapi berdasarkan keadaan semasa dan rendahnya kemungkinan PH meraih sokongan pengundi di situ, adalah lebih baik PH tidak bertanding,” katanya.

Beliau berkata, parti kerajaan dan pembangkang harus memperlihatkan semangat setiakawan demi kepentingan rakyat.

“Lagipun BN tidak bertanding dalam PRK Port Dickson demi kepentingan negara,” katanya merujuk kepada kerusi yang dimenangi presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pertandingan 7 penjuru.

PRK Chini dijadualkan diadakan pada 4 Julai depan. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun 2 minggu lepas. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.