script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Hj Hadi Dakwa 'Penubuhan' Muafakat Nasional (MN) Tertangguh Kerana ‘UMNO Buat Masalah'

 

MARANG - Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang mendakwa sikap pemimpin UMNO yang menimbulkan masalah menyebabkan penubuhan Muafakat Nasional (MN) tertangguh sehingga kini.

Katanya, masalah itu termasuk cubaan beberapa pemimpin UMNO mewujudkan jajaran baharu (selain dengan Perikatan Nasional) menyebabkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dianggotai pemimpin daripada parti itu terkubur pada Ogos 2021.

Timbalan Pengerusi PN itu berkata, pihaknya memilih Muhyiddin sebagai calon perdana menteri susulan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dua tahun lalu kerana Ahli Parlimen Pagoh berkenaan sudah berada dalam kerajaan PH sebelum itu.

Katanya, UMNO waktu itu enggan menyertai gabungan PN dan hanya mahu bekerjasama dengan PAS yang kemudian mengusulkan penyertaan BERSATU ke dalam MN.

“Bila kita tekan baru UMNO setuju terima BERSATU, sampai masa hendak lancar dia (UMNO) minta tangguh, bukan kita tangguh dan sekarang tak boleh hendak buat lagi.

“UMNO buat masalah dan cuba buat penjajaran baharu. Demi pertahan PN, Muhyiddin letak jawatan PM…ini bukan mudah dan bertolak ansur terima PM daripada UMNO,” katanya berucap pada majlis pelancaran PN Terengganu malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri melakukan pelbagai dasar memberi manfaat kepada rakyat yang berdepan krisis ekonomi dan kesihatan meruncing susulan penularan Covid-19.

“Ketika PN perintah kita hadapi masalah wabak dan ekonomi yang turut melanda seluruh dunia bukan hanya Malaysia, tetapi dia (UMNO) pukul (tuduh) kita seolah-olah tidak boleh (mentadbir).

“Rakyat kena tahu (ketika memerintah negara) PN sudah menunjukkan banyak bukti (tadbir dengan baik),” katanya. #sumber

Share:

Tokoh Sejarah, Pahlawan Melayu Pahang 'Mat Kilau' Di Nobatkan Sebagai Tokoh Maal Hijrah

 

KUANTAN - Tokoh sejarah dan pahlawan Pahang Mat Kilau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pahang pada sambutan peringkat negeri, hari ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada cucu pahlawan berkenaan, Mohd Alhamadi Abu Bakar yang menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Mohd Alhamadi, 56, yang juga seorang pendidik melahirkan rasa bersyukur dan terharu terhadap kerajaan negeri Pahang kerana memberikan pengiktirafan kepada datuknya dan berharap ia terus meningkatkan semangat juang keluarga serta orang ramai untuk mengembangkan syiar Islam.

"Perjuangan Mat Kilau adalah atas dasar agama... perjuangan menentang Inggeris bersama ayahnya Tok Gajah dan Datuk Bahaman adalah disebabkan kuasa penjajah yang hendak masuk ke Pahang dan memperkenalkan sistem pemerintahan Inggeris.

"Maka disebabkan itu, Mat Kilau dan rakan-rakannya bangkit bangun melawan demi menegakkan Islam di Pahang," katanya semasa ditemui selepas tamat majlis sambutan yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran' itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd Salam dijaga ibu bapa Mohd Alhamadi selama kira-kira 30 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 pada usia 104 tahun. Semasa itu, Mohd Alhamadi berusia sekitar lima tahun.

Mohd Alhamadi berkata, datuknya yang mesra dipanggil 'Aki Kilau' juga menjadikan zikir dan bacaan surah Al-Ikhlas sebagai amalan setiap hari yang kini diwarisi ahli keluarga serta ahli seni silat tapak suci warisan Mat Kilau.

Menyifatkan dirinya sebagai 'hanya wakil penerima anugerah itu', Mohd Alhamadi berkata, wang berkenaan akan digunakan sebaiknya bagi menambah baik Galeri Mat Kilau, di sini, yang diusahakannya sendiri sejak 2016 dan persatuan seni silat terbabit.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan jawatankuasa induk dan pelaksana sambutan, Mat Kilau yang juga anak jati Kampung Kedondong, Pulau Tawar di Jerantut berpengetahuan luas dalam agama dan pernah belajar agama daripada tokoh agama dan ulama tersohor.

Antaranya ialah Mufti Pahang pertama Uthman Senik, ulama Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu semasa beliau bersembunyi di negeri berkenaan.

Selain itu, Mat Kilau juga pandai mengaji al-Quran, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana yang turut dikenali sebagai Dikir Pahang serta handal dalam ilmu persilatan. #sumber

Share:

Maal Hijrah: Agong Bertitah Agar Rakyat Tidak Hina Dan Mempersendakan Agama Atas Nama Kebebasan Bersuara, 'Pelihara Serta Hormati' !

 

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat jangan sesekali memperkecil, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

Seri Paduka juga menuntut agar kesucian semua agama dipelihara dan dihormati pada setiap masa.

“Agama bukanlah merupakan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka.

“Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang telah terbina semenjak sekian lama,” titah baginda sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis itu juga dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad serta Jemaah Menteri.

Mengambil keberkatan kedatangan tahun baru Hijrah ini, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk memelihara nikmat dan rahmat negara yang merdeka dan berdaulat ini.

“Semoga Allah SWT menyinari hati dan sanubari kita dengan semangat perdamaian, menghindari dari sifat-sifat yang boleh mengundang perpecahan dan melindungi negara yang disayangi ini dari sebarang musibah dan bahaya,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah sesuai dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, peristiwa Hijrah Rasullullah SAW perlu dijadikan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang.

Seri Paduka bertitah susulan daripada peristiwa agung itu, telah lahir sebuah negara Islam yang menjadi titik tolak perkembangan dan penyebaran agama Islam ke seluruh dunia.

Al-Sultan Abdullah bertitah pembinaan Madinah, merupakan realiti sebenar perpaduan dan kesatuan masyarakat majmuk sebuah negara Islam yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.

“Kesatuan tersebut berjaya dicapai menerusi kesepakatan semua kaum dan agama untuk hidup bernaung di bawah pemerintahan yang berteraskan kepada Piagam Madinah,” titah Seri Paduka.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha hendaklah dirangka supaya seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup bersatu padu, aman dan makmur bernaung di bawah raja pemerintah yang berdaulat dan menjulang prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Menghayati sirah Rasullulah SAW, Seri Paduka bertitah kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia.

Yang di-Pertuan Agong bertitah tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan tetapi ia melibatkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

“Sebenarnya sifat berburuk sangka, iri hati dan sentiasa mencari kesalahan orang lain adalah merupakan sifat tercela yang dimurkai oleh Allah SWT.

“Sifat-sifat ini membawa kesan-kesan negatif yang boleh mengaburi prinsip keadilan dan kesaksamaan sehingga akhirnya meruntuh serta memecah belah kesatuan ummah dan menghapuskan sejarah tamadun negara,” titah Seri Paduka. #sumber

Share:

Mahkamah Persekutuan 'Tidak Benarkan' Najib Tangguh Rayuan Kes Rasuah SRC International

 

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Sri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pendengaran bagi rayuan kes rasuah SRC International yang dijadual bulan depan.

Sehubungan itu rayuan berkenaan akan didengar selama 10 hari mulai 15 Ogos di Mahkamah Persekutuan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pada Selasa lalu, peguam yang baru dilantik Najib diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan berkenaan memandangkan pasukan itu baru dilantik.

Pasukan peguam yang baru menggantikan pasukan peguam terdahulu yang diketuai Tan Sri Datuk Muhammad Shafee Abdullah bagi kes rayuan berkenaan.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berusaha untuk membatalkan sabitan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ketika dihubungi pihak media, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan mahkamah persekutuan tidak membenarkan permohonan penangguhan itu semasa pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah dan Siti Hajar Mustaffa.

“Hari ini pengurusan kes bagi permohonan bukti baru yang difailkan peguam terdahulu (bagi Najib, iaitu peguam dari Shafee & Co). Kemudian pindaan kepada usul tersebut untuk mendapatkan bukti baru.

“Kemudian isu pertukaran peguam (melibatkan pasukan peguam diketuai Hisyam) untuk rayuan utama.

“Mahkamah (persekutuan) telah memaklumkan bahawa tarikh pendengaran yang ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos 2022 dikekalkan, dan arahan untuk mematuhi perlu dipatuhi,” kata DPP, sambil menambah pendengaran akan dijalankan secara fizikal di mahkamah terbuka.

Usul untuk mendapatkan bukti baru merujuk kepada permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC, berhubung dakwaan bahawa hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.

Ashrof berkata, mahkamah persekutuan menetapkan 15 Ogos untuk mendengar permohonan bukti baru Najib.

Semasa pengurusan kes yang diadakan melalui aplikasi zoom, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP Datuk V Sithambaram.

Najib diwakili oleh Hisyam serta peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.

Turut hadir ialah Shafee, yang sebelum ini merupakan peguam bela Najib dalam rayuan itu.

Media telah menghubungi Hisyam untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan pada 2020 oleh Nazlan yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib.

Nazlan kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Najib didapati bersalah dan dikenakan denda atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. #sumber

Share:

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Lulus Usul Pindaan Perlembagaan UMNO Hari Ini !

 

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelulusan diberikan oleh ROS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa hari ini.

"ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).

"ROS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu beliau berkata, UMNO diberi pilihan untuk mengadakan pemilihan partinya bagi penggal ini yang sudah ditangguhkan, tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 diadakan.

"UMNO merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terbabit dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas berlangsung pada Mei lalu meluluskan usul pindaan itu bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang mempengerusikan PAU Khas ketika itu mengumumkan usul pindaan diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Dengan kelulusannya, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Pindaan itu antara lain menyaksikan peruntukan Fasal 10.16 yang sedia ada dipinda menjadi Fasal 10.16.1 iaitu pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya atau sehingga enam bulan dari PRU.

Susulan pindaan kepada Fasal 10.16 itu, UMNO turut memutuskan untuk meminda Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 dalam perlembagaan partinya. #sumber

Share:

Liga Super: Atasi Selangor 2-0, Dollah Salleh Anggap Tuah Memihak Kepada Sri Pahang FC

KUANTAN - Pengendali baharu Sri Pahang FC, Dollah Salleh melihat tuah nyata memihak skuad kendaliannya sehingga mampu meraih kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi ke-12 Liga Super Malaysia 2022, malam tadi.

Tiga mata penuh yang berjaya diraih di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu merupakan aksi liga serta kemenangan pertama buat Dollah Salleh selepas beliau kembali membimbing pasukan tersebut bermula 21 Julai lalu.

Kemenangan berharga itu hadir hasil dua jaringan dalam tempoh masa lima minit menerusi sumbangan Andres Steven Rodriguez Ossa (minit ke-34) dan Abdul Malik Mat Ariff (minit ke-39).

“Syukur Alhamdulillah kita dapat kemenangan selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, jadi hari ini [malam tadi] memang kiranya tuah memihak kepada kita,” ujar Dollah bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kalau tengok pada perlawanan malam ini memang bukannya kita bermain dengan begitu baik, kita main biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan aksi menentang Penang (suku akhir Piala FA) dimana separuh masa pertama kita bermain dengan baik, jauh berbeza.

“Tetapi hari ini tuah dengan kita. Cuma satu yang saya puji para pemain nampak mereka berdisiplin dalam bertahan dan disiplin ketika memberikan sokongan untuk menyerang.”

“Di situlah nampaknya keseluruhan semua bekerjasamal, itu yang menjadi punca kepada kemenangan pada malam ini.”

“Itulah sedikit kita tahu kekuatan yang ada pada Selangor FC di bahagian tengah dan memang kita buat perancangan macam mana nak menyekat dan hari ini nampaknya apa yang kita rancang menjadi.”

”Tetapi banyak juga berlaku kesilapan-kesilapan, cuma itulah yang saya katakan tuah hari ini memang bersama kita. Apa sekalipun perancangan kita memang 70 hingga 80 peratus berjaya menyekat mereka.”

Dengan kemenangan ketiga yang dilakarkan, Sri Pahang mengumpul 11 mata bagi melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan kesembilan bagi menolak PJ City FC dan Sarawak United yang mengalami kekalahan.

Sementara itu, Selangor pula menghuni tangga keenam dengan 16 mata hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan setakat ini. #sumber

Share:

Dua Anak Allahyarham 'Jamaluddin Jarjis' Hari Ini Berjaya Batal Saman Di Fail Nenek Mereka

 

KUALA LUMPUR - Dua anak Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis hari ini berjaya membatalkan saman difailkan nenek mereka, Aminah Abdullah berhubung perintah pembahagian sebahagian wang tunai milik Allahyarham yang disimpan dalam bank.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz, membenarkan permohonan Ikhwan Hafiz dan Nur Anis ketika prosiding kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian.

Hayatul Akma membenarkan permohonan Ikhwan Hafiz dan Nur Anis selaku defendan untuk membatalkan saman itu dengan alasan ia tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata kerana fakta sama dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan Mahkamah

Mahkamah juga memutuskan tuntutan saman itu adalah bersifat menindas terhadap defendan dan juga satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Hayatul Akma turut memerintahkan Aminah membayar kos masing-masing sebanyak RM15,000 kepada kedua-dua defendan.

Perkara itu disahkan peguam K Shanmuga yang mewakili Ikhwan Hafiz dan Nur Anis serta peguam Wan Zafran Pawancheek yang bertindak bagi pihak Aminah ketika dihubungi media.

Dalam kes saman itu, Aminah menuntut perintah bahawa pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka berjumlah RM21,351,677.58 yang diketahui semua waris, dengan serta-merta mengagihkan RM2.29 juta kepadanya dalam masa 14 hari dari tarikh perintah berkenaan. #sumber

Share:

Menang 2-0 Ke Atas Selangor FC, Tetapi Para Penyokong Tetap Mahu Nama Pasukan, Dollah Salleh Dan Pengurusan Sri Pahang FC Di Tukar

KUANTAN - Sri Pahang FC mengutip tiga mata pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi, apabila mengalahkan Selangor FC 2-0.

Walau bagaimana pun kemenangan itu sudah tiada maknanya lagi kata aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli ketika dihubungi.

Beliau yang sebelum ini mengkritik skuad Tok Gajah dengan mengesa Pengurusan Sri Pahang dibubarkan dan muka baru dilantik menerajui kelab bola sepak itu.

Kenyataan itu dibuat susulan kekalahan malukan Sri Pahang FC kepada Penang FC pada saingan Suku Akhir Piala FA baru-baru ini. Sri Pahang tewas, selepas mendahului lawan dengan jaringan 2-0 pada separuh masa yang pertama.

Mengulas lanjut tentang perlawanan malam tadi, Shukri berkata beliau ucapkan tahniah atas kemenangan itu, namun katanya ia sudah tidak bermakna lagi kerana Sri Pahang FC kini berada di tangga kesembilan liga dengan mengumpul 11 mata daripada 12 perlawanan.

Kedudukan itu terlalu jauh untuk mengejar pasukan yang berada dipersada liga iaitu JDT  (32 mata), Sabah (28 mata) dan Negeri Sembilan (23 mata). Dengan saingan berbaki beberapa perlawanan untuk Liga Super musim ini, maka kemenangan ke atas Selangor FC malam tadi sudah tiada makna.

"Sri Pahang FC sepatunya menghadiahkan kemenangan di Suku Akhir Piala FA ke atas Penang FC baru-baru ini. Sekali gus layak ke pusingan Separuh Akhir dan berpeluang ke akhir. Mungkin itu lebih bermakna daripada menang Liga Super dikala harapan sudah tiada untuk mengejar pasukan yang di atas," katanya.

Mengulas lanjut permainan Sri Pahang FC selepas kekalahan memalukan ditangan pasukan tercorot Liga Super, Penang FC baru-baru ini.

Beliau berkata, rata-rata peminat bola sepak Pahang kecewa dengan kenyataan Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh yang mendakwa pemainnya keletihan dan hilang fokus menjadi punca tewas 2-5 kepada Penang FC pada saingan Suku Akhir Piala FA kelmarin.

Dollah pada satu kenyataan selepas perlawanan tersebut menyatakan kegagalan menyekat kebangkitan Penang FC terutama pada babak kedua perlawanan menyebabkan skuad itu gagal mencapai misi ke separuh akhir piala berprestij itu.

Kenyataan beliau mendapat kecaman netizen terutamanya penyokong Tok Gajah.

"Penat apanya, Sri Pahang FC sudah rehat lama dan tiada perlawanan selepas hari raya Aidil Adha, sebaliknya Penang FC sudah ada dua perlawanan sebelum menentang Pahang.

"Sepatutnya, Pahang menang sebab pemain Penang FC yang letih mengharungi dua perlawanan. Kenyataan Dollah tidak masuk dek akal langsung," kata Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) itu.

Sementara itu, Shukri mendakwa ramai penyokong Pahang mahukan perubahan dan menggesa perkataan 'Sri' ' dibuang daripada nama rasmi skuad Tok Gajah.

"Sri dan tak berseri lagi, ia langsung tidak menggambarkan semangat perjuangan, jati diri, kekuatan untuk mencipta kemenangan. Perkataan itu penuh kelembutan dan lebih sesuai untuk pasukan kebudayaan dan kesenian seperti tarian, drama dan sebagainya. Kembalikan semula skuad Tok Gajah yang dulu, bukan pasukan belasahan.

"Biar pun Sri Pahang FC menang 2-0 ke atas Selangor FC malam tadi, namun saya yakin penyokong Pahang tetap mahu rombakan dibuat terhadap pengurusan, bukan sahaja pemain dan jurulatih.

"Panggil bekas-bekas pemain Pahang untuk sama-sama membantu menyumbang khidmat dan buah fikiran. At least, lantik mereka itu sebagai konsultan bagi membantu pemilihan pemain baik tempatan atau pun import. Mereka lebih tahu menilai pemain berkualiti dan berbakat," tambah Shukri lagi.

Sementara itu beliau tetap bertegas mahu Ketua Jurulatih Interim Sri Pahang FC iaitu Dollah Salleh digantikan.

"Sepatutnya Fandi Ahmad dilantik sebagai Ketua Jurulatih, tak perlu ada interim. Kenapa letaklan beliau sekadar Penasihat Teknikal? Sedangkan pengurusan sudah sedia maklum kegagalan Dollah selama ini. Malah, Dollah terlibat dengan Skuad Tok Gajah sejak lama dulu. Cuma dua musim ini, penyokong amat terkesan dengan kegagalan demi kegagalan.


"Kenapa perlu kekalkan individu yang susah gagal? Pasukan lain, bila gagal terus tukar dan pecat, tapi Sri Pahang FC... gagal sebagai Ketua Jurulatih diangkat jadi Pengurus, kemudian jadi Ketua Jurulatih semula.. Apa semua ini? Penyokong seolah-olah dipermainkan. Maka ubahlah demi masa depan sukan bolasepak di Pahang," tambah Shukri lagi.

Tonton video kenyataan panas beliau, sila klik di sini https://youtu.be/gyvussxQ4XE #PDO

Share:

Semua Laporan Berkaitan Usaha Pemuliharaan Tasik Chini 'Sudah Di Hantar' Kepada UNESCO !

 

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang sudah menghantar semua laporan berkaitan usaha pemuliharaan di Tasik Chini kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam sidang media di sini hari ini.

"(Mengenai) Tasik Chini ini, sebenarnya kita (kerajaan Pahang) telah pun menghantar 'report' kita dan semua perkara-perkara yang diperlukan supaya kita pastikan bahawa kita memenuhi dengan apa yang dibuat.

"Jadi, kita tunggu nantilah keputusan pihak UNESCO," katanya.

Dia bagaimana pun tidak dapat memberikan tarikh sebenar laporan itu dihantar selepas ditanya lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Kita dah hantar (laporan) sebab dia juga ada 'collaborate' dengan kerajaan Pusat jugaklah, kerajaan Pusat yang akan hantar.

"Tapi laporan itu kita sudah bagi, apa-apa yang perlu untuk ditambah baik itu semua kita dah buat, jadi kita tunggu keputusan sajalah," katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Sharkar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan majlis prapelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022.

Acara sukan bertaraf antarabangsa yang dijadualkan September ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 membabitkan lima lokasi bermula di Pantai Hiburan, Rompin dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak.

Semalam, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) melalui satu kenyataan media menyatakan komitmennya untuk menyokong kerajaan Pahang dalam memulihkan Tasik Chini dan mengekalkan kedudukannya sebagai Rizab Biosfera.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCBR) sejak UNESCO mengeluarkan penemuannya tahun lepas.

Katanya, inisiatif yang dijalankan adalah selaras dengan saranan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR), termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan tiga fungsi TCBR, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menjalankan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, dan menghentikan semua aktiviti perlombongan di kawasan tasik.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun. #sumber

Share:

Persatuan Pencinta Alam Pahang Dakwa Masih Ada Peluang Kerajaan 'Selamatkan' Tasik Chini, 'Kekal Status' Sebagai Rizab Biosfera UNESCO !

 

KUANTAN - Status Tasik Chini sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) masih boleh dipertahankan jika semua proses pemuliharaan berjalan seperti dirancang.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar, berkata penelitian awal dan laporan berkaitan risiko status tasik itu ditarik balik oleh UNESCO adalah dibuat berdasarkan pemeriksaan pada 2021.

Untuk tahun ini, katanya, ada beberapa usaha penanaman semula telah dilakukan di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi memperbaiki kualiti kawasan terjejas akibat aktiviti perlombongan di sekitar tasik tersebut.

"MNS Pahang turut mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman semula di situ dan pemantauan secara berterusan dilakukan.

"Kadar survival bagi pokok yang ditanam semula juga adalah agak baik dan tinggi," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Noor Jehan berpandangan, jika wakil UNESCO boleh melakukan satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini, mungkin peluang masih ada untuk tasik yang terletak dekat Pekan itu dikekalkan statusnya sebagai tapak rizab biosfera.

"Saya juga ada membaca laporan (UNESCO) itu, dan dia kata 'pihak berkuasa Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 September tahun ini'.

"Laporan itu perlu menyertakan pengezonan (kawasan) yang dikemas kini dengan 'mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera'," katanya lagi.

Noor Jehan berkata MNS Pahang masih optimis Tasik Chini  yang berkeluasan 6,922.97 hektar  dapat mempertahankan pengiktirafan diterima pada 26 Mei 2009 itu.

"Kalau semua pihak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan status UNESCO ini, saya percaya kita masih ada peluang," katanya.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan  UNESCO, diikuti Banjaran Crocker, Sabah pada 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada Sept tahun lalu.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan status itu dalam penelitian ekoran penemuan awal yang tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun. #sumber

Share:

YB ADUN Ketari Persoal Campur Tangan Pihak Atasan 'BATAL' Penggunaan Gelanggang Futsal Dan Komplek Sukan Komuniti Felda Mempaga !


BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman hari ini meluahkan rasa kecewa atas isu pembatalan penggunaan dua buah gelanggang futsal dan Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga dekat sini. 

Katanya, Pusat Khidmat DUN Ketari akan mengadakan Kejohanan Futsal pada 31 Julai ini. Segala persiapan telah dijalankan dan penyertaan dari kalangan warga DUN Ketari amat memberangsangkan. 

Namun kata kenyataan di facebook rasminya https://www.facebook.com/youngsyefura, segala persiapan kini terganggu, apabila tempahan dua buah gelanggang futsal yang telah di buat bersama Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga menghadapi masalah. 

"Sewaktu salah seorang pegawai saya memaklumkanmengenai perkara ini, saya seakan-akan tidak percaya. Maka saya telah menghubungi Pegawai wilayah Felda Mempaga untuk meminta penjelasan. 

"Beliau telah memaklumkan kepada saya bahawa pihak wilayah Felda Mempaga telah menerima tekanan daripada 'pihak atasan' apabila mereka mengetahui bahawa kejohanan ini akan berlangsung di Kompleks Komuniti Felda Mempaga," katanya. 

"Saya kecewa dan hairan. Saya bukan meminta tajaan bahkan pejabat saya bersedia membayar penuh sewa gelanggang futsal untuk program ini kepada pihak Felda Mempaga. 

" Mengapa saya 'tidak dibenarkan' untuk menganjurkan kejohanan ini di situ? Kejohanan yang saya anjurkan ini adalah salah satu program untuk anak muda di sekitar kawasan DUN Ketari. 

"Adakah pihak yang menekan pengurusan wilayah Felda Mempaga ini tidak suka dengan program-program yang melibatkan anak muda? Kenapa perlu sekat program yang melibatkan anak muda? Siapakah yang sebenarnya menekan pengurusan wilayah Felda Mempaga ini agar menyekat program ini dari berlangsung?," kata kenyataannya. 

"Sudah-sudahlah dengan budaya politik busuk dan kotor ini. Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai masalah bersama pengurusan wilayah Felda Mempaga. 

"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan saya sangat menghormati mereka semua. Namun tekanan dari 'pihak atasan' ini adalah tidak professional dan sudah tentu sekali ini adalah amalan politik kuno dan busuk!," dakwanya lagi. 

Sementara itu beliau juga menuntut penjelasan daripada pihak Dato' Haji Nazri bin Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, adakah benar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari pihak pembangkang tidak dibenarkan menyewa fasiliti daripada Felda dan mengadakan program di Felda? 

"Apakah pandangan dan pendirian YB dan juga kerajaan negeri terhadap perkara ini? Harap pihak YB dapat berikan penjelasan yang terperinci mengenai hal ini," katanya. #PahangDaily

Share:

Pemangku Raja Pahang Memohon Maaf Pada Aktivis Alam Sekitar, Noor Jehan Abu Bakar

 

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memohon maaf kepada aktivis alam sekitar Noor Jehan Abu Bakar kerana lewat menghadiri satu acara minggu lalu.

“Mesej peribadi saya kepada Noor Jehan Abu Bakar, saya dengan jujur hati memohon maaf kerana lewat ke acara itu.

“Saya tidak berapa sihat pagi itu dan terpaksa mengambil beberapa langkah pencegahan untuk keselamatan semua,” kata baginda.

Baginda juga meminta polis tidak menyiasat Noor Jehan kerana meluahkan perasaan tidak puas hati di media sosial terhadap baginda .

‘Tolong jangan buat drama,” tulis baginda di InstaStory.

Noor Jehan, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, disiasat atas dakwaan menghina Tengku Hassanal menerusi tulisan di Twitter pada 18 Julai, yang sudah dipadam.

Dia menulis bahawa Tengku Hassanal dan beberapa pegawai tinggi lewat dua jam ke Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan–acara penanaman pokok di Pantai Chendor, Kemaman, Terengganu.

The Vibes melaporkan Noor Jehan sebagai mempertahankan tulisan itu kerana berasa “terhina” kerana menunggu lama setelah bangun awal pagi ke acara itu.

“Kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan kelewatan, tidak kira siapa melakukannya.

“Masa kita sama-sama berharga seperti masa VIP,” dia dipetik sebagai berkata.

‘Saya suka grafik Fahmi Reza’

Sementara itu, Tengku Hassanal juga menunjukkan keterbukaannya menerima kritikan dengan meminta orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap peraka grafik kontroversi Fahmi Reza.

“Tak perlu lapor polis.

“Saya sebenarnya suka grafik itu,” tulisnya.

Karya Fahmi itu menunjukkan seorang pemuda bertengkolok melakukan tekan tubi dengan kapsyen "Push-up 4 tasik chini".

Lukisan itu menggunakan latar belakang kuning.

Ia dipercayai merujuk kepada kempen media sosial “cabaran tekan tubi untuk alam sekitar” tahun lalu, yang baginda sendiri memuat naik gambarnya melakukan senaman itu.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tahun lalu berkata Tasik Chini–tasik kedua terbesar di Malaysia–tidak lagi memenuhi kriteria sebagai rizab biosfera

Jun tahun lalu, campur tangan Tengku Hassanal membuatkan kerajaan Pahang memberhentikan kegiatan pelombongan dan pembersihan hutan di Tasik Chini. #sumber

Share:

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Pahang, Di Siasat Polis Berkaitan Isu Ciapan Di Twittenya

 

KUANTAN - Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang Noor Jehan Abu Bakar dirakam keterangan kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia dipanggil bagi memberi keterangan kepada pegawai polis sekitar jam 3 petang tadi, dipercayai dilakukan susulan laporan polis terhadap Noor Jehan berhububg ciapan Twitter miliknya pada 18 Julai lalu.

Proses itu selesai kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Ketika dihubungi, dia memberitahu terdapat lebih satu laporan polis diterima polis Kuantan terhadapnya.

"Saya difahamkan ada lebih dari satu (laporan polis) dan saya nampak satu daripadanya (dibuat) di Jaya Gading, Kuantan.

"Untuk proses rakaman keterangan hari ini, saya ditemani wakil dari Majlis Peguam Pahang, Hon Kai Peng.

"Mereka cuma tanya soalan mengenai tweet yang saya buat dan komen yang saya terima selepas tweet itu dibuat," katanya.

Noor Jehan memaklumkan pihak polis tidak merampas telefon bimbitnya.

"Saya diberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," katanya lagi.

Dia tidak menolak kemungkinan siasatan itu dijalankan berdasarkan ciapan dibuatnya mempersoalkan kelewatan tetamu kehormat hadir pada majlis anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama kerajaan negeri di Pantai Chendor, dekat Cherating, Isnin lalu.

Program itu dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Terdahulu, dalam satu kenyataan media dikeluarkan Parti Aspirasi Sains Malaysia (SAINS) tengahari tadi turut menyatakan solidariti terhadap Noor Jehan.

Sains menganggap Noor Jehan yang juga ahli badan eksekutif pusat parti itu tidak melakukan apa-apa kesalahan melalui bebenang ciapan (thread) itu dan menggesa pihak berkuasa menghentikan intimidasi terhadap rakyat yang hanya menyatakan pandangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohamad Zahari Wan Busu ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menerima dua laporan polis terhadap Noor Jehan.

Dia juga mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komuniti dan Multimedia 1998. #sumber

Share:

Status Rizab Biosfera Tasik Chini Kini Tak Lagi Memenuhi Kriteria Yang Di Tetapkan UNESCO !

 

KUALA LUMPUR - Status rizab biosfera Tasik Chini daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kini dalam penelitian dan penemuan awalnya tidaklah menggalakkan.

Tasik itu adalah yang pertama daripada hanya tiga tapak biosfera Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebahagian daripada program manusia dan biosfera (MAB) yang mengkaji dan menambah baik hubungan di antara manusia dan alam sekitar melalui pemuliharaan serta penggunaan sumber asli secara mampan.

Menurut tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Laporan itu menyebut "kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif" berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.

"Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.

"Satu lagi punca utama kerosakan alam sekitar ialah penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit. Sebahagian daripada pengembangan ini berlaku dalam kawasan teras utama," katanya.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.

Menurut laporan mesyuarat majlis itu, aktiviti pengembangan pesat di Tasik Chini memberi kesan buruk bukan sahaja kepada biodiversiti serantau tetapi juga kepada ekonomi tempatan.

"Aktiviti sara hidup tradisional orang asli tempatan (suku Jakun) yang bergantung kepada sumber hutan terhalang, dan trend peningkatan pelancong yang melawat dan menangkap ikan di tasik semula jadi telah berubah akibat penebangan hutan," kata laporan itu lagi.

Tak jelas, tak konsisten

Selain gangguan kepada alam sekitar, mesyuarat MAB juga mengetengahkan beberapa isu dengan dokumentasi dalam semakan berkala Tasik Chini, termasuk ketiadaan peta pengezonan yang dikemas kini dan pelan pengurusan untuk rizab biosfera.

Laporan itu menyatakan bahawa agensi kerajaan telah menjalankan prosedur mitigasi, pemulihan dan penguatkuasaan untuk menangani masalah yang timbul daripada penebangan hutan di Tasik Chini, dengan kerajaan Pahang mengemas kini warta Taman Negeri Tasik Chini untuk mengecualikan kawasan yang telah diberikan akses untuk perlombongan.

Ia menyatakan peta warta baru yang dirancang yang disediakan dalam semakan itu, bagaimanapun, bukan dalam bahasa Inggeris. Juga tiada cadangan untuk menukar zon, walaupun langkah sedemikian sedang dirancang.

"Bagaimanapun, jadual di kawasan itu termasuk mengenai cadangan perubahan pada setiap zon tanpa penjelasan berkaitan yang telah menyebabkan kekeliruan. Bilangan populasi manusia dalam rizab biosfera juga tidak jelas dan tidak konsisten di seluruh laporan.

"Jawatankuasa penasihat menyedari ketiadaan pelan pengurusan untuk rizab biosfera serta kekurangan maklumat mengenai pengurus atau kakitangan yang bertanggungjawab untuk penyelarasan pengurusan rizab biosfera.

"Oleh itu, jawatankuasa penasihat membuat kesimpulan bahawa rizab biosfera tidak memenuhi kriteria Rangka Kerja Berkanun WNBR," katanya.

Laporan itu berkata pihak berkuasa Malaysia telah diminta mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 Sept tahun ini.

Pelan itu mesti menyediakan badan dunia dengan pengezonan terkini rizab biosfera "mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera", butiran pengurusan rizab biosfera, dan pengesahan pejabat atau pengurus yang menyelaraskan aktiviti rancangan pengurusan rizab biosfera.

Di sebalik penemuan itu, menurut pakar Program MAB UNESCO berpendapat, status Tasik Chini sebagai rizab biosfera tidak berisiko dibatalkan pada ketika ini.

Dalam respons melalui e-mel untuk mendapatkan penjelasan, mereka berkata ia adalah proses biasa dalam semakan berkala untuk meminta maklumat tambahan daripada pihak berkuasa.

“Rizab Biosfera Tasik Chini tidak menghadapi risiko sedemikian pada peringkat ini.

"Adalah proses biasa apabila laporan semakan berkala diperiksa, Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai BR (IACBR) membuat syor (diluluskan oleh MAB-Majlis Penyelarasan Antarabangsa) yang membolehkannya menyerahkan maklumat tambahan untuk memeriksanya dan membuat keputusan wajar," katanya.

Penjelasan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KASA) sedang diusahakan, namun setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang respons diterima. #sumber

Share:

YB ADUN Ketari Kecewa Kenyataan Kontraktor Dakwaan Isu Lempar Mercun Di Sungai Sepia !

 

BENTONG -  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang kontraktor berkaitan  kes yang tular di Sungai Sepia dalam media sosial baru-baru ini.

Kenyataan kontraktor terbabit bahawa dia “melemparkan mercun sekadar suka-suka, menunjukkan beliau tidak arif mengenai isu alam sekitar terutamanya berkaitan dengan habitat haiwan. 

"Walaupun tiada ikan yang timbul namun saya percaya sisa belerang dari mercun tersebut sedikit sebanyak telah mencemarkan air sungai dan ekosistem sungai tersebut," kata ADUN terbabit. 

Beliau turut memohon agar pihak polis dan pihak agensi yang berkaitan segera mengambil tindakan kepada kontraktor ini. Kejadian sebegini tidak boleh berulang lagi. 

"Alasan 'suka-suka' adalah satu alasan yang tidak boleh diterima dan tindakan beliau adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. 

"Saya juga ingin mengingatkan kepada orang ramai yang mengunjungi sungai atau pun hutan untuk tujuan rekreasi agar mematuhi larangan dan peraturan serta memelihara kebersihan dan kelestarian habitat dan ekosistem alam sekitar kita.

"Sudah cukup kita berdepan dengan pelbagai masalah kerosakan besar di hutan dan sungai, janganlah kita menambah lagi kerosakan ini walaupun dengan sekecil-kecil perbuatan. Sayangi alam sekitar kita," tambah beliau lagi. #sumber

Share:

33 Buah 'Pondok Tahfiz' Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat, Sungai Ular Kuantan Terbakar

 

KUANTAN - Sebanyak 33 pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat, Sungai Ular di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Pengetuanya, Zaidi Malik, 52, berkata api marak terlalu pantas dalam kejadian jam 9 pagi itu.

"Saya tidak menyangka ujian sebesar ini kami hadapi...hanya dalam sekelip mata 33 pondok musnah dijilat api.

"Selepas 10 tahun beroperasi ini adalah kejadian terburuk dilalui," katanya.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ketika kejadian, pondok berkenaan tiada penghuni kerana semua pelajar bercuti.

Zaidi berkata, ketika kebakaran dia dalam perjalanan ke Kelantan sebelum dihubungi penduduk kampung menyatakan pondok tahfiz terbakar.

"Saya mengambil keputusan berpatah balik untuk melihat sendiri kejadian, setiba di tempat kejadian luluh hati saya melihat apa yang berlaku.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang saksi yang juga penduduk Kampung Sungai Ular, Rusdi Abdul Rahman 41, berkata ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari kawasan madrasah berkenaan.

Menurutnya, dia mendengar seakan bunyi letupan sebelum ternampak asap tebal dari arah pusat pengajian agama itu.

"Saya segera ke situ dan mendapati beberapa pondok sedang terbakar, cubaan memadam kebakaran dilakukan namun gagal kerana api marak cepat.

"Saya menghubungi bomba untuk bantuan," katanya.

Rusdi berkata, kini semua pelajar Madrasah Al Imaniyah sedang bercuti, dia cuba juga membantu menyelamatkan barang pelajar yang berada dalam pondok namun hanya sebahagian sempat diselamatkan.

Pelajar madrasah berkenaan yang menetap di Kampung Sungai Ular, Mohd Fadlulah Ab Ghani, 35, berkata ketika kejadian dia berada di rumah dan hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi seorang rakan.

"Saya segera ke situ namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak. Saya hanya mampu berdoa supaya api segera dapat dipadam oleh anggota Bomba dan Penyelamat seterusnya dapat menyelamat pondok lain daripada turut renting," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, terdapat kira-kira 100 pondok di madrasah itu dan 33 daripadanya musnah sepenuhnya.

"Difahamkan kebakaran berpunca daripada salah sebuah pondok di barisan belakang, bagaimanapun setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan, difahamkan seramai 96 pelajar belajar di situ," katanya. #sumber

Share:

Prestasi Hambar Skuad Tok Gajah, Sudah Tiba Masanya Pengurusan Sri Pahang FC Di Tukar !

 

KUANTAN - Sudah tiba masanya pengurusan Sri Pahang FC ditukar sekiranya mahu melihat Skuad Tok Gajah kembali gah dipersada bolasepak tanahair.

Bukan hanya tukar pemain, tapi mereka yang berada dibelakang tabir juga perlu dilantik dikalangan individu yang benar-benar cinta dan sayangkan bolasepak.

Kenyataan dibuat oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli selepas kecewa dengan kekalahan 2-5 Sri Pahang kepada Penang FC pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Beliau menggesa pengurusan Sri Pahang FC dirombak, ketepikan mereka yang ternyata gagal ini dan lantik pihak lain yang benar-benar  profesional, jujur dan mempunyai iltizam terhadap pembangunan bolasepak di negeri ini.

"Sepatutnya lebih ramai bekas pemain Pahang dilibatkan untuk bersama dalam pengurusan, atau setidak-tidaknya lantik mereka sebagai konsultan yang bertanggungjawab memilih pemain.

"Dengan kepakaran yang mereka ada, saya rasa sudah pasti ia dapat membantu Sri Pahang FC terutamanya dalam hal ehwal pemilihan pemain tempatan dan import yang lebih berwibawa, tambahan pula FAM telah menetapkan setiap pasukan boleh mendaftar sembilan orang pemain import pada musim hadapan," kata aktivis terbabit.

Menurut Shukri lagi, beliau takut lama-lama peminat memboikot skuad Tok Gajah gara-gara terlalu kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan mutakhir ini. Lihat saja kehadiran penyokong ke Stadium Darul. Makmur malam tadi.

"Saya juga hairan kenapa Dollah Salleh masih lagi dikekalkan? Walhal beliau nyata telah gagal dua musim berturut-turut. Apa alasan lantik Dollah jadi Ketua Jurulatih Interim hingga ke hujung musim?.

"Adengan yang sama disajikan seperti musim lepas. Dollah diangkat jadi Ketua Jurulatih selepas prestasi Thomas Dooley dipertikaikan akibat beberapa kekalahan diawal musim.

"Selepas Dollah ambil alih, semakin banyak kekalahan yang dialami Sri Pahang FC hingga hampir terjerumus ke Liga Perdana," katanya.

Prestasi buruk itu dikejutkan apabila Dollah dikekalkan sebagai Pengurus pasukan  walhal dia turut bertanggungjawab atas kegagalam skuad Tok Gajah pada musim lalu.

"Skrip yang sama berlaku musim ini, bila Christophe Gamel pula digantikan dan Dollah dilantik semula sebagai Ketua Jurulatih (interim) dibantu Fandi Ahmad selaku Penasihat Teknikal baru-baru ini.

"Namun, lihatlah apa yang berlaku? Peminat disajikan dengan episod kekalahan cukup memalukan kepada Penang FC di gelanggang sendiri.  Bayangkan didepan penyokong tempatan Harimau Kumbang membaham Gajah. tidakkah ini menambahkan lagi kekecewaan peminat?," dakwa Shukri lagi.

Justeru katanya, tidak perlu lagi untuk cuba berdolak-dalih, Dollah dan pengurusan Sri Pahang FC perlulah ditukarkan demi maruah bolasepak Pahang pada masa yang akan datang. Sudahlah nama Sri Pahang itu sendiri dipertikaikan peminat selama ini. Kini prestasi hambar pula disajikan, selaras dengan nama yang langsung tidak melambangkan semangat perjuangan.

Filem Mat Kilau semakin gah, tapi pemain Sri Pahang FC langsung tidak bersemangat untuk bangkit demi maruah bolasepak Pahang. Ubahlah demi masa depan! #PDO


Share:

Belasah Skuad Tok Gajah 5-2 Di Stadium Darul Makmur, Zainal Tabik Dan Puji Pemain Penang!


KUANTAN - Pengendali Penang FC Zainal Abidin Hassan memuji kebangkitan anak buahnya dalam kemenangan 5-2 ke atas Sri Pahang FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Bagaimanapun Zainail mengakui laluan sukar bakal dihadapi skuad itu apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA.

Namun bekas pemain kebangsaan itu berkata, pencapaian di separuh akhir piala berprestij itu membuktikan Penang berada di kedudukan terbaik.

"Pada masa sama, Penang berada di kedudukan terbawah Liga Super dan pencapaian ini begitu bermakna. Pemain memberikan segalanya buat pasukan dan sudah membuktikan dalam saingan Liga Super apabila tewas tipis 1-0 kepada JDT pada 20 Julai lalu.

"Oleh itu kami akan memperbaiki segala kelemahan dan membawa semangat lebih tinggi apabila bermain pada separuh akhir nanti," kata Zainal.

Mengulas kemenangan 5-2 ke atas Sri Pahang FC pada aksi suku akhir piala itu malam tadi, Zainal memuji kebangkitan yang dipersembahkan anak buahnya.

Menurutnya, dua gol awal yang dijaringkan lawan menyentap semangat pemainnya selepas tidak beraksi dengan baik pada 30 minit pertama perlawanan.

"Mereka terkejut dan terlena dengan dua gol awal tetapi saya bangga mereka bangkit dengan satu gol di penghujung separuh masa pertama.

"Memasuki babak kedua, pemain meneruskan aksi cemerlang apabila berjaya menyamakan kedudukan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

"Saya berbangga dengan semua pemain yang melakukan kebangkitan untuk memastikan misi ke separuh akhir tercapai," katanya.

Pada perlawanan itu, Penang yang ketinggalan 2-0 bangkit mencatat kemenangan 5-2 ke atas Sri Pahang.

Gol-gol Penang dijaringkan T Saravanan pada minit ke-45, Hilal Alhelwe (m-86 dan 99), Lucas Espindola (m-96) dan K Thivandaran (m-118).

Gol Sri Pahangdijaringkan oleh Steven Rodriguez dan Azwan Aripin pada minit ke-12 dan 20. #sumber

Share:

Tewas 5-2 Kepada Penang FC, Dollah Jelaskan Hilang Fokus, Keletihan Antara Faktor Utama !

 

KUANTAN - Hilang fokus dan keletihan antara faktor Sri Pahang FC tewas 5-2 kepada Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA, malam tadi.

Pengendalinya Dollah Salleh berkata, kegagalan menyekat kebangkitan Penang terutama pada babak kedua perlawanan menyebabkan skuad itu gagal mencapai misi ke separuh akhir piala berprestij itu.

"Jika dilihat kepada keseluruhan perlawanan, Sri Pahang hanya bermain baik pada 40 minit pertama perlawanan. Gol di penghujung separuh masa pertama menyebabkan corak permainan dan persembahan pasukan berubah.

"Gol itu tidak sepatutnya berlaku dan ia satu kesilapan yang menyebabkan Penang bangkit dan mengambil peluang," kata Dollah.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah bermula cemerlang dengan mendahului 2-0 sebelum Penang bangkit menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sri Pahang yang beraksi dengan sembilan pemain pada masa tambahan sukar menyekat kebangkitan Penang yang meledak tiga gol lagi untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Dua gol Sri Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Steven Rodriguez dan Azwan Aripin pada minit ke-12 dan 20. Lima gol Penang pula, masing-masing dijaringkan T Saravanan pada minit ke-45, Hilal Alhelwe (m-86 dan 99, Lucas Espindola (m-96) dan K Thivandaran (m-118).

Dollah yang baru mengambil alih jawatan sebagai pengendali bagaimanapun tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya terutama pada aksi 40 minit pertama perlawanan.

"Saya percaya jika semua pemain dapat mengekalkan tempo permainan, tidak mustahil Sri Pahang bangkit dan dapat memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super selepas ini.

"Fokus utama saya selepas ini ialah mempertingkatkan tahap kecergasan pemain yang dilihat kurang dan ia dapat disaksikan selepas beraksi 70 minit ketika berdepan Penang," katanya. #sumber

Share:

Kontraktor Nafi Gunakan 'Peledak Bom' Untuk Tangkap Ikan Di Sungai Sepia, Ulu Tembeling !


JERANTUT - Seorang kontraktor menafikan menggunakan peledak bom untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling di sini sebagaimana tular di media sosial baharu-baharu ini.

Kontraktor terbabit, Mohd. Rosli Awang, 44, sebaliknya mengaku beliau menggunakan enam biji mercun bola jenama Ap Boom tetapi hanya dua sahaja meletup.

Tambah beliau, tiada ikan yang timbul dan mati akibat letupan mercun itu tetapi mungkin memberi gangguan bunyi kepada individu berdekatan.

“Perbuatan saya tidak ada kena mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.

“Saya antara ahli rombongan tersebut bagi meninjau persiapan terakhir pelaksanaan projek jalan dan juga pembangunan sektor pelancongan di kawasan Ulu Tembeling. Untuk melepaskan lelah kami berehat dan memasang khemah di tepi Sungai Sepia, berhampiran dengan kumpulan lain yang tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rosli berkata, wakil rakyat itu menyantuni kumpulan khemah berkenaan manakala dia tanpa arahan sesiapa melemparkan enam biji mercun bola ke Sungai Sepia.

“Saya terkejut kejadian itu tular di media sosial pada 18 Julai termasuk keluar di media arus perdana. Bagi menjaga nama baik wakil rakyat itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan kerana kebetulan ada kerja di sana bagi menafikan menggunakan bom peledak bagi mendapatkan ikan.

“Dalam hal ini wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit kerana tindakan saya tiada arahan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, jika mahukan ikan eksotik seperti kelah, beliau boleh sahaja membelinya dengan orang kampung yang menternak ikan itu bagi tujuan komersial.

“Saya juga telah menyerahkan baki mercun itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut pada 17 Julai lalu,” katanya. #sumber

Share:

Ibu Bersyukur, Berkat Doa Selama Sembilan Bulan Akhirnya Dapat Bertemu Anak 'Hilang'

 

JOHOR BAHRU - "Saya bersyukur sangat, akhirnya Allah SWT makbulkan doa saya selama sembilan bulan untuk bertemu anak saya dalam keadaan apa cara pun dirinya," kata Azmawati Ab Kadir, 55.

Azmawati adalah ibu kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang sejak 29 Oktober tahun lalu, ketika dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Taman Air Biru ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Poster kehilangan mangsa yang dikongsi keluarga pada Oktober tahun lalu.
Poster kehilangan mangsa yang dikongsi keluarga pada Oktober tahun lalu.
Katanya, kini sudah bertolak ke Hospital Pekan, Pahang setelah menerima panggilan pihak polis berhubung penemuan kenderaan milik anaknya, Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 pada tengah hari tadi.

"Pada mulanya, ada orang awam menghubungi saya sebab ingat berita viral di facebook berhubung kehilangan anak sulong saya. Dia maklumkan nampak kereta arwah dalam sungai di sana. Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan dari pihak polis memaklumkan perkara sama, lebih kurang jam 1 tengah hari.

"Saya yakin memang itu adalah anak saya, kerana jenis kereta dan nombor pendaftaran kenderaan sama dengan kereta anak saya.

"Kebetulan seorang anggota bomba itu kawan anak, memaklumkan maklumat peribadi termasuk beg kerja, baju kerja dan kad kerja atas nama anak saya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azmawati berkata, penantiannya bersama keluarga selama sembilan bulan sudah berakhir.

Katanya, beliau reda, lega dan bersyukur jasad anak saya yang hilang sejak Oktober tahun lalu dapat ditemui.

"Saya berdoa setiap malam, supaya Allah SWT temukan kami dalam apa jua bentuk keadaan anak. Sebagai orang Islam saya tahu, anak saya milik Allah SWT.

"Walau apa bentuk sekalipun tidak mengapa, Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya," katanya yang memaklumkan anaknya sudah lebih sebulan bekerja di Terengganu, ditemui selepas kenderaannya kelihatan apabila Sungai Api-api di Nenasi, Pekan, Pahang sedikit surut.

Bercerita lanjut, Azmawati berkata, tepi sungai terbabit sememangnya menjadi laluan anaknya setiap kali untuk pulang ke tempat kerja di Terengganu.

Katanya, sejak malam 29 Oktober tahun lalu, anaknya hilang dan tidak dapat dihubungi, dia sekeluarga mencari dan melalui jalan terbabit.

"Dalam tempoh sebulan selepas kehilangan anak saya, saya sekeluarga ada mencarinya di laluan ini beberapa kali tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

"Banyak kali lalu jalan ini, kerana ini adalah jalan anak untuk pulang ke tempat kerja," katanya yang mempunyai dua anak.

Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.

Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya. #sumber

Share:

Mayat Lelaki "Hilang" Sejak Yang Setahun Lalu Ditemui Mati Lemas Terjunam Bersama Kereta

KUANTAN - Polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada jam 11.40 pagi tadi.

"Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar. 

"Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, rangka mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat, manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Pada 30 Oktober tahun lalu, seorang wanita, Asmawati Kadir, 55, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya, Muhammad Iman Aqmar, 24, yang didakwa gagal dihubungi selepas keluar rumah di Johor kira-kira jam 1 pagi, 29 Oktober 2021 untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Ketika itu, Muhammad Iman Aqmar dikatakan memandu kereta Nissan Grand Livina seorang diri dan ahli keluarganya memuat naik gambar mangsa serta kereta itu di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mencarinya. #sumber

Share:

Jabatan Perhutanan Pahang Tutup Taman Eko Rimba Beserah Akibat Ada Kes 'Kencing Tikus'

 

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak menutup sementara Taman Eko Rimba (TER) Beserah, di sini, berikutan terdapat kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata pihaknya terpaksa bertindak menutup sementara TER Beserah, bermula semalam sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Menurutnya, TER Beserah terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong daerah ini, mereka berkelah sambil mandi kolam yang terdapat di situ. Pada hujung minggu dan cuti umum tempat berkenaan menjadi tumpuan pengunjung.

Katanya, TER Beserah tidak mempunyai operator untuk melakukan aktiviti menyelenggara, faktor berkenaan menyebabkan tempat berkenaan tidak terurus berbanding beberapa TER yang terdapat di daerah ini.

"Saya menasihatkan kepada penduduk setempat termasuk pelancong supaya tidak cuba masuk ke kawasan perkelahan itu sebelum ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

"Mereka yang ingin berkelah sambil mandi boleh berkunjung kebeberapa TER di daerah ini seperti TER Sungai Pandan dan TER Berkelah yang menjadi tumpuan pelancong," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan dua remaja kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dipercayai dijangkiti kencing tikus selepas mandi di TER Beserah.

Regina berkata, kes kencing tikus pernah berlaku di TER Lubuk Yu, Maran pada 2010 yang menyebabkan tempat berkenaan terpaksa ditutup beberapa bulan demi keselamatan pengunjung.

"Saya menasihatkan kepada pengunjung TER di negeri ini supaya sentiasa menjaga kebersihan, lebihan makanan dibuang dalam tong sampah disediakan atau dibawa pulang.

"Perbuatan mengabaikan kebersihan di pusat rekreasi menjadi punca utama kes kencing tikus mudah berlaku," katanya. #sumber

Share:

Polis Serahkan Perhilitan Siasat Isu 'YB' Guna Peledak Untuk Tangkap Ikan Di Sungai Sepia !

 

JERANTUT - Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan seorang Yang Berhormat (YB) menangkap ikan yang dipercayai menggunakan bahan peledak di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, dekat sini yang tular di media sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membuat siasatan awal.

"Pihak kami sedia maklum mengenai video tular itu dan menyerah kepada Perhilitan untuk siasatan," katanya hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung seorang Yang Berhormat menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kebanyakan netizen menganggap perbuatan itu tidak beretika dan bertanggungjawab.

Sementara, seorang penduduk yang enggan dikenali, turut mendakwa kejadian itu berlaku pada 16 Julai ketika dia sedang membawa sekumpulan pelancong untuk memancing di Sungai Sepia.

Menurutnya, dia mendengar letupan agak kuat sebanyak dua kali secara berselang.

"Saya mendapati bunyi letupan anggaran jarak 20 meter dan ternampak sekumpulan pemancing cuba mencucuh bahan letupan dipercayai untuk tujuan menangkap ikan.

"Saya terkejut dengan kejadian itu kerana perbuatan itu adalah tidak wajar. Saya sangat marah dan menjerit ke arah kumpulan terbabit yang dipercayai turut disertai oleh seorang Yang Berhormat," katanya yang berharap individu berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya jika benar melakukan perbuatan itu. #sumber

Share:

Umum Lantik Dollah, Facebook Sri Pahang FC Di Serang Netizen Kecewa Di Saji 'Skrip Sama'

KUANTAN - Laman facebook rasmi kelab bolasepak Sri Pahang FC teruk 'diserang' netizen apabila diumumkan  Pengurus Pasukan Dollah Salleh telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih interim  itu sehingga ke akhir musim ini. 

"Padan gitu la.. musim dpn umum jurulatih baru, beli player import baru.. tgh musim, tukar player import lain plok. buang jurulatih baru, ambil dollah gnti dan seterusnya smapai abg jameil mampos... hahhaaha." komen Eijan Putraz.

"Hahahhaha setiap musim dollah akan menjadi ketua jurulatih interim jer  smpai akhir musim dilantik menjadi ketua jurulatih kekal hahhaa skrip same jer Pahang ni nasib ada abg dollah Selalu Ada disaat Pasukan Mengalami Masalah," komen Mohammad Firman Anas.

"Fandi Ahmad jadi coach untuk season depan sudah. Teknikal la apa la... Org buat kerja sebelum liga start ini tengah2 jalan baru lantik ini buang itu ambil ini.. Dari FA sampai jadi FC tak pernah berubah. Pengurusan tetap punca masalah utama Pahang," komen Long Nakno.

Terdahulu kenyataan terbabit turut memaklumkan Dollah mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya.

Sementara itu, turut diumumkan bekas pemain kebangsaan Singapura,  Fandi Ahmad dilantik sebagai Penasihat Teknikal.  

"Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang,  beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia 1992," kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut telah mendapat ribuan komen panas dari kalangan netizen. Rata-rata tidak berpuas hati dengan perkembangan terbaharu ini. Sri Pahang dan Dollah Salleh seolah-olah tidak dapat dipisahkan, biar pun beliau gagal pada hakikatnya.

Pada musim lalu, Sri Pahang FC hampir terjunam ke Liga Perdana gara-gara menduduki tangga kedua tercorot Liga Super. Perkembangan ini cukup memalukan, kerana Dollah ketika itu diberi tanggungjawab selepas Ketua Jurulatih Thomas Dooley dipersalahkan atas dua kekalahan Sri Pahang diawal liga.

Namun, selepas Dollah ambil alih berkali-kali pula kalah tapi nasibnya baik bila dilantik sebagai Pengurus pasukan pada musim ini.

Sri Pahang kembali ke tangga bawah Liga Super hingga penyokong marah dan mahu pengurusan Sri Pahang FC ditukar. Ura-ura Fandi Ahmad jadi Ketua Jurulatih akhirnya tidak menjadi kenyataan dan Dollah selaku Pengurus tiba-tiba diangkat semula sebagai Jurulatih, walau pun sekadar interim.

Persoalannya kenapa tidak lantik terus Fandi sebagai Ketua Jurulatih? Kenapa masih kekalkan Dollah Salleh yang sama-sama membawa kegagalan Sri Pahang sejak musim lalu? Apa hebatnya Dollah?

Jika begini skripnya, maka ramai penyokong sudah pasti tidak  berminat lagi untuk ke stadium menyaksikan Sri Pahang  bermain. Sebabnya, orang yang sama bawa kegagalan pada musim lepas diangkat semula musim ini. Peminat harapkan perubahan akhirnya terpaksa terima kenyataan jni dengan hati yang cukup pedih. #PDO

Share:

CEO Sri Pahang Dakwa Kehadiran Fandi Ahmad Akan Jadi 'Kepuasan Terbesar' Skuad Tok Gajah

 

KUALA LUMPUR - Kedatangan penyerang legenda Singapura, Fandi Ahmad ke pasukan Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai kepuasan terbesar buat skuad Tok Gajah, jika menjadi kenyataan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Beliau berkata, Fandi yang disebut-sebut sebagai calon ketua jurulatih baharu Sri Pahang, adalah nama yang cukup tersohor dan tidak asing dalam kalangan penyokong kerana pernah menyarung jersi Pahang pada era 90-an termasuk membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia 1992.

Mohammed Suffian turut tidak menolak kemungkinan gandingan Fandi bersama bekas rakan sepasukannya di Pahang dan legenda bola sepak negara, Dollah Salleh yang kini pengurus pasukan Sri Pahang, dapat mencetuskan sesuatu yang positif.

"Pastinya senario dan budaya Pahang, Fandi sudah masak dan faham. Apatah lagi kalau bersama dengan Dollah Salleh, yang dikatakan kedua-dua mereka sahabat lama," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Beliau mengakui, Sri Pahang dan Fandi ada berhubung, namun tiada sebarang persetujuan dicapai sehingga hari ini dengan pemilik kelab akan memutuskan tarikh sesi perbincangan rasmi.

"Buat masa ini Fandi hanya ura-ura dan sekiranya ada keputusan konkrit kita akan maklumkan. Buat masa ini kita kekal dengan (kejurulatihan) yang ada sehingga keputusan yang disebutkan ura-ura itu akan menjadi realiti," katanya.

Khabar angin Fandi bakal menggantikan Christophe Gamel selaku ketua jurulatih Sri Pahang bertiup kencang selepas kontrak Gamel bersama juara Piala FA 2018 itu dilaporkan ditamatkan secara persetujuan bersama minggu lalu.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu yang meledak keseluruhan 55 gol bersama Singapura turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia Elit Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) hujung bulan lepas, sekali gus menghangatkan spekulasi beliau bakal menyertai Sri Pahang.

Fandi pernah membimbing beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta'zim, skuad kebangsaan Singapura, pasukan pembangunan Singapura Young Lions dan skuad Bawah 23 Tahun Singapura ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas.
Dalam pada itu, Mohammed Suffian berkata, terdapat beberapa jurulatih lain yang menyatakan minat untuk membimbing Sri Pahang.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini perlawanan suku akhir Piala FA berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu ini menjadi keutamaan pasukan yang akan dibimbing Dollah sebagai pengendali sementara.

Sri Pahang mengharungi musim Liga Super yang sukar susulan prestasi terumbang-ambing menyebabkan pasukan itu berada di kedudukan kedua tercorot dengan hanya lapan mata daripada 11 perlawanan setakat ini. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.