KUANTAN: Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Noor Hisam yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Pahang menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan SSAP kepada enam lagi penerima, iaitu Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Institut Jantung Negara (IJN), Prof Datuk Dr Suhaini Kadiman.
Selain itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Shamsul Ahmad; Pengarah Eksekutif Kumpulan Engtex Group Bhd, Datuk Ng Chooi Guan serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Far East (Melaka) Sdn Bhd, Datuk Ling Kah Chok.
Penerima lain SSAP, Pengarah Low Capital Sdn Bhd, Prof Dr Kevin Low Lock Teng dan Pengerusi Palz Group of Companies, S S Sathiaseelan.
Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada 11 penerima, antaranya bekas pemain dan jurulatih badminton kebangsaan, Sairul Amar Ayob.
Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Datuk Anita Mohamed Shafie; Peguam Cara Perbendaharaan Bahagian Undang-Undang Kementerian Kewangan, Kamal Azira Hassan; Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar dan Timbalan Akauntan Negara (Operasi) Jabatan Akauntan, Ayub Zaidin.
Penyelia Padang Kelab Polo Diraja Pahang, Tengku Suleiman Tengku Abdul Rahman pula antara 32 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, selain Tengku Akashah Tengku Hussain dan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang (Daerah Rompin), Datin Samsiah Arshad.
Turut menerima DIMP, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab dan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain.
Penerima lain DIMP, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri II, Mohammad Faizal Abdul Rahim; Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sumber Manusia, Firdaus Farid Abd Rashid; Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Mohd Nor dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.
Selain itu, bekas pemain bola sepak negara, See Kim Seng; pengulas sukan, Abu Bakar Atan dan penyanyi, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring.
Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada lima penerima, termasuk Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, manakala Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dikurniakan kepada seorang penerima dan dua individu lagi dikurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP). #BeritaHarian






