script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Goldstar Express Nafi Bas Terllibat Nahas Di Pagoh Itu, Milik Mereka !


MELAKA: Goldstar Express (M) Sdn Bhd menafikan pihaknya bersalah dalam nahas bas ekspres Alisan yang mengorbankan 14 nyawa, dekat Pagoh, 24 Disember lalu.

Bagaimanapun, syarikat terbabit sedia membantu keluarga mangsa dan memberi kerjasama kepada semua pihak.

Wakil Goldstar, Ketua Penyelia Wilayah Selatan, Steven Chong, berkata bas yang terbabit kemalangan itu bukan lagi milik Goldstar Express sebaliknya milik rakan kongsi yang sudah meninggalkan syarikat itu.

"Kami bukan tidak mahu bertanggungjawab. Malah, kami sedia bekerjasama dengan semua pihak.

“Namun, sehingga ini, pihak sepatutnya bertanggungjawab ke atas bas itu belum juga mahu tampil.

"Goldstar sebelum ini dikuasai empat ahli perniagaan. Seorang daripadanya sudah meninggalkan syarikat dan mengambil sebuah bas sebagai pampasan pada 2015.

“Malah, kami mengarahkan mereka tidak menggunakan nama Alisan dan Goldstar Express serta tidak pernah memberi kebenaran kepada mereka menggunakan label terbabit," katanya dalam sidang media di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam sidang media itu juga, Steven berkata, pihaknya sudah menghantar laporan siasatan dilakukan syarikat kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), 28 Disember lalu.

Menurutnya, dalam laporan siasatan tujuh muka surat yang diserah kepada SPAD berhubung rayuan penarikan notis penggantungan lesen pengendali Goldstar Express itu, pihaknya menyatakan bas yang terbabit diserah kepada Billionstar Express Sdn Bhd yang mempunyai lesen pengendali sah daripada SPAD.

"Urusan pinjaman bas terbabit sebenarnya belum tamat kerana kita masih membayar ansuran kepada bank.

“Oleh itu, urusan tukar hak milik daripada Goldstar Express kepada Billionstar Express tak dapat dilakukan," kata Steven.

Justeru, beliau berkata, beliau berharap syarikat terbabit tampil kerana mereka mempunyai bukti Goldstar Express tidak bertanggungjawab dengan kejadian itu.

"Malah syarikat kami tidak terbabit secara langsung dalam urusan jual beli tiket. Tiket bas itu bukan dikeluarkan pihak kami," katanya.

Empat belas terbunuh manakala 16 yang lain cedera dalam nahas bas ekspres di KM137.3 lebuh PLUS, arah utara, dekat Kampung Jayor, Pagoh, pada kira-kira 3 pagi. #sumber
Share:

Tun Mahathir Sedia Ke Mahkamah Untuk Buktikan Salah Laku Najib !


BANTING: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia didakwa di mahkamah untuk membuktikan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Raza berhubung dana kewangan milik Kerajaan.
Namun katanya beliau percaya, pendakwaan terhadapnya tidak akan dibuat walaupun dirinya sebelum ini dipanggil polis untuk memberikan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
“Saya sudah tiga kali disoal dan dipanggil polis. Saya minta kalau mahu tanya, tanyalah di mahkamah dan dakwa saya di mahkamah.
“Saya ada cukup bukti mengatakan bahawa Najib itu pencuri duit,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib di sini, malam tadi.
Mahathir sebelum ini dipanggil untuk diambil kenyataannya berhubung tulisan yang didakwa menghasut di blognya, “chedet.cc” kerana mengkritik pentadbiran Najib Razak.
Beliau juga pernah diambil keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menyamakan Perdana Menteri dengan pemimpin diktator Uganda Idi Amin, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Jun lalu.
Bagaimanapun Tun Mahathir mendakwa, segala kritikan dan dakwaannya terhadap Perdana Menteri tidak akan berlanjutan ke mahkamah.
“Biasanya kalau kita dakwa seseorang itu mencuri di hadapan orang ramai, tentunya dia ambil saman malu kepada orang buat dakwaan itu kalau dia tak mencuri.
“Tapi beratus orang kata Najib curi duit, dia tak saman sesiapa pun sebab dia memang mencurilah dia tak berani saman,” kaya Tun Mahathir. #sumber
Share:

NGO Kesal Acara Sukan Bermotor Di Bawa Lagi Ke Kuantan, Selepas Tragedi Go-Kart


KUANTAN:  NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) hari ini menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan pihak kerajaan terus membenarkan acara sukan bermotor diadakan di sini. Tragedi dua beranak terbunuh selepas dirempuh ketika menyaksikan



perlumbaan Go-Kart EIMARace 2016 di Bandar Indera Mahkota pada 26 September lalu seolah-olah langsung tidak memberi ikhtibar dan pengajaran. 



Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Penyelaras NGO Mohd Shukri Mohd Ramli,45, berkata tindakan membenarkan penganjuran acara "Formula Ace Drift"  di Perkarangan Stadium Darul Makmur bermula semalam hingga esok, 1 Januari 2017 jelas sekali sesuatu yang tidak masuk dek akal, kerana tragedi EIMARace masih segar dalam ingatan warga Kuantan.



"Saya hadir dan melihat sendiri sesi latihan yang diadakan petang semalam. Satu kemalangan berlaku, mujurlah tiada insiden yang tidak diingin melibatkan orang awam terjadi. Acara Drift ini lebih berbahaya dari acara go-kart sebenarnya. Namun, ia tetap berbahaya kepada para petugas yang menjaga di sekeliling litar".



"Biarpun ada penghadang simen yang diletakkan di sekeliling litar, namun keselamatan masuh dipertikaikan kerana lokasi yang tidak sesuai. Tambahan pula jika ramai yang menyaksikan acara ini. Inilah yang berlaku di EIMARace dulu... pihak berkuasa membenarkan acara itu selepas melihat kononnya faktor keselamatan sudah dilakukan. Namun, akhirnya dua nyawa melayang", dakwa Shukri. 



"Kenapa acara ini boleh di benarkan?. Siapa yang luluskan? Dan apakah acara ini dapat persetujuan serta di sokong oleh pihak kerajaan, berdasarkan kepada logo-logo tertera pada kain rentang. Inilah yang menjadi kemusykilan semua pihak sekarang".

"Jika benar di sokong kerajaan, Maka ia sesuatu yang amatlah mengecewakan. sepatutnya acara sukan permotoran ini di bekukan dulu penganjurannya. Namun, amat menghairankan. Seakan tiada apa-apa pengajaran akibat tragedi EIMARace dulu dan langsung tak hormati keluarga mangsa yang terkorban tiba-tiba acara ini pula di adakan menjelang tahun baru. Malah lebih sedih lagi tertera pula logo "Visit Pahang 2017", tambah beliau lagi.

Shukri turut menegaskan, tiada apa yang dapat diperkatakn lagi sebab kuasa pelaksana terletak di tangan pihak yang meluluskan. Cuma harapan beliau agar acara tersebut (Formula Ace Drift) dapat berjalan dengan baik tanpa ada kejadian yang tidak di ingini berlaku. Malah katanya, Isu soal keselamatan serta kelulusan diharap tidak timbul lagi selepas ini nanti.


Apa pun beliau ucapkan ambil kesempatan untuk ucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh yang sanggup turun padang untuk memantau sendiri situasi di lokasi bagi memastikan ciri-ciri keselamatan diutamakan.  #pdonews
Share:

Kes Adnan Yaakob Tentukan Jika Najib Boleh Terus Saman Fitnah !

PETALING JAYA: Lima saman fitnah difailkan Datuk Seri Najib Razak terhadap lawannya akan ditentukan tahun depan sama ada Perdana Menteri, sebagai pegawai awam, mempunyai kapasiti undang-undang mendapatkan remedi.
Bagaimanapun, ini hanya boleh ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang samannya terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dibatalkan kerana tindakan itu difailkan atas sifat rasminya.
Ini berlaku selepas mahkamah menerima pakai keputusan prinsip undang-undang dalam kes Derbyshire County lawan Times Newspapers Ltd pada 1993.
Dalam kes itu, mahkamah memutuskan pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan kritikan awam.
Mahkamah tertinggi menetapkan 13 Feb ini untuk mendengar rayuan Adnan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi “mangsa” pertama apabila Mahkamah Rayuan pada 20 Dis menolak saman terhadap 2 kumpulan media dikaitkan dengan Umno dan 3 yang lain pada bantahan awal.
Mahkamah Tinggi tahun lalu menganugerahkan Lim RM550,000 sebagai ganti rugi kerana melabel beliau sebagai “perisik Singapura”.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusannya hingga 23 Mac sama ada untuk membatalkan saman Najib terhadap bekas menteri Tun Ling Liong Sik, yang mendakwa perdana menteri “mengambil wang rakyat” berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin mahu menunggu keputusan akhir keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan Adnan kerana keputusan mahkamah tertinggi itu akan mengikat Mahkamah Tinggi.
Kes lain yang belum selesai di Mahkamah Tinggi adalah saman Najib terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan pemilik Mediarakyat.net Chan Chee Kong atas komen yang dibuat ahli Parlimen itu pada majlis makan malam mengumpul dana DAP, yang kemudiannya dimuat naik ke laman web berkenaan.
Perdana menteri mendakwa ucapan Pua bermakna beliau merompak wang rakyat dengan mengambil kira transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau tidak boleh dipercayai dan didakwa tidak layak memegang jawatan awam.
Pua kini mahu membatalkan saman Najib kerana perdana menteri tidak boleh menyaman beliau atas sifatnya sebagai pegawai awam.
Najib dan isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor, memfailkan saman terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Chan (pemilik Mediarakyat.net) kerana didakwa memfitnah mereka berhubung penghapusan subsidi minyak.
Pasangan itu mendakwa kenyataan ahli Parlimen Pandan secara tersirat menyatakan Najib menyalahi undang-undang mencuri wang rakyat berkaitan penghapusan subsidi minyak.
Najib juga menyaman Pengarah Urusan Harakah Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya berhubung artikel disiarkan dalam lidah rasmi PAS, Harakahdaily, berhubung 1MDB dan Riza Aziz, anak tirinya.
Pada 2014, Najib mencipta sejarah dengan menjadi perdana menteri pertama di negara ini menyaman sebuah organisasi media, Malaysiakini, kerana memfitnah.
Bagaimanapun, ia kerana membenarkan komen berunsur fitnah oleh pembaca, yang disiarkan di laman webnya.
Dalam semua kes, Najib dan defendan, sejak 2 tahun lalu, memfailkan pelbagai permohonan interlokutori dan ini menyebabkan saman fitnah belum didengar.
Peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun berkata anak guamnya mahu mempertahankan reputasinya selepas didakwa memfitnah.
“Najib adalah ‘pendakwa yang serius’ dan bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah,” kata beliau kepada pemberita. #sumber
Share:

Kecewa Dengan "Haluan Parti", Ezam Umum Keluar Dari PPBM

PETALING JAYA: Bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kurang tiga bulan menyertai parti itu selepas keluar daripada UMNO.
Sumber memberitahu, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam suratnya.
Ia merupakan kali ke-2 PPBM berdepan tindakan ahli keluar parti, selepas Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
Ezam merupakan antara orang kuat Anwar yang memainkan peranan penting mengasaskan Parti Keadilan Nasional, yang kemudian dinamakan semula kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas bersatu dengan Parti Rakyat Malaysia.
Ezam bagaimanapun menyertai semula Umno pada 2008, dipercayai ekoran perselisihan faham dengan Anwar dan beberapa pimpinan tinggi PKR.
Sumber memberitahu, Ezam yang dilihat rapat dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.
Sumber turut memberitahu, lebih ramai aktivis PPBM yang menyertai parti serpihan Umno itu akan mengikut jejak Ezam dan Khairuddin.
“Sebab itu kini PPBM gagal menarik masuk ramai ahli baru kerana parti ini kelihatan seolah-olah milik eksklusif individu tanpa bersikap inklusif,” kata sumber itu, sambil mempersoalkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih “bercuti di Eropah” ketika ahli pembangkang “berjuang di peringkat akar umbi di seluruh negara”.
“Gerak kerja PPBM cukup lemah setakat ini dan tidak memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menjadi ahlinya,” tambahnya. #sumber
Share:

Kit Siang: Benarkah Gani Patail Di Pecat Kerana Masalah Kesihatan?


KUALA LUMPUR: Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara atas sebab kesihatan, mengapa beliau didapati berada dalam keadaan sihat dan baik ketika menghadiri majlis pentauliahan oleh Majlis Peguam baru-baru ini?
Persoalan itu dilontarkan oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang berkata, Gani kini menyertai firma guaman, Gani Patail Chambers yang menandakan bahawa beliau mampu menjalankan tugas sebagai peguam.
Malah, beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.
“Bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong turut mengatakan dalam ucapannya bahawa Gani berada dalam keadaan yang baik dan sesuai untuk menjadi peguam,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu kemudiannya menganggap, alasan kesihatan yang diberikan oleh Putrajaya atas pemecatan Gani bukanlah sebab sebenar.
“Tidak berkata benar mengenai pemecatan beliau sebagai Peguam Negara adalah tidak bermoral dan langsung tidak boleh diterima.
“Beranikah Perdana Menteri memberitahu rakyat Malaysia sebab sebenar Gani dipecat dalam ucapan Tahun Barunya nanti?” soalnya.
Gani pada 23 Disember lalu bersama lima yang lain diterima menjadi peguam oleh Majlis Peguam pada majlis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’ Hara.
Beliau dilihat berada dalam keadaan baik dan sihat, justeru menimbulkan tanda tanya sama ada pemecatannya sebelum ini bukan berpunca dari masalah kesihatannya seperti yang didakwa kerajaan Persekutuan.
Nasib yang menimpa Gani pada tahun lalu itu memeranjatkan ramai pihak, termasuk Majlis Peguam sendiri memandangkan beliau adalah anggota penting dalam Pasukan Petugas Khas yang menyiasat skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.
Presidennya, Steven Thiru sebelum ini mendakwa wujud campur tangan pihak berkepentingan, sama ada eksekutif atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri dalam urusan Pasukan Petugas Khas itu yang mungkin mendorong kepada pemecatan Gani. #sumber
Share:

Polis "Beri Amaran" Supaya Jamal Berhenti Ambil Tindakan Sendiri !

PETALING JAYA: Polis Selangor memberi amaran kepada pemimpin pergerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana mengambil tindakan sendiri terhadap aktiviti haram di Sekinchan, Sabak Bernam.
Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Samah Mat berkata tindakan akan diambil terhadap beliau jika masih meneruskan rancangan meruntuhkan pusat perjudian haram, rumah urut dan pusat karaoke di kawasan itu.
“Jika ada premis haram di kawasannya, maka beliau perlu mematuhi undang-undang dan melaporkan perkara itu dan tidak merobohkan premis,” katanya.
Samah berkata demikian bagi mengulas ancaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu untuk merobohkan premis haram jika polis tidak bertindak.
Jamal meminta Majlis Daerah Sabak Bernam mengambil tindakan terhadap pembinaan menyalahi undang-undang di Sekinchan selepas sebahagian presmis Sekin Nelayan Village Hotel & Resort miliknya diroboh dan ditutup kerana beroperasi tanpa lesen.
Beliau berpendapat jika majlis boleh bertindak terhadap premis itu, ia tidak sepatutnya menutup mata kepada “aktiviti haram” lain yang berlaku di kawasan di bawah bidang kuasanya.
Beliau berkata semua orang sama di bawah undang-undang dan perlu dilayan secara adil.
Samah berkata polis akan bertindak jika mereka menerima laporan daripada pemilik premis dirobohkan Jamal.
“Nasihat saya, beliau tidak mengambil sebarang tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan (aktiviti haram) kepada majlis daerah atau polis. Kita akan mengambil tindakan.
“Jika beliau sudah membuat laporan dan majlis gagal bertindak, maka beliau perlu mencari cara lain (mendedahkan aktiviti haram), seperti mengeluarkan kenyataan media.”
Samah berkata kegagalan majlis bertindak tidak memberi Jamal justifikasi untuk bertindak sendiri dan merobohkan premis.
“Beliau tidak mempunyai hak di bawah undang-undang merobohkan premis itu.”
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah juga memberi amaran agar Jamal tidak mengambil undang-undang sendiri.
“Jika Jamal mempunyai maklumat mengenai pengusaha haram, beliau perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.”
Laporan sebelum ini menyebut Jamal dan penyokongnya menyerbu kedai permainan yang didakwa beroperasi secara haram di daerah ini.
Beliau kemudian membuat laporan polis yang menyaksikan polis menyerbu cawangan beberapa jam kemudian.
Jamal mendakwa 9 cawangan serupa yang dibuka di daerah itu.
Beliau juga berkata menyewa mesin diperlukan untuk merobohkan premis haram. #sumber
Share:

Mahkamah Pulangkan Sementara Pasport Jutawan Kosmetik Dr Vida

IPOH: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Dr Vida untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi urusan ke luar negara, termasuk menunaikan umrah.
Hakim Murtazadi Amran bagaimanapun mengarahkan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu menyerahkan kembali pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 6 Februari nanti.
Dalam prosiding sebutan semula kes jutawan kosmetik itu yang menghadapi pertuduhan gagal membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini, peguam Khairilazwar Khalil ketika mengemukakan permohonan itu memaklumkan anak guamnya akan ke Bangkok pada 3 Januari; Guangzhou di China pada 16 hingga 22 Januari serta menunaikan umrah pada 26 Januari hingga 3 Februari.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Mac depan untuk tarikh perbicaraan bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST berjumlah kira-kira RM4.2 juta, selepas Vida mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Jutawan kosmetik itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak sejak April 2015 hingga Julai 2016.
Semasa dihadapkan ke mahkamah pada 13 Oktober lalu, Vida mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain Khairilazwar, Vida turut diwakili peguam Ahmad Syed Abas, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan. #sumber
Share:

AMANAH: PAS, Sila Urus Sejahtera Biar Pihak Kami Uruskan Harapan

PETALING JAYA: AMANAH mengingatkan PAS supaya fokus kepada sekutunya dalam gabungan dua parti bernama Gagasan Sejahtera, bukannya mencampuri urusan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim (foto) berkata soal pembahagian kerusi terutama milik PKR adalah urusan dalaman PH.
“Tetapi itu semua akan diputuskan bersama di mesyuarat kami dalam PH-PPBM,” katanya sambil merujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang turut menjalinkan kesefahaman dengan PH.
Sebelum ini, pengumuman Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang parti itu mahu bertanding 40 kerusi Parlimen termasuk yang kini dipegang PAS dan PKR pada pilihan raya umum akan datang, dikritik Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Iskandar berkata Amanah bersikap tidak amanah apabila mengganggu kerusi milik rakan sekutunya dalam PH.
Izham bagaimanapun berkata kenyataan Amanah itu merujuk kepada perubahan lanskap politik semasa yang memerlukan PPBM dan PH menyusun semula calon mereka.
“Iskandar tidak perlu risau perkara ini dan dia boleh beri tumpuan kepada pembahagian kerusi sesama rakan-rakan PAS dalam Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kerjasama PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dipimpin bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Izham turut mempersoalkan tuduhan PAS yang Amanah cuba mencuri kerusi rakan sekutu.
Sebaliknya, beliau berkata mencuri kerusi sesuatu yang dilakukan oleh PAS pada pilihan raya umum 2013.
“Isu curi kerusi ini bukan kerja Amanah tetapi PAS, apabila bertanding di 7 kerusi PKR dalam PRU yang lepas walaupun selepas perjanjian bersama,” tambah Izham.
PAS memenangi 15 kerusi negeri, DAP 15 dan PKR 13 di Selangor, bagaimanapun selepas terkuburnya Pakatan Rakyat, 2 Adun PAS menyertai Amanah, parti yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang tidak sealiran dengan haluan baharu parti itu.
PAS sebelum ini bertegas tidak menyertai PH kerana tidak mahu kerjasama dengan Amanah dan DAP. #sumber
Share:

Azmin: Salahkah Minta Polis Siasat "Syarikat Senjata Api" Anak KPN !

SHAH ALAM: Polis hari ini menyoal Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung ucapan beliau yang menggesa pihak berkuasa menyiasat syarikat senjata api milik anak perempuan Ketua Polis Negara.
Azmin disoal di Ibu Pejabat Polis Shah Alam petang ini, kononnya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Seksyen 500 Kanun Keseksaan meliputi fitnah jenayah, sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 meliputi “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.
Beliau ditemani peguamnya dan Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N Surendran.
Ini berikutan ucapan dibuat Azmin yang menggesa siasatan terhadap anak perempuan Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung lesen syarikat menjual senjata api.
“Ia benar-benar tidak perlu untuk menghentikan Menteri Besar Selangor daripada tugasnya untuk tujuan siasatan tidak perlu seperti ini. Penjawat awam tidak boleh dikritik, dan undang-undang tidak boleh digunakan dengan cara ini,” kata Surendran.
Azmin juga mengkritik polis kerana memanggil beliau untuk disoal siasat, mengatakan beliau hanya meminta ia menyiasat bagaimana anak perempuan Khalid boleh mendapatkan lesen tersebut.
“Kami kecewa begitu banyak masa dibazirkan untuk memberi tekanan kepada saya berbuat demikian.
“Apa sudah jadi kepada sistem kita hari ini, perdana menteri dan ketua polis negara tidak boleh disiasat?
“Apabila saya menunjukkan kepada polis tadi yang Khalid sendiri mengakui anaknya itu mendapat lesen berniaga senjata api sebelum Khalid menjadi ketua polis negara, beliau sendiri mengaku,” kata Azmin.
Azmin merujuk laporan sebelum ini di mana Khalid menolak tuduhan nepotisme dengan mengatakan syarikat senjata api yang dikendalikan anak perempuannya mendapat lesen senjata sebelum beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara. #sumber
Share:

Rakan Kongsi MRT Nafi Dakwaan Rafizi, Hanya RM750 Juta, Bukan RM7 Bilion

KUALA LUMPUR: MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) hari ini menjelaskan yang bayarannya sebagai rakan kongsi penyediaan projek (PDP) untuk projek Transit Aliran Ringan 1 (MRT 1) dianggarkan RM750 juta.
Syarikat itu berkata jumlah yang dinyatakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebanyak RM7 bilion itu tidak benar.
Dalam satu kenyataan hari ini, MMC Gamuda berkata, selain kos pembinaan RM21 bilion untuk MRT 1, terdapat kos berkaitan lain seperti bayaran untuk perundingan kejuruteraan, pengukur bahan, kerja integrasi sistem, siasatan tapak, kajian topografi, kontingensi serta PDP.
Menurut syarikat itu, bayaran PDP adalah 6% daripada bahagian bertingkat kerja pembinaan dengan syarat ia menyelesaikannya dalam masa ditetapkan dan mengikut bajet.
Menjelaskan jumlah RM40 bilion bagi keseluruhan 3 Laluan MRT, syarikat itu berkata, ia cadangan konsep yang dibangunkan pada 2010 berdasarkan harga pada 2009.
“Ia tidak termasuk kos untuk kereta api elektrik dan pengambilalihan tanah.
“Penjajaran akhir semasa untuk MRT 1 dan MRT 2 adalah lebih panjang dari segi jarak dan lebih banyak stesen, yang telah meningkatkan kos pembinaan Projek MRT tersebut,” kata syarikat itu.
MMC Gamuda berkata konsep cadangan yang dikemukakan adalah supaya ketiga-tiga laluan itu dibina serentak berbanding sekarang yang mana pelaksanaan satu-satu laluan secara berperingkat yang mungkin menelan kos pembinaan lebih tinggi.
Jelas syarikat tersebut, biarpun projek MRT pada asalnya dicadangkan dalam konsep cadangan sebagai projek “turnkey” namun kerajaan memutuskan untuk melantik PDP bagi melaksanakannya yang disusuli pelantikan MMC Gamuda.
Selaku PDP, ia bertanggungjawab mengurus pembinaan jajaran bertingkat projek dan kesemua kontrak berkaitan dianugerahkan berdasarkan tender secara terbuka dan kompetitif.
Bagi pakej pembinaan bawah tanah, tiada pembabitan PDP kerana pihak MRT Corporation menawarkan tender antarabangsa, namun pelantikan MMC Gamuda sebagai kontraktor berdasarkan harga tender paling rendah serta teknikal terbaik.
“MRT Corporation menguruskan kerja-kerja (pembinaan) bawah tanah itu,” katanya.
Menurut syarikat itu, kesemua proses yang dijalankan itu juga tertakluk kepada 2 pengauditan setiap tahun iaitu oleh Jabatan Audit Negara serta penilaian bebas firma perkhidmatan profesional global.
Bagi kos pembinaan setiap kilometer bagi rel bandar berkenaan pula berbeza mengikut projek dan bandar berdasarkan penyelidikan oleh akademik antarabangsa.
“Ia juga merupakan amalan yang diterima seluruh dunia untuk menggunakan kos pembinaan yang tidak termasuk reka bentuk dan penyeliaan kejuruteraan, pembelian tanah antara lainnya.
“Sebagai contoh, kos pembelian tanah di bandar-bandar seperti Hong Kong dan Singapura (yang lebih tinggi) boleh memesongkan perbandingan kos pembinaan,” kata syarikat itu.
MMC Gamuda berkata sebab perbezaan tinggi dalam kos pembinaan adalah perbezaan dalam ciri-ciri projek, kos buruh dan tahap penekanan ke atas keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.
Berdasarkan kepada analisis 2014, kos pembinaan bagi sistem MRT di 49 bandar raya di negara maju dan membangun menunjukkan 38 bandar raya mempunyai sistem MRT lebih mahal berbanding MRT 1.
Syarikat itu berkata dengan proses tender terbuka yang adil dan telus, kos pembinaan diputuskan secara kompetitif oleh pasaran.
Pada masa depan MMC Gamuda berkata ia akan terus menumpu untuk menyiapkan pembinaan MRT 1 (Fasa 2) dan MRT 2. #sumber
Share:

Pastikan Kek Ada Sijil Halal Sahaja, Sambut "Hari Jadi" Di McDonald’s !

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia mengesahkan hanya kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke rangkaian restoran mereka.
Dalam satu kenyataan, McDonald’s berkata dasar itu bagi mematuhi garis panduan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sebagai syarikat yang hanya menawarkan produk yang disijilkan halal, kami melaksanakan dasar melarang makanan luar dibawa masuk bagi menjamin setiap produk dalam premis adalah halal.
“Namun kami membuat pengecualian bagi majlis hari jadi dan membenarkan pelanggan membawa kek mereka sendiri, dengan syarat ia mendapat sijil halal,” kata McDonald’s.
McDonald’s menjelaskan dasar itu amat penting bagi menjaga kewibawaan pensijilan halal mereka dan menjamin akan terus mematuhi piawaian yang ditetapkan JAKIM.
Hari ini tersebar imej suatu notis di internet yang menyatakan hanya kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke premis rangkaian makanan segera popular itu.
“Adalah penting untuk semua pelanggan mematuhi peraturan ini tanpa sebarang pengecualian, kerana ia melibatkan status pensijilan Halal untuk restoran McDonald’s di Malaysia,” kata Jabatan Hal Ehwal Halal McDonald’s Malaysia, seperti dinyatakan notis itu.
JAKIM berkata garis panduan mereka bertujuan, antara lain, bagi mengelakkan percampuran bahan dan keraguan terhadap premis yang mendapat status halal.
“Apa sahaja produk yang berada dalam premis yang berstatus halal perlu juga mendapat pensijilan halal,” kata Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Dr Sirajuddin Suhaimee.
Tambahnya, tanggungjawab terletak kepada pihak syarikat yang mendapat sijil halal untuk memastikan garis panduan itu dipatuhi.
“Dalam soal sambutan hari jadi di McDonald’s misalnya, pelanggan tentunya perlu berhubung dengan pengurusan dulu. Maka tanggungjawab pengurusan untuk memastikannya,” katanya.
Sirajuddin menambah pelanggan bukan Islam juga tertakluk kepada garis panduan itu. #sumber
Share:

Felda Lengahkan Bantu Peneroka, Beli Saham Eagle High Boleh Pula !


KUALA LUMPUR: Banyak isu Felda dan peneroka kita dengar hari ini. Felda Global Ventures (FGV) rugi dan terus rugi. Ada pihak yang berasa bangga dengan mengatakan kerugian suku tahun ini kurang dari kerugian suku tahun dahulu. Memang begitulah rasionalisasi orang kecundang.
Mereka mengaitkan prestasi ini dengan kelembapan ekonomi di seluruh dunia. Tetapi, ada beberapa perniagaan perladangan lain yang berdepan dengan iklim ekonomi yang sama, tidak pula mengalami kerugian seperti FGV. Maka janganlah FGV mempersendakan kepintaran kita, orang Malaysia.
Saya tidak mahu memukul keliling semak – apa yang berlaku kepada Felda atau FGV ialah dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 90 peratus FGV dikuasai oleh kerajaan.
Orang lupa bahawa Felda itu 100 peratus milik kerajaan. Kerajaan, melalui semua pemegang saham FGV, menguasainya sebanyak 90 peratus. Jadi bolehkah apa-apa yang dilaksanakan oleh FGV dilakukan tanpa kebenaran Najib?
Kerugian FGV ialah kerana mutu pengurusannya; pelaburan yang merugikan serta penyelewengan yang berlaku ke atas rizab tunai. Ia mempunyai pelaburan yang merugikan, melakukan pembelian perniagaan dan hartanah yang menyebabkan rizab tunai semakin menurun.
Garis pemisah antara Felda dan FGV sangat nipis. Felda dan FGV hampir 90 peratus milik kerajaan Malaysia. 10 peratus sahaja dimiliki oleh warga asing. Tidak berguna kita bercakap mengenai Felda dan FGV seolah-olah ia dua entiti yang berlainan. Kesemua keputusan dibuat oleh kerajaan Malaysia dan apabila disebut kerajaan Malaysia, keputusan tentunya dibuat oleh Perdana Menteri.
Maka janganlah kita menipu diri sendiri. Apabila Felda dan bukan FGV yang mahu beli 37 peratus saham dalam syarikat Peter Sondakh, ia berlaku kerana Perdana Menteri mahukan ia sedemikian.
Di sinilah akan bermulanya masalah kepada kita. Kita sudah tahu model perniagaan Najib. Ianya 1MDB sekali lagi.
Felda pula mengisytiharkan akan membeli 37 peratus dari Eagle High Plantations dengan harga RM2.3 billion. Ini satu camera trick sahaja. Selepas FGV batalkan pembelian, Felda pula yang akan mengambil alih.
Mengapakah ladang Peter Sondakh ini terlalu penting dan mesti dibeli seolah-olah kalau tidak dibeli, dunia akan kiamat?
Memang benar pembelian ini akan memberi akses kepada Felda untuk tanah yang belum ditanam dan akan membaiki profil umur pokok sawit yang mereka ada, tetapi pembukaan ladang baru akan menelan belanja yang banyak juga.
Jadi saya tidak fikir Felda akan pinjam RM2.3 billion sahaja. Mereka mesti pinjam lebih. Kita berputar kembali kepada model yang melibatkan pembangunan perniagaan dengan menerbitkan instrumen hutang.
Felda menyatakan ia tidak menggunakan wang Felda. Ia tidak ada duit, jadi bagaimana boleh membiayai pembelian Eagle High? Apakah maksud sebenarnya? Adakah Felda akan berhutang dan membuat pinjaman? Kita sudah pun ada satu contoh perniagaan yang dibangunkan di atas hutang. Ia telah gagal dan hanya memberi peluang kepada beberapa individu merompak wang dari 1MDB.
Jadi bagaimana Felda membiayai pembelian ini? Bukankah ia memperolehi hampir RM10 billion pada tahun 2012? Dan sudah tentu ia mendapat pulangan dari pelaburan-pelaburan yang dibuat oleh pengurus-pengurus Felda yang bergeliga otak mereka itu.
Tetapi kita juga tahu, Felda berhutang dengan EPF sebanyak RM6.5 billion. Kos faedah bayaran hutang Felda akan bertambah, seterusnya akan mengurangkan rizab tunainya.
Setakat ini kita tahu sumber pendapatan Felda ialah pelaburannya. Ia tidak lagi meraih pulangan dari ladang kerana ladang seluas 360,000 hektar tersebut sudah pun dipajak kepada FGV selama 99 tahun dengan bayaran pajak RM250,000 setahun. Jadi, sumber pendapatannya sebanyak RM250 juta setahun dan 15 peratus kongsian untung operasi dari bisnes ladang FGV. Pulangan dari pelaburan lain pula semuanya teruk belaka.
Obligasi ke atas peneroka Felda masih tinggi. Dengan memindahkan sebahagian tanggungjawab mengendalikan perniagaan kepada FGV, mungkin Felda hanya memerlukan RM1 billion setahun untuk mengurus peneroka dan perniagaannya sendiri. Sebelum ini, ia memerlukan secara purata RM1.7 billion setahun.
Dengan pendapatan sekitar RM500 ke 600 juta, setiap tahun wujud defisit. FGV mengambil alih 30 hingga 40 peratus kos perniagaan Felda. Jadi, jika dahulu Felda memerlukan dana sebanyak RM1.7 hingga RM2 bilion untuk proses mentadbir dan mengurus, kali ini mereka dapat jimat hampir RM680 hingga 800 juta setahun. Namun, ia masih memerlukan sekitar RM1 bilion setahun dan dengan pendapatan RM500 hingga 600 juta setahun, masih ada defisit sekitar RM400 juta setahun.
Dari mana Felda mahu menampung defisit ini? Jika sekarang ia pemilik 37 peratus Eagle High, pulangannya setakat 37 peratus keuntungan. Malah, ia masih bergantung kepada kecekapan menjalankan perniagaan oleh Eagle High kerana tidak mempunyai kuasa ke atas pengurusan syarikat itu. Bolehkah 37 peratus pegangan dalam Eagle High memberi pendapatan paling kurang RM500 juta setahun?
Dengan penuh harapan menggunung, pengurusan Felda dengan segera menyatakan, pembelian ini akan meletakkan Felda di tempat yang strategik. Mengapakah kita tidak yakin dengan kenyataan ini?
Kehidupan di bawah sinar FGV selama ini tidaklah sebagus mana. Peneroka yang menghantar BTB (buat tandan baru) ke kilang-kilang FGV lambat mendapat pembayaran; kontraktor pengangkutan pula tidak dibayar segera. Peneroka mendapat pendahuluan sara hidup (secara hutang) sekitar RM1500 sebulan. Ini bukanlah durian runtuh kepada peneroka. Wang durian runtuh RM15,000 kepada satu keluarga dahulu sudah habis. Wang untuk tanam semula pula tidak mencukupi.
Mengapa Felda memilih untuk membeli ladang Peter Sondakh kawan Najib tetapi tidak mahu membantu peneroka? Felda masih bertanggungjawab ke atas golongan peneroka kerana mereka mendapat sewa berjumlah RM250 juta setahun dan 15 peratus dari untung operasi melalui perniagaan perladangan FGV. Jika mereka ada wang sebanyak RM2.3 billion, mereka harus selamatkan peneroka dahulu dan beri mereka sara hidup lebih dari RM1500 sebulan. #sumber
Share:

Usaha Tukar MB Gagal, Sokongan Terhadap Adnan Pula Meningkat !


Usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob dari jawatan Menteri Besar Pahang ternyata gagal, biar pun tanda-tanda yang menjurus ke arah itu semakin menampakkan kenyataan. 

Sebelum ini terdengar "berita panas" tentang usaha pihak terbabit untuk menurunkan Adnan "secara terhormat", ketika beliau berada di luar negera. Khabarnya ada majlis dan watikah perlantikan Menteri Besar Pahang yang baru telah dipersetujuai oleh Putrajaya. 

Namun, usaha tersebut ternyata menemui jalan buntu kerana gagal mendapat restu dari "Pekan". Bahkan, majlis berkenaan yang juga telah sedia diadakan dan heboh diperkatakan telah dibatalkan.

Ternyata Adnan Yaakub, masih diperlukan  kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana. Inilah kenyataan yang harus diterima oleh semua pihak. Mahu atau tidak, Pahang perlu kekalkan Adnan sehingga ke satu masa yang akan ditentukan kelak. Soalnya, sampai bila? Hanya takdir penentu segalanya.

Susulan kontroversi, bagaimanakah hubungan Adnan dengan pihak-pihak yang cuba menjatuhkan beliau gamaknya?. Terdapat perkabaran dari Wisma Sri Pahang, hubungan MB dengan pihak-pihak yang berkenaan kini semakin "dingin". Apa tidaknya usaha terancang dilakukan ketika Adnan diluar negara.  Bayangkan, jika usaha tersebut berjaya. Maka, sudah pasti Adnan bakal menjadi mangsa. 

Kenapa pihak terbabit tidak mahu tunggu sehingga Pilihanraya Umum Ke-14 untuk menukarkan tampuk kepimpinan UMNO dan Kerajaan Negeri Pahang?. Bukankah Adnan sudah memberi mesej jelas bahawa beliau mahu mengundur diri dan tidak mahu menjadi calon pada PRU akan datang. Maka, pihak terbabit sepatutnya bersabar dan setia  menanti. 

Tindakan untuk menjatuhkan MB ketika beliau berada diluar negara adalah satu pekerjaan yang tidak wajar sebenarnya. Ia pasti akan mewujudkan konflik dalaman yang lebih kritikal andainya usaha tersebut berjaya baru-baru ini. 

Maka kini, Adnan selesa untuk terus mentadbir bumi Pahang Darul Makmur sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukankan kelak. Biar pun ada "Wahyu Dari Putrajaya" yang mahu menggantikan Adnan dengan  calon pilihan mereka, namun usaha tersebut ternyata akan gagal jika tiada restu dari "Pekan", kawasan parlimen Najib sendiri sebenarnya. 

Kegagalan menukarkan Adnan ternyata meningkatkan lagi sokongan terhadap beliau sebenarnya. Malah, semua wakil rakyat UMNO BN Pahang, sebulat suara telah menyatakan sokongan secara terbuka untuk Adnan terus menerajui Pahang. 

Ini maknanya, sokongan terhadap Adnan untuk kekal sebagai MB pula meningkat gara-gara "kontroversi" yang melanda. Bahkan, ia pasti menggagalkan usaha beliau untuk mengundur diri dari politik selepas pilihanraya umum akan datang pastinya.

Justeru, langkah terbaik ialah kekalkan Adnan jika tidak mahu sesuatu yang lebih panas melanda politik UMNO BN di Pahang pada PRU-14 nanti. Jika tidak, pasti lebih banyak kerusi kritikal akan jatuh ke tangan pembangkang nanti. Buat Menteri Besar Pahang, selamat meneruskan perjuangan yang belum selesai. #pdonews
Share:

Pengusaha Bas TransMalaya Nafi Minta 'Surat Nikah' Sebelum Beli Tiket

PETALING JAYA: Syarikat bas ekspres TransMalaya menafikan pihaknya meminta pasangan Islam mempamerkan sijil nikah sebelum membeli tiket.
Pegawai bahagian perkhidmatan tiket syarikat, Rina Suhara Ramli berkata pihaknya tidak mengenakan syarat sebegitu kepada pelanggan bagi menghormati privasi penumpang.
“Kami tidak pernah minta surat nikah daripada penumpang yang ingin membeli tiket bas. Kami hanya membuat pengasingan tempat duduk berdasarkan jantina.
“Kadangkala kalau penumpang lelaki nak duduk dengan kawan perempuan, kami tidak halang sebab mereka saling mengenali. Bagi pelanggan yang datang seorang diri, kami akan bertanya pilihan mereka. Kita tidak menetapkan syarat terlalu ketat tetapi pada masa sama sedaya upaya cuba menjaga privasi penumpang,” katanya.
Mengulas lanjut, Rina berkata tujuan utama pihaknya membuat peraturan sedemikian untuk mengelak berlakunya gangguan seksual.
“Sekarang banyak sangat kes gangguan seksual, ia menyebabkan penumpang tidak selesa. Kadangkala kalau penumpang duduk bersebelahan lain jantina, mereka segan, jadi kita bagi pilihan asing tempat duduk.
“Kebanyakan pelanggan yang datang sambut baik dengan pendekatan kami buat dan belum ada penumpang mempersoalkan apa kami buat,” katanya.
Usaha itu bagaimanapun diselar peguam dan aktivis, Siti Kasim yang mahu penumpang diberikan kebebasan semasa menaiki bas.
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?” kata Siti.
Mengulas kritikan pihak susulan perlaksanaan tersebut, Rina berkata TransMalaya mengambil positif teguran tersebut dan menjadikannya sebagai salah satu cara untuk pihaknya meningkatkan kualiti perkhidmatan.
TranMalaya beroperasi bagi laluan Jerantut, Temerloh, Kuantan dan mungkin memperluaskan perkhidmatannya ke Kuala Lumpur. #sumber
Share:

Persatuan Anak Peneroka 'Desak' SPRM Siasat Penyelewengan Felda

PUTRAJAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh ke atas urus tadbir, kepincangan dan penyelewengan dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2015.
Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya bimbang dengan urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu seperti dinyatakan Laporan Ketua Audit Negara 2015.
“Persepsi umum mendakwa ianya adalah kepincangan, salah urus dan penyelewengan yang dilakukan pengurusan Felda.
“Meskipun pihak Felda menjawab penemuan audit dalam Laporan Ketua Audit Negara, ia masih menimbulkan kesangsian dan tanda tanya, apatah lagi membabitkan sejumlah wang yang sangat besar,” katanya dalam aduan kepada SPRM.
Pada 21 November lalu, Felda dilaporkan mengalami kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pemerolehan perkhidmatan pengumpulan data LiDAR atau Light Detection and Ranging, projek jalur lebar serta 3 projek lain.
Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 tahun 2015 menyatakan audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif ditetapkan.
Antaranya, 65 kontrak bagi pemerolehan perkhidmatan LiDAR bernilai RM148.42 juta ditandatangani pengarah Jabatan Pengurusan Tanah yang tidak mempunyai kuasa.
Terdahulu, Mazlan bersama Pengerusi Hisbah Center, Datuk Ezam Md Noor menyerahkan satu memorandum kepada wakil SPRM, Norliza Adnan.
Mazlan berkata, SPRM perlu mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati ada individu dalam Felda yang terbabit dalam penyelewengan itu.
Katanya, beliau menamakan lima individu, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad; Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada dan bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad, kerana mereka ialah peneraju utama berkaitan Felda.
Sementara itu, Ezam mendesak SPRM mengeluarkan laporan segera berhubung aduan mereka kerana membabitkan kepentingan awam dan wang rakyat, apatah lagi pelbagai isu yang membelenggu Felda hari ini.
“Kita mengharapkan respons segera SPRM kerana laporan segera ini lebih penting sekarang dengan berbagai isu yang melanda Felda, di mana saham FGV semakin merudum, penjualan saham oleh KWSP dan pengambilalihan sebuah syarikat di Indonesia.
“Semua ini memberi gambaran buruk dan persepsi tidak baik kepada Felda dan membimbangkan peneroka Felda khususnya mereka yang mempunyai kepentingan langsung dalam Felda,” katanya yang mahu SPRM dan polis lebih proaktif kerana perkara itu sudah didedahkan Laporan Ketua Audit Negara. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.