script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

'Pemilihan UMNO', Shahaniza Tawar Diri Tanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)

KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu bermula bulan depan.

Beliau turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran.

Menurutnya, keputusan bertanding MT UMNO dibuat bagi memberi nafas baharu kepada parti tersebut.

“Keputusan ini dibuat selepas saya melihat UMNO pada ketika ini sedang berdepan krisis kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat malah ahli parti ini sendiri.

“Jadi, adalah penting untuk UMNO mempunyai barisan kepimpinan baharu yang boleh memberikan wajah dan nafas baharu serta gerak kerja berbeza berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini.

UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung.

Setakat ini dua bahagian yang digantung, iaitu UMNO Bahagian Arau di Perlis pada awal tahun ini dan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan pada 2020.

Bagi memastikan pemilihan tidak terganggu di kedua-dua bahagian tersebut, UMNO telah melantik pentadbir bahagian yang akan mengendalikannya.

Untuk rekod, Wanita UMNO dari negeri ini yang pernah bertanding dan menang jawatan MT parti itu adalah bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan sesi 2000 hingga 2003.

Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, berdasarkan pengalaman politiknya bermula dari Puteri UMNO sehingga menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran, beliau yakin mampu memberikan nafas dan idea-idea baharu kepada parti tersebut jika menang jawatan berkenaan.

Beliau berkata, dalam karier politiknya, pemimpin wanita yang menjadi idolanya sehingga kini Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani.

“Kata-kata Allahyarhamah yang menjadi inspirasi dan pegangan saya sehingga kini adalah ‘Untuk wanita bangkit dalam politik, dia mesti diterima oleh lelaki’,” katanya.

Memegang kata-kata itu Shahaniza berkata, beliau membina karier politiknya bersama UMNO bermula pada usia 18 tahun sehinggalah memperoleh pencapaian yang tidak disangka-sangka iaitu menjadi wanita pertama menang jawatan Ketua UMNO Bahagian di Maran. #sumber

Share:

'Ketua Pemuda UMNO Pahang' Di Lantik Sebagai 'Setiausaha Politik' MB Baharu !

 

KUANTAN - Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor, 42, dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Rabu lalu. 

Majlis mengangkat sumpah kerahsiaan dilakukan sebelum mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Wisma Sri Pahang.

Wan Rosdy berkata, pelantikan anak kelahiran Kampung Kuala Telang, Lipis itu mengambil kira berpengalaman luasnya dalam bidang politik.

"Dengan pengalaman dimiliki diyakini beliau dapat membantu saya dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dengan jayanya," katanya melalui satu hantaran melalui laman Facebook rasminya pada Rabu.

Sementara itu Mohd Farid berkata, pelantikan itu satu tanggungjawab besar baginya.

Menurutnya, atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tugas itu, dia akan dilaksanakan amanah itu sebaik mungkin dalam membantu Wan Rosdy berkaitan politik di negeri ini.

"Saya akan membantu beliau (Wan Rosdy) memulihkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan UMNO/BN negeri," katanya ketika dihubungi.

Pada 16 Januari lalu, Wan Rosdy melantik bekas Ketua Unit Komunikasi dan Media Pahang, Zulkhairi Zainuddin, 45, sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) beliau yang baharu. #sumber

Share:

Jumlah 'Mangsa Banjir' Di Rompin Kekal 314 Orang Di Tiga PPS Setakat Pagi Ini !

 

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 314 orang daripada 96 keluarga yang berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi, hari ini.

Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu, seramai 165 mangsa di PPS Kampung Setajam, Balai Raya Rekoh (122 mangsa) dan Balai Raya Kampung Denai (27 mangsa).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan malam tadi, mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Rompin, Pahang sehingga esok.

Hujan lebat berterusan tahap buruk pula diramalkan berlaku di Kuantan dan Pekan manakala hujan berterusan tahap waspada pula diramal berlaku di Jerantut dan Maran.

Sementara itu, maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin masih melepasi paras bahaya pada jam 7.45 pagi, hari ini.

Paras Sungai Keratong itu merekodkan bacaan 23.80 meter berbanding paras bahaya ditetapkan ialah 23 meter.

Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Belat, Kuantan pula melepasi paras waspada. #sumber

Share:

KJ Di Pecat, Hishammuddin Serta Shahril Hamdan Pula Di Gantung Keahlian UMNO

 

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat keahliannya dari UMNO.  

Sumber parti memberitahu, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahliannya.

Hishammuddin dan Shahril mengikuti senarai pemimpin terbaru yang digantung, selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar memaklumkan menerima keputusan sama malam ini.

Turut digantung keahlian selama enam tahun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ditemui media enggan berkongsi senarai pemimpin yang dipecat atau digantung, sebaliknya menyatakan keputusan yang dibuat MKT malam ini terpaksa dilakukan walaupun pahit.

Beliau juga menjelaskan, semua tindakan disiplin yang dikenakan juga sudah mengikut saranan Lembaga Disiplin UMNO. #sumber

Share:

Ketua Pemuda PAS Pahang Dakwa Tidak Di Benarkan Lagi Muncul Di TV Alhijrah !

 

KUANTAN - Ketua Pemuda PAS Pahang, Aireroshairi Roslan  mendakwa dia menjadi 'mangsa' pihak atasan dalam kerajaan apabila tidak lagi dibenarkan muncul dalam rancangan terbitan TV Alhijrah.

Beliau berkata, dia dihubungi seseorang dari stesen televisyen tersebut.

"Ya memang betul, salah seorang kakitangan stesen televisyen itu menelefon saya Rabu lalu.

"Dia memberitahu pihaknya menerima tekanan daripada 'pihak atasan' untuk membatalkan jemputan kepada saya sebagai penceramah.

"Saya kira keputusan ini bukan dibuat pihak penerbit (program) tapi (arahan) pihak lebih atas lagi... mungkin kerajaan sekarang dan mungkin (arahan) menteri hal ehwal agama yang baru," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, Aireroshairi memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya mengenai perkara itu.

Melalui hantaran itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan parlimen Paya Besar terbabit menulis: "Akibat tekanan dari pihak atasan, saya tidak dibenarkan muncul di TV Alhijrah bermula minggu ini. Serangan yang telahpun dijangka."

Ditanya lanjut mengenai pembabitannya dalam TV Alhijrah, Aireroshairi berkata, dia menjadi penceramah dalam segmen Assalamualaikum disiarkan stesen televisyen itu pada jam 7 pagi.

"Saya menjadi ahli panel jemputan sejak bulan April tahun lalu, biasanya jam 4 pagi bertolak ke sana (Kuala Lumpur) dan selepas selesai program, kalau tidak ada urusan lain, saya akan kembali ke Kuantan,." katanya.

Pada masa sama dia tidak menyalahkan sesiapa di stesen televisten berkenaan.

Katanya mereka hanya menjalankan tugas dan memahami tekanan yang mungkin mereka hadapi untuk membuat keputusan mengetepikannya dari menjadi jemputan.

Dia turut memberitahu tauliah mengajar agama di Selangor yang dimiliki sebelum ini juga tidak diperbaharui.

Namun, katanya setakat ini dia tidak berdepan masalah untuk terus memberi kuliah agama di Pahang.

Aireroshairi pernah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 mewakili PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau namun kalah kepada calon BN,  Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam pilihan PRU tahun lalu puna dia menjadi pertaruhan PN untuk kerusi parlimen Paya Besar. Dia gagal dalam cubaan tersebut dan tunduk kepada penyandang, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, dari BN dengan majoriti 1,317 undi.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen TV Alhijrah berhubung dakwaan Aireroshairi. #sumber

Share:

MetMalaysia: Banjir Di Tiga Negeri Makin 'Buruk', Jumlah Mangsa Terus Meningkat !

 

KUALA LUMPUR - Banjir di tiga negeri makin buruk, jumlah mangsa terus meningkat Keadaan banjir di tiga negeri iaitu Sabah, Johor dan Pahang bertambah buruk berikutan hujan berterusan menyebabkan pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selain Sarawak menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan keadaan hujan dijangka terus berlaku di beberapa tempat di Kudat, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah, selain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat mendadak kepada 6,313 orang yang ditempatkan di 26 PPS di lima daerah setakat 8 pagi ini, berbanding 1,421 orang pada 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,784 orang daripada 1,731 keluarga yang berlindung di 11 PPS, manakala 761 orang (203 keluarga) dipindahkan ke tiga PPS di Kudat.

Selain itu, seramai 406 orang (162 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Pitas, diikuti 344 orang (88 keluarga) di tujuh PPS di Paitan manakala Lahad Datu, yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir mencatatkan 18 mangsa (tiga keluarga) yang berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan.

Menurut kenyataan itu, 153 orang daripada 50 keluarga yang sebelum ini ditempatkan di PPS Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu dan Surau Kampung Sibuang telah diarah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 kerana PPS asal berisiko banjir.

Di JOHOR, angka mangsa banjir di tujuh daerah iaitu Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar, turut mencatatkan pertambahan kepada 5,455 orang melibatkan 55 PPS setakat 8 pagi ini, berbanding 5,000 orang yang direkodkan setakat 10 malam tadi.

Menurut JPBN negeri itu, Segamat terus mencatatkan angka tertinggi mangsa seramai 1,801 orang daripada 504 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS, diikuti Kluang dengan 1,256 orang (353 keluarga) di 12 PPS dan Mersing 1,153 orang (347 keluarga) di tujuh PPS.

Di Kota Tinggi, seramai 738 orang (179 keluarga) dipindahkan ke tujuh PPS, Batu Pahat dengan 272 orang (74 keluarga) di empat PPS, Muar 217 orang (47 keluarga) di tiga PPS dan Pontian dengan 18 mangsa (empat keluarga) di satu PPS.

Sementara itu, paras air di tiga sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.29 meter (m), Sungai Kahang (di Kampung Contoh) (15.99 m) dan Sungai Endau (2.62 m).

Di PAHANG, mangsa banjir di Rompin yang ditempatkan di tiga PPS meningkat kepada 164 orang daripada 49 keluarga pagi ini, berbanding 138 mangsa daripada 42 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN melaporkan PPS Kampung Setajam merekodkan mangsa paling ramai iaitu 117 orang diikuti PPS Balai Raya Bukit Lepas dengan 40 orang manakala baki tujuh mangsa berada di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya.

Laman web portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 24.75 m pagi ini, melebihi aras bahaya 23 m yang ditetapkan manakala MetMalaysia pula meramalkan hujan di Rompin sepanjang hari ini.

Sementara itu, SARAWAK menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan dua PPS dibuka yang menempatkan seramai 53 mangsa daripada 16 keluarga berikutan hujan lebat di daerah Lundu dan Sematan lewat malam tadi.

Menurut JPBN, PPS berkenaan ialah SK Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak, dengan masing-masing mencatatkan 39 dan 14 mangsa.

MetMalaysia turut meramalkan beberapa kawasan di Sarawak antaranya Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang dijangka mengalami cuaca ribut petir pada sebelah petang dan malam ini. #sumber

Share:

‘Sedekah’ Atau Pun ‘Sumbangan’ Rasuah Tetap Rasuah, SPRM Akan Buat Siasatan

 

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, bukannya tertakluk kepada pemahaman peribadi, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi.

“Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah sangat jelas dan apa jua istilah awam digunakan mempertahankan hujah adalah tafsiran peribadi semata-mata.

“Sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya memetik laporan The Star.

Seksyen 10(a) akta berkenaan dengan perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Komen Azam itu susulan kenyataan Presiden PAS, Tanl Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini, terhadap petisyen difailkan UMNO Terengganu bagi membatalkan keputusan PRU15 di tiga kawasan Parlimen di negeri Pantai Timur itu.

Hadi berkata, mereka yang dirakam dalam video menyerahkan wang tunai kepada pengundi hanyalah melakukan kerja amal.

Ahli Parlimen Marang itu, berkata undang-undang pilihan raya menetapkan hanya calon dan ejen mereka dilarang memberi wang tunai.

Komen beliau mengundang kritikan pelbagai pihak kerana Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas melarang perbuatan terbabit. #sumber

Share:

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Sasar Kutipan Hasil RM140 Juta Pada Tahun Ini

 

BENTONG - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM140 juta tahun ini, meningkat berbanding lebih RM135 juta tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata hasil utama JPNP menerusi kutipan premium, royalti dan beberapa caj lain tidak termasuk kutipan ses (cukai khas).

Katanya, kutipan hasil RM135 juta yang dikumpul tahun lalu adalah yang kedua tertinggi direkodkan, tidak termasuk kutipan ses sebanyak RM26 juta.

Menurutnya, dengan usaha dan perancangan yang lebih berkesan tidak mustahil JPNP mampu menyumbang kutipan hasil sebanyak RM140 juta untuk kerajaan negeri tahun ini.

"Kerjasama kakitangan di semua peringkat membabitkan pegawai dan kakitangan beruniform berjaya meletakkan JPNP pada kedudukan yang lebih baik dari semasa ke semasa seterusnya mampu menyumbang kutipan hasil yang memuaskan.

"Dalam usaha memberi pendapatan kepada kerajaan negeri, jabatan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memulihkan kawasan hutan dengan aktiviti penanaman semula secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Pengarah Perhutanan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam yang disertai lebih 200 kakitangan di semua peringkat.

Mohd Hizamri berkata, jabatan tahun ini turut berusaha menambah lebih 500 hektar lagi hutan simpan kekal dan ketika ini keluasan hutan simpan kekal negeri ini adalah seluas 1,596,021.525 hektar.

Katanya, usaha menambah kawasan hutan tadahan air turut akan dilakukan dalam memastikan sumber air di negeri ini tidak terjejas.

Tambahnya lagi, dalam menjadikan JPNP agensi yang berdaya saing, kreatif, berinovasi seterusnya mampu memberikan hasil kepada kerajaan negeri, beberapa perancangan telah disediakan untuk dilaksanakan secara berperingkat.

"Kita akan menjadikan Taman Eko Rimba (TER) sebagai Hutan Taman Negeri dan menubuhkan 'Man And Biosphere Mossy Forest' di kawasan terbabit.

"Tumpuan turut diberikan dalam mengukuhkan perundangan perhutanan, penguatkuasaan dan pendakwaan (Operasi Bersepadu dan Penyediaan Kaedah Penyiasatan Awam). Selain penstrukturan semula organisasi jabatan selain pendigitalan maklumat sumber hutan," katanya. #sumber

Share:

Sedekah 'Amal Jariah' OK, Tetapi Sedekah Untuk Beli Undi Pilihan Raya Itu Korupsi !

 

GEORGE TOWN - Malaysia berpotensi untuk diangkat sebagai sebuah negara maju di rantau ini dengan syarat amalan merompak kekayaan negara melalui gejala rasuah dihentikan sama sekali, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata pimpinan politik, penjawat awam peringkat tertinggi atau badan-badan penguatkuasaan mesti dan wajib menghentikan amalan berkenaan.

“Saya tidak akan tolak ansur lagi dengan sikap orang yang menggunakan kontrak atau projek mendapat atau mengambil kesempatan untuk mencari kekayaan yang bukan hak mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Dalam pada itu Anwar berkata rakyat Malaysia mesti ada keberanian untuk menolak fahaman perkauman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau yakin negara akan dapat mencatat tahap kemajuan dalam masa singkat yang belum pernah disaksikan sebelum ini sekiranya wujud semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat untuk menolak gejala buruk berkenaan.

Anwar berkata persaingan atas kepentingan kaum dan agama hanya akan menanam kebencian dalam kalangan masyarakat.

"Slogan Masyarakat Madani menuntut keyakinan kita sebagai rakyat. Semua agama ada kepercayaan mereka, tetapi untuk hidup dalam masyarakat mesti ada faham kemanusiaan, dan kemanusiaan itu tiada makna jika tiada kasih sayang antara kita.

Bila ada persaingan kaum dan agama yang sempit, maka yang ditanam itu adalah kebencian. Kita perlu terima perbezaan kita sebagai satu kekuatan," katanya.

Menyentuh mengenai amalan “komisen” dan “sedekah” dalam pilihan raya, Anwar berkata amalan itu jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.

“Sedekah untuk amal jariah itu okey, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya itu adalah korupsi,” katanya.

Sementara itu, Anwar memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memusatkan pembangunan ekonomi negeri itu seiring dengan keadilan sosial dengan mengambil kira golongan miskin bandar dan B40.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. #sumber

Share:

Sumbangan Wang 'Orang Awam' Kepada Pengundi Tiada Kaitan 'Calon Atau PAS' !

 

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata sumbangan orang awam kepada pengundi semasa pilihan raya tiada kaitan dengan calon PAS atau parti itu.

Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana menyifatkan pemberian wang tunai ketika pilihan raya sebagai ‘sedekah’.

Menurut Khairil, Abdul Hadi ketika menjawab soalan media menyebut bahawa undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi tetapi jika ada individu atau orang awam hendak memberikan sumbangan, ia terpulang kepada mereka sendiri.

"Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding," katanya.

Menurutnya, PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan ketika pilihan raya.

"Adalah ditegaskan PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi, berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya.

Kelmarin Abdul Hadi dilapor mempertahankan pemberian wang tunai semasa pilihan raya dan mendakwanya sebagai sedekah serta tidak melanggar peraturan pilihan raya.

"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya dipetik sebuah portal berita.

Kenyataan itu dibidas Ahmad Zahid yang menyifatkan ahli parlimen Marang itu sebagai ‘hipokrit’.

“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah,” kata Ahmad Zahid. #sumber

Share:

Zahid Selar Sikap 'Double Standard' Hadi, Jangan Suka-Suka Tukar Fatwa 'Sedekah'

 

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap 'double standard' Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Oleh yang demikian, Presiden UMNO itu khuatir dengan tanggapan serong umum khususnya orang Islam berikutan sikap ditonjolkan Ahli Parlimen Marang itu selaku ulama yang beliau dakwa tiada integriti.

"Kalau dia buat (dianggap) sedekah. Kalau kita bagi (dianggap) rasuah.

"Ulama ini jangan tukar-tukar hukum dan jangan tukar fatwa...akhirnya ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam.

"Ulama kena ada integriti. Sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu mengulas pendirian Abdul Hadi semalam, yang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU-15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Abdul Hadi berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan sambil menambah undang-undang menetapkan bahawa setiap calon serta wakil tidak boleh memberi wang ketika berkempen. #sumber

Share:

'Pendaki' Dihanyutkan Arus Deras Sungai Tanum Ketika Turun Dari Gunung Tahan !

 

KUANTAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas didakwa dihanyutkan arus deras Sungai Tanum semasa menuruni Gunung Tahan di Kuala Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian menimpa Haniff Harun, 47, dari Kampung Paloh Haji Daud di Kuala Terengganu itu pada jam 2.20 petang tadi.

"Mangsa difahamkan menyertai aktiviti mendaki bersama sembilan individu dengan dipandu arah masing-masing seorang malim gunung dan porter menggunakan laluan masuk di Merapoh.

"Pendakian bermula Jumaat lalu sebelum dijangka turun pada Selasa, namun mereka terpaksa berpatah balik ke Kuala Juram akibat cuaca buruk," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azli berkata, kumpulan itu perlu menyeberangi sungai selebar kira-kira 20 meter dalam perjalanan turun.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang tadi membabitkan polis serta bomba termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR).

"Setakat ini hanya beg mangsa ditemukan berhampiran lokasi kejadian," katanya. #sumber

Share:

Isu Agih Wang Kepada Pengundi, UMNO Terengganu Di Minta Lapor SPR, SPRM !

 

PETALING JAYA - UMNO Terengganu diminta untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan berlaku pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU-15 lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan itu perlu dirujuk kepada SPR dan SPRM kerana ia adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Saya difahamkan daripada maklum balas UMNO Terengganu, ketika kempen PRU15 lalu terdapat individu yang memberikan wang membabitkan RM150 kepada belia, siswa siswi (RM300) manakala RM600 kepada orang kurang upaya (OKU) dan pesara.

“Itu maklum balas oleh UMNO Terengganu kepada saya secara peribadi. Masalahnya pemberian berkenaan dibuat beberapa hari sebelum pembuangan undi dilakukan,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi pimpinan MCA Bahagian Pontian, Ng Sea Bu, sempena Tahun Baharu Cina, di Pulai Sebatang, Pontian, hari ini.

Ahmad berkata, jika ia bantuan biasa dan dibuat sebelum pembuangan undi dan bukan waktu berkempen, itu bolehlah dianggap sebagai bantuan kerajaan negeri kepada rakyat.

“Namun apabila dalam masa dua minggu dan semasa berkempen, maka adalah tidak wajar pemberian dilakukan. Saya harap UMNO Terengganu bukan hanya buat petisyen tetapi juga merujuk perkara ini pada SPR dan SPRM,” katanya.

Ahmad mengulas pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam, yang dilaporkan mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan sambil menambah undang-undang menetapkan bahawa setiap calon serta wakil tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

Minggu lalu, UMNO Terengganu dilaporkan memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya PRU-15, bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 13 Januari lalu pula, wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, Kelantan, bagi mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen itu supaya ia dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Timbalan Menteri Kewangan berkata, apa yang berlaku di tiga kawasan Parlimen di Terengganu itu menyamai insiden yang berlaku di Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.

“Kita melihat apa yang berlaku di Cameron Highlands sebagai rujukan sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan atas perkara lebih kurang sama.

“Jadi kita harap ada pengajaran kerana kenyataan Abdul Hadi semalam sebabkan umat Islam keliru kerana ia berubah-ubah mengikut situasi,” katanya. #sumber

Share:

Zaid Di Minta 'Tunjuk Sebab' Berkenaan Dakwaan Isu 'Salahlaku' Kes SRC Najib !

KUALA LUMPUR - Lembaga tatatertib peguambela dan peguamcara meminta peguam, Zaid Ibrahim, menjawab dakwaan salahlaku ketika rayuan terakhir Najib Razak dalam kes SRC International tahun lepas.

Bekas menteri undang-undang itu berkata lembaga tersebut memberi tempoh sebulan untuk beliau menjawab dakwaan terhadapnya.

Zaid merupakan rakan kongsi firma guaman Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Rakan-rakan. Lembaga terbabit badan bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salahlaku profesional dan menghukum peguam yang didapati bersalah.

Katanya, pihak lembaga mahukan beliau terangkan “mengapa saya ambil kes Najib hari itu dan mengapa saya tak mampu meneruskannya selepas mahkamah tidak membenarkan kami menangguhkan kes,” katanya di Facebook baru-baru ini.

Aduan dikemukakan oleh Majlis Peguam.

“Majlis menganggap tindakan saya dan rakan-rakan dalam firma saya sebagai tidak beretika dan tidak profesional,” kata Zaid.

Rekod di Mahkamah Persekutuan menunjukkan Najib melepaskan peguam utama, Shafee Abdullah, dan peguamcara, Shafee & Rakan-rakan, pada 26 Julai tahun lepas.

Najib kemudian melantik firma Zaid sebagai peguamcara baharu, dan Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama untuk menghujahkan rayuan bekas perdana menteri itu.

Shafee dan firmanya mewakili Najib dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada penghujung April, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15-26 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib.

Hisyam yang tampil bersama Zaid dan beberapa peguam lain mengusulkan permohonan yang difailkan Shafee & Rakan-rakan bagi pihak Najib, yang ingin mengemukakan keterangan baharu dan mahu Hakim Nazlan Ghazali menarik diri atas dakwaan percanggahan kepentingan.

Barisan lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan itu pada 16 Ogos, dan juga menolak permintaan pasukan peguam bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan rayuan terakhir Najib selama tiga hingga empat bulan. Penangguhan itu diperlukan untuk membolehkan pasukan peguam baharu bekas perdana menteri itu membuat persiapan.

Pada 18 Ogos, Hisyam memberitahu mahkamah bahawa Najib melepaskan firma Zaid, yang dibenarkan oleh mahkamah, dan memohon menarik diri sebagai peguam utama, tetapi ditolak mahkamah.

Mahkamah pada 23 Ogos mengesahkan pensabitan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau tambahan lima tahun penjara sekiranya gagal melunaskan denda.

Najib pada September memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan itu supaya pensabitan dan hukumannya digugurkan. Beliau juga mahu barisan para hakim baharu untuk mendengar semula rayuannya, dengan dianggotai sekurang-kurangnya tujuh hakim.

Shafee dan firmanya kembali mewakili Najib dalam permohonan itu, yang didengari oleh barisan lima hakim dan dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Pendengaran akan bersambung pada 20-22 Feb. #sumber

Share:

Hadi: Siapa Pun Boleh 'Bersedekah' Masa Pilihan Raya, Kecuali Calon Dan Wakilnya

KUALA LUMPUR - Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata terpulang kepada mana-mana pihak untuk memberi sedekah ketika pilihan raya, tetapi calon dan wakilnya dilarang memberi wang kepada orang ramai.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut undang-undang pilihan raya sedia ada calon atau wakilnya tidak boleh memberi wang atas apa alasan pun, kepada orang ramai ketika kempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri, tetapi orang awam mahu beri sedekah terpulang kepada dia,” katanya mengulas tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen mencabar kemenangan PAS di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya memfailkan petisyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas alasan dakwaan wujud rasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian kepada media selepas hadir ke majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama PN dan Kenduri Rakyat di Seri Menanti di Kuala Pilah, hari ini (21 Januari 2023).

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan berlaku politik wang dalam PRU-15 hingga menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya kata Muhammad Sanusi, UMNO adalah parti terkenal di seluruh dunia kerana lebih banyak bermain politik wang.

“Kami ini mana ada duit nak main politik wang. Yang tersohor di serantau dunia kerana main politik wang adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Parti lain tak ada tetapi UMNO dan BN ini sejak 70-an dan 80-an hinggalah sekarang. Tak payahlah palit pada orang lain,” kata Muhammad Sanusi. https://www.agendadaily.com/politik/yang-tersohor-seluruh-dunia-main-politik-wang-ialah-umno-mb-kedah/

Sementara itu, mengulas mengenai pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan, Kedah dan Terengganu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS akan membuat keputusan sendiri bila tarikh yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri itu.

Menurutnya perbincangan akan dibuat di peringkat parti itu terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum tarikh sesuai dapat ditetapkan.

“Kami akan berbincang antara kami sendiri, terpulang kepada kami, sama ada mereka (Pakatan Harapan) mahu ikut ataupun tidak. Selama ini banyak mereka ikut kami, kami buat kenyataan sebelum ini tidak ikut Parlimen (PRU-15) mereka ikut juga.

“Saya tidak tahu terpulang kepada mereka, kami ada keputusan kami sendiri, akan dibincang dalam mesyuarat akan datang, insya-Allah untuk menentukan PRN.

“Kami akan bincang sesama kami dahulu, itu yang penting, kami sedang mengkaji, kesan-kesan kepada pengundi, pengundi luar, mahasiswa, pengundi muda, orang cuti balik hari raya, itu semua perlu dikaji,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu pertemuan di antara Menteri Besar dan Ketua Menteri enam negeri yang belum mengadakan PRN dijangka akan diadakan bagi membincangkan tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya tersebut bersama-sama.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertemu rakan sejawat mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi membincangkan perkara berkenaan. #sumber

Share:

Penolong Pegawai Pertanian Dakwa Rugi RM215,000 Di Perdaya Dek Macau Scam

KUANTAN - Seorang Penolong Pegawai Pertanian mendakwa kerugian RM215,100 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis, pada Nov lepas.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans bagi menyiasat tuntutan yang dikatakan dibuat mangsa.

“Suspek mendakwa terdapat tiga tuntutan yang disyaki palsu dan kes itu kononnya telah sampai ke pengetahuan polis. Mangsa seterusnya dihubungi oleh suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek dikatakan menakutkan mangsa dengan mengatakan dia terlibat dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram serta perlu membayar jaminan RM400,000 selain diarahkan mendedahkan maklumat perbankan untuk siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata mangsa menyedari ditipu selepas mendapati terdapat 33 transaksi pemindahan wang secara dalam talian menerusi akaun banknya, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada petang Khamis lepas.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata seorang wanita berusia 37 tahun di Maran, mendakwa kerugian RM165,090 selepas mendedahkan maklumat perbankannya kepada pihak ketiga pada 13 Jan lepas.

Mangsa mendakwa berbuat demikian selepas dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran bagi memaklumkan terdapat bungkusan berisi barang larangan dialamatkan kepadanya.

“Mangsa yang menafikan perkara itu kemudiannya dihubungi suspek lelaki kononnya pegawai polis dan memaklumkan nama mangsa telah digunakan untuk membuka akaun bank berkaitan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa yang bimbang akan ditangkap mendakwa telah diarahkan untuk mengisi maklumat perbankannya ke pautan diberikan suspek,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai untuk menyemak dengan polis jika menerima panggilan telefon meragukan dan tidak berkongsi maklumat perbankan dengan pihak ketiga supaya tidak menjadi mangsa penipuan. #sumber

Share:

Setpol MB Kini Jadi Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Timbalan Perdana Menteri

 

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail kehilangan seorang pegawai yang cukub berwibawa iaitu bekas Setiausaha Politiknya, Dato'Tajul Razi Abdul Aziz. 

Beliau kini telah bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya.

Pada satu kenyataan di facebook rasmi Menteri Besar semalam, beliau berkata Tajul Razi merupakan seorang insan yang cukup hebat, berkaliber serta sentiasa ada bersama saya sama ada dalam waktu senang mahupun waktu yang sukar.

"Sesungguhnya ketiadaan beliau dalam pasukan saya cukup saya terasa tetapi dalam pada masa yang sama saya juga berbangga kerana Setiausaha Politik saya dipandang tinggi oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Saya yakin dengan segala pengalaman yang beliau miliki, beliau mampu menggalas tugas baharu ini dengan baik dan cemerlang. Saya berdoa semoga Dato' Tajul dilimpahkan rahmat serta dipermudahkan segala urusan," kata kenyataannya.

Tajul Razi mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang pada Ogos 2018, iaitu beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan Kerajaan  Bariaan Nasional (BN) buat pertama kaliya dalam sejarah tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) ketika itu. #sumber

Share:

Dua Mangsa Rela Berenang Selamatkan Diri, Selepas Di Lapor Hilang Di Lautan !

 

KUANTAN - "Banyak kali saya mengalami kekejangan sepanjang dua hari berenang tetapi saya tidak panik dan terus berenang hingga berjaya sampai ke pantai.

"Mujur saya ada pengalaman menjalani latihan di air ketika masih berkhidmat dalam FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dulu," kata Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah, 45, pemancing yang terselamat selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ketika keluar memancing di perairan Pulau Tioman, Rompin.

Dalam kejadian itu, Zulfahmey bersama rakannya, Chia Swee Kwong, 49, nekad berenang selama dua hari sebelum sampai ke pantai Teluk Juara, pulau terbabit, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, Zulfahmey berkata, Isnin lalu, mereka berdua keluar memancing di unjam yang terletak tidak jauh daripada pulau berkenaan, pada jam 4 petang.

"Kami bergerak pulang kira-kira jam 6 petang namun ketika dalam perjalanan, bot enjin mati kerana kehabisan minyak menyebabkan bot kami hanyut.

"Kami kemudian mengambil keputusan untuk berlabuh memandangkan hari sudah gelap dan jarak bot dengan pulau ketika itu kira-kira 100 meter.

"Namun, kira-kira jam 4 pagi, rantai sauh terputus menyebabkan bot kami dipukul ombak sebelum tersadai pada batuan pulau," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mereka berdua terpaksa memanjat tebing batu setinggi kira-kira dua meter untuk menyelamatkan diri namun usaha mencari laluan keluar melalui hutan tidak berjaya.

"Memikirkan tiada bekalan makanan dan minuman selain tiada isyarat telefon di kawasan terbabit, kami membuat keputusan nekad untuk berenang daripada terus menunggu untuk diselamatkan.

"Berbekalkan jaket keselamatan dan pelampung hanyut yang dikutip di kawasan berkenaan, kami mula berenang kira-kira 1 tengah hari, Selasa lalu.

"Kami terpaksa berenang jauh daripada tebing berikutan ketika itu ombak dan angin kuat manakala kedalaman air pula kira-kira 10 meter.

"Pada hari pertama, kami berjaya berenang melepasi tiga teluk dan kembali semula ke tebing batu kira-kira jam 6 petang kerana tidak mahu mengambil risiko berenang pada waktu malam," katanya.

Katanya, ketika berada di tebing batu itu, mereka ternampak sebuah bot nelayan melalui lokasi terbabit dan berusaha meminta pertolongan dengan meniup wisel dan melambaikan jaket keselamatan, namun nelayan berkenaan tidak menyedari mereka kerana jarak yang agak jauh.

"Pada hari kedua, rakan saya sudah hampir putus asa kerana terlalu penat dan kelaparan namun selepas memberi semangat, dia setuju untuk berenang semula.

"Kami mengutip tiga biji pelampung di lokasi berkenaan memandangkan pelampung yang digunakan sebelum itu sudah hanyut dan mula berenang kira-kira jam 9 pagi.

"Walaupun penat dan mengalami kekejangan, akhirnya kami berdua berjaya sampai ke Pantai Teluk Juara selepas enam jam berenang pada hari itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang berenang, dia tidak putus-putus berdoa dan menyebut Allahuakbar selain memikirkan keluarganya. #sumber

Share:

Seorang Remaja Perempuan Maut Akibat Dihempap Pokok Besar 'Ribut' Di Kuantan

KUANTAN - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia dihempap pokok besar dalam kejadian ribut di Kampung Balok Baru, petang semalam. 

Difahamkan, mangsa sempat menolak dua adiknya bagi menyelamatkan mereka sebelum dia dihempap pokok besar terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang terima satu kes daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng memaklumkan terdapat kes pokok tumbang dan menghempap kanak-kanak perempuan, empat kenderaan awam serta kabel elektrik.

"Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota terdiri tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari BBP Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan bomba mula memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum menghantar mangsa ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa.

"Kerja-kerja seterusnya anggota bomba menunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir ke lokasi untuk memotong bekalan elektrik," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia.

"Mangsa dikenali sebagai Aliya Zahra Mohammad Hasnizam berusia 14 tahun dan berasal dari FELDA Cerul Satu, Kemaman, Terengganu," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut. #sumber

Share:

Ismail Sabri Sahkan Bersedia Pertahan Jawatan 'Ketua UMNO' Bahagian Bera !

BERA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan dia bersedia mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

Dia bagaimanapun belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini.

"Yang pasti saya akan pertahankan (jawatan) Ketua UMNO Bahagian Bera, (untuk jawatan Naib Presiden) masih awal lagi.

"Tak tahu lagi, saya kena bincang dengan orang Bera dulu. MT (Majlis Tertinggi) belum putuskan bila pemilihan di peringkat cawangan Bahagian dan sebagainya, tunggulah," katanya dalam sidang media di Bera, hari ini.

Terdahulu, ahli parlimen Bera itu merasmikan pusat kawalan operasi bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini.

Ismail Sabri menjelaskan berdasarkan usul diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berakhir hujung minggu lalu, hanya jawatan Naib Presiden dan ke bawah saja dipertandingkan.

Jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan selepas usul tambahan dikemukakan wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mendapat sokongan majoriti perwakilan.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu sudah muktamad, Ismail Sabri menjelaskan apa saja hasil keputusan dibuat dalam PAU boleh berubah jika ada pihak mencabar pendirian berkenaan.

"Itu adalah seperti dipersetujui ketika PAU, (jawatan) Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan namun keputusan muktamad masih boleh ditentukan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya lagi. #sumber

Share:

Kerajaan Negeri Pahang 'Pamer" Senarai 29 Nama `Datuk' Dan 'Datuk Seri' Palsu !

 

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan notis awam menyenaraikan 29 nama`Datuk' dan 'Datuk Seri' palsu susulan pemalsuan senarai nama penerima pingat daripada Sultan Pahang.

Notis awam itu menyenaraikan 29 nama individu terbabit yang tiada dalam senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur.

Ia berkaitan dengan kes pemalsuan senarai nama penerima pingat yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, berkata pihaknya setakat ini hanya mengeluarkan notis awam berkenaan dan tiada tindakan lain.


Terdahulu, dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada 28 Disember lalu, atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran, dua tahun lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 30 tahun dan 36 tahun itu didakwa tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan sejumlah nama individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes terbabit akan disebut semula pada 13 Februari depan. #sumber

Share:

Pemuda 'Hilang' Di Bera Sejak Dua Hari Lepas Di Temukan Mati Lemas Pagi Ini !

BERA - Seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas di sungai berhampiran Masjid Lama Kampung Batu Bor,  disini ditemukan lemas pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, 19, ditemukan pada 10.44 pagi oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Mangsa ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan Faizal Akmal Fikri yang beralamat di Kampung Bukit Lada, Temerloh, dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan pada Sabtu.

Mangsa dikatakan ke sungai itu menunggang motosikal berseorangan dan barangan peribadinya turut ditemukan di lokasi kejadian. #sumber

Share:

Nasrudin Hassan Tantawi Ketuai MN Bagi Negeri Pahang, Zuraida Pula Di Selangor !

 

KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan bekas ahli parlimen Ampang, DatukbZuraida Kamaruddin masing-masing diumum sebagai pengerusi perhubungan Muafakat Nasional (MN) Pahang dan Selangor.

Perkara itu diumumkan Pengerusi MN Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Annuar berkata, sudah tiba masanya NGO yang dikemudinya itu memulakan penubuhan di peringkat negeri dan kawasan selepas menurutnya ia sudah memiliki 30,000 anggota.

"Penubuhan perhubungan negeri bermula di Sabah pada 5 Feb ini disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain," katanya.

Sementara itu Annuar turut mengumumkan pelantikan pengerusi MN bagi negeri Sabah dan Sarawak iaitu Jismit Japong dan Justine Jinggot.

Minggu lalu, Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR dilantik sebagai timbalan presiden MN. Turut dilantik bagi jawatan tersebut adalah seorang lagi bekas ahli parlimen PKR, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Bagaimanapun, Nasrudin tidak pernah dikaitkan dengan NGO tersebut sebelum ini.

Annuar mengaktifkan MN selepas tidak dipilih sebagai calon BN dalam PRU-15 lalu sebelum dipecat daripada UMNO pada 8 Dis lalu. #sumber

Share:

Dua Mangsa "Rentung", Lori Dan Kereta Bertembung Dekat Kuala Krau Pagi Tadi

 

TEMERLOH - Dua rentung dalam kenderaan masing-masing dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Jalan Temerloh Kuala Krau hari ini.

Kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing yang terbakar selepas perlanggaran jam 10.48 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba sampai ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah lori dan kereta sedang terbakar.

"Terdapat dua mangsa yang tersepit dalam kereta dan lori yang terbakar di mana kemusnahan kereta adalah 100 peratus dan lori 80 peratus.

"Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Krau dan Temerloh dengan tiga jentera bertindak memadam kebakaran," katanya.

Beliau berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.46 pagi.

Katanya kedua dua mangsa yang tersepit ditemukan rentung di dalam kenderaan masing-masing. #sumber

Share:

"Hilang Kepercayaan" Terhadap Presiden, Lapan Bahagian PBM Pahang Dibubarkan

KUANTAN - Parti Bangsa Malaysia (PBM) Pahang mengumumkan pembubaran jawatankuasa dan lapan bahagian negeri itu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pembubaran itu dimaklumkan dalam satu surat oleh PBM Pahang yang ditandatangani Naib Pengerusi, Dasimah Zainudin kepada Setiausaha Agung parti itu, hari ini.

Menurut surat itu, keputusan dibuat selepas dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan PBM Pahang hari ini.

Pembubaran itu dibuat berikutan rasa kecewa dan hilang kepercayaan kepada Presiden PBM, Larry Sng yang memungkiri janji untuk memberi laluan kepada pengasas PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk memimpin parti tersebut.

Lapan bahagian yang dibubarkan ialah Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Temerloh, Bentong, Bera, dan Rompin.

Dalam surat itu Dasimah juga mendakwa Larry juga ingkar dengan keputusan Persidangan Agung Tahunan PBM pada 1 Okt lalu, yang meluluskan usul secara sebulat suara agar proses peralihan kuasa presiden parti diberikan kepada Zuraida.

“Beliau (Larry) juga telah menyalahgunakan kuasa untuk memecat 13 pimpinan kanan parti termasuk Zuraida tanpa rundingan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,” menurut surat berkenaan yang salinannya turut dipanjangkan kepada ketua pengarah JPPM. #sumber

Share:

Aksi Timbang Bola Puteri Mia Pelajar SK Cenderawasih Buat Arif Aiman Terpegun

KUANTAN - Populariti  penyerang muda pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman hanafi sememangnya tidak dapat dinafikan.

Namanya semakin meningkat naik selepas berjaya dinobatkan sekali lagi sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

Selain itu, pemain berasal dari Pahang itu turut mengalahkan tonggak pasukan kebangsaan, Faisal Halim untuk memenangi kategori Anugerah Penyerang Terbaik.

Tidak padan dengan usianya, pemain berumur 20 tahun itu boleh dikatakan penyumbang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim lalu iaitu Liga Super, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Bebas daripada kontrovesi dan sentiasa berpenampilan sopan, Arif Aiman juga sentiasa diundang menjadi tetamu program-program khas di sekolah.

Terbaharu, Arif Aiman diundang ke sebuah program di Sekolah Kebangsaan (SK) Cenderawasih di di sini baru-baru ini.

Apa yang menarik dalam jemputan tersebut adalah gelagat Arif Aiman lawan menimbang bola dengan seorang murid perempuan di sekolah berkenaan.

Dalam video yang dimuat naik guru sekolah terbabit @ruqaiyah_rahman di akaun TikTok memaparkan pelajar bernama Puteri Mia itu berpeluang untuk menunjukkan bakatnya sebagai freestyler di depan Arif Aiman.

Kehebatan yang ditunjukkan oleh Puteri Mia itu bukan sahaja membuatkan murid-murid sekolah dan tenaga pengajar yang lain kagum, malah Arif Aiman turut memberikan tepukan kepadanya.

Menurut cikgu sekolah tersebut, Puteri Mia merupakan seorang yang berbakat dan pernah menjadi juara dalam beberapa pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah.

"Memang adik Mia pandai timbang bola, dia johan dalam ikon sukan kebangsaan kalau tak silap saya. Dia boleh timbang lama gila bola dalam video itu," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut memuji bakat kanak-kanak perempuan tersebut.

Pemain futsal wanita negara, Intan Serah turut memuji kehebatan Puteri Mia.

"Terbaik," katanya.

Seorang lagi pengguna TikTok, Natrah berasakan, pelajar sekolah rendah tersebut mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diasah bakat dari muda sama seperti Arif Aiman.

"Dia akan jadi macam Arif Aiman suatu hari nanti kalau mempunyai didikan yang betul. Zaman sekarang perempuan pun boleh jadi pemain bola sepak yang berjaya," tulisnya.

Sementara itu, Tarmizi turut bersetuju dengan pendapat Natrah.

"Ini macam Arif Aiman versi perempuan. Tapi nampak Arif Aiman terpegun, mesti dia sangka budak itu main-main sahaja. Terbaik anak Pahang," katanya. #sumber

Share:

Seorang Remaja Orang Asli Jadi Mangsa Terbaharu Serangan Gajah Liar Di Lipis !

 

LIPIS - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas serangan seekor gajah di Pos Sinderut di sini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata kanak-kanak lelaki yang maut dalam kejadian terbaru itu dipijak seekor gajah liar di kawasan ladang kira-kira jam 10 pagi semalam.

Katanya, ia merupakan kes kematian kedua membabitkan penduduk Orang Asli akibat konflik dengan gajah liar sejak beberapa minggu lalu.

Justeru Ramli mempersoalkan bilakah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan mengambil tindaakn.

"Dalam tempoh beberapa minggu lepas seorang wanita Orang Asli mati di Pos Betau angkara kumpulan gajah tersebut.

"Perhilitan nak tunggu berapa ramai lagi nyawa Orang Asli di kawasan parlimen Cameron Highlands dan DUN Jelai melayang baru ada tindakan positif diambil?" soalnya.

Pos Betau dan Pos Sinderut terletak kira-kira 65 km antara satu sama lain melalui jalan darat, dan dipisahkan oleh hutan tebal.

Imej satelit menunjukkan pembersihan hutan berhampiran Pos Betau dan di sekitar Pos Sinderut.

Ramli berkata, dia sebelum ini mencadangkan agar kawanan gajah liar yang mengancam penduduk kampung dipindahkan ke hutan simpan lain seperti di Kenyir.

Bagaimanapun, pihak berkaitan bersikap membisu berhubung perkara itu.

Ramli berkata jika tiada tindakan diambil untuk memindahkan gajah liar, masyarakat Orang Asli mungkin terpaksa mencederakan haiwan terbabit, demi melindungi diri mereka.

"Nanti jika Orang Asli bertindak di luar batas undang undang terhadap gajah-gajah ini jangan ada pula tindakan diambil terhadap tindakan mempertahankan nyawa dan ada membela gajah-gajah ini. Nyawa manusia atau nyawa gajah yang amat berharga?"soalnya.

Gajah Asia adalah spesies terancam. Perhilitan menganggarkan kurang daripada 1,700 haiwan berkenaan tinggal di hutan di Malaysia.

Antara ancaman kepada kewujudan mereka ialah kehilangan habitat, yang juga membawa kepada konflik manusia-gajah.

Antara 2015 hingga 2021, Perhilitan merekodkan 3,325 aduan membabitkan konflik manusia-gajah.

Dari Januari hingga Jun tahun lepas, kira-kira 435 aduan serupa dilaporkan. #sumber

Share:

PAU 2023 Hanya Akan Dihadiri Oleh Ahli UMNO, BN Dan 'Friends Of BN' Sahaja !

 

KUANTAN - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan hanya ahli parti itu, komponen Barisan Nasional (BN) dan 'Friends of BN' yang akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada 11 hingga 14 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memberi ruang kepada Umno dan parti komponen BN menyelesaikan isu dalaman parti bersama enam 'Friends of BN'

"Kami membuat keputusan bahawa PAU (2023) kali ini hanya antara parti komponen sahaja. Nak selesaikan perkara berkait UMNO dan BN sahaja.

"Bukan sahaja parti lain, malah duta asing yang sebelum ini kita jemput...juga tidak dijemput. Setakat ini, itulah keputusan," katanya ketika sidang media di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir memberi penerangan mengenai isu terkini negara kepada 1,309 pimpinan UMNO di setiap bahagian seluruh negeri ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, MKT UMNO masih belum memutuskan bentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

"Kita bekerjasama bentuk Kerajaan (Perpaduan). Kerjasama parti bagi menghadapi PRN belum diputuskan.

"Kita bincangkan kemudian. Dari segi (perbincangan) pucuk pimpinan parti belum ada mesyuarat antara BN dan parti lain (bagi menghadapi PRN)," katanya. #sumber

Share:

Mayat Pelajar UiTM Dungun Yang Lemas Di Pantai Cherating Di Temui Pagi Tadi !

 

KUANTAN – Mayat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang dipercayai lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating kira-kira pukul  1.45 petang semalam ditemui kira-kira 7.30 pagi tadi.

Mayat mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemui di kawasan Pantai Baging kira-kira sembilan kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketika tinjauan media, ibu bapa serta sebahagian ahli keluarga penuntut itu memaklumkan jenazah telah dibawa ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk proses bedah siasat.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Cherating.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mangsa sebelum itu tiba di pantai terbabit kira-kira pukul 1.30 petang bersama 19 rakannya untuk berehat dan berkelah.

Tambahnya, ketika mereka mandi sambil bermain di dalam air, ombak tinggi tiba-tiba datang merempuh kumpulan pelajar itu.

Mangsa yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dikatakan hanyut dibawa arus deras dan hilang namun rakan-rakannya dilaporkan selamat. #sumber

Share:

Penuntut UiTM Dungun Lemas, Sempat 'Berpegang Tangan' Sebelum Terlepas !

KUANTAN - "Kami berlima saberpegang tangan sebelum dipukul ombak besar menyebabkan semua terlepas tangan masing-masing.

"Saya dan dia (mangsa) hanyut dibawa arus deras, namun saya mengapungkan diri dan berjaya selamat," kata pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Izzuddin Hirzie Zaki, 19, menceritakan detik cemas hampir lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, rakannya, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 19, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Izzuddin berkata, ketika dihanyutkan arus, dia mendengar rakannya menjerit supaya dia berenang ke tepi.

"Saya cuba bertenang dan berjaya apungkan diri sebelum kaki saya dapat berpijak pada tanah semula dan terus menyelamatkan diri.

"Sebelum itu saya sempat melihat Adam dalam keadaan terkapai-kapai sebelum tenggelam dan tidak kelihatan lagi selepas itu," katanya.

Sementara itu, rakannya, Wan Riz Wan Rosdi, 19, berkata dia dan mangsa antara orang terakhir yang mahu mengikut trip beriadah di pantai berkenaan.

"Kami seramai 20 orang datang dengan empat kereta sewa untuk menghabiskan hari minggu dengan beriadah di pantai ini.

"Perancangan untuk datang ke sini sudah dibuat rakan sejak dua minggu lalu, namun kami berdua (dengan mangsa) hanya bersetuju untuk ikut serta, semalam," katanya.

Beliau berkata, mereka tiba di pantai berkenaan kira-kira jam 9 pagi selepas bertolak kira-kira jam 7 pagi dari kampus dan setiba di pantai, mereka semua bermain air.

"Kami kemudian bermain bola sepak pantai dan selepas itu mereka berlima turun semula untuk mandi laut, manakala yang lain ada yang berehat dan minum di gerai berdekatan.

"Tiba-tiba seorang daripada rakan berlari ke arah kami dalam keadaan panik dan memberitahu mangsa hilang dibawa arus.

"Kami semua cuba mencari mangsa dengan menyusur pantai, selain meminta pertolongan orang ramai, namun mangsa gagal dikesan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Operasi SAR dilakukan dengan pencarian di air membabitkan tiga aset milik JBPM, APM dan Maritim Malaysia sebelum ditangguhkan kira-kira jam 6 petang tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok," katanya. #sumber

Share:

MBK, UIAM Kerjasama Anjurkan Program Bonding Day #RIVERFORLIFE Di Sg Galing


KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan dan River Of Life (Kuantan Chapter) UIAM Kuantan hari ini melaksanakan program kerjasama iaitu Bonding Day #RIVEROFLIFE serta Local Agenda 21 Sungai Galing Kuantan. 

Program  telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin disini pagi tadi.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini adalah penanaman pokok, sesi gotong-royong kawasan sekitar, Program Trash To Cash dari SWCorp, pertandingan mewarna dan demonstari penghasilan sabun dari minyak terpakai.

Program komuniti ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran akan kepentingan sungai dan kawasan sekitar kepada masyarakat umum. Hargai sungai kita, buanglah sampah di tempat yang di sediakan.

Yang turut hadir ialah Profesor Dr. Nazri Mohd Yusoff, Pengerusi River Of Life (Kuantan Chapter) UIAM Kuantan, Puan Hajah Che Huzzana Che Hussain, (Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBK), Encik Razaki Omar (Pengerusi JPKK Kampung Galing Besar) dan Encik Muhammad Muhaimin Anoor (Ketua Bahagian Komuniti MBK).

Program ini juga turut dihadiri oleh pelajar UIAM Kampus Kuantan, kakitangan MBK, kakitangan SWCorp, kakitangan Alam Flora Sdn. Bhd. dan penduduk setempat. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.