script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Covid-19: Malaysia Catat 43 Kematian, 2,766 Kes Jangkitan !


PUTRAJAYA: Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat enam kes, daripada 37 yang dilaporkan semalam kepada 43 hari ini.
Peningkatan kes harian pula sebanyak 140, menjadikan jumlah keseluruhan 2,766 kes.
Seramai 94 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 60 memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa enam kematian baru melibatkan lima warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia.
Hampir kesemua yang menjadi korban Covid-19 berkenaan mempunyai latar belakang penyakit kronik.
Berikut merupakan enam kes kematian terbaru:
  • Kes kematian ke-38 (kes ke-2269) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan kontak kepada kes ke-2750. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.04 petang.
  • Kes kematian ke-39 (kes ke-2626) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi. Beliau telah meninggal dunia pada 27 Mac 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
  • Kes kematian ke-40 (kes ke-2627) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 1:03 petang.
  • Kes kematian ke-41 (kes ke-1275) merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 1.38 pagi.
  • Kes kematian ke-42 (kes ke-2628) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 7.09 pagi.
  • Kes kematian ke-43 (kes ke-2629) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.30 petang. #sumber
Share:

Kes Jangkitan Virus Covid-19 Seluruh Dunia Melebihi 750,000


Hanya selepas beberapa hari kes covid-19 mencecah setengah juta, jumlah jangkitan di seluruh dunia pada Isnin melebihi 755,000, lapor agensi berita Anadolu memetik data Johns Hopkins University.

Virus maut itu kini menular ke sekurang-kurangnya 177 negara dan wilayah di seluruh dunia, dengan lebih 36,000 kematian.

Sehingga kini lebih 158,000 orang yang didiagnosis dengan penyakit itu sembuh.

Itali, Sepanyol, China dan Iran kekal menjadi negara paling banyak kes kematian manakala Amerika Syarikat mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi - 132,637.

Kematian paling ramai dilaporkan di Itali dengan 11,591 orang dan lebih 101,000 kes jangkitan, Sepanyol 7,340 kematian dan jumlah kes melebihi 85,000. China mencatatkan lebih 3,300 kematian dan melebihi 82,100 kes.

Angka korban di Iran pula mencecah 2,757 orang dengan lebih 41,400 kes jangkitan. #sumber
Share:

Dr Noor Hisham: Rakyat Penentu Kejayaan Sekat Penularan !


KUALA LUMPUR: Rakyat adalah penentu utama dalam menghentikan pandemik COVID-19 ketika negara menghadapi krisis wabak itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setiap rakyat mempunyai peranan dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 dengan mematuhi perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah masing-masing.
Katanya, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam meratakan lekuk penularan COVID-19 bagi membolehkan sistem kesihatan lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan mereka.
“Walaupun situasi semasa ini adalah suatu pengalaman yang baharu, sektor kesihatan sudah merancang dan bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Dengan pembabitan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak. Sememangnya kesihatan anda tetap menjadi keutamaan kami,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sudah menunjukkan iltizam tinggi dan berusaha sebaik mungkin memerangi pandemik COVID-19.
Katanya, ramai petugas yang meninggalkan orang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit.
“Kementerian menghargai setiap satu daripada anda dan segala kudrat yang sudah serta sedang anda curahkan setiap hari.
“Dedikasi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh setiap petugas kesihatan dalam menghadapi pandemik yang luar biasa ini sememangnya menakjubkan. Terima kasih kepada anda semua,” katanya merujuk pekada petugas barisan depan dalam mendepani krisis itu.
Sementara itu, Noor Hisham turut menyatakan rasa terharu beliau menyaksikan kemurahan hati setiap individu dan organisasi sama ada kecil atau besar yang sudah menyumbang kepada petugas barisan hadapan.
“Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya. #sumber
Share:

SPRM Siasat Kehilangan Meragukan Wang Bekas Menteri !


KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan bagi menyiasat pemilikan meragukan sejumlah wang tunai milik seorang bekas menteri .
Dalam satu kenyataan, agensi penguatkuasa undang-undang berkenaan memberitahu, siasatan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009.
Kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan media berhubung perkara berkenaan semalam.
Semalam, Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumahnya.
Beliau mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 yang disimpan di dalam peti besi di dalam bilik beliau.
Mengikut laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar itu, kali terakhir beliau melihat wang tersebut adalah pada 13 atau 14 Mac lalu, dan kehilangan disedari pada 29 Mac.
Ujarnya, tiada sebarang kesan umpil pada peti besi berkenaan manakala keadaan rumah serta biliknya juga kemas. #sumber
Share:

Covid-19: Pesakit Pulih Paling Ramai Di Rekodkan Hari Ini


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes pulih terbesar hari ini dengan 91 kes sepanjang negara dilanda wabak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu terdiri daripada pelbagai kluster termasuk tabligh.
"Ada banyak (kluster) telah pulih dan dibenar pulang hari ini," katanya.
Menurutnya, bilangan tersebut menjadikan jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang telah pulih adalah 479 kes.
"Kes pulih merupakan 18.2 peratus daripada keseluruhan kes positif," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata, status terkini kes positif Covid-19 setakat tengah hari ini mencatat penambahan sebanyak 156 kes.
"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 94 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Mengulas mengenai kes kematian, beliau berkata, sebanyak tiga kes pertambahan direkodkan boleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan.
"Kes kematian ke-35 merupakan kes ke-1,952 yang berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.
"Wanita berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dan dirawat Hospital Sungai Buloh disahkan meninggal dunia jam 4 petang semalam," katanya.
Menurutnya, kes kematian ke-36 melibatkan kes ke-1,941 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun.
"Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 pagi tadi," katanya.
Tambahnya, kes kematian ke 37 melibatkan wanita berumur 46 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun.
"Dia merupakan pesakit ke 2,471 telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal
dunia jam 9.02 pagi tadi," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini bayi berusia 12 hari yang dijangkiti Covid-19, beliau berkata, bayi berkenaan dalam pemantauan. #sumber
Share:

Tiga Jenis Ubat Rawat Covid-19 Dikenal Pasti Ada Di Malaysia


KUALA LUMPUR – Tiga jenis ubat yang berdaftar di negara ini dikenal pasti boleh digunakan untuk rawatan Covid-19 dan bekalan ubat tersebut telah sedia ada di Malaysia.

Ubat-ubat tersebut adalah ‘Chloroquine’, ‘Hydroxychloroquine’ dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’.
Hasil semakan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati ketiga-tiga ubat itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Bekalan ubat tersebut telah sedia ada di Malaysia untuk kegunaan rawatan penyakit lain dan boleh digunakan untuk rawatan COVID-19,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di laman Facebook bertajuk Status Ubat Bagi Rawatan Covid-19 di Malaysia.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti Favipiravir dan Remdesivir akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan COVID-19.

Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia telah dipilih oleh World Health Organization (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan.

Katanya, NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin. Bagi ubat Favipiravir, KKM sedang mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal.

“Dalam situasi pandemik COVID-19 sekarang, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit.

Sehingga hari ini, sebanyak 27 kematian direkodkan berikutan penularan Covid-19 di Malaysia. #sumber
Share:

Virus Covid-19 Boleh Merebak Melalui Sistem Kumbahan ?


PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai risiko Covid-19 bagi mengenal pasti sama ada virus itu boleh merebak melalui sistem pembentungan.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini, berkata kementeriannya dijangka bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Delft (TU Delft), Belanda pada minggu hadapan untuk tujuan itu.

Kajian itu perlu dilakukan segera kerana terdapat laporan saintifik terkini oleh Institut Nasional Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RVIM) di Belanda yang menunjukkan bahan genetik virus coronavirus yang menyebabkan Covid-19 ditemui dalam sistem kumbahan di Belanda.

Menurut laporan itu, ini berlaku apabila najis pesakit yang dijangkiti Covid-19 disalurkan ke dalam sistem pembetungan awam.

“Kementerian peka dengan perkembangan saintifik terhadap penularan pandemik Covid-19, maka kementerian menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) akan mengendalikan kajian terperinci untuk memastikan sama ada bahan genetik virus COVID-19 boleh hidup dan membiak dalam sistem pembetungan awam.

"Kajian ini juga untuk memastikan sama ada sampel kumbahan dalam sistem pembetungan boleh dijadikan indikator adanya pesakit Covid-19 di sesebuah kawasan," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan UTM dan TU Delft itu adalah untuk menentukan tahap risiko kesihatan bukan sahaja kepada warga kerja dalam industri pembetungan dan bekalan air, tetapi juga mereka yang terlibat dengan pengurusan sumber air serta pengguna air keseluruhannya.

“Sistem pembetungan adalah perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Oleh demikian, menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan risiko kesihatan sentiasa dapat diminimumkan dalam kalangan warga kerja industri pembentungan, bekalan air dan sumber air," katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan kualiti pembekalan air minum kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penurasan dan pembasmian kuman atau virus dijalankan di loji rawatan air memadai untuk membunuh Covid-19 melalui proses pengklorinan yang digunakan untuk pembasmian kuman atau virus. #sumber
Share:

Malaysia Mencatat Satu Lagi Korban Covid-19, Kes Baru 159 !


PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan satu lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat jangkitan Covid-19 adalah seramai 27 orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 159 lagi kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,320 kes," katanya dalam satu kenyataan.

Berkenaan kematian terbaru itu, Noor Hisham berkata mangsa berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Beliau dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac 2020 dan kemudian dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 25 Mac 2020.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 10.50 pagi," katanya.

Sehingga kini, katanya, seramai 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kes memerlukan bantuan pernafasan. #sumber
Share:

MB: Pahang Teruskan Lapan Inisiatif, Bagi Lengkapi Prihatin


KUANTAN - Kerajaan Pahang akan meneruskan lapan inisiatif yang dianggar membabitkan jumlah keseluruhan RM14 juta bagi membantu rakyat di negeri

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut disifatkan saling melengkapi kepada usaha kerajaan Persekutuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan semalam.

"Pahang akan meneruskan usaha itu dan berharap rakyat di Pahang akan terus akur kepada arahan yang dikeluarkan terutamanya mengenai ‘duduk di rumah’ selain mendoakan pandemik Covid-19 dapat diatasi Insya-ALLAH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, Prihatin yang diumumkan menitikberatkan beratkan rakyat dan inklusif meliputi keseluruhan rakyat terkesan disebabkan Covid-19.

Jelasnya, kesemua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak pandemik mendapat manfaat daripada Prihatin.

"Melalui peruntukan RM250 bilion yang daripadanya, RM128 bilion sahaja ialah untuk melindungi kebajikan rakyat dan saya percaya ia turut mencakupi rakyat negeri Pahang yang sama-sama terkesan dengan Covid-19, serta tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya. #sumber
Share:

Malaysia Catat 26 Kematian Akibat Covid-19, 130 Kes Baharu


KUALA LUMPUR: Setakat tengah hari tadi, jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 26 korban, dan terdapat 130 kes baru yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,161.


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 54 pesakit kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Korban ke-25 akibat Covid-19 melibatkan pesakit kes ke-2,032 yang merupakan seorang lelaki berusia 83 tahun dengan sejarah penyakit kronik.
Dia dirawat di Hospital Ipoh dan meninggal dunia pada pukul 6.55 petang semalam.
Korban ke-26 pula ialah pesakit kes ke-1321 yang merupakan lelaki berusia 53 tahun yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit kes ke-1,309.
Dia dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac lalu dan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi tadi.
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 35 tahun menjadi korban ke-24 virus itu.
Sementara itu, Noor Hisham berkata terdapat 88 kes Covid-19 di kawasan Kluang, Johor.
Daripada jumlah itu, 74 kes adalah dari Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam.
Kedua-dua kawasan ini telah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Kerja-kerja pembasmian kuman akan dijalankan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 44 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh daripada jangkitan itu sebanyak 259. #sumber

Share:

Kematian Kes Positif Ke-19 Melibatkan Wanita Warga Emas


PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan empat kematian kes positif Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) hari ini.
Jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 19 kes.
“Kematian ke-16 merupakan kes 1,334 melibatkan lelaki tempatan berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Dia dipindahkan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac sebelum kesihatannya merosot dan diberikan bantuan pernafasan serta disahkan meninggal jam 7.40 malam semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham lagi, kes ke -1,251 dicatatkan sebagai kes kematian ke-17 melibatkan lelaki berusia 66 tahun dan disyaki mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.
“Mangsa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 20 Mac dan kesihatannya merosot sebelum disahkan meninggal dunia jam 4.10 pagi ini,” katanya.
Noor Hisham turut berkata kes kematian ke-18 juga mempunyai latar belakang penyakit kronik melibatkan lelaki berusia 56 tahun.
“Pesakit dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac dan disahkan meninggal jam 2 pagi tiga hari kemudian,” katanya.
Satu lagi kematian direkodkan melibatkan kes ke- 19 dan merupakan kes 1,246 yang merupakan warga emas wanita berusia 68 tahun.
Kes itu dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac dan diberikan bantuan pernafasan sebelum meninggalkan dunia jam 12.53 pagi tadi.
Menurutnya, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) mencatat penurunan berbanding semalam.
“Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.  #sumber
Share:

Perakam Video 'Kenduri Kepala Kambing' Mengaku Bersalah !


ALOR SETAR - Seorang lelaki mengaku bersalah atas tuduhan merakam dan memuat naik sebuah video mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui WhatsApp di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Naim Md Isa, 49, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.30 tengah hari pada 19 Mac hingga jam 2 petang pada 20 Mac lalu melalui aplikasi WhatsApp di telefon miliknya.


Dia didakwa dengan sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik iaitu 'kuarantin kepala bapak' sebanyak dua kali di dalam video berdurasi 57 saat dengan niat untuk menganiayai orang lain.


Junaidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 11 Mei depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek dituduh mengikut Seksyen 233 ( 1 ) ( a ) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Akta 588 ] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 ( 3 ) akta yang sama.

Beliau berkata, pertuduhan yang bersesuaian untuk seorang lagi tertuduh masih dikaji.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perakam video kenduri kepala kambing berusia 49 tahun ditahan reman selama empat hari bermula 21 hingga 24 Mac untuk membantu siasatan berhubung video tular memaparkan tindakan seorang individu merakam video mempertikai PKP di Langgar di sini.


Pemilik rumah lokasi kenduri berusia 60 tahun yang turut ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.

Berdasarkan siasatan, majlis kenduri yang tular itu diadakan kira-kira jam 12 tengah hari pada hari pertama pelaksanaan PKP 18 Mac lalu.

Majlis dianjurkan seorang individu dikenali sebagai Ayah Tahir di sebuah kampung di Langgar dihadiri antara 25 hingga 30 kenalan berusia antara lingkungan 20 tahun hingga 60-an. #sumber
Share:

Peka Bantu Rakyat, Lancarkan Tabung Sumbangan Covid-19 !


KUALA LUMPUR Sedih dan simpati dengan nasib serta kesusahan hidup yang menimpa masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19, Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Sumbangan Covid-19.

Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata, tabung berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan harian termasuk kelengkapan kesihatan seperti pembersih tangan dan penutup mulut serta hidung untuk disumbangkan kepada golongan sasar.


"Objektif penubuhan tabung adalah untuk meningkatkan sumbangan bagi Peka menggerakkan misi sukarelawan bencana yang bertujuan membantu golongan miskin, kurang upaya, tua dan ibu tunggal, yang kehilangan sumber pendapatan dan terputus bekalan makanan kerana mereka tidak dapat bekerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Peka sedih dengan keadaan semasa yang menjejaskan bukan sahaja Malaysia, tetapi di seluruh dunia, yang telah menyebabkan banyak negara mengalami krisis ekonomi dan penderitaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan aspek kemanusiaan, menjadi peranan bersama Peka untuk membela kebajikan rakyat di negara ini.

"Dengan keputusan kerajaan yang melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini, Peka percaya lebih ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akan terjejas.

"Oleh sebab itu, kita mengambil inisiatif menubuhkan tabung ini yang pada masa sama bertujuan menggalakkan sumbangan pihak swasta serta orang perseorangan atas prinsip sumbangan bencana adalah tanggungjawab bersama," ujarnya.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah dengan kerjasama Briged Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) dan melibatkan beberapa NGO sebagai organisasi yang akan mengagihkan bantuan yang disumbangkan nanti.


Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Cimb Bank Peka 8603453646.
"Orang perseorangan mahupun pihak swasta termasuk tokoh-tokoh korporat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung tabung berkenaan boleh menghubungi Kapten Fazli Abu Bakar di talian, 0169221717.

"Untuk pengeluaran resit, penderma boleh emel slip transaksi bank dengan menyatakan PEKA COVID-19 kepada peka.mly@gmail.com," katanya. #PDO
Share:

Penjawat Awam Sedia Potong Gaji Untuk Tabung Covid-19


KUANTAN - Prihatin dengan nasib golongan yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19), 10,000 penjawat awam negeri Pahang bersedia memotong gaji mereka untuk disumbangkan ke Tabung Covid-19 Pahang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, mereka terdiri penjawat awam lantikan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun negeri Pahang.
Menurutnya, melalui usaha dan pengorbanan penjawat awam yang prihatin itu, dianggarkan RM100,000 sebulan dapat dikumpulkan untuk disumbangkan ke tabung tersebut.
“Usaha kecil ini merupakan pengorbanan penjawat awam negeri Pahang bersolidariti bersama rakyat di negeri ini memikul beban mereka yang terjejas.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, banyak pihak yang telah terjejas termasuk penjaja, peniaga makanan, pemandu teksi dan banyak lagi justeru menyedari kesukaran dihadapi mereka, penjawat awam negeri Pahang terpanggil untuk bersama-sama memikul beban tersebut,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif menghasilkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) secara Do It Yourself (DIY) melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Penjara Negeri Pahang.
Menurutnya, bekalan PPE sangat kritikal ketika ini dan ia merupakan salah satu perlindungan utama untuk petugas-petugas barisan hadapan.
“Hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, timbul inisiatif untuk membuat PPE secara DIY memandangkan keperluan ini mendesak.
“Usaha ini mendapat reaksi positif dan akan melibatkan NGO seperti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Puteri UMNO dan beberapa NGO lain,” katanya.
Dr Sallehuddin berkata, pihak Penjara Penor dan Penjara Bentong juga turut akan bekerjasama dalam menyediakan PPE ini.
“Diharapkan usaha kecil ini akan dapat membantu petugas-petugas kesihatan yang amat memerlukan. Saya menyeru agar lebih ramai Rakyat Pahang turut serta dalam usaha ini,” katanya. #sumber
Share:

Covid-19: Satu Lagi Kematian, Jumlah Di Rekodkan 16 Orang !


KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian membabitkan mangsa COVID-19 dilaporkan berlaku pada jam 7.40 malam ini.
Ia menjadikan jumlah kematian yang direkodkan Malaysia ketika ini seramai 16 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kematian ke-16 ini adalah kes ke-1334 membabitkan seorang warga tempatan berusia 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Mangsa mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac lalu dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.
“Kesihatannya merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif COVID-19 pada 21 Mac lalu.
“Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini, jam 7.40 malam. Kami mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pesakit,” katanya di Facebook, tadi.
Beliau berkata, punca jangkitan COVID-19 masih dalam siasatan. #sumber
Share:

Peminat Perlulah Terima Jika Piala Malaysia Tahun Ini Tiada !


KUALA LUMPUR: Di antara emosi, sentimental dan nyawa, sudah tentu keselamatan diri lebih penting.


Justeru andainya saingan Piala Malaysia tidak dilangsungkan tahun ini, peminat bola sepak perlu menerimanya secara terbuka.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata soal nyawa dan keselamatan orang ramai harus menjadi keutamaan semua pihak ketika ancaman Covid-19 masih belum dapat dikalahkan.
"Kalau fikirkan sayang (kerana Piala Malaysia) kejohanan tertua, memang kita akan fikir begitu.
"Tapi kalau kita fikir berkenaan nyawa dan keselamatan semua pihak, kita kena berkorban," katanya seperti dipetik BH Online semalam.
Menurut Wan Jamak, langkah penangguhan tersebut bukan saja diambil oleh Malaysia malah negara lain di seluruh dunia.
Katanya wabak itu mengancam nyawa semua pihak termasuk pemain dan penonton.
“Walaupun saingan Piala Malaysia kebiasaannya berlangsung di penghujung musim, penangguhan aksi Liga Malaysia (Liga M) ketika ini boleh menjejaskan perancangan.
“Sekiranya penangguhan itu mengambil tempoh yang lama ia akan menyebabkan saingan seperti Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA dijangka berlanjutan hingga hujung tahun untuk dihabiskan,” jelasnya.
Setakat semalam, Malaysia telah mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak 1,518 kes dengan 14 kematian. #sumber
Share:

Najib Cadang Empat Perkara Untuk Hadapi Kemelut Covid-19


KUALA LUMPUR – Rangkaian bekalan makanan dan barangan keperluan asas tidak boleh putus. Itu salah empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam menghadapi kemelut penularan virus Covid-19.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rangkaian bekalan makanan dan keperluan asas itu termasuk topeng muka, sanitizer, PPE, alat bantuan pernafasan dan ubat.
“Selain mendapat komitmen bekalan dari pengeluar dalam dan luar negara, kita patut galakkan kilang-kilang tempatan untuk meningkatkan pengeluaran barang-barang ini yang banyak bergantung kepada import.
“Jika krisis dunia bertambah teruk, kita akan mengalami persaingan hebat dan kesukaran untuk mendapati barang-barang ini.
“Masa itu tiada jaminan kita akan dibekal walaupun kita tawarkan harga lagi tinggi. Sebab itu, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara-negara lain kerana ada kemugkinan mereka akan mengharamkan eksport jika situasi bertambah teruk,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Kedua, kata Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan harus segera bantuan kewangan melalui pelbagai cara kepada rakyat.
Get money into the people’s hands immediately. Bagi menyelamatkan ekonomi negara serta menjamin kelangsungan hidup golongan paling terjejas, kerajaan mesti memberi bantuan kewangan yang mencukupi melalui pelbagai cara.


“Ini termasuk meningkatkan dan memperluaskan bantuan BR1M, membenarkan pengeluaran dari akaun KWSP serta bantuan kepada mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja, peniaga kecil yang terpaksa tutup dan pekerja bergaji harian seperti pemandu Grab dan pemandu teksi,” ujarnya lagi.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk mengembalikan BR1M bujang bagi mereka di bawah umur 40 tahun dan menghapuskan dasar tak masuk akal PH untuk hanya bantu bujang berumur 40 tahun ke atas.
“Pada masa ini, kerajaan tidak boleh kedekut lagi. Ini dah jadi matter of survival untuk negara. Naikkan lagi peruntukan bagi projek-projek kecil yang boleh dilaksanakan serta-merta. Pastikan proses pemberian projek ini adalah amat cepat dan bayaran untuk projek ini tidak lambat.
“Jika sekadar menurunkan kadar faedah bank berkali-kali seperti yang dilaksanakan oleh rejim gagalkrasi PH pun tak guna. Siapa nak beli kereta, beli rumah atau melabur dalam bisness baru jika Covid-19 belum dapat dikawal dan orang ramai tak ada duit untuk belanja?” soalnya.
Ketiga, katanya, proses saringan mesti diteruskan dan arahan kuarantin dibuat jika perlu.
“Kapasiti dan usaha saringan mesti dipertingkatkan. Saya difahamkan bahawa KKM sudah pun merancang untuk meningkatkan jumlah saringan harian dari 3,500 sehari ke lebih 10,000 sehari.
“Namun, kapasiti ini masih tidak mencukupi kerana 10,000 sehari bermaksud 300,000 orang sebulan sahaja ataupun 1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Lebih ramai dan lagi laju kita mampu saring, lagi cepat kita dapat menghalang Covid-19 untuk merebak,” katanya lagi.
Beliau juga mencadangkan rangkaian perubatan swasta serta syarikat insurans yang mengendalikan MySalam untuk membiayai secara penuh atau berkongsi kos dengan kerajaan untuk memberi ujian percuma kepada mereka yang percaya telah terdedah kepada risiko Covid-19.
“Kos ujian yang perlu ditanggung oleh rakyat sebanyak RM700 seorang tak masuk akal. Bagaimana golongan B40 mampu bayar?
“Ini bukan masa untuk syarikat-syarikat swasta untuk mengaut keuntungan lebihan,” katanya.
Keempat, usaha untuk menggalakkan orang ramai yang percaya mereka terdedah kepada risiko Covid-19 untuk menjalani saringan atau dikuarantinkan perlu ditingkatkan dan diperluaskan.
“Mereka perlu disanjung sebagai hero bila mereka berani tampil ke depan untuk diuji dan dikuarantin. Bukan dihina dan maklumat peribadi mereka ditularkan,” kata Najib. #sumber
Share:

Ketua Pengarah Kesihatan: Jangan Salahkan Jemaah Tabligh !


PUTRAJAYA – Rakyat negara ini diminta tidak menyalahkan jemaah tabligh sebagai punca penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut berharap jemaah itu tidak didiskrimasi atau distigma oleh masyarakat.
Jelas beliau, apa yang penting, orang ramai membantu untuk mengesan dan mengubati Covid-19 dan infeksi dalam kalangan tabligh, keluarga dan kenalan mereka.
“Untuk makluman kepada umum, janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. “Janganlah kita mendiskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh.
“Apa yang penting, adalah kita bantu mengesan dan mengubati COVID-19 infeksi di kalangan tabligh, keluarga dan kenalan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.
Seramai 14,500 jemaah telah menghadiri Majlis Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur bermula 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Sehingga kini, KKM telah membuat saringan terhadap 13,000 jemaah dan 6,700 sampel mereka telah diambil.
Daripada jumlah itu, seramai 986 jemaah telah disahkan positif.
Sementara itu, KKM telah menjalankan kolaborasi dengan pihak MERCY Malaysia dalam memberi psikososial sokongan kepada rakyat Malaysia. #sumber
Share:

Seorang Lelaki Berusia 71 Tahun Jadi Korban Covid-19 Ke-15


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat tempatan berusia 71 tahun menjadi korban terbaharu wabak Covid-19 di negara ini.
Allahyarham merupakan ke-1519 berasal dari Melaka, lapor CPRC Kebangsaan.Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa disyaki mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19 (kes ke-703 yang telah menghadiri perjumpaan tabligh di Masjid Seri Petaling).
“Beliau mempunyai sejarah penyakit kronik dan telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mulai 18 Mac 2020. “Beliau disahkan meninggal dunia pada 5.35 pagi, 24 Mac 2020.
“KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,”  kata Dr Noor Hisham dalam hantaran terbaharu di laman Facebook. Semalam empat kematian dilaporkan akibat penularan wabak Covid-19. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.