script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Fitnah: Mustafa Ali Di Arah Bayar Ganti Rugi Kepada Felda


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, dan empat lagi diperintahkan membayar ganti rugi RM130,000 kepada Felda selepas didapati memfitnah syarikat konglomerat itu.

Kenyataan fitnah itu adalah berhubung dakwaan Felda menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

Namun, Felda gagal dalam kes terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Felda berkata, Mazlan menyiarkan sekeping gambar invois di laman Facebook miliknya pada 19 November 2012 yang menggambarkan bahawa syarikat itu menjual minyak sawit mentah ke Israel.

Hakim Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman Felda terhadap semua defendan. #sumber
Share:

Pemilihan PKR: Tipu Undi Dedah Kelemahan Calon & Parti


SHAH ALAM: Isu manipulasi undi pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini semakin meruncing apabila kepemimpinan parti itu tampil mendesak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap calon yang didapati terbabit.

Senario tidak sihat yang dikaitkan dengan calon dan penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali ini dikesan apabila ada dakwaan berlaku 'blackout' ketika proses pengiraan undi di Cabang Batang Sadong, Sarawak.

Mengikut rekod, perkara seperti ini pernah berlaku pada pemilihan parti 2010 dan dilaporkan kepada JPP. Bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.

Kejadian terbaharu ini turut mencetuskan kemarahan ramai dan mendorong Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menjalankan siasatan selepas menerima aduan pelbagai pihak.

Gesaan sama dikemukakan calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendesak Biro Politik parti supaya tidak berkompromi dengan mana-mana calon yang terbabit.

"PKR dan Pakatan Rakyat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) parti kerana tidak telus dalam pilihan raya. Jadi, JPP kena buat kajian dengan betul," katanya di Bangunan SUK di Shah Alam, Rabu.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan JPP mengenai insiden tersebut.

"Saya mesti dapatkan laporan yang tepat tentang perkara ini (blackout). Malah calon lain patut dimaklumkan mengenai situasi sebenar pada ketika itu," katanya.

Pada Ahad, pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak JPP membatalkan pencalonan Azmin dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua PKR ekoran dakwaan memanipulasi undi.

Susulan itu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul pada Isnin mengesahkan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik ketika pemilihan di Cabang Batang Sadong.

Sementara itu, di PETALING JAYA, Badrul Hisham yang juga Ketua Cabang PKR Rembau, mendakwa penipuan yang berlaku dalam proses pemilihan peringkat cabang sengaja dibuat untuk memenangkan calon tertentu.

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard berkata, penipuan tersebut dilakukan kumpulan penyokong Azmin.

“Saya bersama rakan penyokong reformasi menghantar memorandum bantahan dan laporan penipuan kepada wakil JPP untuk tindakan lanjut.

“Kita tahu ada pengawas di tempat pengundian yang cuba memanipulasi undi untuk memenangkan calon tertentu. Justeru, kita harap JPP akan menyiasat dakwaan salah laku yang kita kemukakan ini dan akan mengambil tindakan segera ke atas pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” katanya. #sumber
Share:

Himpunan "Membantah GST" Di Jangka Ingkar Arahan Polis


KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam sebelum berlangsungnya Himpunan 1 Mei, penganjurnya seolah-olah cuba mengingkari arahan polis yang tidak membenarkan peserta berucap ketika berarak melintasi Dataran Merdeka, pada Khamis.
Selain itu, polis juga tidak membenarkan peserta membawa pembesar suara dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kemarahan atau provokasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata perkara itu dipersetujui selepas mengadakan empat perjumpaan antara pihaknya dengan penganjur.

"Saya meminta supaya tidak ada pihak yang memulakan provokasi. Harap perhimpuanan ini bermula dan berakhir dengan baik.

"Secara peribadi, saya harap ia menjadi perhimpunan berhemah kerana kita bagi apa yang diminta dan sebaliknya. Jadi ia adalah 'win win situation'," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKKL), Rabu.

Bagaimanapun, terdahulu pada sidang media Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, beliau memberitahu akan ada ucapan ketika perarakan itu berlangsung, sekali gus bercanggah dengan kenyataan Mohmad serta persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.

Perhimpuanan yang dijangka membabitkan 10,000 hingga 15,000 orang itu bagi membantah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mohmad juga mengingatkan semua pihak supaya mengikut arahan polis supaya tidak membawa senjata dan elak daripada membawa kanak-kanak kerana cuaca tidak menentu.

"Kita sudah bagi kemudahan dan elakkan berlaku ketegangan antara polis dengan orang awam," katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di sekitar bandaraya ini bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan berikutan penganjuran perhimpunan itu.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kesesakan lalu lintas dijangka berlaku pada pukul 12 tengahari hingga 9 malam berikutan perhimpunan itu bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pukul 5 petang.

"Sesiapa yang berhasrat nak ke Kuala Lumpur cubalah elak daripada berbuat demikian, tangguh dulu perancangan kerana lalu lintas agak perlahan," katanya.

Mohmad berkata, antara lokasi yang dijangka sesak dan dielakkan berkunjung adalah KLCC, Sogo, Masjid Negara, KL Sentral, Central Market, Masjid Jamek, Puduraya dan Dataran Maybank. #sumber

Share:

NGO Angkara Keliru, Kenapakah Batu Penghadang Jalan Di Simpang Lampu Isyarat "Jalan Gambut" Di Alihkan Semula


KUANTAN - NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) hari ini mempertikaikan tindakan pihak berkuasa membuka semula jalan di Jalan Gambut berhadapan dengan Wisma Persekutuan dan Wisma Sri Pahang dekat sini. Ini kerana pembukaan semula jalan itu menyebabkan kekeliruan dan risiko kemalangan akan terus berlaku di lokasi berkenaan. Penyelaras Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) hari ini berkata amat tidak wajar laluan itu dibuka semula selepas ia ditutup seperti yang diharapkan oleh pengguna jalanraya sebelum  ini. 

Sebelum ini PDO ada mendedahkan sebelum ini (sini) ramai pengguna tidak puas hati dan keliru dengan jalan terbabit. "Lampu isyarat yang membenarkan kenderaan membelok ke kanan dari arah SUK Pahang ke Jalan Bukit Sekilau (Kamdar) menyebabkan banyak berlaku kemalangan sejak ia dilaksanakan. Lebih menyiksakan, apabila laporan polis dibuat tidak ada sesiapa yang bersalah malah pihak insurans juga menolak tuntutan kerana jalan  tersebut dikatakan masih belum digazet. Ini menyebabkan ramai mangsa terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membaiki kenderaan masing-masing", kata Shukri. 

Kekeliruan katannya berlaku apabila ada kenderaan dari arah gereja yang berhadapan SUK Pahang mahu melalui jalan lurus arah Sekolah Kebangsaan Teruntum, sementara kenderaan dari arah SUK Pahang berhenti di simpang lampu isyarat terbabit pula  membelokkan kenderaan ke kanan arah Jalan  Bukit Sekilau- UTC Pahang. 



"Beberapa hari lalu, saya tinjau jalan tersebut sudah diletakkan pembahagi jalan, tapi anehnya tengahari ini batu penghadang pembahagi jalan sudah dibuka semula dan kini laluan kembali seperti biasa".


Bukti yang dirakamkan dua hari lepas, batu penghadang diletakkan

"Apakah pihak berkuasa (Majlis Perbandarn Kuantan) diberikan tekanan oleh pihak atasan gara-gara perletakkan batu penghadang pembahagi jalan terbabit?. Jika tidak kenapa ia dibuka semula... selang sehari selepas ia diletakkan?. Kenapa tidak tunggu seminggu atau sebulan untuk melihat hasilnya?. Kenapa takut bila mahu melakukan perubahan?, kata Shukri lagi ketika dihubungi.

Hari ini batu penghadang telah dialih semula oleh pihak yang berkenaan
Batu penghadang yang dialih diletak atas pembahagi jalan bersebelahan

Justeru, diharap pihak berkenaan dapat membuat siasatan terhadap perubahan drastik ini dengan segera. Kemalangan akan terus berlaku jika perkaran ini tidak diatasi dengan segera. Semakin hari semakin ramai mangsa yang mengadu kepaa pihak kami. Jalan terbaik, laluan itu ditutup terus dan tiada lagi lampu isyarat dari arah SUK Pahang melalu Jalan Gambut ke Jalan Bukit Ubi. Jika seperti sekarang, pasti lebih banyak kenderaan akan berhadapan dengan masalah dikemudian hari. PDO
Share:

Anwar: Batalkan Pemilihan Jika Terbukti Berlaku Penipuan


PETALING JAYA - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil tindakan menangguh atau membatalkan undian kepada individu yang didapati menipu semasa pemilihan parti.

Jelasnya lagi tindakan tersebut akan memperlihat jawatankuasa tersebut lebih telus dan tiada kompromi dengan mana-mana pihak termasuk pimpinan tinggi parti.
“Kita bukan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melindungi yang salah. Kita tegas tak kira siapa.


“Wujud unsur kecuaian mahupun penipuan, JPP perlu menangguhkan segera pemilihan dan membatalkan undian yang telah dibuat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, semalam.


Kata Anwar, JPP mampu menjalankan tanggungjawab kerana jawatankuasa tersebut sebuah badan yang tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pihak


“Kita telah arahkan siasatan segera dilakukan sebaik sahaja ada aduan penipuan diterima. Saya tegaskan kita berkecuali dan tidak akan melindungi sesiapa.


“Saya yakin JPP mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. JPP bukan seperti SPR, mereka tidak mempunyai kepentingan mana-mana pihak.” ujarnya.
Share:

PAS Pahang Bela Nasib Penduduk Orang Asli Di Kuala Krau


TEMERLOH: PAS Pahang menganggap penduduk Orang Asli di Kampung Pasu Peneras, Kuala Krau mempunyai hak untuk membantah tindakan penebangan hutan di kampung mereka kerana tindakan tersebut memusnahkan tanah adat dan kawasan sumber rezeki mereka.
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, kawasan tersebut telah diusahakan oleh penduduk di situ sejak turun-temurun sebagai kawasan kediaman, sumber rezeki dan pengkebumian.
“Saya lihat tuntutan Orang Asli itu munasabah kerana masyarakat mereka sudah mengusahakan tanah di kawasan tersebut sejak beberapa lama... di situlah mereka anggap tanah air mereka, tiba-tiba orang luar datang dan ambil alih.
“Bukan setakat usahakan malah dah mohon lama tetapi tak lulus. Kemudian ada pemimpin buat janji setiap kali pilihan raya untuk luluskan. Bagi kami ini satu penindasan terhadap Orang Asli,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat kawasan Orang Asli yang dijadikan sasaran oleh pembalak sejak lebih sebulan lalu. Bagaimanapun tiga buah kenderaan yang menyertainya hanya lantas ke kawasan pengumpulan balak (matau saja) tetapi tidak berjaya ke kawasan penebangan hutan kerana dipintas oleh kenderaan penguatkuasa perhutanan yang melarang.


Beberapa hari sebelum itu, penduduk perkampungan Orang Asli di situ berhimpun dan berdemonstrasi membantah penebangan balak yang didakwa di kawasan penempatan mereka sehingga beberapa buah lori ditahan.


Andan berkata, pada mulanya beliau dimaklumkan hanya 300 ekar sahaja kawasan balak di situ diluluskan dan memang tidak perlukan kajian kesan alam sekitar (EIA). Bagaimanapun, katanya, sesampai di sini beliau diberitahu berdasarkan pelan perancangan, penebangan balak menjangkau sehingga 2,000 ekar tetapi dipecah-dipecahkan 300 ekar.


“Itu mungkin bagi mengelakkan EIA. Kita kesal kerana kawasan ini dikelilingi oleh sungai dan kawasan tadahan. Dari segi alam sekitar pembangunan tidak terancang dengan baik dengan penebangan balak yang tidak dapat dikawal, bukan setakat kemusnahan hutan tetapi juga sungai akan jadi cetek maka banjir lumpur mudah berlaku.

“Selepas itu yang akan terkesan ialah Orang Asli yang duduk berdekatan, iaitu rakyat negeri Pahang ini juga,” tegasnya.

Andan berkata, selaras dengan itu lajnahnya akan mendapatkan semua maklumat untuk dibawa ke perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri, bersama isu-isu lain seperti pembalakan di Cameron Highlands.
Sementara penguatkuasa Perhutanan yang menemui Andan mengaku kawasan tersebut mendapat kebenaran sah bagi penebangan balak. Manakala rombongan Adun Beserah itu dilarang kerana tidak dibenarkan sesiapapun memasuki kawasan hutan simpan. #sumber
Share:

MH370: Penemuan Syarikat Australia Belum Lagi Disahkan


KUALA LUMPUR: Dakwaan sebuah syarikat penerokaan Australia bahawa ia mengesan bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, di Teluk Bengal, masih belum disahkan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Pemangku Menteri Pengangkutan berkata dakwaan, GeoResonance akan dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MH370.
"Terdapat terlalu banyak spekulasi di luar sana... adalah mustahil untuk memberi perhatian kepada semua.
"Bagaimanapun , misi pencarian ini masih lagi berjalan dan status quo adalah kekal," katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera di Wisma Pertahanan di sini, Isnin.
GeoResonance yang berpangkalan di Adelaide pada Isnin berkata, ia mula melakukan pencarian sendiri pada 10 Mac lalu, dua hari selepas pesawat MH370 hilang, dan bangkai pesawat mungkin dikesan di Teluk Bengal, kira-kira 5,000 km dari lokasi pencarian semasa di selatan Lautan Hindi , di barat Perth.
Pencarian GeoResonance itu meliputi 2,000,000 kilometer persegi zon kemungkinan berlakunya nahas, menggunakan imej yang diperolehi dari satelit dan pesawat, dengan pakar-pakar sains syarikat itu menumpukan usaha mereka di utara dari lokasi terakhir MH370 yang diketahui, menggunakan lebih 20 teknologi untuk menganalisis data yang termasuk reaktor nuklear. #sumber
Share:

Panas: "BLACKOUT" Kini Menular Pula Ke Pemilihan PKR !


KUALA LUMPUR - Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Keadilan, Datuk Johari  Abdul hari inimengesahkan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik ketika pemilihan di Cabang Batang Sadong.

Katanya, proses pengundian dan pengiraan untuk pemilihan pimpinan PKR 2014-2017 bagi cabang Batang Sadong dilakukan di sebuah hotel bajet.Johari menjelaskan pemilihan tersebut terpaksa dilakukan di sebuah hotel bajet ekoran tiada lokasi yang sesuai.

"Semasa pengiraan, dua calon Majlis Pimpinan Pusat datang dan secara kebetulan berlaku 'blackout' menyebabkan pintu lambat dibuka."Apabila pintu dibuka, dua calon MPP itu tadi melihat kertas undi berselerakan, lalu mereka mendakwa wujudnya unsur penipuan. Hal itu menyebabkan dua MPP tersebut tidak berpuas hati," katanya.

Sementara itu, Johari turut mengumumkan tedapat beberapa cabang yang terpaksa membuat pemilihan pada 10 Mei berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Share:

Panas: Penipuan Pemilihan PKR Batang Sadong Terbongkar


Pemilihan PKR ~ Semoga penipuan di Sarawak ini tidak disapu ke bawah karpet hendakNya???Setiap kali bila Pilihanraya menjelang tiba atau ketika Pilihanraya akan berlangsung, isu penipuan dalam Pilihanraya akan kita bangkitkan... Dari pengundi hantu hingga kepada senarai pengundi yang menimbulkan berbagai keraguan pasti akan diserang habis-habisan.. Malah serangan yang bertali arus terhadap SPR dalam isu satu alamat 88 pengundi sebelum PRU13 yang lalu telah menyebabkan pihak SPR menutup laman semakan pengundi buat sementara waktu..



Tetapi... biarpun pihak kita menunjukkan kemarahan malah menuduh SPR bersekongkol dengan UMNO/BN untuk kekal berkuasa, kita juga turut menipu..


Tidakkah ini namanya HIPOKRIT??
... Hasil dari maklumat ahli, pasukan pemantau PACA TS Khalid Ibrahim telah menyerbu sebuah bilik di Hotel Seng Chong, Simunjan Sarawak yang telah dijadikan tempat membuat undi untuk pemimpin tertentu.


Ketika pihak PACA Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuk pintu bilik hotel tersebut mereka yang berada didalam enggan membukanya dan dalam masa yang sama kedengaran dari luar keadaan kelam kabut didalam ..

Setelah beberapa minit barulah pintu dibuka, dapati seorang anggota parti dari Hulu Selangor yang dipercayai telah memangkah kertas-kertas undi dan dimasukkan kedalam sebuah kotak.Kejadian ini telah berjaya dirakam dan sudah pun dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Pemilihan Pusat Dato' Johari Abdul sendiri.

Pihak JPP berjanji sungguh akan buat siasatan dan tindakan sewajarnya. .. Sehingga artikel ini di tulis calon no 3 Tan Sri Khalid Ibrahim sedang mendahului.

Berikut adalah laporan dari Zakaria Ab Rahim Calon MPP dan Counting Agent Batang Sadong.. Salam Dato, saya selaku calon MPP No 2 dan Wakil Calon Timb Presd no 3 dgn ini membantah keluruhan proses pengundian SELURUH JK Pusat di Cabang Batang Sadong kerana berlaku penipuan dan manipulasi undi dan ditangkap red handed beserta 3 org saksi,
1. Dr Shan calon Naib Pres no 5,
2. Sdr Zaidi Amin, AJK Cabang Santubong
3. Sdr Roydaney Mohd Hossein, Timb AMK Petrajaya.
1. 90% kertas undi tak berlipat
2. Jumlah kertas undi keluar, dlm peti undi dan nama dipotong dlm daftar anggota berbeza
3. Dijumpai buku senarai 20 nama pengundi yg hadir tetapi:
Kertas undi keluar - 285
Kertas undi ditanda - 273
Jumlah nama dipotong - 238
Pohon digantung pengundian Batang Sadong dan pegawai JPP ditarik balik serta Ketua Cabang Btg Sadong diambil tindakan disiplin krn berkonspirasi.
Zakaria Ab Rahim
Calon MPP dan Counting Agent
Batang Sadong
Semoga penipuan ini tidak disapu kebawah karpet hendakNya.. #sumber
Share:

Pemilihan: Chegubard Desak Penyertaan Azmin Di Batalkan


KUALA LUMPUR: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak supaya Mohamed Azmin Ali dibatalkan penyertaannya dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che Gu Bard menegaskan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR perlu mengambil tindakan tegas terhadap Azmin berikutan dakwaan yang mengatakan timbalan presiden itu bersama pasukannya melakukan penipuan ketika proses pemilihan di beberapa cabang di Sarawak.

Katanya, berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh pasukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.

"Perkara ini pernah berlaku pada pemilihan 2010 dan telah dilaporkan namun tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.

"Kali ini, dengan bukti yang ada melibatkan pemilihan di Cabang Batang Sadong, saya berpandangan Datuk Johari Abdul dan jawatankuasa MPP perlu mengambil tindakan tegas dengan membatalkan penyertaan Azmin," katanya.

Katanya, rakyat mengikuti dengan penuh minat pemilihan pimpinan PKR dan akan membuat penilaian berdasarkan apa yang berlaku.



Badrul berkata selama ini, PKR mengkritik proses pilihan raya yang dikendali Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa banyak penipuan dan salah urus.

Justeru kata beliau, JPP perlu bertindak tegas ke atas penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam pemilihan kali ini.

"Kita perlu membuktikan kepada rakyat yang bahawa kita serius menentang penipuan dalam pilihan raya dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Rakyat memerhatikan pemilihan PKR, jangan kita buat perkara yang kita kecam dan kita kutuk bila lawan kita lakukan tetapi kita juga tidak kurang 'hebat' dalam membuat silap mata," katanya.

Badrul dan beberapa lagi aktivis PKR yang tidak bersama pasukan Azmin sejak malam tadi mula menjalankan kempen supaya timbalan presiden PKR itu dibatalkan pencalonannya. #sumber


Share:

Tidak Rasmi: Azmin Kuasai Kawasan Majoriti Bukan Melayu


KUALA LUMPUR: Pemilihan pimpinan PKR sesi 2014 hingga 2017 yang bermula pada Jumaat lepas di negeri Pantai Timur dan Sarawak menyaksikan penyandang jawatan timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali menguasai undi di cabang yang majoriti ahlinya bukan Melayu.

Sehingga Sabtu, seorang lagi calon timbalan presiden, Datuk Saifuddin Nasution Ismail - yang dikatakan mendapat sokongan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - jauh ketinggalan berbanding Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas proses undian ditutup pada Sabtu, Azmin dilaporkan telah mendapat 1,254 undi atau 69.21 peratus undi popular, Abdul Khalid mendapat 401 undi (22.13%) manakala Saifuddin memperolehi 151 undi (8.33%).

Keputusan ini merupakan Keputusan tidak rasmi selepas pengiraan undi di 20 Cabang di Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Rekod keputusan menunjukkan Azmin Ali menguasai majoriti undi di Negeri Sarawak khususnya kawasan bukan Melayu seperti di Cabang Stampin, di kawasan majoriti Iban di Cabang Saratok dan Cabang Lubok Antu.

Jumlah undi yang tinggi diperolehi oleh Azmin di kawasan yang majoriti bukan Melayu disebabkan kempen beliau melalui manifesto Keadilanraya dan ketegasan beliau bahawa PKR merupakan parti milik semua kaum.

Azmin juga dikatakan menguasai undi Kelantan dan menang di tiga Cabang yang sudah diperolehi jumlah undiannya iaitu di Tanah Merah, Pasir Puteh dan Ketereh.

Bagi jawatan Ketua AMK, Amirudin Shari meninggalkan pesaingnya Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nazree Yunus manakala bagi jawatan Ketua Wanita Pusat, Zuraida Kamaruddin mendahului pesaingnya Rodziah Ismail.

Pemilihan PKR yang melibatkan ahli-ahli parti di semua cabang bermula 25 April lepas dan dijangka selesai pada 11 Mei nanti. #sumber


Share:

Gambar Fitnah Wan Azizah: Polis Di Gesa Bertindak Pantas


KUALA LUMPUR - Polis digesa mengambil tindakan segera berhubung penyebaran gambar dan berita fitnah kononnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah meninggal dunia semalam.
Gambar yang tersebar di facebook dengan nama pemilik ‘Blue Wave Army’ itu memaparkan wajah Wan Azizah dengan memakai cermin mata berada di dalam balutan kain kafan putih.
Sekeping lagi gambar memaparkan tiga orang lelaki sedang memasukkan jenazah ke dalam liang lahad sambil diperhatikan orang ramai.
Kenyataan di facebook itu juga menyebut Wan Azizah sebagai ‘isteri kedua ketua pembangkang’ dan menggelarkannya sebagai ‘mujahidah bangsat’.


Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.
“AMKPP mengutuk tindakan pemilik akaun facebook dengan nama ‘Blue Wave Army’ yang menyiarkan berita fitnah bergambar tentang kematian YB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam.
“AMKPP akan membuat laporan polis bermula hari ini,” kata Ketuanya, Dr Afif Bahardin (foto)  dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mendesak pihak polis memandang serius fitnah ini dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang memuat naik serta menyebarkan berita palsu dan fitnah yang berniat jahat itu.
“Jika suspek yang dipercayai memuat naik gambar mayat Datin Seri Rosmah Mansor tempoh hari boleh dikenakan tindakan segera, AMKPP menggesa PDRM melakukan tindakan pantas yang serupa.
“Buktikan bahawa PDRM tidak melakukan langkah pencegahan terpilih dalam memerangi jenayah,” tegas Dr Afif. #sumber
Share:

Tiada Peruntukan Akta Perubatan Benarkan Potong Tangan


SEREMBAN: Menteri Kesihatan, Datuk Dr S.Subramaniam berkata, tiada peruntukan di bawah Akta Perubatan 1971 yang membenarkan pakar perubatan atau doktor untuk memotong tangan mana-mana individu yang didapati bersalah kerana mencuri.
Justeru, beliau meminta Kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hukum hudud di negeri itu agar tidak membabitkan pakar-pakar perubatan di negara ini dalam pelaksanaan hukum berkenaan.
"Tugas sebagai seorang doktor adalah mengikut yang ditetapkan di bawah Akta Perubatan. Jadi, mereka menjalankan tugas mengikut apa yang perlu mereka lakukan dan tidak lebih dari itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2014 di Flat Jasmin, Senawang, dekat sini, Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Rabu lepas, bahawa kerajaan PAS Kelantan merancang menggunakan khidmat pakar bedah bagi memotong tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan rasa terkejut dan bantahan berhubung cadangan menggunakan pakar bedah untuk memotong tangan pesalah hudud atas alasan ia bertentangan dengan amalan dan etika perubatan.
Mengenai penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), Subramaniam menasihatkan umat Islam negara ini yang ingin menunaikan umrah dan ibadah haji di Arab Saudi agar tidak melawat ke ladang unta kerana penyebaran wabak itu disyaki berpunca daripada unta di sana.
Katanya setakat ini, tiada laporan terbaharu mengenai jangkitan virus ini di negara ini sejak seorang lelaki yang berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia akibat jangkitan virus itu, pada 13 April lepas.
"Kita tidak menghalang umat Islam ke Arab Saudi tetapi kalau boleh jangan pergi ke ladang unta sehingga isu ini selesai," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara dari Januari sehingga 25 April lepas ialah sebanyak 29,776 dengan 66 kes kematian.
"Semua orang berisiko digigit nyamuk Aedes... saya ingin menyeru kepada semua agar mengambil tindakan secara individu dan bersepadu dalam memerangi wabak denggi," katanya. #sumber
Share:

Najib Dan Obama Setuju Tingkatkan Hubungan, Kerjasama


PUTRAJAYA: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Langkah ini, katanya menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara, akan menyaksikan lebih banyak kerjasama dalam ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan bidang-bidang lain.
"Kami juga memutuskan untuk meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai-Pegawai Kanan sebagai forum utama bagi perbincangan peringkat tinggi. Semua persetujuan bersama ini akan menjadi asas kukuh bagi lebih banyak kerjasama pada masa akan datang," katanya.
Najib berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden AS Barack Obama selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pada Ahad.
Obama kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, julung kali oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh hampir 50 tahun.
Najib berkata Malaysia, sebuah negara Islam yang moden dan progresif dengan penduduk berbilang kaum dan agama, sejak sekian lama sedar akan faedah daripada
kerjasama merentas sempadan dan kuasa perkongsian kemakmuran.
"Kehadiran Tuan Presiden di sini menandakan bermulanya perkongsian kita memasuki tahap baharu - dengan persahabatan dipererat dan perkongsian lebih komprehensif," katanya dan menurutnya ia membuka ruang bagi fasa baharu hubungan Malaysia-AS, yang perlu berasaskan kerjasama lebih jitu untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Najib berkata, Malaysia menyambut baik langkah Amerika Syarikat untuk membaiki keseimbangan terhadap Asia, dan sumbangannya terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
"Benua-benua kita berkongsi lautan, kita juga patut dihubungkan oleh dasar yang sama. Kami percaya semua pihak patut berkongsi kisah pertumbuhan cemerlang Asia, dengan syarat mereka juga berkongsi komitmen terhadap keamanan yang ia bergantung," katanya.
Pemimpin Malaysia itu turut menyentuh tentang Malaysia yang akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean tahun depan dan usahanya untuk menduduki
satu daripada kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
"Dalam pada kami bersedia untuk semua ini...kami mahukan peranan lebih besar dalam menggalakkan keamanan global dan kestabilan serantau. Dalam usaha ini dan banyak lagi, persahabatan kami dengan Amerika Syarikat amat dihargai," kata Najib.
Perdana Menteri berkata, beliau menghargai sokongan padu AS kepada Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur, dan atas keyakinan terhadap Malaysia apabila menjadi pengerusi Asean pada 2015. 
Beliau turut menyentuh peranan Kuala Lumpur dalam membantu menjayakan pemeteraian perjanjian damai di selatan Filipina, menamatkan konflik yang telah meragut nyawa 150,000 orang dan menghalang Al Qaeda dan sekutunya daripada kemungkinan bertapak di rantau ini.
"Kami menolak ekstremisme agama, dengan menubuhkan Pergerakan Kesederhanaan Global," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Obama juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam latihan misi pengaman. #sumber
Share:

DAP Akan Pilih Calon Daripada Lima Yang Disenarai Pendek


GEORGE TOWN: Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) akan bersidang Isnin untuk memilih calon bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata senarai lima nama calon akan dikemukakan kepada CEC pada mesyuarat yang akan berlangsung pada pukul 7.30 malam di Kuala Lumpur.
"Tidak ada satu pun nama yang tersenarai adalah wakil rakyat yang sedang berkhidmat.
"Bagaimanapun, CEC yang berhak menentukan calon yang akan bertanding," katanya pada sidang media di Lebuh Pantai, di sini, Ahad.
Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan memaklumkan sama ada salah seorang anak mendiang Karpal adalah antara calon yang disenaraikan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh PRK Bukit Gelugor akan diadakan 25 Mei, manakala penamaan calon pada 12 Mei ini. Keputusan itu dibuat berikutan kematian Ahli Parlimennya, Karpal Singh, 74 yang maut dalam kemalangan di Perak.
Mendiang Karpal yang juga bekas Pengerusi DAP adalah penyandang kerusi itu sejak 2004 dan pada Pilihan Raya Umum lalu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 41,778 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam yang mendapat 14,061 undi. #sumber
Share:

Barrack Obama Nafi 'Buli' Malaysia Dalam Rundingan TPPA


PUTRAJAYA: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menafikan Washington membuli Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dijalankan.
Sebaliknya, beliau berkata beliau sendiri yang telah dibuli oleh partinya sendiri (Democratic) berhubung perjanjian itu selain protes terhadap perjanjian itu yang lebih kepada orang takut perubahan corak perdagangan pada masa depan atau tidak mahu mengubah cara lama.
"Adalah penting bagi semua orang tunggu dan lihat apakah perjanjian (akhir) sebelum mereka terus membuat kesimpulan," kata beliau sebagai respons kepada soalan yang Washington membuli Kuala Lumpur dalam rundingan mengenai TPPA pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Ahad.
Beliau berkata, memang difahami bahawa akan ada bantahan, protes, tuduhan konspirasi politik, yang berlaku bukan sahaja bagi Amerika Syarikat dan Malaysia, tetapi juga semua negara yang berunding.
Melihat ke hadapan ke arah memuktamadkan rundingan TPPA, beliau berkata, "negara-negara dan syarikat-syarikat mesti bersedia untuk mengambil langkah seterusnya."
Najib, dalam komen sebelum itu, melahirkan keyakinan bahawa manfaat keseluruhan daripada TPPA jauh akan mengatasi kelemahan pakatan itu yang masih dirundingkan oleh 12 ekonomi lingkungan Pasifik walaupun akan terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan.
Beliau juga berkata, Washington memahami sensitiviti domestik Malaysia seperti yang dibuktikan semasa rundingan dua hala dengan Obama sebelum ini.
Obama juga berkata, TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. 
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia komited kepada proses mendapatkan penerimaan orang ramai berhubung TPPA. #sumber
Share:

Panas: Fuziah "Mengamuk" Dan Halang Pengundi Berdaftar Membuang Undi Di Pemilihan Cabang Kuantan Semalam !!


KUANTAN - Pemilihan Keadilan Cabang Kuantan semalam kecoh apabila calon Ketua Cabang, iaitu Fuziah Salleh dipercayai telah sesuka hati menggunakan kuasanya untuk menghalang penguindi berdaftar membuang undi. Menurut sumber, Fuziah dengan lantang mendakwa nama pengundi terbabit iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli AKA Blogger Cucumatkilau telah dikeluarkan dari senarai keahlian susulan beliau bertanding bebas pada Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu. 

Fuziah dengan lantang mendakwa, Buku Daftar Pemilih 2014 yang dipamerkan adalah buku lama dan tidak sah. Difahamkan, pengundi terbabit datang ke Pejabat Keadilan Kuantan sekitar jam 2.30 semalam untuk membuang undi, namun dihalang Fuziah yang ketika itu menunggu di pintu masuk ke pejabat terbabit. 



Sementara itu, Mohd Shukri dalam satu kenyataan di blognya www.cucumatkilau.blogspot.com mendakwa tindakan Fuziah itu amat tidak wajar kerana beliau masih sah sebagai pemilih kerana namanya masih tersenarai. "Soal keluar parti atau tidak itu hal lain.. yang penting ialah rekod menunjukkan saya layak mengundi.. saya bukan mahu bertanding lawan beliau... tapi hanya mahu mengundi buat kali terakhir mungkin....", katanya. Baca selanjutnya di SINI
Share:

Kebakaran Hutan Kini Makin Kritikal Di Kawasan Cherating


KUANTAN - kebakaran hutan di kawasan Cherating dan Sg.Ular masih berlaku menyebabkan kawasan sekitar diseliputi jerebu yang amat membahayakan dimana sudah berlanjutan lebih 1 minggu.Menurut pegawai bomba yang bertugas kawasan kebakaran meliputi keluasan hampir 200 ekar dan kebanyakkannya kawasan tanah gambut.

Kesusahan pihak Bomba dalam mengawal kebakaran dirasai sendiri dengan kehadiran Dato’ Mustaffar Kamal, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota yang meluangkan masa melawat kawasan kebakaran dan beramah mesra dengan anggota bomba yang bertugas.

Dikesempatan itu beliau’ telah bermurah hati menyampaikan sumbangan paip air utk kegunaan pihak bomba yang mana punca air amat jauh dan perlu mencari alternatif lain iaitu boreng air.


Beliau turut melawat dan beramah mesra dengan anggota di sekitar kem sementara yang dibina sebagai bilik gerakan memantau kebakaran. Turut hadir ialah En Abdul Razak b Awang Ngah, Ketua Kampung Cherating.

Beliau berterima kasih kepada semua anggota dalam mengawal kebakaran tidak mengira masa selama 24 jam sehari. Beliau juga akan turut sama memantau dari segi kelengkapan lain yang diperlukan. #sumber

Share:

PM Korea Selatan Letak Jawatan Kerana Insiden Feri Karam


SEOUL: Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-Won meletakkan jawatan pada Ahad berikutan insiden feri penumpang karam yang mengakibatkan kematian atau kehilangan lebih 300 orang.
"Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghalang kemalangan ini daripada berlaku dan tidak dapat bertindak balas dengan baik selepas kejadian itu," katanya. 
"Saya percaya saya, sebagai Perdana Menteri, sudah tentu terpaksa mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan."
Kerajaan, bersama-sama dengan hampir semua cawangan rasmi lain berhadapan dengan kritikan hebat berhubung kejadian itu dan pengendalian operasi menyelamat. 
"Saya ingin meletakkan jawatan sebelum ini tetapi mengatasi keadaan ini adalah keutamaan pertama dan saya fikir ia merupakan tindakan yang bertanggungjawab untuk membantu sebelum meninggalkan jawatan.
"Tetapi saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sekarang untuk tidak memberi beban kepada pentadbiran," katanya. - AFP
Share:

Obama Tiba Di Malaysia Penuh Lambaian, Senyuman Mesra


SUBANG: Dengan lambaian tangan kanan dan mengukir senyuman mesra seperti kebiasaannya, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berjalan keluar dari pesawat Air Force One untuk memulakan lawatan bersejarah ke Malaysia.
Adegan beliau melambaikan "hello" di tangga pesawat presiden itu banyak kali dipertontonkan di televisyen sejak beliau mengambil alih jawatan itu pada 2009, tetapi kali ini Presiden Amerika Syarikat ke-44 itu berada di sini.
Pesawat Boeing 747- 200B mendarat kira-kira pukul 5 petang dalam keadaan cuaca baik dan suhu sejuk berikutan hujan sebelum itu.
Sejurus selepas itu, kenderaan Cadillac One yang dikenali sebagai The Beast bersedia di sebelah pesawat.
Kemudiannya, detik bersejarah negara yang dinanti-nantikan sejak 48 tahun apabila menyaksikan ketibaan Presiden Amerika Syarikat.
Obama berkarisma yang berpakaian rapi dengan sut biru gelap kelihatan tenang walaupun sibuk dengan kunjungannya ke Tokyo dan Seoul, menuruni anak tangga pesawat.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman adalah yang pertama yang mengucapkan selamat datang kepada Presiden Obama, diikuti oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertindak sebagai menteri pengiring bagi ketibaan presiden itu.
Presiden itu dilihat memberikan kata-kata kepada orang-orang yang menegurnya, tersenyum dan juga memberikan tepukan di bahu sebagai tanda mesra. 
Obama mengetahui ramai lagi yang menantikan beliau, selama empat jam, termasuk sebahagian besar media.
Beliau tersenyum dan melambai kepada mereka sebelum diiringi Khairy untuk menaiki kenderaan The Beast.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Susan Rice menyertai beliau dalam perjalanan ke Parlimen untuk majlis sambutan rasmi.
Protokol keselamatan amat ketat untuk ketibaan presiden itu, di mana para wartawan perlu menjalani tiga tahap pemeriksaan identiti.
Ketibaan presiden disiarkan secara langsung oleh rangkaian stesen telebisten tempatan. 
Lyndon B. Johnson merupakan Presiden Amerika Syarikat yang pertama melawat Malaysia sejak 1966. #sumber

Share:

Anwar Ibrahim Kemuka 35 Alasan Rayuan Ketepi Sabitan


PUTRAJAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan hari ini dengan mengemukakan 35 alasan rayuan kenapa sabitan dan hukuman terhadapnya perlu diketepikan.
 
Rayuan tersebut difailkan oleh peguam Zaleha Al-Hayat, iaitu seorang pembantu mendiang Karpal Singh kira-kira 2 petang, sejam sebelum tempoh pemfailan tamat.
 
Dalam alasan petisyen rayuan itu, peguam Anwar telah menyatakan panel hakim Mahkamah Rayuan telah tersalah arah apabila menyimpulkan dua orang pakar DNA dari Australia Dr David Lawrence Wells dan Dr Brian Mcdonald yang merupakan saksi pembelaan, bukanlah saksi-saksi berkompeten.
 
"Adalah jelas hakim-hakim Mahkamah Rayuan telahpun gagal memahami keterangan terutamanya SD4 (Dr Brian) yang jelasnya adalah kompeten.
 
"Terdapat keterangan mencukupi bahawa SD4 sememangnya memantau orang bawahan beliau yang melakukan analisis dan sudah tentunya kompeten di dalam penganalisaan yang dilakukan," jelas pihak pembelaan.

Di dalam alasan penghakiman bertarikh 14 April lalu, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi ada menyatakan bahawa kedua-dua pakar (Dr Wells dan Dr McDonald) itu merupakan pakar yang hanya pandai berteori berbanding dengan keterangan ahli kimia pihak pendakwaan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah berdasarkan fakta dan analisis terhadap sampel yang dijalankan mereka.
 
Dalam petisyen rayuan itu, pihak pembelaan menekankan panel hakim tersalah arah dari segi undang-undang kerana tidak "menikmati" keterangan Dr Brian secara mendalam kerana pakar itu berjaya menimbulkan keraguan yang serius terhadap keputusan terhadap analisis-analisis yang dilakukan Dr Seah dan Nor Aidora.

Pihak perayu mendakwa, terdapat keraguan sama ada sampel-sampel yang dianalisis Dr Seah (SP5) adalah sampel-sampel yang dikutip oleh tiga orang doktor di Hospital Kuala Lumpur selepas mangsa Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mengenai kejadian meliwat yang didakwanya.
 
Mereka mendakwa terdapat keraguan yang serius mengenai DNA "Male Y" berdasarkan keterangan-keterangan daripada Dr Seah dan Nor Aidora.
 
Selain itu, pihak pembelaan menegaskan bahawa perayu (Anwar) berhak memberi keterangan di dalam kandang tetapi komen-komen panel dalam penghakimannya jelas menunjukkan para hakim terlalu memprejudiskan perayu.

"Hakim-hakim telahpun salah arahkan diri mereka dengan serius dalam membuat kesimpulan terhadap pihak perayu atas keputusan perayu untuk tidak memanggil saksi-saksi alibi," dakwa pihak pembelaan dalam alasan rayuan itu.
 
Selain itu, hujah mereka, panel hakim sepatutnya memutuskan sampel-sampel yang dikeluarkan daripada dubur perayu menimbulkan keraguan yang serius kerana berlakunya proses tercemar.
 
Pihak pembelaan juga menimbulkan isu pematahan rantai keterangan yang gagal diambil kira di tahap rayuan di Mahkamah Rayuan apabila permohonan mereka untuk memanggil semula pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira.
 
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
 
Anwar dipenjarakan lima tahun, tetapi dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.- BERNAMA

Share:

Daim: 'Memang Saya Ada Bank Di Tanzania, Apa Masalah?'


Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mengakui bahawa beliau memiliki sebuah bank di Tanzania namun ia tidak melibatkan sebarang penyelewengan.

Daim dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata demikian bagi menjawab dakwaan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antara lainnya membangkitkan mengenai wangnya yang disimpan di Tanzania.

"Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

"Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini kaki goreng," kata Daim seperti dipetik dalam laporan Utusan.

Menurut Daim lagi, Anwar pernah menjalankan siasatan ke atasnya ketika ketua pembangkang itu berada dalam Kabinet semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada waktu itu.

Apa Anwar buat?

"Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.

"Masa tu dia (Anwar) menteri kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti Umno, semua dia kata tak betul," kata Daim lagi dalam laporan tersebut.

Anwar dalam laporan Keadilan Daily pada hari Isnin lalu berkata beliau mengesyaki bahawa Daim melakukan salah guna kuasa melalui penubuhan bank tersebut.

Anwar juga mendakwa mengetahui mengenai penubuhan bank di Tanzania itu melalui seorang gabenor bank negara tersebut, yang tidak dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Saya pergi ke Tanzania dijemput jumpa Presiden, Menteri Kewangan dan gabenor bank negara Tanzania.

“Gabenor kata Tun Daim punya bank ada sini (Tanzania). (Gabenor) kata Daim simpan di International Bank of Malaysia.

“Saya tanya (Daim) buat apa. Kemudian gabenor jawab Daim tidak buat apa-apa. Daim simpan duit sahaja.

Ada sebarang operasi? Tidak, ini bank ‘istimewa’. Kemudian saya berkata kepada gabenor bank negara Tanzania, kamu tahu tak ini tidak cara yang sepatutnya.

“Duit dari mana? Daim ambil dari Malaysia, simpan di sini,” kata Anwar menceritakan kandungan  pertemuannya,” lapor Keadilan Daily, memetik kenyataan Anwar.

Anwar seterusnya membangkitkan mengenai penahanan seorang individu, didakwa terlibat dengan ban tersebut, dalam satu kejadian didakwa di Lapangan Terbang Heathrow, London. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.