script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Sebanyak 45 Buah NGO, Komuniti Gesa Siasat Banjir Lumpur 'Campur Batang Kayu' Hanyut !

KUALA LUMPUR - Sebanyak 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan hari ini menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di pekan Karak di Bentong, minggu lalu.

Antara NGO berkenaan adalah Alliance of River Three, Angkatan Belia Islam Malaysia, Belia di Bawah Bayu,Caring Asian Women (CAW), Centre for independent journalism (CIJ), Centre for Orang Asli Concerns (COAC), CERAH - Anti Haze Action, Environmental Protection Society Malaysia (EPSM), Five Arts Centre, Friends of Bukit Kiara, Friends of Klang River Basin, Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY), Global Environment Centre dan Global Water Partnership.

Turut bersama adalah Greenpeace Malaysia, .Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Malaysian Nature Society (Cawangan Pahang dan Selangor), North South Initiative, Parti Sosialis Malaysia, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Persatuan Benih Hijau, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia KAMY), Persatuan Sahabat Wanita Selangor dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat.

NGO berkenaan berkata insiden itu mengakibatkan kerosakan ratusan rumah di beberapa kampung dan meragut hampir 10 nyawa setakat ini.

"Walaupun kami memuji tindakan pantas dalam menyelamatkan dan membantu mangsa banjir, pembersihan namun kami 45 organisasi seperti percaya bahawa masih terdapat keperluan dalam pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu terhadap pencegahan, mitigasi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir.

"Walaupun perubahan iklim dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang, terdapat faktor-faktor lain yang memerlukan siasatan dan tindakan menyeluruh serta pantas oleh pihak kerajaan termasuklah pemeriksaan sebarang isu-isu sistem infrastruktur dan mekanisme sokongan yang lemah yang sedang dihadapi oleh negara.

"Ini termasuk siasatan menyeluruh terhadap aktiviti pembalakan dan pembukaan kawasan hutan di sepanjang banjaran berbukit dan cerun serta kawalan hakisan dan sedimen yang kurang berkesan di kawasan pembangunan. Selain itu, terdapat juga keperluan dalam memeriksa sebarang kemungkinan kekurangan serta keberkesanan sistem amaran banjir dan juga pemantauan," kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kata mereka, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat aktiviti pembalakan dan pembukaan hutan berskala besar untuk perladangan durian dan hutan di kawasan ini, dengan kebanyakan daripada aktiviti ini dilakukan tanpa Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan sedikit ataupun tiada langkah-langkah mitigasi dan kawalan alam sekitar yang dilakukan.

"Sejak September 2020, beberapa komuniti dan NGO membantah aktiviti pembalakan dan pembukaan kawasan hutan berhampiran Sungai Gapoi dan Sungai Telemong, di selatan Karak, dengan menekankan risiko terhadap sumber bekalan air, keselamatan dan kawasan sensitif alam sekitar

"Apabila berlaku hujan lebat antara 17 hingga 19 Disember lalu, hanya terdapat beberapa hutan yang masih utuh dan padat untuk menahan dan memperlahankan aliran air. Apa yang berlaku adalah tanah, kayu balak dan serpihan hutan dihanyutkan dengan cepat ke bahagian hilir, mengakibatkan bencana di Karak, Bentong juga kampung-kampung serta kawasan perumahan yang berhampiran.

"Paras air lumpur juga naik dengan mendadak sehingga rumah-rumah ditenggelami air dan lumpur tanpa sebarang amaran awal," katanya.

Kata mereka, tindakan pemulihan bencana dan banjir mungkin memakan masa sehingga berbulan dan memerlukan agihan belanjawan yang besar malah impak kejadian ini dianggarkan akan berkekalan sehingga sekurang-kurangnya 10 tahun.

Jelas mereka lagi, Kerajaan Persekutuan dan negeri digesa adakan siasatan bebas terhadap kejadian banjir, aliran lumpur dan hanyutan balak dan kerosakan terhadap harta benda, perkhidmatan dan nyawa serta sumber pendapatan di daerah Bentong serta mengenal pasti punca kejadian dan merangka tindakan jangka pendek dan panjang.

"Mengenakan moratorium serta-merta ke atas sebarang kelulusan lanjut untuk pembukaan hutan dan tanah bercerun di daerah Bentong serta menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pembalakan atau operasi pembukaan tanah yang sedang dijalankan sementara menunggu hasil siasatan yang dicadangkan.

"Selain itu, semakan segera ke atas pematuhan terhadap peraturan pengurusan perhutanan, alam sekitar dan tanah oleh pemilik dan pengurus tanah di daerah Bentong dan mengambil tindakan pantas untuk membawa mana-mana pihak yang sudah melanggar peraturan segera ke muka pengadilan dan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada komuniti yang terjejas.

"Memperuntukkan belanjawan atau menubuhkan dana untuk menyokong pelan pemulihan pasca banjir serta mencadangkan penubuhan pasukan peronda berasaskan komuniti rasmi sebagai mata dan telinga di lapangan untuk memantau, melaporkan dan berkongsi maklumat," katanya. #sumber

Share:

Hujan Lebat Landa Pantai Timur, Anih Berhad Minta Pengguna Agar Merancang Perjalanan !

KUANTAN - Pengendali Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka memandangkan hujan lebat dijangka melanda kawasan Pantai Timur minggu ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi memberitahu, pemegang konsesi itu sedang memantau paras air di sekitar kawasan laluan utama lebuh raya terbabit.

"Sungguhpun ia masih selamat pada masa ini, kami akan terus memantau keadaan dan mengemas kini maklumat terkini melalui rangkaian media sosial kami.

"Keadaan ketika siaran ini dikeluarkan, paras air di semua kawasan di sepanjang KLK dan LPT1 berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, syarikat itu sedang giat mengambil langkah untuk memastikan keadaan kekal terurus.

"Pihak Anih ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami sentiasa dalam keadaan bersedia dan komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya kami kekal sebagai keutamaan,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, sahih dan terkini, sila layari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuh Raya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur.

Orang ramai juga boleh menghubungi di talian LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09-5479111 atau 1-700-818-700 untuk maklumat lanjut. #sumber

Share:

Fuziah Salleh: Dari Mana Datangnya Longgokan Kayu Balak, Jika Benar Tidak Ada Pembalakan !

KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh tampil mempersoalkan longgokan kayu-kayan yang hanyut ketika banjir melanda Telemong di Karak.

Katanya, batang-batang kayu boleh dilihat dengan jelas di Kampung Sri Telemong.


"Beribu-ribu batang kayu hanyut sewaktu banjir. Persoalannya, bagaimana kayu-kayan ini boleh sampai ke sini? Dari mana ianya datang?" soalnya.


Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kemudian tampil menjelaskan bahawa tiada aktiviti pembalakan, sebaliknya ia adalah kesan daripada fenomena kepala air.


Namun, kenyataan itu tetap menimbulkan pertikaian.


"Kepala air itu memang fenomena semula jadi," balas Fuziah.


"Cuma longgokan kayu itu, dari mana pulak datangnya. Sungguh cantik dan kemas ‘kepala air’ memotong kayu balak ini. #sumber


Share:

Kerajaan Pahang "Tamatkan" Izin Melombong Firma Berkaitan Kerabat Diraja Di Tasik Chini

KUANTAN - Kerajaan Pahang akhirnya memutuskan untuk menghentikan aktiviti perlombongan yang dikaitkan dengan kerabat diraja berhampiran Tasik Chini di Pekan.

Ia susulan laporan media pada Jun yang menyatakan bagaimana kerajaan Pahang - pada 2018 - telah memberikan hak pajakan perlombongan kepada firma berkaitan kerabat diraja di kawasan sensitif untuk alam sekitar, meskipun kerajaan negeri berjanji untuk memulihkan Tasik Chini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, mengesahkan pembatalan projek itu sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memulihkan keadaan semula jadi tasik air tawar kedua terbesar di negara ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, katanya, kerajaan Pahang juga akan memperluaskan kawasan Hutan Simpan Chini.

Bagaimanapun, sebidang tanah yang dikenal pasti sebagai Lot 89798 di Mukim Penyor, yang terletak projek perlombongan yang dibatalkan itu, tidak dimasukkan ke warta hutan simpan tersebut.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Pahang kepada Malaysiakini, pewartaan Hutan Simpan Chini itu diluluskan mesyuarat exco Pahang pada 13 Mac 2019 meliputi kawasan seluas 4,635.39 hektar (11,453.085 ekar), di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Selain itu, exco Pahang pada 7 Julai 2021 meluluskan tambahan kawasan tanah untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini, meningkatkan keluasan hutan simpan keseluruhannya kepada 6,502.8 hektar.

"Ini telah diwartakan pada 21 Julai, 2021," katanya.

Mengenai Lot 89798 di Mukim Penyor, kata jabatan terbabit, ia bukan sebahagian daripada kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini.

Ada pengecualian diberikan

Lot 89798 terletak kira-kira 3 kilometer dari Tasik Chini, Rizab Biosfera Unesco yang bergelut dengan isu pencemaran ekoran perlombongan dan pembalakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009 mengisytiharkan kawasan Tasik Chini sebagai salah satu rizab biosferanya tetapi berisiko kehilangan status jika tidak dipulihkan.

Pada Julai, UNESCO melalui unit medianya - mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa status Tasik Chini sebagai rizab biosfera telah ditetapkan untuk semakan berkala, dan kerajaan akan mempunyai tempoh lebih singkat dari setahun untuk bertindak mengikut cadangan bagi mengekalkan statusnya.

UNESCO memaklumkan Malaysiakini senarai cadangan awal telah dikongsi dengan kerajaan pada 18 Mei. Beberapa permintaan telah dibuat kepada Unesco untuk senarai cadangan, yang dijanjikan badan itu.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang membuat pengecualian untuk projek perlombongan terbabit.

Laporan penilaian alam sekitar (EIA) menyatakan kerajaan Pahang "menggantikan Rancangan Khas Tasik Chini dan meluluskan tapak projek untuk aktiviti perlombongan".

Menurut laporan EIA untuk projek perlombongan itu, yang dipamerkan kepada umum pada April lalu sepatutnya meliputi kawasan seluas 40.51 hektar  saiz bersamaan sekitar 60 padang bola sepak.

Plot tanah itu adalah sebahagian daripada kawasan yang lebih besar dikategorikan sebagai "kawasan sensitif alam sekitar tahap 2" yang boleh dibangunkan dengan syarat tertentu, namun aktiviti perlombongan tidak dibenarkan.

Konsesi projek itu dimiliki oleh Hanishah Ventures Sdn Bhd, yang merupakan firma milik bersama Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, pelakon dan sepupu kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Pemilik bersama lain yang disenaraikan ialah Tengku Hanizar Tengku Muhammad yang merupakan ibu saudara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Sultan Pahang.

Bagi projek perlombongan, dokumen itu menunjukkan Hanishah Ventures melibatkan diri dengan Golden Prosperous Resources yang merupakan pemain besar dalam industri perlombongan khususnya di Pahang. Antara sektor yang disertai syarikat itu ialah perlombongan bauksit.

Menurut laporan EIA untuk projek perlombongan itu, yang dipamerkan kepada umum pada April lalu sepatutnya meliputi kawasan seluas 40.51 hektar - saiz bersamaan sekitar 60 padang bola sepak.

Plot tanah itu adalah sebahagian daripada kawasan yang lebih besar dikategorikan sebagai "kawasan sensitif alam sekitar tahap 2" yang boleh dibangunkan dengan syarat tertentu, namun aktiviti perlombongan tidak dibenarkan.

Konsesi projek itu dimiliki oleh Hanishah Ventures Sdn Bhd, yang merupakan firma milik bersama Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, pelakon dan sepupu kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Pemilik bersama lain yang disenaraikan ialah Tengku Hanizar Tengku Muhammad yang merupakan ibu saudara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Sultan Pahang.

Bagi projek perlombongan, dokumen itu menunjukkan Hanishah Ventures melibatkan diri dengan Golden Prosperous Resources yang merupakan pemain besar dalam industri perlombongan khususnya di Pahang. Antara sektor yang disertai syarikat itu ialah perlombongan bauksit. #sumber


Share:

Rakyat Tak Yakin Laporan, Aktivis Gesa Badan Bebas Di Tubuhkan Siasat Isu Banjir Lumpur !

KUANTAN - Satu badan bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat kejadian banjir  membawa timbunan balak yang berlaku  di Sungai  Telemong, Bentong, minggu lalu.

Aktivis bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, siasatan bebas dan telus perlu dalam isu itu kerana kejadian yang berlaku bukan hanya melibatkan kemusnahan harta benda penduduk malah turut berlaku korban nyawa.

Menurutnya, kejadian itu bukan sekadar bencana tetapi satu malapetaka dasyat yang meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terlibat.

Malah beliau turut  mendakwa tidak yakin dengan laporan siasatan yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang masih menyalahkan 'kepala air' sebagai punca banjir dan langsung tidak menyalahkan aktiviti pembalakan, penerokaan tanah secara berleluasa di kawasan terbabit.

"Rakyat mengharapkan  jawapan yang telus punca kejadian yang mana dipercayai ada kaitan dengan  kegiatan pembalakkan dan penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi.

"Kita sedia maklum kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) untuk menjalankan siasatan terperinci tentang kejadian itu.

"Bagaimanpun kami lebih mengharapkan siasatan ini diserahkan kepada  badan bebas yang melibatkan pakar dan NGO alam sekitar" katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mohd Shukri berkata, bencana ini amat luar biasa bukan hanya akibat hujan lebat semata-mata namun ada kemungkinan wujud unsur lain yang telah memburukkan keadaan. Klik https://youtu.be/coysHyUp0YQ

"Saya sendiri telah membuat tinjauan dan menemui penduduk  di penempatan sekitar Sungai Kerau, Sungai Perdak dan sekitar jambatan Sri Telemong.

"Agak mengejutkan  mereka sendiri mendakwa  wujud aktiviti pembalakkan dan pembangunan tanah tinggi di kawasan itu.

"Saya kira perkara  yang didedahkan itu ada benarnya kerana antara penduduk yang ditemui mengakui  terlibat dalam aktiviti pelbalakkan itu," katanya.

Menurutnya, dakwaan penduduk itu dibuktikan dengan penemuan kayu-kayu balak yang siap dipotong bersama-sama kayu yang kini terdampar di kawasan sungai selain di kawasan penempatan.

"Kita akan menunggu hasil siasatan ini sama ada benar sebagaimana yang didakwa atau ada jawapan lain daripada kerajaan negeri seperti dalam kejadian banjir awal tahun ini yang dikatakan berpunca daripada taburan hujan tinggi dan tiada kaitan dengan pembalakkan.

"Walau apa pun jawapannya nanti, saya juga menggesa kerajaan negeri batal dan tarik semua lesen pembalakkan dan kerja-kerja pembangunan kawasan tanah tinggi di seluruh negeri termasuk  kelulusan untuk projek ladang hutan," katanya.

Baca selanjutnya isu ini di bloh peribadi beliau https://cucumatkilau.blogspot.com/2021/12/sindrom-nafi-dah-tak-laku-tindakan.html?m=1 #PDO

Share:

MetMalaysia Keluar Amaran Hujan Berterusan Tahap Bahaya Di Pantai Timur Sehingga Esok !

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Khamis memaklumkan, status bagi amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku membabitkan Kelantan, Terengganu serta Pahang sehingga Sabtu.

“Hujan sangat lebat berterusan (tahap bahaya) dijangka berlaku di negeri Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan) sehingga Jumaat.

“Selain itu, hujan lebat berterusan (tahap buruk) dijangka berlaku di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh, Bera dan Rompin) sehingga Sabtu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.

“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Pahang (Raub dan Bentong) serta Johor sehingga Sabtu.

“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah: Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Ahad,” menurut kenyataan tersebut. #sumber

Share:

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Mendakwa Kepala Air "Punca" Balak Hanyut Di Telemong !

 

BENTONG - Kejadian kepala air yang terlalu deras dari Sungai Kerau, di sini selepas hujan lebat dikenal pasti menjadi punya berlaku balak hanyut di jambatan Sri Telemong Jalan Karak-Pelangai, di sini.

Longgokan balak dan sisa pokok juga terdapat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Karak hingga menyebabkan laluan terbabit ditutup sementara beberapa hari.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya melakukan siasatan di tempat kejadian bagi mencari punca berlakunya kejadian balak dan sisa pokok hanyut di dua tempat terbabit.

Menurutnya, hujan lebat selama tiga hari berturut-turut bermula 16 Disember yang menyebabkan paras air Sungai Temeriak meningkat secara luar biasa hingga berlakunya kejadian kepala air.

Katanya, peningkatan paras air sungai menyebabkan kadar kelajuan sungai terbabit menjadi amat tinggi, ditambah dengan sungai menuruni bukit mengakibatkan impak kepala air yang lebih kuat hingga membawa sisa kayu, pokok besar serta kejadian tanah runtuh.

"Pemantauan udara menggunakan dron telah dilakukan. Kita dapati tidak ada sebarang aktiviti pembukaan hutan di dalam Hutan Simpan Lentang, di sini.

"Kawasan Hutan Simpan Lentang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Airyang diwartakan semenjak 2002," katanya selepas meninjau kawasan Kampung Telemong, di sini, hari ini.

Turut sama Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad dan Pegawai Hutan Daerah (PHD) Bentong, Haffiz Baharuddin.

Mohd Hizamri berkata, kepala air yang berlaku turut berpunca daripada Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang mengalir daripada Hutan Simpan Lentang yang kemudiannya melalui kawasan Tanah Milik sebelum tersangkut di jambatan.

Beliau menambah, antara bukti tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan terbabit ialah pokok pelbagai saiz tumbang dan hanyut selepas tercabut bersama akar dab tidak ada kesan tebang.

Katanya, penduduk di kawasan terbabit turut melihat kejadian kepala air yang begitu deras dan menghanyutkan bersama balak termasuk sisa pokok.

"Saya berharap masyarakat tidak terus menyalah kerajaan dalam hal ini kerana kita sentiasa berusaha menjaga alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.

"Kejadian banjir yang berlaku minggu lalu dianggap luar biasa berikutan hujan yang berlaku selama tiga hari berturut-turut," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Sri Telemong, Yeong Onn Hong berkata, arus air deras membawa bersama sisa pokok yang patah dan tercabut seterusnya tersekat dekat jambatan Kampung Sri Telemong.

"Di kawasan ini tidak terdapat aktiviti pembalakan dan sebagai penduduk setempat saya memberi jaminan kejadian balak hanyut disebabkan kepala air yang terlalu deras," katanya. #sumber

Share:

MKN: PKPD Di Felda Jengka 25 Di Laksanakan Mulai Pada Hari Ini Sehingga 10 Januari Depan

 

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di FELDA Jengka 25, Temerloh di Pahang mulai hari ini hingga 10 Januari.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.

"Prosedur operasi standard bagi semua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini. #sumber

Share:

Aktivis Dakwa "Banjir Lumpur", Sisa-Sisa Kayu Hanyut Ada Kaitan Teroka Hutan Tak Terkawal


TEMERLOH - Banjir lumpur yang melanda sekitar kawasan Lanchang dan Mentakab dekat sini dipercayai ada kaitan dengan penggondolan hutan secara bedsar-besar di Hutan Simpan Lakum dekat sini.

Demikian ditegaskan oleh aktivis alam sekitar yang juga  bekas Pengarang Berita TV3 Khaidir Ahmad selepas meninjau sendiri lokasi banjir di sekitar kawasan terbabit bersama Blogger Cucumatkilau (CMK) semalam.

Katanya, mereka bersama meninjau kesan kemusnahan akibat banjir lumpur dan sisa kayu balak yang berpunca dari pembalakan dan penerokaan hutan yang tidak terkawal di Bukit Tinggi, Janda Baik, Bentong dan Lakum.

"Lokasi pertama yang kami lawati ialah Kampung Baru Sungai Perdak di Telemong di Karak.

"Tidak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya arus deras banjir lumpur bersama sisa kayu balak melanda perkampungan ini pada 21 Disember 2021 selepas hujan lebat selama dua hari melanda seluruh negara termasuk tanah tinggi di Janda Baik dan Genting Highlands yang menjadi kawasan tadahan air Sungai Benus dan beberapa anak sungai lain yang kemudian mengalir ke Sungai Telemong hingga ke Sungai Semantan di Daerah Bentong dan Temerloh, Pahang," dakwa Pengasas NGO Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) itu.

Tambah Khaidir atau lebih dikenali dengan Wartawan Tua itu, yang tinggal hanya timbunan sisa kayu balak dan lumpur tebal dari hulu Sungai Perdak dan Hutan Simpan Sungai Gapoi yang menjadi sasaran penerokaan ladang Musang King haram.
Kemudian kami ke Jambatan Telemong di persimpangan jalan masuk ke lot dusun dan perumahan mewah The Valley. Di sini juga keadaannya sangat dahsyat dengan timbunan sisa kayu balak.

"Kami kemudian ke Hutan Simpan Lakum di Lanchang yang sedang digondolkan dengan rakusnya atas nama penubuhan ladang hutan tetapi apa yang bakal ditanam masih menjadi tanda tanya.
"Yang pasti, penggondolan Hutan Simpan Lakum dan hutan simpan lain sekitar DUN Lanchang, turut menambah dahsyatnya banjir yang melanda perumahan rakyat di Lembangan Sungai Semantan hingga ke Temerloh kali ini," tambah beliau lagi.
Dakwa beliau Pekan Lanchang, Taman Mentakab Indah, Batu Kapur, Desa Bakti dan Tanjung Kerayong antara kawasan ditenggelami banjir luarbiasa yang lebih teruk dari tahun 1971.

"Pemimpin-pemimpin politik serta tauke-tauke balak, lombong dan ladang terus kaya-raya hasil menjarah alam manakala rakyat terus menderita kesan kerakusan mereka. Sampai bila keadaan ini akan terus berlarutan semakin hari semakin parah melanda Tanah Melayu ini?Melayu yang menjadi kaum majoriti ada jawapannya... tepuk dada, tanyalah selera!." tambah kenyataan di facebook beliau.
Share:

Sebanyak 62 Perkampungan Orang Asli Di Tenggelami Banjir Dan Terputus Hubungan !

KUANTAN - Banjir yang melanda negara ketika ini turut menenggelami 62 perkampungan Orang Asli di Pahang sehingga ada yang terputus hubungan

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata justeru 565 keluarga berpindah ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Katanya, bilangan mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli terbabit sebenarnya ramai tetapi sebahagian mereka enggan berpindah ke PPS atas pelbagai alasan..

Sebaliknya, beliau berkata, mereka lebih selesa menumpang rumah saudara, selain tinggal di dalam khemah dan berada di kawasan bukit walaupun tanpa kemudahan "Mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli yang berpindah ke PPS seperti balai raya dan sekolah, menerima bantuan bakul makanan serta barangan lain yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka yang tidak berpindah ke PPS menerima bantuan barangan keperluan asas disampaikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan golongan terbabit," katanya.

Johari berkata, JAKOA tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, namun agak terhad berikutan beberapa faktor seperti kawasan terputus hubungan dan tidak dapat menemui mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, sokongan serta kerjasama beberapa NGO seperti Projek Asal dan Volunteer Team (JPVT) turut membantu mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, NGO terbabit antara lain menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Orang Asli Sungai Miak dan Kampung Orang Asli Batu 19, Bentong.

Beliau berkata, sumbangan itu meliputi barang keperluan asas seperti makanan, bahan mentah, dapur, kanvas dan barangan kebersihan diri.

"Selain itu, Pejabat JAKOA Bentong menyumbangkan enam unit tilam angin kepada penduduk Kampung Orang Asli Batu 19 yang berteduh bawah khemah selepas rumah mereka musnah akibat banjir..

"JAKOA akan terus memantau perkembangan Orang Asli yang menjadi mangsa banjir, bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah dan dapat pulang ke rumah masing-masing apabila air surut sepenuh," katanya. #sumber

Share:

Lebih 10 Unit Pam Sedut Keluar Air ‘Banjir Termenung’ Di Gunakan Oleh JPS Pahang !

KUANTAN - Lebih 10 unit pam digunakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang untuk menyedut keluar air ‘banjir termenung’ di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Noor Bidin berkata, selain Kuantan, daerah lain yang menerima kemudahan itu ialah Pekan dan Temerloh.

“Penggunaan pam dianggap berkesan bagi mengeringkan air yang tidak mengalirkan keluar di empat kampung di daerah ini dan masing-masing satu di Pekan dan Temerloh.

“Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS kini bertungkus lumus menyediakan pam untuk menyedut air di kawasan ‘banjir termenung’. Sekiranya tidak disedut, ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurutnya, mereka mendapat bantuan tambahan pam daripada ibu pejabat JPS Malaysia bagi menampung keperluan semasa. #sumber

Katanya, jumlah penggunaan pam bergantung kepada keluasan kawasan air yang bertakung.

“Sebagai contoh, sebanyak empat unit pam digunakan di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan di Kuantan,” katanya.

Share:

Polis Siasat Majlis Kahwin Pasangan Selebriti Di Dakwa Langgar SOP Di Genting Highlands !

BENTONG - Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan klip video berdurasi 41 saat membabitkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan polis, majlis membabitkan pasangan selebriti tersebut berlangsung pada 15 Disember kira-kira jam 8.30 malam di sebuah villa di Genting Highlands di sini.

Menurutnya, menerusi klip video itu mendapati tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.

"Keadaan tersebut dilihat telah melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pihak polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis tersebut

"Kes disiasat di bawah Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut. #sumber

Share:

JPS Salurkan RM12 Juta Untuk Pulihara Sungai Dan Kurangkan Risiko Banjir Di Negeri Pahang


KUANTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menyalurkan peruntukan kira-kira RM12 juta, tahun ini, bagi pelaksanaan usaha memulihara sungai untuk mengurangkan risiko banjir di negeri ini.  

Pengarah JPS Pahang, Mohd Noor Bidin, berkata peruntukan itu disalurkan kepada setiap daerah dengan Temerloh menerima jumlah tertinggi, iaitu kira-kira RM1.62 juta, diikuti Kuantan (RM1.48 juta). 

Seterusnya, beliau berkata, Lipis (RM1.46 juta), Jerantut (RM1.42 juta), Pekan (RM1.30 juta), Bera (RM1.27 juta), Raub (RM1.03 juta) dan Maran (RM843,688). Selain itu, beliau berkata, Rompin (RM599,500), Bentong (RM638,188) dan Cameron Highlands.

(RM396,592)"Peruntukan sebanyak RM2.67 juta turut disediakan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir di sembilan daerah negeri ini.
"Daerah ini menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM1.53 juta, diikuti Temerloh (RM200,000), manakala Jerantut dan Bera masing-masing RM180,000," katanya 

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, projek jangka panjang yang sedang dalam pembinaan bagi tujuan sama ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat dan RTB Bandar Pekan Fasa Dua yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, projek baharu yang akan bermula tahun depan pula membabitkan pembinaan RTB Mentakab dan RTB Pandan serta Cenderawasih, di sini..

"Projek berkenaan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk disiapkan..

"Apabila kesemua projek pembinaan RTB itu siap nanti, kita percaya ia dapat mengurangkan kejadian banjir besar di kawasan terbabit setiap kali tiba musim tengkujuh.

"Pembinaan RTB terbabit bertujuan memastikan tidak berlaku limpahan air sungai ke kawasan penempatan penduduk yang terletak berhampiran..
"Kita akan terus melakukan kajian dari pelbagai aspek dalam usaha mengurangkan kejadian banjir," katanya. #sumber


Share:

Rata-Rata Mangsa Tidak Sangka Terpaksa Harungi Banjir Sebanyak Dua Kali Tahun Ini !

TEMERLOH - Rata-rata mangsa banjir di sini tidak menyangka mereka terpaksa mengharungi banjir sebanyak dua kali tahun ini.

Mangsa banjir di Taman Murni, Ghazali Ishak, 57, berkata dia terpaksa memindahkan barang dua kali berikutan paras air yang naik pada hari kejadian lebih tinggi dari sangkaannya.

Katanya, semasa banjir di Pahang Januari lalu, air hanya naik pada paras lantai dan rumah mereka terselamat.

Namun kata Ghazali, paras air banjir baru-baru ini lebih tinggi sehinggakan dia terpaksa memindahkan barangnya ke rumah jiran yang lebih tinggi sebanyak dua kali.

Ghazali Ishak

“Air naik laju sangat, masa orang tengah azan subuh kita tengah punggah barang, dalam pukul 4 kita bangun tengok pergi di kedai depan itu, air dah masuk dalam kedai.

“Memang terus fikir air akan naik, kali terakhir banjir naik sampai situ (kedai hadapan taman) sahaja, tak teruk macam ini,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Ditanya mengenai kekangan dalam kerja pembersihan pasca banjir, kata Ghazali, mereka menerima bekalan air dua kali sehari.

Katanya, bekalan air akan dibuka pada waktu pagi, bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari dan pada waktu petang bermula jam 6 petang sehingga 7 petang.

Menurut Ghazali dia memahami situasi berkenaan dan tidak merungut mengenai ketiadaan air memandangkan lebih banyak tempat yang terkesan tiada air disebabkan banjir.

Situasi selepas banjir di hadapan rumah Ghazali Ishak di Taman Murni. Foto RJ KEMALA

Mangsa banjir Pavithira Veran AL Vatimalai, 26, berkata dia juga tidak menyangkakan akan mengalami banjir sebanyak dua kali tahun ini.

Selain itu, Pavithira Veran mengatakan dia sukar untuk mendapatkan bantuan memandangkan ramai orang hanya mengedarkan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kenapa semua orang hantar bantuan masuk ke PPS sahaja dan tidak distribute di rumah yang terkena banjir di sini?

“Banyak orang sekarang di rumah mencuci rumah mereka, siapa yang akan tunggu di PPS lagi?” soalnya.

Pavithira Veran AL Vatimalai

Kata Pavithira Veran, dia hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan dan surat beranak mereka semasa banjir baru-baru ini.

Katanya lagi, kerja pembersihan rumahnya dibantu rakan dan jiran. Kini, mereka sudah selesai mengalihkan barang dari dalam rumahnya.

Sementara itu, di Taman Mentakab Indah, ketiadaan air di lokasi banjir antara masalah utama yang dihadapi mangsa banjir dalam operasi dan kerja-kerja pembersihan.

Mangsa banjir Taman Mentakab Indah, Asmah Ismail, 55, berkata dia hanya dapat mengeluarkan barang atau perabot dari rumahnya terlebih dahulu buat masa sekarang.

Katanya, kerja pembersihan hanya dapat dilakukan bermula Sabtu berikutan air banjir baru sahaja mula kering pada Jumaat.

Asmah Ismail

“Air tiada, elektrik pun tiada. Susah nak mencuci, Lumpur banyak. Hari ini baru keluarkan barang sebelah bawah, sebelah atas belum lagi.

“Saya pindahkan barang naik tingkat atas, tak sangka banjir kali ini atas pun tenggelam. Ingat rumah dua tingkat selamatlah letak barang di atas, rupanya tak,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, semalam.

Kata Asmah, dia kini sehelai sepinggang bersama suami dan dua orang anaknya disebabkan banjir baru-baru ini.

Menurutnya dia juga hilang mata pencarian apabila kedai makan miliknya turut musnah di bawa arus banjir.

Keadaan semasa di Taman Mentakab Indah. Foto RJ KEMALA

Kata Asmah, capaian untuk mendapatkan bantuan di taman berkenaan juga mudah disebabkan banyak badan bukan kerajaan (NGO) mengedarkan secara terus kepada mereka.

“Bantuan mudah nak dapat, sebab dia orang datang distribute di sini, cuma dia bukanlah dari rumah ke rumah, siapa yang pergi ambil, dapatlah,” katanya.

Asmah juga tidak menyangka banjir kali ini akan meneggelamkan tingkat atas rumahnya.

Katanya, dia giat memindahkan barang ke tingkat atas rumah, namun paras air banjir lebih tinggi sehingga turut memusnahkan barang yang dipindahkan.

Asmah dan keluarga berteduh di kilang papan berdekatan pada waktu malam. Katanya, di situ tiada sebarang bantuan diterima. #sumber

Share:

Jumlah Korban Akibat Banjir Di Pahang Sejak Sabtu Lalu Meningkat Kepada 20 Mangsa

PETALING JAYA - Jumlah korban akibat banjir sejak Sabtu lalu di Pahang meningkat kepada 20 mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peningkatan itu sekali gus menjadikan seramai 48 kematian direkodkan di seluruh negara setakat 12 malam tadi.

“Daripada jumlah itu, 25 kematian adalah di Selangor, Pahang (20 orang) dan Kelantan (tiga orang).

“Selain itu, lima mangsa dilaporkan hilang di Pahang,” kata kenyataan itu. #sumber

Share:

Seramai 13,389 Mangsa Banjir Daripada 4,275 Keluarga Masih Berada Di 101 PPS Di Pahang

KUANTAN - Seramai 13,389 mangsa banjir daripada 4,275 keluarga masih berada di 101 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini sehingga jam 4 petang pada Isnin.

Situasi itu menunjukkan situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila bilangan mangsa banjir yang berada di PPS semakin berkurangan berbanding 14,507 mangsa daripada 4,540 keluarga yang direkodkan sehingga jam 2 petang

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sebanyak 25 PPS masih dibuka di daerah Temerloh dengan 5,905 orang mangsa daripada 1,771 keluarga, 15 PPS di Bentong (2,980 mangsa,1,163 keluarga), 25 PPS di Pekan (1,778 mangsa, 570 keluarga), 11 PPS di Bera (1,150 mangsa,324 keluarga), 21 PPS di Maran (1,168 mangsa, 334 keluarga) dan empat PPS di Kuantan,4 PPS (409 mangsa, 113 keluarga).

Sementara itu, kes kematian akibat banjir di negeri ini mencatatkan 19 kes dengan 10 kes di Bentong, Temerloh (4 kes), Kuantan (2 kes),Raub (2 kes) dan Pekan (1 kes).

Bacaan paras air sungai di semua stesen bacaan berada paras normal kecuali Sungai Pahang di Batu Malim, Raub dan Paloh Hinai, Pekan yang berada pada paras amaran. #sumber

Share:

Perdana Menteri Lawat Mangsa Banjir Di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Di Mentakab !

 


TEMERLOH - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab, di sini.

Beliau yang tiba pada pukul 10.45 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu, serta bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Terdapat 938 mangsa daripada 336 keluarga masih mendapatkan perlindungan di SJKC Mentakab, berikutan banjir di kawasan masing-masing belum surut sepenuhnya.

Menurut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, setakat pukul 8 pagi tadi terdapat 12,663 mangsa banjir daripada 3,629 ditempatkan di 79 PPS di seluruh daerah Temerloh.

Perdana Menteri seterusnya bergerak ke Karak untuk melawat sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.

Dalam pada itu, mangsa banjir yang ditemui Bernama di SJKC Mentakab, berkata Perdana Menteri sempat bertanya mengenai kebajikan mereka di PPS berkenaan dan berkongsi rasa simpati atas bencana yang menimpa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Mentakab hari ini. - Foto BERNAMA
Winda Kaban, 39, berkata Perdana Menteri juga meminta pegawai perubatan untuk memeriksa suaminya, Rozali Muhammad Sharif, 53, yang lumpuh akibat angin ahmar sejak enam bulan lepas.

"Suami saya cuma terbaring, jadi PM panggil doktor untuk datang ke khemah kami sekali sekala periksa keadaan suami saya sebab dia tidak boleh berjalan ke depan (tempat pegawai perubatan)," katanya.

Kediaman mereka di Kg Tanjung Kerayong, Mentakab dinaiki air setinggi dua kaki dan dinasihatkan berpindah ke PPS oleh pihak polis berikutan bimbang keadaan suaminya akan menyukarkan proses menyelamat jika paras air terus meningkat.

Seorang lagi mangsa, Hazlina Ariffin, 53, berkata dia bersama ibu, Robiatun Kassim, 82, yang berkerusi roda berpindah ke kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Mentakab pada Isnin, sebelum ditempatkan di PPS berkenaan pada Selasa.

"Saya cuma risaukan keadaan ibu dan kami bernasib baik kerana rumah dekat dengan balai bomba. Jadi bantuan cepat sampai untuk membawa ibu saya keluar," katanya sambil menambah hanya sempat membawa keluar sedikit pakaian dan dokumen penting.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar Temerloh mendapati keadaan semakin pulih dengan beberapa jalan utama sudah dibuka untuk kenderaan manakala sebahagian bandar Mentakab masih ditenggelami air. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.