script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Penduduk Kg.Jerantut Feri Tuntut Janji ADUN Tahan


[Berjanji memang boleh, tetapi janganlah sampai menipu dan menganiya orang Melayu, itu kan bangsa kita juga! Ini bukan kenyataan omong-omongan, tetapi berlaku di Jerantut Feri. Janji yang dibuat oleh pimpinan UMNO kepada penduduk sejak PRU 2004 ialah menyediakan padang bola bagi memenuhi keperluan pemuda beriadah dan dan dewan atau balai raya untuk kegunaan penduduk. Namun janji yang ditaburkan oleh pemimpin UMNO masih tetap janji tinggal janji. Menurut penduduk, hasil penipuan janji pimpinan tinggi UMNO itu mengakibatkan hampir 2,500 pemuda terpaksa menumpang bermain di padang ko-kurikulum Pusat Kegiatan Guru Kampung Pedah. Malangnya selalu bertembung dengan kegiatan pelajar sekolah. Jerantut Feri termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Tahan.  Rungut penduduk, tiap-tiap kali PRU Umno terus berjanji dan berjanji lagi kerana ketiadaan padang dan dewan menyukarkan ahli kariah tersebut untuk melakukan aktiviti sihat. Nampaknya penduduk Jerantut Feri dan sekitarnya sudah bertambah cerdik sekarang, mereka mahu kerajaan yang menunaikan janji bukan yang berjanji hanya untuk undi!. DUN Tahan diwakili oleh Dato' Wan Amizan Wan Abd Razak, yang diwar-warkan akan bertanding di kerusi Parlimen Jerantut pada pilihan raya umum ini. sumber fb !!].
Share:

Panas: Datuk Chua Jui Meng Mungkin Tinggalkan PKR


[Panas berapi, ini baru berita sensasi yang diterima dari selatan tanah air. Gara-gara kesilapan dan beberapa tindakan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat tidak menguntungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri Johor, maka kemungkinan besar mantan Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng  akan bertindak meninggalkan parti itu. Berita ini belum dapat disahkan sepenuhnya, namun berdasarkan kepada maklumat kini Chua sudah mula menyisihkan dirinya daripada PKR, sedangkan pilihanraya umum ke-13 kini sudah terlalu hampir. Malah ada laporan mengatakan kelibat Chua juga sudah tidak ada lagi di beberapa program Pakatan Rakyat serta tidak hadir mesyuarat PKR peringkat negeri Johor. PengerusiPKR Johor kini telah dipangku salah seorang kuat PKR Johor bagi memantapkan perjalan parti menjelang pilihanraya umum. Apa yang berlaku ini sungguh merunsingkan sebenarnya. Akibat tersalah percaturan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti maka ramai pihak yang makan hati dan akhirnya merajuk untuk membawa diri. Rakyat tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya, tapi perlu juga salahkan pemimpin yang gagal bertindak secara bijak, adil dan saksama untuk semua pihak. Jsuteru, berhati-hatilah mulai sekarang. Jangan nanti, "yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran". Maka, kini rakyat juga tanggung akibatnya].
Share:

Panas: Dato' Fauzi Kena "Booo" Selepas Di Umumkan Jadi Calon PKR Parlimen Indera Mahkota Oleh Anwar

KUANTAN, 31 Mac - Orang ramai yang hadir ke program ceramah semasa bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi terkejut apabila beberapa orang anak muda dengan beraninya mengejek secara terbuka tatkala nama Dato' Fauzi Abd Rahman yang diumumkan oleh Ketua Umum PKR itu sebagai calon parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihanraya Umum Ke-13 di Balok Makmur dekat sini malam tadi. Difahamkan, anak muda terbabit yang dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri tidak berpuas hati apabila parti meletakkan Pengerusi PKR Pahang itu untuk bertanding disitu. Mereka dipercayai menjerit "booo" apabila nama Dato' Fauzi diumumkan. Kejadian yang berlaku ini amatlah memalukan tatkala pilihanraya umum sudah terlalu hampir sekarang ini. Difahamkan, tindakan anak muda terbabit telah berjaya dihalang oleh Unit Amal PAS yang berkawal di situ. Soalnya, siapakah yang mengarahkan mereka berbuat demikian?. Sebelum ini terdapat beberapa serangan peribadi dilakukan terhadap Dato' Fauzi yang kononnya tidak layak untuk mengetuai PKR di Pahang. Berbagai tohmahan dan kritikan panas telah dilontarkan oleh pihak terbabit di dalam laman sembang sosial facebook sejak beberapa hari yang lalu. Namun, tindakan mengejek bekas pemimpin UMNO itu jelas sekali satu tindakan yang tidak wajar serta mencemarkan imej PKR itu sendiri sebenarnya. Soalnya sekarang, mengapa anak-anak muda terbabit begitu berani berbuat demikian dikala pemimpin utama parti sendiri yang mengumumkan nama Dato' Fauzi. Tindakan ini jelas sekali satu sikap yang amat biadap dan telah menjatuhkan maruah Anwar sendiri. Namun, dari segi yang lain pula mungkin ada sebab kenapa nama Dato' Fauzi ditolak oleh mereka. Siasatan lanjut akan dilakukan untuk merungkaikan apakah masalah sebenarnya yang berlaku ini.



[Apa yang berlaku malam tadi sememangnya satu insiden yang tidak diduga sama sekali. Jika ini keadaannya, bagaimanakah PKR boleh mempertahankan kerusi parlimen Indera Mahkota yang dimenangi pada PRU12 yang lalu?. Daripada posting-posting yang dibuat di laman sembang sosial, ternyata ada pihak yang masih tidak boleh menerima kehadiran Dato' Fauzi ke dalam PKR. Apatah lagi bila beliau tiba-tiba menerima keputusan untuk menjadi calon pada PRU13 ini nanti. Video berkenaan kenyataan Dato' Fauzi bahawa beliau serta PKR bukan bercita-cita untuk apa-apa jawatan kini jelas sekali memakan diri. Edaran telah dibuat dan kini ramai yang hairan dengan sikap bekas pemimpin UMNO itu. Malah, ketika dia mula sertai PKR pun ramai yang sangsi kerana dia mengatakan sertai PKR kerana tidak boleh menerima kekejaman yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Anwar. Walhal kenyataan itu dibuat pada 23 Julai 2008 iaitu hampir sepuluh tahun selepas Anwar dizalimi. Kini, Dato' Fauzi diserang oleh ahli PKR sendiri. Apalah beliau boleh mempertahankan dirinya kali ini?. Video berkenaan jelas sekali boleh memerangkap dirinya pada pilihanraya umum ini, jika beliau tidak berhati-hati].
Share:

Panas: Dua Pemimpin NGO Anti Lynas Kini Jadi Calon PRU, Tan Bun Teat 'Pengerusi SMSL' Apa Cerita Pula !

KUANTAN, 30 Mac - Isu kontroversi kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini akhirnya telah memberi ruang kepada dua orang pemimpin NGO yang berjuang menentang projek tersebut bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Pemimpin terbabit ialah Wong Tack, Pengerusi Himpunan Hijau dan Andasura Rabu, Pengerusi Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (BADAR). Wong Tack baru-baru ini telah diumumkan sebagai calon DAP untuk bertanding kerusi parlimen Bentong manakala Andansura pula diwar-warkan akan bertanding atas tiket PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah (Parlimen Indera Mahkota). Melihat kepada senario ini, maka ramai yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan Pengerusi NGO Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) iaitu Tan Bun Teat (foto)?. Apakah Pakatan Rakyat juga akan memberi ruang kepada beliau untuk bertanding pada pilihanraya umum ini nanti?. Sebelum ini SMSL dilihat menjuarai berbagai program berkaitan anti Lynas. Namun selepas NGO itu didaftarkan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad, kini SMSL dilihat semakin sepi dan tiada lagi aktiviti berkaitan dilihat sekarang ini. Malah, NGO yang dipimpin oleh Won Tack pula dilihat lebih menyerlah termasuk mengajak orang ramai berjalan kaki dari Kuantan ke Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan mereka baru-baru ini. Soalnya sekarang, kenapa SMSL tiba-tiba menyepi dari sebarang aktiviti selepas sekian lama mereka berjuang menentang projek tersebut?. Inilah yang menjadi kemusykilan dikalangan rakyat Kuantan sekarang. Malah, mereka juga turut mempersoalkan tentang apakah kewajaran dua pemimpin NGO terbabit menyertai kancah politik dan bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Apakah perjuangan NGO berkenaan (Hijau dan Badar) selama ini adalah untuk kepentingan politik semata-mata?. Soalnya sekarang, kenapa Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh juga terlibat secara langsung dengan berbagai program anti-Lynas sedangkan sudah ada tiga NGO yang sepatutnya berbuat demikian di Kuantan. Malah, ada yang berkata Fuziah sepatutnya hanya memperjuangkan isu ini di parlimen dan bukannya di "atas padang" seperti yang dapat kita saksikan. Cukuplah dengan sokongan daripada ketiga-tiga NGO terbabit untuk mengajak rakyat berhimpun dan menenantang projek itu selama ini. Bila dikatakan isu Lynas dijadikan "millage politik" oleh pihak-pihak tertentu pasti ramai yang akan marah. Namun, lihat apa yang berlaku sekarang?. Tiga orang pemimpin gerakan anti Lynas kini akan bertanding di PRU-13, melainkan Tan Bun Teat seorang sahaja yang dilihat tidak berbuat demikian.


[Jika melihat kepada fenomena yang berlaku ini, maka sahlah  bagai dikataka oleh pihak berkenaan bahawa Lynas hanya mahu dijadikan isu politik bagi mempopularkan individu tertentu semata-mata. Apapun, sama-sama kita nantikan apakah ketiga-tiga pemimpin ini akan menang atau sebaliknya. Bayangkan jika mereka kalah?. Apakah mereka layak untuk kembali mempimpin perjuangan rakyat menentang Lynas?. Sedangkan terbukti rakyat menolak mereka menerusi kertas undi?. Justeru, adalah diharapkan mana-mana pemimpin NGO yang mahu sertai politik atau menjadi calon pilihanraya agar melepaskan dulu jawatan masing-masing agar tidak menimbulkan fitnah dikemudian hari. Apapun, syabas dan tahniah kepada Tan Bun Teat yang tidak terikut-ikut untuk turut sama menyertai pilihanraya kali ini. Apapun, terdapat maklumat, ada orang kanan beliau yang akan bertanding sebagai calon bebas di salah satu parlimen dalam kawasan Kuantan kali ini. Maknanya, isu Lynas benar-benar dijadikan bahan kempen politik bagi meraih undi kali ini. Soalnya, apakah rakyat boleh menerima dan dipengaruhi dengan isu ini. Sama-samalah kita nantikan keputusannya nanti].
Share:

Panas: Kenyataan "Hina Agama Hindu", Semua Pihak Gesa Tindakan Tegas Di Ambil Terhadap Zul Kulim !!

KUALA LUMPUR, 30 Mac - MIC dan PPP wajar meninggalkan Barisan Nasional (BN) ekoran kenyataan menghina terhadap tuhan orang-orang Hindu oleh Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin (foto) kerana Perkasa adalah UMNO. "Perkasa adalah Umno. MIC, PPP mesti keluar dari BN ekoran kenyataan menghasut yang dibuat oleh YB Zulkifli Nordin terhadap tuhan orang-orang Hindu," kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, anggota Parlimen Bukit Gantang. Nizar berkata demikian melalui twitternya hari ini. Sebelum ini, pelbagai badan bukan kerajaan mengecam kenyataan Zulkifli Nordin yang disifatkan menghina agama Hindu. Zulkifli berkata, kenapa orang Hindu tidak meletakkan patung tuhan-tuhan mereka di depan rumah mereka supaya banjir tidak melanda rumah mereka. Zulkifli sebelum ini dipecat oleh PKR dikatakan akan bertanding atas tiket UMNO di Kulim Bandar Baru dalam pilihan raya kali ini sebagaimana Datuk Ibrahim Ali yang akan bertanding di Pasir Mas atas tiket BN. Pelbagai pihak meminta tindakan diambil oleh pplis terhadap Zulkifli kerana ia satu kenyataan yang menghasut. Persatuan Presiden Hindu Sangam, RS Mohan Shah yakin tidak akan ada tindakan seumpama itu akan diambil kerana sebelum ini Zulkifli telah membuat kenyataan yang hampir sama. Namun, selepas laporan polis dibuat olehnya pada tahun 2011, tidak ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas beliau. Menurutnya, Hindu Sangam telah membuat laporan pada tahun 2011 ekoran satu video yang menunjukkan kenyataan Zulkifli yang menghasut, namun tidak ada sebarang tindakan. "Semua ini kerana Zulkifli adalah Naib Presiden Perkasa dan seorang anggota Parlimen," kata Mohan. Kenyataan Zulkifli juga dibantah oleh Pengerusi National Indian Rights Action Team (Niat) Thasleem Mohd Ibrahim yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi. "Sebagai Muslim saya malu dengan kenyataan Zulkifli kerana Islam mengajar kita agar jangan menghina agama atau tuhan agama lain," kata Thasleem.


[Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini dan dikala Perdana Menteri memperkenalkan konsep 1Malaysia makanya tindakan Zulkifli Nordin ini dilihat sesuatu yang tidak masuk dek akal. Tambahan pula beliau adalah seorang peguam terkenal dan pernah menjadi pemimpin politik di negara ini. Soalnya kenapa pemimpin Perkasa ini begitu berani menghina agama Hindu secara terbuka seperti ini?. Nampak benar beliau sengaja mahu membakar api perkauman dengan kenyataan panas seperti ini sebenarnya. Sewajarnya pihak polis melakukan siasatan dibawah akta hasutan terhadap kes ini, kerana ia jelas menyinggung perasaan penganut agama Hindu itu sendiri. Tindakan menghina agama lain boleh dianggap menghasut dan apakah kerajaan berani mendakwa pemimpin terbabit tatkala menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Mungkin juga Zulkifli Nordin akan dirahatkan pada PRU ini gara-gara kenyataan celuparnya yang dilihat boleh menyebabkan berlakunya undi protes kepada masyarakat kaum India terhadap BN pada PRU-13 ini. Pasti beliau akan dipersalahkan gara-gara keghairahannya membuat kenyataan tersebut jika BN tewas di kawasan tradisi majoriti kaum India. Kesilapannya pasti akan memberi impak besar terhadap BN pada PRU ini !].
Share:

Bekas Pengarah Pelajaran Di Lantik Presiden KIPSAS!

KUANTAN, 30 Mac - Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Yahya Zainal Abidin (foto) yang diwar-warkan bakal menggantikan tempat Allahyarham Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak untuk bertanding sebagai calon UMNO Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dalam Parlimen Maran pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini telah terjawab apabila dengan rasminya akan dilantik menjadi Presiden Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) pada 1 April 2013 ini. Surat perlantikan beliau diserah dalam majlis di KIPSAS oleh  Setiausaha Kerajaan Pahang semalam (29 Mac). Apapun, PDO menyokong penuh perlantikan "orang akademik" seperti beliau untuk menerajui KIPSAS demi menaikkan mutu dan taraf pendidikan di kolej tersebut nanti hendaknya. 
Share:

Video: Mahathir Arah Buar Huru-Hara Dan Kematian!

Share:

Panas: Gara-Gara 'Calon Wahyu' PKR Paya Besar Kini Bergolak, Calon Bebas Mungkin Tanding Di Situ Nanti

KUANTAN, 29 Mac - Gara-gara kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar "calon wahyu" untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, difahamkan beberapa orang "calon bebas" dijangka akan turut bertanding di situ pada kali ini. Berdasarkan kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai, calon bebas yang akan bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar itu nanti bukanlah calang-calang orang kerana mereka merupakan pemimpin PKR setempat yang sudah dikenali oleh akar umbi. Malah, terdapat juga dakwaan beberapa buah ranting di Cabang Paya Besar juga akan turut dibubarkan selepas parlimen bubar, susulan kecewa dengan tindakan tersebut. Awal tahun ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan berani telah menamakan Peguam Murni Hidayah Annuar sebagai calon di kerusi parlimen itu. Tindakan tersebut telah menyebabkan kekecohan berlaku apabila pertembungan dua kumpulan antara Team Wanita (Tawan) yang diketuai oleh Murni bertembung dengan Team Ketua Cabang sedia ada yang dipimpin oleh Haji Zahari Mamat. Keretakan mula berlaku apabila Team Haji Zahari yang sudah melaksanakan kerja-kerja parti termasuk program ceramah, penubuhan ranting-ranting serta berbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain telah disisihkan dalam program anjuran Tawan. Malah, ketika  pelancaran Bilik Gerakan Wanita Pusat Parlimen Paya Besar di Permatang Badak (foto) oleh Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita Keadilan) Januari lalu pun kelibat ketua cabang terbabit tidak kelihatan. Ini menimbulkan "syak wasangka" dikalangan rakyat dan pemerhati politik tentang apakah yang berlaku sebenarnya. Difahamkan, Team Haji Zahari mendapat sokongan kuat daripada pimpinan Pakatan Rakyat di kawasan terbabit. Malah, sebelum ini telah heboh diperkatakan bahawa beliau akan menjadi calon pilihan untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar. Namun kehadiran Team Tawan yang dipimpin oleh Murni telah menyebabkan PKR cabang terbabit goyah dan menanti rebah. Persoalannya, apakah benar Murni Hidayah yang merupakan anak kepada seorang pemimpin wanita PKR di Pahang itu telah diwahyukan sebagai calon parlimen Paya Besar seperti yang diwar-warkan?. Laporan lanjut menyusul dan kami akan mendapatkan pandangan dari  kedua-dua pihak berkenaan isu kontroversi ini. Jika berlaku perpecahan akibat isu calon ini, maka ia sedikit mencalarkan imej PKR dan boleh memberi ruang yang cukup luas untuk UMNO Barisan Nasional terus mengekalkan kerusi parlimen itu pada PRU13 nanti. 


[Kemunculan "calon wahyu" disaat-saat akhir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 jelas sekali boleh menyumbangkan kepada kekalahan parti-parti yang bertanding sebenarnya. Apa tidaknya, jika orang yang sudah lama bekerja dan memperhambakan diri kepada parti dengan alasan awalnya akan diberi ruang untuk menjadi calon tiba-tiba ditendang secara terhormat sebegini rupa. Maka akan timbul perasaan kecewa yang mendalam kerana mereka ini kebanyakkannya sudah menghabiskan wang ribuan ringgit untuk membina kekuatan parti diperingkat akar umbi. Soalnya, apakah mereka ini khiant jika bertanding bebas sedangkan mereka mendapat sokongan rakyat yang sudah mengenali mereka sejak sekian lama?. Apa bezanya dengan tindakan pemimpin yang sewenangnya menghantar calon-calon wahyu itu? Apa motif mereka?. Bukankah mereka juga khianat kerana memecah belahkan parti untuk kepentingan peribasi masing-masing. Mereka mahu membina proksi diperingkat akar umbi dan langsung tidak mengambilkira suara rakyat di kawasan terbabit. Jika berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru maka usahlah mereka dipersalahkan, sebaliknya salahkan sikap pemimpin berkenaan. Maka fikir orang lain sama sebelum buat keputusan!].
Share:

Panas: Kontroversi "Pidato Lahad Datu"!, Nama "Syed Ali" Akhirnya Di Buang Daripada Senarai Penceramah

KUANTAN, 29 Mac - Susulan kekecohan isu poster "Pidato Lahad Datu" yang memaparkan wajah Ketua UMNO Bahagian Cheras semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang bertindak drastik apabila membatalkan nama "Syed Ali" daripada senarai penceramah yang akan naik ke pentas malam ini. Program yang dijadualkan berlangsung di Markas PKR Ranting Indera Mahkota Dua itu bagaimana pun masih mengekalkan penceramah lain iaitu Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Lee Chean Chung (Pemangku Ketua Cabang PKR Indera Mahkota) dan Sulaiman Md Derus (Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan). Jelas dapat dilihat dalam poster-poster terbaru yang disebarkan, PKR telah "menghilangkan" gambar "Syed Ali" yang mencetuskan kontroversi itu. Penganalisis Politik yang sepatut bersama dalam program tersebut iaitu Syed Ali  Badaruddin Syed Osman (foto) iaitu bekas Pengarah Urusan Seruan Gemilang Makmur (SGM) ketika dihubungi menegaskan beliau tahu masalah yang berlaku adalah akibat kesilapan teknikal oleh pihak designer yang tersalah mencari imej "Syed Ali Alhabshee" di internet (Google Image). Maka itu katanya tidak perlulah perkara itu diperbesarkan sehingga mahu  mengambil tindakan saman kerana pihak penganjur telah memohon maaf atas kesilapan terbabit serta memperbetulkan perkara itu. Sementara itu, laporan mengenai isu terbbait juga telah disiarkan didalam portal popular Malaysikini lewat petang semalam. Apapun, dalam kenyataan di protal terbabit terdapat dua perkara yang dilihat mengelirukan iaitu "Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menuntut pemimpin PKR Pahang memohon maaf kerana menggunakan nama dan wajah beliau dalam satu poster ceramah. Menurutnya, beliau menyedari perkara itu setelah menerima kiriman SMS dan MMS dari rakan-rakannya yang melihat poster berkenaan di sekitar Kuantan." dan "Syed Ali juga mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa poster itu pada awalnya turut dimuatkan dalam blog PahangDaily namun, ia kini telah diturunkan". Dua kenyataan ini jelas sekali tidak benar berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh PDO sebelum ini. Pertamanya, poster berkenaan masih belum dicetak dan belum diedarkan ke sekitar bandar Kuantan. Ia hanya tersebar di laman sembang sosial facebook sahaja. Keduanya, PDO tidak pernah menurunkan gambar poster terbabit dan masih disiarkan hingga ke hari ini bagi membuktikan kewujudannya. Dua kenyataan mengelirukan ini tidak perlu sebenarnya kerana ia memberi gambaran yang lebih buruk terhadap situasi sebenar apa yang berlaku. 


[Sementara itu pihak kami tidak menerima apa-apa maklumat berhubung tindakan PKR Pahang atas tindakan saman yang akan dikenakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berhubung gesaannya agar penganjur memohon maaf secara terbuka di media elektronik atas kesilapan yang berlaku. Syed Ali Alhabshee dalam satu kenyataan medianya semalam meminta PKR Pahang berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan mahkamah. Apapun, kemungkinan besar PKR Pahang akan mengambil sikap berdiam diri atas desakan ini kerana memikirkan mereka tidak bersalah. Malah ada pihak pula yang cuba menyalahkan PDO atas penyiaran artikel tersebut. Malah, semua posting berkenaan poster berkenaan di internet (facebook) telah dikeluarkan oleh pihak berkenaan. Apapun, dua poster asal telah berjaya disimpan oleh krew PDO sebelum artikel dibuat. Malah, poster-poster berkenaan telah diambil dari akaun facebook pemimpin PKR Pahang yang berkenaan. Laporan berikutnya akan menyusul dalam masa terdekat. Semoga isu ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati selepas ini. Walau pun poster masih belum disebarkan di luar, namun "penangan facebook" juga memainkan peranan yang lebih besar terhadap kontroversi seperti ini sebenarnya. Jadikan ikhtibar kes ini !].
Share:

Poster "Panas", PKR Pahang Akan Di Saman Sekiranya Tidak "Mohon Maaf Secara Terbuka" Kepada Syed Ali!

KUANTAN, 28 Mac - Susulan pendedahan panas PDO isu poster ceramah "Pidato Lahad Datu" Pakatan Rakyat Pahang  yang memaparkan wajah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (foto) maka kami difahamkan pemimpin terbabit bakal menfailkan tindakan saman terhadap PKR Pahang dalam masa terdekat ini. Dalam satu kenyataan di blog rasmi UMNO Bahagian Cheras hari ini, Syed Ali menggesa PKR Pahang mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepadanya menerusi media cetak dan elektronik dalam tempoh seminggu jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang. Menurut Syed Ali, beliau teramat kesal, kecewa dan dukacita dengan tindakan tidak bertanggungjawab Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang yang didapati dengan sengaja memuatkan gambarnya dalam poster ceramah terbabit yang akan diadakan di Markas PKR Ranting Indera Mahkota 2, Kuantan pada malam esok (29 Mac) seperti dipaparkan PDO awal pagi tadi."Sesungguhnya saya sesekali sama ada secara sedar atau tidak, tidak ada kaitan dan tidak pernah terbabit dalam apa jua program anjuran pembangkang khususnya PKR Pahang, kerana jiwa dan perjuangan saya adalah untuk UMNO, Barisan Nasional (BN) dan negara Malaysia yang diterajui oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin", katanya. Beliau juga menyifatkan perbuatan pihak pengajur, yakni PKR yang sengaja memuatkan gambarnya dalam poster berkenaan sebagai satu perbuatan khianat, sebotaj dan berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasi dan kredibiliti beliau selaku pemimpin politik dan Ketua UMNO Bahagian Cheras serta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO BN Wilayah Persekutuan. Perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu pada hematnya, jelas bermotifkan politik dengan sengaja melakukan hasutan, provokasi dan cuba memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO BN khususnya ketika bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 semakin hampir. "Bagi membersihkan diri dan kredibiliti saya serta kewibawaan UMNO, saya tidak tergak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengajur khususnya PKR Pahang jika tidak mengemukakan permohonaan maaf secara terbuka kepada saya dan ianya juga perlu dibuat menerusi media cetak dan eletronik. Saya beri tempoh seminggu untuk berbuat demikian, jika tidak saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit", tambahnya.

[Nampkanya isu yang dianggap kecil kini menjadi semakin besar apabila tindakan undang-undang mahu diambil oleh pihak yang berkenaan. Apapun, Ketua UMNO Bahagian Cheras itu punyai hak untuk menyaman kerana poster berkenaan yang disebarkan di laman sembang sosial sejak malam tadi itu benar-benar telah menjatuhkan kreadibiliti beliau sebagai pemimpin UMNO BN itu sendiri. Malah difahamkan, gara-gara isu terbabit dia telah dihubungi oleh berbagai pihak yang terkejut dengan tindakan beliau naik ke pentas Pakatan Rakyat tatkala Pilihanraya Umum Ke-13 semakin menjelang tiba sekarang ini. Kini terserah kepada PKR Pahang untuk memohon maaf secara terbuka di media atau pun tidak. Kami sudah pun menyiarkan permohonan maaf yang dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Pahang sendiri iaitu Razali Alias dalam artikel terdahulu. Apapun, memandangkan isu ini timbul akibat kecuaian pihak berkenaan yang tidak mengenali "Syed Ali" dan mereka sudah pun mengaku silap atas masalah teknikal serta bertindak mengeluarkan poster itu dari laman sembang sosial facebook, tindakan saman ini jika berlaku amatlah tidak wajar sama sekali. Eloklah isu kontroversi seperti ini diselesaikan dengan baik agar tidak memburukkan lagi keadaan. Moga kes ini menjadi pengajaran kepada pihak lain agar lebih berhati-hati mencetak poster yang melibatkan gambar pemimpin pembangkang yang hampir-hampir sama dengan pemimpin UMNO BN. Jadikan kes ini sebagai ikhtibar di masa akan datang].
Share:

Panas: Poster Pidato Lahad Datu, PKR Pahang Mohon Maaf Kerana Kesilapan Teknikal Pada Foto "Syed Ali"

KUANTAN, 28 Mac - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Razali Alias (foto) pagi tadi menafikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee akan hadir pada program ceramah "Pidato Lahad Datu" seperti yang didedahkan oleh Pahang Daily Online (PDO) hari ini. Dalam satu kenyataan ringkas beliau menerusi email kepada pihak kami, mendakwa penceramah yang sebenarnya ialah Syed Ali  Badaruddin Syed Osman iaitu bekas Pengarah Urusan Seruan Gemilang Makmur (SGM) iaitu syarikat pembalakan yang telah menyaman Kerajaan Negeri Pahang seperti yang dihebohkan sebelum ini. Menurut Razali, kesilapan berlaku kepada poster berkenaan adalah masalah teknikal sebenarnya. "Saya bagi pihak PKR Pahang memohon ampun dan maaf kepada Ketua UMNO Bahagian Cheras atas kesilapan yang tidak disengajakan ini. Ia mungkin berlaku akibat kealpaan anak buah saya yang membuat poster tersebut.. Dia mungkin mencari nama Syed Ali menerusi google image di internet .. dan tidak menyedari gambar tersebut bukan Syed Ali SGM tetapi Syed Ali Alhabshee. Kesilapan tersebut disedari awal pagi tadi selepas saya dihubungi oleh beberapa pihak yang terkejut dengan artikel yang disiarkan oleh PDO itu", katanya. Razali juga menegaskan, kesilapan hanya berlaku kepada poster yang disebarkan menerusi internet terutamanya di laman sembang sosial di facebook dan perkara itu diubah oleh pihaknya untuk versi cetakan hari ini. "Apapun, saya mempelawa orang ramai terutamanya warga Kuantan untuk hadir ke program ini malam esok. Banyak informasi terkini dan berita panas tentang politik semasa terutamanya isu Lahad Datu akan didedahkan kepada umum. Malah Syed Ali (Seruan Gemilang Makmur) sendiri juga akan turut berceramah untuk mendedahkan beberap isu panas berkaitan dengan beberapa politik di negeri Pahang malam esok", kata Razali lagi.


[Kesilapan yang berlaku ini sungguh mengelirukan sebenarnya. Tambahan pula nama kedua-dua individu terbabit hampir sama seperti yang berlaku kepada "Syed Ali" ini. Ia mungkin terjadi apabila designer poster hanya merujuk nama pada google image di internet tanpa mengenali pihak terbabit. Sewajarnya mana-mana pihak yang mahu mengarahakan sesiapa saja membuat poster ceramah agar lebih berhati-hati selepas ini supaya tidak menyinggung pihak lain. Kesilapan yang berlaku nampak kecil, tetapi ia besar impaknya kepada pihak yang berkenaan. Lebih elok kiranya sebelum disebarkan ia dirujuk terlebih dahulu kepada pihak yang sepatutnya untuk disemak dan sebagainya. Bagi mengelakkan kesilapan seperti ini di masa yang akan datang, maka adalah lebih elok kiranya memberikan gambar-gambar berkenaan terus kepada pembuat poster agar perkara sebegini dapat dielakkan. Apapun, kemaafan sudah dipinta maka isu ini dianggap selesai !!].
Share:

Panas: Poster Ketua UMNO Bahagian Cheras "Naik Ke Pentas Ceramah" Pakatan Rakyat Kuantan Tersebar !

KUANTAN, 28 Mac - Apa sudah jadi dengan Pakatan Rakyat Pahang?. Baru sahaja isu pembahagian kerusi pilihanraya dikecohkan akibat sidang media yang dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, kini timbul pula kontroversi terbaru yang pasi sungguh mengejutkan semua pihak sebenarnya. Ia berikutan tersebarnya poster ceramah yang memaparkan wajah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (foto) di laman sembang sosial facebook sejak lewat malam tadi. Poster yang bertajuk "Pidato Lahad Datu" itu kini telah disebarkan secara meluas dan ia menimbulkan berbagai tanda tanya sekarang ini. Benarkah Syed Ali kini telah menyokong Anwar dan salah seorang daripada pemimpin UMNO yang akan meninggalkan parti itu menjelang pilihanraya umum ke-13 nanti?. Pada paparan poster itu menyebut program berkenaan akan diadakan malam esok (29 Mac) di Markas PKR Ranting Indera Mahkota 2 dekat sini. Program anjuran Pakatan Rakyat Pahang itu turut menampilkan Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Lee Chean Chung (Pemangku Ketua Cabang PKR Indera Mahkota) dan Sulaiman Md Derus (Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan). Persoalannya, kenapa wajah pemimpin UMNO itu berada bersama di dalam poster terbabit. Apakah beliau sudah bersedia untuk berada sepentas dengan Pakatan Rakyat selepas melihat berbagai kontroversi dengan isu Lahad Datu agaknya?. Beliau yang juga merupakan Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu sebelum ini pernah menggempar negara apabila turut mengkritik tindakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Sharizat Jalil dalam isu lembu National Feedlot Corporation (NFC). “Shahrizat perlu segera letakkan jawatan sebagai menteri jika benar-benar beliau ikhlas dan sayangkan parti,” tegas beliau dalam satu kenyataannya pada awal Disember lalu. Beliau berkata hanya dengan berbuat demikian UMNO tidak dikaitkan dengan isu tersebut yang kini telah menimbulkan kemarahan rakyatKatanya, berundur secara terhormat daripada kabinet bukan bermakna beliau perlu melepaskan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO kerana jawatan itu dipilih oleh perwakilan parti. Kini, Shahrizat terpaksa akur dan telah pun berundur seperti yang disarankan oleh beliau. Maka itu, apakah kini beliau merasakan dirinya sudah tidak serasi lagi dengan UMNO dan bertindak naik ke pentas Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ini?.


[Kami akan cuba membuat siasatan yang terperinci tentang kebenaran maklumat pada poster. Jika benar Ketua UMNO Bahagian Cheras kini sudah bersedia naik sepentas dengan pimpinan Pakatan Rakyat, maka ia satu tamparan yang cukup hebat kepada UMNO BN menjelang PRU ini sebenarnya. Namun jika penyebaran poster ini sekadar "khabar angin" semata-mata, maka pihak yang berkenaan perlulah memohon maaf kepada pemimpin terbabit atas kesilapan yang berlaku ini. Cuma apa yang menghairankan kita pada poster ini ialah jawatan yang dinyatakan pada nama Syed Ali itu ialah "Penganalisi Politik" dan bukannya "Ketua UMNO Bahagian Cheras". Ini jelas menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat seandainya poster terbabit versi cetakan mula diedarkan dan ditampal di merata tempat kelak. Diharap pihak yang berkenaan dapat mengesahkan perkara ini agar ia tidak menimbulkan kekalutan terbaru dalam kancah politik negara sekarang. Tambahan pula "isu Lahad Datu" kini sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak mutakhir ini. Apapun, orang ramai yang berdekatan bolehlah hadir ke program ini untuk menyaksikan sendiri kelibat "Syed Ali" seperti yang dinyatakan pada poster berkenaan mulai jam 9.00 malam esok. Laporan lanjut menyusul !!].
Share:

Sah, PAS Terajui Pembangkang Di Pahang Untuk Buat Kejutan Besar Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Nanti !

KUANTAN, 27 Mac - Parti Islam SeMalaysia (PAS) Negeri Pahang sekali lagi diberi kepercayaan menerajui Pakatan Rakyat (PR) negeri ini apabila diberi peluang bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Daripada keseluruhan 42 Dun, DAP bertanding 7 manakala selebihnya (14) ditandingi PKR selepas selesai agihan kerusi peringkat Pakatan Rakyat Pahang. Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN) Cikgu Abdul Majid Hasan, DUN-DUN yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman. Bagi mengetuai cabaran tersebut, PAS dijangka menampilkan lebih 50 peratus muka baru iaitu terdiri daripada ulamak muda lulusan Timur Tengah dan profesional dalam pelbagai bidang. Antaranya di Pulau Tawar, Inderapura, Luit, Kerdau, Beserah, Sungai Lembing dan Chenor. Melihat kepada faktor Pahang tidak terkena tempias tsunami politik 2008, negeri Perdana Menteri dan menempatkan majoriti besar pengundi Melayu, tidak ramai penganalisis yang berani meletakkan PR akan berjaya mencipta sejarah pada PRU 13. Namun menurut Abdul Majid, berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir, tidak mustahil PR mampu membuat kejutan. Antara lain ialah kelemahan kerajaan BN Pahang dalam menangani isu-isu rakyat, kebangkitan rakyat yang celik maklumat dan swing pengundi Cina yang dijangka meningkat sehingga 80 peratus. Satu faktor lagi, terdapat 25 DUN mengandungi kawasan tanah rancangan Felda. Dengan pelbagai isu yang menghantui serta kesedaran warga peneroka dijangka boleh menyumbang ke arah kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum nanti.

Pembangkang Mahu Buat Kejutan Di Pahang Kali Ini

Pada ketika ini empat DUN sudah dimenangi Pakatan Rakyat iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah serta dua oleh DAP iaitu di Triang dan Tras. Kedua-dua parti dijangka tiak menghadapi sebarang masalah untuk mengembalikan semua kerusi masing-masing. Namun yang menariknya terdapat lapan DUN di mana PR hanya kalah di bawah 1,000 undi pada PRU yang lalu iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan  Ketari (882).  Manakala 8 Dun lagi majoriti kekalahannya di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444). Abdul Majid berkata, jika terdapat swing (lonjakan) kurang daripada 5 peratus sahaja trend pengundian terdahulu meningkat ke arah PR, bermakna DUN-DUN seperti Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) akan jatuh ke tangan PR sekali gus mendapat majoriti mudah untuk ke Wisma Sri Pahang.  “Itu yang saya katakan PR mungkin boleh membuat kejutan berdasarkan terlalu banyak kelemahan kerajaan BN Pahang dalam menangani isu-isu air dan tanah, muncul aktivitis media baru serta peningkatan sokongan pengundi Cina terutama selepas isu Lynas. “Bagaimanapun saya masih menekankan faktor utama kemenangan ialah jentera pilihan raya yang bertugas di segenap unit peti undi serta jentera kempen selain daripada bertawakal sepenuhnya kepada Allah,” katanya. Lonjakan lima peratus yang dikehendaki itu tidak mustahil boleh diperolehi PR berdasarkan peningkatan yang sama diperolehi pada PRU 2008 berbanding PRU 2004. Bagi kerusi parlimen di Pahang pula, Abdul Majid berkata PAS akan bertanding enam daripada 14 iaitu di parlimen Jerantut, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bera dan Rompin. 


PKR kekal bertanding di Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Pekan dan Lipis. Sementara DAP kekal di kerusi tradisinya Cameron Highlands, Raub dan Bentong.  Tambah Abdul Majid, Pahang bakal menyumbangkan sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen bagi membantu PR ke Putrajaya iaitu mengekalkan Indera Mahkota dan Kuantan. Manakala Jerantut, Raub dan Temerloh juga, dengan izin Allah, akan jatuh ke tangan PR. Katanya, kajian dari pihak BN sendiri yang diperolehi demikian. Menurut angka terbaru jumlah pemilih pada PRU 13 di Pahang seperti dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 727,047 orang iaitu meningkat lebih 20 peratus (603,242) dari tahun 2008. Pecahannya mengikut kawasan parlimen ialah P078 Cameron Highlands (27,774), P079 Lipis (32,005), P080 Raub (53,802), P081 Jerantut (57,774), P082 Indera Mahkota (63, 419), P083 Kuantan (55,577), P084 Paya Besar (47,465), P085 Pekan (79,721), P086 Maran (37,875), P087 Kuala Krau (42,415), P088 Temerloh (65,308), P089 Bentong (61,335), P090 Bera (50,513) dan P091 Rompin (52,064). Peratusan bagi pecahan kaum pula ialah Melayu 72%, Cina 22% dan India 6%. Yang menakjubkan ialah lebih 45% pengundi adalah yang berusia antara 21 tahun hingga ke 40 tahun. Senario ini jelas sekali menggambarkan para pengundi kali ini lebih bermaklumat.

Pakatan Tampil Calon Lebih Mantap Untuk Cabar BN

Bagi calon-calon pula, belum ada pengumuman rasmi meskipun tarikh pilihan raya semakin hampir. Namun begitu, pemimpin tertinggi PAS Pahang dijangka terus kekal bertanding di kerusi masing-masing iaitu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) di DUN Jengka, Ustaz Yusof Embong di DUN Panching dan Dr Hamzah Jaafar di Parlimen Jerantut. Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Dato’ Fauzi Abdul Rahman dijangka bertanding di Parlimen Indera Mahkota menggantikan Azan Ismail yang berpindah ke Terengganu. Sementara Leong Ngah Ngah yang diberi jolokan ‘Lee Lam Thye Pahang’ dijangka beralih ke Ketari. Manakala DUN Triang yang dimenanginya selama lima penggal akan diserahkan kepada Setiausaha Organisasinya Lee Chin Chen. Pengerusi Himpunan Hijau Anti Lynas, Wong Tack dikhabarkan akan bertanding di Bentong atas tiket DAP. Rata-rata menyebut, PR masuk bertanding PRU kali ini lebih bersedia. Ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan di Kerdau tahun lalu, berjaya dihimpunkan. Pada hari tersebutlah diumumkan tawaran PR Pahang 6 + 3 yang jika betul-betul disampaikan kepada khalayak rakyat, pasti akan memilih PR. Ia berbetulan pula dengan kelemahan kerajaan BN yang sudah terlampau lama berkuasa sehingga menimbulkan terlalu banyak ketidakpuasan hati rakyat. sumber

[Rakyat Pahang mungkin sudah tidak sabar lagi untuk melihat sebuah kerajaan negeri yang baru terwujud selepas Pilihanraya Umum Ke-13 di negeri ini. Namun dalam masa yang sama mereka juga perlu ingat bahawa Pahang adalah negeri kubu kuat BN sejak sekian lama. Bayangkan Tsunami politik yang melanda seluruh negara pada PRU-12 lalu, tempiasnya langsung tidak memberi impak besar kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Adnan Yaakob. Daripada 42 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya empah sahaja yang dimiliki oleh pembangkang. Justeru itu pembangkang tidak boleh mengganggap satu kerja yang muda untuk menakluki Wisma Sri Pahang kali ini. Mereka harus ingat bahawa kawasan Felda dan perkampungan orang asli di negeri ini masih menjadi halangan besar untuk merelisaikan hasrat tersebut. Malah, itu belum lagi termasuk pertembungan tiga atau empat penjuru yang akan berlaku di kerusi-kerusi panas pada PRU-13 ini nanti. Makanya, mereka harus bijak untuk menangani hati pengundi dan bukan sekadar beretorik semata-mata. Undi protes tetap akan berlaku bilamana calon pilihan digantikan dengan calon wahyu di saat-saat akhir sekarang. Inilah yang akan jadi penghalang. Apapun, selamat berjuang semua !!].
Share:

Panas: Adnan Nafi Luluskan Projek Atas Tanah Rizab

KUANTAN, 27 Mac – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob (foto) baru-baru ini ada menegaskan betapa ketetapan dibuatnya agar apa-apa rancangan pembangunan tanah yang hendak diluluskan di negeri ini, mesti tidak membabitkan kawasan-kawasan rizab seperti tadahan air dan tanah Orang Asli. Ia agar negeri ini menurutnya, dapat terus memelihara alam sekitar lalu menjamin kemapanan (sustainability) hutan, serta menjagai kebajikan dan hak-hak masyarakat minoriti Orang Asli yang telah diwartakan kawasan tanah mereka. “Kalau kita (luluskan) rancangan pembangunan (tanah) satu tempat, pastikan tak terlibat tadahan air, tak terlibat rizab Orang Asli, tak terlibat sebarang rizab yang lain, hidupan liar sebagainya,” tegasnya. Sungguhpun dengan ketetapan tegas begitu, Adnan akui, ia masih dilanggari yang puncanya ialah sifat tamak pihak-pihak tertentu termasuklah mereka yang dilesenkan untuk melaksanakan kerja-kerja melibatkan tanah dan perhutanan. “Tapi kadang-kadang manusia ni, susahlah kita nak cakap. Yang tamak tu, tamak jugalah,” katanya dalam nada kesal. “Katalah kita meluluskan (rancangan pembangunan) tanah itu satu (1) hektar untuk cucuk-tanam. Kadang-kadang orang yang dapat tu ‘bengkok’, dia akan buat sesetengah tempat, 10 hektar. Yang ada lesen (untuk) satu hektar, yang tak ada lesen 10 hektar. “(Yang melibatkan pula) penebangan hutan. Ia ada syarat-syarat tertentu; pokok (yang hendak ditebang) ni (mestilah ukuran) lilitan sekian-sekian, cara tebang macam mana, tepi sungai jangan usik, ada ‘buffer zone’nya,” tambah Adnan lagi. 

Beberapa penduduk orang asli dari Bukit Rok, dalam daerah Bera berdemo akibat 
tindakan pencerobohan kawasan tanah adat mereka untuk tujuan pembalakan

[Dengan kenyataan Menteri Besar Pahang ini, maka persoalan tentang pihak mana yang telah melanggar undang-undang hingga tergamak menceroboh tadahan hujan dan tanah rizab orang asli di Pahang kini terjawab. Maknanya ada pihak lain yang telah menyalahgunakan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan negeri itu sendiri sebenarnya. Soalnya, apakah isu sebegini harus dibiarkan berterusan sejak zaman berzaman?. Mana pergi penguatkuasaan yang sepatutnya memantau perkara ini. Malah, terdapat dakwaan panas mengatakan pihak yang telah mendapat lesen pembalakan sekarang ini bukan saja mengambil kayu-kayu balak tersebut untuk dibawa keluar, malah mereka kini telah mengambil tanah-tanah tersebut sekali. Selepas balak dikeluarkan, mereka kemudian membersihkan kawasan terbabit dan ditanam pula dengan pokok kelapa sawit. Mereka berbuat demikian sewenangnya kerana penguatkuasa yang terlalu lemah di Pahang sekarang ini. Akhirnya mereka "makan dua kali" atas projek tersebut, balak sapu tanah pun sapu. Kerajaan Negeri Pahang digesa serius untuk memantau isu ini !!].
Share:

Pelancaran "Tujuh Agenda" Anak Muda Berkebajikan!


Share:

Panas: Orang Asli Jerantut Berdemo Pertahan Hak !!


[Akibat isu pembalakan yang telah mencemar dan mengorbankan kehidupan mereka, beberapa orang penduduk orang asal Sungai Kiol, di Jerantut Pahang mengadakan demontrasi aman di hadapan Pejabat Perhutanan Jerantut pagi tadi.  Difahamkan, mereka adalah orang asli yang tinggal di kawasan Latar Meraung dan sekitarnya. Kemarahan itu berpunca ada pihak tertentu yang menjalankan kerja-kerja pembalakan di kawasan mereka yang dipercayai merupakan kawasan tadahan hujan. Akibat tindakan rakus pihak terbabit menyebabkan kehidupan mereka terjejas, malah sumber air juga mengalami masalah yang cukup kritikal. Di negeri Pahang, sememangnya adengan sebegini sering berlaku di sana sini. Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan hingga kini masih tiada jalan penyelesaiannya. Tindakan orang asal dibuat selepas beberapa aduan mereka tidak dilayan oleh pihak yang berkenaan selama ini. Soalnya, sampai bilakah masa depan orang asli ini terpaksa diperkotak-katikkan demi kerakusan pihak tertentu untuk mengejar keuntungan mereka semata-mata].
Share:

Eksklusif: Calon Bebas VS Calon Wahyu, Semua Pihak Haruslah Berhati-Hati Pada Pilihan Raya Umum Ini !!

Debaran menunggu detik pembubaran parlimen kini dipanaskan lagi dengan laporan begitu ramai "calon bebas" akan bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-13 kali ini. Sebuah akhbar harian semalam melaporkan akan berlaku pertembungan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Parlimen Rompin di Pahang. Laporan tersbeut cukup mengejutkan kerana belum pernah terjadi dalam sejarah begitu ramai calon bertanding di kerusi itu sebelum ini. Apapun, ia ternyata akan menyuburkan lagi amalan demokrasi berparlimen di negara ini sebenarnya. Dalam kehangatan membicarakan soal itu, kini kami dikejutkan lagi dengan maklumat bukan sahaja kerusi DUN Tioman akan menyaksikan adengan sebegitu, malah banyak lagi di tempat lain seluruh  negeri ini termasuk bagi kerusi parlimen. Begitu juga di tempat-tempat lain seluruh negara. Ramai calon bebas telah bersedia menyatakan hasrat untuk menyertai PRU kali ini. Menurut sumber, calon-calon terbabit bukan sahaja dari kalangan ahli perniagaan dan orang awam yang tidak berparti, namun ia turut melibatkan beberapa orang pemimpin dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang masih punyai jawatan dan aktif dalam parti sekarang ini. Kita tidak hairan jika yang bertanding itu adalah mereka yang benar-benar bebas dan tidak berparti. Soalnya, kenapa mereka yang masih berparti itu juga menawarkan diri agaknya?. Risik punya risik, rupanya calon-calon dari parti berhasrat menawarkan diri akibat tindakan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing yang menghantar "calon wahyu" untuk bertanding di kerusi idaman mereka. Calon wahyu adalah calon "tidak dikenali" yang dihantar oleh pimpinan parti untuk membina kekuatan mereka diperingkat akar umbi. Malah, ada sebahagian besar daripada kalangan calon terbabit langsung tidak diterima dan dikenali oleh para penyokong parti itu sendiri. Senario ini boleh mengundang padah kepada parti sebenarnya. Apa tidaknya, pimpinan akar umbi yang lebih dekat dihati rakyat dan banyak menjalankan gerak kerja parti tiba-tiba ditolak "buta-buta" akibat kerakusan pemimpin tertentu membina empayar politik mereka. Malah, ada sebahagian daripada mereka yang berjawatan terpenting di peringkat kawasan itu sendiri. Mereka ini kecewa akibat tindakan drastik parti tiba-tiba menghantar calon yang "entah dari mana" untuk bertanding. Walau pun ia belum diputuskan secara rasmi oleh parti, namun ia sedikit  mengguris perasaan pihak terbabit. Lebih parah lagi, ada yang sudah menjalankan gerak kerja dan mengatur berbagai strategi untuk pertembungan tiga atau empat penjuru pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti.

Tumbangnya Mat Sabu Di PRU12 Harus Jadi Ikhtibar

Soalnya, apakah calon bebas seperti ini akan diterima oleh para pengundi agaknya?. Tinjauan kami  mendapati kebarangkalian itu mungkin ada sekiranya calon terbabit memang seorang yang "popular" dan diterima oleh semua pihak diperingkat akar umbi. Namun, bertanding dengan emosi mungkin tidak akan  membuahkan hasil. Justeru, kenapa pihak terbabit beriya-iya benar untuk sertai PRU kali ini. Mungkin, dengan cara itu kepuasan hati mereka yang tidak terpilih sebagai calon akan terubat. Tragedi Mat Sabu (kini Timbalan Presiden PAS) yang tewas ditangan calon UMNO Barisan Nasional di kerusi Parlimen Kuala Terengganu akibat calon bebas, Maimun Yusof (foto) harus dijadikan renungan. Walau pun, calon yang popular dengan gelaran Mek Wok itu bukanlah orang yang dikenali dan hebat, namun dia berjaya mencuri undi yang menyaksikan "ayam sabung PAS" itu tumbang di kerusi tersebut. Apa hebatnya Mek Wok jika dibandingkan dengan Mat Sabu?. Ramai yang mengatakan beliau akan hilang wang pertaruhan dan tewas teruk jika bertanding. Malah, tidak ketinggalan mengatakan ia tidak memberi kesan kepada pihak terbabit (pembangkang) ketika itu. Tapi, lihatlah apa yang berlaku?. Bukankah tragedi kekalahan Mat Sabu ini harus dijadikan ikhtibar oleh semua pihak.  Ini bermakna, calon bebas yang tidak popular pun boleh memberi kesan mendalam terhadap kemenangan dan kekalahan calon-calon tertentu. Apatah lagi jika calon bebas terbabit sememangnya popular dan dikenali ramai. Bukankah ini akan memberikan impak yang besar kepada parti yang bertanging apabila "winable candidate" yang sepatutnya menang tertewas gara-gara "undi pecah" di kerusi tradisi mereka. Perkara ini harus dipandang serius oleh parti-parti bertanding terutamanya pembangkang (Pakatan Rakyat) sebenarnya. Jika tidak apa yang berlaku kepada Mat Sabu ini pasti akan berulang.

Wajarkah Calon Wahyu Rampas Kerusi Calon Pilihan

Soalnya, wajarkah "calon wahyu" dihantar untuk bertanding di kerusi tertentu sedangkan kelibat mereka langsung tidak dihidu oleh rakyat sebelum ini. Mereka datang umpama membasuh kaki, untuk terus menjadi calon sedangkan mereka tidak pernah "buat kerja" atau sumbangkan jasa kepada parti selama ini. Senario ini berlaku di seluruh negara dan ia mungkin menyebabkan parti tertentu kalah gara-gara kewujudan calon bebas terbabit. Terkadang kesilapan pemimpin atasan yang rakus untuk membina proksi mereka di peringkat akar umbi sebegini boleh mengundang padah akhinrya. Apatah lagi jika calon bebas itu sememangnya diterima oleh seluruh rakyat setempat, baik kawan mahu pun lawan. Jika ini berlaku, pasti parti akan kehilangan undi yang boleh mengundang padah termasuk tewas dikerusi tradisi serta "kubu kuat" mereka selama ini. Di Pihak Barisan Nasional (BN) mungkin fenomena ini tidak berapa terasa sekarang. Namun di pihak pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya ia kini  menjadi bualan hangat di seluruh negara. Terdapat dakwaan pemimpin tertentu kini cuba menggunakan kuasa yang ada untuk menguatkan cengkaman politik mereka. Lantaran itu sanggup melobi pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menerima calon pilihan (kroni) mereka. Lebih parah lagi lima nama yang dicalonkan oleh cabang-cabang ditolak bulat-bulat oleh parti atas alasan mereka akan "jual perlawanan jika menang". Tragedi ngeri yang berlaku di Perak selepas PRU-12 lalu kini menjadi igauan buruk buat mereka. Namun, ramai juga yang mempertikaikan tindakan ini sebenarnya. Lihat apa yang berlaku kepada Datuk Zaid Ibrahim (foto) ketika Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dulu?. Beliau yang diwahyukan oleh pemimpin tertentu hinga menerajang calon popular peringkat cabang iaitu Dr.Hariri Rahmat akhirnya sama-sama telah meninggalkan parti tersebut selepas itu. Siapa yang hantar Zaid? Sudah semestinya pemimpin tertinggi PKR, malah mungkin juga atas arahan Ketua Umumnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Parti jadi pecah belah dan kecoh dibuatnya, akibat tindakan tersebut yang menyaksikan PKR tewas ketika itu. Namun, pengajaran langsung tidak diambil untuk PRU-13 ini. Calon wahyu masih terus dihantar, dan ini pasti menyebabkan undi protes berlaku yang menjurus kekalahan kerusi pembangkang di kawasan yang dijangka akan menang. 

[Dengan kenyataan ini, maka semua pihak tidak boleh terlalu memandang enteng kepada calon bebas yang bakal bertanding pada pilihanraya umum akan datang. Memang benar, kehadiran mereka kebanyakkannya bukanlah untuk menang atau menajdi wakil rakyat. Namun, mereka juga boleh memberi mimpi-mimpi ngeri kepada calon-calon tertentu yang jauh lebih popular sebenarnya. Apatah lagi jika calon bebas itu lebih popular dari calon yang ditampilkan oleh parti atau calon wahyu itu sendiri. Oleh itu semua pihak tidak wajar memperkecilkan kewujudan calon-calon bebas pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti harus diambail perhatian serius oleh parti-parti yang bertanding kerana mereka boleh merobek kekuatan parti terbabit sebenarnya. Nantikan laporan eksklusif seterusnya tentang ciri-ciri dan kategori calon bebas yang boleh diterima oleh rakyat atau pun tidak selepas ini. Apapun, kehadiran calon-calon bebas ini diharap akan memeriahkan lagi pilihanraya umum kali ini. Amalan demokrasi berparlimen harus disuburkan demi masa depan generasi akan datang. Lakukan perubahan demi masa anda sekarang!].
Share:

Panas Berapi: Video "Debat Anwar Najib" Tersebar !!

Share:

Melayu Mesti Tonton, Ubah Dan Terajui Minda Anda !

Share:

Salam Takziah Buat Ahli Keluarga Tiga Tokoh Ulamak


[Pahang Daily Online (PDO) mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga tiga ulamak terkenal yang telah pergi ke rahmatullah semalam iaitu Tuan Guru Haji Ali Kedah (sering mengajar Tasawuf (kitab Hikam) di masjid-masjid sekitar Alor Setar, keduanya Tuan Guru Hj.Muhammad Abdullah (Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah) dan ketiganya Tuan Guru Dr.Uthman El Muhammady  pendakwah popular yang sering muncul di kaca-kaca TV selama ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mendapat rahmat dariNya. Al-Fatihah].


Share:

Panas: Bakar Kilang Lynas, Wong Tack Akan Di Dakwa

KUANTAN, 25 Mac - Kertas siasatan terhadap Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack (foto) yang mengancam untuk membakar kilang Lynas Malaysia di Gebeng dekat sini, telah lengkap sepenuhnya. Timbalan Ketua Polis Pahang SAC Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata, kertas siasatan yang lengkap itu juga telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang dan difahamkan kini berada di Putrajaya. "Setakat ini kita sedang menunggu keputusan daripada pihak berkenaan untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di sini, Isnin. Beliau berkata, ancaman Wong Tack itu dilihat serius dan atas sebab itu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan tetap berjalan biarpun sebelum ini beliau telah memohon maaf. Pada 4 Februari lepas, akhbar berbahasa Cina dan beberapa portal berita melaporkan Wong Tack mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk membakar kilang nadir bumi itu sekiranya tidak ditutup selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Namun pada 7 Februari, pengerusi pertubuhan bukan kerajaan yang didalangi pembangkang itu dilaporkan memohon maaf atas ugutan itu dalam satu ceramah anjuran pembangkang. Bernama
Share:

Panas: Muhyidin Sertai Parti Keadilan Rakyat Sabah!


[Bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama 318 orang lagi. Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Himpunan Harapan Rakyat di Star City Convention Hall di Kota Kinabalu, malam tadi.  Lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat menyaksikan penyertaan Dr Muhiddin yang terkenal kerana berani menegur Kementerian Pelajaran berkaitan masalah sistem pendidikan di negeri itu. Beliau juga tidak puas hati dengan layanan Kerajaan Persekutuan pimpinan UMNO BN terhadap Jabatan Pelajaran Negeri Sabah berikutan tidak diberikan dana yang secukupnya]. sumber
Share:

Rakyat Malaysia Rupanya Seludup Keluar Azzimudie


[Seorang lelaki yang membantu rakyat Filipina untuk pulang ke Sulu selepas insiden pencerobohan ke atas Sabah gusar untuk kembali ke tanahair kerana bimbang bakal menghadapi tindakan oleh penguatkuasa undang- undang di negara ini. Bukti begitu mudahnya aktiviti penyeludupan masuk dan keluar penganas walaupun "KONONNYA" di kepung rapi. Antara punca mudahnya mereka keluar masuk adalah atas arahan BN menukar penguat kuasa Polis Maritim di TRANSFORMASIKAN menjadi APMM baca laporan berkaitan tu di SINI. Soalnya, kenapa begitu mudah pengganas masuk dan kemudiannya berjaya keluar dengan selamat, sedangkan kerajaan mengatakan berjaya mengawal dengan ketat pihak terbabit. Jika ini keadaannya, ternyata selepas ini lebih banyak anasir subversif pasti akan datang ke negara kita untuk melakukan onar setersunya. Kini, apakah rakyat boleh yakin dengan keselamatan mereka jika insiden sebegini pun masil gagal ditangani dengan baik oleh pihak kerajaan. Mana pergi kecanggihan kapal selam yang menjadi kontroversi itu?. Ternyata negara kini berada dalam keadaan yang cukup berbahaya apabila begitu muda diblosi oleh pihak luar. Fikirkanlah !!]
Share:

Raub: Ng Yen Yen Tidak Kisah Jika Tidak Jadi Calon !

MELAKA, 23 Mac - Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (foto) tidak menafi atau mengiyakan spekulasi bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata masa akan menentukan sama ada namanya akan tersenarai atau sebaliknya. "Masa sekarang adalah masa khabar angin, masa spekulasi, kita tunggu masa yang sesuai kita akan tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Burung Melaka di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini, Sabtu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Cina mengenai Ng mungkin digugurkan sebagai calon boleh menang pada PRU-13 akan datang. Ng berkata perjuangan politiknya bukan bertujuan untuk mengejar kedudukan dan jawatan sebaliknya bagi berusaha memakmur dan memajukan negara. "Pada saya, masuk politik bukan nak jadi menteri, saya masuk politik bukan nak jadi timbalan menteri, saya masuk politik adalah untuk saya sebagai rakyat Malaysia boleh berusaha bersama-sama memajukan negara agar kemakmuran dan kemajuan dapat dicapai, itu sahaja," katanya. Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk terus kekal di kawasan Parlimen Raub, Ng berkata: "Saya tidak ada hasrat apa-apa dalam politik, hasrat saya hanya untuk melihat (BN) menang dengan lebih besar". sumber
Share:

Wan Ahmad Dakwa Masa Kempen 21 Hari Membazir !

SHAH ALAM, 22 Mac - Tempoh berkempen terlalu lama membazir wang, masa dan tenaga semua pihak terlibat, malah ia juga boleh mengganggu kehidupan masyarakat, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (foto). Wan Ahmad menegaskan, alasan pembangkang mendakwa tempoh berkempen pada masa sekarang tidak mencukupi tidak masuk akal kerana dengan kecanggihan teknologi, mereka mampu menyebarkan latar belakang calon dengan mudah. “Tak lojik kerana majoriti rakyat memilih parti walaupun ada pengundi yang memilih calon. “...jika calon baru yang bertanding sekalipun dengan teknologi media hari ini dalam beberapa hari, gambar dan biodata calon boleh tersebar luas dan rakyat mengetahui siapa calon itu. “Tempoh kempen 21 hari pernah dilaksanakan dalam pilihan raya di negara kita pada tahun 60an dan 70an semasa negara masih mundur, tiada segala kemudahan infra moden, tiada kecanggihan teknologi media dan internet seperti yang ada sekarang,” jelasnya. Beliau berkata demikian mengulas lanjut saranan pemimpin Pakatan Rakyat pada 14 Mac lalu yang mahu SPR menilai semula tempoh kempen agar dipanjangkan sehingga 21 hari. Perkara yang sama diulangi awal minggu ini. Kali ini SPR akan memperuntukkan tempoh berkempen minimum 11 hari. Katanya, tempoh yang lama tidak menjamin sesebuah parti itu akan menang kerana pengundi pada masa ini membuat pilihan atas penilaian terhadap isu yang dimain dan diperjuangkan mana-mana parti. “Rakyat telah begitu kenal pemimpin, dasar dan perjuangan sesebuah parti itu, maka tidak begitu perlu untuk kempen yang panjang,” ulasnya sambil menyifatkan sejak 2009, semua parti politik telah memulakan kempen tanpa henti-henti hingga saat ini menerusi pelbagai medium dan cara. Tambah beliau, tempoh kempen sedia ada tidak perlu dikaji semula demi kehendak sekelompok kecil parti politik pembangkang, sekali gus tidak membeban pasukan keselamatan untuk menjaga keselamatan sepanjang proses berkempen. “Jika tempoh kempen panjang dan terlalu lama, polis terpaksa bertugas siang dan malam 24 jam untuk menjaga kententeraman awam, kuatkuasakan undang-undang” katanya.
Share:

RTM Beri Ruang Pembangkang Bentangkan Manifesto!

KUALA LUMPUR, 22 Mac  - Parti-parti politik dibenar untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit selepas pembubaran Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, peluang itu diberikan kepada parti Barisan Nasional (BN) dan juga pihak pembangkang, tetapi pembentangan itu akan dirakam terlebih dahulu. "Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit, dan kami beri peluang ini sekaligus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang. "Tinggal lagi sama ada mereka menggunakannya atau tidak, ini terserah kepada mereka, tetapi kami di kementerian telah bersedia untuk melaksanakannya," katanya di Angkasapuri di sini hari ini. Beliau berkata peluang itu ialah satu penghormatan kepada sistem demokrasi negara, dan berharap 10 minit yang diberikan itu, cukup untuk mereka mengemukakan skop dan pengisian manifesto masing-masing. Rais berkata pembentangan manifesto itu perlu dilakukan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan, dan akan dibuat secara rakaman, tertakluk kepada peraturan RTM di bawah kawalan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah penyiaran serta anggota panelnya. "Saya dan mana-mana menteri tidak terlibat dalam proses ini," katanya. Rais berkata manifesto yang dibentangkan tidak boleh mengkeji atau memfitnah orang, mensabitkan perkara berhubung dengan keselamatan negara, mencerca Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja, memperkecil hak asasi manusia ataupun mereka yang dalam keadaan perlu dibela. "Syarat ini dan lain-lain akan kami beri dan maklumkan dengan jelas kepada pembentang manifesto dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. "Usaha ini telah dijalankan tahun demi tahun, dan pada kali ini ia dibuat secara kemas dan tidak akan ada melibatkan apa-apa syak wasangka," katanya.- Bernama
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.