script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Kerajaan Pahang Yakin Mampu Mengulangi Pencapaian Kutipan Hasil Melebihi RM1 Bilion Pada Tahun Ini

KUANTAN: Kerajaan Pahang yakin mampu mengulangi pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan kejayaan tersebut untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 30 Julai lalu, kerajaan negeri telah berjaya mengutip hasil melebihi RM700 juta.

Menurutnya, mengambil kira prestasi semasa dan rekod kutipan tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion seperti yang ditetapkan tahun ini.

“Sehingga hujung tahun ini, insya-ALLAH kita mampu capai sasaran ini. Lagipun kita telah berjaya mencapainya selama tiga tahun berturut-turut.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga berjaya menguruskan hutang dengan baik apabila mengurangkannya daripada RM3.2 bilion kepada RM900 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman dividen saham Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) bagi tahun 2024 di sini, pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, kejayaan itu adalah hasil inisiatif kerajaan dalam mengurus ketirisan dan berbelanja secara berhemah.

“Kita berbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut – itu kita punya 'tagline',” ujarnya.

Kerajaan Pahang berjaya mencipta ‘hatrik’ kutipan hasil melebihi RM1 bilion sejak 2022.

Kejayaan itu membuktikan prestasi Kerajaan Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy sangat cemerlang dan setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.

Kutipan hasil tersebut akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program kebajikan termasuk pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelbagai pihak. #SinarHarian

Share:

Bekas MB Pahang Tan Sri Adnan Yaakob Gagal Ketepi Penalti RM84,000 Kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC)

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob gagal mengetepikan penghakiman terus yang memerintahkan beliau membayar penalti RM84,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azimah Omar memutuskan bahawa Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar penalti tersebut dan atas alasan itu sahaja, rayuannya boleh ditolak.

Selain itu, beliau berkata Adnan gagal membangkitkan isu yang boleh dibicarakan susulan pengakuannya yang jelas dalam surat kepada SC.

Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim, mengarahkan Adnan membayar RM10,000 sebagai kos perundangan.

Adnan, yang juga Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018, adalah Ahli Lembaga Pengarah Pasdec Holdings Bhd (PASDEC) dan pemegang saham terbesar syarikat itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.

Pada 16 Mei 2018, PASDEC telah mengeluarkan prospektus ringkas yang tidak mengandungi maklumat penting dan gagal mendedahkan permohonan PKNP untuk kelulusan melanggan haknya pada harga terbitan RM0.35 bagi setiap saham.

Sebagai Ahli Lembaga Pengarah PASDEC, Adnan, 75, telah secara individu dan kolektif telah menerima tanggungjawab bagi kegagalan itu.

Pada 22 Julai 2020, SC telah mengeluarkan notis kepada Adnan yang menyatakan bahawa beliau telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dikenakan tindakan termasuk amaran dan penalti sebanyak RM84,000.

Bagaimanapun, tiada bayaran dibuat menyebabkan SC memulakan tindakan saman sivil di Mahkamah Majistret di Kuantan.

Pada 25 Ogos 2022, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan SC untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Adnan dan rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Feb 2023.

Terdahulu, Adnan yang mewakili diri sendiri berhujah beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pelanggaran itu kerana peranannya sebagai Pengerusi PASDEC adalah lantikan kerajaan negeri.

Peguam Lambert Rasa-Ratnam, yang mewakili SC dan dibantu oleh Chia Oh Seng dan Lim Jun Xian, pula berhujah Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar penalti itu namun memilih untuk tidak berbuat demikian. #AstroAwani

Share:

SPRM Berkas Enam Lagi Anggota Polis IPD Temerloh, Rasuah Tidak Ambil Tindakan Suspek Kes Air Ketum

TEMERLOH: Enam lagi anggota polis termasuk seorang berpangkat Sub Inspektor bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM12,000 daripada suspek yang ditahan kerana kesalahan memilik air ketum.

Menurut sumber, perintah tahanan reman sehingga 6 Ogos itu, dikeluarkan Majistret Khamisah Ismail, selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Temerloh, kira-kira jam 10:45 pagi.

Jelasnya, semua anggota polis terbabit berusia antara 30 dan 50 ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Temerloh, kira-kira jam 9 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati, suspek menahan lima individu dalam satu operasi di sekitar Temerloh Mei lalu kerana disyaki memiliki air ketum,”

“Salah seorang suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada orang tengah kepada lima individu terbabit,”

“Suapan itu sebagai balasan supaya suspek tidak mengambil tindakan terhadap lima individu ditahan kerana memiliki air ketum.” katanya

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam anggota polis terbabit.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Isnin lalu, SPRM menahan dua pegawai dan seorang pesara polis disyaki menerima RM110,000 sebagai untuk melindungi kegiatan pengedaran dadah dan penjualan air ketum di daerah terbabit.

Pegawai polis yang ditahan itu berpangkat Asisten Superintendan (ASP), seorang Inspektor manakala pesara pula berpangkat Sarjan Mejar, kerana disyaki menerima rasuah secara bulanan antara RM4,000 dan RM5,000. #BuletinTV3

Share:

Seorang Penarik Kereta Maut, Rakan Cedera Nahas Dengan Lori Di Kilometer 108, Jalan Kuantan-Segamat

ROMPIN: Seorang penarik kereta maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 108, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Kampung Gadak, Muadzam Shah di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Helmi Mesouwir Sofet, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah akibat kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, rakan mangsa yang juga pemandu kereta, Zamzuri Mohamad, 38, cedera di bahagian dada.

Menurutnya, dalam nahas itu, pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Nissan Almera dinaiki penarik kereta itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Segamat.

"Lori sawit jenis Isuzu NPR tanpa muatan itu pula dari arah Segamat menuju ke sebuah stesen minyak berhampiran lokasi kejadian," katanya.

Sharif Shai berkata, ketika tiba di lokasi, pemandu lori dipercayai berhenti sebelum membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak.

"Kereta yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan gagal mengelak lalu terlanggar bahagian sisi lori terbabit.

"Mangsa yang berada di kerusi kerusi penumpang hadapan parah sebelum dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," ujarnya.

Beliau berkata, pemandu kereta dihantar menerima rawatan di hospital sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #SinarHarian

Share:

Sultan Pahang Titah Agar Wakil Rakyat Utamakan Kesejahteraan Rakyat, Usah Berpolitik Sepanjang Masa

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan wakil rakyat di negeri itu supaya tidak terlalu sibuk dengan urusan politik sepanjang masa sebaliknya perlu lebih rajin 'turun padang' menjenguk rakyat di kawasan yang memilih mereka.

Al-Sultan Abdullah, yang sememangnya terkenal dengan sikap prihatin dan mesra rakyat, bertitah sebagai 'Ahli Yang Berhormat', mereka perlu sentiasa hadir di kawasan masing-masing secara berterusan untuk mendengar keluh-kesah dan memahami keperluan masyarakat terutama yang berdepan kesempitan hidup.

"Saya lebih suka tengok setiap wakil rakyat sentiasa berada di kawasan mereka... kita tumpukan kepada isu rakyat dan penuhi keperluan mereka," titah Al-Sultan Abdullah sewaktu sesi temu bual khas bersama Bernama di Istana Abdulaziz di sini sempena Hari Keputeraan Ke-66 baginda.

Selaku raja pemerintah Pahang, baginda turut berharap agar semua wakil rakyat daripada pihak kerajaan dan pembangkang mewujudkan persefahaman bersama dengan 'duduk semeja' bagi menyelesaikan isu berbangkit.

"Pihak kerajaan dan pembangkang perlu duduk bersama dari masa ke masa atau seeloknya sebulan sekali lakukan sesi libat urus sesama sendiri, mana yang tidak betul boleh diperkemaskan, tidak ada perkara dalam urusan kerajaan yang lengkap.Mesti ada kelemahan dan kelebihan sebab kita ini kerajaan manusia.

"Kita satu rumpun dan satu negeri serta harus anggap ini satu medan bersama untuk kita berjuang demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," titah baginda yang turut mengingatkan semua pihak supaya tidak beremosi ketika berpolitik.

Pada masa sama, bagi memastikan golongan memerlukan menerima bantuan, baginda menzahirkan pengharapan agar semua wakil rakyat termasuk pembangkang perlu diberi pertimbangan untuk mendapat peruntukan sewajarnya.

"Ini kerana mereka dipilih oleh rakyat, jadi mereka perlukan segala bantuan daripada kerajaan untuk bantu rakyat... seeloknya sama rata ataupun sedikit kurang sahaja," titah Al-Sultan Abdullah yang menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan saluran rasmi bagi membolehkan rakyat terutama di kawasan kampung menyalurkan maklumat tentang keperluan mereka.

Al-Sultan Abdullah sememangnya sejak muda dikenali dengan sifat rendah hati dan tidak kekok mendampingi rakyat, mewarisi sifat berkenaan daripada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang sering mencemar duli menyertai pelbagai program bersama masyarakat di seluruh negeri.

Berpegang pada nilai itu, baginda berazam untuk terus menyantuni dan membantu rakyat sebaik mungkin.

"Saya utamakan rakyat apabila mereka susah tetapi saya tak mampu berkejar ke sana ke sini, mungkin saya hantar anakanda atau pegawai sebagai wakil, sekadar mana yang kita mampu kita cuba bantu sedikit sebanyak," titah baginda.

"Itu dah dalam darah daging saya, memang daripada dahulu suka menyantuni dan mendampingi rakyat ketika susah dan senang namun saya tidak menganggap itu satu kelebihan tetapi amalan saya daripada muda lagi.

"Saya bukan nak cari sokongan, pujian mahupun tepukan tetapi selagi mana mampu, saya akan bersama rakyat... saya lakukan yang terbaiklah," titah Sultan Pahang yang turut menzahirkan penghargaan dan rasa terharu kepada rakyat yang sering memberi sokongan kepada baginda. #AstroAwani

Share:

GPMS Pahang Gesa Semua Pihak Berhenti Mainkan Sentimen Sama Rata Dalam Pendidikan Bumiputera

KUANTAN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang menyeru pihak-pihak berkaitan agar berhenti memainkan sentimen penyamarataan dalam isu pendidikan bumiputera.

Timbalan pengerusinya, Muhammad Fikri Anuar menegaskan isu pendidikan bumiputera bukan soal politik tetapi soal masa depan bangsa dan negara.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed hari ini yang menggesa agar program matrikulasi terus kekal di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan tidak dipindahkan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“GPMS Negeri Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas Mohd Fakhrul berhubung isu cadangan pemindahan program matrikulasi daripada KPM ke KPT serta usaha menambah kuota bukan Bumiputera dalam program tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tegas Muhammad Fikri, sebarang reformasi atau penambahbaikan laluan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mesti dibuat secara menyeluruh dan inklusif bukan dengan menyentuh atau melemahkan program matrikulasi.

Selain itu, beliau turut menegaskan kuota 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera mesti dikekalkan selaras Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“GPMS Pahang akan terus menjadi benteng utama mempertahankan hak pendidikan Bumiputera. Jangan sentuh Matrikulasi. Jangan gadai masa depan anak bangsa,” katanya lagi. #MalaysiaGazette

Share:

Kerajaan Paahang Masih Tunggu Laporan Berkaitan Dakwaan Negeri Ini Rekodkan Kes Buli Tertinggi Dalam Negara

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang masih menunggu laporan jabatan berkaitan berhubung dakwaan negeri itu merekodkan bilangan kes buli tertinggi dalam negara.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak bersedia mengambil tindakan jika ia sahih dan berdasarkan laporan yang tepat bagi menangani isu berkenaan.

“Saya sedang menunggukan laporan daripada jabatan. Kita lihat sejauh mana laporan itu benar. Jika benar kita akan bincang bagaimana menanganinya.

“Saranan kehendak kerajaan negeri untuk menghentikan budaya buli kerana budaya itu sangat tidak digalakkan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media sejurus Program Moh Kenduri di  Ladang Kampung Mahkota, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak dakwaan statistik tersebut kerana negeri itu mempunyai murid yang ramai disebabkan mempunyai sekolah yang banyak.

Terdahulu laman media sosial Facebook Public Health Malaysia (PHM) menyenaraikan Pahang merupakan negeri tertinggi penyumbang kepada gejala buli iaitu sebanyak 22 peratus berbanding negeri lain.

Statistik itu menunjukkan satu daripada enam pelajar di Malaysia adalah mangsa buli semalam.

Ketika ditanya perkembangan bagi cadangan pembinaan Hospital Maran yang sudah hampir 10 tahun, Wan Rosdy berkata, perkara tersebut masih belum dapat dijalankan.

“Setakat ini kerajaan sudah berusaha, tanah pun sudah disediakan tetapi dari segi peruntukan belum sampai lagi. Kita tunggulah dari kerajaan Persekutuan, tunggu dimasukkan Rancangan Malaysia ke-13,” katanya. #MalaysiaGazette

Share:

Guru Besar SK Durian Hijau Jerantut Maut Kemalangan, Kereta Dipandunya Terbabas Dan Terbakar Di Guai

BERA: Seorang guru besar maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang terbabas sebelum terbakar hampir 80 peratus berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guai di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mangsa, Mohd. Sabri Bakar, 59, yang merupakan Guru Besar SK Durian Hijau, Jerantut, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Preve yang dipandu mangsa dari arah Jambatan Guai menuju ke Kampung Guai.

“Siasatan awal mendapati kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar. Mangsa sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum api marak,” katanya di sini hari ini. 

Mangsa yang beralamat di Jalan Persisir Utama Kampung Guai, Temerloh, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya di Kampung Guai dari kediamannya di Bukit Lada, Kerdau, ketika kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan teknikal lanjut. #UtusanMalaysia

Share:

Puteri Sultan Pahang Hangatkan Kejohanan Badminton Anjuran Persatuan Penduduk Springvale Residences, KotaSAS

KUANTAN: Kejohanan badminton bagi merebut Piala Tengku Ilisha 2.0 di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Kuantan pada Ahad bukan sekadar aktiviti sukan.

Ia menjadi lambang semangat juang buat 10 buah pasukan untuk memburu kejayaan dalam kalangan pemain yang terdiri daripada penduduk KotaSAS.

Malah lebih menarik, penyertaan aktif Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah menghangatkan lagi suasana pertandingan.

Dalam saingan tersebut, Tengku Ilisha Ameera menyertai pasukan P4 Lakers Z berpasangan dengan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohamed Moiz.

Kejohanan edisi kedua yang menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000 itu dianjurkan Persatuan Penduduk Springvale Residences (SVRA) dengan penaja utama, Pahang Skills.

Tengku Ilisha Ameera gembira dengan sambutan yang diberikan dan berharap ia dapat mengeratkan ukhuwah antara komuniti.

“Saya amat berbangga melihat semangat juang dan ukhuwah antara komuniti.

“Kejohanan ini bukan sekadar tentang sukan, tetapi platform menyatukan warga KotaSAS dengan nilai perpaduan, semangat berpasukan dan sihat bersama.

“Saya doakan kejohanan ini terus menjadi acara dwitahunan yang sentiasa dinanti-nantikan penduduk KotaSAS,” katanya.

Juara kejohanan menjadi milik pasukan Azalea yang menewaskan pasukan EVG One 3–1, manakala pasukan SV Stinger dan P3Rimrose berkongsi tempat ketiga.

Dalam pada itu, wakil pasukan Azalea meluahkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut.

"Kejayaan diraih hasil latihan berterusan secara berpasukan selain mewujudkan persefahaman dalam kalangan pemain," katanya.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengerusi SVRA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Izudin Muhamad Amin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mahadir Abdul Rafar. #SinarHarian

Share:

Asyraf Wajdi: PAS Pahang Hidup Dalam 'Dunia Mimpi' Jika Kata Kerajaan Negeri Tak Fokus Urusan Pentadbiran

KUANTAN: UMNO menempelak dakwaan pembangkang khususnya PAS Pahang yang menuduh kerajaan negeri tidak fokus dalam urusan pentadbiran negeri ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terbukti cemerlang dan mengutamakan kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Apa yang tidak fokus? Saya rasa beliau (Wan Rosdy) antara Menteri Besar yang paling terkedepan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Pahang terus terpelihara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa kerajaan UMNO hilang fokus dan kenyataan Pas–Perikatan Nasional (PN) sedia mengambil alih pentadbiran sebagaimana kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.

Asyraf Wajdi yang ditemui selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Indera Mahkota di sini pada Ahad berkata, hasil kepimpinan berkesan kerajaan negeri, Pahang kini mencatatkan antara prestasi perolehan terbaik dalam negara.

“Kalau ada yang kata kerajaan negeri tak fokus, saya kira mereka mungkin hidup dalam dunia mimpi dalam mimpi,” ujarnya sinis.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka sebelum ini mendakwa situasi politik semasa di Pahang menunjukkan perbezaan dalam gabungan parti kerajaan, khususnya antara UMNO dan DAP dari segi dasar, pendekatan dan keutamaan pentadbiran negeri.

Menurutnya, keadaan itu sama seperti yang sedang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan dan perbezaan tersebut menjejaskan hala tuju pentadbiran negeri secara menyeluruh serta akibatnya ditanggung oleh rakyat Pahang.

Justeru katanya, PAS dan PN Pahang bersedia tampil sebagai alternatif pentadbiran negeri yang lebih tersusun, inklusif dan berprinsip.

Melalui inisiatif Teraju Pahang, parti gabungan itu komited membawa gelombang perubahan dalam politik negeri dengan menawarkan kepimpinan yang berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan berkeupayaan melaksanakan pentadbiran yang efisien.#SinarHarian

Share:

Datuk Arthur Joseph Kurup Mendahului Senarai 58 Penerima Darjah KebesaranDan Pingat Negeri Pahang

KUANTAN: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Upacara istiadat pengurniaan darjah serta pingat kebesaran kepada semua penerima berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini pada Sabtu.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pengurniaan tersebut, Arthur menerima Darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azmee Mohd Ghazi; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli turut tersenarai sebagai penerima SSAP.

Anugerah sama turut dikurniakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad serta Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abdul Aziz Majid.

Sementara itu, tiga individu menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera ialah Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Indera Fadzilla Salleh serta Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Indera Che Roslan Che Daud.

Mantan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri Datuk Indera Zainah Othman turut menerima darjah kebesaran tersebut.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Dimulia, Peringkat Kedua Darjah Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (DSAS) yang membawa gelaran Datuk kepada Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

apan penerima lain menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) antaranya ialah Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi TUDM; Pengelola Bijaya Diraja Utama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya TUDM; dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Turut tersenarai ialah Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Razihan Adzharuddin; serta dua tokoh terkenal iaitu pereka fesyen, Datuk Radzuan Radziwill dan Pengasas Sendayu Tinggi, Datuk Aliffa Abdul Manaf.

Dalam majlis penuh istiadat tersebut menyaksikan penganugerahan darjah kebesaran lain termasuk Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 26 individu antaranya  Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk TPj. Saiful Ezral bin Arifin; Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Profesor Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Dato’ Azri Mat Yacob serta beberapa pegawai kanan tentera dan tokoh korporat.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, peringkat keempat Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada empat individu iaitu Juruiring Polis Kepada Bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Deputi Superintenden, Nik Mohammed Syukry Nik Husain; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Wan Azam  Wan Rosdy; Ketua MIC Bahagian Indera Mahkota, V Raveentharan serta Ketua MIC Bahagian Pekan, N Subramaniam. #SinarHarian

Share:

PAS-PN Bersedia Tampil Tawarkan Alternatif Kepimpinan Lebih Tersusun, Inklusif Dan Berprinsip Di Pahang

KUANTAN: PAS dan Perikatan Nasional (PN) Pahang bersedia tampil sebagai alternatif pentadbiran negeri yang lebih tersusun, inklusif dan berprinsip.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS-PN terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya, pendidikan dan menunjukkan komitmen terhadap isu rakyat dengan membawa perbahasan berasaskan fakta, cadangan bernas serta solusi realistik.

Menurutnya, melalui inisiatif Teraju Pahang, parti gabungan itu komited membawa gelombang perubahan dalam politik negeri.

"Kita tawarkan kepimpinan yang berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan berkeupayaan melaksanakan pentadbiran yang efisien.

"Gagasan ini dibina atas asas prinsip Islam, keutamaan rakyat dan kesediaan pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang merupakan ADUN Cheka berkata, rakyat Pahang berhak mendapat kerajaan yang mendengar keluhan mereka, memahami realiti hidup mereka dan bersedia bertindak dengan berani serta bijaksana.

"PAS–PN percaya bahawa masa depan Pahang harus dipimpin oleh barisan yang ikhlas, telus dan fokus terhadap kesejahteraan rakyat, bukan oleh kerajaan yang terus bercelaru dengan percanggahan dalaman serta agenda peribadi.

"Maka, inilah masanya untuk Teraju Pahang disambut oleh rakyat demi masa depan yang lebih sejahtera, stabil dan terjamin," jelasnya.

Tuan Ibrahim menambah, situasi politik semasa di Pahang menunjukkan perbezaan dalam gabungan parti kerajaan, khususnya antara UMNO dan DAP dari segi dasar, pendekatan dan keutamaan pentadbiran negeri.

Menurutnya, keadaan ini sama seperti yang sedang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan dan perbezaan itu menjejaskan hala tuju pentadbiran negeri secara menyeluruh serta akibatnya ditanggung oleh rakyat Pahang.

"Contoh paling ketara ialah isu pencerobohan tanah secara haram di Raub yang memperlihatkan pertembungan pendirian antara pemimpin UMNO dan DAP.

"Meskipun kedua-dua parti tersebut merupakan komponen kerajaan negeri Pahang, mereka gagal mencapai kata sepakat dalam menangani isu yang memberi kesan besar terhadap kelestarian alam sekitar, hak milik tanah dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

"Keadaan ini memberi gambaran jelas bahawa kegagalan mencapai kesepaduan dalam pentadbiran menyebabkan dasar terganggu dan pembangunan terbantut," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa hubungan tidak serasi antara komponen kerajaan telah mengalih tumpuan daripada keutamaan rakyat kepada konflik dalaman.

Ujar beliau, kesan di lapangan dapat dirasai apabila pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti pembinaan dan pembaikan jalan raya, bekalan air serta sistem pengangkutan luar bandar masih membebani masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.

"Beberapa projek perumahan rakyat turut dilaporkan lewat daripada jadual, menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk dan masih terdapat ratusan projek infrastruktur yang belum memasuki fasa pembinaan serta mengalami kelewatan pelaksanaan seperti dilaporkan oleh agensi berkaitan.

"Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan kelemahan dalam pengurusan projek negeri seperti Taman Maritim Tanjung Agas di bawah PKNP, yang memperlihatkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan sehingga menyebabkan pembaziran dan kerugian pelaburan,". #SinarHarian 

Share:

Ceramah Agama Di Negeri Pahang Perlu Mendapatkan Permit Daripada JAIP, Elak Timbul Isu Pada Masa Akan Datang


KUANTAN: Ceramah agama yang dijalankan di Pahang, perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi mengelakkan timbul sebarang isu pada masa akan datang.

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, setiap permohonan itu akan mengambil kira pandangan Mufti Negeri agar tidak terpesong daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Titah baginda, sebarang kuliah juga memerlukan tauliah yang disahkan pihak berkuasa agama negeri. Langkah itu diambil bagi menggelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kuhsusnya di negeri tersebut.

"Saya ingin menegaskan bahawa setiap program ceramah atau kuliah yang melibatkan penceramah luar mestilah dikemukakan melalui permohonan rasmi kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Setiap permohonan akan dinilai dengan teliti, termasuk mengambil kira pandangan dan nasihat daripada Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang bagi memastikan pengisian tidak terpesong daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah," titah baginda ketika merasmikan Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan memasyhurkan masjid tersebut dengan nama baharu iaitu Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Kuantan, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, baginda bertitah mengingatkan semua masjid di Pahang dapat diimarahkan sebagai pusat kecemerlangan ilmu, juga sebagai pusat yang memberi manfaat kepada masyarakat terutama aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga pusat rujukan dan khidmat.

Turut mencemar duli Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam majlis tersebut, baginda berkenan memotong pulut kuning sempena perayaan Hari Keputeraan baginda. #BeritaRTM

Share:

UMNO Pahang Hargai Sikap Keterbukaan Perdana Menteri, Harap Titah Adendum Di Laksana Tanpa Berlengah Lagi


KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang merakamkan penghargaan atas keterbukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dan berbincang berkenaan isu pelaksanaan Titah Addendum melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kesediaan Perdana Menteri itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tersebut.

Wan Rosdy dalam masa sama menegaskan, dengan pengesahan Titah Addendum oleh pihak pendakwaan, khususnya Jabatan Peguam Negara, maka wajar titah tersebut dilaksanakan tanpa berlengah. 

Kenyataan itu merujuk warkah rasmi Sultan Pahang kepada Datuk Mohd Nizar Najib yang memperjelas perkenan baginda terhadap pelaksanaan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri itu.

"Perkara tersebut turut diperjelas melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada Datuk Mohd Nizar Najib, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga anakanda kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 2 Disember 2024.

"Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO serta Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Naib Presiden UMNO, dalam prosiding mahkamah terdahulu, yang sebelum ini telah diketepikan atas alasan “hearsay”," kata beliau.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri Pahang, di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, beliau berkata, UMNO Pahang turut menyatakan sokongan terhadap pendirian 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang sebelum ini menggesa agar titah berkenaan segera dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam prosiding Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai, Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan Titah Addendum yang membolehkan Najib menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah, seperti didakwa terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong ke-16. #AstroAwani

Share:

Diakui Wujud Oleh Pihak Pendakwaan, UMNO Pahang Berpandangan Titah Adendum Wajar Di Laksanakan

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang berpandangan dengan wujudnya Titah Adendum yang diakui oleh pihak pendakwaan, adalah wajar titah berkenaan dilaksanakan.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata UMNO Pahang turut menyambut baik serta menyokong kenyataan yang dibuat oleh 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan Titah Adendum itu.

Katanya, UMNO Pahang menjunjung setinggi kasih di sisi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan mengabsahkan Titah Addendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Perkara itu turut diperjelaskan melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada Naib Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yang juga anakanda Najib pada 2 Disember 2024.

"Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saya sebagai Naib Presiden UMNO dalam prosiding mahkamah terdahulu yang sebelum ini diketepikan atas alasan `hearsay," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Pahang di sini malam tadi.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO Pahang juga merakamkan penghargaan atas keterbukaan dan kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu ini.

Mengulas lanjut mesyuarat berkenaan, beliau berkata, antara perkara penting yang dibincangkan ialah persiapan jentera UMNO Pahang untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Selain itu, langkah awal menghadapi kemungkinan bencana banjir yang dijangka melanda Pahang," katanya.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. #BeritaHarian

Share:

PKR Paya Besar Gesa KSN Benar Penjawat Awam Turun Himpunan, Mereka Mahu ‘Abah’ Kembali Jadi PM?

KUANTAN: Ketua Cabang Keadilan Paya Besar, Wan Fauzldin Wan Samad berpendapat Ketua Setiausaha Negara (KSN),  Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar perlu membenarkan penjawat awam turun padang pada Himpunan Turun Anwar.

”Saya tidak setuju dengan kenyataan KSN yang menasihati para penjawat awam agar tidak turut sama berhimpun pada Sabtu ini, walaupun apa yang disebut oleh KSN itu betul dan tepat.

”Penjawat awam mesti mendokong kerajaan semasa. Itu betul, cuma, saya melihat dari konteks berbeza,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Wan Fauzldin, mungkin ada segelintir penjawat awam yang telah pun menikmati kenaikan gaji sekitar 15% hingga ke 40% mahu membalas jasa Perdana Menteri sekarang.

Jelasnya mungkin perhimpuan itu tanda suara tanda ucapan terima kasih mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melaksanakan kenaikan gaji yang lebih 12 tahun tidak dipedulikan sebelum ini.

“Atau mungkin mereka mahu Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi PM semula dengan dapat bayangkan bekerja d irumah, pakai kain pelikat atau kain batik, baju kemeja bertali leher, duduk depan laptop sepanjang waktu bekerja.

”Boleh merokok dan makan-makan sewaktu bekerja dari rumah. Gaji jalan macam biasa dan duit minyak ke pejabat pun dapat dijimatkan.

”Paling best, mereka dengan mudah pujuk Abah untuk korek duit simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Abah tidak kisah, keluarlah berapa kali pun, itu bukan duit emak bapa Abah. Kakitangan awam mana yang tidak seronok dapat korek duit simpanan masa tua itu dikeluarkan sebelum tua?

”Sebab itu, Anwar kena turun. Anwar amat susah sekali untuk berbuat demikian. Bahkan, duit yang kurang dalam akaun KWSP kita pun dia tambah sikit lagi. Usah haraplah dia mahu beri kebenaran untuk kita keluarkan duit tabung KWSP. Elok benar Anwar turun,” katanya secara sinikal.

Tambah beliau, ada segelintir penjawat awam yang bertahun-tahun sudah biasa makan ‘duit tepi’ di dalam melaksanakan tugasnya kerana sejak hampir tiga tahun ini, pendapatan mereka jauh merosot.

”Tiada lagi peluang dapat ‘duit tepi’. Bagaimana mahu bayar hutang kereta mewah, rumah besar dan berbagai lagi yang selama ini hidup seperti di syurga? Anwar jadi PM, mereka seolah-olah telah tercampak ke neraka.

”Hidup sentiasa susah, makan tidak lalu, mandi pula tidak basah. Bila-bila masa SPRM datang ketuk pintu rumah. Inilah nasib golongan paling kecil dalam penjawat awam yang mahu melihat Anwar turun,” katanya sinis.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih banyak kepada majoriti penjawat awam yang benci rasuah dan mendokong penuh ketegasan Anwar terhadap rasuah.

Wan Fauzuldin mengucapkan tahniah kepada penjawat awam yang lebih mengenali mana satu kaca, mana satu permata.

Sebelum ini, polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini. #MalaysiaGazette

Share:

Empat Warga Myanmar Di Jatuhkan Hukuman Penjara Sembilan Bulan, Ceroboh Hutan Simpan Tranum Raub

RAUB: Empat lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menceroboh dan menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Tranum, di sini.

Keempat-empat tertuduh, iaitu Aung Moe Lin, 32, Lin Pyi Tun,20, Ti Ding, 33, dan Aung Yar Lin, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melakukan kesalahan menduduki dan menjalankan aktiviti di atas tanah pada 18 Jun lalu, kira-kira pukul 1.20 petang di dalam Hutan Simpan Tranum, Raub tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Semasa serbuan dilakukan, kesemua tertuduh turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit pertanian yang sah.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didapati memasuki Kompartment 1, Hutan Simpan Tranum tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Zhi Qian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noor Zaihan memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Jun lalu. #Kosmo

Share:

Shahaniza Tempelak Andansura: Kerajaan Negeri Pahang Memang Di Perintah Oleh Orang Melayu Beragama Islam


KUANTAN: “Pahang ini milik rakyatnya bukan milik mereka yang hanya pandai membakar sentimen.”

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin susulan kenyataan seorang pemimpin PAS bahawa kuasa kerajaan negeri hari ini perlu dikembalikan kepada Melayu Islam.

Hakikatnya, beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya dipimpin oleh Melayu Islam iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar bersama lapan daripada 10 barisan Exco anak jati Pahang juga beragama Islam.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah lama mempertahankan institusi Raja, agama Islam dan bangsa Melayu. Bukan melalui laungan semata tetapi melalui dasar, perkhidmatan dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Shahaniza  berdiri teguh bersama kerajaan negeri hari ini di bawah payung Sultan Pahang demi kestabilan, kemajuan dan maruah negeri ini.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu antara dilaporkan menyeru agar perubahan mandat memimpin kerajaan negeri diberikan kepada PAS pada pilihan raya umum kelak.

Beliau antara lain menekankan UMNO dan BN melakukan kesilapan kerana bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini yang sekaligus dikatakan memberi ruang kepada DAP untuk meluaskan kuasa dan idealoginya. #MalaysiaGazette

Share:

Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0 Kembali: Raikan Sukan & Perpaduan !

KUANTAN: Kejohanan badminton paling dinanti warga KotaSAS kini kembali dalam edisi keduanya. 

Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0 (2025) bakal berlangsung pada Ahad, 27 Julai 2025 bertempat di Dewan Persatuan Badminton Pahang, dengan penyertaan 10 pasukan kejiranan dari seluruh KotaSAS.

Diinspirasikan oleh Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan, kejohanan ini lahir sebagai satu usaha murni untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat. 

Lebih bermakna, kejohanan ini turut mendapat perkenan diraja daripada Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penaung utama dan pemegang nama kejohanan ini.

Penganjuran kali ini diketuai oleh Springvale Residences Association (SVRA) dengan kerjasama erat penaja-penaja rasmi serta rakan promosi seperti Kotasas Badminton Club (KSBC) dan Masjid Imam Ash Shafie KotaSAS, menjadikannya antara acara sukan komuniti terbesar di daerah ini bagi tahun 2025.

Orang ramai dijemput hadir untuk memberi sokongan, mencipta gelombang sorakan dan menyaksikan kemunculan bakat-bakat hebat dari kejiranan sendiri. 

Siaran langsung, foto dan laporan kejohanan akan dikongsikan melalui media sosial rasmi penganjur.

Untuk maklumat lanjut, permohonan pas media dan kerjasama liputan, sila hubungi Izudin Muhamad Amin ditalin 0199808707. #PahangDaily

Share:

Memorandum Persefahaman (MoU) Sebagai Simbol Komitmen Pemuda Ke Arah Realisasi ‘PAS Teraju Pahang’

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbol komitmen memperkukuh kesiapsiagaan pentadbiran, sekiranya diberi mandat mentadbir negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, pemeteraian MoU yang berlangsung sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang ke-43 itu adalah bukti kesungguhan jentera Pemuda PAS Pahang untuk menyokong agenda “PAS Teraju Pahang” yang dibawa PAS Negeri.

“MoU ini menjadi satu manifestasi bahawa Dewan Pemuda PAS Pahang benar-benar bersedia untuk menggalas tanggungjawab jika diberikan amanah oleh rakyat. Kita juga mahu menimba dan berkongsi pengalaman pentadbiran cemerlang Kerajaan Negeri Terengganu yang dipimpin PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-43 program di Cendana Hall, Seri Manja Boutique Hotel Indera Mahkota, di sini pada 21 Julai lalu.

Terdahulu, sesi menandatangani dokumen antara Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Hamdi Harun dan mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu dan Muhammad Hanif.

Menurut beliau, Pemuda PAS Pahang kini bersedia untuk mengisi pelbagai posisi dalam pentadbiran negeri jika diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU akan datang.

Tambah beliau, PAS menerusi sayap Pemudanya telah membuktikan kemampuan dalam pengurusan sektor pendidikan melalui jaringan institusi pendidikan seperti PASTI, sekolah rendah dan sekolah menengah yang diuruskan secara tersendiri.

“UMNO sering mempertikai keupayaan kita untuk mentadbir. Tapi cuba lihat, parti lain ada tak sekolah rendah atau tadika sendiri? Bahkan tadika mereka pun di bawah kerajaan, sedangkan PAS urus pendidikan dari peringkat bawah hingga menengah secara tersendiri.

“Sekolah-sekolah milik PAS kini menjadi pilihan rakyat, termasuk di Pahang. Ini menunjukkan kita mempunyai kebolehan dan rekod pengurusan yang baik,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa pada PRU16 nanti, rakyat akan membuat penilaian bijak berdasarkan maklumat di hujung jari, dan memilih parti yang bersih, berwibawa serta berupaya mentadbir negeri dan negara dengan lebih baik.#Harakahdaily

Share:

Ekonomi Negeri Meningkat Tarik Minat Perantau Pahang Sedia Kembali Untuk Berbakti, Undang Lebih Ramai Pelabur


TEMERLOH: Pertumbuhan pesat ekonomi Negeri Pahang membuka ruang kepada lebih ramai anak perantauan untuk kembali menyumbang di negeri sendiri, sekali gus menarik minat pelabur luar untuk bersama membangunkan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa menyediakan peluang pekerjaan agar anak-anak Pahang yang berada di luar dapat pulang dan berbakti di tanah kelahiran mereka.

“Semalam saya bersama anak-anak Pahang di Muar. Mereka menyatakan kesediaan untuk pulang ke Pahang sekiranya terdapat peluang yang lebih baik. Anak saya sendiri, empat orang masih berada di luar.

“Insya-Allah, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri yang terus meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan dan mereka boleh kembali menyumbang di sini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan kerajaan negeri turut menanti pengumuman penting yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan satu pengumuman baik akan dibuat sama ada Selasa atau Rabu ini. Kita tunggu sahaja, saya sendiri belum tahu secara rasmi mengenainya. Wallahuaklam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung meriah di Surau Kampung Paya Laman Lanchang , di sini pada Ahad.

Menurutnya, karnival tahunan itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya platform menyemai semangat silaturahim, gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung dan daerah.

“Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa supaya lebih ramai dapat menyertai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM350 kepada jemaah haji yang belum menerima wang saguhati selain meneruskan bantuan kepada golongan memerlukan seperti pesakit, pelajar dan baik pulih surau.

Tambahnya, pelabur luar turut dialu-alukan untuk melabur di Pahang kerana kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mampan. #Sahih

Share:

Lagi Exco Tegur PAS, Dakwa Ibarat Masuk Ke Rumah Janda Berhias Sebab Itu Sibuk Kempen Mahu Negeri Pahang


KUANTAN: “Pahang diibaratkan rumah sudah cantik, perkakas sudah ada cuma masuk dan basuh kaki sahaja.

Itu kata sindiran Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim sebelum itu mendakwa rakyat di negeri itu sudah bersedia memilih Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah Pahang.

Razali seterusnya menggingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka untuk meneliti usaha yang telah dimainkan oleh kerajaan negeri sebelum ini yang menjadikannya berkembang maju daripada sudut ekonomi dan infrastrukturnya.

”Dia (Tuan Ibrahim) selok (tak sedar) nak negeri ini sebab Pahang ini semua sudah ada, orang kata ibarat masuk ke rumah janda berhias, sebab itu nak Pahang,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, barisan kepimpinan kerajaan negeri telah memainkan peranan sebaik mungkin tanpa ada mana-mana pihak tercicir dalam pembangunan di Pahang.

Malah Razali menekankan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi itu dibuktikan apabilaPahang tersenarai antara lima negeri merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi kadar pertumbuhan Malaysia iaitu 5.1 peratus pada tahun lalu.

Katanya, ekonomi negeri terus mencatat prestasi cemerlang apabila laporan KDNK 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan negeri ini di kedudukan keempat terbaik.

Ia terbukti Pahang selama tiga tahun berturut-turut mengatasi kadar pertumbuhan nasional sejak 2022.

Hasilnya disalurkan kepada rakyat dari yang baru lahir ke sampai warga emas termasuk pelajar, golangan OKU, petani, penternak, nelayan dan semua peringkat diperhalusi oleh kerajaan negeri.

”Berbanding di Pahang, rakyat sudah menikmati pelbagai inisiatif. Kerajaan negeri sudah membantu macam-macam meningkat kan ekonomi, menjaga kebajikan termasuk meyebarkan agenda dakwah di  negeri ini.

”Selain ADUN di Pahang, jadi lebih baik Tuan Ibrahim fokus di kawasan Parlimen sendiri yang perlu dijaga berbanding dengan Pahang ini, jauh sangat beza.

“Dia juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, apa dia dah buat di Kelantan sebagai ahli Parlimen? Apa track record dia membantu Kelantan?

”Sibuk-sibuk di Pahang buat apa? Tuan Ibrahim pernah menjadi menteri tapi masalah air di Kelantan tidak selesai juga, saya cadangkan dia fokuskan kepada Kelantan jauh ketinggalan,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebahagian peruntukan daripada portfolio kerja raya pengangkutan, kesihatan datangnya daripada kerajaan Persekutuan selain dari kerajaan negeri.

Justeru pihaknya sentiasa menjaga kebajikan rakayat dengan membantu memenuhi keperluan rakyat mengikut peruntukan yang disalurkan.

Jumaat lalu, PAS mendakwa rakyat Pahang sudah bersedia memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai pemerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti. #MalaysiaGazette

Share:

Exco Nafi Dakwaan PAS Kerajaan Pahang Gagal Uruskan Ekonomi, Kos Sara Hidup Meningkat Dan Kurang Peluang Pekerjaan

KUANTAN: Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang menyangkal dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pahang gagal menguruskan ekonomi negeri sehingga kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan berkurang.

Beliau membidas dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini dan menyifatkan dakwaan tersebut jauh tersasar.

”Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Pahang gagal menguruskan ekonomi negeri sehingga kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan berkurang.

”Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasaskan fakta dan jauh tersasar daripada realiti semasa yang berlaku di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, kadar pengangguran di negeri ini menurun berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini berada pada tahap 1.8%.

Ia jauh lebih rendah berbanding kadar nasional. Ini menunjukkan bahawa pasaran kerja di Pahang adalah stabil dan peluang pekerjaan terus diwujudkan, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pelancongan, pembinaan dan perkilangan.

Selain itu kadar inflasi di Pahang juga berada dalam keadaan terkawal sekitar 2.1%, lebih rendah daripada beberapa negeri lain.

Ini hasil daripada langkah-langkah Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam memantau harga barangan dan memperluas program bantuan pengguna serta subsidi bersasar kepada golongan memerlukan.

Ujar Sim Chon, kuasa membeli rakyat masih kukuh kerana program dan karnival jualan anjuran Kerajaan Negeri dan pihak swasta di Pahang sentiasa mendapat sambutan luar biasa.

Malah katanya menurut data rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pahang mencatatkan peningkatan dalam pendaftaran perniagaan baharu sebanyak 17% dalam tempoh 12 bulan terakhir. Ini menunjukkan keyakinan tinggi rakyat dan pelabur terhadap ekosistem ekonomi negeri.

”Laporan daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) menunjukkan bahawa jumlah pelaburan yang masuk ke Pahang pada suku pertama 2025 telah meningkat sebanyak RM3.2 bilion, merangkumi pelaburan domestik dan asing. Ini adalah indikator jelas bahawa ekonomi Pahang terus berkembang dan berdaya saing.

”Satu lagi realiti yang tidak boleh dinafikan ialah kemasukan tenaga kerja dari negeri jiran seperti Kelantan dan Terengganu yang datang ke Pahang untuk mencari rezeki.

”Ini membuktikan bahawa peluang ekonomi di Pahang jauh lebih terbuka dan menjanjikan berbanding negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang,” katanya. #MalaysiaGazette

Share:

PAS Tegaskan UMNO Perlu Sedia Secara Mental Untuk Menjadi Pembangkang Di Pahang Selepas PRU-16

KUANTAN: Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan menegaskan bahawa UMNO perlu bersedia secara mental untuk menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), berikutan peningkatan sokongan rakyat terhadap PAS sejak PRU-13 hingga PRU-15.

Katanya, kenyataan yang memperlekeh slogan ‘PAS Teraju Pahang’ sebagai retorik membuktikan UMNO masih berada dalam fasa penafian (denial) dan enggan menerima realiti perubahan landskap politik di negeri itu.

“Sambutan hangat rakyat terhadap ‘tagline’ ini membuktikan rakyat sudah bersedia untuk perubahan kepimpinan yang lebih bersih dan amanah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, prestasi PAS yang semakin meyakinkan bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya hasil kerja keras dan dedikasi berterusan dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Sementara UMNO sibuk dengan krisis dalaman dan pergolakan kepimpinan, PAS telah mengukuhkan jentera parti dan memperkasakan hubungan dengan akar umbi,” tegasnya.

Tambah beliau, kerjasama UMNO bersama DAP kini menjadi liabiliti amat berat kepada parti itu, kerana bercanggah dengan perjuangan asal Umno yang kononnya memperjuangkan orang Melayu dan Islam.

“Bagaimana Umno boleh mengaku memperjuangkan agenda Melayu sedangkan mereka sanggup bersekongkol dengan parti yang selama ini menentang kedudukan istimewa orang Melayu?” soal beliau.

Ujarnya lagi, prestasi Perdana Menteri yang gagal menangani isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup hanya menambah beban kepada rakyat serta menyumbang kepada kemerosotan keyakinan terhadap UMNO.

“UMNO kini dilihat sebagai parti yang hilang arah dan prinsip,” tempelaknya.

Aireroshairi berkata, PAS Pahang serius mahu menerajui negeri itu dan telah pun menyiapkan kabinet bayangan yang lengkap serta dipenuhi tokoh-tokoh berkelayakan dan berintegriti bagi setiap portfolio penting dalam kerajaan negeri.

“Kami tidak hanya bercakap kosong, tetapi bersedia menggantikan UMNO  selepas PRU-16,” ulasnya.

Beliau turut menyeru rakyat untuk bersama PAS dalam melakukan transformasi politik demi kemakmuran sebenar negeri Pahang.

“Kepada rakyat Pahang, kami berjanji akan meneraju negeri ini dengan penuh amanah, telus dan berintegriti, sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat yang dahagakan kepimpinan bersih dan bertanggungjawab,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Andansura: PAS Miliki Ramai Pemimpin Berkaliber Untuk Mentadbir Negara Ini Sekiranya Diberi Mandat Oleh Rakyat

KUANTAN: PAS memiliki ramai pemimpin berkaliber untuk dicalonkan sebagai pemimpin sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, pendekatan PAS bagaimanapun berbeza dengan parti lain apabila hanya mengumumkan calon pemimpin mereka apabila sampai masanya.

Menurutnya, parti itu tidak ketandusan pemimpin untuk menjawat jawatan penting sama ada di peringkat negeri atau negara, sebaliknya ramai yang layak dan berkebolehan.

“Ramai dalam kalangan pemimpin PAS layak, jadi ia bukanlah isu yang berbangkit,” katanya.

Andansura berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung desakan pihak tertentu supaya PAS menamakan calonnya susulan Kempen Turun Anwar yang dilancarkan pembangkang, dengan kemuncaknya ialah himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Muktamar Pemuda PAS Pahang Kali Ke-43 yang dirasmikan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Hanif Jamaluddin di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zif dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Hamdi Harun.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, PAS hanya menunggu masa dan memastikan diberikan mandat terlebih dahulu kerana pada ketika itu pasti ada nama yang akan dicalonkan.

“Seperti mana di peringkat negeri sebelum ini, timbul juga persoalan siapa nama yang hendak diangkat sebagai calon Menteri Besar.

“Terbukti apabila menang, ada nama yang dicalonkan dan pemimpin dilantik berjaya mentadbir negeri masing-masing,” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diumum lebih awal kerana banyak sentimen lain yang perlu diambil kira.

“Kami tidak ikut pendekatan pihak lain yang berebut untuk menjadi Perdana Menteri, menteri dan sebagainya.

“Bukan bererti kami tiada calon, tetapi pendekatannya berbeza. Jadi, jangan heret PAS untuk namakan pemimpin itu sekarang kerana kita tidak akan jawab,” tegasnya.

Menjawab persoalan berhubung kemampuan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat, beliau berkata, ia boleh dilihat melalui kesungguhan dan cara ADUN serta Ahli Parlimennya menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, walaupun berdepan banyak halangan dan sekatan, wakil rakyat PAS tetap menunaikan tanggungjawab.

“Kami tiada peruntukan tetapi tetap tunaikan amanah kerana telah diajar sejak awal untuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya. #SinarHarian

Share:

PKR Pahang Tolak Usaha Tekan Perdana Menteri Agar Laksana Titah Adendum Benar Tahanan Rumah Terhadap Najib

KUANTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang hari ini menolak sebarang usaha memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melaksanakan titah adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam kenyataan bersama, kesemua 14 Ketua Cabang PKR Pahang merujuk kepada titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Februari lalu, yang menitahkan supaya perbahasan mengenai isu itu dihentikan memandangkan proses undang-undang sedang berjalan di mahkamah.

"Kami menegaskan sebarang usaha untuk membicarakan semula perkara ini termasuk memberikan tekanan kepada YAB Perdana Menteri untuk mengambil tindakan bersendirian adalah satu usaha yang membelakangkan Perlembagaan Negara, tidak menghormati proses undang-Undang, tidak matang dan berbentuk campur tangan politik dalam pentadbiran mahkamah, sekali gus membelakangi titah Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang sendiri," tegas mereka.

Sehubungan itu, Ketua-Ketua Cabang PKR Pahang menyeru rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Pahang, agar menjunjung kasih dan menumpahkan taat setia kepada institusi Diraja sebagai payung pemerintah negeri.

"Kami memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau akan terus berpegang kepada prinsip untuk tidak akan mencampuri urusan mahkamah, namun bersedia memberikan penjelasan kepada pimpinan Umno di dalam isu ini,” tambah kenyataan tersebut.

Sultan Abdullah pada hari terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari tahun lalu menitahkan agar hukuman penjara terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International diringankan dengan membenarkan bekas Presiden UMNO itu menjalani tahanan rumah.

Adendum tersebut dikatakan sebagai tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang turut mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun, serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ketika ini, Najib sedang memohon di mahkamah untuk menguatkuasakan adendum berkenaan.

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa Peguam Negara tidak menafikan kewujudan titah adendum tahanan rumah buat Najib.

Sebaliknya Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, menegaskan bahawa pihaknya hanya mempertikai cara Najib mengemukakan bukti baru itu di mahkamah.

Perkembangan itu mendorong seramai 160 Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negara mendesak perdana menteri dan kerajaan supaya segera melaksanakan titah adendum berkenaan.

Anwar dalam kenyataannya pada Jumaat lalu menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pimpinan UMNO mengenai perkara itu, namun menegaskan bahawa dia tidak akan mencampuri urusan mahkamah. #Malaysiakini

Share:

Kuasa Politik Di Negeri Pahang Perlu Dikembalikan Kepada orang Melayu Islam, UMNO Tidak Perlu Gadai Prinsip

KUANTAN: "Kuasa politik di Pahang perlu dikembalikan kepada orang Melayu Islam." Demikian gesaan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Andansura Rabu, susulan tindakan UMNO negeri bergabung dengan DAP bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menurutnya, langkah UMNO itu merupakan pengkhianatan terhadap rakyat Pahang dan mencerminkan keghairahan parti itu untuk mengekalkan kuasa walaupun terpaksa mengetepikan prinsip.

"Sebelum ini, sejak merdeka lagi, mereka (UMNO) tidak perlu bergantung kepada parti lain, biasanya sebelum tengah malam (hari pengundian) mereka dah boleh umum (menang) dan menteri besar angkat sumpah.

"Tapi dalam PRU lalu, perkara itu tidak berlaku dan tidak ada parti atau mana-mana gabungan parti boleh menubuhkan kerajaan di Pahang.

"Dan mereka ini, yang tidak pernah hilang kuasa di Pahang sejak sekian lama, sanggup menggadaikan prinsip demi menjaga kedudukan dan mahu terus menjadi kerajaan," katanya dalam ceramah umum ‘Turun Anwar’ di Padang Awam Cenderawasih, pada Jumaat.

Andansura, yang juga Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Beserah, mendakwa kerjasama UMNO dengan DAP melalui Pakatan Harapan (PH) telah membuka ruang kepada DAP untuk menguasai pelbagai jawatan di Pahang.

"Kita buka ruang kepada satu pihak untuk meluaskan kuasa dan ideologinya digunakan di dalam negeri Pahang, yang bertentangan dengan kita sebagai orang Islam.

“Sebab itu, kita kena ubah kerajaan (negeri) hari ini kerana dia tidak melaksanakan apa yang seharusnya... mempertahankan, memperkukuhkan dan memperluaskan kuasa orang Islam, orang Melayu di Pahang.

“(UMNO) menjemput parti yang berasaskan sosialisme ini untuk mentadbir dan menguruskan negeri Pahang, jadi kita kena singkirkan DAP daripada kerajaan negeri Pahang "dalam PRU ke-16," katanya.

Pengaruh DAP dalam kerajaan negeri

Dalam pada itu Andasura turut menyatakan rasa kurang senang dengan pengaruh DAP dalam kerajaan negeri, khususnya dalam pelantikan ahli majlis, jawatankuasa kampung dan struktur pentadbiran tempatan.

"Saya sendiri, sebab saya duduk dalam Dewan (sidang DUN) sekian lama, selama ini kita lihat 'ok' sebab mereka diurus, ditadbir oleh kebanyakan orang Melayu, orang Islam.

"Tapi oleh kerana kali ini, ada orang yang bertentangan dari sudut asas dan dasar perjuangan duduk dalam kerajaan negeri, berapa ramai ahli mereka (dilantik) sebagai ahli majlis perbandaran dan majlis daerah, berapa ramai jadi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Berapa ramai yang menuntut untuk menjadi ketua di kampung-kampung baru, ini sedikit demi sedikit kita buka ruang kuasa kepada mereka... ini yang sedang berlaku di negeri Pahang," jelasnya.

Dia turut menggesa rakyat supaya lebih peka dan menilai secara kritis perkembangan politik semasa, kerana mendakwa pengaruh DAP yang tidak dibendung boleh menjejaskan identiti dan masa depan generasi Melayu-Islam di negeri itu.

"Itulah kesilapan terbesar UMNO Pahang, pengkhianatan pemimpin Umno Pahang kepada rakyat negeri ini apabila mereka menjemput DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Jadi, kita kena ubah, kuasa politik dan pemerintahan di Pahang perlu dikembalikan kepada orang Melayu dan Islam, dan rakyat perlu pilih PAS dan PN untuk tujuan itu dalam PRU akan datang," tegasnya. #Malaysiakini

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.