script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

NGO Gesa PAIP "Segerakan" Kerja Projek Rekabentuk, Pasang Paip MSCL Di Maran

MARAN: Apa sudah jadi dengan projek merekebentuk dan memasang paip jenis Mild Steel Cement Line (MSCL) dari Tangki Air Pengimbang Pekan Tajau ke Pekan Sri Jaya dekat sini.

Projek dibawah Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sepatutnya dimulakan kerja pada Disember 2022 yang lalu. Namun, sehingga ke hari ini masih belum ada tanda-tanda sebarang kerja berkaitan dilakukan.

Rata-rata warga Maran yang ditemui di sini meluahkan rasa tidak puas hati atas perkara tersebut kerana ia menyebabkan gangguan bekalan air terus berlaku di kawasan ini sekarang.

Menurut seorang peniaga, beliau sedih kerana isu air masih gagal ditangani dengan baik oleh pihak kerajaan.

"Akibat tiada tindakan penukaran baru, maka sering berlaku kerosakan terutamanya isu paip pecah. Ia menyulitkan peniaga seperti kami yang menjadikan air sebagai sumber rezeki. 

"Saya harap PAIP dapat laksanakan kerja mengikut jadual yang ditetapkan. Dah lewat dekat empat bulan sekarang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Progresif Peduli Maran (PEDULI), Haji Ahmad Syuhor Awang, 60, yang ditemui berkata projek ini wajar dilaksanakan segera demi kepentingan rakyat setempat.


"Selalu berlaku paip pecah yang tidak menentu dari sepanjang jalan dari Luit,  bandar Maran, Serengkam, Senggora, Lubuk Paku dan sekitarnya.

"Kalau dilihat kepada papan tanda yang terpacak, jelas menunjukkan tarikh mula kerja ialah pada 30 Disember 2022.

"Maknanya kerja sepatutnya sudah dijalankan oleh kontraktor yang dilantik. Namun hari ini dah 30 April 2023, maka genap empat bulan daripada tarikh tersebut. Peliknya, masih tidak ada sebarang kerja yang dilakukan," katanya. 


Beliau amat berharap, Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Hj Wan Rosdy dapat mengambil maklum dan perhatian terhadap isu ini.

"Saya amat yakin Wan Rosdy amat prihatin serta mendengar denyut nadi dan suara rakyat marhaen. Sampai bila warga Maran harus berhadapan dengan masalah yang tiada kesudahannya ini.

"Atas sikap cakna Wan Rosdy, saya amat berharap projek ini dapat diteruskan segera demi kepentingan masyarakat setempat.

"InsyaAllah, dalam masa terdekat saya akan membawa perkara ini kepada pihak atasan PAIP Pahang untuk tindakan selanjutnya," kata Haji Ahmad Syuhor lagi. #PahangDaily

Share:

Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang Semai Perpaduan Antara Kaum

 

KUANTAN:  Hampir 8,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pahang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran rumah terbuka itu menyaksikan kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum yang membuktikan semangat perpaduan kaum di negeri ini.

”Setelah beberapa tahun kita  tidak dapat melakukan rumah terbuka disebabkan Covid-19, di mana kita tidak boleh melakukan perhimpunan ketika itu. Hari ini berpeluang mengadakakan rumah terbuka bersama penduduk Kuantan khasnya kita boleh raikan Aidilfitri, gembira kerana ramai datang.

”Walaupun lama tak buat rumah terbuka namun rasa seperti setiap tahun kita buat, kita dapat saksikan kehadiran pelbagai kaum lain seperti kaum Cina, India sama-sama memeriahkan rumah terbuka ini. Inilah bukti semangat perpaduan di kalangan rakyat.

”Saya berharap rakyat jangan ada pembaziran, jangan makan melebihi had, tingkatkan usaha menziarah rumah ke rumah untuk mengeratkan silaturahim supaya budaya ini berterusan,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Turut berangkat bercemar duli ke majlis rumah terbuka berkenaan ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Muhammad Syukri, 35, dari Beserah berkongsi pengalaman kali pertama menghadiri program ini merasakan rumah terbuka wajar diteruskan bagi mendekatkan diri bersama pemimpin setempat.

”Wajiblah diadakan untuk lebih kenal pemimpin, lagipun bukan zaman Covid-19 lagi, jadi pengalaman pertama rasa seronok, selain juadah macam-macam yang enak kita dapat kenal ramai orang,” katanya.

Manakala Shamsul Abdul Hamid, 65, dari Jaya Gading, Kuantan menjadikan rutin tahunan untuk berkunjung rumah terbuka ajuran pemimpin negeri ini.

”Pernah hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dulu, MB sekarang ni kali pertama dan rasa kemeriahan di samping kenal orang baru.

”Tempat ini (Dewan MBK) memang sesuai buat jamuan raya besar, parkir mudah dan muat orang ramai,” katanya.

Begitu juga pendapat  Muhammad Iszam Sazril Isa, 32, yang merasakan rumah terbuka untuk rakyat pelbagai kaum wajar diteruskan bagi mengukuhkan perpaduan antara semua masyarakat.

”Kami tinggal di Batu 3, datang bersama keluarga dan bawa ibu sekali lepas Zohor tadi. Alhamdulillah dapat menikamati juadah raya macam-macam, nampak pelbagai kaum datang memeriahkan sambutan rumah terbuka ini,” jelasnya. #sumber

Share:

Hikmah Sebalik ADUN PN Pahang Di Nafi Peruntukan, Sumbangan Terus Di Terima

 

MARAN: Di sebalik peruntukan kepada pembangkang di Pahang disekat kerajaan negeri, ramai tampil menderma bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) membantu rakyat.

ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak, turut menerima derma daripada pelbagai pihak bagi meneruskan agenda untuk meringankan beban rakyat.

Ustaz Mujibur Rahman berkata, lebih ramai penderma tampil bagi membantu meringankan beban penduduk miskin di DUN Chenor.

Katanya, beliau dan penderma mengambil tanggungjawab meringankan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup sekarang.

“Semoga Allah membalas jasa baik penyumbang dengan syurga tertinggi,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu, Mujibur Rahman menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf dan golongan memerlukan pada majlis yang diadakan di Surau Tok Guru, Kampung Lanting.

“Diharap saki baki Ramadan sekarang, Allah mengampunkan dosa dan melipatgandakan rezeki yang barakah buat kita semua, insya-Allah,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, PN memenangi 17 kerusi, BN (16) dan Pakatan Harapan (8). Bagaimanapun, BN menambah satu lagi kerusi apabila menang di DUN Tioman pada pilihan raya kecil.

BN dan PH membentuk kerajaan negeri selepas UMNO menolak PN sebagai rakan gabungan bagi mentadbir kerajaan negeri.

Pada penggal lepas, lapan ADUN PAS dinafikan peruntukan daripada Kerajaan Negeri Pahang.  #sumber

Share:

Pemangku Raja Pahang 'Solat' Aidil Fitri Bersama Hampir 2,000 Jemaah Di Pekan

PEKAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Masjid Sultan Ahmad Shah Pekan bagi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri.

Baginda berangkat tiba pada jam 8.35 pagi dan dan kemudian menunaikan solat sunat Aidifitri bersama kira-kira 2,000 jemaah pada jam 8.45 pagi.

Tengku Hassanal berbusana hijau pucuk pisang turut menunaikan solat Sunat Tahiyatul Masjid sebelum Solat Sunat Aidilfitri di barisan saf utama.

Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin oleh Imam 1 Mohd Faizal Abdul Manaf manakala khutbah bertajuk ‘Kukuhkan perpaduan, jalinkan persaudaraan’ disampaikan oleh Kadi Pekan, Mohd Aris Jamin.

Sebelum itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman mempersembahkan taklimat tatacara Solat Sunat Aidilfitri.

Selesai solat, baginda berkenan mencemar duli menyantuni jemaah yang hadir ke masjid dan merakam foto.

Baginda sempat mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di masjid.

Sejurus itu baginda berangkat ke Makam Diraja bagi bacaan tahlil yang terletak di bersebelahan masjid.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Baginda kemudiannya bersama kepimpinan kerajaan negeri berangkat menghadiri Majlis Aidilfitri di Rompin. #sumber

Share:

Imam Masjid Di Jerantut Terlupa Takbir, Jemaah Solat 'Sunat Aidil Fitri' Dua Kali !

 

JERANTUT: Hampir 3,000 jemaah Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ), di sini,  menunaikan solat Sunat Aidilfitri sebanyak dua kali dekat sini hari ini.

Ia berikutan Imam 1 MTMAJ, Mohd Fikir Hamzah terlupa melakukan lima kali takbir pada rakaat kedua.

Bagaimanapun, setelah beliau menyedari tidak melakukan takbir dan meneruskan solat bermula jam 8.45 pagi sehingga memberi salam.

Sejurus memberi salam, beliau terus mengakui kekhilafannya dan mahu mengulangi solat sunat itu kali kedua kira-kira jam 8.55 pagi setelah berbincang bersama jemaah.

“Saya terlupa takbir lima kali pada rakaat kedua itu, kemudian teruskan solat macam biasa.

“Ikut hukum, solat Sunat Aidilfitri itu sah. Tapi diputuskan solat sekali lagi setelah melakukan perbincangan dan tanya jemaah, semua nak solat sekali lagi. Kemudian baca khutbah seperti biasa.

“Maklumlah solat hari raya dua kali sahaja setahun, jadi jemaah bersepakat nak solat kali kedua,” katanya lapor MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengangkat takbir itu merupakan sunat hai’ah di mana tidak menjadi kesalahan solat itu masih sah walaupun terlibat mengangkat lima takbir.

Namun beliau tetap meminta pendapat jemaah dan rata-rata bersetuju serta meminta imam untuk mengulangi solat hari raya sekali lagi.

Sunat hai’ah adalah perkara sunat yang tidak memberi kesan jika meninggalkannya.

Dengan erti kata lain, jika terlepas sunat hai’ah, tidak perlu melakukan sujud sahwi atau diulang perbuatan tersebut. #sumber

Share:

Tol Percuma Semua Jenis Kenderaan Tamat Semalam, Seterusnya Pada Isnin !

 

KUALA LUMPUR: Tol percuma bagi semua jenis kelas kenderaan di 33 lebuh raya seluruh negara sempena Aidilfitri yang bermula 19 April tamat semalam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dalam satu kenyataan menerusi Facebook malam ini, memaklumkan tol percuma selanjutnya adalah pada Isnin ini iaitu 24 April.

"Sehubungan itu pastikan baki kad Touch n Go dan e-Wallet anda adalah mencukupi sebelum memasuki lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa lalu, mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan Tol Rahmah percuma selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 19 April hingga 21 April dan juga pada 24 April. #sumber

Share:

'Saman' Kes Bunuh 'Altantuya', Keluarga Merayu Jumlah Pampasan Lebih Tinggi !

 

SHAH ALAM: Keluarga model Mongolia yang dibunuh Altantuya Shaariibuu merayu untuk mendapatkan pampasan yang lebih tinggi daripada RM5 juta yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam keluarga itu, Sangeet Kaur Deo, mengesahkan kepada bahawa ahli keluarga itu telah memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Rayuan pada Januari lalu.

Katanya, rayuan berkaitan tindakan sivil berhubung pembunuhan ngeri Altantuya pada 2006 ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan pendaftaran mahkamah rayuan hari ini.

Pada 16 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan persekutuan dan tiga yang lain membayar RM5 juta kepada keluarga Altantuya.

Tiga lagi defendan ialah penganalisis politik Razak Baginda serta bekas komando Unit Tindakan Khas Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Bagaimanapun, kerajaan dan Razak telah merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan itu.

Keputusan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang memihak kepada keluarga itu dibuat 15 tahun selepas tindakan sivil difailkan pada 2007.

Tiga plaintif - Shariibuu Setev dan Altantseseg Sanjaa, yang merupakan bapa dan ibu si mati, serta abang Altantuya Mungunshagai Bayarjargal - mengemukakan saman RM100 juta.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan dengan peledak tentera. Mahkamah jenayah berasingan mensabitkan Azilah dan Sirul atas pembunuhan itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka pada April 2009.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Razak daripada bersubahat dengan pembunuhan itu tanpa dipanggil membela diri pada Oktober 2008.

Azilah kini dipenjarakan dan sedang menunggu hukuman mati.

Sirul, bagaimanapun, telah melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah tertinggi Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas mereka pada 2015. #sumber

Share:

Kes Najib: 'Penghakiman Berbeza' Tidak Boleh Mencemarkan Keputusan Majoriti

 

KUALA LUMPUR: Seorang peguam kanan hari ini berkata sesebuah penghakiman berdasarkan majoriti tidak boleh dianggap sebagai lebih rendah berbanding keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga atau lima orang hakim.

Kata Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla orang ramai tidak boleh berharap setiap seorang hakim mempunyai pandangan sama bagi sesuatu kes.

"Kita tidak seharusnya melihat penghakiman yang berbeza sebagai mencemarkan keputusan majoriti.

"Hanya kerana terdapat penghakiman yang berbeza pendapat, ia tidak menjadikan keputusan 4-1 sebagai keputusan yang lebih rendah daripada keputusan sebulat suara," katanya.

Haniff Khatri berkata demikian sebagai ahli panel forum awam anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dia merujuk kepada keputusan 4-1 oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Najib Razak untuk menyemak semula hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atasnya.

Bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman tersebut selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketika kesalahan tersebut dilakukan SRC merupakan anak syarikat 1MDB.

Susulan keputusan berkenaan, penyokong Najib serta UMNO telah menyifatkan penghakiman berbeza itu sebagai memberikan "harapan baru" untuk bekas presiden mereka dibebaskan dari Penjara Kajang.

Forum awam bertajuk "SPRM, bekas PM dan kebebasan badan kehakiman" turut menampilkan Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah; pakar perlembagaan Prof Shad Saleem Faruqi; dan peguam hak asasi manusia Andrew Khoo.

Penyokong Najib berkata penghakiman berbeza itu datang daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Arif Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel berkenaan.

Haniff bagaimanapun menegaskan kekananan seseorang hakim dalam sesebuah panel tidak mempunyai peranan dalam mempengaruhi keputusan kerana setiap ahli bebas untuk menulis penghakiman sendiri.

"Kekananan seseorang hakim terhenti di muka kamar perbicaraan. Apabila anda duduk untuk mendengar sesuatu kes, anda semua adalah sama.

"Anda bebas untuk menulis penghakiman anda sendiri. Jadi tidak ada yang pelik mengenai hal itu," katanya.

Haniff Khatri seterusnya menjelaskan di sebalik pandangan berbeza itu, Abdul Rahman tidak mempunyai pendapat berlawanan terhadap pandangan majoriti hakim bahawa mereka tidak bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan Najib.

Sementara itu Cheah  yang mengulangi pandangan Haniff Khatri bahawa Abdul Rahman tidak menyentuh hal berkaitan rayuan utama - menekankan kepentingan "kemuktamadan" dalam mana-mana prosiding undang-undang.

"Untuk membenarkan semakan lain (berdasarkan keputusan Abdul Rahman) boleh menjadi duluan yang berbahaya kerana kita inginkan sesuatu yang muktamad... melainkan ada perkara yang tidak disemak (semasa semakan pertama)," katanya sambil mengakui tiada peruntukan yang melarang semakan kedua difailkan.

Shad Saleem pula berkata Yang di-Pertuan Agong - dalam menyampaikan keputusannya atas nasihat lembaga pengampunan - boleh mengambil kira apa-apa perkara yang berkaitan.

Dalam kes Najib, katanya, perkara itu termasuklah pertuduhan lain yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu di mahkamah.

Shad Saleem berkata tidak seperti dalam bidang kuasa lain apabila pengampunan boleh diberikan sebelum sabitan, keputusan sedemikian adalah tidak berperlembagaan di Malaysia.

Forum petang tadi itu turut dihadiri ketua pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. #sumber

Share:

Peguam Najib Menyerang Badan Peguam, Pakar Undang-Undang Dalam Satu Forum

 

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Sri Najib Tun Razak “menyerang” Badan Peguam berhubung kes SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau “pelik” apabila Badan Peguam menganggap badan kehakiman tidak kental menahan kritikan.

“Sudah tentu anda mesti membenarkan badan kehakiman menjadi lebih kental dan perlu berdepan kritikan dalam ruang lingkup betul dan tidak menghina mahkamah,” katanya pada forum anjuran Badan Peguam.

Bercakap semasa sesi soal jawab, Shafee mengemukakan beberapa siri soalan kepada ahli panel berhubung dakwaan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Ghazali yang didakwa mempunyai konflik berkepentingan ketika mempengerusikan kes SRC Najib di Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengikut prosedur apabila menyiasat Nazlan.

“Mereka (SPRM) mengambil inisiatif melaporkan kepada ketua hakim negara, seperti diperuntukkan undang-undang. Terpulang kepada ketua hakim negara untuk mengambil dan membuangnya ke dalam tong sampah atau bertindak ke atasnya,” katanya pada forum bertajuk “Public Forum on MACC, the Ex-PM and the Independence of the Judiciary”.

Pada 23 Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan laporan SPRM berhubung siasatannya terhadap Nazlan telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam surat kepada peguamcara Najib, Shafee & Co, pada 6 April, Azalina mengesahkan siasatan SPRM terhadap Nazlan menyimpulkan beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik berkepentingan ketika mempengerusikan kes SRC International.

Beliau berkata, ia berdasarkan laporan bertarikh 20 Feb mengandungi penemuan SPRM yang dipanjangkan kepadanya, sambil menambah SPRM telah menemui “isu salah laku” Nazlan yang “perlu dipertimbangkan ketua hakim negara”.

Pada 24 Feb, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun memutuskan SPRM tidak mengikut protokol semasa menjalankan siasatan ke atas Nazlan.

Mahkamah tertinggi itu berkata, badan penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim. Kegagalannya berbuat demikian menunjukkan terdapat “kekurangan bona fide di pihak mereka”.

Menjawab kepada Shafee, Peguam Mohamad Haniff Khatri Abdulla mendakwa, terdapat pihak tertentu cuba mensensasikan dakwaan konflik berkepentingan Nazlan dalam kes SRC bertujuan menimbulkan wasangka terhadap keputusan mahkamah.

Beliau berkata, adalah penting untuk menghalang ahli politik dan mana-mana pihak lain daripada mensensasikan kes mahkamah.

Ahli panel forum lain termasuk Presiden Majlis Peguam Karen Cheah, pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam Andrew Khoo dan sarjana undang-undang Shad Saleem Faruqi. #sumber

Share:

PM Umum Pahang Terima RM400 Juta Melalui Peruntukan Tahunan MARRIS !

 

KUANTAN: Pahang menerima RM400 juta daripada jumlah keseluruhan RM5 bilion melalui peruntukkan tahunan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang disediakan kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga bersetuju melonggarkan syarat peruntukkan terbabit atas permintaan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan Pahang menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta kelonggaran menggunakan sebahagian peruntukkan itu untuk pembelian jambatan Bailey di kawasan yang mengalami kerosakan infrakstrutur berkenaan akibat banjir.

"Minta sedikit kelonggaran syarat, dulu tidak boleh beli apa-apa, tetapi kerajaan Pahang mahu beli jambatan Bailey dan hadapi banjir, kita setuju dan telah beri kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, petang tadi.

Hadir sama Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam ucapannya itu juga, Anwar menyifatkan amalan rasuah sebagai satu penyakit dan perlu ada tindakan tegas untuk membendungnya.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan membabitkan setiap peringkat tanpa mengira status atau jawatan individu yang disandang.

"Orang bawah (pangkat rendah) mungkin menerima rasuah RM50 manakala orang atas menerima RM500 juta tetapi mendakwanya sebagai komisen.

"Kita telah pun mengeluarkan amaran dan siapa orang itu (disiasat) bukan urusan saya, didakwa atau tidak itu bukan urusan saya. Tugas saya hanya memberi pihak berkuasa ruang yang diperlukan untuk bertindak tegas," katanya. #sumber


Share:

Perdana Menteri Umum PDRM Akan Beri Diskaun Khas Saman Trafik, Hanya RM50

 
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Kadar Khas Bayaran Saman yang hanya berjumlah RM50 bagi semua saman trafik, bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar khas itu terpakai untuk kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

"Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.

"Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.

"Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April 2023 dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan," katanya.

Tambah Perdana Menteri, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April 2023 bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

"Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Ia adalah untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. #sumber

Share:

Kerajaan Bersetuju Beri Satu Hari Cuti Tambahan Sempena Hari Raya Aidilfitri

 

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelepasan itu adalah berdasarkan tarikh pengumuman 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis ini.

"Memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal akan dibuat pada 20 April, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman.

"Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, (21 April) maka hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, (22 April) maka hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak boleh mengisyitiharkan hari kelepasan am mengikut tarikh berkenaan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Sementara itu Anwar turut mengumumkan, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

Ikhtiar ini jelasnya, memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.

"Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal," katanya. #sumber

Share:

Perdana Menteri Umumkan Tol Rahmah Percuma Empat Hari Sempena Aidilfitri

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran Tol Rahmah percuma selama empat hari bermula Rabu.

Anwar berkata, Tol Rahmah percuma tersebut itu dinikmati pada Rabu, Khamis, Jumaat dan Isnin ini.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan 33 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan.

"Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung," katanya ketika sidang akhbar di Perdana Putra di sini pada Selasa.

Beliau berkata, butiran lanjut berhubung pelaksanaan Tol Rahmah percuma akan diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan turut bersetuju melaksanakan beberapa ikhtiar khas bagi meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada rakyat termasuk pemberian kadar khas bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pemberian kadar khas ini selama sebulan bermula 21 April untuk semua saman trafik PDRM bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya," katanya.

Ujar beliau, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50.

"Kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.

Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan," kata beliau.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada Selasa dan Rabu dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

"Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan panas seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas," katanya. #sumber

Share:

Kereta Kemalangan Ketika Naik Genting Highland Ada Sebelas Saman Pandu Laju

 

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan pemandu kereta yang terbabas dan terbalik ketika naik ke pusat peranginan Genting Highlands, Bentong, dekat sini, seperti dalam rakaman video yang tular, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai dipandu secara melulu sehingga terbabit kemalangan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah mengesan pemandu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan dipanggil ke IPD Bentong untuk tindakan selanjutnya.

"Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapati ia mempunyai 11 rekod saman, semuanya atas kesalahan memandu melebihi had laju," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaiham, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung wujudnya elemen perlumbaan dalam kejadian itu.

"Kita akan siasat elemen itu apabila pemandu terbabit hadir le IPD Bentong untuk dirakam keterangan nanti.

"Dalam pada itu, kita sedang mendapatkan butiran mengenai perakam video berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Zaiham berkata, siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 7.25 pagi, semalam di Kilometer 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong sebelum satu rakaman kejadian itu ditularkan di media sosial.

"Berdasarkan rakaman video yang tular, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Serdang, Selangor ke Genting Highlands.

"Apabila sampai di selekoh, pemandu kereta terbabit memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan. Pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Menerusi rakaman video yang tular itu, kelihatan sebuah kereta jenis Honda sedang berlumba dengan sebuah kereta lain berdasarkan cara pemanduan yang ditunjukkan kedua-dua kenderaan.

Sebaik kereta Honda itu berjaya memintas kereta di hadapannya di sebuah laluan berselekoh, kenderaan itu dilihat terbabas ke sisi kiri jalan sebelum terbalik. #sumber

Share:

Aktiviti Berbuka Puasa 'Jalan Mati' Felda Bukit Kuantan Jadi Tular Di Media Sosial

  

KUANTAN: Aktiviti berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dekat Jalan Mahkota sudah terlalu lazim dalam kalangan penduduk  di sini.

Untuk penduduk di Jalan Dahlia, Blok 6, Peringkat Dua, Felda Bukit Kuantan pula, mereka memilih untuk menjadikan jalan mati di laluan itu sebagai tapak majlis berbuka puasa.

Pencetus idea untuk aktiviti berbuka puasa di jalan mati itu adalah Maslina Mansor, 28 tahun dan ia menjadi tular di media sosial awal bulan ini.

Maslina ketika ditemui semalam berkata, idea untuk menganjurkan aktiviti itu tercetus secara spontan ketika berbual bersama jirannya yang lain.

"Mula-mula kita bincang sesama kita saja, selepas itu (perbincangan) menjadi lebih serius dan kita sepakat untuk hebahkan dalam kumpulan WhatsApp kejiranan kami.

"Jadi di situlah bermula dengan (buat) poster dan dapat pula sokongan daripada semua keluarga yang menetap di Jalan Dahlia ini," katanya.

Maslina yang sudah tidak mempunyai ibu bapa, mengakui aktiviti berbuka puasa beramai-ramai itu dapat mengisi kekosongan ketika menjalani ibadat puasa.

"Bila ada aktiviti macam ini, saya dapat merasakan kembali (suasana) berbuka dengan keluarga besar, lagipun kami di sini memang rapat macam keluarga sebenar," katanya lagi.

Sementara itu, Noratiha Mahmud, 31, berkata, dia sangat teruja dengan keakraban jiran-jiran di blok berkenaan malah tidak berasa asing walaupun bukan berasal dari Bukit Kuantan.

“Saya (berasal) dari Felda Jengka 10 (Maran), suami orang sini (Felda Bukit Kuantan) dan sudah lapan tahun tinggal di sini.

"Awal bulan (Ramadan) kami sudah buat aktiviti berbuka macam petang ini dan tak sangka ia menjadi viral serta mendapat perhatian orang ramai.

"Jadi, memandangkan kita dah masuk minggu terakhir Ramadan, kami fikir bagus juga kalau buat lagi sekali aktiviti berbuka di sini," katanya.

Dia turut mengakui aktiviti itu dapat merapatkan lagi hubungan antara mereka dan mengenali lebih dekat ahli keluarga yang menetap di situ. #sumber

Share:

Saifuddin Nafi Ada Kaitan Dengan Lelaki Di Tahan Kerana Kenyataan Perkauman !

 

KUANTAN: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dato' Sri Saifuddin Abdullah menafikan menafikan ada kaitan dengan seorang individu yang ditahan atas dakwaan membuat hantaran bersifat perkauman di media sosial.

Saifuddin yang juga Pengerusi PN Pahang berkata, laporan telah dibuat oleh setiausaha politiknya, Mohd Hafeez Mohd Yunus Balai Polis Presint 7, Putrajaya berkenaan perkara itu, hari ini, lapor Malaysiakini. 

"Tujuan saya membuat laporan polis adalah bagi membersihkan nama saya dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan.

"Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat tentang perkara ini dan saya percaya pada integriti dan kewibawaan pihak berkuasa untuk memastikan fitnah tidak berleluasa.

"Pada masa sama saya telah mengambil tindakan awal untuk memelihara hak saya di sisi undang-undang terhadap penyebar fitnah sama ada secara individu mahupun mewakili mana-mana organisasi," kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu di Twitter.

Dia mengulas beberapa hantaran media sosial yang mengaitkannya dengan individu tersebut, bernama Roslizal Razali, dan seorang lagi yang dikenali sebagai "Datuk Arshad" yang didakwa menjadi orang tengah mereka.

Saifuddin juga menyangkal dakwaan yang dia memberi wang kepada lelaki itu menerusi Arshad untuk membuat hantaran menyerang kerajaan di media sosial.

Roslizal, 46, ditahan pada 12 April lalu kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur perkauman di media sosial yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Polis berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berhubung kesalahan mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum).

Dia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata polis lagi. #sumber

Share:

Elizabeth Tan 'Memohon Maaf', Gara-Gara Dia Tidak Sengaja Terlanggar PM Anwar !

 

TULAR video memperlihatkan penyanyi Elizabeth Tan dan Perdana Menteri Ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tidak sengaja terlanggar satu sama lain.

Menerusi video yang tular itu, insiden tersebut berlaku ketika Elizabeth hadir di majlis berbuka puasa penggiat seni bersama Perdana Menteri (PM).

Bagaimanapun Elizabeth memohon maaf kerana terlanggar PM disebabkan terlalu teruja dapat bertemu dengan beliau.

“Teruja sangat dapat jumpa DS @anwaribrahimofficial sampai I terlanggar dia... omg I’m so sorry,” tulis Elizabeth di kapsyen video yang dikongsikan.

Rata-rata netizen menggangap kejadian itu berlaku disebabkan PM tidak nampak kelibat penyanyi dan pelakon itu sedang berjalan secara mengundur ke arah beliau.

“Apabila DSAI sedang bersalaman dengan orang di sekeliling, wanita ini (Elizabeth) teruja dan berjalan secara mengundur di mana DSAI sebenarnya tidak perasan.

“Nampak macam biasa saja, netizen saja macam over. Yang kenal Elizabeth tahu la. Fikirla positif, takkan PM saje nak buat macam itu dekat public kot.

“Liz ni dah nampak PM datang. Apasal nak gostan lagi. Patut berdiri tepi dan salam,” komen beberapa netizen.  #sumber

Share:

'Rodong Temerloh' Jadi Perhatian, Wajah Gaya ‘Oppa’ Tapi Cakap Loghat Pahang !

SETIAP negeri di Malaysia mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Selain kaya dengan kepelbagaian budaya, setiap negeri turut mempunyai cara pertuturan menggunakan loghat yang berbeza-beza.

Di aplikasi TikTok, seorang pemuda turut meraih populariti gara-gara video santainya yang suka berborak dalam loghat negeri Pahang.

Ketika dihubungi, anak jati Temerloh yang mahu dikenali sebagai Fadz itu mengakui tidak menyangka cara pertuturannya berupaya menarik perhatian netizen.

"Saya sebenarnya dah lama ada akaun TikTok. Tapi, akaun saya tiba-tiba 'boom' sebab saya cakap dalam bahasa Pahang.

"Awalnya saya hanya stitch video orang. Ada seorang perempuan tu cakap dia tak suka lelaki Melayu muka Cina. Jadi saya balas videonya.

"Tiba-tiba video itu blow up di TikTok. Ramai netizen kata mereka seronok dengar saya berborak dalam loghat macam tu," ujar pemuda berusia 31 tahun itu.

Menurut Fadz, dia menyedari bahawa masih ramai yang tidak peka dengan kewujudan loghat Pahang selepas video miliknya tular di media sosial.

"Kebanyakannya komen minta saya hasilkan lagi video cakap Pahang. Dalam masa sama, ramai sebenarnya yang tak tahu bahasa Pahang. #sumber

Share:

Ahli Parlimen Miri Desak Agar Pemimpin Perikatan Nasional Bantah Soalan Ismail

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menggesa rakyat Sarawak menolak pemikiran individu seperti ahli parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Chiew merujuk kepada beberapa soalan bertulis Ismail kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan warganegara, kaum dan agama.

“Selaku anak Sarawak yang mencintai perpaduan dan keharmonian antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama, saya ingin menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk bangkit dan menolak ahli politik yang berfikiran sempit seperti ini dan sering menjadikan perkauman dan agama sebagai alat untuk tujuan politik tersendiri.

“Saya juga ingin menyeru pimpinan daripada Perikatan Nasional yang masih cinta kepada kebenaran untuk turut menyuarakan bantahan ke atas tindakan ahli parlimen Maran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara isu dibangkitkan Ismail ialah meminta kerajaan menjelaskan rasional "mengiktiraf" rakyat yang lahir selepas Malaysia merdeka tanpa mengira "warna kulit".

Ismail juga bertanya mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di tempat tersebut atau tidak.

Ahli parlimen dari PN itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan, tanpa menyebut negeri tersebut.

Namun, difahamkan dia merujuk kepada maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang.

Maklumat palsu itu tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011, di mana ia digunakan sebagai senjata untuk menyerang negeri pimpinan DAP sejak bertahun-tahun lagi.

Mengulas lanjut mengenai soalan yang dikemukakan oleh Ismail itu, Chiew mengaitkan dengan nasib penduduk Sarawak di kawasan pedalaman yang tidak mendapat dokumen warganegara atas faktor pengangkutan dan kurangnya kesedaran tentang prosedur pendaftaran kewarganegaraan.

“Namun, daripada memberi fokus kepada isu utama tentang kewarganegaraan dan membantu rakyat menyelesaikanya, ahli parlimen Maran telah menjadikan isu kewarganegaraan ini sebagai perkauman dan alat politiknya bagi mencapai publisiti murahan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau berkata ahli parlimen boleh memfailkan usul ke pejabat Speaker terhadap Ismail Abd Muttalib jika mereka menganggap soalan ahli parlimen PAS itu sebagai menghasut.

Bagaimanapun, Ismail dalam kenyataannya hari ini menafikan dakwaan bahawa soalan yang dibangkitkannya itu berbaur perkauman dan menghasut. #sumber

Share:

Ismail Muttalib: Soalan Kerakyatan Tanpa Mengira 'Warna Kulit' Itu Bukanlah 'Rasis'

 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib telah menafikan dia bersikap rasis apabila mengemukakan soalan kepada kerajaan berhubung pengiktafan kewarganegaraan tanpa mengira "warna kulit".

Bercakap kepada media hari ini, Ismail menjelaskan soalannya itu merujuk kepada warga asing yang ingin memohon kewarganegaraan Malaysia.

Ahli parlimen PN itu menjelaskan bukan niatnya untuk menghalang Putrajaya memberikan kerakyatan kepada warga asing, sebaliknya hanya meminta rasional daripada kerajaan berhubung keputusan yang diambil.

Dia yang menjadi ahli parlimen BN sebelum PRU ke-15 berkata, kebimbangannya timbul berikutan kemasukan warga asing yang tinggi di negara ini.

"Sekarang ini ramai orang persoalkan mengapa ada ramai orang Rohingya, ada macam-macam (seperti) Arab, India, Bangladesh, Indonesia, Nepal.

"Tak kisahlah orang dari mana, saya cuma nak tanya.

"Kita tak mahu terlalu bebas untuk menganugerahkan kewarganegaraan ini," katanya.

Ismail menambah kemasukan warga asing yang ramai itu akan turut akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam negara.

Enggan ulas isu azan

Nama Ismail menjadi perhatian sesetengah pihak baru-baru ini ekoran soalan yang dikemukannya kepada Kementerian Dalam Negeri, termasuk mengenai kewarganegaraan yang diberi tanpa mengira "warna kulit."

"Minta menteri dalam negeri menyatakan apakah benar kerajaan berhasrat untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat yang lahir selepas merdeka tanpa mengira warna kulit.

"Jika benar, apakah rasionalnya,” kata soalan itu.

Kata Ismail hari ini, jika kerakyatan Malaysia diberikan dengan mudah ia boleh mencetuskan kekacauan seperti yang didakwanya berlaku di luar negara.

"Kalau terlalu longgar, contohnya di Perancis, huru-hara sekarang kerana terlalu pemberian kerakyatan longgar untuk pelarian ke negara itu, sampai sekarang kelam kabut.

"Maka saya nak keadaan ini terkawal... biar ada kawalan," katanya lagi.

Ditanya jika peraturan sedia ada sekarang belum memadai, Ismail berkata dia mahu ia diperketatkan lagi.

Dalam soalan parlimen bertarikh 15 Feb 2023, Ismail juga bertanya mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan serta adakah fahaman komunisme masih wujud di petempatan tersebut.

Menjelaskan lanjut soalan itu, Ismail berkata, dia mahu mendapatkan penjelasan berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

Mengenai larangan pembesar suara mengumandangkan azan di sebuah "negeri" Ismail mengesahkan kepada Malaysiakini dia memang merujuk kepada Pulau Pinang.

Untuk rekod kerajaan negeri sudah menafikan dakwaan tersebut beberapa tahun lalu. Malah seorang pemimpin PAS Kedah yang bertanggungjawab membuat dakwaan palsu tersebut sudah meminta maaf.

Ditanya mengenai isu tersebut, Ismail enggan mengulas lanjut.

"Tak payahlah, banyak yang dah komen," katanya. #sumber

Share:

Alice Lau: Jikalau Soalan Menghasut, MP Boleh Fail Usul Terhadap Ismail Muttalib

 

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen boleh memfailkan usul ke pejabat Speaker terhadap Datuk Seri Ismail Abd Muttalib jika mereka menganggap soalan ahli parlimen PAS itu sebagai menghasut, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau.

“Setakat ini, saya tidak mendengar sebarang usul yang dikemukakan oleh mana-mana ahli parlimen (mengenai perkara ini).

“Ini bermakna tidak ada isu mengenai penghujung parlimen.

“Saya tidak fikir parlimen untuk memutuskan sama ada (Ismail) boleh didakwa (di bawah Akta) atau tidak.

"Bukan kuasa kami untuk membuat keputusan (pendakwaan),” kata Lau semalam.

Terdahulu, pemimpin DAP P.Ramasamy berkata Ismail boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.

Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa penggubal undang-undang tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa perkara yang diperkatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya dalam mana-mana prosiding sama ada di Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

Bagaimanapun, Perkara 63(4) membantahnya bagi kesalahan yang melibatkan Akta Hasutan 1948 dan undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(4) yang melindungi bahasa kebangsaan, kuota Bumiputera dan raja-raja Melayu.

Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Ismail telah, antara lain, mengemukakan pertanyaan parlimen meminta kerajaan mewajarkan rasional "mengiktiraf" rakyat yang lahir selepas Malaysia merdeka tanpa mengira "warna kulit".

Ahli Parlimen Maran itu juga bertanya mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di tempat tersebut atau tidak.

Ahli parlimen gabungan PN itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

Ismail tidak menyebut negeri mana yang dimaksudkannya itu tetapi maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Maklumat salah ini telah dibangkitkan berulang kali selama bertahun-tahun untuk menyerang pentadbiran negeri pimpinan DAP.

Ini walaupun beberapa penjelasan telah dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk Mufti Pulau Pinang ketika itu Datuk Seri Hj Hassan Ahmad, malah disokong Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ismail dahulunya Ahli Parlimen UMNO yang digugurkan daripada pencalonan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Dia merupakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selepas diketepikan UMNO pada PRU15, Ismail kemudian menyertai PAS dan bertanding di Maran dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lau menjelaskan proses tapisan soalan parlimen bermula apabila ahli parlimen mengemukakan pertanyaan mereka kepada Setiausaha Dewan Rakyat.

Setiausaha Dewan Rakyat kemudiannya akan bertemu dengan setiap kementerian untuk menghantar soalan yang ditujukan kepada mereka, kata timbalan speaker itu.

“Sekiranya terdapat sebarang soalan yang bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat (Dewan Rakyat), kementerian akan memaklumkan kepada parlimen.

"Setiausaha kemudiannya akan memaklumkan kepada speaker mengenai soalan-soalan itu dan speaker akan memutuskan sama ada untuk menolak atau mengekalkannya," tambahnya.

Bagaimanapun, dia berkata soalan yang dikemukakan oleh Ismail tidak dimaklumkan oleh kementerian terbabit.

“Malah kementerian telahpun memberikan jawapan bertulis mereka.

"Bagi mereka, ia tidak sensitif, saya rasa, jadi mereka membenarkan soalan itu ditanya dan dijawab," jelas Lau lagi.

Jika sesuatu soalan parlimen ditolak, sebagaimana yang pernah dialaminya pada masa lalu, maka timbalan pengerusi DAP Sarawak itu berkata pejabat speaker akan memberikan alasan di sebalik penolakan itu dengan memetik peraturan mesyuarat parlimen. #sumber

Share:

Pahang Selesaikan Pemberian Bayaran Bantuan Khas Aidil Fitri Sebelum Raya !

KUANTAN - Pembayaran Bantuan Khas Aidilfitri kepada enam kategori penerima yang layak dijangka diselesaikan sebelum hari raya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembayaran akan dilaksanakan segera bagi membolehkan penerima menggunakan wang tersebut untuk membuat persiapan hari raya.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM13 juta untuk bantuan khas itu dengan lebih 25,684 penerima keseluruhannya.

"Jika tidak sempat penerima khususnya warga pesara mungkin boleh mendapatkan wang bantuan itu melalui pejabat daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Aidilfitri di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, bantuan itu merupakan lebihan peruntukan daripada hasil kerajaan negeri yang dikembalikan kepada rakyat.

Beliau berkata, selain bantuan khas Aidilfitri kepada enam kategori itu, bantuan lain akan tetap dihulurkan kepada penerima yang layak.

Sebelum ini, kerajaan Pahang mengumumkan pemberian bantuan tunai antara RM200 hingga RM1,200 kepada enam kategori penerima di negeri ini sempena Aidilfitri.

Kategori penerima pertama terdiri 8,000 penjawat awam negeri yang bakal menerima RM1,200.

Turut menerima bantuan itu, 700 anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diikuti 4,500 pesara kerajaan negeri dan 7,000 ibu tunggal miskin dengan bantuan tunai RM200 seorang.

Bantuan RM200 hingga RM500 diperuntukkan kepada 2,773 penerima terdiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKKR), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Tok Batin dan Setiausaha JPKK.

Terbaharu Wan Rosdy mengumumkan bayaran bantuan itu kepada 2,711 penerima kategori keenam terdiri iman, bilal dan siak di seluruh Pahang membabitkan peruntukan RM640,200. #sumber

Share:

Bantuan Hari Raya Aidil Fitri Sebanyak RM700 Untuk 886 Orang Peserta PKPP

 

LIPIS: Seramai 886 peserta dari tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM700 seorang bermula Khamis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM606,200 itu merupakan komitmen yang telah dilaksanakan sejak 2015.

"PKPP telah memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri sejak 2015 sehingga kini, dengan jumlah keseluruhan RM4.86 juta.

"Pemberian ini merupakan bukti bahawa PKPP diuruskan dengan baik walaupun melalui fasa sukar seperti masalah pekerja, COVID-19 dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini pada Khamis.

Jelas Wan Rosdy, bantuan tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap peserta rancangan sosial PKPP bagi meringankan beban perbelanjaan mereka untuk menyambut hari raya.

Tujuh buah rancangan sosial terlibat ialah Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, RPSK Jerkoh, RPSK Peruang selain Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular, Sri Gemuruh, Kampung Awah dan Ladang Kecil Sungai Charu.

Sempena majlis itu turut diadakan penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri kepada 325 orang Pengerusi JPKK, JPKKOA, Tok Batin, Setiausaha JPKK dan Ibu Tunggal bagi DUN Benta, Cheka dan Padang Tengku.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Masjid Daerah Lipis serta RM750 kepada masjid dan surau dalam rancangan sosial PKPP di daerah Lipis.

Turut menerima sumbangan ialah kepada tabung JPKK RPSK Merapoh, Peruang, Jerkoh dan RTP Sg Ular yang menerima sebanyak RM2,500 setiap rancangan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10,000. #sumber

Share:

Fandi Dakwa Pemain Pahang FC Lesu, Tak Bermaya Berhadapan Kelantan United FC

 

KUANTAN: Di sebalik kemenangan 1-0 Sri Pahang FC ke atas Kelantan United di Stadium Darul Makmur kelmarin, pengendali skuad itu, Fandi Ahmad mengakui pemainnya tidak berada pada prestasi terbaik.

Beliau berkata, segalanya serba tidak menjadi buat skuad Tok Gajah apabila gagal memberikan tekanan di bahagian pertahanan lawan.

"Tiada persefahaman, lesu dan tidak bermaya serta terlalu yakin apabila berdepan dengan pasukan yang berada di kedudukan terbawah liga menyebabkan mereka gagal bermain dengan baik.

"Bagi saya aksi pada separuh masa pertama dan kedua berbeza apabila mereka bangkit dan tidak berputus asa hingga menjaringkan gol pada masa kecederaan.

"Secara keseluruhannya saya tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi gembira kerana kita berjaya mengutip tiga mata di tempat sendiri," katanya.

Pada perlawanan itu, pemain pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo muncul wira selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika keputusan seakan berakhir dengan keputusan seri.

Namun, kemenangan 1-0 ke atas Kelantan United melonjakkan skuad Tok Gajah di kedudukan ketiga liga dengan mengutip 16 mata daripada lapan perlawanan.

Mengulas kelemahan yang perlu diperbaiki, lagenda bola sepak Singapura itu berkata, jentera serangan dan tengah tidak berada pada tahap terbaik.

Katanya, ketiadaan dua pemain iaitu Sergio Aguero dan Kevin Ingreso yang tidak diturunkan disebabkan kecederaan turut memberikan kesan.

"Kita harap semua pemain dapat meningkatkan prestasi masing-masing untuk beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya," katanya. #sumber

Share:

Persediaan Hari Raya, PAIP Sedia 34 Lori Tangki Dan 855 Tangki Statik Di Pahang !

 

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan pelan kontigensi sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di seluruh daerah di negeri ini sempena cuti perayaan hari raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, tempoh efektif pelan kesiapsiagaan itu selama 14 hari bermula 17 hingga 30 April ini.

Menurutnya, sebanyak 34 lori tangki dalam keadaan bersedia untuk agihan bekalan selain akan menempatkan segera 855 tangki statik di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi menghadapi gangguan bekalan termasuk tekanan air rendah di negeri ini.

"Sepanjang tempoh perayaan ini, semua 73 loji rawatan air akan dipastikan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa PAIP bersama media dan anak yatim di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Saiful Zaini berkata, beberapa kawasan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah berikutan berlaku peningkatan mendadak penggunaan air sepanjang musim perayaan ini terutama di kawasan Felda dan kampung tradisional.

"Bagaimanapun, melalui persediaan awal ini, pihak PAIP optimis dapat menghadapi kemungkinan itu melalui tindakan pantas kakitangan bertugas bagi mengelak kesulitan dihadapi pengguna.

"Pada masa sama, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan dengan menyediakan bekalan air secukupnya bagi kegunaan musim perayaan," ujarnya.

Saiful Zaini(barisan kedua, lima dari kanan)dan warga PAIP bersama sebahagian anak yatim yang diraikan pada majlis berbuka puasa di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya berlaku gangguan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) melalui talian 09-5739999 yang akan beroperasi selama 16 jam bermula 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Sementara itu katanya, pada majlis berbuka puasa itu, selain pengamal media dan kakitangan Paip, turut diraikan anak-anak yatim dari Kampung Huma Luas dan Kampung Dalam, Chenor, Maran.

Menurutnya, dua kampung itu merupakan kampung angkat Paip sejak tahun lalu melalui Program Tranformasi Desa Pahang (TERAS) Program Kampung Angkat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Pahang.

"Dalam tempoh Oktober tahun lalu hingga kini, sebanyak lapan program telah dijalankan bersama penduduk kampung angkat itu termasuk sumbangan kepada asnaf, kursus motivasi pendidikan dan bengkel keusahawanan," katanya. #sumber

Share:

Sembilan Individu Di Tahan Jual Mercun, Bunga Api Tanpa Lesen Di Negeri Pahang

 


KUANTAN - Sembilan individu ditahan susulan menjual bunga api dan mercun tanpa lesen atau permit di sekitar daerah ini dan Pekan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan kesemua individu itu dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh 40 pegawai dan anggota unit penguat kuasa cawangan lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.

"Dalam pemeriksaan itu, kita telah menahan lima individu di daerah Kuantan manakala empat lagi di daerah Pekan.

"Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun. Malah, kita turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada malam Rabu.

Ramli menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali.

Ramli beramah mesra dengan pegawai dan anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis Pahang menerima 414 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak dan 34 lagi masih dalam proses.

"Ada permohonan terpaksa ditolak susulan pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mereka yang mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai.

"Malah, terdapat juga permohonan ditolak disebabkan melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan," jelas beliau.

Sehubungan itu, Ramli mengingatkan orang ramai bahawa kebenaran menjual mercun dan bunga api bukanlah bermakna ia boleh dijual secara bebas.

Tegasnya, larangan bermain bunga api dan mercun masih berkuat kuasa dan tertakluk kepada Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Ramli menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.
"Kelonggaran diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan umum sempena (musim) perayaan," katanya.

Ramli memaklumkan sehingga Rabu, pihaknya belum menerima laporan mengenai insiden atau kejadian tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini.

"Setakat ini belum ada insiden seperti di negeri jiran yang kita lihat dan dilaporkan dalam media. Kita harap orang ramai sentiasa berhemah dan berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api," katanya. #sumber

Share:

Pemuda PAS Pahang Peruntuk RM86,470 Sumbangan Raya Buat Guru, Kakitangan !

 

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang memperuntukkan sebanyak RM86,470 sumbangan hari raya untuk guru-guru serta kakitangan sektor pendidikan di bawah tadbir urus dewan terbabit.

Ketuanya, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, seramai 948 guru serta 159 pembantu guru serta kakitangan institusi pendidikan PASTI, SRITI, SMITI dan MTIS bakal menerima sumbangan berkenaan.

Katanya sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada guru-guru bagi membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Mereka banyak berkorban mendidik anak-anak tunas Islam seramai 11,415 orang di seluruh Pahang,” katanya sempena program pemukiman Pemuda PAS Pahang semalam.

Pada majlis itu Mohd Zarimi menyerah replika cek kepada Ketua Sektor Pendidikan Pemuda, Khairul Nizam Mustofai.

Pemuda PAS Pahang mengadakan sesi pemukiman di Kompleks Tahfiz Al Quran Al Qaradhawi (KOMTAQ), Kerdau bagi merencana strategi serta halatuju bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

‘Retreat’ dua hari itu dijadikan gerak kerja serta membentuk halatuju PAS teraju Pahang pada PRU16.

Mohd Zarimi juga berkata, beberapa perancangan dan strategi disusun bagi mencapai objektif PAS ke arah mentadbir negeri Pahang PRU16. #sumber

Share:

Penceramah Agama Di Pahang Wajib Ada Tauliah Daripada Pihak Berkuasa Negeri !

LIPIS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penceramah di negeri Pahang perlu mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Penceramah atau pengajar perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP ).

Seri Paduka berharap mereka yang berceramah di Pahang ini mempunyai tauliah MAIP dan JAIP bagi mengelakkan elemen bertentangan syariat  Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tegas Al-Sultan Abdullah, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam yang diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid atau surau di seluruh negeri ini.

“Bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

“Biarlah mereka yang bertauliah dan mahir dapat menyebarkan ilmu agama di negeri ini. Pihak pentadbir masjid dan surau diminta terus mengawasi mana-mana pihak yang mahu mengambil peluang sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat dan merasmikan Masjid Baharu Benta yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri,  Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak serta barisan EXCO Negeri Pahang dan pemipin setempat.

Dalam pada itu Seri Paduka turut menyentuh tentang peranan masyarakat dalam mempertahankan kesucian, kemuliaan serta keharmonian institusi masjid.

“Saya berharap agar setiap masjid dan surau ditadbir urus oleh ahli masjid dan surau dengan sebaik mungkin. Imarahkan masjid dengan kelas dan aktiviti keagamaan, menyatukan umat kita Islam di kawasan masing-masing.

Ads by Kiosked
“Masjid bukan tempat untuk berpuak-puak, memihak-mihak dan memecahbelah umat Islam. Kerap saya ulang perkara ini dan saya mahu ia diingati dan dijaga dengan baik,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut berharap agar masjid menjadi tempat untuk berkongsi ilmu demi kemajuan hidup dan ekonomi umat Islam sejagat.

“Saya minta kita kaji institusi masjid sebagai pusat kemasyarakatan melibatkan usaha memajukan masjid dan kawasan sekitarnya sebagai satu pusat ekonomi.

“Antara usaha yang dilakukan ialah tubuh koperasi, laksana projek berunsur agrikultural sekaligus boleh membantu masyarakat setempat melalui peluang kerja dan hasil yang diperoleh,” titah Seri Paduka.

Tegas Al-Sultan Abdullah, tidak dinafikan ada segelintir individu mengambil kesempatan berpolitik dan menyebarkan doktrin parti kepada jemaah. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.