script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Bicara Kes Najib, Rosmah Ditetapkan Pada 13 Mei Dan 9 Jun


KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka kembali ke mahkamah pada Jun dan Julai untuk menyambung perbicaraan kes rasuah membabitkan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Perbicaraan yang dijadual bersambung semalam dan hari ini di Mahkamah Tinggi, di sini telah dilapangkan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Bagi perbicaraan kes jenayah, tertuduh wajib hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, perbicaraan kes terbabit dijadual semula pada Jun dan Julai.
“Mahkamah telah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE), Datuk Seri Alias Ahmad apabila perbicaraan disambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Rosmah, 68, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.
Rosmah juga berhadapan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada Mei.
Sementara itu, perbicaraan ke atas Najib yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan kepada 13 Mei.
Ahmad Akram berkata, perbicaraan itu sepatutnya berlangsung, semalam (29 April) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes 1MDB pada 2 hingga 13, 19 hingga 20, 23 hingga 27 dan 30 hingga 31 Mac,1 hingga 30 April dan Mei iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 22 termasuk hari Jumaat.
Tarikh lain perbicaraan yang ditetapkan adalah pada sepanjang bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober, termasuk Jumaat.
Apabila perbicaraan itu bersambung semula, pasukan pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang telah memberi keterangan sejak 23 September tahun lepas.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. #sumber
Share:

Covid-19: Dua Kematian Di Rekodkan, 57 Kes Baharu Hari Ini


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat 84 pesakit Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ia menjadikan hari ini hari ke-16 berturut-turut bilangan kes baru kurang daripada 100.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.
Daripada jumlah itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,729 kes, katanya lagi.
"Daripada 57 kes baru, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham memaklumkan dua lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.
Sebanyak 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 14 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, juga kurang empat berbanding semalam.
Berikut adalah dua pesakit yang meninggal dunia:
Pesakit 4,657 (kematian ke-101)
Lelaki warga Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.
Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Bali (iaitu kes ke-4,476).
Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.14 petang, 29 April.
Pesakit 5,282 (kematian ke-102)
Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.
Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari, hari ini.
Berhubung kes di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Noor Hisham memaklumkan ada 10 kes baru dilaporkan di Selayang Baru, empat di sekitar pasar borong Selayang dan satu di Kampung Sungai Lui. #sumber
Share:

Fitnah Pegawai Polis, Long Tiger Di Tahan Reman Lima Hari !


JOHOR BAHRU - Seorang individu dikenali sebagai Long Tiger direman lima hari bagi membantu siasatan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, reman dikenakan ke atas suspek berusia 31 tahun itu selepas dia ditahan di rumahnya di Muar, Selasa lalu.
"Long Tiger kini sedang direman lima hari kerana kesalahan memfitnah pegawai polis berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan polis sedang membuat siasatan lanjut.
"Suspek juga bukan warga Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
Semalam, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahannya tular di media sosial.
Long Tiger menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook sebelum ini.
Malah dia juga sentiasa mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan pendapatnya serta mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.
Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang.
"Tiada siapa pun kebal. Sesiapa yang membuat kesalahan tidak kira siapa pun termasuk pemegang kad UNHCR akan berdepan tindakan undang-undang negara," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, seorang anggota polis IPD Muar berpangkat koperal turut ditahan atas kesalahan merakam gambar dan video penahanan Long Tiger.
"Merakam gambar serta video suspek di dalam tahanan adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan kita akan buka kertas siasatan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.
"Tiada pilih kasih walaupun kesalahan dilakukan anggota kami, " katanya. #sumber
Share:

eZakat MUIP Catatkan Kutipan Bayaran Zakat Fitrah Tertinggi


KUANTAN - Kemudahan pembayaran zakat fitrah dalam talian melalui ezakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) lebih mendapat perhatian umat Islam di negeri ini apabila merekodkan kutipan tertinggi ketika ini berbanding pembayaran dalam talian lain.
Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kutipan zakat fitrah melalui laman sesawang ezakat.muip.gov.my mencatatkan RM408,870 membabitkan 13,796 pembayar daripada jumlah keseluruhan kutipan lebih RM473,018 setakat ini dengan 15,983 pembayar.
Menurutnya, kutipan zakat melalui dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu dijangka bertambah dari masa ke masa sepanjang Ramadan ini.
"Selain itu, bayaran melalui aplikasi PahangGo pula RM52,486 membabitkan 1,787 pembayar, diikuti SnapNPay sebanyak RM7,609 (278 pembayar) dan SMS (Fitrah15888 MUIP) melibatkan kutipan sebanyak RM4,053 dengan 122 pembayar.
"Kadar zakat fitrah ditetapkan di Pahang pada tahun ini ialah RM7, jadi pembayar boleh membuat pembayaran menerusi talian ataupun perkhidmatan SMS," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu jelasnya, tiada khidmat amil disediakan bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada Ramadan kali ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlangsung dan menyifatkan kemudahan pembayaran secara dalam talian serta SMS sebagai inisiatif membantu kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan koronavirus (Covid-19).
"Jadi, semua umat Islam di negeri ini hendaklah menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan hingga selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya. #sumber
Share:

Lelaki Mati Tergantung Selepas Tikam Isteri, Mertua Di Kajang


KAJANG – Seorang lelaki ditemui mati tergantung di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Bangi, di sini, semalam, dipercayai selepas menikam isteri dan bapa mertuanya.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima laporan berkaitan kes perselisihan faham pasangan suami isteri berusia lingkungan awal 40-an, pada jam 12.03 tengah malam.
“Mangsa (isteri) mendakwa telah dipukul dengan kayu oleh suspek (suaminya) di bahagian belakang badan serta ditumbuk di kepala dan perut. Punca kejadian dipercayai isu kewangan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas laporan dibuat, mangsa bersama bapanya dan suspek menaiki kereta pulang ke rumah bagi mengambil dokumen untuk mendapatkan rawatan di hospital.
"Kedua-duanya cuba menyelesaikan masalah secara damai. Mangsa dan suspek dalam keadaan tenang dan tiada apa-apa pergaduhan selepas keluar dari balai. Suspek juga tidak menunjukkan apa-apa tindakan agresif," katanya.
Beliau berkata, selepas tiba di rumah, suspek tiba-tiba terus berlari masuk ke dalam rumah dan mengambil pisau lalu bertindak menikam mangsa dan bapa mertuanya.
“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Kita mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.
“Kita terpaksa memecah masuk ke dalam rumah itu, mayat suspek didapati dalam keadaan tergantung menggunakan kain cadar yang diikat pada kipas siling di bilik tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya.
Mohd Zaid memaklumkan pihaknya telah menghubungi ambulan untuk menghantar mangsa bersama bapanya berusia 64 tahun ke Hospital Serdang bagi menjalani rawatan. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata manakala kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut. #sumber
Share:

Inspektor Mengaku Tak Salah Rogol, Cabul Wanita Mongolia !


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 1 terhadap sembilan pertuduhan merogol dan mencabul dua wanita Mongolia.
Tertuduh,Hazrul Hizham Ghazali, 30, yang berpakaian baju lengan pendek berkolar warna biru gelap dan berseluar jeans biru memohon kes dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya telah dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Dia yang kini digantung tugas sejak Rabu lalu hadir ke mahkamah bersama kedua-dua peguambelanya Shah Rizal Abdul Manan dan Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri dari Tetuan Shah & Harrie sekitar 8.50 pagi tadi di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Untuk lapan pertuduhan rogol melibatkan dua wanita berkenaan termasuk iaitu enam pertuduhan merogol mangsa pertama yang berusia 20 tahun dan dua pertuduhan merogol mangsa kedua, 36 tahun.
Tertuduh didakwa merogol seorang perempuan (mangsa pertama berusia 20 tahun) dengan kedudukan kuasanya sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya.
Oleh itu, dia telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dpenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 April antara jam 1.30 pagi hingga 4 pagi bertempat di bilik hotel bernombor 203 dan 302 di Luxe Boutique Hotel, di Petaling Jaya.
Manakala dalam satu pertuduhan kesembilan secara berasingan, tertuduh juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa pertama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.
Untuk kesemua sembilan kes tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cubaan mencabul).
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana khuatir tertuduh ada kemungkinan menyalahgunakan kuasa mengganggu mangsa.
Bagaimanapun peguambelanya, Shah Rizal ketika berhujah berkata, kedua-dua mangsa telah ditempatkan di rumah perlindungan dan tidak wujud sebab atau situasi untuk tertuduh  cuba mengganggu mereka.
“Maka kami merayu mahkamah supaya mempertimbangkan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai serendah-rendahnya dengan mengambil kira situasi semasa.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak,  Norshila memerintahkan tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM24,000 untuk kesemua lapan pertuduhan rogol dan RM3,000 untuk pertuduhan percubaan cabul dengan seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes tersebut.
Semalam, tertuduh didakwa menghadapi dua pertuduhan memperdagangkan kedua-dua wanita itu yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 10 April 2020 jam 10.30 malam hingga 1 April jam lebih kurang 8.30 malam di bilik nombor 203 dan 302 di Hotel PJ Luxe Boutique, Petaling Jaya.
Bagaimanapun pegawai berkenaan yang diwakili peguambela Shah Rizal Abdul Manan mengaku tidak bersalah ke atas kedua dua pertuduhan tersebut sebelum serahan dokumen kes ditetapkan 17 Jun ini dan diikat jamin dengan RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal melaporkan pada malam Sabtu 11 April lalu, pasukan polis menerusi hasil maklumat risikan dan pemantauan berjaya menyerbu sebuah hotel dan menyelamatkan kedua-dua wanita itu.
Kedua-dua mangsa didakwa ditahan oleh suspek dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum mendakwa dirogol secara paksaan.
Suspek juga ditahan sekitar 9.30 malam pada hari yang sama ketika serbuan sebelum direman lima hari untuk melengkapkan kertas siasatan.
Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. #sumber
Share:

Kes Rogol: Jangan Pandang Rendah Profesionalisme Polis !


KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pertuduhan merogol di sebuah hotel di Petaling Jaya membuktikan ia tidak pernah berkompromi dan sama sekali tidak akan melindungi sebarang perlakuan jenayah oleh mana-mana pegawai dan anggotanya.
Malah, tindakan yang dikenakan ke atas pegawai polis itu menunjukkan PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang, tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.
Malangnya terdapat segelintir masyarakat atau kumpulan seolah-olah cuba mempertikaikan kewibawaan PDRM dalam mengendalikan kes yang melibatkan pegawai sendiri.
Justeru, PDRM mengingatkan sekali lagi mereka yang bersikap skeptikal, prejudis dan memandang rendah akan profesionalisme polis supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya membabitkan siasatan kes ini.
PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani sebarang kes yang disiasat.
“Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” tegas Huzir.
Menurut beliau, dalam kes tersebut, terdapat dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Kanun Keseksaan.
Kertas siasatan pertama telah dituduh semalam di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 13(f) ATIPSOM 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks.
Manakala siasatan kedua akan dituduh pada hari ini di Mahkamah Petaling Jaya, di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul. #sumber
Share:

Covid-19: Tiada Kematian Di Rekodkan, 94 Kes Baru Hari Ini !


PUTRAJAYA: Jumlah pesakit baharu COVID-19 yang dicatatkan hari ini ialah 94, menjadikan jumlah kumulatif kes individu yang dijangkiti wabak berkenaan kepada 5,945 kes.
Tiada kes kematian dicatatkan hari ini tetapi jumlah pesakit pulih dan dibenarkan pulang adalah 55, lebih rendah daripada kes baharu, 94.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada keseluruhan kes baharu berkenaan, 72 adalah kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang baru pulang dari Indonesia dan 21 kes lagi dari penularan tempatan.
Hingga kini seramai 40 individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"KKM ingin memaklumkan sebanyak 55 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,087 kes.
"Daripada maklumat yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM, dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian dan jumlah kumulatif kes kekal sebanyak 100," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini. #sumber
Share:

Bantuan Rohingya, Wan Azizah Jawab Mana Pergi AS$50 Juta


KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan wang sumbangan AS$50 juta oleh Qatar bagi bantuan kepada pelarian Rohingya di Malaysia disalurkan terus kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) terlibat.
Menurutnya, wang ini diserahkan kepada Qatar Charity (QC) manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ialah badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan satu keputusan Kabinet pada 5 April 2019.
Katanya, Kabinet pada ketika itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang Dr Wan Azizah pengerusikan sehingga 23 Februari 2020.
"Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambilalih Putrajaya pada Mei 2018, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan ini sejak 2016 lagi, dan kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan selepas kami ke Putrajaya.
"Bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia ini menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Wan Azizah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.
Selain itu, Dr Wan Azizah berkata, bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan tiga buah NGO yang terlibat dalam sektor ini, iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA), dengan agensi penyelaras (iaitu YKN) telah melalui proses ketekunan yang sewajarnya.
"Perjanjian ini adalah untuk tempoh setahun sehingga 12 September 2020 dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak AS$5 juta atau AS$15 juta untuk tiga tahun.
"Bantuan dari Qatar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sebahagian daripada beban yang selama ini dipikul pihak kerajaan berkenaan pelarian Rohingya dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia.
"Saya juga menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tanggungjawab ke atas eksodus besar-besaran kaum Rohingya. Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diserahkan kepada negara-negara lain terutama negara jiran," katanya. #sumber

Share:

PKP: Kenapa Wakil Rakyat Hanya Di Denda, Bukan Penjara ?


PUTRAJAYA: Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan mengapa timbalan menteri dan exco kerajaan negeri Perak hanya dikenakan denda RM1,000, mengatakan kedua-duanya didapati hanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau menegaskan tiada unsur darjat dan tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-udang apabila melibatkan kes ingkar PKP.
Katanya, wakil rakyat dibenarkan meneruskan khidmat kebajikan kepada rakyat di bawah jagaan masing-masing sepanjang PKP berkuat kuasa.
“Tapi mungkin kesalahan mereka tak jaga jarak sosial, SOP dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Ismail berkata demikian sebagai reaksi kepada segelintir pihak yang mempersoal mengapa pengingkar PKP seperti wakil rakyat hanya dikenakan denda maksimum RM1,000, manakala sebahagian pesalah yang lain dikenakan hukuman penjara.
Katanya, terdapat juga pesalah kes lain melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti mengganggu tugas pihak berkuasa dan melanggar sekatan jalan raya.
“Ada yang langgar sekatan jalan raya hingga cederakan polis,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta orang ramai menghentikan spekulasi seolah-olah terdapat perbezaan darjat ketika menjalankan hukuman terhadap kes tersebut sepanjang PKP.
“Bukan libatkan dua darjat, kedudukan dan sebagainya,” tegasnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar SOP PKP pada 2 minggu lalu.
Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. #sumber
Share:

Lelaki Ziarah Nenek Waktu Malam Di Penjara, Denda RM1,000


KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang lelaki menziarahi neneknya pada waktu malam mengundang padah apabila dijatuhi hukuman empat hari penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Azim Mustaqim Mustafa, 25, dari Kampung Tok Jiring, di sini turut berdepan hukuman penjara tambahan sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas dia yang tidak bekerja mengaku salah bergerak dengan menunggang motosikal di tepi jalan Losong Haji Mat Shafie hadapan Sekolah Menengah Sultan Ahmad di sini.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu untuk menziarahi neneknya di rumah di lokasi berkenaan, jam 11.30 malam, semalam.
Selain itu, dua lagi individu, Muhammad Firdaus Fikri Madzlan, 20, dan Muhamad Aidil Mahari, 23, juga berdepan nasib sama selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama dengan bergerak dari rumah masing-masing malam semalam.
Muhammad Firdaus Fikri mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak dari rumahnya di Kampung Losong Ferry, di sini ke sekitar kawasan Jalan Tangki Air, Kampung Losong Mat Shafie di sini.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.10 malam, pada 28 April lalu dengan memberi alasan dalam perjalanan balik ke rumah selepas menghantar beras ke rumah kawannya.
Manakala bagi Muhamad Aidil dari Bukit Payong, Marang mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak dari rumahnya ke tepi jalan Gelugor Kampung Sungai Pinang, di sini, jam 11.30 malam, semalam.
Dia mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan memberi alasan hanya untuk pergi bermain daun terup di lokasi berhampiran.
Dua lagi individu, Muhammad Yazid Mohd Rosli, 23, dan Mohamad Syazwan Aminuddin, 29, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua dan lima hari dan denda RM1,000 atau sebulan lagi penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas kelima-lima individu ini mengaku salah atas pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan secara berasingan.
Jika disabitkan kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala kesemua mereka diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.
Terdahulu, Ka Full meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana alasan diberikan oleh kesemua individu itu adalah langsung tidak munasabah.
"Tindakan mereka ini bukan hanya memberi risiko kepada diri sendiri, malah turut mengundang risiko kepada orang lain.
"Meskipun kes koronovirus (Covid-19) sejak kebelakangan ini menunjukkan perkembangan semakin positif, tetapi kita tidak boleh mengambil mudah dan pandang ringan berkait permasalahan ini," katanya.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula tarikh masing-masing ditangkap. #sumber
Share:

PKP: Kebenaran Solat Jumaat, Tarawih Di Bincangkan Esok !


PUTRAJAYA - Semua kementerian akan terlibat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok bagi membentangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuklah kebenaran bagi orang Islam menunaikan solat Jumaat atau tarawih di masjid.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dan pengumuman berkaitan SOP tersebut akan diumumkan oleh beliau sendiri esok atau Jumaat ini.

"Kita faham ada ibu bapa bekerja dan tidak ada sesiapa menjaga anak mereka. Perkara ini akan dibincangkan esok oleh semua kementerian bagi mengeluarkan perincian SOP. Semua kementerian akan mencadangkan SOP mereka.

"Ada juga yang bertanya adakah solat tarawih dibenarkan dengan syarat kita mengamalkan jarak satu meter dan begitu juga dengan solat Jumaat," katanya pada Sidang Media (Non- Health) di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau telah menerima surat cadangan dan permohonan menyambung semula kempen Liga Malaysia (Liga-M) daripada Kementerian Belia dan Sukan.

"Perkara ini juga akan kita bincangkan dan jika dibenarkan kita akan sediakan SOP. Namun seperti saya maklumkan sebelum ini buat masa sekarang perlawanan bola sepak Liga-M tidak dibenarkan," katanya. #sumber
Share:

Pasar Awam Semua PBT Boleh Beroperasi Hingga 2 Petang !


KUANTAN - Operasi pasar awam di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang dilanjutkan sehingga jam 2 petang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu mengambil kira tindak balas kerajaan terhadap aduan daripada peniaga dan penjual daging yang berdepan masalah perniagaan bahan basah mereka.
"Mereka (peniaga) meminta tempoh ini dilanjutkan, ada peniaga daging khususnya bimbang apabila daging dilapah sebelah pagi setiap hari, tidak sempat dijual selewat-lewatnya pada 12 tengah hari.
"Jadi, pihak kerajaan ambil faktor itu bersetuju untuk melanjutkan operasi pasar awam daripada 7 pagi hingga 12 tengah hari kepada 7 pagi hingga 2 petang," katanya dalam satu kenyataan  baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan berkenaan menunjukkan responsif kerajaan terhadap aduan dan masalah yang dibangkitkan peniaga.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan operasi pasar awam bermula pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari termasuk Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). #sumber
Share:

MB: Tunaikan Zakat Harta Di Rumah Bagi Warga Emas, Uzur !


KUANTAN - Warga emas dan golongan yang uzur di negeri ini dibolehkan membuat temu janji dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bagi urusan pembayaran zakat harta di kediaman masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan itu diberikan sekiranya mereka tidak berkemampuan untuk melakukan pembayaran zakat harta secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, petugas PKZ perlu mengambil langkah keselamatan yang ditetapkan seperti memakai topeng muka sewaktu pembayaran zakat harta dilakukan di kediaman pembayar.
"Petugas PKZ Pahang diingatkan supaya menjaga jarak dan menggunakan cecair pembasmi kuman bagi membendung penularan Covid-19.
"Selain itu, mereka juga diminta untuk meminimumkan masa urusan bersama pembayar, tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar dan pembayar hanya dibekalkan resit sementara," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, resit rasmi pembayaran akan diposkan kepada pembayar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Wan Rosdy berkata, bagi pembayar zakat yang tidak berdepan masalah pembayaran secara dalam talian, mereka boleh berbuat demikian menerusi portal rasmi PKZ Pahang www.zakatpahang.my.
Jelasnya, segala urusan bayaran zakat harta hendaklah dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi PKZ, pertukaran proses kewangan (FPX) dan perbankan internet melalui 12 bank terpilih.
"Pembayar juga boleh menggunakan aplikasi PahangGo iaitu secara debit, kad kredit atau e-Wallet," katanya. #sumber

Share:

Pahang Tidak Pernah Melantik Individu Urus Agihan Bantuan !


KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah melantik orang perseorangan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat di negeri ini.
Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, hanya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua kampung yang dilantik kerajaan Pahang sahaja layak menguruskan urusan bantuan.
Menurutnya, justeru rakyat diminta jangan terpedaya sekiranya ada individu yang mengaku menjadi wakil kerajaan Pahang.
"Kerajaan tidak pernah melantik mana-mana individu atau perseorangan bagi menguruskan bantuan.
"Jadi segala urusan bantuan, rakyat diminta untuk terus hubungi Pengerusi JKKK, Penghulu atau wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita hari ini.
Sabtu lalu, terdapat seorang pemilik akaun Facebook mendakwa sebagai wakil dari kerajaan Pahang dan meminta orang ramai menghubunginya jika memerlukan bantuan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shahaniza berkata, rakyat diminta tidak memberikan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, nombor pin kad bank dan sebagainya.
Katanya, dapatkan kepastian daripada pihak yang telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan Pahang dalam urusan pengagihan bantuan. #sumber

Share:

Ketua Keluarga Di Benarkan Keluar Berdua Untuk Beli Barang


KUALA LUMPUR – Ketua keluarga yang perlu keluar untuk memberi barangan makanan atau keperluan kini boleh ditemani oleh seorang lagi ahli keluarga yang tinggal dalam rumah yang sama bermula hari ini sehingga 12 Mei depan.
Kelonggaran tersebut dinyatakan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.
Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.
Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu menyebut, individu yang yang keluar untuk membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain boleh disertai oleh seorang lagi anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.
Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.
Warta kerajaan itu bagaimanapun tetap mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.
Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.
Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. #sumber
Share:

Fuziah Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Sebar Berita Palsu !


JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah atas dakwaan menimbulkan kegentaran awam menerusi satu hantaran di Facebook pada 9 April lalu.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret R. Salini di Mahkamah Majistret dekat sini, hari ini.
Fuziah didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Hassan Karim dan John Fernandez.
Majistret kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kedua kes ditetapkan pada 16 Jun depan.
Pada 9 April lalu Fuziah memuat naik satu hantaran yang mendakwa peker-pekerja Malaysia di Singapura membuat percubaan balik beramai-ramai ke negara ini sehingga menyebabkan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru. #sumber
Share:

Siasat Segera Dalang Cetus Kebencian Terhadap Rohingya !


KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menyiasat segera dalang yang cuba mencetuskan ketegangan serta kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya.
Demikian saranan yang dibuat oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurut beliau, adalah disyaki terdapat usaha sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan mencetuskan isu Rohingya seolah-olah Malaysia tidak lagi perlu bersimpati dengan nasib etnik Rohingya yang telah diketahui umum telah ditindas oleh regim Myanmar sejak 1947 di Arakan (Rakhine).
“Regim Myanmar sudah lama menuduh Rohingya bukan berasal dari Burma oleh regim Junta sejak 1962, malah istilah ‘kalar’ diberikan kepada Rohingya sebagai satu penghinaan.
‘Lebih mengecewakan apabila wujudnya sentimen puak nasionalis Buddhist Myanmar melaksanakan kempen membenci Muslim Rohingya atas nama Ma Ba Ta iaitu ideologi bahawa Myanmar hanya untuk Buddhist semata-mata dan usaha memberi imej buruk ke atas etnik Rohingya telahpun dilancarkan secara agresif mulai tahun 2012 lagi.
“Kempen tersebut terlalu rasis sehingga menggunakan kata-kata yang menghina Muslim sebagai ‘tikus yang terlalu tinggi kadar kelahirannya’ serta dasar aparteid mula dikuatkuasakan ke atas Muslim di seluruh Myanmar,” tegasnya.
Tambahnya lagi, Media Reuters pernah mendedahkan pada tahun 2018 terdapat lebih 1000 contoh posting komen dan imej lucah yang disiarkan dengan tujuan untuk menyerang etnik Rohingya dan komuniti Muslim melalui Facebook sehingga syarikat Facebook itu sendiri mengakui gagal membendung kempen kebencian tersebut yang menggunakan platform Facebook.
Beliau juga berkata, pada April 2018 pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menjelaskan kepada ahli Senator Amerika Syarikat bahawa tapak media sosial tersebut cuba memantau ucapan kebencian yang diposkan melalui Facebook di Myanmar dan kempen tersebut didapati semakin meruncing dan merbahaya.
“Pada Mac 2018, penyiasat PBB menyatakan bahawa Facebook telah digunakan untuk menghasut keganasan dan kebencian terhadap etnik minoriti Rohingya sehinggakan kedapatan posting iklan restoran mengenai makanan Rohingya pada 13 Disember 2013 yang berbunyi ‘we must fight them the way Hitler did the Jews, damn kalars!’ yang ditujukan kepada Rohingya.
‘Pos yang lebih dahsyat ialah rencana apabila berlaku serangan keatas balai polis Myanmar,maka dituduh militan Rohingya yang melakukannya dengan dakwaan’ these non-human kalar dogs, the Bengalis are killing and destroying our land, our water and our ethnic group’.
“Trend kecaman melampau ini sedang merebak di Malaysia melalui media sosial sehinggakan sentimen dan agenda tersebut disebarkan untuk menjadikan Rohingya sebagai sasaran penghapusan etnik dan genosid,” ujar beliau.
Kata beliau lagi, adalah dibimbangi sentimen ini cuba disebarluaskan ke negara ini bagi mencetuskan ketegangan antara komuniti pelarian Rohingya dengan rakyat Malaysia, sedangkan pelarian Rohingya telah mulai datang ke Malaysia sejak 1982 apabila kerakyatan mereka dibatalkan oleh regim Junta Burma.
Persoalannya tegas Mohd Azmi, kenapa sejak 1982 sehingga waktu ini, rakyat Malaysia tidak pernah mempersoalkan hak kemanusiaan mereka, malahan rakyat negara ini memperlihatkan simpati yang amat mendalam terhadap komuniti Rohingya yang telahpun dilayan secara brutal sehinggakan ramai terpaksa melarikan diri ke negara lain seperti Malaysia.
Kata Mohd Azmi lagi, dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia sengaja menanggung beban menerima ratusan ribu pelarian Rohingya adalah tidak benar. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.