script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Zahid Umum Tamat Cuti, Kembali Galas Tugas Presiden UMNO


IPOH - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan menyambung semula tugas sebagai presiden UMNO berkuat kuasa hari ini selepas bercuti daripada jawatan tersebut sejak 18 Disember tahun lalu.

"Oleh kerana hari ini genap setahun saya dipilih bukan dilantik oleh perwakilan UMNO, seluruh negara dari 191 bahagian maka genap setahun ini cukup signifikan dan penting bagi saya.

"Oleh yang demikian, hari ini saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO bermula hari ini. Ini bererti bahawa mulai hari ini saya akan terus menyambung tugas sebagai Presiden UMNO Malaysia," katanya.

Beliau membuat pengumuman itu pada majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini.

Pengumum itu disiarkan secara langsung di Facebook Ahmad Zahid.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid bersetuju menyerahkan sementara tugas presiden kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan atas alasan demi kepentingan pimpinan dan parti. #sumber
Share:

Seorang Lelaki Usia Dalam 30-an Maut Kereta Masuk Sungai !


ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui selepas sebuah kereta yang terjunam ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena di sini malam semalam berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta jenis Proton Wira itu pada pukul 2.46 pagi tadi.

"Kereta mangsa yang ditemui dalam keadaan terbalik pada kedalaman sungai kira-kira empat  meter berjaya ditarik keluar menggunakan dua kereta penunda.

"Mayat mangsa ditemui masih berada di tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi ini.

Kata beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat 

Tambahnya, seramai 19 anggota termasuk lima Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Kosmo! Online semalam melaporkan sebuah kereta dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena kira-kira pukul 11 malam semalam. #sumber
Share:

Penyanyi Popular Era 1970-an Halil Chik Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR - Penyanyi era 1970-an Abdul Halil Chik, 70, meninggal dunia pukul 7 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Berita pemergian penyanyi yang popular dengan lagu Lenggang Mak Limah itu disahkan oleh Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa dan dikebumikan selepa solat Zuhur.

Terdahulu pada 19 Jun lalu, Allahyarham yan mempunyai penyakit darah tinggi kronik telah dikejarkan ke Hospital Ampang di sini selepas diserang angin ahmar di kediamannya.

Akibat serangan angin ahmar tersebut Allahyarham telah lumpuh sebelah kanan badan dan mengalami pendarahan otak kiri. #sumber
Share:

Kawasan Perindustrian Gebeng Bebas Dari Kesa Pencemaran !


KUANTAN: Kesan pencemaran alam sekitar, terutamanya sungai berhampiran kawasan perindustrian, berjaya dikurangkan melalui kerjasama semua pemain industri yang melabur di kawasan berkenaan.

Kesedaran dan rasa tanggungjawab pengusaha kilang juga banyak membantu kerajaan negeri dalam memastikan kesan terhadap alam sekitar dapat diminimumkan melalui kegiatan dan program kesedaran secara berterusan.

Keadaan ini dapat dilihat hasil tinjauan di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini, dengan setiap pelepasan efluen dari kilang beroperasi di situ diuruskan secara lestari.

Untuk rekod, kawasan perindustrian Gebeng yang mula dibuka pada 1997 dan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dalam kawasan seluas 4,449 hektar adalah kluster bagi industri berasaskan kimia dan petrokimia.

Lokasinya yang strategik dengan jarak hanya tujuh kilometer (km) dari Pelabuhan Kuantan serta kira-kira 10 km dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 menghubungkan Kuantan-Terengganu dan Kuantan-Kuala Lumpur, sudah pasti kawasan perindustrian ini menjadi pilihan utama pelabur.

Walaupun kebanyakan kilang beroperasi di sini membabitkan industri petrokimia, mereka sudah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan Program Sungai Angkat Balok (BRAP) sejak 2007.

Program ini bukan saja memberi tumpuan kepada usaha melestarikan alam sekitar dengan menanam pokok bakau di sepanjang sungai Balok, tetapi turut mengadakan pelbagai kempen kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan penduduk di kawasan sekitar Gebeng.

Melalui BRAP juga, pelabur dan pengusaha kilang menjalinkan kerjasama baik dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun.

Sejak beroperasi, kawasan perindustrian Gebeng tidak pernah mencetuskan masalah, sama ada pencemaran alam sekitar atau pencemaran bahan kimia hingga menjejaskan penduduk di kawasan sekitar.

Sungai Balok dan komponen anak sungai di sepanjang kawasan berkenaan hanya mengalami masalah pencemaran serius sekitar 2013 dan ia bukanlah berpunca daripada operasi kilang di kawasan perindustrian itu.

Sebaliknya, ia berpunca daripada kelemahan pengurusan kegiatan perlombongan dan penyimpanan stok bahan mineral bauksit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan sudah mengorak langkah pencegahan dan kesediaan untuk menangani krisis pencemaran membabitkan bahan kimia.

“Kita akan cuba pastikan apa yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor baru-baru ini, tidak berlaku di Pahang dan langkah ke arah itu (pencegahan) sudah diambil kerajaan negeri dan JAS Pahang serta agensi berkaitan.

“Satu jawatankuasa penyelarasan juga sudah ditubuhkan bagi meneliti risiko dan perkara berkaitan dan kita akan mula mengadakan mesyuarat pertama Khamis ini yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu dijangka membincangkan lebih lanjut mengenai kaedah pengurusan sisa buangan toksik di Pahang dan JAS diberi tanggungjawab membentangkan maklumat lengkap berkaitan pengurusan sisa buangan berjadual dihasilkan industri yang beroperasi di negeri ini. #sumber
Share:

Polis Tahan Suspek Terlibat 11 Kes Samun Di Daerah Kuantan


KUANTAN - Polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun di daerah ini yang menyasarkan rumah atau premis perniagaan dijaga wanita sekitar bulan lepas melibatkan kerugian kira-kira RM10,000, susulan penahanan dua suspek.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek pertama yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu ‘e-hailing’, ditahan pada 4.30 petang Isnin lepas di rumahnya di Felda Neram, Kemaman Terengganu.

"Suspek dipercayai terlibat dengan sembilan kes samun bersenjata di kedai pakaian, klinik, kedai runcit, kedai kasut, farmasi dan klinik sekitar daerah ini. Polis juga menemui beberapa barang dipercayai hasil samun di rumah tersebut.

"Suspek cuba melarikan diri menerusi bahagian belakang rumah semasa menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata suspek kedua yang berusia 20 tahun pula bekerja sebagai pembantu kedai ditahan pada 4.30 petang Isnin, di sebuah rumah di Tanah Putih di sini, dipercayai terlibat dalam dua kes samun di pangsapuri.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah dan dadah serta pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan samun.

Mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor mengesahkan guru berusia 51 tahun yang didakwa memukul anak muridnya di sebuah sekolah menengah di sini, sudah dipanggil untuk memberi kenyataan selepas mangsa membuat laporan polis pada Rabu.

Katanya, polis juga telah merakam percakapan pelajar lelaki tingkatan empat itu selain telah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan perubatan dan mereka kini sedang menunggu laporan itu bagi melengkapkan siasatan.

Mohamad Noor berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan guru berkenaan bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran yang dikatakan berpunca daripada kerja rumah, selain berlaku pertukaran perkataan tidak sewajarnya antara kedua-dua pihak. #sumber
Share:

Kes Melibatkan Guru Lelaki Tampar Pelajar Di Kuantan Selesai !


KUANTAN - Kes yang melibatkan seorang guru lelaki menampar pelajar tingkatan empat kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan yang tular sejak Rabu lalu diselesaikan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, hari ini.

Dalam insiden berkenaan, pelajar dari SMK Chenderawasih, N Thinalan, 16, membuat laporan polis kerana mendakwa dikasari oleh seorang guru, Sobri Ismail, 35.

Kes berkenaan membabitkan salah faham pelajar berkenaan dengan seorang lagi guru, Che Zaini Awang, 55, ketika di dalam kelas.


Ketua Pegawai PPD Kuantan, Mohd Razali Mustafa melahirkan kekesalan kerana insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, menurutnya, kes berkenaan sudah selesai apabila guru dan pelajar terlibat sudah mengakui kesilapan serta saling bermaafan.

Mohd Razali (kanan) berpuas hati dengan tindakan kedua-dua pihak untuk berdamai.
"Kes ini berlaku pada 25 Jun dan mula tular apabila sebuah portal berita menyiarkannya pada 27 Jun 2019.

"Ketika berita itu tular, PPD dalam proses menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

"Kita mengambil pendekatan positif untuk melakukan pemuafakatan dan saling berdamai," katanya ketika sidang media pada majlis pemuafakatan itu.


Beliau berkata, perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan demi kepentingan semua pihak.

Isu salah faham yang berlaku di antara Che Zaini (kiri), Sobri (dua dari kiri), Thinalan (kanan) dan Nagendran (dua dari kanan) selesai.
"Paling kita bimbang masa depan Thinalan jika perkara ini berpanjangan.

"Kita tidak mahu dia belajar dalam keadaan tertekan dan semua pihak termasuk guru harus ambil iktibar daripada apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, bapa pelajar berkenaan, R. Nagendran, 43 berkata akan menarik balik laporan polis yang dibuat demi kebaikan bersama.

"Saya harap hubungan anak saya dengan guru akan pulih dan dia dapat belajar dengan baik.

"Kita anggap tiada apa-apa berlaku," katanya. #sumber

Share:

Saifuddin: Malaysia Terima Permohonan Ekstradisi Zakir Naik !


KUALA LUMPUR - Malaysia telah menerima permohonan daripada kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan masih berpegang kepada pendirian asal iaitu tidak akan menghantar Zakir pulang ke negara asalnya.

"Nota (permohonan mengekstradisi) daripada kerajaan India sudah diterima, saya tidak ingat bila, tetapi kita sudah terima. Buat masa ini, kita tidak ada keputusan baharu, masih dengan keputusan asal," katanya semasa ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa Malaysia bertegas tidak akan membenarkan ekstradisi Zakir.

Saifuddin berkata demikian selepas melancarkan buku berjudul Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing: Melewati Pertukaran Rejim tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail terbitan Universiti Malaya (UM) Press di sini, hari ini.

Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian bahawa negara mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India. #sumber
Share:

Latheefa Tegaskan Pemakaian Bar Ribbon Ikut peraturan SPRM


PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menegaskan pemakaian bar ribbon yang dikepilkan di seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012.

Beliau berkata di bawah peraturan itu seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan. 

“Walaupun pada asasnya ia adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini telah pun diperbetulkan.

“Keduanya, saya tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak. Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Latheefa berkata penjelasan ini dibuat berikutan sebuah parti politik telah menimbulkan beberapa persoalan berkenaan butiran pada pakaian seragamnya selaku Ketua Pesuruhjaya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata butiran lain di atas baju seragamnya adalah lencana-lencana pangkat yang beliau dikehendaki memakainya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan adalah berdasarkan perintah tetap.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragam saya.

“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam,” katanya sambil menambah buat masa ini prioriti segeranya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam. #sumber
Share:

Kes Rasuah Projek Solar Rosmah Pindah Ke Mahkamah Tinggi


KUALA LUMPUR - Kes isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd berhubung projek sistem solar sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan permohonan memindahkan kes Rosmah adalah mengikut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah dan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah tidak membantah permohonan itu.

Pada 10 April lepas, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Wang itu adalah sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, kika sabit kesalahan. #sumber
Share:

SPRM: Dakwaan Lokman Adam Terhadap Azmin Ali Tidak Benar


PUTRAJAYA - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak berlaku transaksi meragukan serta kewujudan akaun luar negara yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM telah menjalankan siasatan susulan laporan yang dibuat Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kepada SPRM, baru-baru ini.

Lokman membuat laporan SPRM berhubung transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik menteri itu selain mendakwa terdapat kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

"SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun yang berkaitan,” kata Azam dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata SPRM turut menyiasat berhubung dakwaan terhadap Mohamed Azmin bertajuk "Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor" yang mana satu laporan mengenainya dibuat pada Ogos tahun lalu.

Menurutnya, siasatan telah dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan lain dan mendapati dakwaan yang dibangkitkan itu adalah tidak benar. #sumber
Share:

Kerajaan Umum Cuti Am 30 Julai Sempena Pertabalan Agong


PUTRAJAYA - Kerajaan mengumumkan 30 Julai sebagai cuti am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengisytiharan hari kelepasan am tambahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan akan diambil oleh kerajaan negeri masing-masing mengikut undang-undang negeri," katanya. #sumber
Share:

Amanada Lacaze Dakwa Sisa WLP Lynas Akan Di Kitar Semula


KUANTAN - Syarikat Lynas Corp. Ltd. (Lynas) akan mengitar semula residu sisa penulenan air larut lesap (WLP) dalam tempoh lima tahun sebelum kilang bagi melupuskan sisa yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (Norm) siap dibina di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, langkah itu dilakukan oleh syarikat memproses nadir bumi tersebut bagi memastikan tidak berlaku timbunan WLP di kilang miliknya di Gebeng.

Menurutnya, pihaknya juga memberi jaminan sebarang proses pemindahan operasi syarikat itu tidak akan menjejaskan komitmen dan pelaburan mereka di Malaysia.

“Kita sudah melakukan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan WLP dan Lynas berjaya menghasilkan bahan asas jalan dan produk perapi tanah dikenali sebagai condisoil daripada sisa atau bahan buangan selepas nadir bumi diproses.

“Semua ini (R&D) dilakukan melalui pengawasan daripada pelbagai pihak berkuasa yang berkaitan dan kita sudah beberapa kali disahkan selamat (untuk beroperasi) di Gebeng. Saya pun tidak faham kenapa masih ada pihak tertentu terus mempersoalkan status (keselamatan) operasi kilang kami.

“Kitar semula merupakan langkah pertama yang kita akan lakukan di mana bahan radioaktif akan dibuang dulu di Australia sebelum di bawa ke Malaysia dan langkah kedua menyediakan Pelupusan Tetap (PDF) di mana Kerajaan negeri telah pun meluluskan tapak untuk PDF namun kita belum tahu lokasinya di mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui majlis sambutan Hari Raya Lynas di Gebeng kelmarin.



Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Amanda berkata, Lynas tetap meneruskan operasi kilang memproses nadir bumi walau pun mendapat tentangan. #sumber
Share:

Anuar: Jambatan Kedua Tanjung Lumpur Dijangka Siap Ogos Ini


KUANTAN - Projek jambatan kedua yang menghubungkan bandar Kuantan dengan bandar Putra Tanjung Lumpur dijangka siap pertengahan Ogos ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir berkata, pembinaan jambatan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM161 juta.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan semasa projek yang sudah 84.2 peratus siap dan hanya menambah baik beberapa kemudahan di jambatan terbabit.

“Kalau ikutkan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, struktur jambatan itu sudah hampir siap dan kerja dilakukan ketika ini adalah membabitkan aspek kekemasan projek berkenaan seperti pemasangan lampu jalan dan kerja menurap laluan pada jambatan itu.

“Jadi melihat perkembangan ini, kita yakin ia boleh disiapkan menjelang 14 Ogos ini sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya sesi lawatan di tapak pembinaan jambatan kedua menghubungkan bandar Kuantan dan bandar Putra Tanjung Lumpur hari ini.



Turut hadir, Pengarah JKR negeri, Datuk Othman Nordin.

Mohd Anuar berkata, pembinaan jambatan ini tidak akan menjejaskan ekosistem di kawasan terbabit dan kementerian dan JKR akan memastikan alam sekitar dapat dijaga sebaiknya.

“Kita amat pentingkan penjagaan alam sekitar dan akan memastikan kelestariannya. Jadi kita akan memasang lampu jalan solar LED supaya ia jimat dan mesra alam sekitar.

“Malah, kita juga akan menanam semula pokok bakau yang terdapat di sini selepas projek ini siap sepenuhnya dan saya sendiri akan terlibat dalam program penanaman itu,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, apabila siap dan boleh digunakan kelak, jambatan kedua itu dapat menjimatkan masa sehingga 20 minit bagi pengguna jalan raya dari bandar Kuantan yang ingin ke bandar Putra, di Tanjung Lumpur.

Katanya, sebelum ini, kebiasaannya pengguna jalan raya mengambil masa sehingga 35 minit untuk ke Tanjung Lumpur, namun apabila jambatan kedua ini siap ia akan menjimatkan masa.

“Kita jangkakan mereka (pengguna jalan raya) boleh sampai ke sana (bandar Putra) dalam masa 10 minit sahaja," katanya. #sumber
Share:

MB: Caj 20 Sen Tiada Kesan, Pahang Haram Guna Beg Plastik


KUANTAN - Pahang mengharamkan penggunaan beg plastik, bekas polistirena dan straw minuman di semua premis perniagaan seluruh negeri ini pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 1 Julai ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut sebagai merealisasikan hasrat menjadikan Pahang bebas pencemaran plastik dan ke arah mewujudkan peniaga serta pengguna yang lebih bertanggungjawab.

"Tiada beg plastik dan penyedut minuman akan disediakan peruncit tanpa mengira saiz perniagaan kepada pengguna bagi pembelian Sabtu dan Ahad.

"Pengguna boleh membawa beg dan penyedut minuman sendiri sebaik sahaja keluar rumah.

Wan Rosdy (tengah) menyempurnakan acara perasmian Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di TMG Mall Tanjung Lumpur semalam.

"Caj 20 sen terhadap beg plastik dikenakan kepada pengguna pada hari Sabtu sebelum ini tidak memberi kesan positif," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di TMG Mall Tanjung Lumpur semalam.

Beliau berkata, buat masa sekarang tiada tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peniaga mahupun pengguna sekiranya ingkar terhadap ketetapan tersebut.

"Kita lebih kepada mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Tetapi jika tidak berkesan, tindakan kompaun mungkin akan dikenakan.

"Tempoh kempen ini akan berlangsung berterusan dan diharamkan masyarakat akan memberi kerjasama," katanya. #sumber
Share:

Bekas Pelawak Dari Kumpulan Senario Di Tahan Positif Ganja


KUALA LUMPUR - Bekas pelawak kumpulan Senario ditahan selepas positif ganja di sebuah hotel di Jalan Mahkota, Taman Maluri kelmarin.

Pelawak berusia 41 tahun yang memegang watak utama dalam filem Aku Kaya The Movie itu ditahan bersama dua rakannya termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek diberkas selepas pihak polis menerima aduan berhubung satu pergaduhan di hotel berkenaan pada pukul 5.45 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek wanita berusia 26 tahun itu pihak polis menemui satu paket dadah jenis methamhetamin.

“Hasil ujian air kencing mendapati pelawak itu positif dadah jenis ganja manakala dua lagi suspek positif dadah amphetamine.

“Siasatan lanjut juga mendapati pelawak terbabit mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah selain dikehendaki polis berhubung kes di Hulu Klang, Selangor,” katanya.

Menurutnya lagi, pelawak itu direman selama sehari sebelum dibebaskan semalam.

“Dua suspek lagi direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, pelawak itu pernah ditahan polis atas kesalahan positif dadah di sebuah pusat hiburan di Subang Jaya pada Julai 2015. #sumber
Share:

Zahid Hamidi Tidak Mengaku Bersalah Rasuah RM42.76 Juta !


SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan terbaharu rasuahnya melibatkan transaksi berjumlah RM42.76juta berkaitan Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh dua jurubahasa di hadapannya. 

Dalam prosiding selama 53 minit itu, Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri berdepan 26 pertuduhan secara rasuah menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN dan melanjutkan syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OCS) di China dengan jumlah keseluruhan SGD$9,320,000. 

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama. 

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk turut berdepan tujuh pertuduhan dengan jawatan sama sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapat sesuatu berharga masing-masing RM3,125,000, SGD$1,150,000, €15,000 dan USD 15,000 tanpa balasan daripada Ultra Kirana yang mana diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh. 

Sehubungan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Mukhzany Faris Bin Mohd Mokhtar menawarkan wang ikat jamin sebanyak RM1juta mengambil kira jumlah keseluruhan kes sebanyak RM42. 76juta beserta seorang penjamin dan serahan pasport di kekalkan seperti telah dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta sebelum ini. 

Bagaimanapun, peguam Kitson Foong,  mewakili Ahmad Zahid membantah jumlah jaminan itu dan memohon jaminan RM500, 000 yang dianggap munasabah dalam memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. 

"Semalam anak guam saya sudah membayar jaminan sebanyak RM200, 000 bagi tujuh pertuduhan. 

"Sekiranya dicampurkan dengan RM500, 000 sudah berjumlah RM700, 000 dengan Timbalan Pendakwa Raya dikatakan kesemua pertuduhan dibicarakan bersama. Namun, bagi dua syarat lain iaitu penjamin dan pengenalan pasport  kami tidak membantah," katanya. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan bersama seorang penjamin dan mengekalkan penyerahan pasport itu. 

Tarikh sebutan semula 29 Julai depan. 

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pertuduhan dihadapi Ahmad Zahid kini adalah sebanyak 87. 

Ini melibatkan 27 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah dan 48 pertuduhan rasuah. 

Terdahulu Ahmad Zahid yang memakai baju batik berwarna hitam tiba pukul 8.30 pagi  itu ditemani anaknya, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff. #sumber
Share:

Pahang Peroleh Kelulusan Naik Taraf Kuantan Jadi Bandaraya !


KUANTAN- Kerajaan Negeri memperoleh kelulusan untuk menaik taraf Kuantan sebagai sebuah bandar raya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


Beliau berkata, kelulusan daripada Kabinet itu dimaklumkan menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bagaimanapun tidak mengulas lanjut tarikh surat itu.

Wan Rosdy mengesahkan surat itu juga diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

"Kita sudah membuat tindakan dan persiapan sewajarnya setelah menerima surat kelulusan itu. Bagaimananapun perkara ini akan mengambil sedikit masa dan tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.

"Masih ada syarat yang perlu dipatuhi, persiapan yang perlu dilakukan selain beberapa lagi siri perbincangan melibatkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan negeri serta mungkin melibatkan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Kem Nemo di sini, hari ini.

Beliau juga melihat perubahan status bandar Kuantan akan membawa banyak kesan positif kepada penduduk dalam pelbagai sektor seperti kemudahan infrastruktur kerana perkara itu sebahagian daripada keperluan untuk menjadi bandar raya. #sumber

Share:

Empat Lelaki Di Denda RM1,000 Kerana Bergaduh Di Kuantan !


KUANTAN - Lima lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan melakukan pergaduhan beramai-ramai di hadapan sebuah restoran makanan segera dekat Sungai Isap di sini pada awal pagi 19 Jun lalu.

Empat daripada mereka iaitu Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20, dan Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20, yang kedua-duanya merupakan pekerja am di Pelabuhan Kuantan di sini mengaku salah sejurus pertuduhan kes itu dibacakan.


Selain itu, dua pelajar sebuah kolej di sini iaitu Afif Shuhairi, 20, serta Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19, turut mengaku salah sejurus pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Nor Izzati menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas keempat-empat tertuduh dan mereka juga boleh dipenjara sebulan sekiranya tidak membayar denda tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, mereka dituduh melakukan gaduh gempar dengan bergaduh beramai-ramai di hadapan restoran McDonalds cawangan Sungai Isap di sini pada pukul 1 pagi 19 Jun lalu.


Pertuduhan secara bersama tersebut dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang daripada lima tertuduh berkenaan, Ahmad Tarmizi Othman, 19, pula tidak mengaku salah dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM1,000 serta 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Media pada 20 Jun lalu pernah melaporkan insiden pergaduhan tersebut yang berpunca daripada akibat salah faham membabitkan seorang perempuan. #sumber
Share:

Muktamar Beri Mandat Pemeteraian Ta'awun & Tahaluf Siayasi


KUANTAN - Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) hari ini meluluskan usul agar dimeterai ta'awun dan tahaluf siyasi antara parti itu dengan UMNO.

Usul politik yang diterima untuk dibahas itu dikemukakan oleh Dewan Ulama, Pas Kawasan Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh.

Usul itu meminta kepemimpinan Pas dan Majlis Syura Ulama menjalinkan ta’awun dan tahaluf siyasi dengan UMNO dan parti-parti politik lain serta mewujudkan garis panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti-parti politik tersebut di samping memperkasakan hubungan komponen Gagasan Sejahtera.

Menginsafi, rakyat Malaysia memerlukan satu kuasa politik yang utuh dan bersepadu untuk menyelamatkan negara daripada kecelaruam dan kepincangan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) .

Usul berkenaan dibentangkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama, Mohd. Asri Mat Daud sebagai mewakili Dewan Ulama dan kawasan-kawasan Pas berkenaan sebelum disokong serta dibahaskan perwakilan.

Ia kemudian diterima sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan Pas Ke-65 itu. #sumber
Share:

Penduduk Akan Keluar Pasir Gudang Jika Situasi Makin Teruk !


PASIR GUDANG - Penduduk di sekitar kawasan ini tidak teragak-agak untuk mengambil keputusan keluar dari kawasan terjejas sekiranya situasi pencemaran toksik semakin buruk.

Salah seorang penduduk di Taman Scientex, Md. Hairi Nick Syam, 40, berkata, ini merupakan insiden kedua yang dialami oleh keluarganya selepas kejadian pencemaran Sungai Kim Kim beberapa bulan lalu.

“Saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga berpindah ke rumah saudara yang terletak di Pontian sekiranya situasi di sini makin teruk.

“Saya tidak sangka perkara ini terjadi sekali lagi, saya ingat semua sudah selesai selepas kerajaan mengesahkan tiada lagi pencemaran di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Terdahulu, anak kedua Md. Hairi yang berusia 13 tahun terpaksa dikejarkan oleh ambulans selepas didapati mengalami simptom pencemaran itu ketika sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai di sini pagi tadi.

“Saya mengetahui kejadian ini selepas menerima panggilan daripada isteri kira-kira pukul 10 pagi yang meminta kami untuk mengambil anak kami yang mengalami simptom muntah-muntah dan loya.

“Setibanya tiba di sekolah, salah seorang rakan anak mendakwa anak saya telah dikejarkan ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang akibat daripada terhidu pencemaran toksik

“Sehingga kini, anak saya masih ditahan di pusat gerakan di stadium MPPG dan kini masih belum ada perkembangan,” katanya. #sumber
Share:

Kerajaan Ambil Alih 4 Konsesi Lebuh Raya Mulai 1 Januari Ini !


PUTRAJAYA - Pengambilalihan empat konsesi lebuh raya bertol di negara ini dijangka bermula 1 Januari 2020 dengan harga yang ditawarkan kerajaan sebanyak RM6.2 bilion bagi keempat-empat lebuh raya terbabit.

Lebuh raya itu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dengan harga tawaran RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) (RM1.98 bilion), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) (RM1.37 bilion) dan Terowong SMART (SMART) (RM369 juta).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tawaran rasmi kepada keempat-empat syarikat konsesi tersebut diberikan pada 21 Jun lalu dengan harga nilai perusahaan (enterprise value) hasil daripada usaha rundingan dengan Gamuda Bhd. (Gamuda) yang mempunyai pegangan majoriti.

Menurutnya, jika proses pengambilalihan berjalan lancar, kerajaan akan mengambil alih lebuh raya berkenaan pada 31 Disember depan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Pengambilalihan keempat-empat lebuh raya ini secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi. 

“Pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas lebuh raya ini diambil alih kerana kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. #sumber
Share:

Ally Iskandar Pilih Wanita Temerloh Untuk Perkahwinan Kedua


KUALA LUMPUR - Selepas menduda hampir tiga tahun, personaliti televisyen terkenal, Ally Iskandar dilaporkan sudah bernikah buat kali kedua dengan seorang gadis yang dikatakan berasal dari Temerloh, Pahang.

Walaupun tidak mengumumkan secara terbuka, Ally atau nama sebenarnya Ally Iskandar Mohd. Mardzi, 43, telah memuat naik sekeping gambar di Instagram dengan kapsyen kata-kata pujangga.

Ternyata gambar tersebut telah dihujani dengan ucapan tahniah daripada pengikut-pengikut pengacara Malaysia Hari Ini itu.

Berdasarkan salah satu komen pada gambar berkenaan, Ally dikatakan bernikah dengan seorang gadis bernama Marlina, hari ini.

Sebelum ini, Ally pernah berkahwin dengan Nurfarahin Romli pada 20 Januari 2012, namun pasangan itu akhirnya bercerai pada 17 Ogos 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak perempuan, Maream Esabel. #sumber
Share:

Azam Baki: SPRM Mungkin Akan Panggil Najib, Isu "Land Swap"


PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini, pihaknya mahu mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggilkan bekas Perdana Menteri itu.

"Beliau (Najib) juga akan dipanggil untuk kes berkenaan. Kami tidak nafi beliau juga akan dipanggil.

"Beliau juga mungkin terbabit dalam hal ini. Buat masa ini, beliau belum dipanggil...kami sedang kumpul bukti. Kami perlu ambil keterangan yang lain dahulu dan akan panggil beliau apabila sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Dalam perkembangan kes sama, Azam turut mengesahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan semalam.

Katanya, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan hadir ke SPRM Ahad ini bagi memberi keterangan berhubung kes sama.

SPRM sebelum ini dilaporkan akan memanggil bekas Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin selepas Hari Raya Aidilfitri bagi membantu siasatan berhubung perjanjian pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Pada Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997. #sumber
Share:

Harga Runcit Petrol RON95, Diesel Kekal, RON97 Turun 3 Sen


PUTRAJAYA - Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-­masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini sehingga 28 Jun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97 pula turun sebanyak tiga sen iaitu daripada RM2.41 kepada RM2.38 seliter untuk tempoh sama.

Menurutnya, penurunan itu berikutan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

"Pada masa sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia," katanya di sini hari ini.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 dan RM2.19 seliter masing-masing.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya. #sumber
Share:

Bas Sekolah Masuk Dalam Gaung, 10 Pelajar Orang Asli Cedera


TEMERLOH - Seramai 10 pelajar keturunan orang asli cedera selepas bas sekolah dinaiki terjunam ke gaung di Jalan Utama Kampung Penderas dekat Kuala Krau di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa terdiri pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau dalam perjalanan pulang ke Kampung Pian dekat Kuala Krau.

Seorang mangsa, Elkyka Liew a/p Liew Meng Chong, 14, dari Kampung Pian, Kuala Krau parah dan menerima dirawat di Unit Kritikal Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, siasatan awal mendapati identiti pemandu bas belum dikenalpasti.

Menurutnya, bas berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal.

"Situasi itu menyebabkan bas terbalik dan menggelongsor ke dalam gaung.

"Seorang penumpang cedera parah dan dibawa ke hospital manakala penumpang lain cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Krau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, jumlah penumpang belum dikenalpasti kerana sebahagian mereka pulang ke rumah masing-masing dan tidak menerima rawatan di klinik atau hospital terbabit.

"Usaha mengesan pemandu bas dan saksi kejadian diteruskan bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya. #sumber
Share:

SPRM Berjaya Fail Permohonan AMLA, Dapatkan Wang 1MDB !


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk melucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi responden kepada permohonan tersebut.

"Apa berlaku ialah kita akan mendapatkan semula lebih RM270 juta daripada wang yang diberikan kepada pelbagai individu termasuk pihak UMNO bahagian, yayasan dan syarikat.

"Daripada amaun itu, jumlah terbesar sebanyak RM212 juta daripada UMNO bahagian menerusi beberapa siri transaksi.

"Baki selebihnya daripada yayasan, syarikat termasuklah Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Pekida (Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia)," katanya pada sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Latheefa berkata, setakat ini, SPRM telah berjaya mendapatkan semula kira-kira RM919 juta yang dipulangkan secara sukarela oleh individu yang tidak mahu pendakwaan dilakukan terhadap mereka.

Sementara itu, Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Umar Saifuddin Jaafar berkata, permohonan itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secara berasingan pada empat tarikh berbeza iaitu 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 21 Julai depan. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.