script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Kerajaan Pahang Tidak Pernah Bincang Kenakan Caj Tol Ke Genting Highlands !

 

BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah membincangkan mengenai rancangan memperkenalkan caj tol perjalanan sehala kepada pengunjung ke Genting Highlands.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan semasa mesyuarat Exco negeri.

"Belum ada apa-apa yang rasmi mengenai laporan berita itu. Kami (kerajaan negeri) tidak pernah membincangkan cadangan tol.

"Saya sedang mengumpul butiran lanjut mengenai perkara itu dan biar saya mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dahulu," kata beliau ketika dihubungi pada Jumaat.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan. #sumber

Share:

Lynas Australia Umum 'Tutup' Operasinya Di Malaysia Suku Disember Tahun 2023 !

 

SHAH ALAM: Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) Australia merancang untuk menutup semua operasi di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat campuran nadir bumi pada suku Disember tahun ini susulan kejatuhan saham syarikat tersebut.

Memetik laporan Reuters, saham syarikat itu jatuh sebanyak 2.7 peratus kepada A$6.24 (RM18.80) dan dicatatkan terendah sejak 3 Mei lalu.

Menurut laporan tersebut, penutupan berkenaan juga susulan daripada keprihatinan dan kebimbangan kerajaan Malaysia berkenaan tahap sinaran radiasi sejak beberapa tahun dahulu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran tentang dasar mengharamkan eksport nadir bumi.
"Pelaksanaan operasi hiliran Lynas di Malaysia dapat meningkatkan neodymium-praseodymium (NdPr) kira-kira 10,500 tan setahun.

"Peningkatan ini penting bagi operasi kerana syarat yang menghalang pelombong daripada mengimport dan memproses bahan mentah nadir bumi akan dikemas kini pada Januari 2024.

"Ia bagi membolehkan pengimport dapat memproses secara berterusan," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Lynas, pada pertengahan November tahun ini kerja menaik taraf kakitangan terutama untuk membantu pemprosesan nadir bumi di Kalgoorlie, Australia akan bermula sebelum mereka menutup operasi.

Ujarnya, lesen operasi di Malaysia telah dilanjutkan sehingga Januari 2024 namun, permohonan penangguhan dan rayuan pentadbiran termasuk undang-undang akan didengar serta diputuskan pada November.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan di Marcustoday, Henry Jennings berkata, laporan pengeluaran yang sedikit mengecewakan akan menyebabkan banyak isu penyelenggaraan tidak dapat membantu syarikat tersebut.

"Pengeluar nadir bumi terbesar dunia di luar China juga melaporkan penurunan 21.8 peratus dalam hasil jualan suku pertamanya kepada A$128.1 juta dan terlepas anggaran konsensus A$159 juta.

"Pengeluaran NdPr bagi suku tersebut mencapai 1,526 tan oksida nadir bumi (REOt), berbanding 1,045 REOt setahun sebelumnya," katanya. #sumber

Share:

Pengunjung Ke Pusat Peranginan Genting Highlands Bakal Di Kenakan Kutipan Tol !

 

SHAH ALAM: Kutipan tol bakal dikenakan terhadap pemandu yang berkunjung ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands tidak lama lagi.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd berkata, syarikat itu akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi tersebut.

“Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menyelenggara jalan di tanah tinggi sejak membinanya pada pertengahan 60-an,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.


Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.


Sementara itu, pihaknya turut menepis dakwaan bakal berlakunya kutipan tol pada kadar RM2.50 dan RM3 bermula Jun 2024.

Tambahnya, perkara tersebut memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum membuat pengumuman rasmi.

“Kadar tol akan mengambil kira kos dan kerja penyelenggaraan untuk jalan ini,” ujar jurucakap itu.

“Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan. #sumber

Share:

Pelanggan Dakwa Nak Muntah Gara-Gara Di Hidang Patin Berbau Seperti Bangkai !

TEMERLOH: Keterujaan beberapa pelanggan untuk menikmati ikan patin bertukar menjadi mimpi ngeri apabila hidangan itu didakwa berbau busuk seperti bangkai dalam kejadian di sebuah kedai di sini baru-baru ini.

Lebih mengecewakan apabila aduan yang dibuat kepada peniaga kedai makan terbabit tidak diendahkan, malah ganti rugi juga tidak diberikan.

Pelanggan dikenali sebagai Hisham, 45, berkata, dia yang sering berulang alik ke Temerloh atas urusan kerja telah dua kali termakan masakan ikan patin berbau busuk.

“Ketika singgah di sebuah kedai, saya telah meminta bahagian tengah ikan patin masak tempoyak dan sebaik menjamahnya, saya rasakan bau yang sangat busuk.

“Tauke kedai kemudiannya tanya saya hendak tukar atau tidak, tetapi saya kata sudah tidak berselera kerana bau busuk,” katanya di sini semalam.

Katanya, meskipun ikan ber­kenaan berbau busuk dan tidak habis dimakan, namun dia berasa sedikit kecewa kerana tetap dikenakan bayaran seperti harga biasa iaitu sebanyak RM25.

Sementara itu, seorang pe­langgan daripada Kuantan dikenali Ellies Ezailin berkata, dia yang mengidam makan pais ikan patin di Temerloh juga amat terkilan apabila juadah yang dimakannya berbau busuk.

Katanya, kejadian berlaku pada Ahad lalu dan lebih mengecewakan apabila peniaga berkenaan memberi alasan ikan berkenaan ‘bergas’ menyebabkan ia berbau busuk.

“Saya makan makanan sayur kampung dengan pais patin, suapan pertama (sayur) terus sentap sebab masin sangat dan bila buka pais patin, baunya sa­ngat busuk macam bangkai. Saya berfikir positif kerana mungkin bau kawasan sekeliling.

“Bila cubit isi ikan, isinya lembik, tulang lembik dan berbau.

“Ini antara pengalaman paling pahit dan memang sukar dilupakan,” katanya. #sumber

Share:

Pemandu, Pengusaha Lori Serahkan Tujuh Tuntutan Kepada JPJ Pahang Di Kuantan !

 

KUANTAN: Kira-kira 500 pemandu dan pengusaha lori berhimpun bagi menyuarakan pandangan berhubung operasi penguatkuasaan di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Wakil pemandu dan pengusaha lori Mohd Irwan Shah Brahim, 38, berkata perhimpunan secara aman berkenaan bagi menyuarakan pendapat mereka berkaitan operasi penguatkuasaan yang dilakukan terhadap pemandu lori.

"Harapan kami supaya kerajaan memandang serius dan menyelesaikan masalah ini kerana ia bukan isu tempatan, tetapi menyeluruh di seluruh negara.

"Kehadiran pemandu dan pengusaha di sini bukan dipaksa, tetapi atas kerelaan sendiri kerana rasa tertekan dengan penguatkuasaan yang dijalankan," katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin mengesahkan menerima memorandum daripada wakil pengusaha dan pemandu lori di Pahang.

"Saya dimaklumkan ada tujuh tuntutan dan akan panjangkan perkara ini untuk diteliti," katanya. #sumber

Share:

Polis Akan Ambil Tindakan Jikalau Pamer, Lekat Lambang Darjah Kebesaran Pahang

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran berkenaan, pada kenderaan mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memberi peringatan kepada penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang, untuk tidak berbuat demikian.

Beliau berkata tindakan mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran pada kenderaan penerima darjah itu, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

"Mengikut seksyen ini, tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.

"Jika terdapat mana-mana kenderaan yang masih mempamerkan lambang darjah kebesaran negeri itu, maka tindakan akan diambil selaras dengan enakmen berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dilapor berkata peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Al-Sultan Abdullah, yang kini bersemayam di Istana Negara.

Peringatan itu diberikan mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, melibatkan gelaran atau anugerah dikurniakan Sultan Pahang. #sumber

Share:

Fitnah Jahat Serta Keterlaluan, Shahaniza Buat Laporan Polis Terhadap 'Razak Bidin'


MARAN: Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin terhadap pemilik akaun facebook 'Razak Bidin' di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, malam tadi.

Laporan dibuat, susulan kenyataan melampau, berniat jahat  dan mengandungi unsur fitnah  yang keterlaluan terhadap beliau.

Antara lain, Razak Bidin mendakwa Shahaniza terlibat dengan pelacuran ketika usia mudanya.

Shahaniza yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini diminta menarik balik hantaran difacebooknya terhadap Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkaitan satu kenyataan yang didakwa fitnah.

Shahaniza telah menarik balik kenyataan beliau berhubung isu tersebut, cuma dia mahu pemimpin PAS itu membuktikan kenyataan difacebooknya itu fitnah barulah beliau akan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Susulan itu, 'Razak Bidin: bertindak menyerang beliau. Apa yang lebih mengecewakan foto keluarganya juga turut menjadi sasaran.

"Dua hari sebelum ini, terdapat juga posting dari individu tersebut yang memaparkan saya bersama anak-anak saya dengan kandungan, mak cik jangan wariskan sifat pelacur politik (sondol semua) kepada anak cucu.

"Saya menyifatkan posting tersebut juga sebagai sesuatu yang melampau dan berniat jahat terhadap saya dan keluarga.

"Saya membuat laporan ini dengan tujuan satu siasatan menyeluruh oleh pihak polis terhadap individu tersebut dibawah Seksyen 504, kanun keseksaan, akta hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang yang  berkaitan," merujuk kenyataan dalam laporan polis beliau.

Sementara itu difahamkan, beliau turut tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan sivil terhadap individu terbabit. #pahangdaily

Share:

Shahaniza Minta PAS Buktikan Posting FB Palsu Baharu Beliau Akan Memohon Maaf

KUANTAN: PAS Pahang perlu membuktikan perkongsian hantaran yang dilakukan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin adalah paslu.

Menurut Shahniza perkongsian hantaran dibuat oleh sekadar menimbulkan persoalan, bukan mengutuk Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu menegaskan hantaran itu dibuat ’in a good faith’ dalam istilah undang-undang menbaw maksud dengan niat baik.

”Hantaran itu dengan soalan’apa masalah dia (Rosli Abdul Jabar Jabar) ini? Tiada pun tulisan mengutuk dia.

”Saya baru dimaklumkan ada satu laporan polis telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang terhadap saya kerana hantaran saya di Facebook ini dua hari lepas.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang didbuat oleh ADUN Tanjung Lumpur itu hari ini.

Tambah Shahaniza, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memadam hantaran yang berkaitan, namun permohonan maaf hanya akan dilakukan jika Rosli dapat membuktikan hantaran asal itu palsu.

Bahkan kata Shahaniza, hantaran itu telah dipadamkan pada petang Isnin selepas dimaklumkan tindakan Pas Pahang.

“Saya tiada masalah untuk padam tetapi beliau mesti membuktikan terlebih dahulu ianya adalah fake sebelum saya membuat permohonan maaf seperti dipinta,” katanya.

Terdahulu PAS Pahang  membuat laporan polis serta menggesa dua pengguna Facebook supaya memadam perkongsian hantaran berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. #sumber

Share:

Pahang Merekodkan Sebanyak 5.11 Juta Pelancong, Enam Bulan Pertama 2023 !

ROMPIN: Pahang merekodkan kehadiran 5.11 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM4.59 bilion setakat Jun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man.

Beliau berkata pelancong domestik merupakan penyumbang terbesar iaitu 4.75 juta orang, manakala bakinya adalah pelancong antarabangsa dengan 282,373 orang daripada negara ASEAN.

"Jumlah pelancong paling ramai direkodkan di Genting Highlands, Kuantan, Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Temerloh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2023 di sini semalam.

Leong yakin sasaran 13 juta pelancong ke Pahang bagi tahun ini dapat dicapai susulan musim cuti sekolah hujung tahun ini.

Berhubung RPBIC, beliau berkata pertandingan memancing ikan layaran dengan konsep 'tangkap dan lepas' yang mula diadakan pada 2004 itu berjaya mempromosikan daerah Rompin sebagai destinasi memancing spesies ikan tersebut di peringkat antarabangsa.

Katanya ikan tersebut banyak terdapat di perairan Kuala Rompin pada musim penghijrahan aktif antara Mac hingga Oktober setiap tahun, sehingga daerah itu mendapat julukan 'billfish capital of Asia'.

"Ia menjadikan tempahan bot di Kuala Rompin penuh hampir setiap minggu bagi tempoh tersebut dan setakat Jun lepas, kehadiran pelancong ke daerah Rompin ialah seramai 19,924 orang," katanya.

Pada tahun ini, RPBIC diadakan selama tiga hari bermula 6 Okt lepas disertai 13 pasukan termasuk dari Jepun dan Singapura.

Leong berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 40 pasukan pada pertandingan tahun hadapan yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 September. #sumber

Share:

PRK Pelangai: Polis Pahang Telah Rakam Keterangan MB Kedah, Muhamad Sanusi

KUANTAN: Polis Pahang telah merakamkan percakapan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, difahamkan berhubung kenyataan yang dibuat semasa sesi ceramah pada 22 September lepas, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata keterangan Muhammad Sanusi direkodkan di Balai Polis Manchis, Bentong pada 7 Oktober lepas, susulan terdapat dua laporan dibuat terhadap beliau.

"Keseluruhannya, kita sudah mengambil keterangan lima individu dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. #sumber

Share:

10,882 Di Tangkap Terlibat Pengedaran, Penyalahgunaan Dadah Di Negeri Pahang

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 10,882 orang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sehingga bulan September tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 7,243 merupakan penagih dadah yang ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, 987 suspek yang merupakan pengedar /tokan dadah ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (2) AD 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seramai 2,590 suspek memiliki pelbagai jenis dadah turut ditahan mengikut akta dadah dan racun, mankala sebanyak 62 tangkapan dilakukan JSJN Pahang terhadap individu yang didapati terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Sepanjang Januari hingga September 2023, JSJN Pahang berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM2,216,669.35.

“Pil Yaba antara jenis dadah yang paling banyak dirampas membabitkan 36,517 biji, selain 36,006.40 liter air ketum,” kata Yahaya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, polis Pahang menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) memandang serius kegiatan perjudian seperti Loteri Awam Haram (Empat Nombor Ekor), Judi Pertaruhan, Judi Dalam Bangunan dan Luar Bangunan.

Katanya, tindakan seperti memohon pemotongan bekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan ke atas premis yang dijadikan pusat aktiviti perjudian.

“Daripada 58 permohonan, sebanyak 51 buah premis telah dipotong bekalan elektrik sementara 16 permohonan pembatalan permit perniagaan juga dibuat kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut Yahaya, seramai 861 suspek terbabit aktiviti perjudian telah ditangkap hasil 616 serbuan yang dijalankan di seluruh negara sehingga 5 Oktober lalu.

Turut dirampas, 136 unit tablet pelbagai jenama, 213 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 11 unit laptop, dua unit PC, 38 unit router, 32 unit modem dan wang tunai berjumlah RM226,348.00.

Yahaya berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan serbuan dan tangkapan ke atas semua jenis perjudian yang ada dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. #sumber

Share:

Pesuruhjaya PAS Pahang Beri Tempoh 24 Jam, Atau Dikenakan Tindakan Mahkamah

 

KUANTAN:  Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun Facebook DS Shahaniza Shamsuddin dan Che Ibrahim Mohamed untuk memohon maaf selain memadamkan perkongsian hantaran palsu berbaur 3R (kaum, agama, raja) yang dikaitkan dengan dirinya sejak Sabtu lalu.

Rosli berkata, tangkap layar hantaran yang dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan bukan tulisannya, sebaliknya dipercayai diedit pihak tertentu menggunakan nama akaun Facebooknya.

"Laporan polis telah dibuat terhadap dua akaun Facebook terbabit dan kita minta pemiliknya segera memadamkan hantaran tersebut seberapa segera serta membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, saya minta peguam meneliti untuk tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).

Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, hantaran yang dikongsi melalui Facebook dipercayai milik pemimpin parti lawan itu disedarinya antara jam 6 hingga 8 malam ketika berada di Pelangai, Bentong pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu Sabtu lalu.

"Saya dapati mereka telah membuat paparan umum dengan menulis 'Apa masalah dia ni? dan 'Khawari moden semakin menzohirkan diri' disertakan kenyataan 3R itu pada tangkap layar tertera nama Facebook saya.

"Saya difahamkan laporan polis juga telah dibuat seorang pemimpin UMNO terhadap saya berkaitan tulisan tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, tulisan tersebut dibuat atas dasar tidak boleh menerima kekalahan pada PRK Pelangai sedangkan hantaran palsu itu disebarkan pada hari pengundian.

"Pusat pengundian pun belum tutup jadi tidak tahu lagi siapa menang siapa kalah," katanya. #sumber

Share:

Dato' Amizar Abu Adam Menang PRK Pelangai Dengan Majoriti 2,949 Undi

BENTONG: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru.

BN menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Begitu pun, Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul malam tadi.

Dengan kemenangan itu, BN terus mengekalkan 17 kerusi DUN sama jumlah dengan PH manakala PN kekal dengan lapan kerusi.

SPR merekodkan sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Seri Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

PRK kerusi berkenaan diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu. 

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang, menyaksikan sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka.

Mengikut data SPR memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lalu, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada BN-UMNO, dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022). #sumber

Share:

MB Pahang Turun Padang, Angkut Sendiri Pengundi Berdaftar Ke Pusat Pengundian

BENTONG: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail hari ini turun padang bagi memastikan pengundi berdaftar DUN Pelangai menunaikan tanggungjawab mereka padan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi berkenaan.

Menerusi hantaran Facebook, Menteri Besar Pahang itu dilihat memandu sendiri keretanya dan membawa pengundi ke pusat pengundian.

"Walaupun Tok Wan tak mengundi hari ni, tapi Tok Wan sama semangat dengan pengundi di DUN Pelangai.

"Ini nak gi 'ngantor' pengundi ke pusat pengundian.

"Semoga perjalanan pergi dan balik semua pengundi selamat dan dipermudahkan," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut memuat naik gambar Wan Rosdy menghantar pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber


Share:

PRK Pelangai, Wan Rosdy Nafi Ada ADU Lompat Parti Jika PN Menang Sabtu Ini !

 

BENTONG: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan terdapat segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan lompat parti untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) jika parti itu memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, ia adalah satu fitnah yang direka oleh pihak lawan untuk menggoyahkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

"Saya baru dapat mesej hari ini daripada semua ADUN BN dan PH (Pakatan Harapan) serta barisan exco telah menyatakan sokongan padu terhadap saya... macam mana perkara ini timbul.

Wan Rosdy ditemui ketika sesi jelajah mesra Jualan Makmur Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Chemomoi di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tular sebuah poster memaparkan wajah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang dan jika berjaya di PRK DUN Pelangai, Perikatan Nasional (PN) akan merampas Pahang dengan cara tebuk atap ikut pintu belakang dengan timbul desas-desus terdapat empat ADUN daripada BN akan lompat parti untuk menyertai PN.

Tambah Wan Rosdy, situasi itu menunjukkan mereka (lawan) sanggup berbuat apa sahaja untuk bercakap perkara yang boleh menimbulkan persepsi.

"Alhamdulillah saya berterima kasih kepada semua ADUN yang secara spontan tanpa pengetahuan menyokong penuh saya.

"Ini kerana mereka tahu PN mainkan isu sebegini untuk pengundi di Pelangai goyang dan beralih sokongan," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan momentum dan kehadiran pengundi bertambah baik namun beliau menegaskan terus meningkatkan usaha iaitu selain ceramah turut pergi rumah ke rumah. #sumber

Share:

Pakatan Harapan Pahang Akan Membantu Tarik Para Pengundi Luar 'Balik' Mengundi

 

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Pahang akan berusaha menarik pengundi luar khususnya yang berada di ibu negara, untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti lebih 2,000 pengundi DUN berkenaan, yang berada di ibu kota.

"Kita sedang cuba untuk pujuk dan beritahu keperluan untuk mereka turun mengundi. Ini antara usaha untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di DUN itu.

"Ini bagi memastikan (DUN) Pelangai mempunyai representasi yang baik, terutama untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan pembelaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di sini, semalam.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina di sini pada 17 Ogos lepas.
Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ditanya status terkini petisyen untuk membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos lalu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada peguam.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Sementara itu, mengulas khabar angin beliau ditawarkan menjadi menteri di peringkat Pusat, Amirudin berkata perkara tersebut sudah diperkatakan sejak tahun lepas.

"Khabar angin saya ke Pusat itu ada sejak 2022 dan saya tidak dengar apa-apa (dan terima tawaran ke Pusat). Itu cuma khabar angin. (Beralih ke Pusat) itu bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Biar Perdana Menteri fikir dan buat keputusan," katanya. #sumber

Share:

Mat Sabu: Kalau BN 'Kalah' PRK Pelangai, Pakatan Harapan Kena Bertanggungjawab

 

BENTONG: Pakatan Harapan (PH) perlu bertanggungjawab sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabtu.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab jentera PH memastikan kemenangan calon BN di PRK Pelangai setelah BN membantu dalam kemenangan calon PH di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada PRK Johor.

"Soal perpaduan dan kemenangan ini penting.

Saya sebut dalam kempen di Simpang Jeram dan Pulai kalau PH kalah, BN bertanggungjawab.

Jadi, kalau PRK di sini BN kalah, PH bertanggungjawab.

"Oleh itu ketua pemuda (PH) kena kerja kuat, pastikan yang mengundi PH tu semuanya akan mengundi BN. Ketuk rumah.

"Yang dulu mengundi PH, orang Cina jangan cari roket, jangan cari simbol PH.

"Kali ini dacing. kamu suka tak suka, kena undi dacing," katanya ketika berucap pada Progam 'Sembang Santai Perpaduan' di Bilik Gerakan Simpang Pelangai, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad yakin sokongan orang Melayu kepada PH dan BN telah kembali.

Beliau berkata, orang Melayu sebelum ini meninggalkan UMNO dan PH kerana sentimen yang ditanam bahawa Islam terancam kerana bekerjasama dengan DAP.

"Kalau menang di Pelangai, insya-Allah menang di Kemaman," katanya.

PRK DUN Pelangai N36 perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam manakala PN sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62.

Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding. #sumber

Share:

Takiyuddin Dakwa Tak Wajar Pihak PDRM Kerap Pantau Operasi Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerap hadir memantau markas operasi Perikatan Nasional (PN) di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai dianggap sebagai perkara yang tidak wajar dilakukan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hampir sejam sekali kereta peronda PDRM hadir di markas operasi PN dengan alasan ingin mendapatkan maklumat berkaitan petugas, gerak kerja PN dan seumpamanya.

“Ini merupakan satu perkara yang bagi saya tidak wajar dilakukan kerana perkara ini langsung tiada kaitan dengan pihak PDRM,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau yang juga merupakan Ketua Whip PN menegaskan tidak pernah perkara seperti itu dilakukan ketika PN memegang tampuk pemerintahan kerajaan pusat.

Tambah beliau, PDRM seharusnya hanya bertindak apabila menerima aduan atau maklumat bahawa berlakunya sesuatu perkara yang menjejaskan ketenteraman awam termasuk ketika PRK.

“Kami merupakan parti politik yang berdaftar dan mempunyai pejabat yang berdaftar maka tidak perlu polis nak menimbulkan ketakutan orang ramai,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan PDRM yang kerap membuat sedemikian menimbulkan ketakutan terhadap orang ramai dan menjejaskan sistem demokrasi di negara ini.

“Saya tidak mahu menuduh pihak kerajaan menggunakan agensi kerajaan seperti PDRM tetapi seolah-olahnya perkara sebegitu yang terjadi.

“Jadi saya rasa ini merupakan perkara yang tidak baik kerana PDRM seharusnya bersifat profesional untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Tambah beliau lagi, PN tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan sebarang rusuhan dalam melakukan mana-mana kempen politik di kawasan PRK tersebut. 

“Terlalu ramai anggota polis membuat rakaman, mengambil gambar dan sebagainya ketika kami melakukan sesuatu program,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan isu tersebut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat yang bakal bersidang tidak lama lagi. #sumber 

Share:

Wan Rosdy Tolak Spekulasi Akan Sertai Kabinet, Mahu Fokus PRK DUN Pelangai

 

BENTONG: Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail enggan melayan spekulasi yang mengatakan dia akan dilantik menjadi anggota kabinet Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

Sebaliknya, kata Wan Rosdy tumpuan kini diberikan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

Katanya, sebagai "orang parti" dia sedia patuh atas segala ketetapan yang dibuat namun menganggap spekulasi yang bertiup ketika ini sebagai khabar angin.

"Saya anggap khabar angin dan saya tak fikir sangat serius sebab saya hendak tumpu kepada PRK Pelangai.

“Orang hendak tulis apa tulislah, saya tahulah (wartawan) tulis (artikel) ini untuk ambil perhatian pembaca, tapi saya hendak fokus PRK. Itu hanya khabar angin.

"Saya ini orang parti dipanggil datang dan di suruh pergi, tapi yang keluar khabar angin itu hanya khabar angin, tak sahih, perdana menteri pun dah kata sedang mempertimbangkan," katanya ketika ditemui di SMK Seri Pelangai di sini, semalam.

Terdahulu hari ini media melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang turut memetik nama Wan Rosdy antara tokoh bakal menyertai Kabinet Anwar Ibrahim.

Keputusan mengangkat Wan Rosdy ke Kabinet selepas dia menang sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Selain Wan Rosdy, nama Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut disebut-sebut bakal menganggotai Kabinet.

Terdahulu hari ini perdana menteri tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan Kabinet, namun akan berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu.

“Jadi sekarang fokus kepada PRK Pelangai, saya tidak tahu apa tujuan mereka keluar kenyataan itu sedang kita menghadapi pilihan raya," kata Wan Rosdy.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam bahawa sokongan terhadap calon BN di Pelangai masih belum memuaskan.

"Kepuasan ini sehingga 7 Oktober dan tujuan (kenyataan itu) supaya jentera terus bekerja kuat mencari pengundi dan jangan berada dalam zon yang selesa.

"Jadi, dalam perjuangan ini kita sebelum diisytiharkan menang kita jangan rasa puas hatilah,"katanya lagi. #sumber

Share:

'Menang Emas', Pemangku Raja Pahang Zahir Ucapan Tahniah Buat Nur Shazrin

 

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif yang meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata Tengku Hassanal turut menzahirkan tahniah kerana Nur Shazrin layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.

"Baginda berasa amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai anak Pahang ini (Nur Shazrin) bermula dari mewakili pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang sejak 2012 sehingga diserap ke pasukan kebangsaan sejak 2017.

"Baginda bertitah semoga kemenangan yang dikecapi Nur Shazrin dapat menyuntik semangat kepada atlet negara untuk terus berusaha gigih bagi menambah lagi pungutan pingat kontinjen negara dalam temasya ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Nur Shazrin, 25, dari Kampung Mambang di Pekan, menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Asia 2023, selepas muncul juara acara ILCA 6 wanita, pada Rabu (27 Sept).

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Pahang pada Anugerah Sukan Pahang 2015/2016 selain pernah meraih Anugerah Khas Olimpian pada Anugerah Sukan Pahang 2019/2020.

Antara pencapaian Nur Shazrin ialah emas pada SUKMA 2012 di Pahang dan 2014 di Perlis, emas pada Sukan SEA Singapura 2015 selain turut mewakili negara pada Sukan Olimpik di Rio, Brazil dan Tokyo, Jepun. #sumber

Share:

Berdasarkan Laporan, Sokongan Kepada BN Di PRK Pelangai Belum Memuaskan !

 

BENTONG: Berdasarkan laporan yang diterima sokongan pengundi di Pelangai pada masa ini masih belum memihak kepada BN, kata Pengarah Pilihan Raya, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail.

Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan itu sekadar perang saraf untuk memastikan jentera BN bekerja lebih keras, namun Menteri Besar Pahang itu berkata sokongan kepada BN "belum memuaskan lagi".

"...Selaku pengarah pilihan raya saya mendapat banyak laporan dan laporan yang saya terima hari ini masih tidak memihak kepada kita.

"Setakat hari ini keadaan tidak begitu memuaskan lagi. Atas kertas memang bersama dengan kita. Tetapi politik ini dia sangat anjal.

"Kalau ada kesilapan atau kita kurang bekerja ataupun kita rileks sangat akan beralih sokongan kepada orang lain," katanya kepada jentera BN di Kampung Jawi Jawi dekat sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan calon BN, Dato' Amizar Abu Adam.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan BEBAS.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Yakin pengundi bukan Melayu akan undi BN

Sementara itu Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berharap calon BN dapat memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih tinggi.

Katanya, majoriti yang dicapai sebelum ini ketika BN bergerak sendirian dan kini parti bersama Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya lagi, dia yakin sokongan pengundi bukan Melayu lebih 4,000 di Pelangai akan memihak kepada BN.

"Saya sangat yakin pengundi bukan Melayu, Cina dan India ada lebih 4,000 mereka ini akan mengundi kita.

"Tetapi apa persoalannya... persoalannya kemungkinan mereka tidak keluar dan ada daripada (mereka) di luar Pelangai, itu masalah dia. #sumber

"Apa kita nak buat? Kita kena pergilah, kita kena cari jalan nak keluarkan mereka," katanya.

Wan Rosdy berkata dia sendiri akan bergerak untuk membawa keluar pengundi pada 7 Oktober nanti. #sumber

Share:

Raja Atau Mufti Perlu 'Keluarkan' Fatwa Larang Ahli Politik Petik Ayat Al-Quran !

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP mencadangkan raja atau mufti mengeluarkan fatwa melarang ahli politik memetik ayat al-Quran demi kepentingan politik susulan kontroversi berkait Howard Lee.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata larangan itu perlu bagi menghalang ahli politik menggunakan kitab suci umat Islam menyerang musuh mereka.

Katanya, al-Quran digunakan pelbagai parti sebagai senjata politik demi kepentingan agenda peribadi masing-masing.

“Al-Quran sepatutnya digunakan untuk menyatukan Muslim. Bagaimanapun, ayat sucinya ditafsir mengikut selera ahli politik yang mana memecahkan masyarakat,” katanya.

Beliau bagaimanapun mempertahankan Lee selepas Ahli Parlimen Ipoh Timur daripada tuduhan membuat tafsiran sendiri melibatkan ayat al-Quran dalam video TikTok yang tular, minggu lalu.

Tengku Zulpuri berkata, Lee tidak memberi tafsiran sendiri berhubung petikan ayat selepas beliau menonton video tersebut.

Pada Selasa, Lee yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, memohon maaf secara terbuka kerana menggunakan petikan al-Quran bagi menyeru Muslim menyokong kerajaan hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Lee dipanggil memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat Jalinan Bersatu Sahabat, sebuah pertubuhan Perak.

Presidennya, Amiruddin Daud menuduh Lee menghina Muslim kerana membuat tafsiran sendiri berkait ayat al-Quran.

James Chin dari University of Tasmania, berkata ada ahli politik bukan Muslim memetik ayat al-Quran untuk berhubungan dengan orang Melayu.

Katanya, walaupun mereka bukan Muslim, ahli politik cuba memaparkan mereka juga berminat dengan Islam.

“Saya rasa sebab amalan itu dibuat kerana semua parti utama Melayu terutama PAS menggunakan Islam untuk mewajarkan kedudukan politik mereka.

“Mereka (ahli politik bukan Muslim) mahu menunjukkan mereka cuba ingin belajar tentang Islam. Ini tidak lain untuk cuba berhubungan dengan orang Melayu di bawah,” katanya. #sumber

Share:

Pengundi 'DUN Pelangai' Perlulah Menilai Prestasi Untuk Buat Pilihan 7 Oktober Ini


BENTONG: Pengundi Dewan Undangan Negeri Pelangai mesti menilai prestasi Kerajaan Pahang untuk membuat pilihan tepat dalam pilihan raya kecil 7 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengundi tidak wajar terikut-ikut dengan emosi yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu dengan menimbulkan sentimen tidak baik terhadap kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan Pahang yang kukuh sekarang dapat menarik lebih ramai pelabur dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan hingga menjadikan negeri Pahang lebih makmur.

"Saya kecewa kerana ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, ramai dalam kalangan rakyat di negeri ini lebih mengikut sentimen, berbanding kejayaan atau prestasi terbaik yang dicapai oleh kerajaan negeri selama ini.

"Pengundi yang percaya kepada sentimen ini cukup 'bahaya' kepada kestabilan negeri kerana sektor ekonomi boleh menguncup, pelabur akan lari, pengangguran akan tinggi," katanya selepas merasmikan Karnival Buah-Buahan Daerah Bentong, di sini semalam.

Wan Rosdy berkata, orang ramai perlu melihat fakta kerana prestasi kerajaan negeri sangat baik dengan ekonomi yang berkembang.

Beliau berkata, semua program kebajikan di Pahang dapat disediakan untuk rakyat kerana kerajaan negeri hari ini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Sehingga kini, kutipan hasil kerajaan negeri ialah RM942 juta dan saya percaya kita berupaya mencapai sasaran kutipan hasil tahun ini, iaitu RM1.083 bilion," katanya.

"Selain berjaya meningkatkan kutipan hasil setiap tahun, kita turut berjaya meyakinkan pelabur untuk melabur di negeri ini sehingga nilai pelaburan yang masuk ke Pahang sebanyak RM20.5 bilion," katanya. #sumber

Share:

Agong Berkenan Santap Nasi Dagang Dan Roti Canai Warung PokWei Sungai Karang


KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menikmati santapan pagi di Warung PokWei, Sungai Karang Darat, di sini semalam. 

Istana Negara dalam satu hantaran berkata, di warung tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan bersantap nasi dagang dan roti canai.

“Seri Paduka Baginda juga berkenan membelanja sarapan pagi pengunjung-pengunjung warung tersebut.

“Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 9 pagi telah disambut meriah pemilik warung dan pengunjung-pengunjung warung tersebut,” katanya. 

Katanya, Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pengunjung-pengunjung warung tersebut dan penduduk setempat. #sumber
Share:

Mantan PM, Ismail Sabri Mendakwa Tiga Felda Di Pelangai Masih 'Kubu Kuat' BN !

BENTONG: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepis dakwaan Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Felda kini bukan lagi kubu kuat bagi BN.

Sebaliknya kata bekas naib presiden UMNO itu, tiga Felda dalam kawasan DUN Pelangai iaitu Chemomoi, Kemahal dan Kemasul masih lagi kubu kuat BN.

"Ya lah itu andaian dia, tapi dari segi kita BN kita masih lagi menganggap BN sebagai kubu kuat kita. Simpanan tetap kepada kita, kubu kuat kepada kita.

"Untuk di Bentong ni, Pelangai ni, tiga Felda untuk PRU15 semua menang walaupun di tempat lain banyak kalah, tempat ini masih menang," katanya ketika ditemui di Felda Kemahal, dekat sini semalam.

Ismail Sabri meluangkan masa bertemu warga peneroka Felda Kemahal yang sinonim dengan Ahli Parlimen Bera itu.

Kehadirannya disambut dengan kenduri rakyat yang diadakan bersama warga Felda.

Warga peneroka dilihat masih lagi memberi sokongan dan setia kepada BN. 

Ahad lalu, Tuan Ibrahim mendakwa kawasan penempatan Felda kini tidak lagi menjadi kubu kuat UMNO.

Menurutnya, perkara itu terbukti apabila sokongan peneroka dilihat sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Kalau dulu sebut Felda, kubu UMNO sekarang tidak dan kini menjadi kubu kuat PAS dan Bersatu. Tengoklah pilihan raya baru-baru ini, mana ada Felda, kita menang besar.

"Yang paling tragis DUN Pulau Tawar yang mempunyai banyak Felda, iaitu 16 kawasan. Logik akal tak menang sebab peneroka hutang budi (kepada UMNO), tetapi PN menang juga," katanya dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Chemomoi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menasihatkan pengundi BN supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak lawan bahawa kemenangan calon PN tidak akan merubah kerajaan.

"Pengundi-pengundi jangan terpengaruh (bahawa) BN menang tak bawa perubahan kita masih memerintah di Pahang, itu dakyah mereka. Kita mesti pastikan kerusi ini kekal kepada UMNO, BN.

"Saya percaya gelombong hijau tidak akan sampai di Penagai ini, saya percaya UMNO, BN mampu mengekalkan kerusi ini yang secara tradisinya kita tidak pernah tercalar dengan kekalahan," katanya.

Ismail Sabri merayu pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 7 Oktober nanti. #sumber

Share:

Dialog Group Berhad Labur RM375.1 Juta Bina Kilang asid Malik Di Gebeng, Pahang

 

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh tidak langsung Dialog Group Bhd, iDialog Malic Acid Sdn Bhd, akan membina, memiliki dan mengendalikan kilang asid malik di Pahang, dengan nilai pelaburan kira-kira AS$80 juta (RM375.1 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dialog berkata, kilang berkenaan yang terletak di Gebeng, berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan, akan mengeluarkan kapasiti tahunan kira-kira 12,000 tan asid malik.

Kilang itu terletak dalam Kawasan Kimia Bersepadu yang dikendalikan oleh BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd.

"Ini adalah usaha pertama Dialog dalam penghasilan bahan kimia khusus dan bertindak sebagai pemangkin kepada kumpulan untuk mengembangkan jejaknya dalam sektor ini dengan menghasilkan produk kimia khas bernilai tinggi," katanya.

Asid malik ialah bahan kimia khusus yang digunakan terutamanya sebagai bahan tambahan makanan dalam industri makanan dan minuman.

"Cadangan pembangunan kilang asid malik Dialog di Malaysia bukan sahaja menyokong permintaan yang semakin meningkat di Asia Tenggara tetapi juga memanfaatkan peluang perniagaan yang terhasil daripada peningkatan permintaan asid malik di seluruh dunia.

"Kilang ini akan membekalkan asid malik yang diperlukan kepada pelanggan dan pengedar utama di Malaysia dan luar negara. Bahan mentah untuk pengeluaran asid malik akan dibekalkan oleh pembekal tempatan," katanya.

Dialog berkata, dengan kewujudan kilang itu ia akan mengembangkan lagi perniagaan hilirannya, yang menjadi tambahan kepada usaha sedia ada dalam menghasilkan pelet PET kitar semula gred makanan.

"Kedua-dua projek itu mewakili pelaburan yang besar untuk mengukuhkan sektor hiliran dan mampan Dialog yang menjana pendapatan tambahan berulang jangka panjang kepada kumpulan," katanya.

Kumpulan itu berkata, ia akan kekal fokus dalam meningkatkan kepelbagaian, merentas sektor tenaga huluan, pertengahan dan hiliran, serta sektor mampan dan boleh diperbaharui untuk meletakkan kumpulan secara strategik bagi mengharungi kitaran ekonomi yang berbeza.

"Projek itu juga akan memacu pembangunan sosio-ekonomi wilayah ekonomi Pantai Timur dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya. #sumber

Share:

PRK Pelangai, Dato' Amizar Dakwa Calon Bebas Bekas Ahli UMNO Tidak Gugat BN !

BENTONG: Calon Barisan Nasional PRK DUN Pelangai, Dato' Amizar Abu Adam mendakwa sokongan pengundi BN tidak tergugat hanya kerana bekas ahli UMNO bahagian Bentong telah menjadi calon bebas.

Amizar berkata sebagai negara demokrasi dia tidak mempunyai masalah dengan penyertaan bekas ahli UMNO Kampung Sum Sum, Janda Baik, Haslihelmy DM Zulhasli menawarkan diri untuk bertanding.

"Negara kita ni demokrasi, kita terbuka kepada sesiapa pun nak bertanding dalam demokrasi, silakan lah.

"Insya Allah tidak ada mengganggu-gugat (sokongan pengundi BN)," katanya ketika ditemui selepas berkempen tapak pasar malam Felda Chemomoi, Bentong, hari ini.

Semalam, Haslihelmy mendakwa dia membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas apabila BN mempertaruhkan Amizar.

Katanya, Amizar bukan anak jati Pelangai dan tidak sepatutnya diangkat sebagai calon BN bagi PRK DUN Pelangai.

"Bila saya bertanding dekat Bentong, bukan saya nak berlawan dengan kepimpinan BN...tetapi caranya.

"Kalau letak calon sesuai saya tak lawan, saya berlapang dada, tapi letak Amizar, bukan anak tempatan," katanya kepada media selepas proses penamaan calon.

Mengulas mengenai kempennya setakat ini, Amizar berkata ia satu permulaan yang baik dan dia menerima sambutan daripada orang ramai.

"Penerimaan yang sangat-sangat baik, apabila kita berbicara tentang rakyat dan pengundi-pengundi penerimaannya sangat baik.

"Mereka ingin meneruskan...ingin meneruskan maksudnya DUN ini tetap kepada BN untuk menyambung kesinambungan BN di negeri Pahang Insya-Allah," katanya lagi. #sumber

Share:

Mantan ADUN Kemayan Meninggal Dunia Di Hospital Bera, 8.45 Malam Semalam !

 

BERA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman, 58, meninggal dunia di Hospital Bera di sini kira-kira pukul 8.48 malam semalam.

Isterinya, Hamidah Sulaiman, 52, berkata, Allahyarham dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas selepas pulang dari melihat suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kelmarin.

“Arwah teringin tengok suasana pilihan raya jadi dia pergi ke sana (DUN Pelangai) bersama menantu, tetapi bila balik nampak sangat keletihan. Sempat saya berikan air dan dia minum dua teguk sebelum rebah. Menantu segera menghantarnya ke Hospital Bera,” katanya di sini.

Allahyarham yang memegang jawatan ADUN DUN Kemayan selama tiga penggal sejak tahun 2008 meninggalkan seorang balu dan empat anak perempuan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kerayong, awal pagi semalam. #sumber

Share:

PRK Pelangai: Haslihelmy Tanding Bebas Sebagai 'Protes' Calon Barisan Nasional !

BENTONG: Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai protes terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana pucuk pimpinan UMNO Bentong meletakkan calon kitar semula.

Dakwanya, calon daripada BN tersebut adalah calon yang mudah 'ditarik telinga' oleh pucuk pimpinan.

"Ya, (saya bertanding lebih kepada) protes kepada keputusan pucuk pimpinan yang meletakkan calon tersebut (Amizar) bukannya Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh (Pemangku Ketua UMNO Bentong).

"Saya tidak pernah terfikir hendak sampai ke tahap ini (bertanding), tapi sedih dan sebak, saya bersama UMNO sejak tahun 2008, tapi bila tengok UMNO tidak angkat suara anak Pelangai yang mahu Mohd Zaini dan beliau layak," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini selepas selesai proses penamaan calon pada Sabtu.

Beliau mendakwa pucuk pimpinan BN tidak mendengar suara akar umbi yang telah menolak calonnya.

"Beliau (Amizar) ditolak sebab dia pernah kalah ketika bertanding di peringkat bahagian, dan UMNO masih lagi meletakkan calon yang ditolak. Kenapa?," soalnya.

Menjawab mengenai kempen, Haslihelmy memberitahu strategi telah dirangka termasuk menggunakan pendekatan berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau yakin boleh penglibatannya dalam pertandingan tiga penjuru ini bukan sahaja untuk pecahkan undi, tetapi mampu meriah menang.

"Saya hadir pada hari ini saya yakin dan Insya-ALLAH saya akan menang," ujarnya yang menggunakan logo kereta.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Haslihelmy menentang dua lagi calon iaitu Amizar dan Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN).

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU-15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber

Share:

Pertembungan Tiga Penjuru Di PRK DUN Pelangai Antara Calon BN-PN Dan Bebas !

 

BENTONG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, jam 10.16 pagi ini.

Mohammad Shahid memaklumkan Amizar, 53, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan jam 9.01 pagi diikuti Kasim, 63, seminit kemudian dan Haslihelmy, 36, pada 9.08 pagi.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 6 Oktober dengan pengundian awal pada 3 Oktober.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH - 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG - 65 undi).

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional-UMNO (BN-UMNO), dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).

Johari yang juga anak jati Pelangai dicalonkan BN-UMNO pada PRU15 dan mengekalkan kerusi itu untuk terus menjadi kubu kuat DUN di Pahang.

DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli 10 peratus.

Terdahulu, Amizar tiba di pusat penamaan calon diiringi penyokong serta Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Kasim yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN itu pula diiringi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 adalah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi. Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH. #sumber

Share:

Hasrat Tanding Bebas PRK DUN Pelangai, Haslihelmy Sedia 'Di Pecat' Oleh UMNO !

 

BENTONG: Ahli perniagaan, Haslihelmy DM Zulhasli, sedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai calon Bebas walaupun berdepan kemungkinan dipecat daripada UMNO.

Ahli UMNO Kampung Sum-Sum berusia 36 tahun itu berkata, beliau menghadiri taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan calon Perikatan Nasional (PN), di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, semalam.

"Saya hadir ketika taklimat SPR bersama dua lagi calon yang juga rakan saya.

"Sebagai calon Bebas, saya ditawarkan beberapa simbol untuk digunakan sepanjang kempen dan saya akan membuat keputusan selepas proses penamaan calon esok.

Apabila kertas pencalonan saya diterima esok, saya mungkin dipecat daripada UMNO tetapi saya tidak ada isu mengenainya.

"Saya sedar dan bersedia menanggung akibat daripada tindakan itu. Saya mempunyai kumpulan penyokong sendiri yang terdiri daripada penduduk tempatan termasuk pencadang dan penyokong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai keputusan bertanding, Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang berkata, ia dilakukan bagi memastikan suara rakyat terutama generasi muda di Pelangai didengar.

"Bertanding sebagai calon Bebas adalah pendekatan terbaik. Ada beberapa orang cuba memujuk supaya saya menimbang semula keputusan bertanding tapi saya mempunyai prinsip," katanya.

Mengenai peluangnya yang dianggap tipis pada PRK itu, beliau yakin tidak akan kehilangan deposit.

"Orang tua saya berasal dari Pelangai, bapa saya dari FELDA Chemomoi dan ibu saya dari Kampung Jawi-Jawi.

"Saya membuka pusat gerakan di Pelangai sejak beberapa hari lalu dan sering bertemu penduduk setempat dengan sokongan beberapa ahli keluarga dan rakan," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, berkata keahlian Haslihelmy dalam UMNO akan terlucut secara automatik jika bertanding pada PRK berkenaan.

"Beliau adalah ahli biasa UMNO cawangan Kampung Sum-Sum dan tidak pernah berunding dengan UMNO Bahagian Bentong mengenai keputusan untuk bertanding di Pelangai," katanya. #sumber

Share:

PRK Pelangai: Felda Kini Bukan Lagi Kubu Kuat UMNO BN, PN Ada Peluang Menang !

BENTONG: Felda kini bukan lagi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan Perikatan Nasional (PH) berpeluang memenanginya dalan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bulan hadapan.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ini boleh dibuktikan berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 yang tidak memihak kepada UMNO.

"Walaupun satu masa dulu mungkin jadi kubu BN (iaitu) Felda khususnya, tapi kita boleh tengok Pilihan Raya Umum ke-14 ke-15 dah jadi (Felda bukan lagi kubu UMNO dan BN) sebab generasi yang ada di Felda bukan generasi pertama, sudah (generasi) kedua, ketiga dan mereka berdepan dengan berbagai masalah perumahan generasi kedua yang tidak ada perancangan dibuat, projek yang terbengkalai pembangunan (dan) berbagai bagai isu dalam Felda," kata beliau.

Malah, Tuan Ibrahim turut mengharapkan di PRK Pelangai kelak, peratus keluar mengundi dapat mencapai 75 peratus terutama undi dari golongan muda.

Tuan Ibrahim juga berkata beliau sangat yakin anak muda di DUN Pelangai kali ini akan bersama PN.

"Jasa besar kami dalam Perikatan Nasional ialah waktu Tan Sri Muhyiddin (memimpin) kita menghapuskan semua hutang-hutang peneroka Felda dengan bank… ini suatu sumbangan besar dan kita yakin anak-anak peneroka Felda akan bersama dengan Perikatan Nasional pada kali ini," ujar beliau lagi.

Tuan Ibrahim berkata.demikian selepas majlis mengumumkan calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pada Rabu.

Dalam PRU15 lalu, PN menang 17 dari 42 kerusi DUN di Pahang.
DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu

Tambah Tuan Ibrahim, peneroka di Felda kini bukan lagi generasi pertama tetapi generasi kedua dan ketiga yang menghadapi pelbagai masalah yang membelengu mereka. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.