script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Bola Sepak: Skuad Tok Gajah Ke Perlawanan Akhir Piala FA


KUANTAN: Pahang menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2014 selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Pahang melangkah ke final dengan agregat 2-1 selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin (Johor) 5 Mei lepas.

Gol Pahang dijaringkan oleh Mohd Faizol Hussain pada minit ke-81. Skuad Tok Gajah hampir mendapatkan gol selepas gerakan cantik yang dibuat oleh 
Dickson Nwakaeme yang masuk menggantikan Matias Conti gagal disudahkan oleh penyerang Pahang. 

Apapun, kemenangan ini adalah hadiah buat penyokong Pahang selepas digagalkan oleh JDT pada separuh akhirnya piala yang sama di Stadium Bukit Jalil tahun lalu. PDO
Share:

Pilihanraya Presiden, Kemenangan Memalukan Buat Al-Sisi


KAHERAH: Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Presiden Mesir selepas kiraan di 312 pusat mengundi daripada 352 pusat, selesai dijalankan semalam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 21 juta pengundi atau 96.2 peratus memilih bekas panglima tentera yang menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Julai lalu.

Pencabarnya, Hamdeen Sabbahi berhaluan kiri, menerima 3.8 peratus daripada undi yang dikira setakat ini.

Jurucakap penyokong Hamdeen berkata, kerajaan sementara banyak melakukan pembohongan apabila melanggar Perlembagaan dengan melanjutkan tempoh pengundian sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus.

“Kami mengecam kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya. Tempoh melanjutkan hari mengundi sengaja dibuat bagi mengelakkan Al-Sisi mendapat malu,” katanya.  

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan sekurang-kurangnya 47 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab itu namun sehingga Selasa hanya 38 peratus berbuat demikian.

Selepas angka keluar mengundi didapati amat sedikit, pihak mereka dikatakan melanjutkan tempoh mengundi sehari lagi, laporan dipetik dari Al Arabiya. #sumber
Share:

Video Suspek Kes Culik Dan Penggal Kepala Pula Tersebar


KUALA LUMPUR: Jam 9.00 malam semalam, pihak polis telah menerima satu panggilan telefon dari orang awam, memberitahu telah ternampak seorang lelaki, sedang cuba untuk melemaskan seorang kanak2 di tepi Sg. Klang berhampiran dengan Station KTM Jalan Tun Sambathan, Kuala Lumpur.

Bertindak dari maklumat tersebut sepasukan polis yg tiba di tempat kejadian telah menemui seorang kanak2 berusia lebih kurang 2 tahun 6 bulan, di dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian, mengalami cedera parah dibahagian belakang kepala pecah akibat hentakkan dan kepalanya terputus dari badan. Turut ditemui ditempat kejadian pecahan ceramic bersama kesan2 darah dan sepasang selipar disyaki milik suspek.

Siasatan polis telah berjaya mengesan ibu mangsa berusia 32 tahun, tidak mempunyai pekerjaan hidup secara gelandangan di Bandaraya Kuala Lumpur. Keterangan ibu mangsa menyatakan semasa melepak bersama rakannya di tgkt 4 Kotaraya pada jam 3 petang, ibu mangsa telah pergi ke tandas, sambil meminta kawannya yg sama2 melepak untuk mengawasi anaknya. Lebih kurang 5 minit, sebaik keluar dari tandas, ibu mangsa mendapati anaknya telah tiada bersama-sama rakanya yg sedang melepak. Ibu mangsa bersama-sama rakan cuba mencari anaknya di sekitar bangunan kota raya tetapi gagal menemui anak mangsa.

Hasil dari maklumat awam, seorang saksi ternampak seorang lelaki dipercayai berbangsa India, sedang mendukong seorang kanak-kanak menyusuri Sg. Klang. Orang awam berkenaan turut melihat lelaki berkenaan merebahkan kanak-kanak berkenaan, sambil menghempaskan sesuatu ke kepala kanak-kanak berkenaan dan melakukan sesuatu dileher kanak-kanak tersebut.

Melihat kejadian itu orang awam bersama beberapa orang awam bergegas untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak2 berkenaan. Sewaktu saksi berkenaan menghampiri tempat kejadian lelaki berkenaan melarikan melarikan diri dan terjun ke dalam Sg. Kelang. Orang awam yg cuba menangkap lelaki berkenaan menyusuri Sg. Klang bagi mengekori lelaki yang berada di dalam Sungai Klang, dan nampak lelaki tersebut tengelam timbul, terus hilang dibawa arus dan mempercayai lelaki berkenaan lemas dibawa arus Sg. Kelang.
Pihak polis yg dimaklumkan mengenai maklumat ini telah menjalankan gerakan pencarian ke atas lelaki yang dimaksudkan. Gerakan pencarian dihentikan disebabkan keadaan cuaca semakin gelap.

Siasatan ditempat kejadian, pihak polis berjaya mengesan pergerakan mangsa ( kanak-kanak ) sedang diekori oleh seorang lelaki berkulit gelap yg disyaki suspek yg bertanggung jawab melarikan kanak-kanak tersebut.

Kes ini dikelasifikasikan sebagai kes bunoh yang disiasat di bawah sek. 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital HKL utk dibedah siasat.

Motif mengenai kejadian masih disiasat. Gambar suspek yang sedang dikesan disertakan. Mohon hubungi Balai Polis berdekatan jika ternampak atau mengetahui dimana lokasi suspek. #sumber
Share:

NFCorp: Shamsubahrin Nafi Rancang Tipu Mohamad Salleh


KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail pada Jumaat menafikan di mahkamah bahawa dia merancang untuk menipu pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Shamsubahrin, 48, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia tidak berada dalam keadaan terdesak ketika cuba menipu Mohamad Salleh kerana dia mempunyai pendapatan lebih RM10,000 sehari melalui perniagaan perkhidmatan teksi.

"Saya tidak pernah cuba menipu Mohamad Salleh kerana saya tidak terdesak pada masa itu," katanya ketika menjawab pemeriksaan balas peguam Hasnal Redzua Merican, yang mewakilinya, dalam perbicaraan membela diri terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketika ditanya Hasnal Redzua, jika Shamsubahrin tidak terdesak pada masa itu, mengapa baki dalam dua akaun banknya masing-masing hanya tinggal RM2.31 dan RM7.22? Shamsubahrin menjawab "wang saya (hasil pendapatan perkhidmatan teksi)
dimasukkan ke dalam akaun syarikat". 

Sementara itu, pembekal lembu Marthinus Johannes du Plessis, 62, berkata beliau tidak pernah bertemu Mohamad Salleh dan beliau tidak kenal pun siapa Mohamad Salleh dalam NFCorp.

"Saya hanya tahu nama Mohamad Salleh daripada Shamsubahrin dan tidak pernah berjumpa dengannya," katanya.

Marthinus dari Afrika Selatan berkata sehingga 2010 beliau tidak pernah bercakap dengan mana-mana kakitangan NFCorp. Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung 7 Ogos. #sumber


Share:

Polis: Suspek Bunuh Kanak-Kanak Di Percayai Mati Lemas


KUALA LUMPUR: Suspek dalam kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, dipercayai lemas selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Klang berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata suspek berbuat demikian selepas dihampiri saksi dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang jelas dan kami buat fotofit, namun kami dapati suspek dipercayai lemas selepas melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai apabila dihampiri saksi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini Jumaat.

Katanya rakaman CCTV itu diambil dari sebuah lif pusat membeli-belah Kotaraya di sini, iaitu lokasi kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya bersama rakan sebelum ke tandas.




Wanita itu kemudian mendapati anaknya hilang dan mayat kanak-kanak tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira 9 malam tadi dalam keadaan kepalanya terputus daripada badan.

Bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan. 

Polis turut menemui pecahan seramik dan sepasang selipar di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Law berkata polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng sebelum ini dilapor berkata ada saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan "sesuatu" pada leher mangsa. #sumber
Share:

Dua "Mangsa Culik Warga China" Di Semporna Di Bebaskan


PETALING JAYA: Dua wanita yang didakwa diculik dari sebuah resort di Sabah pada April lalu telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara ini melalui akaun Twitternya setelah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumaat.

"Saya baru sahaja diberi taklimat oleh PDRM bahawa dua wanita yang diculik di sebuah resort di Sabah pada April lalu telah diselamatkan oleh pihak berkuasa kita.

"Kita sedang mengambil langkah untuk memudahkan urusan membawa pulang warga China ke negaranya secepat mungkin," katanya menerusi 'Tweet' kira-kira pukul 7.30 petang Jumaat.

Najib yang sedang mengadakan lawatan kerja ke China selama enam hari berkata mereka yang diculik dilepaskan tanpa perlu membayar wang tebusan.

"Tiada wang tebusan dibayar untuk pembebasan mereka.

"Kejayaan ini kerana kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyelesaikan kes ini.

April lalu, seorang wanita warga China yang dikenal pasti sebagai Gao Hua Yun, 29 dan pekerja resort dari Filipina, Marcy Dayawan, 40 telah diculik dari resort Singamata Reef, berhampiran Semporna.
Polis percaya kumpulan yang bertanggungjawab menculik dua wanita itu berpangkalan di selatan Filipina dan mahu mendapatkan wang tebusan.

Polis turut mengesyaki bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu mendapat "bantuan dalaman'' untuk memasuki resort itu.
Sementara itu dilaporkan bahawa kedua-dua mangsa telah dibawa keluar dari pulau Jolo Selatan Filipina dan tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang Jumaat.

Mereka diiringi anggota keselamatan dari Malaysia.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua orang pegawai telah bertolak ke Jolo pada pukul 10.30 pagi dan tiba di sana dua jam kemudian.

Dengan bantuan rakan-rakan dari Filipina, pegawai tersebut berjaya menyelamatkan Gao dan Marcy dari lokasi pergunungan terpencil di pulau itu. #sumber
Share:

Siapa Lelaki Yang Mengaku Bakal Manusia Terkaya Dunia !


PETALING JAYA: Orang ramai yang melalui susur masuk dan keluar dari kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang kini tertanya-tanya siapakah lelaki muda yang muncul dalam papan iklan gergasi yang mendakwa dia adalah 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia'.
Lelaki yang muncul dalam papan iklan gergasi tersebut dipercayai seorang warganegara China dan bukannya rakyat tempatan.
Seorang pengguna harian Jambatan Pulau Pinang, B.C Ong ketika menghubungi mStar Online memberitahu, papan iklan itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya kepada orang ramai kerana ia tidak mempromosikan jenis perniagaan atau produk yang ingin diperkenalkan tetapi hanya wajah lelaki berkenaan.

"Pada papan iklan gergasi itu hanya terdapat gambar seorang lelaki muda yang bernama Zhang Jian selain tertulis "Bakal orang terkaya di dunia.
"Di sudut atas dan bawah papan itu pula tertulis dua laman web iaitu WWW.YLSM.HK dan www.cdtup.com. Tiada sebarang produk atau nama syarikat yang diperkenalkan di situ," katanya lagi.
Tambah Ong, berikutan itu, timbul persoalan mengenai perniagaan apakah disebalik papan tanda tersebut.
Sementara itu, hasil siasatan mStar di laman web tersebut dan laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/jutawanyslm‎ mendapati, ia adalah sebuah kumpulan jutawan YslmLM.hk atau 'Group Jutawan Yslm.hk'.
Tiada produk yang diiklankan selain meminta orang ramai supaya menjana pendapatan dengan cara termudah tanpa perlu bekerja dan hanya 'bergoyang kaki' selepas mencari dua atau tiga rakan tajaan.


Untuk menyertainya, setiap peserta diberi pilihan untuk membeli pakej seperti VIP (RM300), VVIP (RM900), Emas (RM2,100) dan Intan RM4,500. Ia dijual secara lot.
Setiap peserta kemudian perlu mencari tajaan (downline) untuk membeli pakej itu sebagai usaha meningkatkan pendapatan kepada penaja (upline).
Setiap lot yang bermula dengan RM300 setahun didakwa mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 setahun manakala bagi lot bernilai RM4,800 setahun akan memberi pulangan berjumlah RM54,000 setahun.
Dari laman sosial tersebut, terdapat pautan yang membawa ke laman web http://www.jutawanyslm2u.com/.

Di laman web berkenaan menceritakan bahawa YSLM merupakan syarikat yang berpusat di China dan mengeluarkan lebih 3,000 produk yang tidak disenaraikan.
Syarikat itu milik seorang pemuda bernama Zhang Jian, berusia 26 tahun seperti yang terpapar pada papan iklan gergasi di laluan Jambatan Pulau Pinang serta menetap di China.
Turut disenaraikan ialah pejabat pertama YSLM di Setiawalk Puchong, Selangor yang telah dirasmikan pada 15 Januari yang lalu.
YSLM dikatakan berdaftar dibawah Akta Jualan Langsung di negara ini untuk melakukan perniagaan berkenaan.
Misi utama syarikat tersebut atau pemiliknya ialah menjadi individu terkaya di dunia dalam tempoh lima tahun. #sumber
Share:

SKMM Kesan "Individu Hina Kemangkatan" Sultan Perak



CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati beberapa individu dalam laman media sosial telah menghina Institusi Beraja, terutamanya berhubung kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

“Kami sedang bertindak mengesan individu-individu tersebut dan memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MCMC untuk tampil memberikan maklumat berkenaan,” kata Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.
 
“Kami memandang serius penghinaan sebegini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambah beliau. #sumber
Share:

Mahfuz: "JAKIM Patut Saman" Jika Cadbury Tipu Sijil Halal


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya bertindak menyaman syarikat pengeluar coklat Cadbury kerana telah menyalahgunakan sijil halal, demikian tegas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, saman tersebut sepatutnya bukan datang  daripada badan bukan kerajaan sebaliknya oleh Jakim sendiri kerana melibatkan kesalahan menipu agensinya.

"Syarikat ini salah guna sijil halal ke atas produk yang tidak halal. Takkanlah jakim rasa orang yang tipu mereka pun tidak apa.

"Orang yang tipu tanggunglah dosa. Takkan Jakim warak sangat sampai tahap macam ini," katanya di sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Jelas Mahfuz, syarikat itu telah menipu Jakim dengan meyalahgunalan sijil untuk produk yang mengandungi kandungan khinzir sekaligus mengelirukan pengguna khsusnya orang Islam.

Tegas Mahfuz, bagi orang Islam mereka tidak boleh makan apabila jelas adanya penipuan oleh syarikat terbabit walaupun hanya membabitkan dua produk sahaja.

"Walaupun hanya dua produk sahaja yang sah adalah haram, tetapi produk yang lain pun sudah tentu akan timbul keraguan bagi orang Islam.

"Kalau menipu, bermakna barang lain pun kita tidak boleh makan," katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan produk coklat susu Cadbury mengandungi DNA khinzir.

Laporan ini telah mengejutkan orang ramai khususnya orang Islam sekaligus ada yang bertindak mahu menyaman syarikat terbabit dan tidak kurang juga yang  bertindak memboikot produk tersebut. #sumber
Share:

PRK Teluk Intan: Jangan Perjudikan Nasib Dan Masa Depan


ANALISIS KIRAAN detik hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan hanya kurang 24 jam sahaja lagi.

Debaran semakin memuncak dalam penentuan 'finale' satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27.
PRK Teluk Intan menyaksikan pertaruhan BN menurunkan seorang calon yang tewas dua kali berturut-turut di dalam pilihan raya terdahulu tetapi mempunyai banyak pengalaman manakala DAP mencalonkan muka baharu yang masih mentah tetapi mungkin mempunyai aura tersendiri yang boleh mempengaruhi pengundi.
Berdasarkan kempen, ceramah dan 'walkabout' yang dilakukan kedua-dua parti sejak hari penamaan calon, Dyana dilihat lebih popular dalam strateginya untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak.
Populariti itu dinilai berdasarkan rasa ingin tahu rakyat Teluk Intan terhadap calon bukan anak tempatan yang belum lagi membuktikan khidmatnya di sini. Kecantikan dan personaliti ceria Dyana turut menjadi 'magnet' penarik perhatian ramai.
Pembangkang turut berusaha menumpukan pengundi muda dan pengundi luar yang mempunyai kekuatan dalam pengundian.
Calon DAP itu bijak merencanakan strategi dengan membawa tokoh-tokoh pembangkang yang berpengaruh untuk turut serta di dalam kempennya.
Nampak perbezaan ketara dari segi sambutan kempen terutama ceramah yang dianjurkan pihak Dyana sekiranya ada atau tanpa penglibatan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat baik DAP, PKR mahupun PAS.
Walaupun sekadar ceramah kelompok tanpa pemimpin-pemimpin pembangkang, sekiranya Dyana benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi wakil rakyat pilihan ramai, sudah tentu sambutannya turut menggalakkan tetapi malangnya tidak.
Jika ditoleh pula kepada calon BN, mungkin Mah sedikit tenggelam dari segi kempennya di tempat-tempat awam tetapi Presiden Gerakan ini juga mempunyai strategi tersendiri untuk meraih sokongan pengundi.
Mah memegang gelaran 'orang lama' bukan semata-mata disebabkan jurang usia 26 tahun antara beliau dan calon DAP itu.
Hal ini kerana Mah sudah pun dikenali di Teluk Intan menerusi baktinya kepada rakyat sejak menjadi ahli parlimen di sini selama dua penggal.
Malah khidmatnya masih berterusan selepas tewas di tangan Seah Leong Peng dan M. Manogaran kedua-duanya dari DAP selama dua penggal berturut-turut.
Oleh itu, Mah lebih menumpukan pendekatan yang lebih dekat di hati rakyat, menerusi kunjungannya dari rumah ke rumah di samping memberikan penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan pengundi.
Sebagai Presiden Gerakan, parti komponen BN, Mah mempunyai kelebihan untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat.
Sebarang rancangan dan cadangan untuk kepentingan rakyat Teluk Intan lebih mudah disuarakan menerusi peranan yang dibawa Mah dalam parti di peringkat kebangsaan.
Berdasarkan tinjauan, rakyat Teluk Intan masih memerlukan khidmat Mah yang sudah pun terbukti pengalamannya sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun), ahli parlimen, timbalan menteri dan kini presiden parti.
Dalam tinjauan juga, penyokong-penyokong DAP sudah tentu akan memilih Dyana kerana reputasi parti dinaunginya itu meskipun keupayaannya sebagai wakil rakyat masih menjadi tanda-tanya.
Dahulunya Dyana diperkatakan sebagai calon 'underdog' tetapi beliau dilihat semakin kuat memperoleh pengaruhnya manakala calon BN pula yang dilabel sebagai 'underdog'.
Siapa pun calon 'underdog', kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Dalam manifesto DAP, Dyana menyuarakan banyak pembangunan lebih berpusat di sekitar Kuala Lumpur dan sekiranya dipilih wakil rakyat, beliau akan melawan pemusatan itu agar pekan-pekan seperti Teluk Intan boleh dimajukan.
Namun apabila ditanya berkali-kali mengenai apakah idea pembangunan beliau, Dyana tidak tidak menjawab, sebaliknya hanya menunding jari kepada kerajaan BN yang didakwanya tidak mengotakan janji di Teluk Intan.
Calon itu lebih mempersoalkan sesuatu isu lapuk sedia ada seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rasuah dan salah guna kuasa yang akan dibangkitkan di Parlimen.
Nampaknya, Dyana sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat hanya akan melawan dasar kerajaan dan membantah itu ini daripada mengemukakan idea baharu yang lebih segar untuk kepentingan rakyat.
Beliau yang masih muda sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk memancing pengundi di Teluk Intan terutama golongan sebayanya dengan idea-ideas original dan kreatif.
Dyana tidak perlu 'mengulang tayang' atau 'cut and paste' (potong dan tampal) perkara atau isu yang sering kali dimainkan oleh wakil-wakil rakyat lain sama ada pembangkang mahu pun BN.
Malulah kalau orang baharu lagi muda tidak kreatif.
Tidak dinafikan, Mah bukannya calon popular dalam pilihan raya kecil ini jika dibandingkan dengan Dyana, tetapi apabila dilihat  manifesto calon BN itu untuk rakyat Teluk Intan, ianya lebih 'berisi'.
Ia lebih bersifat eksklusif, inklusif dan kreatif menerusi idea baharu untuk kebajikan rakyat Teluk Intan dan pembangunan di kawasan parlimen itu.
Cadangan beliau untuk meletakkan Menara Condong Teluk Intan supaya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) begitu jelas ia lain dari yang lain.
Walaupun ada pihak hanya melihat cadangan itu hanya akan memberi keuntungan sektor pelancongan di Teluk Intan, tetapi kesannya jauh lebih hebat.
Jika ia direalisasikan, Teluk Intan bukan sahaja akan lebih dikenali sebagai pusat pelancongan bahkan akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat.
Maksudnya, setiap apa yang dibentangkan oleh Mah dalam manifestonya lebih bersifat 'semua dalam satu', secara spesifik sama ada tersurat atau tersirat, kesemuanya memberi faedah kepada rakyat secara menyeluruh.
Malah tindakan Dyana untuk melawan pemusatan di ibu negara dilihat lebih berhasil menerusi idea Mah dalam manifestonya seperti penubuhan universiti dan pengiktirafan menara condong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bersedia untuk memberikan jawatan dalam Kabinet kepada Mah sekiranya Presiden Gerakan itu memenangi PRK Teluk Intan.
Itu jaminan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) buat Mah dan seluruh rakyat di Teluk Intan.
Difahamkan kemungkinan kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan yang kini dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan diisi Mah sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
Jika Dyana yang dipilih, beliau akan terus membangkitkan isu-isu nasional di parlimen tanpa sebarang pengkhususan buat kepentingan rakyat di Teluk Intan.
Hari mengundi PRK Teluk Intan pada Sabtu ini bakal memperlihatkan rakyat memperjudikan nasib mereka dan kawasan itu.
Siapa pun calon yang dipilih itu hak dan keputusan lebih 60,000 pengundi kerana pilihan rakyat bertunjangkan demokrasi.
Sama ada mempunyai pengalaman dan pengaruh mahupun tidak, antara Mah dan Dyana yang bakal dipilih ini diharapkan tidak memperjudikan nasib rakyat yang menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap mereka. #sumber
Share:

Pasukan "Cari MH370" Kukuh Walau Situasi Menyayat Hati


PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein percaya tidak ada seorang pun dalam pasukan carian yang mengalah walaupun adalah sesuatu yang menyayat hati apabila melihat dan berdepan dengan keluarga anak kapal dan penumpang penerbangan MH370 yang hilang.

Dalam temu bual dengan wartawan CCTV News, James Chau, Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan berkata bahagian paling sukar dalam pencarian itu adalah berdepan dengan keluarga dan beliau masih berurusan dengannya sehingga sekarang.

Apabila ditanya sama ada Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menawarkan inovasi dan pengetahuan baharu, Hishammuddin berkata mereka berada dalam kedudukan itu dan beliau berbangga dengannya.

"Itu adalah sesuatu yang saya bangga, tidak kira apa yang orang katakan. Tidak banyak negara boleh menyelaras dan mampu mendapatkan kerjasama semua pihak.

"Saya bernasib baik kerana saya perlu berurusan dengan orang-orang yang cukup baik dan hakikatnya kita sedang bergerak ke satu fasa baharu carian untuk mengkaji di laut dalam.

"Sokongan untuk membantu kami dalam fasa baharu amat baik. Teknologi yang ada di luar sana begitu canggih. Saya juga merasakan bahawa Malaysia, Australia dan China berada dalam kedudukan yang cukup unik dalam sejarah manusia," kata Hishammuddin.

Sambil menafikan dakwaan beliau seorang yang tidak mengambil peduli, Hishammuddin berkata beliau telah bertemu keluarga mangsa secara persendirian ketika di awal operasi mencari.

"Ia adalah di antara saya dan pihak keluarga. Terdapat had untuk mempolitikkan sesuatu perkara, had untuk mendapatkan 'rating' dan had untuk menjawab dakwaan walaupun bagi saya adalah peribadi apabila anda berkata saya tidak peduli.

"Saya selalu berkata, sejarah akan sentiasa menghakimi kita. Tersiar di televisyen, memeluk, mencium dan menangis bersama mereka, itu hanya sementara. Itu bukan diri saya.

"Orang ramai kini mula memahami siapa saya. Jika saya mencerminkan Malaysia, saya rasa saya telah melakukan tugas saya," katanya.

MH370 hilang pada 8 Mac dengan 239 orang di atas kapal semasa terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing. #sumber
Share:

Mah Di Tawar "Sertai Kabinet" Jika Menang PRK Teluk Intan


BEIJING: Jawatan dalam Kabinet menanti Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong jika beliau memenangi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada Sabtu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau bersedia melakukan komitmen itu di sini.

"Saya boleh membuat komitmen itu di sini. Jika Datuk Mah memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan, maka sebagai Presiden Gerakan, beliau akan dilantik menganggotai Kabinet," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan enam hari beliau ke China, pada Khamis.

Beliau berkata sebagai antara parti pengasas BN, sudah menjadi amalan untuk melantik Presiden Gerakan menganggotai Kabinet.

Ditanya kementerian mana yang akan ditawarkan kepada Mah, Najib berkata adalah terlalu awal untuk memutuskan perkara itu.

"Belum lagi... perkara itu akan diputuskan kemudian," katanya.

Mah, 53, anak watan Teluk Intan, pada mulanya bertanding kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan beliau menewaskan calon DAP N.Rajendran dengan majoriti 2,783 undi.

Bekas Ketua Pemuda Gerakan dan Pengerusi Gerakan Teluk Intan itu mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2004 namun tewas dalam tsunami politik pada 2008.

Dalam pilihan raya umum 2013, Mah gagal merampas kembali kerusi itu dan kali ini, beliau berdepan dalam pertembungan satu lawan satu sdengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Kali terakhir Gerakan memegang jawatan dalam Kabinet ialah menerusi bekas Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon. #sumber
Share:

Skandal Bank Rakyat: "Hasan Malek" Sedia Di Siasat SPRM


PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan pinjaman peniaga permaidani, Deepak Jaishikin yang diberikan Bank Rakyat.

"Kita bertindak atas dasar, undang-undang dan mengikut peraturan yang sedia ada," katanya tanpa enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNKK di Putrajaya pada Khamis.

Isu dakwaan campur tangan dan salah guna kuasa oleh Hasan timbul selepas Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa khidmatnya sebagai Pengerusi Bank Rakyat tidak disambung gara-gara permohonan pinjaman oleh Deepak.

Bank Rakyat berada di bawah bidang kuasa KPDNKK yang diterajui Hasan.

Dakwa Sabbaruddin, beliau percaya tindakan untuk tidak menyambung khidmatnya mempunyai hubung kait dengan keputusan Lembaga Pengarah Bank Rakyat terhadap permohonan seorang usahawan permaidani untuk membayar pinjaman bernilai RM40 juta tanpa faedah.

Bagaimanapun beliau mendakwa, menteri terbabit berkeras supaya lembaga pengarah mengikut telunjuknya supaya menerima permohonan penyelesaian mudah usahawan kontroversi itu agar baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta dibuat selama 10 tahun melalui 120 keping cek post dated. #sumber
Share:

Surat Terbuka Dyana Sofya Buat Rakyat Di PRK Teluk Intan


TELUK INTAN: Calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud pada malam Khamis memberikan 'surat terbuka'nya untuk rakyat di kawasan Parlimen itu.
Beliau berkata, rupa parasnya sebenarnya langsung tidak penting dalam pilihan raya kecil yang baginya amat penting ini.
"Saya tidak masuk DAP untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Saya menyeru orang di Teluk Intan untuk menilai saya melalui nilai, prinsip dan impian saya untuk Malaysia yang lebih baik.
"Saya mahu memenangi pilihan raya ini bukan kerana rupa paras, tapi kerana kebolehan saya untuk membawa perubahan dalam landskap politik Malaysia di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Khamis.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana, 27, akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong.
Di dalam surat terbuka itu juga, Dyana berkongsi pengalamannya berkempen selama hampir dua minggu cukup mengujakan walaupun tempoh itu memerah tenaga untuk meraih sokongan pengundi. 
Antara lain, beliau juga mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia mengenai isu perkauman di negara ini seharusnya diatasi kerana impiannya mahu menyatu-padukan rakyat Malaysia.
Calon DAP itu turut menafikan statusnya sebagai peguam bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa malah menolak dakwaan beliau adalah pengkhianat Melayu. 
Katanya, ini termasuk dakwaan beliau dilabel sebagai ekstremis Melayu apabila dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Menurut Dyana, segala taktik kotor dan jahat yang didakwa dilakukan oleh pihak lawan tidak akan mematahkan semangat beliau untuk memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia.
"Ini terutama mereka yang terpinggir dan didiskriminasi. Saya tidak akan merasa lemah semangat dan saya tidak akan menjadi pengkhianat kepada rakyat Malaysia," katanya. #sumber
Share:

Mayat "Kanak-Kanak Perempuan" Di Temui Tanpa Kepala !


KUALA LUMPUR: Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang berusia dalam lingkungan tidak lebih tiga tahun ditemui tanpa kepala bersebelahan Sungai Klang di Jalan Hishammuddin pada Khamis malam.

Badan mangsa ditemui oleh orang awam berhampiran stesen KTM pada kira-kira pukul 9 malam.

Difahamkan kepala kanak-kanak itu ditemui berhampiran badannya.

Polis mengenal pasti suspek yang dipercayai warga asing berkulit gelap.

Menurut polis, orang awam melihat seorang lelaki membawa kanak-kanak malang itu dari kompleks membeli-belah berhampiran Pudu Sentral.

Difahamkan bahawa kanak-kanak itu dibawa oleh ibunya ke kompleks membeli-belah berkenaan. #sumber
Share:

PM: Insiden MH370 Tidak Jejas Hubungan Malaysia - China


BEIJING (China): Hubungan erat Malaysia dan China tidak terjejas berikutan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, malah ia memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin sejak 40 tahun lepas, kata Datuk Seri Najib un Razak.

Perdana Menteri mengakui ada kesan pada peringkat awal kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas, namun ia tidak menghalang hubungan kedua-dua negara.

Hubungan baik dan suasana positif jelas terserlah dalam lawatan beliau ke negara ini, terutamanya ketika mesyuarat dua hala dengan delegasi China yang diketuai Perdana Menteri China Li Keqiang di Great Hall of People di sini, Khamis. 

"Wujud suasana yang menyenangkan dan positif semasa pertemuan kami dan ketika jamuan makan malam. Saya menjalinkan hubungan kerja yang amat baik dengan Perdana Menteri (China)," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan enam hari beliau ke China bermula Selasa.

Najib berkata beliau juga telah menjemput Li untuk melawat Malaysia tahun ini.

Ditanya sama ada kerajaan China membangkitkan insiden MH370 pada mesyuarat dua hala itu, Najib berkata China memberikan komitmen untuk meneruskan kerjasama dan bantuan yang diberikan sehingga fasa seterusnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tiga pihak antara China, Malaysia dan Australia.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada tengah malam 8 Mac lepas.

Hampir dua pertiga daripada penumpang pesawat itu adalah warganegara China. 

Terdahulu, semasa berucap merasmikan mesyuarat dua hala itu, Li berkata China sedih dengan insiden itu dan ia bekerjasama rapat dengan Malaysia dan negara-negara lain dalam operasi mencari pesawat itu.

Katanya China juga berharap Malaysia akan meneruskan operasi mencari itu bagi menentukan apa yang sebenarnya telah berlaku terhadap pesawat itu. #sumber
Share:

Sukma Tercemar: Bumbung Kanvas Komplek Renang Koyak


KANGAR: Acara renang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 diteruskan walaupun sebahagian besar bumbung kanvas Kompleks Renang (KSN) Kangar terkoyak selepas lebih kurang 10 minit hujan turun.
  
Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong berkata acara renang yang menawarkan 10 pingat emas itu bakal diadakan selepas bumbung kanvas dibuka.
  
"Kita akan teruskan acara renang, tidak ada masalah beraksi di kolam renang terbuka ataupun tertutup. Sukan SEA di Cheras dulu pun dijalankan di kolam renang terbuka.
  
"Kolam renang di sini boleh digunakan dan pertandingan boleh diteruskan selepas bumbung kanvas dibuka. Kita akan adakan pertandingan secara terbuka," katanya kepada pemberita sebaik sahaja kejadian itu berlaku.
  
Bumbung kanvas kompleks renang tersebut mula koyak semasa acara terjun berjalan di kolam terjun, berhadapan dengan kolam renang itu, selepas hujan selama 10 minit dan pemberitahuan kolam renang ditutup dipaparkan pada skrin kira-kira pukul 2.20 petang.
  
Acara terjun terpaksa dihentikan sejurus sahaja kejadian berlaku namun ia bermula semula setengah jam selepas itu, sebaik sahaja hujan dan angin kuat berhenti.
  
Bumbung kanvas tersebut mengalami kerosakan selepas lebih kurang empat jam acara terjun berlangsung.
  
Edwin berkata acara terjun tidak terganggu dengan masalah bumbung kanvas terkoyak dan ia akan diteruskan sehingga acara terakhir.
  
"Saya tidak boleh beri komen mengenai acara renang, saya bertanggungjawab untuk bahagian acara sahaja. Bagi fasiliti seperti kolam, ia tanggungjawab penganjur namun bagi saya kemudahan lain tiada masalah," katanya.
  
Sebelum ini, acara akuatik yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ditunda ke hari ini selepas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan meminta aspek keselamtan kompleks tersebut diperiksa dengan betul.
  
Sementara itu, Pengarah Operasi Lima Corporation Sdn Bhd, Hishamuddin Abdul Hamid, wakil kontraktor utama projek pembinaan pusat akuatik itu, berkata kanvas yang digunakan untuk bumbung kolam renang adalah berbeza dengan kanvas yang dipasang pada bumbung utama iaitu bumbung bagi kolam terjun.
  
Katanya, kanvas yang digunakan ialah jenis 'porous' bersifat tidak kalis air dan pihaknya bersetuju menggunakan kanvas jenis itu selepas diberikan taklimat mengenai fungsinya.
  
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata pihaknya akan berjumpa dengan kontraktor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan jawatankuasa teknikal Sukma ke-17 sebelum menghantar laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan berhubung insiden itu.
  
"Sebelum ini kita mendapat jaminan bahawa pusat akuatik ini selamat digunakan dan JKR telah mengeluarkan sijil perakuan bahawa kompleks ini selamat digunakan," katanya. #sumber
Share:

Piala FA: Tengku Muda Yakin Tok Gajah Akan Mara Ke Akhir


KUANTAN: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berharap skuad Tok Gajah bersiap sedia menggempur kubu Johor Darul Ta'zim (JDT) esok sekali gus mencipta kemenangan bagi memastikan mereka layak ke pusingan Akhir Piala FA.

Tengku Abdul Rahman berkata, para pemain perlu menunjukkan prestasi terbaik pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur itu dan berjaya mencipta kemenangan di tempat sendiri.

"Saya yakin para pemain dan jurulatih dapat buat yang terbaik. Saya juga telah arahkan mereka untuk bekerja keras dan akhirnya berjaya ke peringkat akhir.


"Saya harapkan nasib menyebelahi kita pada perlawanan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Pengundian Pesta Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda 2014 di sini kelmarin.

Sebanyak 58 pasukan terdiri daripada 1,200 pemain dari seluruh negeri akan berentap untuk merebut Piala SAS di Temerloh berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Dalam pada itu,Tengku Abdul Rahman mengingatkan penonton khususnya penyokong Tok Gajah supaya menjaga kelakuan mereka ketika perlawanan tersebut.

"Kedua-dua penyokong perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kepada pasukan yang menang janganlah terlalu keterlaluan hingga menyentuh perasaan pasukan lawan," katanya.

Katanya, beliau mengharapkan peminat Tok Gajah terus kekal memberikan sokongan padu kepada pasukan terbabit dan pihaknya menghargai sokongan mereka yang semakin meningkat terhadap Pahang.

"Para penyokong Pahang supaya datang memenuhi stadium bagi memberi semangat kepada pasukan ini pada perlawanan itu," katanya. #sumber

Share:

Permohonan Penceraian "Abby Abadi" Di Tangguhkan 11 Jun


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini diberitahu suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, melakukan dua kali lafaz cerai terhadap pelakon itu termasuk salah satunya tidak dimaklumkan kepada mahkamah. 

Sehubungan itu Hakim Syarie iaitu Shaiful Azli Jamaludin terpaksa menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat pelakon itu kepada 11 Jun depan bagi membolehkan lafaz cerai kali pertama difailkan.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, sebelum itu mendedahkan kepada mahkamah suaminya pernah memberitahu seorang kenalan bahawa mereka sudah bercerai dan mengakui terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu.

Pasangan itu bagaimanapun meminta nasihat kes itu kepada bapa saudara Muhammad Noor Farhan yang juga defendan dalam kes ini dan mereka kemudiannya melakukan rujuk secara perbuatan tanpa melaporkan kes berkenaan kepada mahkamah.

"Lafaz kali pertama itu tidak dibuat kepada saya tetapi dia memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila saya dimaklumkan mengenai perkara itu saya merujuk perkara berkenaan kepada bapa saudara suami di Kelantan untuk mengetahui sama ada ia sah atau pun tidak.



"Apabila diberitahu lafaz dibuat itu sah kami rujuk secara perbuatan tanpa melaporkannya kepada mahkamah," jelas Abby kepada mahkamah.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut memberitahu kejadian itu berlaku pada Januari lalu.

Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah, Muhammad Noor Farhan telah menghantar mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepadanya berbunyi "Aku ceraikan kau" dan diikuti "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" pada 9 Mei lalu. 



Jelas Abby, SMS yang dihantar kira-kira pukul 10.25 pagi itu dibuat oleh defendan selepas mereka bertengkar pada malam sebelumnya ekoran suaminya itu tidak pulang ke rumah.



"Semasa saya terima SMS berkenaan saya berada di dalam kereta namun saya tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan kepastian daripadanya.

"Kejadian berpunca selepas terdapat perselisihan faham yang berlarutan sehingga dia tidak balik rumah pada malam sebelum dia melafazkan cerai menerusi mesej," katanya kepada mahkamah.
Muhammad Noor Farhan ketika disoal balas oleh Shaiful Azli mengakui ada menghantar SMS berkenaan dan memang berniat untuk menceraikan isterinya itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui diluar mahkamah memberitahu, dia reda dengan ketentuan terhadap perkahwinannya dengan Muhammad Noor Farhan namun masih berharap ia dapat diselesaikan secara baik. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.