script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

BANGSA Bakal Jalinkan Kerjasama Dengan "112 NGO" Berpengaruh


KUALA LUMPUR: Parti Anak Muda Melayu Kebangsaan (BANGSA) telah mengenalpasti dan menghubungi 112 badan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh di seluruh negara bagi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada tahun ini.

Presiden BANGSA, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, kerjasama yang terjalin bertujuan untuk mencapai agenda BANGSA memperoleh jumlah ahli parti seramai mungkin dan menghargai usaha setiap NGO yang berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, NGO terlibat adalah NGO yang diwakili berbagai bangsa mencakupi semua bidang sama ada politik, kebajikan, sosial, rekreasi, kebudayaan, seni, perdagangan, hak asasi, alam sekitar dan lain-lain.

"Setiap NGO berkenaan memiliki sekurang-kurangnya 5,000 orang ahli dan mempunyai rekod yang bersih serta dikenali oleh majoriti rakyat. Ahli mereka yang layak akan berdaftar secara automatik dengan parti BANGSA sekaligus menambah sasaran bilangan ahli parti iaitu sebanyak 1 juta orang sebelum menjelang tahun 2020.

"Kita mahu menarik minat setiap ahli berusia 16 hingga 45 tahun untuk bersama-sama dalam perjuangan BANGSA. Ini kerana NGO tidak mempunyai batas untuk berkhidmat kepada rakyat dan terpisah dari kuasa politik sebelum ini.

"Keadaan itu tidak berlaku pada NGO atau BANGSA sendiri, kita akan perbaiki dan mahu berkhidmat untuk semua malah lebih membanggakan kita memiliki barisan kepimpinan serta ahli dikalangan anak muda yang mahu berkhidmat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Sementara itu, Syed Faiz berkata, kerjasama ini juga memberi kelebihan kepada parti BANGSA yang membuka keahlian kepada rakyat seawal usia 16 tahun.

"Kita lihat kelebihan pada masa akan datang di mana ahli berusia 16 tahun hari ini akan cukup umur 21 tahun dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
"Mereka inilah yang akan menyumbang undi kepada BANGSA yang mana kita juga sedang membuat persediaan dari awal memilih dan akan menempatkan calon untuk mengambil bahagian pada PRU ke-15 nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau (Syed Faiz) menyifatkan kerjasama yang bakal terjalin itu akan memberi dimensi baru kepada parti BANGSA selaku parti baru yang membawa agenda perjuangan negara dari sudut perspektif generasi muda.

"Semua NGO yang dihubungi telah bersetuju dan sedia menjalin kerjasama dengan BANGSA malah mereka gembira kerana kita membuka ruang kerjasama dengan NGO walaupun ramai daripadanya tidak nampak kelebihan yang ada pada mereka.

"Kerja-kerja masyarakat yang dilakukan mereka (NGO) juga lebih menyeluruh, tertumpu dan mereka mampu mendekati rakyat melalui susunan aktiviti dan program yang dekat di hati rakyat terutamanya menghulurkan bantuan ketika saat diperlukan selain memperjuangkan isu setempat.

"BANGSA juga mempunyai nilai sama di mana pengukuhan parti serta ahli adalah kesungguhan untuk memperjuangkan isu serta masalah rakyat sentiasa diberi keutamaan selain perkongsian idea di kalangan anak muda akan diketengahkan supaya mendapat tempat dan perhatian oleh semua pihak", akhirinya.

Anak muda yang berminat menyertai BANGSA boleh buat pendaftaran secara online di http://partibangsa.blogspot.com #PDO
Share:

Datuk Shahaniza Shamsuddin Menang Ketua UMNO Bahagian Maran


MARAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Maran yang baharu selepas memperoleh 367 undi, menewaskan penyandang Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib pada Mesyuarat UMNO bahagian itu, di sini, hari ini.
Kemenangan itu juga menyaksikan Shahaniza, 48, muncul sebagai Ketua UMNO Bahagian wanita pertama di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang sebelum ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, beliau mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) mendapat 5,541 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.
Ismail, 64, pula mengekalkan kerusi Parlimen Maran disandangnya sejak empat penggal lalu itu pada PRU-14 selepas menewaskan calon PAS, Hasenan Haron dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Farid Ahmad Nordin dengan majoriti 3,763 undi. #sumber
Share:

Pemilihan: Pahang Terima Lima "Ketua UMNO Bahagian" Baharu


KUANTAN: Keputusan semasa pemilihan UMNO menyaksikan sekurang-kurangnya lima muka baharu termasuk seorang menang tanpa bertanding dipilih mengetuai bahagian-bahagian UMNO di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut selepas penyandangnya, Datuk Ahmad Nazlan Idris tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Muka baharu lain yang menang jawatan ketua bahagian UMNO bagi penggal 2018-2021 ialah Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar (Kuantan)' Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (Maran) dan Datuk Abdul Aziz Mat Kiram (Raub).

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob pula mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bentong yang disandangnya selama 31 tahun.

Sementara itu, enam penyandang ketua bahagian UMNO di negeri ini menang tanpa bertanding iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Cameron Highlands), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin (Temerloh). #sumber
Share:

Pemilihan UMNO: Zahid Menang Jawatan Presiden Sessi 2018-2021


KUALA LUMPUR : Sah. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO yang baharu.
Ia selepas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berjaya memperoleh 93 undi setakat jam 9.23 malam , sekali gus menewaskan empat pesaingnya.
Ahmad Zahid menewaskan dua nama besar dalam UMNO iaitu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau yang memperoleh 51 undi.
Manakala veteran UMNO selaku Ahli Parlimen Gua Musang hanya mendapat 23 undi.
Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang dilabel calon ikan bilis iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin, masing-masing belum memperoleh sebarang undi. #sumber
Share:

Akaun "Yayasan TAFF" Di Asaskan Oleh Tunku Puan Pahang Turut Di Bekukan


KUANTAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kecewa apabila akaun bank Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskannya sejak 2004 dibekukan tanpa diberikan sebarang pemberitahuan dan sebab yang munasabah.

Tunku Azizah menerusi akaun twitter rasmi baginda, Cheminahsayang hari ini bertitah, pihaknya menyedari akaun HSBC yayasan berkenaan dibekukan selepas cek dikeluarkan dikembalikan.

Baginda kesal kerana tidak dimaklumkan pihak yang bertanggungjawab membekukan akaun itu dan disifatkan tidak adil sama sekali.

Saya percaya kepada ketelusan dan akauntabiliti namun mengapa akaun yayasan berkenaan dibekukan tanpa sebarang pemakluman.

“TAFF bergantung sepenuhnya kepada penjualan buku masakan dan derma, kami tiada (sumber) kewangan pada masa ini dan tidak dapat menaja rawatan. Saya juga mengalu-alukan untuk menyemak akaun kami yang sudah diaudit," titah baginda menerusi twitter yang dimuat naik kira-kira pukul 3.15 petang tadi. #sumber


Share:

Anggota UMNO Perlulah Kembali Kepada "Semangat Perjuangan" Lama


MARAN: UMNO sukar untuk ditewaskan jika setiap anggotanya mengamalkan prinsip persaudaraan dan kesetiaan seperti semangat perjuangan menentang Malayan Union dahulu.

Ketua Bahagian UMNO Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib mendakwa namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya menyebabkan UMNO tewas kerana sikap anggoya parti itu sendiri yang 'membuka empang' kepada lawan.

"Kembalilah bersatu dalam wadah UMNO kerana parti ini sangat berjasa kepada orang Melayu dan negara," katanya berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Maran 2018 di Dewan UMNO Pekan Tajau hari ini.

Ismail bertanding mempertahankan jawatan Ketua Bahagian UMNO Maran ditentang timbalannya Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Beliau yang turut menawarkan diri dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO percaya pertandingan terbuka dalam semua jawatan mematangkan UMNO agar relevan sepanjang zaman. #sumber
Share:

Isteri Terkilan Suaminya Kahwini Kanak-Kanak Berumur 11 Tahun


GUA MUSANG: Ibu anak empat melahirkan rasa terkilan dengan tindakan suaminya berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.

Menurut wanita yang berusia 34 tahun itu, dia hanya mengetahui perkara berkenaan setelah dimaklumkan rakannya dengan perkongsian foto perkahwinan suami.

Katanya, difahamkan, suaminya bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand, pada 4 Syawal lalu.

“Remuk hati saya bila menerima perkongsian foto itu kerana sebelum ini, saya pernah bertanya selepas diberitahu kenalan terdekat mengenai hubungan mereka.

“Tapi, dia kata tidak logik untuknya bercinta dengan kanak-kanak. Bila saya bertanya selepas menunjukkan foto berkenaan, pada awalnya dia tidak mengaku.

“Namun akhirnya dia mengaku dan memberitahu Rasulullah SAW mengahwini Siti Aisyah di usia sembilan tahun,” katanya sebak.

Namun, katanya perkongsian di laman sosial Facebook miliknya itu bukanlah untuk ditularkan.

“Saya sudah merujuk kepada pihak yang lebih arif dalam kes ini.

“Biar mereka yang tentukan kes ini,” katanya.

Sementara itu, memetik portal berita Mstar,  wanita berkenaan berkata dia tidak terkejut dengan tindakan suaminya itu kerana pernah terdengar desas-desus suaminya akan berkahwin lagi sebelum ini.

“Suami pun pernah kata tak mungkin dia akan kahwin dengan budak. Jadi saya dan isteri pertama pun fikir perkara yang sama.

“Namun saya tak sangka perkara itu benar-benar terjadi. Kalau dengan anak dara atau wanita yang lebih berusia saya boleh terima.

“Saya sendiri pernah nak pinangkan seorang wanita untuk suami tetapi dia tolak. Yang buat saya marah sebab dia kahwin dengan kawan sepermainan anak saya,” katanya.

Ketika ditanya mengapa dia berkongsi kisah itu di media sosial, wanita berkenaan berkata tidak berniat untuk mengaibkan suaminya.

Sebaliknya, dia mahu suaminya itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan mengikut undang-undang. Saya dan isteri pertama sanggup terima madu kami sekiranya dia menjalankan tanggungjawab dengan baik, “ katanya.

Berita mengenai perkahwinan lelaki itu dengan budak perempuan 11 tahun menjadi bualan hangat netizen selepas perkara itu dikongsi isteri beliau sendiri.

Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki tersebut yang sanggup berkahwin dengan budak perempuan bawah umur. #sumber
Share:

Perubahan 'Drastik' Perlu Di Buat, UMNO Akan Diurus Seperti Badan Korporat


SENAWANG: UMNO yang ingin kekal relevan di masa depan perlu mengalami perubahan drastik dari sudut pengurusan kewangan dan pentadbiran termasuk dijalankan seperti badan korporat.

Malah, perubahan pengurusan yang telus dan profesional akan membantu parti keramat Melayu itu menghapuskan fenomena politik wang.

Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata jika beliau dipilih perwakilan sebagai pemimpin kedua tertinggi parti, beliau bersedia untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan seperti mana kejayaannya menguruskan Negeri Sembilan sewaktu memegang jawatan Menteri Besar.

“Kita harus mempunyai ‘corporate governance’. Jika dahulu maklumat kewangan UMNO hanya diketahui Presiden, Timbalan Presiden, Bendahari, dan beberapa individu. Malah kewangan diuruskan dengan senyap-senyap.

“Transaksi juga tidak direkodkan atau tidak diketahui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi dan sebagainya. Sepatutnya jika ada pentadbiran korporat, bendahari mempunyai tugas untuk membentangkan prestasi kewangan parti kepada pemimpin lain supaya kewangan parti boleh diuruskan dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata pengurusan kewangan UMNO yang dahulu harus diubah dengan drastik. Begitu juga dengan pengurusan ahli-ahli.

“Saya berpendapat tidak perlu UMNO meneruskan ibu pejabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana kosnya tinggi.

“Kita kalah pilihan raya, buatlah cara orang yang kalah. Kita harus lebih dekat dengan realiti. Kurangkan perbelanjaan tidak perlu, rendahkan diri dan fokus pada pengurusan parti,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Rembau di Senawang, hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata fokus pemulihan parti akan bermula apabila ahli-ahli akar umbi diperkasakan.

“Selama ini UMNO berfungsi sebagai organisasi ‘top-down’. Kita raikan pemimpin, mereka mendapat untung, sedangkan pemimpin akar umbi dan ahli-ahli terus bekerja kuat.

“Zaman itu sudah berubah. Seperti sebuah rumah traditional Melayu yang akan runtuh jika tiangnya rapuh, begitu juga UMNO.

“Penggal lalu kita terlalu yakin sehingga boleh memanggil pilihan raya walaupun terpaksa berdepan skandal yang amat besar. Sekarang kita menanggung kekalahan namun hikmahnya, kita boleh bermula baru.

“Inilah hikmah kita kalah. Jika tidak, UMNO tidak akan pernah berubah. UMNO di masa depan tidak boleh lagi mempunyai pemimpin dengan skandal. Jika tidak, kita akan terkubur,” katanya.

Pencalonan Mohamad, ADUN Rantau, sebagai Timbalan Presiden disaingi oleh Ketua Penerangan UMNO dan ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin turut hadir di mesyuarat tersebut dan mengundi bersama perwakilan yang lain. #sumber
Share:

Jokowi: Saya 'Tidak Khuatir' Jikalau Pemandunya Bapak Tun Mahathir


JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo memulakan bicara sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia dengan mengimbau pengalamannya menaiki kereta yang dipandu Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kelajuan 180km sejam.

"Saya tidak khuatir, saya tidak takut kerana pemandunya ialah Bapa Tun Mahathir," kata Joko atau lebih dikenali Jokowi dalam sidang media itu semalam.

Beratus media di Indonesia turut membuat liputan meluas lawatan rasmi Tun Dr Mahathir itu ke Indonesia sejak Khamis.

Media Indonesia turut menggambarkan sidang media bersama telah berlangsung dalam suasana yang cukup gembira, santai, mantap dan kedua-dua pemimpin itu turut bercanda (bergurau senda), sehingga menteri kabinet Jokowi yang hadir sama, turut bertepuk tangan.

Malah kenyataan Jokowi berhubung pemanduan kereta itu cuba diberikan makna lain, yang dilihat analogi kepada kekaguman Jokowi, media dan rakyat Indonesia terhadap Dr Mahathir, pemimpin senior berusia 92 tahun itu.

Perdana Menteri tiba Jakarta pada Khamis dengan disambut Jokowi untuk lawatan rasmi itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara sejak 60 tahun lepas.

Indonesia merupakan negara pertama Asia Tenggara yang dilawati Dr Mahathir selepas beliau menyandang jawatan Perdana Menteri susulan kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan, yang diterajuinya, pada pilihan raya umum Mei lepas.

Semalam di Istana Presiden di Bogor, Dr Mahathir diberikan sambutan rasmi.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Istana Presiden itu pada 10.10 pagi dan disambut Jokowidan isteri Iriana Joko Widodo.

Dr Mahathir ketika bercakap kepada pemberita Malaysia turut melahirkan kegembiraannya hasil lawatan rasminya itu.

Dalam lawatan rasmi itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju dalam menangani isu isu berkaitan sempadan kedua-dua negara, bersepakat menangkis kempen buruk terhadap industri sawit dan kemungkinan menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN.

Dr Mahathir berkata idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indo itu duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Ketika itu, saya bukan lagi Perdana Menteri dan saya memandu 180 kilometer sejam."

"(Tapi) Bapak Presiden (Jokowi) tidak merungut apa-apa (ketika kereta itu dipandu laju)," kata.

Bak kata pepatah Melayu: Hanya jauhari yang mengenal manikam. #sumber
Share:

Mohamad Hasan: "Akaun" UMNO Negeri Sembilan Tidak Di Bekukan


SEREMBAN: Akaun UMNO Negeri Sembilan dan Bahagian Rembau tidak terlibat dalam pembekuan aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pembekuan beberapa akaun UMNO ada kaitan dengan penyiasatan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Setakat petang semalam, saya sudah minta pejabat supaya bertanyakan pada bank tentang keadaan akaun UMNO perhubungan dan bahagian Rembau, tiada apa-apa."

"UMNO negeri pun tidak pernah menerima peruntukan terus dari presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Rembau di sini.

Beliau yang juga merupakan calon Timbalan Presiden bagi pemilihan UMNO berkata parti itu akan meminta pertimbangan dari pihak berkuasa atas nama kemanusiaan untuk membolehkannya membayar gaji kakitangan-kakitangannya.

"Saya tidak nampak bahawa ada unsur nak menganiaya sesiapa, cuma dibekukan untuk siasatan," katanya. #sumber
Share:

Gagal PRU14, Noh Omar Lepaskan Jawatan Sebagai Pengerusi UMNO Selangor


TANJONG KARANG: Tan Sri Noh Omar akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor susulan gagal menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas.

Beliau yang menerajui UMNO Selangor sejak 2013 berkata keputusan itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk parti berkenaan di negeri terbabit.

Noh berkata beliau akan melepaskan jawatannya selepas proses pemilihan serta pelantikan Presiden UMNO yang baharu selesai dan perkara itu juga akan dimaklumkan sendiri kepada pemimpin tertinggi parti berkenaan.

"Saya mahu beri peluang kepada muka baharu (memimpin UMNO Selangor) yang mungkin akan ada pendekatan (membangunkan parti) dengan lebih baik."

"Saya akan terus menjaga Tanjong Karang kerana saya anggota Parlimennya, dan jika saya diberi mandat sekali lagi sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, saya akan mainkan peranan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini hari ini. #sumber
Share:

Shahrir: Tindakan "Siasat" Akaun UMNO Mengikut Akta AMLA Tidak Wajar


JOHOR BAHRU: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) membekukan akaun UMNO untuk disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) tidak wajar kerana akta berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk parti politik.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata ia seolah-olah memberi gambaran buruk bahawa hasil dana parti UMNO diperoleh daripada kegiatan jenayah.

Menurutnya, UMNO dan BN jadi sasaran seolah-olah pelaksanaan tindakan undang-undang sedangkan undang-undang yang digunakan tidak dirangka untuk parti politik.

“Ini kerana parti politik sememangnya memiliki dana politik yang diperoleh salah satunya daripada sumbangan dana dari pelbagai pihak, dalam pelbagai bentuk seperti cek dan tunai,” katanya pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini, hari ini.

Shahrir berkata akta berkenaan seharusnya digunakan dalam menyiasat entiti yang terlibat di dalam kegiatan terorisme, dadah serta jenayah dan bukannya UMNO.

“Erti pengubahan wang haram adalah kegiatan ‘mencuci’ wang hasil jenayah untuk digunakan bagi tujuan lain yang sah. Jadi, saya melihat ada percanggahan undang-undang di situ.

“Adakah ini bermakna semua dana parti politik adalah hasil jenayah? Sampai ia perlu disiasat sebegitu?,” katanya.

Menurut Shahrir, UMNO juga akan melihat lebih lanjut perkara ini dan akan mencari cara melalui undang-undang bagi mencabar pelaksanaan siasatan berkenaan.

“Kita pada hari ini masih sibuk dengan pemilihan pimpinan dan anggota jawatankuasa di peringkat bahagian dan pusat tetapi selepas ini kita akan tengok cara (perundangan) yang sesuai,” katanya. #sumber
Share:

Khaled "Dedah" Pernah Di Serang "Orang" Najib Ketika Menegur Isu 1MDB


JOHOR BAHRU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mendedahkan beliau pernah diserang dan dijadikan sasaran 'orang-orang' dan 'budak-budak' Datuk Seri Najib Tun Razak ketika cuba menegur bekas presiden parti itu berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamed Khaled yang merupakan calon Naib Presiden UMNO berkata 'orang-orang' itu termasuklah yang ada dalam bahagian Pasir Gudang.

"Saya masih ingat sewaktu kisah 1MDB mula-mula timbul. Bila Presiden datang ke Pasir Gudang, saya dengan jelas mengingatkan Presiden bahawa UMNO ini bermasalah dan kita tidak boleh hidup dalam penafian."

"Setelah itu, saya diserang dan dijadikan sasaran oleh orang-orang dan budak-budak presiden termasuk yang ada dalam bahagian Pasir Gudang dan akhirnya saya pun mengambil keputusan untuk tidak lagi menegur Presiden. Mendukung saja beliau," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini.

Bagaimanapun, sikap itu (terlalu mengutamakan Presiden dan bukannya kepentingan parti) kemudian akhirnya memakan UMNO sendiri apabila 'terjerumus' (kalah) teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas kerana orang Melayu sudah muak dan marah dengan pendekatan diambil.

"Tambahan pula, Presiden menggunakan segala macam cara untuk menagih kesetiaan ahli. Wala' lah. Bai'ah lah. Dipergunakan segala macam konsep Islam untuk memelihara kepentingan peribadinya."

"Jadi, ini adalah satu lagi kesilapan. Kesilapan yang tidak seharusnya berulang. Kita mesti berani menegur presiden dan mana-mana pemimpin kita. Tegur dengan kebenaran. Hidup dengan kebenaran. Dan berjuang dengan kebenaran," katanya. #sumber
Share:

Pakatan Harapan Boleh Jatuh Jika Gagal Pegang Amanah Rakyat !


LANGKAWI:  Kerajaan Pakatan Harapan berjanji tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan lepas yang telah gagal memegang amanah yang diberikan oleh rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya beliau bersama-sama dengan Pakatan Harapan boleh dijatuhkan oleh rakyat jika melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan agama.

"Kalau saya yang menipu, beritahu. Saya boleh dijatuhkan. Begitu juga wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Harapan yang menipu boleh disingkirkan jika mereka gagal memegang amanah mereka," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung ke-29 Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi di sini.

Menurutnya kerajaan dahulu yang didakwanya mencuri duit rakyat, tidak segan silu mengaku duit berkenaan halal dan menggunakannya untuk menghantar rakyat mengerjakan haji.

"Bagaimana duit ini boleh dikatakan halal dan diberikan untuk membuat haji jika ia hasil daripada yang dicuri," katanya.

Dr Mahathir berkata konsep amanah ini juga penting dalam pengurusan koperasi kerana ia menentukan jatuh bangunnya organisasi itu.

Katanya sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan koperasi perlu menjalankannya dengan penuh ikhlas dan beramanah.

Apa sahaja kerja yang diberikan perlu dijalankan dengan amanah. Jangan ambil hak orang. Syarikat (koperasi) akan maju dan dapat kekal kerana sentiasa memperoleh keuntungan, katanya.

Sementara itu, pengerusi koperasi itu, Juhari Bulat berkata mereka mampu menjana keuntungan yang membolehkan anggota-anggotanya menikmati dividen 10 peratus setiap tahun sepanjang 30 tahun lepas.

Juhari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat berkata koperasi itu kini merancang untuk memulakan keusahawanan resort selepas berjaya mengusahakan stesen minyak, kilang tar, hotel dan kedai motosikal. #sumber
Share:

Wan Shahrir: Selepas PRU, Borang PPBM Kini Laris Di Negeri Pahang


TEMERLOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Pahang mendakwa borang keanggotaan parti itu kini laris ibarat 'pisang goreng panas' selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ketua Perhubungan PPBM Pahang Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil berkata ramai yang menunjukkan minat untuk menyertai parti itu sehingga ada kalanya borang parti yang diedar mencecah 1,000 keping sehari.

"Sebelum PRU14 lalu keanggotaan PPBM di Pahang hanya sekitar 3,000 sahaja tetapi sekarang keanggotaan melebihi 10,000 orang dan jumlahnya dijangka meningkat berdasarkan jumlah borang yang telah diedarkan setakat ini," katanya di sini.

Beliau ditemui semasa hadir ke jamuan rumah terbuka Aidilfitri bekas Ketua UMNO Cawangan Pengkalan Jaya Datuk Rofaie Md Hamdan.

Pada majlis itu Rofaie turut mengumumkan keluar UMNO dan menyertai PPBM. #sumber
Share:

Dr Asyraf Wajdi: Kerajaan Pakatan Harapan Gagal Tunai Janji Kepada Pengundi Muda


PASIR PUTEH: Pembohongan Kerajaan Pakatan Harapan semakin menonjol apabila manifesto dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) gagal dilaksanakan seperti yang dijanjikan kepada Rakyat. 

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, janji yang ditawarkan menerusi manisfeto itu menyebabkan majoriti pengundi muda terpedaya untuk melihat perubahan dalam pentadbiran negara. 

Menurutnya, kegagalan memansuhkan bayaran Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPN), memansuhkan bayaran tol dan menurunkan kadar harga minyak dengan tampungan subsidi kerajaan menyebabkan sebilangan besar pengundi muda kesal tersilap memberi mandat. 

"Banyak tuntutan dan perubahan yang dirancangkan termasuk tidak menghormati penggunaan Bahasa Kebangsaaan dalam urusan rasmi kerajaan dan lain-lain perubahan perlu menjadi titik kesedaran kepada rakyat. 

"Kita khuatir kepimpinan negara hanya menjadi kuda tunggangan pihak tertentu untuk merealisasikan impian dan perjuangan politik mereka termasuk berusaha mengubah perlembangaan yang tidak serasi dengan selera mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah Pulau Lima, di sini hari ini. 

Pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Zawawi Othman dicabar Mohd. Agil Awang dan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Muhammad Yusri Ismail. 

Manakala Asyraf menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan. 

Asyraf berkata, UMNO masih releven dalam arena politik negara kerana perjuangannya yang membawa denyut nadi rakyat sekali pun mendapat kekangan kerajaan baharu. 

"Kita menghormati keputusan rakyat dan sedar kuasa kerajaan adalah pilihan rakyat sendiri. UMNO akan mengorak langkah baharu sebagai pembangkang yang kuat dan tegas. 

"Manakala rakyat perlu menilai kembali tekanan, kekangan dan janji-janji yang gagal ditunaikan oleh kerajaan semasa dalam skop yang global dan seharusnya tidak tersilap pilih kerajaan pada masa akan datang," katanya. #sumber
Share:

Khaled Nordin: Hina Dan Caci Tun Dr Mahathir Punca UMNO Tewas !


JOHOR BAHRU: Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara faktor UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kerana tindakan menghina negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, UMNO harus mengaku tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan bekas pemimpin mereka itu.

"Kita ambil jalan mudah, dengan menyerang Tun Dr. Mahathir, mencaci, mengungkit, malah mempersendakan keturunannya.

“Tidak boleh dinafikan itu antara penyebab yang membuatkan masyarakat, khususnya orang Melayu menolak UMNO dalam PRU lalu,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled berkata, UMNO turut gagal berpegang dengan nilai untuk berbakti kepada bangsa dan membuahkan kebaikan kepada masyarakat.

“Kita lakukan sebaliknya dengan mengungkit bahawa orang Melayu perlu berterima kasih kepada UMNO dan bukan sebaliknya.

“Kita jadikan UMNO jalan untuk mencari pengaruh, nama dan kekayaan, ini kesilapan yang mesti kita akui,” katanya. #sumber

Share:

ADUN Pulau Tawar, Nazri Ngah Ketua UMNO Bahagian Jerantut Yang Baharu


JERANTUT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan parti itu di Dataran Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Penyandang Ketua Bahagian UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris tidak mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.

 Nazri sebelum ini memegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian berkenaan. Seramai 627 perwakilan hadir pada sesi pemilihan kali ini bagi memilih kepemimpinan baharu UMNO bagi penggal 2018-202. #sumber
Share:

Ku Li Dakwa "Sifat" Berlagak Serta Sombong Jadi Punca UMNO Tewas PRU-14 !


KUALA LUMPUR: Tiga calon Presiden UMNO berbeza pandangan mengenai kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, percaya sifat berlagak dan sombong pemimpin UMNO antara punca utama kekalahan parti itu 9 Mei lalu.
"Ada antara pemimpin kita yang berlagak sombong, ekstremis serta seolah-olah macam elitis, tidak mahu bergaul, bercampur orang ramai dan rakyat susah untuk berjumpa mereka.
"Masa nak undi, sanggup turun ke bawah tetapi selepas dipilih, bergaya hidupnya, menunjuk-nunjuk ada harta lebih daripada biasa. Apa semua ini? Disebabkan ini, mereka marah kepada kita (UMNO)," katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh, berkata ahli dan pemimpin UMNO perlu didoktrin untuk memahami makna politik wang yang bukan sahaja sudah menjadi barah, malah budaya hidup dalam parti itu.
Beliau berkata demikian pada program Debat Calon Presiden UMNO, yang disiarkan di Astro Awani, hari ini.
Selain Tengku Razaleigh, debat itu turut disertai dua lagi calon iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy pula berkata, UMNO tewas kerana kepincangan serta masalah penyelewengan yang terpalit pada pemimpinnya dan kemerosotan undi bukan sahaja berlaku dalam kalangan pengundi muda, malah membabitkan saluran pengundian, termasuk pengundi pos.
"Hakikatnya, UMNO terpaksa menanggung skandal besar. Air di hulu keruh, ditapis macam mana sekalipun tetap akan kotor," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berpendapat, kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 adalah akibat prestasi tidak cemerlang rakan komponen yang sekadar memperoleh tiga kerusi Parlimen di Semenanjung.
"Kita perlu melihat pada realiti dan undi popular yang memaparkan kita memperoleh 45 peratus dan kegagalan ini dilihat kerana parti komponen lain hanya memenangi tiga kerusi.
"Kita perlu mempraktikkan tanggungjawab secara kolektif dan membuat perubahan bersama-sama, bukan menuding jari semata-mata.
"Kita juga perlu mengatasi masalah sabotaj kerana saya difahamkan ada pemimpin di akar umbi yang berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon pilihan raya," katanya. #sumber
Share:

Jika Menang, KJ Jemput NGO Dan Parti Lain Bangunkan Semula BN


ALOR SETAR: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan menjemput parti lain menyertai Barisan Nasional atau menubuhkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membangunkan semula parti itu sekiranya menang pada pemilihan UMNO, esok.

Beliau berkata perkara itu adalah satu daripada usaha menstruktur semula parti itu yang kini hanya disertai MIC dan MCA setelah parti komponen lain bertindak keluar dari gabungan BN selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

"Kalau saya menang nanti (pemilihan UMNO), saya akan duduk dengan MIC dan MCA kerana itu saja parti yang tinggal untuk kita merangka formula baru dalam BN.

"...tapi saya percaya dan yakin parti-parti (komponen) BN menantikan keputusan esok tentang siapa yang akan menjadi Presiden UMNO sebelum mereka membuat sebarang keputusan," katanya selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Calon Presiden UMNO di sini hari ini.

Kekalahan mengejut dan memalukan BN pada PRU14 menyaksikan sedikit demi sedikit parti-parti komponen dalam BN meninggalkan parti itu termasuk di Sabah dan Sarawak dengan terbaharu parti Gerakan yang mengumumkan keluar BN pada Sabtu lepas. #sumber
Share:

Lee Chong Wei Sekat Axelsen Ke Separuh Akhir Terbuka Malaysia


KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mudah menyekat laluan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen untuk meneruskan saingan ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 di sini, malam ini.

Chong Wei kini berada dalam landasan terbaik untuk menambah koleksi kejuaraannya buat kali ke-12 setelah menewaskan pemain tinggi lampai dari Denmark itu dengan straight set 21-17, 21-9 dalam masa 46 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Arena Axiata turut meriah dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang hadir seawal 3 petang tadi bagi memberikan sokongan kepada Chong Wei.

Chong Wei berkata walaupun menang mudah pada perlawanan itu beliau tetap menyifatkan bukan mudah menewaskan pemain muda seperti Axelsen yang berusia 24 tahun.

"Memang nampak mudah, tapi sebenarnya sengit menentang Axelsen. Beliau nampak berputus asa setelah saya mendahului 11-6 pada set kedua, saya terus bermain dengan pantas untuk mendapatkan mata. #sumber
Share:

Ku Li Mengajak Semua Perwakilan "Singkir" Petualang Dalam UMNO !


SHAH ALAM: Perwakilan UMNO di seluruh negara perlu menggunakan pemilihan parti pada hujung bulan ini untuk menyingkirkan petualang dalam parti, kata calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li bagaimanapun enggan menyebut nama petualang itu, namun beliau yakin perwakilan tahu pihak yang dimaksudkannya itu.
"Dalam UMNO ramai petualang dan kita kena lakukan 'pembersihan' dalaman. Petualang ini menggunakan kedudukan dalam parti untuk kepentingan diri sendiri, saudara-mara dan kawan-kawan.
"Disebabkan petualang inilah rakyat marah dan benci dan terhadap UMNO. Tiada guna diadakan pemilihan jika akhirnya barisan kepemimpinan yang dipilih tiga atau enam tahun lalu dipilih sekali lagi," katanya.
"Ahli UMNO atau rakyat di luar sana mahukan orang lain untuk memimpin parti, bukannya mengangkat sekali lagi barisan pemimpin ketika era pentadbiran Najib (Datuk Seri Najib Razak)," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh di sini, malam tadi.
Antara yang hadir memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh ialah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari; Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun; Ketua Umno Bahagian Pandan, Datuk Mohd Haniff Koslan; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri.
Tengku Razaleigh juga berkata, beliau sudah bersedia untuk bersemuka sekali lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad jika dipilih menerajui UMNO.
"Begitu juga sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kita tunggu dahulu, kita tengok siapa menang jawatan (Presiden UMNO). Selepas itu baru saya fikir untuk terima (ketua pembangkang)," katanya.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata hanya Tengku Razaleigh yang mampu mengetuai UMNO untuk 'melawan' serangan Dr Mahathir, Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lima calon yang bakal bertanding jawatan tertinggi parti ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri. #sumber
Share:

Pemuda Desak SPRM Supaya Tarik Balik "Pembekuan" Akaun UMNO !


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tindakan pembekuan akaun parti itu yang disifatkan sebagai tindakan melampau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pergerakan itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, pembekuan berkenaan malah akan menganiayai pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan mereka.
"Ia juga boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu pergerakan itu membantah tindakan itu yang langsung tidak mencerminkan kerajaan PH yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.
"SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka mengenai punca sebenar akaun UMNO dibekukan. Lazimnya dalam operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.
"Sebaliknya Ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan membabitkan perlanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO.
"Dalam konteks ini Pemuda UMNO menuntut prinsip undang-undang iaitu seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dihormati oleh semua pihak termasuk SPRM," katanya.
Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian.
Menurut Asyraf lagi, ketika pentadbiran Barisan Nasional, kerajaan tidak pernah sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.
"Apakah ini sebahagian daripada model 'Malaysia Baharu' yang dicanangkan? Namun pada masa sama sewenangnya membuli parti lawan yang tidak sehaluan.
"Kami berpandangan tindakan ini hanya akan menggambarkan sikap sebenar Kerajaan PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan parti UMNO, yang kini masih parti tunggal terbesar yang mewakili suara Melayu Islam dalam Dewan Rakyat.
"Dengan ini Pemuda UMNO memohon SPRM memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yang bersifat 'perniagaan biasa', dibenarkan melalui akaun-akaun yang dibekukan ini," katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mengalu-alukan sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Pemangku Presiden (Ahmad Zahid) dalam konteks ini sudahpun memberikan jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM," katanya. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.