script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Sebanyak 96% Aduan Paip Bocor, Pecah Selesai !


KUANTAN: Pengurusan Air Pahang (Paip) berjaya menyelesaikan 96 peratus atau 23,031 kes daripada 23,928 aduan berkaitan paip bocor atau pecah di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporatnya, Nurul Farhana Abdul Hamid (foto) berkata, Paip juga menyasarkan lebih banyak aduan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat dengan penggunaan jentera 'mini-excavator' yang baharu diperkenalkan bulan lalu.

Beliau berkata buat permulaan, semua 11 jentera itu yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta telah diagihkan kepada kesemua pejabat Paip daerah di Pahang kecuali Cameron Highlands berikutan faktor geografi.

"Mini-excavator ini berfungsi seperti jengkaut yang diguna pakai sekarang, namun dapat digerakkan dengan lebih pantas menggunakan lori berbanding jengkaut yang pergerakannya perlahan.

"Lori yang mengangkut mini-excavator juga dilengkapi dengan peralatan pembaikan dan paip yang membantu menjimatkan kos serta masa melakukan kerja penyelenggaraan," katanya kepada pemberita selepas taklimat penggunaan jentera berkenaan, di sini hari ini.

Nurul Farhana berkata, Paip menyasarkan penggunaan 'mini-excavator' itu dapat mengurangkan penangguhan kerja sebanyak 80 peratus dan menjimatkan kos penyelenggaraan antara RM15,000 dan RM20,000 sebulan.  

 Katanya, Paip juga telah melatih kakitangannya mengendalikan jentera itu dan menasihatkan pengguna yang mahu membuat aduan berkaitan paip bocor atau pecah supaya menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) di 09-5739999 atau e-mail aduan@paip.com.my. #sumber
Share:

Peniaga Di Kompaun, Banyak Barangan Dirampas


KUANTAN: Kegagalan peniaga di Bazar Hari Raya di pekarangan Stadium Darul Makmur mempamerkan tanda harga pada barangan  dijual akhirnya membawa padah apabila kesemua barang bernilai RM30,000 dirampas  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang.

Dalam operasi malam semalam, KPDNKK merampas pelbagai barangan termasuk baju Melayu, jubah dan baju kurung.

Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata, rampasan dibuat selepas peniaga gagal meletakkan tanda harga dan kesemua barangan akan dibawa pulang ke ibu pejabat KPNDKK Pahang untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, selain itu,  sebanyak 12 peniaga turut dikenakan tindakan kompaun kerana tidak meletakkan tanda harga dalam Ops Pra Raya berkenaan.

"Kesemua peniaga berkenaan dikenakan kompaun di Mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Kompaun yang dikenakan berjumlah RM2,750 dan kesemuanya kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan, malam semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid.

Sharuddin berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memantau peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, pengguna juga perlu bijak untuk membeli barangan di premis yang tidak menaikkan harga. Kita sebagai pengguna perlu tahu hak kita.

Dalam pada itu beliau menyeru kepada pengguna supaya membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengenakan harga melampau. #sumber
Share:

KPN Sahkan 'Mufti Pahang' Akan Di Siasat Polis !


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman akan disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran kenyataan 'kafir harbi' yang dikeluarkan beliau terhadap DAP dan orang bukan Islam yang kononnya menentang Islam.

"Polis telah menerima dua laporan pada 26 Jun, satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Dang Wangi.

"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan supaya membolehkan kita menyiasat," kata Khalid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Rahman dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada Jumaat lepas menyamakan DAP dengan 'kafir harbi' atau bukan Islam yang menentang Islam dibenarkan untuk dibunuh.

Beliau kemudian mempertahankan kenyataannya tetapi menjelaskan ia tidak hanya ditujukan kepada DAP tetapi semua yang menentang Islam.

Bagaimanapun, hari ini, pejabat perdana menteri menyatakan jemaah menteri telah memutuskan bahawa rakyat bukan Islam negara ini tidak boleh dikategorikan sebagai kafir harbi selagi mereka mempunyai kerakyatan yang sah dan dilindungi oleh undang-undang negara serta tidak memerangi pemerintah.

Kata pejabat itu lagi, kenyataan Abdul Rahman menimbulkan kontroversi kerana ia telah diselewengkan. #sumber
Share:

Harga Minyak Naik Lima Sen Bermula 1 Julai 2016


PETALING JAYA: Harga minyak dinaikkan sebanyak lima sen bermula 1 Julai 2016.

Harga runcit bagi Diesel akan dinaikkan RM1.60 seliter berbanding RM1.55 sebelum ini.

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia, Datuk Alang Zari Ishak mengesahkan kenaikan sebanyak lima sen ini.

Ia merupakan kenaikan pertama sejak April lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah membuat keputusan dengan menetapkan harga petrol dan diesel pada sistem apungan terurus dari 1 Disember 2014 berikutan penghapusan subsidi bahan api. #sumber
Share:

Lagi Kes Terperangkap Dalam Kereta Di Kuantan !


KUANTAN: Orang ramai sekali lagi digemparkan dengan kes kanak-kanak terperangkap dalam kereta dekat sini petang tadi. Insiden berlaku di Bazar Ramadhan Padang MPK2 berhadapan dengan Stadium Darul Makmur sekitar jam 5.15 petang. 



Dua orang kanak-kanak yang ditinggalkan oleh kedua-dua ibubapa mereka untuk membeli juadah berbuka. Abang mangsa dipercayai mengunci kereta terbabit sebelum tertidur di tempat duduk belaka dipercayai keletihan akibat berpuasa.




Sementara adiknya dalam keadaan sedar dan tidak mengetahu apa-apa pun yang berlaku. Dalam keadaan panik, ibu bapa mangsa cuba memanggil nama anaknya yang sedar itu namun dek kerana faktor usia beliau tidak memahami apa pun yang diperkatakan oleh ibunya ketika kejadian.

Orang ramai mula mengerumuni lokasi terbabit untuk melihat sendiri kejadian yang kedua berlaku dua hari berturut-turut di sini. Semalam, satu kes berlaku juga di Stadium Darul Makmur hingga orang ramai terpaksa memecahkan cermin kereta terbabit. Kes berkenaan menjadi viral hingga disiarkan oleh Buletin Utama TV3 malam tadi


Kes kali ini agak menarik kerana adik mangsa tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Tambahan menarik ketika anggota Bomba Dan Penyelamat tiba untuk membantu dengan mengoncangkan kereta, adik mangsa seronok memusing-musingkan stering kereta seolah-olah sedang memandu. Malah, dia juga telah menghidupkan wiper kereta terbabit sebelum itu.

Anggota bomba turut dibantu oleh beberapa orang anggota polis trafik yang tiba awal di lokasi kejadian. Sekitar jam 6.40 barulah kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan. Orang ramai dinasihkan berhati-hati dengan kejadian seperti ini, pastikan anda tidak tinggalkan anak-anak dalam kereta walau pun untuk seketika. #PDONEWS
Share:

Kenyataan Mufti Hanya Pandangan, Bukan Fatwa


KUALA LUMPUR: Jemaah menteri berpandangan bahawa kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkaitan istilah 'kafir harbi' adalah sekadar satu pandangan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, kenyataan sebenar Mufti Pahang itu bermaksud golongan kafir harbi wajib ditentang dan bukannya diperangi.

"Kenyataan ini juga bukan merupakan satu fatwa. Ini kerana sesuatu fatwa rasmi mestilah melalui jawatan kuasa fatwa yang ditentukan.

"Isu ini telah menimbulkan kontroversi kerana ada pihak yang cuba menyeleweng kenyataan berkenaan dengan menggunakan istilah 'diperangi'", kata Pejabat Perdana Menteri.

Abdul Rahman dilaporkan berkata DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.

Pejabat Perdana Menteri seterusnya berkata dalam konteks agama Islam, istilah kafir harbi merujuk kepada golongan bukan Islam berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Islam dan kesediaan memerangi pihak yang memerintah.

"Dalam konteks ini, rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak boleh dikategorikan sebagai kafir harbi selagi mereka mempunyai kerakyatan yang sah dan dilindungi undang-undang negara dan tidak memerangi pemerintah.

"Justeru, kerajaan menegaskan bahawa pandangan mengenai istilah kafir harbi oleh mana-mana pihak perlu diteliti dengan sewajarnya agar tidak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat bukan Islam," kata Pejabat Perdana Menteri.

Ia menarik perhatian bahawa telah dibuktikan bahawa sejak merdeka, masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan fahaman politik telah dapat hidup dalam keadaan aman damai berdasarkan lunas-lunas demokrasi dan hak sebagai rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

"Dari segi sejarah, masyarakat bukan Islam juga dapat hidup dengan harmoni di zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W," kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan berharap kenyataannya itu akan dapat menyelesaikan kegelisahan dalam kalangan masyarakat terutama bukan Islam lebih-lebih lagi dalam menjaga keharmonian dan keselamatan negara bertepatan dengan prinsip-prinsip maqasid syariah. #sumber
Share:

Saman Utusan: Anwar Berjaya Batal Sabitan Liwat


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Utusan Malaysia perlu membatalkan perenggan tertentu dalam pembelaannya terhadap saman fitnah yang dibawa oleh Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim.

Perenggan yang dibuang adalah sabitan kes Anwar atas tuduhan rasuah pada tahun 1999 dan pendakwaan liwat II pada 2015, yang dipetik Utusan untuk mewajarkan laporannya terhadap bekas Ketua Pembangkang itu.

Hakim John Louis O’Hara membuat keputusan itu berdasarkan hujah bahawa sabitan kes jenayah tidak perlu dibangkitkan dalam prosiding sivil.

Utusan diarah membayar RM2,500 sebagai kos.

Pada 7 Januari, Anwar berusaha untuk membatalkan tiga perenggan pembelaan Utusan yang menyebut mengenai sabitan terhadap Anwar.

Anwar menyaman bekas calon BN Permatang, Dr Mazlan Ismail, Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd kerana memfitnah beliau.

Mazlan disaman kerana mendakwa Anwar telah merasuah hakim dan pendakwa, manakala TV3 dan Utusan didakwa menyiarkan kembali kenyataan Mazlan. #sumber
Share:

Peguam: Mufti Pahang Tak Kebal Undang-Undang

PETALING JAYA: Status Datuk Seri Abdul Rahman Osman sebagai mufti Pahang tidak memberikan beliau kekebalan daripada undang-undang atau kuasa penuh untuk membuat kenyataan mengenai kafir harbi, kata peguam Syahredzan Johan.
“Jika ia kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, beliau sudah tentu boleh didakwa. Mufti tidak ada kekebalan undang-undang seperti itu,” kata Syahredzan di akaun Twitter sebagai respons kepada laporan keengganan Rahman menarik balik kenyataannya itu.
Mufti Pahang itu melabelkan “kafir harbi” kepada DAP kerana bercakap menentang rang undang-undang persendirian PAS untuk menaik taraf status mahkamah syariah.
Beliau kemudian mempertahankan dirinya dan berkata sebarang fatwa yang dikeluarkan mufti secara individu atau menerusi jawatankuasa fatwa tidak boleh dicabar di mahkamah mengikut Seksyen 40 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Pahang) 1991.
Seksyen 40 menyatakan ‘mana-mana undang-undang bertulis yang bertentangan, mufti tidak boleh dipanggil ke mana-mana mahkamah sivil atau syariah untuk memberi pendapat atau bukti berkaitan undang-undang Islam’.
Syahredzan tidak bersetuju, berkata Seksyen 40 hanya menjadikan mufti dikecualikan daripada dipanggil ke mahkamah untuk memberi pendapat atau bukti, bukan tidak boleh didakwa mengikut undang-undang.
Beliau berkata jika sekalipun ia akan dijadikan fatwa, ia masih perlu mengikut perundangan tertentu, diwartakan untuk menjadi rasmi.
“Ia satu pendapat. Bukan fatwa. Fatwa pun perlu mengikut perundangan tertentu, diwartakan untuk menjadi rasmi,” katanya.
Dalam Twitter, Syahredzan meruju kepada Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang menyatakan “sesiapa yang membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat untuk mencetuskan atau mungkin mencetuskan sebarang kelas atau komuniti seseorang untuk melakukan kesalahan terhadap mana-mana kelas atau komuniti seseorang, akan dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya”. #sumber
Share:

Warga Emas Perlu RM15,000 Untuk Bedah Lengan


KUANTAN: Seorang warga emas memerlukan sejumlah RM15,000 bagi menampung kos pembedahan lengan kanannya yang membengkak seberat lima kilogram (kg).

Mohamed Hashim, 62, berkata, lengannya mula membengkak akibat kesan daripada suntikan dialisis yang dibuat sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia mengidap penyakit buah pinggang kronik dan jantung sejak beberapa tahun lalu.

“Bengkak pada lengan pernah dibedah pada tahun 2013 tetapi kembali membengkak sejak setahun lalu.

“Doktor nasihatkan supaya dibedah sekali lagi namun saya tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian,”katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya anjuran Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Pahang (BAKKISS), di De Rhu Resort, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.

Mohamed berkata, dia terpaksa melakukan dialisis sempat kali sehari dengan bantuan isteri, Salmiah Ali, 63, di rumahnya di Tanah Putih Baru.

Katanya,  keadaan lengannya yang membengkak membuatkan dia sukar untuk tidur kerana rasa berdenyut yang menyakitkan.

“Dulu saya buat macam-macam kerja termasuk buruh, jadi tak ada banyak simpanan. Lagipun sejak saya sakit buah pinggang, banyak duit dihabiskan untuk dialisis.

“Buat masa ini saya bergantung pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) berjumlah RM300,” katanya.

Mohamed turut melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Bakkiss yang menghulurkan sumbangan kepadanya.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohamed dan berharap ada pihak yang sudi membantunya menanggung kos pembedahan yang diperlukan.

Pada majlis itu, seramai 100 anak yatim menerima duit raya yang disampaikan Bakkiss.

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Mohamed Hashim di nombor 156012218221 atau menghubunginya di talian 012-751 8269. #sumber

Share:

Ibu Tunggal 'Rayu Bantuan' Ringankan Bebanan !


KUANTAN: “Siapa sangka, dulu kami sekeluarga hidup mewah tetapi dalam sekelip mata semuanya berubah dan kami bila-bila masa sahaja boleh dihalau dari rumah ini,” kata Suzana Sulaiman, 46, yang tinggal di Indera Mahkota Dua di sini.

Lebaran tahun ini juga tidak bermakna kepada mereka anak-beranak apabila rumah yang menjadi tempat berteduh selama 20 tahun kini dalam proses lelong oleh pihak bank.

“Sebagai ibu tunggal saya tidak mampu berbuat apa-apa, kami lapan beranak hanya mampu berserah dan berdoa mengharapkan ada pihak dapat membantu kami menyelesaikan bayaran tunggakan pinjaman rumah sebanyak RM40,000,” katanya.

Katanya, selepas bergelar ibu tunggal, empat tahun lalu hidup mereka sekeluarga seolah-olah hilang arah apabila berhadapan dengan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, bagi menyara tujuh anak berumur 26 hingga 11 tahun dia terpaksa bertindak menjual pelbagai barangan kelengkapan rumah seperti peti sejuk, perabot dan pinggan mangkuk yang berjenama.

“Anak bongsu saya Alif Nasrullah, 11, yang paling terkesan dengan keadaan sekarang. Daripada seorang kanak-kanak aktif dan periang dia menjadi pendiam serta tidak keluar rumah.

“Dia tidak berminat untuk ke sekolah, seorang lagi anak saya yang belajar di tingkatan lima juga memutuskan berhenti sekolah disebabkan masalah kewangan,” katanya yang kini mengambil upah mencuci rumah jiran dengan upah antara RM10 hingga RM50.

Beliau berkata, dua anaknya kini belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) dan Universiti Selangor (Unisel). Manakala anak perempuan tunggalnya baru melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor.

Suzana yang berasal dari Skudai, Johor berkata, dia perlu tabah mengharungi pelbagai dugaan terutama dalam keadaan kewangan yang semakin kritikal dan terpaksa meminjam wang jiran untuk membeli beras dan telur.

“Saya tidak pasti di mana kami akan sambut Aidilfitri nanti kerana kami sekeluarga boleh dihalau pada bila-bila masa sahaja,” katanya. #sumber

Share:

Kafir Harbi: Aziz Bari Gesa, Sultan Masuk Campur


KUALA LUMPUR: Pakar undang-undang Abdul Aziz Bari mendesak Sultan Pahang bertitah berhubung kenyataan mufti negeri itu yang mengisytiharkan DAP sebagai kafir harbi.

Katanya, mufti secara langsung berada bawah sultan yang juga ketua agama Islam negeri.
“Sultan Pahang mesti bertitah dalam isu ini," kata Aziz  yang menyertai DAP tahun lepas.

“Walaupun perkara ini bukan hal persekutuan, ia sudah menjadi kebimbangan di peringkat nasional dan oleh itu Majlis Raja-raja juga perlu memberi pandangan."

Kontroversi timbul apabila Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyifatkan DAP dan siapa sahaja yang menentang Islam sebagai kafir harbi.

Kenyataan itu mengundang kritikan keras dan sekurang-kurangnya satu laporan polis terhadap beliau dibuat kerana didakwa boleh menjurus kepada pertumbuhan darah.
Menurut kefahaman popular dalam Islam, golongan kafir harbi boleh dibunuh kerana tindakan mereka memerangi Islam.

DAP menafikan dakwaan menentang Islam dan menuntut Abdul Rahman menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

Sementara itu, merujuk kepada isu kafir harbi, Aziz berkata kenyataan mufti itu pandangan peribadi dan bukan fatwa.

Beliau juga membangkitkan dakwaan terdapat khutbah di Pahang yang memburukkan DAP sebelum ini. “Adakah ini kebetulan?

“Apa pun ia, perkara ini menjadi alasan untuk sultan Pahang meredakan ketegangan,” katanya yang menyertai DAP tahun lepas. #sumber
Share:

Lapan Cedera 'Insiden Letupan' Di Pusat Hiburan !



SERDANG: Lapan cedera dalam insiden letupan di bahagian luar sebuah pusat hiburan di IOI Boulevard di sini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata letupan berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi Selasa.



Difahamkan semasa kejadian pengunjung di pusat hiburan tersebut sedang leka menonton perlawanan Euro 2016 antara pasukan Itali dan Sepanyol di ruang tempat duduk di bahagian luar premis terbabit.




Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Mohd Hisam Mat Yasih berkata mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.00 pagi.




Pihak berkuasa sedang memeriksa punca letupan itu.

Seorang pengawal keselamatan yang berada di kawasan itu berkata dia terlihat  kepulan asap tebal dari premis tersebut sejurus selepas letupan.




Dia turut melihat tiga pengunjung cedera akibat serpihan kaca yang pecah.

Seorang pekerja di premis tersebut berkata lebih 20 pengunjung berada di tempat kejadian yang turut menayangkan perlawanan pusingan kelompok 16 pasukan terbaik Euro 2016 antara Sepanyol dan Itali. #sumber
Share:

Mufti Pahang Enggan Tarik Balik, Atau Minta Maaf


KUANTAN: Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman hari ini menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataannya atau meminta maaf kepada DAP berhubung kenyataannya sebelum ini yang didakwa melabelkan parti itu tergolong dalam kalangan kafir harbi.

Beliau menjelaskan kenyataannya sebelum ini tidak merujuk kepada DAP, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam boleh diistilahkan sebagai pemikiran kafir harbi iaitu cuba hendak memerangi umat Islam dan agama Islam.

"Saya tidak akan meminta maaf dan menarik balik apa yang saya katakan ini. Apa yang saya cakap itu bukan khusus kepada DAP sahaja, kepada semua yang menentang Islam.

"Asas yang saya bagi tahu kepada akhbar itu (Utusan Online) dalam bentuk semua, namun kalau mereka kata (tulis) DAP pun tidak salah, sesiapa pun yang menentang Islam jika mereka tulis tidak salah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Semalam Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Mufti Pahang itu keterlaluan dan tidak boleh diterima kerana DAP tidak pernah menentang Islam.

Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Rahman menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf. #sumber
Share:

Pelajar Hantar 'Gambar Aksi Bogel' Kepada Guru !


GEORGE TOWN: Seorang gadis menghantar gambar bogel kepada guru sekolahnya yang dipercayai melatih pelajar itu sejak tiga tahun lalu.
Ibunya mengetahui perkara itu selepas terlihat beberapa keping gambar bogel di telefon gadis tersebut awal tahun ini.
Namun apa yang menjengkelkan Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Loh Cheng Kooi adalah guru tersebut masih lagi bekerja apabila beliau meneliti kes tersebut bulan lalu.
"Mana-mana guru disyaki melakukan penderaan seksual sepatutnya digantung kerja dengan serta-merta sementara menunggu siasatan pihak berkuasa.
"Ia seolah-olah guru itu melatih gadis tersebut selama beberapa tahun sebelum diketahui ibu bapanya," kata Loh kepada pemberita selepas sesi pembentangan meja bulat Perbadanan Wanita Pulau Pinang mengenai 'Perlindungan Kanak-Kanak di Malaysia'," di Komtar pada Isnin.
Loh berkata guru itu kononnya mengakui kesalahannya apabila dipanggil untuk memberi penjelasan tetapi tiada tindakan diambil Jabatan Pelajaran Negeri.
"Dia harus dipecat serta-merta selepas mengaku melakukan jenayah dan siasatan perlu dilakukan dengan segera.
"Seorang guru yang disyaki melakukan penderaan seksual mesti dijauhkan daripada kanak-kanak tetapi ini tidak berlaku di sini," kata Loh.
Turut hadir pada sesi perbincangan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Loh berkata Kementerian Pendidikan perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) apabila ia melibatkan kes penderaan seksual kanak-kanak di sekolah.
Katanya, buat masa ini, seorang guru yang didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu masih dibenarkan bekerja sementara menunggu siasatan pihak berkuasa.
"Memindahkan guru itu ke sekolah lain juga tidak menyelesaikan masalah kerana ia adalah seperti memindahkan masalah ini ke tempat lain," katanya.
Loh mendakwa Jabatan Pelajaran Negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan ibu bapa kanak-kanak itu dimaklumkan bahawa jabatan tersebut akan menyerahkan kes itu kepada pihak polis jika mereka membuat laporan.
Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak itu tidak membuat laporan polis kerana bimbang insiden tersebut akan memberi kesan negatif terhadap anak perempuannya.
"Gadis itu hanya mengambil masa sekejap untuk pulih kerana dia merasakan itu bukan kesilapan guru tersebut kerana dia yang menghantar gambar bogelnya.
"Kita terpaksa meyakinkan gadis itu bahawa ia adalah kesilapan gurunya," kata Loh.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Shaari Osman ketika dihubungi berkata pihaknya hanya menerima surat aduan pada minggu lalu mengenai perkara itu.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan siasatan awal menunjukkan guru itu turut memberi tuisyen kepada pelajar tersebut. #sumber
Share:

"Gantung Shafie", UMNO Semporna Di Bubarkan !


SEMPORNA: Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong pada Isnin mengumumkan keluar parti.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya dan  300 ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu di sini yang dipengerusikan Jaujan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan.

Dalam sidang media, Jaujan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat lepas menggantung keanggotaan Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.



Beliau berkata Mohd Shafie telah tidak diberi peluang membela diri dengan diberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum MT membuat keputusan mengantung keanggotaannya.



Bagaimanapun, Mohd Shafie tidak hadir pada mesyuarat itu kerana sedang mengerjakan umrah.

Turut tidak hadir Timbalan Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran.

UMNO Bahagian Semporna mempunyai 481 Ketua Cawangan. #sumber
Share:

Pekerja Rayu Agar Kembalikan 'Nyawa' Rayani Air


PETALING JAYA: Pekerja Rayani Air merayu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya menarik balik pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC) bagi membolehkan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi.
Rayuan tersebut dibuat oleh satu lagi kumpulan pekerja Rayani Air yang mempunyai pendapat berbeza dengan tidak hanya mendesak pemiliknya, Ravi Alagendrran dan Datuk Karthiyani Govindan untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya sahaja.
Sebaliknya, mereka menyatakan sokongan supaya syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu kembali 'bernyawa'.

Afrizam Drawi yang mendakwa mewakili sejumlah kakitangan berkata, pada masa ini apa yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan operasi syarikat penerbangan itu yang akan memanfaatkan pekerjanya.
Afrizam yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Kerajaan di Rayani Air berkata, perolehan semula ASL dan AOC itu akan membolehkan pemiliknya mendapat pelabur baharu untuk menyuntik modal dalam syarikat yang akan mengutamakan bayaran tunggakan gaji pekerja.

“Rayani Air sebenarnya sudah pun temui pelabur dan di peringkat akhir memuktamadkan perjanjian. Tetapi Ravi dan Karthiyani tidak bernasib baik apabila Mavcom memutuskan untuk batalkan lesen. 
“Kami mewakili pekerja yang menyokong pihak pengurusan meminta supaya DCA dan Mavcom mempertimbangkan rayuan ini demi nasib dan masa depan para pekerja Rayani Air, terutama Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya kepada mStar Online.

Pada Ahad, kumpulan pekerja Rayani Air yang diwakili Zulkalnain Azdan yang selama ini bersuara membuat tuntutan mendesak pemiliknya supaya melunaskan bayaran gaji tertunggak selama tiga bulan, sebelum Aidilfitri.

Dengan Aidilfitri yang menjelang berbaki kurang dua minggu lagi, nasib kakitangan yang sebahagiannya beragama Islam hanya tinggal harapan buat mereka yang mahu meraikan perayaan itu bersama keluarga dalam suasana gembira.
Afrizam berkata, Ravi dan Karthiyani akan mengemukakan rayuan kepada DCA dan Mavcom bagi meminta suruhanjaya itu menarik semula pembatalan AOC dan ASL terhadap Rayani Air.
“Ravi dan Karthiyani akan menghantar surat rayuan kepada DCA dan Mavcom pada Isnin (hari ini). Kami berharap rayuan ini akan dipertimbangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Afrizam meminta supaya kumpulan yang diwakili Zulkalnain untuk turut sama bersatu bagi memberi sokongan supaya Rayani Air boleh beroperasi semula, sekali gus memberi sinar baharu kepada pekerja syarikat penerbangan itu.
Terdahulu, Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menegaskan bahawa pembatalan lesen itu bukan alasan untuk pemilik syarikat penerbangan tersebut bersikap lepas tangan. 
Menurut Zulkanain, kebanyakan pekerja Rayani Air kini terbeban dengan kehidupan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan ada yang terpaksa berhutang.
Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik Rayani Air gagal melunaskan tunggakan gaji sebelum Aidilfitri.
Pada 13 Jun lalu, Mavcom mengumumkan ASL bagi Rayani Air dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, kerana melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.
Pada hari sama, DCA membatalkan AOC bagi syarikat penerbangan itu selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.
Mavcom membuat penilaian terhadap Rayani Air susulan penggantungan sementara AOC syarikat penerbangan itu selama tiga bulan oleh DCA pada 11 April lalu. #sumber
Share:

Selongkar Tong, Kerana Kerana Anak Kelaparan !


KUANTAN: Hiba mendengar tangisan anak-anak yang kelaparan, sepasang suami isteri terpaksa menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan yang masih elok untuk dimakan.

Mohamad Yasot, 37, berkata, dia dan isterinya, Hamidah Omar, 35, tidak mampu menyediakan makanan kepada empat anak mereka setiap hari.

“Kami pernah terputus bekalan makanan hingga anak-anak tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air untuk hilangkan lapar.

“Jika saya, isteri dan ibu keluar pungut barang terbuang seperti tin dan kotak kosong di tong sampah besar berdekatan, pada masa sama kami cuba cari sisa makanan dalam plastik yang masih elok seperti gula, tepung dan biskut untuk dikumpulkan.

“Jika banyak kami dapat kumpulkan, adalah barang dapur yang boleh dibawa balik dan dimasak untuk hidangan pada hari itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Ladang, Beserah, di sini semalam.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai lapan anak, namun mereka hanya mampu menjaga empat anak berusia dua hingga tujuh tahun yang tidak bersekolah.

Tiga daripada anak mereka dihantar ke sekolah pondok di Sungai Isap dan Sungai Soi di sini, manakala seorang lagi dijaga saudara mereka di Kelantan.

Mohamad berkata, anak-anaknya tidak bersekolah kerana dia tidak mampu, selain jarak sekolah dan rumah yang jauh.

“Memang saya berhajat sangat nak hantar anak-anak ke sekolah tapi tak mampu kerana perbelanjaan sekolah besar terutama tambang bas,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa mengharungi kehidupan daif itu dengan tabah memandangkan dia tidak mampu melakukan pekerjaan lain susulan penyakit dihidapinya.


“Saya tak boleh buat kerja berat sebab hidap penyakit buasir kronik. Pernah juga saya ambil upah angkat barang, tapi terpaksa berhenti kerana penyakit bertambah teruk.

“Isteri juga tak dapat keluar bekerja sebab terpaksa jaga anak-anak. Jadi, kami cari saja barang terbuang untuk dijual tampung kehidupan.

“Setiap kali keluar mencari barang terbuang, dapatlah RM15 hingga RM20, cukup untuk beli makanan pada hari itu. Tapi malangnya, bukan setiap hari dapat keluar, kadang-kadang seminggu sekali,” katanya.

Pakai pakaian terbuang

Mohamad berkata, selain menjual barang terbuang, dia juga mencari pakaian terbuang untuk dipakai anak-anaknya.

Manakala sepanjang Ramadan ini, mereka sekeluarga bersahur dan berbuka puasa secara ala kadar.

“Mujur, anak-anak faham keadaan hidup kami, walaupun terpaksa sahur dengan cekodok dan biskut. Kalau berbuka pula, jika ada wang lebih seringgit dua, saya ke kedai beli telur, dapatlah kami makan nasi goreng telur.

“Selalu juga anak-anak merengek kelaparan, tapi disebabkan langsung tiada makanan saya tidak mampu berbuat apa-apa. Cuma kalau terlalu terdesak, isteri terpaksa juga minta dengan jiran jika mereka ada lebihan makanan untuk kami,” katanya.

Dia tidak sanggup melihat anak-anak kelaparan, walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun wang itu tidak cukup untuk menampung keluarganya yang ramai.

“Bukan kami nak wang ringgit semata-mata, tapi berikan kami peralatan seperti mesin rumput atau sebagainya supaya kami boleh bekerja dan dapat upah untuk sara kehidupan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 06119-41-00000798-7 atas nama Hamidah Omar. #sumber
Share:

Rumah Generasi Baharu Sungai Retang Tersadai !


JERANTUT:  Pihak berkaitan digesa menyiapkan projek Rumah Generasi Baharu di tanah rancangan Felda Sungai Retang dekat sini yang bermula kira-kira tiga tahun lalu mengikut tarikh ditetapkan.

Tinjauan di tapak projek itu kelmarin mendapati, kira-kira 48 unit rumah sedang dibina dan ada antaranya belum siap sepenuhnya serta masih di peringkat awal pembinaan apabila hanya kerangka dan tiang terpacak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Retang, Suran Jaafar berkata, pembinaan 400 unit rumah itu sepatutnya sudah siap 50 peratus.

Menurutnya, bagaimanapun pembinaan empat blok dengan 12 unit rumah setiap satunya baru hendak dimulakan malah sebahagian lagi tanah yang diperuntukkan belum diratakan.

“Saya selaku Ketua UMNO Cawangan Sungai Retang agak terkilan melihat kerja-kerja yang dilakukan ini.

“Sepatutnya ia siap sepenuhnya Julai tahun depan, tapi kalau macam ini caranya, macam mana hendak siap?” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, ketika PRU-13, beliau berjanji mendapatkan rumah untuk belia tanah rancangan ini.

Suran berkata, beliau bimbang sekiranya janji itu tidak dilangsaikan sebelum PRU akan datang, golongan itu akan berasa tidak berpuas hati.

“Masa PRU13, undi dari tanah rancangan ini membantu memberi kemenangan kepada BN. Kalau tak siap rumah ini, kemungkinan belia akan hilang kepercayaan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau turut berharap pihak berkaitan dapat melakukan kerja-kerja diamanahkan dengan baik termasuk menambak tanah pada ketinggian sama.

Katanya, berdasarkan pelan pembangunan dan pertambahan perumahan, tidak mustahil akan berlaku masalah perparitan.

“Kita yakin dengan pelan yang dibuat, namun kalau boleh, biarlah kawasan rumah ini dibina secara sama rata.

“Kalau ada kawasan yang tinggi dan ada kawasan rendah, nanti yang rendah akan mudah banjir,” katanya.

Menurutnya, projek tersebut diharap siap pada tarikh ditetapkan.

“Golongan belia sudah mula hilang harapan untuk melihat rumah mereka siap dalam tempoh ditetapkan kalau kini hanya 48 unit rumah dari 400 unit baru hendak dibangunkan,” katanya. #sumber
Share:

Enam Sekeluarga Duduk Di Pondok Rayu Bantuan


JERANTUT:  Enam sekeluarga yang tinggal di sebuah pondok di atas tanah kerajaan berdekatan Felda Kota Gelanggi 2, di sini memohon bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Mohd Razali Kamarudin, 44, berkata, pondok yang dibina sendiri daripada pokok kayu hutan dan papan terbuang itu kini sudah terlalu usang untuk didiami.

Menurutnya, mereka sekeluarga mula tinggal dan mendirikan pondok di atas tanah itu sejak 10 tahun lalu.

“Saya bina pondok di tanah simpanan kerajaan berdekatan Felda ini sebab memang tiada tempat lain nak bertapak.

“Bekalan api dan air pula saya dapat dari sebuah rumah pekerja atas ihsan pemiliknya. Saya minta bantuan sebab saya bimbang pondok ni bila-bila masa boleh roboh,” katanya.

Mohd Razali yang merupakan generasi kedua Felda Kota Gelanggi 2 berkata, kesempitan hidupnya bermula selepas berkahwin pada 1995.

“Selepas lama saya tumpang rumah ibu bapa, saya terus pindah dan tinggal di merata-rata tempat di kawasan Felda ni dan buat macam-macam kerja kampung sebab nak sara keluarga.

“Pendapatan saya dapat dalam RM500 sebulan, jumlah tu hanya cukup untuk makan kami sekeluarga.  Jadi, kalau nak beli rumah sendiri tu memang tak mampulah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, kelmarin.

Menurutnya, bagaikan jatuh ditimpa tangga, isterinya, Faridah Mohd Saad, 47, pula menghidap angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Mohd Razali berkata, kini isterinya dijaga anak sulung yang berusia 19 tahun sementara dia pergi bekerja di sebuah kawasan tapak pertanian berdekatan Felda Lepar Utara dan masuk ke hutan pada hujung minggu untuk mencari rotan dan sumber hutan lain.

Katanya, hasil upah pekerjaannya itu digunakan untuk membiayai persekolahan anak bongsunya yang masih belajar di tingkatan satu selain belanja keperluan makanan dan rawatan isteri.

Berkenaan persiapan mereka sempena Ramadan dan Aidilfitri, katanya, dia dan keluarga cuma berbuka puasa dengan nasi, sambal dan ulam-ulaman malah jauh sekali dapat menikmati juadah yang istimewa seperti insan lain.

“Hari raya tahun ini sama saja macam tahun sebelumnya, memang saya tak fikir nak beli baju baru, kuih raya...sebab memang kami kesempitan wang,” katanya.

Mohd Razali berharap kerajaan dapat memberi bantuan rumah baharu menerusi PPRT atau diberi peluang untuk mendapatkan rumah menerusi Projek Perumahan Generasi Kedua Felda.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit bolehlah menghubungi Mohd Razali Kamarudin menerusi talian 011-17908676 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional, Faridah Mohd Saad, bernombor 0610529000206333. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.